Sabtu, 10 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Global: Wanita Libya turut tumbang Gaddafi

Posted: 02 Oct 2011 08:51 AM PDT

"Orang lelaki mati ketika mereka terpaksa berjuang tanpa senjata dan sanggup bergadai nyawa demi melindungi kami sedangkan kami duduk di rumah tidak buat apa-apa. Kami seolah-olah jadi barang antik," kata wanita bertudung itu lagi sambil cuba membetulkan cara dia memegang senjata api.

"Konco-konco Gaddafi boleh datang bila-bila masa, saya bersedia mempertahankan diri sendiri dan rumah kami jika perlu," katanya lagi.

Pelatih sukarelawan di pusat latihan ketenteraan itu berkata, mereka berasa sangat tidak berdaya ketika pergerakan menumbangkan pemerintahan Gaddafi terutama apabila mendengar berita ada wanita dirogol oleh askar. Kini mereka tidak mahu lagi duduk diam, sudah sampai masa untuk menunjukkan bahawa wanita juga boleh melindungi keluarga.

Sekurang-kurangnya 200 wanita sudah berjaya menamatkan program latihan itu sejak ia dimulakan di Kawasan Ketenteraan Teknikal Benghazi hujung Mac lalu. Mereka diberikan pilihan menyertai Pasukan Keselamatan Kebangsaan yang beroperasi seperti Pengawal Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat dan membenarkan wanita berkenaan bergerak di kawasan sendiri. Belum ada cadangan untuk menghantar tentera wanita ini ke barisan hadapan pertahanan negara.


Satu unit yang dianggotai 20 tentera wanita tidak bersenjata bertugas ketika Perdana Menteri British, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat Benghazi bulan lalu dan memberikan ucapan di depan ramai penduduk Libya.


Pasukan keselamatan wanita itu berdiri memerhatikan dan mencari wanita yang mencurigakan kerana bimbang jika ada penyerang yang menyamar dengan memakai pakaian perempuan.

Menurut komander tentera di Benghazi, Abdul Basit Haron, pejuang revolusi termasuk wanita akan menerima sekali bayaran berjumlah RM15,000. Pembabitan wanita dalam ketenteraan sangat penting kerana ia boleh membangkitkan dan menguatkan semangat tentera.

Ini kerana wanita berasa mereka diketepikan dan sanggup datang ke sini untuk membuktikan bahawa mereka setanding dengan lelaki. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia keberanian dan sikap terbuka penduduk Libya.

Sebenarnya peranan wanita masih menjadi isu sensitif di negara Islam konservatif itu. Malah, sepanjang pemerintahan Gaddafi, polisi yang dibentuk bertujuan memecahkan pantang larang turun temurun mengenai pekerjaan wanita dan status mereka. Gaddafi sendiri melantik pengawal peribadi wanita tetapi peluang yang diberikan untuk wanita mengisi jawatan di dalam kerajaan masih sangat terhad.

Tentera wanita adalah satu perkara yang sangat asing di kebanyakan negara Arab tetapi kini ia menjadi pemandangan biasa di Libya. Di mana-mana ada saja tentera wanita beruniform, bertudung, bercermin mata hitam dan bermekap tebal mengawal bandar. Satu kumpulan wanita dilaporkan mempunyai pusat soal siasat sendiri bagi menahan aktivis antiGaddafi.

Kolonel Sabriya Mohammed al-Shraidi, anak kelahiran Benghazi yang menamatkan pelajaran di sekolah ketenteraan pada 1986 dan kini berada

di unit penyiasatan tentera berkata, lapan pegawai ditugaskan melatih 36 sukarelawan - iaitu kumpulan keempat yang akan tamat latihan tidak lama lagi.

"Kebanyakan wanita ini adalah suri rumah dan ada yang bekerja. Mereka tiada pengalaman dalam ketenteraan dan tidak tahu bagaimana menggunakan senjata. Jadi mereka datang ke sini untuk menjalani latihan, jika perlu mempertahankan diri sendiri dan anak-anak. Kita tidak tahu bila kemahiran ini diperlukan, segala-galanya boleh terjadi," katanya.

Pelatih tentera ini diberikan pelbagai latihan menggunakan semua jenis senjata ringan dan ilmu mempertahankan diri. Mereka yang diberikan latihan ini akan membantu menjaga keselamatan ketika demonstrasi, di bank dan institusi lain.

"Ramai orang anggap wanita tidak elok masuk tentera. Anggapan ini salah. Ramai wanita terbabit dalam bantuan kemanusiaan dan penyeludupan senjata api untuk pemberontak dengan menyembunyikan senjata dalam jubah mereka.

"Sebenarnya wanita sudah banyak memberi sumbangan dalam revolusi ini melalui pelbagai cara. Tetapi mereka masih dipinggirkan dan diketepikan. Kini sudah ada peluang untuk kami menunjukkan sumbangan secara terang-terangan, tiada apa yang hendak dimalukan apabila menjadi tentera. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti zaman Gaddafi dulu yang memandang rendah wanita yang masuk tentera," katanya.

Wafa al-Rayth, 29, suri rumah, berkata dia menyertai program ketenteraan itu untuk menunjukkan pada dunia bahawa wanita Libya berupaya berganding bahu dengan lelaki dalam menjaga keamanan negara.

"Sudah sampai masa kami membantu meluaskan keamanan dan mengawal negara, terutama dalam tradisi kami yang memerlukan wanita mengawal tempat perjumpaan wanita dan memeriksa beg mereka bagi memastikan tiada lelaki menyamar untuk melakukan jenayah," katanya.

Bagi jurutera berusia 20 tahun, Lameis Aghnaish, dulu ketika era Gaddafi dia cuba berhijrah ke negara lain tetapi kini dia bangga tinggal di Libya.

"Dulu hidup kami sangat susah, sebab itulah saya mahu berhijrah. Masa itu saya tidak rasa sayang pun pada negara, tetapi keadaan kini sudah berubah. Saya sanggup mati demi negara ini. Saya akan kembali bekerja selepas keadaan kembali aman. Apa yang penting kini ialah memastikan negara aman dan selamat," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Peralatan sekolah Kafa rosak

Posted: 09 Nov 2012 12:45 PM PST

KUALA LANGAT: Kejadian banjir di beberapa kawasan di sini turut menjejaskan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang yang menyebabkan murid terpaksa diberi cuti lebih awal manakala banyak peralatan sekolah rosak.

Ketua Guru Kafa berkenaan, Aniz Yushaily Abrar berkata, banjir kali ini disifatkan paling buruk kerana mencapai paras pinggang, sedangkan dalam kejadian empat tahun lalu air hanya naik setakat paras buku lali dan tidak memberikan masalah.


"Banyak juga yang rosak antaranya buku, rak, meja dan pintu kelas. Semua yang rosak tidak boleh digunakan kerana sudah kembang akibat ditenggelami air, malah kami terpaksa mencabut pintu kelas dan ditukarkan dengan pintu baru.

"Pihak sekolah juga terpaksa memberi cuti lebih awal kepada murid sejak Isnin lalu berikutan faktor keselamatan," katanya.


Aniz Yushaily berkata, pihaknya bernasib baik kerana kejadian itu tidak membabitkan pejabat guru yang menyimpan barangan penting pembelajaran dan pengajaran murid.


"Kami bersyukur kerana pejabat guru tidak terbabit. Ia hanya membabitkan surau, bahagian bawah tiga bangunan kelas, kantin serta bangunan baru yang masih belum digunakan.

"Malah, hari ini (semalam) air mulai surut, pihak kami mengambil kesempatan membersihkan bilik darjah dan kawasan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


28 lagi dikenal pasti untuk disita

Posted: 09 Nov 2012 12:43 PM PST

KUALA LUMPUR: Segelintir penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) dikesan menyewakan rumah dihuni kepada warga asing untuk tujuan mengaut untung.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sukiman Surahman berkata, tindakan penyewa itu menyalahi perjanjian di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penyewa yang sepatutnya mendiaminya sendiri.


"Perbuatan ini adalah lebih serius apabila menyewakan kediaman milik DBKL kepada warga asing berbanding disewakan pada warga tempatan. Beberapa unit sudah disita sebelum ini dan proses menyita ini diteruskan dari masa ke semasa," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebanyak 30 unit disita dalam operasi DBKL yang dijalankan selama tiga bulan sejak Ogos lalu. Proses menyita dibuat serta-merta dan dilakukan pada waktu malam.


"Biasanya warga asing berada di rumah pada waktu malam. Jadi, operasi dilakukan jam 11 malam ke atas untuk mengesan rumah DBKL yang disewakan pada mereka," katanya.


Sukiman berkata, DBKL sudah mengenal pasti 28 unit lagi yang disewakan kepada warga asing dan operasi penyitaan akan dijalankan dalam masa terdekat. Beliau mengulas laporan Harian Metro kelmarin mengenai tindakan DBKL membatalkan perjanjian dengan 50 penyewa kerana menyewakan rumah pada orang lain.

Dalam laporan itu, seramai 450 penyewa akan dikenakan tindakan undang-undang menerusi notis 30 hari yang dihantar sebelum kediaman terbabit disita dalam tempoh 14 hari.


"Mengikut perjanjian, mereka (penyewa) perlu kosongkan rumah dalam tempoh 30 hari sebelum ia disita. DBKL turut mengenal pasti banyak rumah kosong selepas tindakan ini dilakukan," katanya.

"Penyewa yang diambil tindakan boleh mengemukakan rayuan bergantung pada alasan yang diberikan. Sepatutnya, penyewa mengisi borang di pejabat kecil DBKL untuk memaklumkan kekosongan itu jika ia ditinggalkan lebih seminggu sehingga menjangkau tiga bulan," katanya.


Mengikut perjanjian, DBKL boleh mengambil tindakan undang-undang merampas rumah jika penyewa tidak membayar sewa manakala jika menyewakan pada orang lain, denda sebanyak RM2,000 atau penjara selama enam bulan boleh disabitkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Nekad Krista berbaloi

Posted: 09 Nov 2012 07:14 AM PST

TIADA sebarang bebanan untuknya mengakui semasa zaman kanak-kanak, dia adalah seorang gadis 'nerd'. Buku dan aktiviti kokurikulum memenuhi rutin kehidupannya seharian.

"Dulu saya budak 'nerd'. Rutin hariannya saya tidak lain tidak bukan bertemankan buku, sekolah dan sukan. Saya sangat aktif dalam bidang sukan dan pemenang tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri taekwando.

"Selain taekwando, saya juga aktif dalam tarian selain mengikuti kelas muzik iaitu piano. Pun begitu ketika remaja, saya belajar bermain piano hanya sebagai tuntutan mengisi masa senggang memandangkan orang tua saya mahukan anak-anak menghabiskan masa dengan hal-hal yang berfaedah.

"Ketika itu, saya tidak pernah terfikir langsung untuk bergiat aktif dalam bidang nyanyian sebagaimana hari ini," kata Krista K, pendatang baru dari Filipina yang berada di ibu negara baru-baru ini, untuk memperkenalkan album sulungnya, Krista K: Double Trouble.


Melanjutkan perbualannya, gadis dilahirkan pada tanggal 12 Jun 1989, itu berkata, segalanya berubah sejak dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss USA Philippines 2007.


Daripada seorang gadis polos, dia serta-merta menjadi buruan stesen televisyen di negara asal kelahiran ibunya, Filipina, sesudah pertandingan berkenaan. Ketika itu, Krista atau nama sebenarnya, Krista Eileen Kleiner baru berusia 18 tahun.

Krista nekad untuk mencuba dan kebetulan saat tawaran itu datang, dia sedang cuti semester. Justeru dia memperoleh secebis kebebasan daripada orang tuanya terutamanya bapa.

"Percaya atau tidak sejak dari itu saya tidak pernah kembali ke Amerika Syarikat. Saya menundakan pengajian di kolej kerana saya mula berasa seronok dengan apa yang saya lakukan sekarang. Satu demi satu peluang saya terima sehinggakan tidak ada yang mampu membuatkan saya menolaknya.

"Bapa saya seorang yang mementingkan akademik berasa amat kecewa dengan keputusan yang saya lakukan ini kerana dia mahu saya cemerlang dalam pelajaran.
Dia mengambil masa yang lama untuk menerima keputusan saya ini.

"Namun, saya berjanji kepadanya dalam apa juga bidang yang saya ceburi saya pastikan saya melakukan sebaik mungkin malah meyakinkannya bahawa saya akan berjaya dalam bidang ini.

"Selepas dua tahun, dia melihat peningkatan saya dalam bidang ini dan dia mula mempercayainya. Cuma, saya lihat dia agak bimbang sekiranya adik saya mengikut jejak langkah saya sehinggakan awal-awal lagi dia sudah memberi amaran jangan jadi seperti kakak," katanya ketawa.

Krista menambah, sebelum Miss USA Philippines 2007, dia juga pernah menyertai pertandingan ratu cantik antaranya Miss Pistang Pilipinas Queen of Tourism 2004 dan Miss Young Philippines USA di Amerika Syarikat.

"Namun, Miss USA Philippines 2007 yang benar-benar merubah hidup saya. Selain mengacara dan berlakon, saya juga pernah bertanding dalam Miss International Pageant dan terakhir, Miss Philippines International 2010," katanya.

Pada pertemuan itu, wanita berdarah kacukan Jerman dan Britain sebelah ayahnya manakala Filipina, Sepanyol dan Cina (ibu) sempat berkongsi tujuannya berkunjung ke negara ini.

Semestinya, tidak lain tidak bukan adalah untuk melancarkan album pertamanya Krista K: Double Trouble. Selain, sentiasa terpanggil untuk kembali ke negara ini setelah kunjungan pertamanya pada 2010.

"Saya jatuh cinta pada Malaysia sejak kali pertama saya mengunjungi negara ini. Ketika itu saya menjayakan konsert bersama Julio Iglesias pada 2010.

"Saya bertemu Julio sewaktu pertandingan Miss Philippines International 2010.
Dia tertarik dengan nyanyian saya semasa segmen mempamerkan bakat yang
mewajibkan setiap peserta ratu cantik memilih salah satu kelebihan mereka untuk dipamerkan.

"Usai pertandingan itu, dia bertanya kepada saya mahukah saya muncul sebagai artis undangan di dalam konsertnya. Terus-terang tawaran itu sukar di tolak.

"Saya banyak mempelajari dan menimba ilmu daripada Julio dan kerana beliau juga saya mula memikirkan untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai satu bidang yang serius," katanya.

Memilih genre pop dan 'dance' sebagai pertaruhan, wanita yang meminati penghibur antarabangsa antaranya, Jennifer Lopez, Beyonce Knowles, Rihanna, Britney Spears dan Madonna, Krista kini dalam rangka mempromosikan single pertamanya, Feel So Good.

Ditanya, apakah dia mempunyai perancangan untuk ke Hollywood memandangkan dia sendiri warga negara Amerika, Krista berkata, dia berbesar hati jika dapat berbuat demikian.

"Kalau diberi peluang mengapa tidak. Tetapi buat masa ini rezeki saya di sini dan saya tidak kisah dilihat sebagai menongkah arus tidak seperti kebanyakan orang yang begitu taksub untuk menempa nama di Hollywood. Sebaliknya, saya pula melihat Asia sebagai lubuk emas saya.

"Terus-terang saya sangat gembira dapat berbakti pada industri hiburan Filipina termasuk di negara kejiranan yang lain seperti Malaysia dan Singapura. Tambahan pula, ketika ini adalah zaman kebangkitan muzik Asia.

"Orang Asia lebih bersikap terbuka, tidak seperti industri hiburan Hollywood yang mengamalkan dasar Amerika hanya untuk 'orang Amerika'. Mungkin mereka bimbang atau mungkin itu cara untuk mereka memelihara industri hiburan daripada digugat kehebatan yang dipunyai penghibur Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


Kekeliruan terlerai

Posted: 09 Nov 2012 06:57 AM PST

KETIADAAN wakil juga presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli pada sidang media pertama, Anugerah Festival Filem Malaysia yang ke-25 (FFM25), 22 Oktober lalu, menimbulkan tanda tanya, apakah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), tidak membabitkan persatuan itu di dalam penganjuran FFM kali ini.

Sedangkan saban tahun termasuk penganjuran yang lepas, Gafim adalah pihak yang bertanggungjawab menggerakkan FFM bagi meraikan pembikin dan penggiat seni lakon juga industri perfileman tempatan.

Apakah pengambilalihan Finas ke atas penganjuran FFM25 itu, sekali gus menafikan kemampuan serta kewibawaan Gafim sebelum ini?

Bagaimanapun, pada sidang media kedua FFM25 yang diadakan pada Selasa lalu bertempat di Finas, Ulu Klang, pihak Gafim diundang untuk membuktikan bahawa Finas masih memerlukan sokongan daripada persatuan itu dalam menggerakkan FFM kali ini sekali gus menjelaskan kekeliruan yang berlaku.


Ketua Pengarah Finas, Mohd Naguib Abdul Razak, berkata, salah faham dan kemelut yang melanda kedua-dua pihak sudah berjaya dipulihkan melalui satu pertemuan yang diadakan Isnin lalu.


"Biar hari ini saya berterus-terang, sejujurnya Finas tidak pernah berniat menolak peranan Gafim yang sebelum ini bertindak sebagai penganjur bersama FFM apabila hanya menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) bagi acara berkenaan.

"Namun kekeliruan timbul apabila pihak kami menerima laporan 'timbal balas' penganjuran FFM tahun sudah yang dihantar oleh pihak Gafim. Penganjuran tahun lalu, tidak keterlaluan saya katakan mencetuskan kontroversi menyebabkan pihak Gafim memberi alasan seolah mereka tidak ingin lagi menganjurkan FFM.

"Itu menurut pemahaman Finas. Walhal apa yang dimaksudkan Gafim bukan penarikan diri sepenuhnya sebaliknya mereka masih bersedia menyokong Finas dari belakang untuk menganjurkan FFM pada masa-masa akan datang.

"Salah faham dan keadaan yang tidak jelas inilah menyebabkan pada sidang media FFM25 yang lalu, Gafim tidak diundang. Bagaimanapun, Finas sedar untuk menggerakkan cara berprestij ini kami memerlukan sokongan dan bantuan daripada penggiat industri seperti Gafim misalnya.

"Kami tidak mampu mengendalikannya sendirian apatah lagi, Finas sendiri mempunyai banyak acara yang perlu dijalankan untuk kebaikan industri perfileman," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Presiden Gafim sendiri, Jurey Latiff Rosli; Presiden Seniman, Zed Zaidi; Naib Presiden PFM, Datuk Yusof Haslam dan Bendahari Kehormat PFM, Pansha Nalliah.

Gabungan itu disertai 11 persatuan seni termasuklah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Naguib dalam kenyataannya sempat menjelaskan buat masa ini pihaknya belum memutuskan peranan Gafim di dalam FFM25 dan hal berkenaan akan dibincangkan menerusi mesyuarat yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

"Peranan Gafim di dalam FFM25 akan dimaklumkan kemudian dalam satu perbincangan tidak lama lagi. Apa yang pasti, matlamat Finas adalah untuk memastikan anjuran FFM di bawah kendalian kami, dapat mengenengahkan satu keputusan kemenangan yang memuaskan hati semua pihak.

"Sejujurnya saya tidak begitu mementingkan penganjuran anugerah yang hanya gilang-gemilang dari segi persembahannya saja sebaliknya lebih menitikberatkan soal keputusan malam itu nanti. Saya mahu semua penggiat seni yang bakal diraikan nanti menikmati satu keputusan yang adil," katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 75 filem cereka dianggarkan ditayangkan bagi tempoh 27 Oktober 2011 hingga 30 Oktober 2012 layak untuk dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Gitaris rock penyamun

Posted: 09 Nov 2012 01:27 PM PST

GOMBAK: Dua beradik pemain gitar kumpulan rock terkenal tahun 90-an bersama seorang lagi adik lelaki mereka dan seorang wanita, ditahan polis di sebuah flat di Taman Selayang, di sini, awal pagi semalam kerana disyaki terbabit dengan kegiatan jenayah.

Tiga beradik lelaki dan wanita berusia antara 35 dan 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 pagi untuk siasatan lanjut berhubung pembabitan mereka dalam jenayah samun, curi kenderaan dan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, hasil pemeriksaan terhadap rumah yang dihuni empat individu terbabit, polis menemui tiga parang, satu cota besi, lima jam tangan pelbagai jenama, kamera, dua telefon bimbit dan 40 kad Touch n Go.

"Polis turut menemui kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang diletakkan di tempat letak kenderaan dan semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di ibu kota tahun lalu," katanya kepada Harian Metro, semalam.


Menurutnya, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemantauan berterusan terhadap mereka yang pernah ditahan polis beberapa tahun lalu atas kesalahan dadah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Bunohan gah

Posted: 09 Nov 2012 01:26 PM PST

KUALA LUMPUR: Drama Di Telapak Kaki Bonda terbitan Filmscape Sdn Bhd diangkat sebagai Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2012 (ASK2012) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Diterajui barisan pelakon hebat seperti Diana Danielle, Sherry Merlis, Munif Isa dan Izreen Azminda karya arahan Kabir Bhatia itu menewaskan drama lain, Ku Petik Dosa, Parut Ashikin, Parit Jawa, Pelarian dan Maharku Untukmu.


Kejayaan berganda diraih drama ini apabila Kabir Bahtia turut dipilih sebagai Pengarah Terbaik Drama, diikuti beberapa kategori lain seperti Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama dimenangi Sherry Merlis dan Lakon TV Terbaik. Pelakon berpengalaman, Namron yang membintangi drama Parit Jawa diumumkan pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala drama Aku Ingin Terbang memenangi Videografi Terbaik.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama pula, kemenangan berpihak kepada pelakon berpengalaman, Ruminah Sidek atau Mak Mah menerusi lakonan hebatnya dalam Parit Jawa. Ia sekali gus menjadi kejutan apabila artis veteran itu berjaya menewaskan pelakon popular seperti Erra Fazira (Parut Ashikin) dan Fasha Sandha (Ku Petik Dosa). Sementara itu, kategori Pelakon Lelaki Drama dimenangi pelakon senior berbakat, Abu Bakar Omar menerusi drama Gincu Ayah, mengenepikan cabaran hebat Eman Manan (Parit Jawa) dan Zaidi Omar (Ku Petik Dosa).


Bagi Filem arahan Dain Said unggul dalam ASK2012em diraih Shaheizy Sam menerusi Songlap.


Filem Terbaik berpihak kepada Bunohan arahan Dain Said yang dibintangi pelakon terkenal seperti Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su dan model jelita, Tengku Azura. Filem itu terlebih dulu menang Lakon Layar Terbaik.

Bagaimanapun, Bunohan tewas di tangan pengarah bersama, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak yang muncul sebagai Pengarah Terbaik Filem melalui Songlap. Majlis berprestij yang dianjurkan sejak 1995 itu dan kini memasuki edisi ke-14, mengetengahkan tema Selami Dunia Fantasi Kami. Sebanyak 23 kategori dipertandingkan meliputi 11 daripadanya kategori drama, tujuh pencalonan filem dan enam kategori penerbitan dalaman.


Ini termasuk dua Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad yang diberikan kepada Pierre Andre dan Anugerah Artis Harapan Pantene yang berpihak kepada Puteri Balqis (Pelarian).

Turut mencipta kejayaan dalam kategori filem malam tadi adalah Lisa Surihani yang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Ombak Rindu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kereta sains fiksyen

Posted: 09 Nov 2012 11:25 AM PST

LONDON: Kereta luar biasa baru ini, 'Extra Terrestrial Vehicle' sudah pasti dikagumi peminat sains fiksyen.

Kenderaan futuristik ini yang berharga 75,000 (RM375,000), dikenali juga dengan ETV adalah berdasarkan platform yang sama dengan kereta Chevrolet biasa.


Tetapi di situ sajalah persamaannya. ETV yang berinspirasikan sains fiksyen kelihatan lebih daripada kereta biasa di jalan raya.

Ia dijana oleh enjin berkelajuan tinggi 2 liter yang menyediakan 270 kuasa kuda kepada roda depan menerusi kotak gear lima kelajuan.


Ia memiliki skrin depan setinggi 1.5 meter dan pintu sayap yang akan terbuka cara automatik menerusi kawalan jarak jauh.


Di dalam, terdapat dua kamera yang akan membolehkan kereta berbentuk aneh ini diparkir dengan mudah.

Michael Vetter yang berasal dari Itali dan menguruskan The Car Factory di Florida, Amerika Syarikat, mereka dan menghasilkan kenderaan canggih ini.


Dia yang dikenali sebagai Kit Car Mike sudah menghasilkan tujuh ETV dengan satu model dipamerkan di Muzium Kereta London di Middlesex.

"ETV ini dihasilkan untuk orang yang sudah memiliki semua jenis kereta tetapi masih mencari sesuatu yang berbeza," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Budak 2 tahun parah dicekau helang

Posted: 09 Nov 2012 11:00 AM PST

LONDON: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera dengan mukanya berlumuran darah selepas diterkam seekor burung helang peliharaan di sebuah taman permainan, dekat sini, semalam.

Burung berkenaan menerkam Alfie Hall ketika dia bersiar-siar di taman itu dengan ibunya, Elysia dan beberapa anggota keluarga lain.

Kanak-kanak itu bagaimanapun bernasib baik kerana matanya terselamat.

Helang berkenaan yang sayapnya selebar 1.4 meter, turut mencekau telinga kiri kanak-kanak itu, menyebabkannya hampir putus.


Doktor terpaksa mencantumkan semula telinga itu di hospital.


Elysia, 23 berkata malam tadi: "Ia sungguh menakutkan. Burung itu kelihatan begitu besar dan kuat ketika menerkam kepala anak saya.

"Burung berkenaan mengoyakkan beberapa daging kepala Alfie, termasuk menyebabkan turisan besar berhampiran sebelah matanya yang memerlukan ia dijahit.

"Doktor memberitahu kami, dia bernasib baik kerana tidak hilang penglihatan.
"Adik saya meluru sambil menjerit dan memekik untuk mengusir burung berkenaan. Saya pula berkejar untuk mendapatkan Alfie.

"Dia begitu terkejut. Matanya bengkak dan saya dapat melihat telinganya terkoyak."

Kejadian berlaku di taman permainan di Farnborough, Hants.

Burung itu tidak mempedulikan panggilan pemiliknya yang berusia belasan tahun yang berada di situ.

"Kami pernah melihat tuan burung itu berjalan di sekitar taman bersama haiwan itu. Kali ini, dia membiarkannya terbang dan kemudian cuba memanggilnya.

"Tetapi burung itu hinggap pada pokok. Dia cuba memujuk helang peliharaannya itu tetapi burung berkenaan tiba-tiba terbang dan menerkam kepala Alfie," katanya.

Polis berkata, seorang remaja berusia 18 tahun dari Farnborough ditahan dan kemudian dibebaskan selepas disoalsiasat. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Optimis pertahan juara Asia Tenggara

Posted: 09 Nov 2012 10:50 AM PST

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali tetap optimis skuad bola sepak negara mampu mempertahankan Piala AFF yang berbaki kira-kira dua minggu lagi.

Dua kekalahan aksi persahabatan skuad kendalian Datuk K Rajagobal ketika menentang Vietnam dan Thailand baru-baru ini dianggap perkara biasa bagi Khalid dalam usaha ketua jurulatih negara itu mempersiapkan pemain menghadapi cabaran sebenar.


Namun pemerhati bola sepak tempatan itu menegaskan, beberapa kelemahan ketara perlu segera diperbaiki sebelum sepak mula menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 25 November ini.

"Sebagai bekas pemain saya tetap optimis namun skuad negara tidak boleh mempamerkan corak permainan seperti ketika menentang Thailand kerana lawan jelas sudah mempamerkan peningkatan. Jurulatih perlu memanfaatkan masa yang ada untuk membaikinya sebaik mungkin," katanya.


Antara kelemahan yang mendapat perhatian Khalid adalah kecuaian pemain negara yang terlalu cepat kehilangan bola hingga menimbulkan masalah untuk menguasai perlawanan dan seterusnya menjaringkan gol.


"Masih terdapat kelemahan lain namun saya percaya jurulatih ada caranya yang tersendiri. "Malah beliau sudah mengeluarkan kenyataan tidak panik dengan dua kekalahan terbabit. Biar beliau baiki kelemahan itu," katanya.

Malah Khalid menasihatkan pemain negara terus fokus melakukan persiapan kerana semangat berpasukan yang tinggi akan mengatasi semua cabaran dan rintangan.


Skuad negara mempamerkan aksi tidak konsisten sepanjang persiapan menghadapi temasya dwitahunan ini dengan Rajagobal menggunakan pendekatan untuk mencuba pemain dan selepas mencatat kemenangan meyakinkan mengatasi Hong Kong 3-0 pada Oktober lalu, persembahan Harimau Malaya kembali meresahkan apabila kecundang kepada Vietnam (0-1) dan Thailand (0-2) baru-baru ini. Malaysia yang tampil selaku tuan rumah bersama pada edisi Piala AFF kali ini dan juara bertahan berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan Laos bersaing di Kuala Lumpur manakala Thailand, tuan rumah Kumpulan A, disaingi Vietnam, Filipina dan Myanmar. Dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir dan final yang dilangsungkan secara timbal balik pada 19 dan 22 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Kelibat terakhir

Posted: 09 Nov 2012 10:41 AM PST

VALENCIA (Sepanyol): Aksi perlumbaan MotoGP Valencia menutup tirai musim 2012 selain menjadi gelanggang terakhir aksi penunggang legenda Australia, Casey Stoner.

Sekalipun kejuaraan semua kategori sudah diputuskan, kejohanan penutup musim itu memberi peluang kepada peminat menghargai perlumbaan terakhir Stoner sebelum bersara.


Pelumba Sepanyol dijangka menguasai perlumbaan di depan penyokong sendiri dengan penunggang Honda, Dani Pedrosa berpeluang mengatasi juara MotoGP, Jorge Lorenzo selepas kemalangan di Australia membolehkan penunggang Yamaha itu meraih kejuaraan dunia kedua selepas 2010.

Pedrosa yang pernah memenangi kejuaraan dunia 125cc dan 250cc turut menang lima kali di Valencia dalam tempoh 10 tahun terakhir namun peluangnya merampas kejuaraan dunia tahun ini berakhir di pusingan kedua di Australia ketika dia mendahului.


Pelumba berusia 27 tahun itu perlu berakhir di depan Lorenzo dan ketinggalan 23 mata dalam kedudukan pelumba sebelum perlumbaan itu namun terpaksa berpuas hati muncul naib juara buat kali ketiga selepas 2007 dan 2010.


Sementara Stoner yang mengejutkan sukan itu apabila mengumumkan persaraannya hujung musim ini selepas memenangi kejuaraan MotoGP 2007 dan 2011 menegaskan sudah hilang rasa hormat terhadap sukan itu.

Seminggu selepas memenangi perlumbaan 'gelanggang sendiri' di litar Phillip Island buat kali keenam, Stoner hanya mahu menumpukan kepada kehidupan peribadinya.


"Keghairahan saya di litar sudah hilang, sesuatu yang saya rasai sejak kecil dan menyebabkan saya komited dengan sukan ini," kata Stoner.

"Ada banyak sebab kenapa saya bersara, satu hari saya akan menjelaskan segala-galanya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved