Selasa, 30 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Didikan di meja makan

Posted: 30 Oct 2012 01:21 PM PDT

RAMAI ibu bapa berdepan dengan masalah anak sukar menjamah makanan berkhasiat sebaliknya lebih gemar mengambil makanan ringan yang bukan saja tidak memberi nutrien bagi pertumbuhan tubuh sempurna, malah merosakkan kesihatan.

Namun, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak masing-masing berminat kepada makanan berkhasiat bagi memastikan tumbesaran mereka berjalan lancar dan kesihatan terjamin.

Menurut Pakar Pemakanan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Sameeha Jamil, terdapat beberapa tip praktikal untuk diamalkan bagi menarik minat kanak-kanak kepada makanan sihat.

Antaranya ialah mengajak anak membantu ketika ibu menyediakan makanan.


"Selain itu, sediakan makanan yang sesuai dengan umur kanak-kanak itu selain menghidangkan makanan dalam cara kreatif bagi menarik minat anak untuk makan.


"Ibu juga perlu mematuhi masa makan utama dan snek yang ditetapkan. Jangan beri anak minum susu dalam masa hampir sebelum masa makan utama kerana anak sudah kenyang dan tentu tidak mahu makan," katanya ketika ketika menyampaikan taklimat pada kursus 'Memupuk Pemakanan Sihat' anjuran Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) di bawah Program Pengasuhan Positif dengan kerjasama NSM, baru-baru ini.

Sameeha berkata, si kecil juga boleh diajar erti menikmati makanan dengan mengajak mereka duduk dan makan bersama sebagai satu keluarga.

Katanya, waktu makan juga tidak perlu terlalu serius sebaliknya ia boleh dijadikan sebagai masa yang menyeronokkan melalui beberapa cara antaranya berkongsi segala cerita atau aktiviti yang sudah dilakukan sebelum itu.

"Ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak mereka mengamalkan adab yang baik ketika berada di meja makan dengan menunjukkan contoh yang baik," katanya.

Usah pandang ringan apabila menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak termasuk ketika makan kerana semua kelakuan yang ditunjukkan ibu bapa sebenarnya menjadi ikutan anak.

Misalnya, jika mahu menggalakkan anak mengamal–kan pemakanan sihat, ibu bapa juga perlu mengambil makanan berkhasiat seperti memilih buah sebagai snek.

Anak-anak perlu diajar untuk menikmati makanan mereka, bukannya makan laju sehingga terlalu kenyang. Ibu bapa juga tidak digalakkan memberi komen negatif atau menghalang anak menikmati makanan yang tidak diminati ibu bapa kerana ia mungkin membuatkan mereka mempunyai persepsi buruk mengenai makanan.

Sameeha berkata, kanak-kanak mempunyai ruang perut yang kecil saja jadi ibu bapa perlu elak memberi anak mereka hidangan berat sehingga tiga kali setiap hari.

Namun hidangan utama yang seimbang perlu diberi sebanyak tiga kali kepada anak-anak bersama dua hingga tiga kali snek sihat, mengikut masa yang bersesuaian.

"Jangan meletak makanan terlalu banyak dalam pinggan anak dan jangan sekali-kali memaksa mereka makan kerana ia akan menyebabkan mereka mempunyai perasaan negatif yang dikaitkan dengan makanan," katanya.

Makanan juga perlu dipilih dengan baik iaitu memberi penekanan kepada kualiti bukannya kuantiti hidangan itu. Ia secara tidak langsung membolehkan ibu bapa membuat keputusan bijak dengan menghidangkan makanan sihat kepada anak.

Selain tidak memberi penekanan kepada kuantiti makanan, ibu bapa juga disaran tidak memperkatakan jumlah makanan diambil si anak pada satu-satu masa itu bagi mengelak persepsi negatif terhadap makanan.

Bagi anak yang tidak gemar atau mengelak makan sayur, ibu bapa perlu belajar untuk 'menyorokkan' sayur dalam makanan mereka supaya anak dapat khasiat daripadanya tanpa mereka sedari.

Katanya, buah-buahan dan sayuran adalah dua bahan makanan yang kaya serat, sarat dengan vitamin dan baik untuk kesihatan. Kedua-duanya perlu diberikan kepada anak sejak usia kecil supaya pemakanan sihat menjadi amalan.

"Namun, buah tidak boleh dijadikan pengganti kepada sayur dan juga sebaliknya, sekalipun jika anak gemar buah berbanding sayur. Ini kerana ia dua jenis makanan yang berbeza dan anak perlu diajar mengamalkan makan sayur walaupun mereka tidak gemarkan rasanya," katanya.

Menurutnya, begitu juga dalam menggalakkan anak makan sayur, ibu boleh menyediakan makanan yang mempunyai kuah yang dikisar bersama sayur, contohnya spageti dengan sos pasta.

"Anak juga boleh diberikan jus buah, susu kocak atau lassi kerana ia mempunyai khasiat yang baik untuk pertumbuhan diri dan sistem imunisasi.

"Makanan lain yang boleh diberi kepada anak yang sedang membesar terdiri daripada pelbagai jenis sayur, yogurt buah, daging, daging kisar, burger ayam, jejari ikan dan hidangan ayam," katanya.

Kanak-kanak suka makan bijirin ketika sarapan, justeru campurkan beberapa jenis buah ke dalamnya seperti potongan pisang, mangga, epal, kurma dan kismis.

Bagi menaikkan selera anak-anak, hidangan nasi yang disediakan secara kreatif boleh menarik minat mereka selain makanan seperti jeli susu, puding, bubur, sup puri sayur dan puri buah dalam susu boleh diberi kepada anak.

Menurut Sameeha, antara cara yang boleh dilakukan ibu bapa supaya anak mereka menikmati makanan adalah dengan mengehadkan pengambilan cecair termasuk susu satu hingga dua jam sebelum makan.

Ini kerana katanya, minum air atau susu secara berlebihan secara tidak langsung mematikan selera anak. Inilah yang sering berlaku kerana ibu bapa memberi anak susu terlalu hampir dengan waktu makan utama dan apabila masa makan tiba, anak tidak mahu makan kerana sudah kenyang.

"Makanan yang mempunyai kandungan gula, lemak, garam dan kalori yang tinggi juga perlu dielak diberi pada anak-anak, contohnya seperti biskut, kek, coklat, ais krim dan makanan ringan.

"Kumpulan makanan ini boleh diberi sekali-sekala tetapi perlu diberi dalam jumlah kecil dan berkadar. Ini kerana anak-anak akan teringin memakannya bila mereka melihat orang lain makan," katanya.

Jika ibu bapa mahu anak mereka sihat, cara memasak juga perlu diberi perhatian serius misalnya kaedah membakar atau memanggang perlu diamalkan berbanding cara menggoreng.

Setiap hidangan makanan juga perlu ditambah dengan sayur atau buah supaya pemakanan sihat menjadi amalan diri. Pada masa sama, minuman ringan perlu dielak sebaliknya gantikan dengan jus buah.

Aktiviti bersenam juga perlu dijadikan sebahagian daripada tabiat seharian kerana ia mampu melengkapkan amalan hidup secara sihat dalam diri anak-anak.

Sameeha berkata, bagi ibu yang berkerjaya dan tidak punya kesempatan untuk memasak makan tengah hari untuk anak, mereka boleh menyiapkan bekalan makanan yang sihat untuk dibawa anak ke sekolah.

Selain pemakanan sihat dan bersenam, ibu bapa juga perlu tahu mengukur indeks jisim badan (BMI) anak bagi mengetahui sama ada anak mereka mempunyai berat normal, terlalu kurus atau terlalu berat bagi usia dan jantina masing-masing.

Caranya dengan mengambil bacaan ketinggian dalam meter (m) dan berat anak dalam kilogram (kg), kemudian berat dibahagikan dengan kuasa dua bacaan ketinggian. Pengiraan BMI = kg/ (m x m).

Kesimpulannya, Sameeha berkata, makanan ialah komponen paling penting dalam pertumbuhan sihat anak-anak dan setiap makanan mempunyai kandungan nutrien yang berbeza. Anak-anak harus diajar mengambil makan sihat dengan mengingati empat langkah iaitu kepelbagaian, seimbang, berkadar dan makan pada masa sama yang ditetapkan setiap hari.

Panduan:

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pusat siber RM1

Posted: 29 Oct 2012 12:22 PM PDT

KLANG: Tindakan seorang pemilik pusat siber haram di Taman Sementa Utama, Kapar, di sini, yang menawarkan bayaran RM1 sudah cukup menarik remaja bawah umur menghabiskan masa berjam-jam melayari Internet dan bermain permainan komputer.

Namun tawaran 'promosi' premis terbabit berakhir apabila diserbu Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Khamis lalu selepas mendapat aduan mengenai lambakan remaja mengunjungi premis itu.


Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pemilik premis yang menjalankan operasi tanpa lesen sejak sebulan lalu menggantungkan lesen perniagaan, tetapi menggunakan alamat sebuah premis di Taman Sri Mewah, Jalan Kota, di sini.

Dalam serbuan itu, 10 pelajar ditahan ketika leka melayari Internet dan bermain permainan komputer.


Timbalan Pengarah Jabatan Penguat kuasa MPK, Shahrul Hasri Abd Majid berkata, pihaknya sudah membuat intipan terhadap premis terbabit sejak seminggu lalu selepas mendapat aduan orang ramai terutama ibu bapa bahawa anak mereka sering mengunjungi premis itu.


Katanya, pusat siber terbabit turut menjadi tumpuan penduduk setempat terutama pelajar sekolah yang masih di bawah umur menghabiskan masa berjam-jam kerana tawaran harga yang murah.

Menurutnya, ketika pemeriksaan terhadap premis terbabit, MPK juga mendapati lesen premis itu tidak sah kerana menggunakan alamat premis lain kerana bimbang tindakan sita dikenakan.


"Dalam serbuan kali ini, kami merampas 120 komputer termasuk monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU) serta papan kekunci yang digunakan bagi menjalankan perniagaan.

"Serbuan yang dilakukan 20 anggota yang diketuai tiga pegawai ini hasil maklumat awam serta risikan yang dilakukan selama seminggu oleh anggota penguat kuasa MPK," katanya.


Shahrul berkata, selain harga perkhidmatan yang murah, premis terbabit menyediakan permainan komputer terkini untuk menarik perhatian pengunjung.


Katanya, MPK terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas premis terbabit kerana tindakan yang dilakukan pemilik menyalahi undang-undang ditetapkan MPK.


Katanya, tindakan sudah diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pusat Siber dan Kafe Siber MPK 2007.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Terperosok dalam kereta

Posted: 29 Oct 2012 12:03 PM PDT

TAPAH: Seorang wanita dan anak lelakinya terbunuh dalam keadaan ngeri selepas terperosok dan tersepit dalam kereta selepas kenderaan itu dirempuh sebuah bas persiaran, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, mangsa, Nurni Ahmad, 37, dan anak lelaki tunggalnya, Ikmal Daniel Abdullah, 7, ditemui pasukan bomba dan penyelamat dalam keadaan berlumuran darah di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Temoh, di sini.

Mangsa yang memandu Proton Saga dari Tapah untuk pulang ke rumahnya di Ipoh dikatakan bertembung dengan sebuah bas persiaran yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, sebuah motosikal dari arah Tapah yang tidak sempat mengelak turut merempuh bahagian belakang kereta mangsa menyebabkan penunggang dan motosikalnya terpelanting masuk ke dalam kereta mangsa.


Abang mangsa, Sulaiman Ahmad, 37, yang ditemui di Unit Forensik, Hospital Tapah, di sini, berkata, nahas berlaku selepas Nurni selamat menghantar ibu mereka, Sabariah Laman, 57, pulang ke kampung mereka di Behrang, kira-kira jam 10 malam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Konsert ‘tribute’ MJ terhebat!

Posted: 29 Oct 2012 07:47 AM PDT

BUAT seketika dunia digemparkan dengan kematian Raja Pop, Michael Jackson. Saat itu juga Michael dalam persediaan untuk kembali menggegarkan industri hiburan menerusi konsert, This Is It.

Mengumumkan pembabitannya dalam siri konsert berkenaan pada Mac 2009, Michael Jackson atau MJ mengadakan sidang media di London O2 Arena, memilih dewan berkenaan sebagai lokasi pertama selepas kali terakhir mengadakan siri konsert terulung seumpama itu, HIStory World Tour pada 1997.

Jackson juga merancang untuk bersara selepas siri pertunjukan berkenaan, sempat berkata ia akan menjadi konsert "penutup tirai".

Malangnya, belum sempat beliau merealisasikan impian dan mengubati kerinduan peminat sekian lama, penghibur dunia yang dilahirkan pada 29 Ogos 1958 dengan nama Michael Joseph Jackson itu, terlebih dulu menemui ajalnya dalam keadaan tragis.


Hampa, sedih dan kecewa, menghiasi emosi wajah seluruh peminatnya di merata dunia saat mendengar perkhabaran pilu itu.


Jelas sekali, tidak akan wujud lagi di dunia ini insan seperti Michael. Seorang ikon muzik dengan kehebatan vokal luar biasa sehingga digelar 'a major vocalist'.

Daya kreatif beliau, tidak terbatas dari segi nyanyian saja. Akan tetapi, penampilan dan persembahan. Kredibilitinya turut terbukti menerusi penciptaan lagu dan kelahiran klip video yang mampu menjadi suara kepada konflik manusia sejagat yang akhirnya memberi kesedaran dan menyatukan masyarakat dunia.

Legasi yang ditinggalkan beliau tidak pernah berkubur sekalipun sudah tiga tahun beliau meninggalkan dunia yang fana ini.

Terbaru, MJ 'hidup' semula.

Semangat MJ terus membara dan dapat disaksikan apabila penulis diberi peluang menjadi salah seorang saksi daripada 20,000 yang menonton Konsert Michael Jackson The Immortal World Tour By Cirque Du Soleil, pada 19 Oktober lalu.

Berlangsung di O2 Arena lokasi sama dirancang Michael untuk merencanakan konsert This Is It tiga tahun lalu dewan berkapasiti 20,000 itu tersergam di Drawdock Road, North Greenwich, London.

Pemergian yang ditaja khas syarikat Pepsico diketuai Pengurus Penjenamaan Pepsico Malaysia, Alison Chang itu turut membabitkan dua lagi syarikat penerbitan akhbar dan pemenang peraduan Pepsi King of Pop iaitu Badiuzzaman Jamhari, 28, dan isterinya, Aina Othman, 30.

Melayari durasi 140 minit pertunjukan itu, dapatlah disimpulkan ia sebuah persembahan yang penuh rasa kecintaan dan hormat daripada Cirque Du Soleil dalam melaksanakan Michael Jackson The Immortal World Tour.

Ia adalah sangat jelas di mana setiap individu yang terbabit dalam produksi itu, masing-masing mendukung dua matlamat. Pertamanya, mempamerkan cinta mereka terhadap Michael Jackson dan keduanya, menghormati legasi beliau.

Menyokong dakwaan itu, sebagaimana diketahui umum yang pernah menonton persembahan Cirque Du Soleil yang sudah berkelana di merata dunia sejak bertahun-tahun lalu, mereka ini adalah kumpulan seni sarkas ternama yang menggabungkan elemen dramatik, akrobatik dan hiburan jalanan.

Tidak terbayang dalam fikiran bahawa kumpulan sarkas ini berupaya meniru dan mengadaptasi aksi 'King of Pop' itu secara terperinci.

Persembahan berkenaan, jelas mempamerkan antara Michael dan Cirque mempunyai banyak persamaan. Contoh sinergi puitis yang sempurna! Ia sebuah pementasan mempamerkan kesempurnaan dan semangat juga inovasi dan kreativiti. Sebagaimana sering Michael menyebut dalam kenyataannya "ia harus menjadi yang terbaik".

Konsert itu menyaksikan kombinasi sempurna dua kuasa jenama ikonik dan kreatif, Michael Jackson dan Cirque Du Soleil, Greg Phillinganes dan Kevin Antunes, selaku pengarah muzik melakukan tugas mereka dengan cemerlang dalam mewujudkan pengalaman konsert secara langsung kepada penonton.

Persembahan muzik mengujakan, bertenaga dan ada kalanya menyentuh perasaan sebagaimana Michael semasa hayatnya sehinggakan kelihatan sebahagian besar penonton tersentuh dan mengalirkan air mata.

Pasukan kreatif Cirque, menjalankan sejumlah besar penyelidikan mengenai Michael dengan memastikan kesungguhan dan minat figura itu dicerminkan sebaik mungkin menerusi setiap minit persembahan.

Penonton berpeluang menyaksikan betapa Michael amat menghargai dan mencintai bumi, bagi kanak-kanak di dunia dan bagi setiap manusia dari pelusuk mana sekalipun. Ia digambarkan dengan terperinci menyerlahkan erti 'cinta' yang luas maksudnya bagi seorang bernama Michael Jackson.

Apa yang dilakukan Cirque dalam menyatakan penghormatan mereka terhadap Michael, dengan memasukkan segala elemen persembahan yang pernah dipersembahkan Michael termasuk lagu-lagu yang menjadi kesukaan mendiang dan peminatnya itu.

Rangkaian lagu yang dipersembahkan, membawa penonton mengembara zaman kanak-kanak Michael yang mencipta fenomena kerana vokal luar biasa sewaktu menganggotai Jackson 5 sehinggalah beliau meningkat dewasa berubah menjadi seorang 'trendsetter' dan ikon muzik.

Childhood, Ben, ABC, Lovely One, Dancing Machine, This Place Hotel, Smooth Criminal, Dangerous, Human Nature, Ghost , Is It Scary?, Thriller, You Are Not Alone, I Just Can't Stop Loving You, Beat It, BAD, Earth Song, Scream, They Don't Care About Us, Heal The World, I'll Be There, Can You Feel It, Billie Jeans dan Black or White, adalah sebahagian daripada ribuan lagu pernah dirakamkan beliau yang dipersembahkan kepada penonton.

Manakala, Man In The Mirror, sebuah maha karya bintang kelahiran Gary, Indiana, Amerika Syarikat, itu dipilih sebagai lagu terakhir.

Tidak sekadar sebuah persembahan, pasukan Cirque Du Soleil juga memetik kenyataan Michael berhubung kecintaan beliau terhadap muzik, pandangan beliau mengenai manusia sejagat dan kasihnya terhadap golongan kanak-kanak dengan mengubah suai rakaman lamanya ke bentuk digital agar ia kedengaran segar.

Konsert itu turut menyelitkan imej hologram Michael selama beberapa minit dan ketika aksi beliau dengan gaya tarian 'moonwalk", anti-graviti, 'tap-dance' termasuk klip video terhebat pernah dihasilkan antaranya They Don't Care About Us, Smooth Criminal dan Black or White.

Jalur Gemilang berkibar di O2

TERBIT rasa gembira apabila bendera Malaysia, Jalur Gemilang, turut dikibarkan oleh barisan penari Cirque selain tentera di layar skrin lebar yang tergantung di tengah pentas sewaktu lagu Black or White dialunkan.

Badiuzzaman atau selesa dipanggil Bad, juga pemenang bertuah peraduan Pepsi King Of Pop, berkata, dia bukanlah seorang penggemar konsert. Bagaimanapun pemuda yang bertugas sebagai Perunding Pelancongan itu, mengakui Michael Jackson The Immortal World Tour By Cirque Du Soleil adalah yang terbaik pernah disaksikannya.

"Seluruh dunia tahu MJ sudah tiada dan apabila saya dimaklumkan pihak Pepsico bahawa saya memenangi peraduan Pepsi King of Pop sekali gus memperoleh berpeluang menonton konsert Michael Jackson The Immortal World Tour By Cirque Du Soleil di sini (O2 Arena), saya memang tidak tahu untuk menjangkakan apa yang akan berlaku.

"Yang pasti saya amat teruja. Selepas menyaksikannya sendiri, saya harus akui ia adalah konsert paling hebat pernah saya saksikan. Dengan jumlah puluhan ribu penonton yang membanjiri dewan itu, paling menyentuh perasaan apabila pasukan Cirque berjaya membuatkan MJ begitu dekat dengan penonton.

"Meskipun tiada jasadnya kelihatan, 'spirit' MJ itu kuat dirasakan penonton.
Ada ketika saya melihat penonton menangis sebaik petikan-petikan kenyataan MJ yang membawa mesej kesedaran. Saya sendiri tidak malu mengatakan saya turut berasa sebak.

"Saya pasti mereka yang tidak pernah meminati MJ akan jatuh cinta dengan beliau selepas menyaksikan konsert ini. Mereka pasti kagum dengan karya-karya yang beliau hasilkan yang hampir keseluruhannya bercerita soal kehidupan. Salah satunya Black or White yang mengangkat isu diskriminasi perkauman.

"Berbalik kepada persembahan Cirque Du Soleil saya tidak menyangka mereka akan menari seperti MJ kerana kalau tidak silap saya mereka inikan kumpulan sarkas.
Namun, mereka berjaya menghidupkan setiap detik dengan mengaplikasikan cara dan gaya MJ sehinggakan penonton yang menyaksikan konsert berkenaan merasakan MJ masih hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Ameng ingat derita dirotan

Posted: 29 Oct 2012 07:02 AM PDT

KALA ditimpa musibah serta dugaan dalam hidup, sokongan keluarga dan kenalan rapat amat diperlukan. Merekalah kekuatan untuk manusia dalam mengharungi liku kehidupan yang ada kala sukar untuk kita menjangkakan apa yang bakal terjadi.

Ameng Spring contohnya yang masih menjalani hukuman di Penjara Kluang lebih setahun lalu tentu tidak menjangkakan dia akan terpisah dengan anak dan isteri akibat kesilapan diri sendiri namun dia akur menerima hukuman itu sebagai ingatan kepadanya bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Kini dia amat menginsafi diri dan berazam selepas selesai menjalani hukuman kelak dia akan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya terhadap keluarganya.

"Saya sentiasa rindukan mereka dan saya sedar isteri dan anak sudah buktikan kasih saya mereka pada saya yang tidak berbelah bahagi dalam menempuh sudah senang hidup bersama dan ini amat menginsafkan," katanya.


Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah, dua tahun lalu.


Pada hari raya korban yang mulia ini, Ameng tidak dibiarkan kesepian di sebalik tirai besi itu apabila dia kunjungi Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, rakan artis yang juga temannya termasuk Zamani Slam, Ibnor Riza dan Umarul Iklim dan lebih penting, isteri, Sabariah Zakaria dan anak mereka, Wan Amar Haikal.

Pada pertemuan itu yang diadakan sempena Program Jalinan Kasih Aidiladha, Penjara Kluang, Ameng menghiburkan rakan banduan, keluarga mereka, kakitangan penjara dan tetamu yang datang dari jauh itu dengan lagu popularnya, Sampai Hati dan Bougenvilla. Dia menyanyikannya dengan penuh perasaan sambil memegang erat tangan anaknya yang tidak mahu berenggang dengannya. Ibnor dan Zamani turut menyanyikan lagu popular mereka, Mimpi Yang Tak Sudah dan Gerimis Mengundang.

Ameng yang sangat terharu menerima kedatangan rakan-rakannya itu menceritakan kepada mereka suratan hidup yang dilaluinya sekarang membuatkan dia sentiasa bermuhasabah diri.

"Detik yang paling saya tidak dapat melupakannya ketika saya menjalani hukuman 10 sebatan rotan sekali gus dan ketika saya hanya membayangkan kematian dan seksaan dalam kubur. Masih terasa peritnya di rotan di seluruh denyut nadi dan selama seminggu saya tidak boleh berbaring, membuatkan saya amat menyesal dan insaf," katanya.

Selama di penjara, dia menghabiskan masanya di sana dengan mengikuti model Fasa 11 iaitu aktiviti berbentuk kerohanian dan keagamaan yang dipanggil halaqah.

"Menerusi halaqah saya dan rakan di sini belajar pelbagai perkara termasuk bertadarus, mengaji al-Quran, marhaban, nasyid dan menyertai kelas imam muda bagi memantapkan sahsiah diri mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. Kami juga diwajibkan menyampaikan tazkirah selepas solat kepada rakan-rakan secara bergilir-gilir.

"Selepas keluar daripada penjara pada 2016, saya tetap akan jadi penghibur tetapi dengan cara berbeza. Jika dulu saya dikenali sebagai penyanyi pop tetapi selepas ini saya mahu jadi penghibur yang dapat memberikan mesej menyelitkan motivasi hidup dan nilai positif.

"Saya bukanlah mahu bertindak sebagai penasihat tetapi saya hanya mahu berkongsi kisah hidup agar dapat dijadikan teladan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Lima lubang RM1 juta

Posted: 29 Oct 2012 12:24 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tiga lubang ditebuk pada dinding sebagai laluan masuk manakala dua lubang lagi digerudi pada peti besi untuk membolehkan sekumpulan penjenayah melarikan barang kemas berjumlah RM1 juta dari sebuah kedai emas di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, semalam.

Ketika kejadian, kedai emas itu ditutup dan kehilangan barang kemas dalam rak kaca pameran disedari pekerja kedai berkenaan jam 7 malam kelmarin ketika dia datang untuk mengambil barangnya yang tertinggal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, kebiasaannya kedai itu ditutup jam 8 malam setiap hari serta tidak beroperasi pada Ahad.

Menurutnya, suspek mungkin menggunakan gas acetylene untuk melembutkan peti besi yang tersimpan dalam bilik berkunci itu sebelum tebukan dilakukan berbentuk bulat.


"Polis percaya jenayah itu dilakukan lebih daripada tiga orang berdasarkan jumlah lubang yang dibuat serta tindakan mereka menutup dinding cermin hadapan kedai itu dengan menggunakan kertas bagi mengelak perbuatan mereka dikesan orang ramai yang lalu lalang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Jodoh silap dail

Posted: 29 Oct 2012 12:24 PM PDT

PASIR MAS: Seorang penoreh getah tidak pernah terfikir bahawa akan bertemu jodoh dalam tempoh singkat selepas dia tersilap mendail nombor telefon kira-kira tiga bulan lalu.

Tanpa melihat keadaan fizikal bakal isterinya itu, Bakri Setapa, 32, yang juga seorang lelaki normal meneruskan perkenalan mereka menerusi panggilan telefon setiap hari tanpa menyedari wanita itu adalah seorang orang kelainan upaya (OKU).

Bakri berkata, dia sedikit pun tidak rasa terkilan apabila Siti Habsah Mamat, 26, berterus terang memberitahu bahawa keadaan fizikalnya kurang sempurna.

Malah katanya, dia langsung tidak kisah mengenai kekurangan bakal isterinya itu yang mengalami kecacatan pada kedua-dua kaki.


"Sebenarnya perkenalan ini tidak disengajakan kerana saya tersilap mendail nombor telefon. Sejak itu, saya berasa selesa berkomunikasi dengannya menyebabkan hubungan semakin rapat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Gol dramatik Hernandez

Posted: 29 Oct 2012 09:46 AM PDT

LONDON: Javier Hernandez yang masuk sebagai pemain gantian menyumbang gol kemenangan kontroversi ketika Manchester United menundukkan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea selepas tuan rumah hanya beraksi dengan sembilan pemain pada perlawanan yang cukup sengit, awal pagi semalam.

Pemain antarabangsa Mexico itu yang dilihat berada pada kedudukan ofsaid, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75 sekali gus membunuh semangat kebangkitan Chelsea yang pada satu ketika ketinggalan 0-2 sebelum Branislav Ivanovic dan Fernando Torres dibuang padang oleh pengadil, Mark Clattenburg ketika perlawanan berbaki 30 minit.


Hukuman ke atas Torres yang dikatakan sengaja menjatuhkan diri, mencetuskan pertengkaran antara pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo dan rakan sejawatnya di United, Alex Ferguson yang kemudian berkata, pemain antarabangsa Sepanyol itu sememangnya patut dibuang padang meskipun ulang tayang video menunjukkan dia dikasari.

Clattenburg kemudian menerima bantahan daripada Chelsea kerana menggunakan bahasa yang tidak sesuai kepada dua pemain mereka.


Jaringan sendiri Daivd Luiz meletakkan United di depan seawal minit keempat dan Robin van Persie menambah derita tuan rumah dengan gol kedua sekali gus jaringan peribadi ketujuhnya setakat ini.


Chelsea bagaimanapun kembali bangkit menerusi sepakan percuma Juan Mata dan tandukan Ramires pada separuh masa kedua sekali gus menyaksikan United diikat seketika hinggalah Ivanovic dibuang padang selepas sejam permainan kerana menjatuhkan Ashley Young.

Situasi Chelsea bertambah buruk lima minit kemudian selepas Torres turut dibuang padang kerana mengasari Jonny Evans sekali gus menerima kad kuning kedua.


Ketika penyokong tuan rumah berang dengan situasi semasa yang tidak memihak pasukan mereka, Hernandez yang menggantikan Tom Cleverley, merembat bola hantaran Rafael ketika berada di posisi ofsaid berhampiran garisan gol.

Kemenangan pertama United di Chelsea sejak 10 tahun itu menyaksikan mereka kembali mengatasi jiran setempat, Manchester City di tangga kedua dengan kelebihan perbezaan gol dan berkongsi 21 mata, ketinggalan satu mata berbanding Chelsea.


"Sudah tentu kami amat kecewa kerana keputusan pengadil yang tidak tepat.


"Ketika seri 2-2, kami nampak lebih berkeyakinan untuk menang perlawanan ini. Ia sebenarnya perlawanan yang bagus antara dua pasukan yang hebat tapi pengadil memusnahkan segala-galanya.


"Keputusan yang dilakukan perlu betul dan sudah tentu kami tidak mahu pengadil dilihat lebih berat sebelah terhadap sesebuah pasukan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Higuain, Ronaldo belasah Mallorca

Posted: 29 Oct 2012 09:41 AM PDT

MADRID: Gonzalo Higuain dan Cristiano Ronaldo masing-masing meledak dua gol untuk membantu Real Madrid membelasah Mallorca 5-0 awal pagi semalam lantas memberi tekanan kepada pasukan di tangga teratas La Liga.

Jose Callejon menghasilkan gol kelima untuk Real kekal di tangga keempat, satu mata di belakang Malaga di tangga ketiga dan lapan mata di belakang peneraju liga, Barcelona yang menewaskan Rayo Vallecano 5-0 kelmarin dan pasukan di tempat kedua, Atletico Madrid.


Ronaldo kini menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut buat Madrid dengan mengumpul 14 gol dengan 11 daripadanya dalam liga.

Sementara itu, Radamel Falcao mencipta gol ke-10 liga ketika Atletico Madrid menumpaskan Osasuna 3-1 bagi menyamakan mata dengan Barca.


"Musim lalu kami pernah memiliki kelebihan 10 mata dan kami masih menyatakan bahawa saingan liga masih terbuka, jadi kami harus berfikiran sama dan terus mengutip mata," kata jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho.


"Malam ini (semalam) sangat penting kerana ia perlawanan paling sukar dalam kempen musim ini tapi kami bukan hanya mengejar Barca, Atletico juga memiliki kelebihan besar tapi akan terus memberi tentangan." Atletico terus bersaing dengan Barca di tangga teratas selepas kelab Catalan itu mencatat kemenangan 5-0 ke atas Rayo Vallecano dalam aksi 24 jam lebih awal.

Mereka mempamerkan permainan meyakinkan di Vicente Calderon untuk merekod kemenangan 12 berturut-turut dalam semua pertandingan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Jaktogo kot serba guna ekonomik

Posted: 29 Oct 2012 09:55 AM PDT

LONDON: Seorang jurutera menemui cara terbaik membawa barang yang banyak menaiki pesawat tanpa perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk bagasi.

John Power berkata, rekaannya itu dikenali sebagai Jaktogo kot berharga 56 (RM270) yang boleh menjadi beg pakaian. Produk itu pada asasnya adalah sehelai kot tetapi boleh ditukar menjadi beg supaya pemakainya boleh membawa lebih banyak barang ketika menaiki pesawat.


Kata Power, 57, kot itu mampu diisi pelbagai barang sehingga 10 kilogram sebagai bagasi tangan.

"Ia sesuai digunakan untuk penerbangan bajet rendah," katanya. Menurut Power, Jaktogo juga dilengkapi banyak poket untuk diisi peranti terkini seperti iPad dan kamera, selain keperluan pengembara seperti buku, pakaian dan tuala.


"Jika di tempat bercuaca panas, Jaktogo boleh digunakan sebagai pakaian tanpa lengan," katanya. Sesuai dengan dirinya yang sering pergi ke merata tempat, Power mendapat idea mencipta Jaktogo kerana bosan dengan pelbagai bayaran dikenakan syarikat penerbangan tambang murah. Ryanair, misalnya, mengenakan caj antara 15 hingga 50 (RM75 hingga RM250) bagi setiap beg dengan berat maksimum 15 kilogram yang ingin dimuatkan dalam kargo.


Caj itu meningkat sehingga 130 (RM650) jika beg itu tidak didaftarkan sebelum penumpang tiba di lapangan terbang.

Syarikat penerbangan itu membenarkan penumpang membawa bagasi tangan seberat 10 kilogram dan hanya satu dibenarkan dibawa bagi setiap penumpang. Sesiapa yang ingin membawa bagasi tangan lebih daripada satu, mereka dikenakan caj tambahan 50 (RM250) Power - kini menetap di Antwerp, Belgium berkata, sejak syarikat penerbangan tambang murah mengenakan pelbagai syarat, dia mula mencari jalan menjimatkan masa menunggu bagasi di lapangan terbang. "Saya sering nampak penumpang terkandas di lapangan terbang hanya kerana sedikit lebihan berat bagasi atau mereka dipaksa mendaftarkan barangan mereka untuk dimuatkan dalam kargo kerana bagasi tangan melebihi had dibenarkan," katanya. Kata Power, keadaan itu sangat tidak adil.


"Justeru, saya mencari jalan mengatasinya tanpa kelihatan bebal," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Venus siap setahun selepas penciptanya meninggal

Posted: 29 Oct 2012 09:53 AM PDT

LONDON: Kapal mewah yang direka Steve Jobs akhirnya siap dibina di sebuah limbungan di Belanda, setahun selepas pengasas Apple Inc itu meninggal dunia.

Kapal mewah sepanjang 79 meter itu dilengkapi pelbagai peranti berteknologi tinggi dan diberi nama Venus, sempena nama dewa Rom purba. Menggunakan aluminium ringan, kapal mewah itu mempunyai deretan tingkap setinggi tiga meter, manakala di dalamnya dipasang sebanyak tujuh komputer iMac bersaiz 27 inci setiap satu.


Kapal mewah itu adalah satu daripada projek kegemaran Jobs ketika dia sakit akibat kanser dan tidak sempat melihat Venus disiapkan apabila meninggal dunia pada 5 Oktober tahun lalu. Sebelum ini, Jobs berkata, ada kemungkinan dia tidak sempat melihat Venus disiapkan dan terpaksa membiarkan isterinya, Laurene Powell, memantau perkembangannya.

"Tapi saya perlu terus mencuba kerana jika tidak, ia menandakan saya bakal mati," katanya. Kapal mewah itu akan dipamerkan secara rasmi di pelabuhan Aalsmeer, Belanda, dengan dihadiri ahli keluarga Jobs. Semua kru yang menyiapkan Venus diberi hadiah iPod bertulis penghargaan daripada keluarga Jobs: "Terima kasih atas kerja keras dan kemahiran anda daripada keluarga Jobs." - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved