Ahad, 2 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pesakit boleh aktif sukan

Posted: 02 Sep 2012 01:16 PM PDT

"MEMANG lain anak yang datang ditemani emak berbanding ditemani ayah. Kanak-kanak yang datang bersama ayah lebih berdikari. Memang itulah tujuannya apabila menyertai kem sebegini. Sedihnya ada ibu yang tidak membenarkan anaknya daripada masuk sebarang aktiviti," bisik Presiden Pertubuhan Hemofilia Malaysia, Datuk Dr Faraizah Abdul Karim.

Kebimbangan ibu itu memang ada asasnya. Dia tidak mahu anak lelaki kesayangannya yang mengalami masalah hemofilia daripada cedera. Individu hemofilia memang mudah mengalami kecederaan atau pendarahan dalaman, khususnya pada bahagian sendi yang membuatkan bengkak dan kesakitan.

Bagi yang pertama kali mendengar perkataan ini, hemofilia ialah keadaan kekurangan atau ketiadaan protein pembekuan darah yang biasanya dialami lelaki dan boleh menyebabkan pendarahan spontan terutama di otot, sendi atau organ dalaman. Ini adalah masalah seumur hidup.

Kata Dr Faraizah, darah kita adalah cecair kompleks membabitkan beberapa komponen termasuk sejenis protein yang berfungsi sebagai agen pembekuan darah (dipanggil Faktor VIII atau IX). Protein ini bekerjasama dengan protein lain dalam sel untuk membolehkan darah membeku.


Pada keadaan biasa, apabila kita luka, platelet darah akan diaktifkan dan menjadi melekit supaya ia boleh melekat sesama sendiri untuk membentuk plak. Faktor pembeku akan 'melekat' pada plak ini dan bertindak seperti gam untuk mengukuhkannya dan terbentuklah darah beku bagi menghentikan pendarahan.


Namun bagi individu hemofilia, oleh kerana mereka kekurangan faktor pembeku darah, darah lambat beku dan pendarahan menjadi lebih lama. Ada orang salah faham dan menganggap apabila individu hemofilia mengalami luka, darah mereka akan keluar laju dan membuak. Bukan begitu, kelajuan darah keluar sama seperti individu lain, cuma ia mengambil masa lebih lama untuk berhenti.

Mendengar penerangan ini, fahamlah penulis mengapa ada sesetengah ibu melarang anak mereka daripada menyertai sebarang aktiviti yang dianggap lasak ketika Kem Hemofilia Asia Pasifik ke-4 2012 di Seoul, Korea, baru-baru ini.

Kem ini adalah acara tahunan yang diadakan khas bagi memberi peluang individu hemofilia dan keluarga mereka bertemu. Kali ini, kem tiga hari tajaan syarikat farmaseutikal Bayer HealthCare dengan kerjasama Persatuan Hemofilia Korea itu dihadiri 28 peserta muda berumur tujuh hingga 17 tahun bersama penjaga, pakar perubatan dan sukarelawan dari Korea Selatan, China, Malaysia, Brunei, Taiwan dan New Zealand.

Namun, kata Dr Faraizah, melarang anak hemofilia daripada bergiat aktif dan terbabit dalam aktiviti sukan bukanlah tindakan bijak. Seperti kanak-kanak lain, mereka juga perlu banyak bergerak kerana pergerakan akan merangsang perkembangan tulang dan otot. Malah ia juga kaedah penting untuk menguatkan otot supaya tidak mudah mengalami pendarahan.

Pendarahan yang dimaksudkan di sini adalah pendarahan dalaman dan ia boleh dilihat apabila ada kesan lebam dan rasa sakit. Pendarahan dalaman berulang pada sendi boleh menyebabkan kemusnahan tisu sendi atau tisu lembut di sekitarnya. Kemusnahan ini boleh melarat ke rawan iaitu tisu yang menyerap hentakan dan tulang rawan. Seterusnya, ia menjejaskan proses pembentukan tulang dan akhirnya sendi menjadi cacat.

"Benarkan anak-anak ini aktif di sekolah. Mereka boleh sertai apa juga aktiviti asalkan ia bukan sukan yang banyak sentuhan badan seperti bola sepak, ragbi atau bola keranjang. Galakkan anak-anak menyertai sukan individu seperti badminton atau pingpong. Malah kalau ada yang suka seni mempertahankan diri, mereka boleh sertai taekwondo tetapi tidak boleh melakukan sparing atau berlawan.

"Individu hemofilia sederhana juga boleh bermain bola sepak, jika mahu tetapi mereka perlu tahu bagaimana hendak menjaga diri sendiri terutama apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan dan cara mengendalikan keadaan jika berlaku pendarahan.

"Bersukan sangat penting untuk individu hemofilia membentuk otot yang kuat. Ini kerana otot yang lemah lebih cepat mengalami pendarahan. Selain itu, senaman juga mampu meningkatkan ketahanan, menstabilkan sendi, ruang pergerakan sendi menjadi lebih besar, mengurangkan kesakitan pergerakan, mencegah kecacatan akibat pendarahan yang tidak dirawat, mengurangkan episod pendarahan, mengekalkan kestabilan dan kurang risiko untuk jatuh.

"Walaupun kebanyakan ibu bapa tahu mengenai perkara ini tetapi ramai yang bimbang untuk membenarkan anak bergiat aktif. Mereka risau anak akan mengalami kecederaan. Dalam hal ini, saya cadangkan supaya beri suntikan ubat pada anak terlebih dulu untuk mengurangkan risiko pendarahan sebelum mereka bersukan," katanya.

Inilah dilakukan dalam kem berkenaan. Peserta diajak untuk bermain futsal menentang pasukan daripada Persatuan Bola Sepak Suwon, Korea Selatan terdiri daripada pelajar universiti yang gagah perkasa! Namun peserta tidak bimbang malah teruja untuk bermain di bawah cahaya terik musim panas. Awal pagi lagi mereka sudah mendapatkan suntikan faktor bagi mengelakkan pendarahan.

Pada sebelah petangnya mereka dibawa ke kolam renang awam. Tidak puas bermain air dalam sesi hidroterapi selama lebih satu jam, ada yang sambung berendam di kolam renang hotel sehinggalah dipanggil naik untuk makan malam. Namun tiada siapa yang bimbang kerana berenang adalah satu senaman menyeronokkan yang bagus untuk individu hemofilia kerana ia boleh menguatkan otot keseluruhan badan.

Jenis hemofilia

Hemofilia ada banyak jenis tetapi dua yang paling biasa iaitu:

● Hemofilia A - Juga dipanggil hemofilia klasik. Pesakit mempunyai sedikit atau tiada langsung faktor pembeku darah iaitu Faktor VIII. Kira-kira 85 peratus pesakit hemofilia berada dalam kumpulan ini.

● Hemofilia B - Ada kala ia dipanggil penyakit Krismas. Pesakit mempunyai sedikit atau tiada langsung Faktor (pembeku) IX.

Kenapa semuanya pesakitnya lelaki? Hemofilia adalah gangguan yang diwarisi melalui kromosom X bersifat resesif. Inilah sebabnya pesakit lelaki (yang mempunyai kromosom XY) lebih ramai kerana mereka mewarisi kromosom X daripada ibu (pembawa).

Namun tidak bermakna perempuan tidak akan mendapat hemofilia dan biasanya keadaan mereka lebih teruk (kerana perempuan mempunyai kromosom XX). Bagaimanapun, kes seperti ini jarang berlaku.

Walaupun ia dikategorikan sebagai penyakit keturunan, ada juga pesakit yang tiada sejarah keluarga mendapat hemofilia. Kira-kira 70 peratus disebabkan keturunan (bapa hemofilia atau ibu pembawa gen hemofilia) dan 30 peratus kes lagi akibat mutasi gen yang berlaku secara spontan.

Tahap serius masalah setiap pesakit bergantung kepada jumlah faktor pembeku dalam darah mereka. Individu yang mempunyai hemofilia teruk kerap mengalami pendarahan pada sendi atau otot. Pendarahan ini biasanya spontan, maknanya ia boleh berlaku tanpa sebarang sebab nyata.

Pada individu hemofilia sederhana, kekerapan pendarahan lebih rendah dan biasanya berlaku selepas kecederaan. Pada individu dengan hemofilia ringan, pendarahan biasanya berlaku selepas pembedahan atau kecederaan besar. Kumpulan ini mungkin tidak mengalami masalah pendarahan dalaman dan boleh terbabit dalam kegiatan aktif tanpa masalah.

Di mana pendarahan sering berlaku?

● Sendi yang paling kerap mengalami pendarahan ialah lutut, buku lali dan siku. Pendarahan yang terlalu kerap tanpa rawatan sewajarnya boleh merosakkan rawan dan tulang pada sendi, mendekatkan pesakit kepada masalah artitis kronik dan hilang keupayaan bergerak.

● Pendarahan yang paling teruk biasanya berlaku pada otot iliopsoas (di kawasan hadapan pangkal paha), lengan bawah dan betis.

● Sesetengah pendarahan boleh mengancam nyawa dan perlukan rawatan segera seperti pendarahan di kepala, tekak, usus dan otot iliopsoas.

Bagaimana hemofilia diwarisi? Masalah ini boleh diwariskan melalui beberapa keadaan iaitu:

● Bapa hemofilia berkahwin dengan wanita normal - Tiada seorangpun anak lelaki akan mendapat penyakit ini. Bagaimanapun, semua anak perempuan menjadi pembawa gen hemofilia tetapi mereka tidak akan mengalami masalah akibat penyakit ini.

● Wanita pembawa gen hemofilia boleh mewariskan penyakit ini kepada semua anaknya. Jika dia berkahwin dengan lelaki normal, setiap anak lelaki mempunyai peluang 50 peratus mendapat penyakit ini dan anak perempuan pula 50 peratus menjadi pembawa.

● Wanita pembawa gen hemofilia berkahwin dengan lelaki hemofilia - Ada empat kemungkinan iaitu peluang mendapat anak lelaki hemofilia (25 peratus), anak perempuan hemofilia (25 peratus), anak perempuan pembawa (25 peratus) dan anak lelaki normal (25 peratus) setiap kali dia mengandung.

● Mutasi genetik - Ia berlaku tanpa sejarah keluarga dan masalah ini boleh diwariskan kepada anak.

Diet

Secara umumnya individu hemofilia boleh makan apa saja yang diingini, tetapi pakar pemakanan daripada Sistem Kesihatan Universiti Yonsei, Korea, Kim Hyejin berkata, sebaiknya amalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan vitamin K (membantu menghasilkan protrombin, yang penting dalam pembekuan darah. Sumbernya adalah sayur-sayuran berdaun hijau), kalsium (susu dan hasil tenusu, tauhu, sayur berdaun hijau); zat besi (hati, daging merah, ayam, kuning telur dan ikan) serta vitamin C (buah-buahan).

Ada beberapa makanan yang perlu dielakkan atau dikurangkan seperti herba (termasuklah ginkgo, bawang putih, halia, ginseng dan kunyit) kerana ia boleh menyebabkan pendarahan menjadi lebih teruk. Makanan tambahan seperti vitamin E dan minyak ikan didapati boleh memanjangkan tempoh pendarahan kerana ia menghalang darah daripada menjadi beku.

"Makanlah apa saja yang anda mahu, asalkan secara bersederhana. Yang penting, jangan jadi gemuk kerana kegemukan akan menambah beban pada otot dan sendi - yang membuatkan pendarahan mudah berlaku," katanya.

Rawatan

Berdasarkan laporan Kesatuan Hemofilia Dunia, dianggarkan ada 400,000 pesakit hemofilia A di seluruh dunia tetapi hanya 25 peratus mendapat rawatan secukupnya. Daripada jumlah ini, 75 peratus pesakit di Asia tidak mendapat rawatan secukupnya.

Sehingga kini belum ditemui kaedah menyembuhkan hemofilia tetapi ada rawatan yang membolehkan pesakit menjalani kehidupan sebaik individu normal. Pendarahan pada sendi disebabkan keradangan dan jika kerap berulang, ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah termasuk kerosakan sendi dan tulang.

Kata Dr Faraizah, kerosakan sendi ini bergantung kepada dua faktor iaitu umur ketika ia berlaku (lebih muda pendarahan mula berlaku, risiko kerosakan lebih tinggi) dan berapa cepat mendapat rawatan.

Rawatan yang digunakan sekarang ialah suntikan rekombinan Faktor VIII seperti Faktor Antihemofilia yang diberikan sama ada apabila diperlukan (selepas kecederaan) atau secara berterusan dalam tempoh tertentu (profilaksis).

Dalam kaedah profilaksis, pesakit diberi pekatan faktor pembekuan darah secara berterusan untuk mencegah pendarahan, sekali gus membantu mengurangkan kerosakan sendi. Melalui kaedah ini, pesakit boleh menyuntik sendiri faktor ke dalam salur darah di rumah. Kini penyelidik sedang giat menjalankan kajian ke atas terapi genetik dengan harapan dapat menemui penawar hemofilia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Keluarga pesakit kongsi pengalaman

Posted: 02 Sep 2012 01:07 PM PDT

MELIHAT aksi comel peserta Kem Hemofilia Asia Pasifik Ke-4 2012, semua hadirin tersenyum dan bertepuk tangan. Mana tidaknya, tidak kira usia dan walaupun adanya jurang bahasa, namun masing-masing berusaha sedaya upaya memberi komitmen terbaik dalam setiap aktiviti terutama untuk persembahan pada malam perpisahan.

Dalam masa tidak sampai tiga hari, peserta dari Brunei, Mohammad Naim Ibrahim (Naim), 11, yang pada mulanya kelihatan sangat pemalu dan asyik 'mengekor' bapanya, Ibrahim Abu Bakar, akhirnya boleh bersembang dengan tiga rakan barunya dari Malaysia - Haron Mohd Ali, 8; Adryon Koh, 11, dan Muhammad Burhan Abdul Aziz, 16.

Mungkin dia tidak lagi terasa dirinya 'ganjil' kerana pesakit hemofilia di Brunei boleh dibilang dengan jari. Menurut Ibrahim, air matanya mengalir tatkala doktor mengesahkan Naim mengalami hemofilia ketika berusia lima tahun.

"Semuanya gara-gara dia luka kerana terhantuk tiang. Walaupun lukanya sudah ditampal, tetapi darah tetap keluar. Risau melihat keadaannya kami bawa dia ke hospital dan dari situlah doktor dapat kesan masalahnya. Itulah kali pertama saya dengar perkataan hemofilia.


"Memang sejak kecil dia ada menunjukkan tanda seperti kerap lebam, tetapi kami anggap ia masalah biasa. Rupanya abang Naim juga ada masalah sama. Dia terpaksa ditahan dua hari di hospital untuk diberikan ubat sebelum doktor benarkan giginya dicabut.


"Dulu saya memang selalu rasa sedih apabila mengenangkan nasib anak-anak. Oleh kerana pesakit hemofilia di Brunei tidak ramai, jadi saya tiada tempat hendak mengadu dan berkongsi cerita. Pengetahuan mengenai masalah ini juga sangat terhad, mujurlah Naim dan abangnya termasuk dalam kategori hemofilia ringan," katanya.

Walaupun tidak banyak bercakap, Naim adalah kanak-kanak yang aktif. Dia tahu masalah yang dihadapinya tetapi dia tetap curi-curi bermain bola walaupun bapanya melarang.

"Kalau jatuh, lebamnya ambil masa empat atau lima hari baru hilang. Susah hendak sorok sebab bapa selalu periksa badan saya," katanya perlahan.

Oleh kerana hemofilia sangat asing di Brunei, Ibrahim memberitahu guru sekolah mengenai keadaan anak-anaknya dan berpesan supaya segera dibawa ke hospital sekiranya mereka cedera.

Bagi Muhammad Burhan, keadaannya sudah diketahui dari kecil apabila lututnya selalu lebam ketika dia mula belajar merangkak. Oleh kerana abangnya juga mengalami masalah sama, ayahnya, Abdul Aziz Abu Yazit memberi lebih perhatian kepada aktiviti mereka.

"Dulu masa kecil saya selalu rasa tertekan. Hendak main bola (sepak), emak dan ayah tidak benarkan. Saya tidak tahu kenapa, sedangkan kawan-kawan lain boleh bermain sepuas hati.

"Ketika berusia enam tahun, ayah hantar saya menyertai kem hemofilia. Masa itu, barulah saya tahu apa rahsia di sebalik larangan emak dan ayah. Namun kadang-kadang saya degil juga, curi-curi main. Ayah akan marah apabila tengok badan saya lebam. Salah sendiri, kena terima apabila ayah marah.

"Namun kini, saya jadi pemain bola tampar pasukan sekolah. Sekarang saya dah tahu bagaimana hendak mengelakkan pendarahan dalaman. Saya pakai sarung tangan keras khas untuk bersukan," kata pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu sambil tersenyum. Mungkin terkenang kisah dia pernah lari pusing hospital kerana tidak mahu diberi suntikan ubat faktor pembekuan darah.

Ayahnya, Abdul Aziz mengakui pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai hemofilia masih belum meluas. Dua minggu Burhan belajar di asrama, Abdul Aziz menerima panggilan telefon daripada guru besar mengatakan anaknya tidak dibenarkan meneruskan pelajaran di sekolah berkenaan selepas dilihatnya ada peti sejuk mini berisi ubat (faktor) di sekolah.

"Itu kali pertama saya lepaskan anak-anak untuk berjauhan daripada keluarga. Tidak sangka, dia disuruh pindah sekolah pula. Sedihnya hanya Allah yang tahu. Selepas saya terangkan keadaan Burhan dan adanya surat pengesahan daripada Datuk Dr Faraizah Abdul Karim yang merawat anak saya, barulah guru besar faham.

"Sejak tahu anak kami mengalami hemofilia, saya dan isteri aktif menyertai kem untuk memberi pendedahan dan penerangan mengenai penyakit ini kepada ibu bapa lain. Alhamdulillah, kini saya lihat Burhan semakin yakin dengan dirinya sendiri. Malah saya juga mahu dia terus berdikari," katanya.

Connor M'cone, 14, dari New Zealand yang mengalami hemofilia teruk tidak mahu memikirkan sangat mengenai masalahnya. Dia aktif bermain bola keranjang dan hoki, malah mewakili daerahnya dalam kejohanan yang diadakan di sana. Dia pernah luka teruk apabila jatuh daripada papan luncur buatan sendiri gara-gara rodanya tertanggal.

"Cabaran sebagai pesakit hemofilia ialah selalu tidak dapat ke sekolah kerana kaki sakit hingga tidak boleh berjalan. Paling tidak suka apabila kena belajar dua kali ganda. Saya pantang apabila orang kata saya tidak boleh buat. Inilah sebabnya saya buktikan, pesakit hemofilia pun boleh main sukan lasak, asalkan mereka dapatkan rawatan sewajarnya," katanya yang bercita-cita menjadi saintis perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Korban selamat rakan

Posted: 01 Sep 2012 03:34 PM PDT

GERIK: "Kami sempat melihat seladang itu menanduk rusuk kiri Musa, menyebabkan dia melambung lima meter ke udara sebelum tersangkut pada pohon buluh," kata Isa Abdul Manas, 24, rakan kepada Musa Ismail, 55, yang maut diserang seekor seladang di Hulu Air Pasir, Banding, berdekatan Hutan Simpan Royal Belum, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, Musa bersama Isa serta abangnya, Mohd Saripudin Abdul Manas, 34, berkunjung ke kawasan itu untuk memancing sebelum berdepan saat mencemaskan diserang haiwan liar berkenaan.


Musa yang juga penebang balak berasal dari Felda Bersia, di sini, menderita kesakitan hampir dua jam akibat cedera parah di rusuk kiri akibat rodokan binatang itu sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 8.45 malam.

Isa yang ditemui di rumahnya di Kampung Kenayat, di sini, semalam berkata, mereka memasuki hutan untuk memancing ikan dengan berjalan kaki hampir tiga jam menerusi 'lorong tikus' di Kilometer 68.4 di Jalan Raya Timur Barat berdekatan Banding, di sini.


Beliau berkata, pada mulanya, seladang itu menyerang dia dan abangnya, manakala arwah berada lima meter dari situ.


"Panik melihat kami berdua diserang seladang, arwah menuju ke arah haiwan itu untuk mengacah selain menjerkah supaya ia beredar.

"Bagaimanapun, haiwan itu bertindak agresif sebelum meluru ke arah arwah dan menanduknya, menyebabkan arwah melambung dan tersangkut pada pohon buluh," katanya.


Katanya, abangnya turut cedera dipijak seladang itu dan terpaksa meriba Musa sebelum menghubungi isteri arwah untuk memaklumkan kejadian.

Isa berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir dua jam kemudian akibat pendarahan teruk di rusuk kiri sebelum pasukan penyelamat tiba awal pagi semalam bagi mengeluarkan mereka bertiga.


Menurutnya, dia bernasib baik kerana hanya cedera ringan di betis, paha dan tengkuk ketika bergelut dengan seladang berkenaan, manakala abangnya cedera ringan di kaki.


"Ketika pergelutan, saya hampir dipijak binatang itu selain nyaris ditanduk di perut. Malah, beg galas yang dipakai juga terkoyak akibat dirodok binatang itu.


"Saya tidak menduga kejadian itu boleh berlaku dan serik ke sana lagi," katanya.


Sementara itu, isteri arwah, Siti Ghatna Che Ahmad, 61, berkata, suaminya tidak banyak bercakap sebelum bertolak ke Hutan Belum, petang kelmarin.


"Arwah memang suka mencari ikan sungai dan akan ke hutan berkenaan, terutama pada hari cuti. Bagaimanapun, saya dan tiga anak menganggap kejadian ini sebagai takdir," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik, Hospital Gerik (HG), di sini, semalam.


Jenazah Musa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bersia selepas solat Zuhur semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Penyelamat redah hutan 10 jam

Posted: 01 Sep 2012 03:31 PM PDT

GERIK: Seramai 38 anggota penyelamat membabitkan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta anggota bomba dan penyelamat mengharungi perjalanan sukar hampir 10 jam bagi meredah kawasan Puncak Titiwangsa untuk mengeluarkan tiga mangsa serangan seladang di Hulu Air Pasir, Banding, dekat Hutan Simpan Royal Belum, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 8.45 malam, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang maut dan cedera.


Beliau berkata, pihaknya terpaksa meredah keadaan bentuk muka bumi berbukit-bukau dan hutan tebal sebelum tiba di lokasi kejadian, jam 1 pagi semalam.

"Semua mangsa diusung keluar dari hutan sebelum tiba di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB), jam 7.30 pagi tadi (semalam) sebelum dibawa ke Hospital Gerik.


"Mangsa, Musa Ismail, 55, maut akibat serangan seladang, manakala Mohd Saripuddin Abdul Manas, 34, dan adiknya, Isa, 24, hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, orang ramai dinasihat tidak menceroboh hutan simpan berkenaan sewenang-wenangnya meskipun untuk memancing ikan atau mencari herba hutan kerana ia kawasan larangan serta berisiko tinggi.

"Mereka yang mahu masuk ke hutan itu perlu mendapatkan permit daripada Taman Negeri Royal Belum," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Abdul Kadir Abu Hashim ketika dihubungi berkata, dalam keadaan normal, seladang akan melarikan diri sebaik terserempak dengan manusia di hutan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman pihaknya, haiwan liar itu akan bertindak ganas dan agresif dalam dua keadaan iaitu ketika melindungi anaknya atau ia berasa terancam serta tercedera.


"Kami akan menyiasat lebih lanjut kejadian itu, termasuk menyoal siasat dua mangsa yang terselamat dalam serangan itu. "Kami juga ingin mendapatkan kepastian daripada mangsa kenapa serangan berlaku dan apa dilakukan mangsa di dalam hutan.


"Seladang antara spesies haiwan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.


Jurucakap Bomba dan Penyelamat Gerik ketika dihubungi berkata, insiden serangan seladang itu adalah kejadian kedua direkodkan di daerah ini sejak 10 tahun lalu.


"Dalam kejadian sama beberapa tahun lalu, seorang lelaki maut selepas diserang haiwan liar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Assange sedia ‘berkubu’ setahun

Posted: 01 Sep 2012 03:12 PM PDT

LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, mungkin terpaksa berlindung di Kedutaan Ecuador sehingga setahun kerana dia yakin dakwaan salah laku seks ke atasnya di Sweden akan digugurkan.

Lelaki kelahiran Australia itu berdepan waran tangkap dan dijangka diekstradisi jika meninggalkan kedutaan berkenaan yang terletak di Knightsbridge.


Ketika hubungan diplomatik di antara Britain dan Ecuador kekal tegang, Assange yakin dia akan bebas daripada tuduhan berkenaan satu hari nanti. Dalam temu bual disiar stesen televisyen tempatan semalam, Assange berkata, isu penahanannya dapat diselesaikan dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

"Saya percaya isu ini akan diselesaikan melalui saluran diplomasi," katanya.


Komen itu dibuat mengiringi kenyataan Setiausaha Dalam Negara Britain, William Hague, yang mendakwa "belum nampak" sebarang penyelesaian bagi kes berkenaan. Assange diberi suaka selepas dia mendapatkan perlindungan di Kedutaan Ecuador pada Jun lalu. Kata Assange, dia yakin kerajaan Sweden akan menggugurkan kesnya.


"Saya rasa kemungkinan itu besar, mungkin selepas menjalankan siasatan menyeluruh," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Mengharap ihsan polis London

Posted: 01 Sep 2012 03:08 PM PDT

LONDON: Seorang bekas polis yang dipaksa melepaskan jawatan selepas menyatakan keinginannya menjalani pembedahan menukar jantina, kini berharap diterima semula ke pasukan itu.

Pernah dikenali sebagai Keith, Karen Gale (gambar) dirakamkan menjalani pembedahan menukar jantina sebagai sebahagian daripada pengisian siri My Transsexual Summer di Channel 4.


Ketika berusia 26 tahun, dia memberitahu niatnya kepada Ketua Polis London untuk menjadi anggota polis wanita.

Namun, polis menasihatinya supaya meletak jawatan.


Selepas dua dekad, Karen, 52, percaya masyarakat lebih terbuka memohon untuk menyertai semula pasukan polis. Berasal dai Purfleet, Essex, Karen berkata, masa bertukar dan pandangan orang ramai juga berubah.


"Saya mahu menyertai semula polis dan yakin mampu berbuat baik kepada orang ramai," katanya. Karen bertugas di Ramford selama empat tahun apabila isterinya menemui dia berpakaian wanita di rumah.

Karen menjalani pembedahan itu bulan lalu. Dia terpaksa menunggu selama dua bulan sebelum mengetahui sama ada diterima semula sebagai polis atau tidak. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Umpan pakej 2 dalam 1

Posted: 01 Sep 2012 03:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kewujudan sebahagian besar pistol haram di negara ini dipercayai didalangi sindiket pengedaran dadah tempatan yang memperoleh senjata itu dari negara jiran secara percuma selepas membeli dadah dalam jumlah besar.

Di kalangan sindiket dadah tempatan, kegiatan di pasaran gelap itu dikenali dengan istilah beli 'barang', dapat 'besi' iaitu barang merujuk kepada dadah manakala besi adalah pistol.

Selain modus operandi itu, pistol boleh diperoleh dengan harga RM900 hingga RM1,500 daripada golongan penyeludup yang kebanyakannya anggota kongsi gelap untuk pelbagai kegiatan jenayah.

Penemuan mengejutkan itu diperoleh wartawan Metro Ahad berdasarkan siasatan dan pengakuan bekas pengedar dadah dan penyeludup senjata yang insaf dan berharap kegiatan itu dibendung pihak berkuasa sebelum berleluasa.


Ini berikutan tiga kes kematian membabitkan tembakan berlaku dalam tempoh seminggu. Kes terbaru dilaporkan di Selayang Baru pada Rabu lalu membabitkan K Archuthan, 41, yang ditembak di depan Sekolah Menengah Darul Ehsan, Selayang Baru, selain kes di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Terengganu yang mengorbankan Mat Keya Jusof, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Bulan dalam kejadian jam 11.30 malam, Ahad lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Nikah November?

Posted: 01 Sep 2012 03:54 PM PDT

DRAMATIS jelita yang sering dikaitkan dengan jejaka kacak, muda dan popular, Rozita Che Wan dikatakan bakal mengakhiri zaman solonya apabila membuat keputusan untuk bernikah dengan jejaka pilihan hati, ahli perniagaan berasal dari selatan tanah air.

Sebelum ini, beberapa pelakon lelaki muda dan kacak sering dikaitkan dengannya, termasuk juara Akademi Fantasia musim kelapan Shahir, Zain Saidin dan terbaru, Beego. Pelakon asal Alor Setar, Kedah itu juga pernah dikaitkan menjalin hubungan intim dengan ahli perniagaan berasal dari Singapura.


Menurut sumber yang memberitahu berita gembira ini kepada Selebriti, lelaki yang mahu menikahi Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Cik Ta itu bukan ahli perniagaan berasal dari Singapura, sebaliknya menetap dan mempunyai empayar perniagaan di Johor Bahru, Johor.

Mereka berdua dikatakan sudah lama berkenalan dan ternyata apa ditegaskan Cik Ta sebelum ini bahawa dia dan semua pelakon muda dan kacak itu hanya kawan rapat adalah benar.

Jejaka yang dipanggil dengan panggilan Bob itu dikatakan sudah lama melamar Rozita, namun baru sekarang pelakon yang popular dengan siri drama Kiah Pekasam itu bersetuju.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Wenger tak putus asa

Posted: 01 Sep 2012 03:05 PM PDT

LIVERPOOL: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap penyokong mereka bersabar dengan pemain baru Lukas Podolski dan Olivier Giroud ketika mereka cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robin van Persie.

Dua perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan dengan Stoke dan Sunderland memberikan permulaan hambar buat skuad Wenger yang sekali lagi cuba mengatasi kehilangan seorang pemain bintang pada awal kempen Liga Perdana Inggeris.


Jaringan Van Persie memastikan Arsenal menduduki tempat ketiga dan perpindahannya ke Manchester United, dianggap menjejaskan keseimbangan pasukan Wenger.

Wenger mahu kedua-dua penyerang dari Jerman dan Perancis itu menjaringkan gol tapi sedar mereka perlukan masa untuk memenuhi kehendak Liga Perdana Inggeris.


Beliau yang kehilangan Cesc Fabregas dan Samir Nasri musim lalu percaya masih terlalu awal untuk memberi tekanan terhadap penyerang baru, mengambil contoh Thierry Henry dan Robert Pires yang turut mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebelum menjadi legenda kelab itu.


Biarpun Wenger tidak mahu terlalu cepat mengadili pemain barunya, dia mengaku perasaannya bercampur baur terhadap pasukannya.

"Kami sudah biasa menjaringkan gol dan kami tidak boleh katakan kami tidak bimbang jika tidak melakukannya," katanya.


"Sebaliknya, ada ketikanya kami gagal menjaringkan gol meskipun kami sedar berpeluang melakukannya.

"Itulah sebabnya Liverpool adalah ujian yang bagus buat kami kerana ia adalah pasukan yang mempunyai serangan dan pertahanan yang mantap." Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berharap suasana di Arsenal kembali pulih dan menjangkakan Arsenal mampu kembali dalam kelompok empat pasukan terbaik biarpun berdepan pasukan yang berbelanja besar seperti Chelsea dan Tottenham.


"Kedudukan mereka sebagai empat pasukan teratas tidak akan terjejas," kata Rodgers. "Mereka konsisten dalam empat pasukan terbaik sejak 15 tahun lalu tetapi saya fikir persaingan di puncak bagi musim ini lebih sengit." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Jangan sombong!

Posted: 01 Sep 2012 02:59 PM PDT

SAINGAN Liga Malaysia kembali meriah apabila diwarnai sejumlah pemain import yang berjaya mencetuskan impak kepada pasukan yang diwakili apabila dibenarkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) tampil semula musim ini selepas pengharaman beberapa tahun.

Tidak dinafikan kehadiran mereka turut mencetuskan minat buat penonton untuk kembali ke stadium selain beberapa kesan positif lain yang dicetuskan awang import dari pelbagai benua termasuk Eropah, Amerika Latin, Afrika dan Asia.


Penganalisis bola sepak, Reduan Abdullah turut melihat awang import mampu melaksanakan agenda yang gagal dilaksanakan pemain tempatan selama ini terutamanya dalam aspek menjaringkan gol sekali gus memberikan kesan besar kepada pasukan.

Pemain seperti Marlon Alex James (ATM), Francis Forkey Doe (Terengganu) dan Jean Emmanuel Effa Owana (Negeri Sembilan) menurut Reduan antara contoh terbaik kejayaan membantu melonjakkan pasukan selain turut menegaskan terdapat tenaga import yang boleh dianggap 'membazir' apabila gagal membantu pasukan.


Namun di sebalik aspek positif terbabit, terdapat gelagat mengecewakan dilakukan segelintir pemain import dari pelbagai benua ini yang mencetuskan rasa kurang senang kerana tidak pandai menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran sama ada di atas padang atau luar padang hingga turut menyebabkan rasa terkilan bekas pemain bola sepak kebangsaan era 70-an itu.


Beberapa insiden turut berlaku di atas padang seperti tindakan penyerang import Kelantan dari Lubnan, Mohammad Ghaddar yang didakwa menghambur kata-kata lucah (kepada ibu) ketika insiden dengan kapten Perak, Shahrulnizam Mustapa dan tindakan Owana yang menarik telinga penjaga gol Felda United, Hamsani Ahmad.

Terbaru kejadian yang didakwa berlaku di luar padang beberapa hari lalu apabila pemain pertahanan Kelantan dari Nigeria, Obinna Nwaneri dilapor bergaduh dengan seorang pelanggan di sebuah pasar raya akibat dikatakan memotong barisan untuk membuat bayaran.


Bagi Reduan, pemain import perlu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan tidak terbawa-bawa budaya dan cara hidup di negara asal atau negara yang pernah diwakili mereka.

"Mereka perlu tahu kita mempunyai budaya, adab dan tatasusila sendiri, mereka tidak boleh mengikut budaya tempat lain. Mereka adalah pemain profesional dan sepatutnya memahaminya. Seperti kes terbaru (pergaduhan Obinna), sekiranya benar, ia tidak sepatutnya berlaku," katanya kesal.


Katanya, perkara seperti ini tidak boleh berterusan kerana mereka adalah 'role model' kepada pemain tempatan dan masyarakat.


"Segala tingkah laku di atas dan luar padang menjadi tumpuan. Mereka seharusnya menjadi seseorang yang benar-benar mempunyai sikap dan nilai profesional selaras dengan bayaran gaji lumayan yang diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved