Ahad, 28 April 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Perancangan keluarga penting

Posted: 28 Apr 2013 09:23 AM PDT

Percaya atau tidak setiap tahun dianggarkan 350,000 gadis dan wanita di dunia meninggal dunia akibat bersalin. Malah 99 peratus daripada angka itu berlaku di negara sedang membangun.

Daripada kes yang dilaporkan, kebanyakan kematian ibu ketika melahirkan anak berpunca daripada masalah kesihatan sama ada berlaku sebelum, semasa atau selepas bersalin.

Di negara dunia ketiga seperti Afrika, Pakistan, Bangladesh, India, Sri Lanka dan Afganistan, kadar kematian lebih tinggi berbanding di negara sedang membangun seperti Malaysia yang menunjukkan kadar pengurangan kematian ibu bersalin sebanyak 45 peratus iaitu daripada 53 orang bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1990 kepada 28 pada 2010, manakala negara lain masih bergelut dalam membendung masalah ini.

Sebenarnya kematian akibat bersalin dapat dielakkan sekiranya wanita mengambil langkah pencegahan awal ketika mengandung dan saat melahirkan anak.


Ini boleh dilakukan dengan mendapatkan rawatan ketika mengandung secara berkala di hospital pada setiap bulan dan mendapatkan vitamin yang diperlukan untuk ibu dan bayi dalam kandungan bagi mengelak kelahiran pramatang serta jaminan kesihatan secara berpanjangan.


Menurut Pengarah Serantau Asia Women Deliver, Datuk Dr Raj Abdul Karim, statistik yang ditunjukkan mengenai kematian wanita ketika bersalin di negara miskin adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

Semua wanita berhak untuk hidup dalam keadaan gembira serta mendapat peluang sesuatu yang lebih baik bagi meneruskan kehidupan dengan sihat dan sejahtera.

Ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang bertujuan meningkatkan kesihatan kanak-kanak dan menurunkan kadar kematian ibu mengandung kepada tiga perempat, menjelang 2015.

"Oleh kerana wanita adalah aset dan sumber pemangkin ekonomi negara, kadar kematian yang tinggi terutama di negara miskin ini akan menyebabkan muncul pelbagai masalah lain terutama dari segi sosial dan ekonomi," katanya.

Dari sudut kesihatan, terdapat pelbagai masalah yang menyebabkan ibu mengalami komplikasi ketika bersalin.

Antaranya pendarahan selepas bersalin, darah tinggi, anak songsang, jangkitan kuman serta kontraksi yang menyebabkan ibu tidak dapat melahirkan anak secara normal. Namun kekurangan kemudahan di hospital seperti peralatan, darah serta ubat-ubatan menjadi punca kepada kematian ibu dan anak.

Selaras dengan matlamat MDG iaitu mengurangkan kadar kematian ibu bersalin, seharusnya kesihatan reproduktif dan seksual disediakan secara berkesan dan berkualiti kepada semua wanita.

Ini boleh dilakukan dengan memberi kefahaman mengenai pentingnya perancangan keluarga bagi mengelak masalah kandungan yang tidak diinginkan serta kehamilan terlalu kerap.

Jarak kehamilan kurang daripada dua tahun akan memberikan masalah kepada wanita. Begitu juga bagi ibu yang mempunyai anak yang ramai misalnya tujuh orang ke atas yang menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan diri sendiri serta memberi sepenuh perhatian kepada bayi mereka.

"Perancangan keluarga adalah kaedah penting bagi mencegah ibu berisiko untuk hamil dalam keadaan belum bersedia. Ini kerana kekerapan bersalin akan menyebabkan komplikasi tumpah darah atau meninggal dunia lebih tinggi disebabkan tubuh ibu masih belum pulih untuk menerima bebanan semula.

Begitu juga dengan tahap kesihatan yang semakin terjejas disebabkan rahim masih belum pulih serta emosi yang kurang stabil," katanya.

Di Malaysia sejak 1970-an, walaupun tahap kesedaran wanita semakin meningkat mengenai pentingnya merancang keluarga, kesedaran di pihak suami perlu dipertingkatkan. Ini kerana ibu yang menolak untuk mengambil sebarang kaedah perancangan keluarga biasanya memberi alasan mereka tidak mendapat kebenaran suami.

"Kurang kesedaran di pihak suami menyebabkan kaedah perancangan keluarga menjadi tidak berkesan walaupun kebanyakan wanita ingin menggunakannya. Justeru, lebih banyak program akan dijalankan dengan memberi tumpuan kepada suami supaya mereka lebih faham dan jelas mengenai pentingnya merancang keluarga.

Ia bukan untuk menyekat hak mendapat anak tetapi lebih kepada menyediakan sumber kewangan yang lebih baik, fizikal yang lebih sihat dan emosi lebih stabil supaya kelahiran dapat dilakukan tanpa sebarang masalah," jelasnya.

Cegah kematian ibu bersalin

Menurut Dr Raj, langkah bagi mencegah kematian ibu bersalin di negara ini bermula sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Ketika itu kebanyakan punca kematian wanita disebabkan bersalin di rumah tanpa peralatan perubatan sempurna dan bersih serta bidan terlatih.

"Kerajaan Malaysia mengambil beberapa langkah penting dalam menangani masalah ini seperti menghantar bidan dan jururawat kampung untuk latihan serta kursus yang sesuai bagi mencegah sebarang komplikasi semasa proses kelahiran," katanya.

Sejak itu, Malaysia kini memiliki pusat kesihatan unggul dilengkapi kemudahan moden yang bukan saja memberi manfaat penduduk di bandar malah mereka yang tinggal di kawasan terpencil seperti penempatan Orang Asli.

Ini dapat dilihat dengan wujudnya lebih 3,000 klinik kesihatan termasuk klinik desa di seluruh negara bagi memantau tahap kesihatan ibu dan bayi.

Ini sekali gus berjaya mengurangkan kadar kematian ibu ketika bersalin, daripada 44 orang bagi setiap 100,000 kes kelahiran pada 1990 kepada 28 orang bagi setiap kes yang sama pada 2009 dengan adanya rawatan berkala secara percuma ketika hamil dan selepas melahirkan anak.

Sistem jagaan yang begitu sistematik dengan mengadakan lawatan ke rumah pada hari ketiga, keempat, kelapan dan ke-20 sangat membantu memulihkan kesihatan ibu sewaktu 40 hari pertama manakala bayi diberikan imunisasi dan rawatan susulan sehingga anak berusia enam tahun. Begitu juga dengan ibu diberi khidmat kaunseling dan nasihat mengenai perancangan keluarga secara percuma.

"Rawatan yang disediakan di tempat yang sama memudahkan ibu dan anak mendapat rawatan susulan. Malah tidak wujud tanggapan kos terlalu tinggi untuk mendapatkan rawatan kerana semuanya disediakan tanpa sebarang bayaran," katanya.

Keadaan ini berbeza di negara dunia ketiga apabila kesihatan ibu dan anak menjadi masalah utama disebabkan kelemahan sistem itu sendiri selain kurang kakitangan terlatih, bekalan darah, ubat-ubatan serta rawatan kecemasan yang membolehkan ibu bersalin mendapat bantuan segera.

Bagi mengelak komplikasi ketika bersalin, ibu seharusnya datang ke pusat kesihatan bagi mendapatkan rawatan. Ini bagi mengelak berlaku sebarang masalah dan bagi membolehkan ibu bersalin dalam keadaan selamat.

"Bagi kelahiran selamat, seorang ibu sepatutnya bersalin dengan seorang bidan terlatih bagi mengelak sebarang komplikasi. Malah pusat kesihatan atau hospital harus mempunyai semua kelengkapan terutama peralatan, darah dan ubat-ubatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," jelas Dr Raj.

Kematian ketika melahirkan anak bukan saja membawa masalah kesihatan namun kesan sosial dan ekonomi kepada negara. Ini kerana bayi yang dilahirkan tanpa ibu ini tidak mendapat perhatian secukupnya. Mereka bukan saja hilang kasih sayang tetapi juga tidak mendapat khasiat pemakanan terutama susu ibu.

Apabila anak-anak ini membesar dikhuatiri akan memberi kesan kepada emosi mereka. Selain itu, kakak atau abang serta ahli keluarga yang lain terpaksa berhenti sekolah kerana ingin menjaga adik-adik. Ini akan menyebabkan masyarakat terperangkap lebih mendalam dalam isu kemiskinan.

"Kesan lebih besar juga berlaku kepada ekonomi negara apabila negara akan hilang sumber pendapatan disebabkan ketiadaan wanita yang turut memberi sumbangan kepada ekonomi negara," jelasnya.

Tuan rumah persidangan Women Deliver Global 2013

Oleh kerana Malaysia adalah negara membangun yang menunjukkan kesan positif dengan pengurangan kadar kematian ketika melahirkan anak, negara ini diberi penghormatan menjadi tuan rumah Persidangan Ketiga Women Deliver Global 2013 yang memberi tumpuan bagi mengurangkan kematian ibu bersalin dan mencapai matlamat terhadap kesihatan reproduktif.

Persidangan anjuran pertubuhan yang berpangkalan di New York, Women Deliver memperjuangkan usaha mengumpulkan suara dari seluruh dunia ke arah memperbaiki kesihatan gadis dan wanita.

Hampir 5,000 perwakilan dari 161 negara dijangka hadir yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Mei ini.

Menurut Dr Raj, menerusi sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kerana kedudukannya sebagai negara demokratik, sedang membangun dan liberal dengan dasar sosio ekonomi dan pembangunannya yang stabil serta kukuh.

"Malaysia terkenal dengan usaha memperbaiki kesihatan dan kadar kematian ibu bersalin sebagai inisiatif utama negara, jauh mendahului apa yang dijalankan oleh agensi antarabangsa.

Selain itu, keamanan serta sistem penjagaan kesihatan komprehensif yang dirancang rapi adalah sebab utama ia diadakan di sini," katanya.

Malah Malaysia adalah negara Asia pertama dipilih menganjurkan persidangan memandangkan pencapaian yang begitu positif dalam mengurangkan kadar kematian ibu bersalin pada setiap tahun. Ia sekali gus akan menjadi batu loncatan kepada negara lain belajar dan mencari kaedah terkini untuk negara mereka.

Persidangan tiga hari yang akan bermula pada 28 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan mengetengahkan penceramah terkenal seperti Melinda Gates, pengasas bersama Yayasan Bill & Melinda Gates serta bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet.

Penceramah lain yang turut menyertainya ialah anggota Parlimen Kemboja, Mu Sochua; Anuradha Gupta dari Kementerian Kesihatan India dan Gita May dari Kementerian Kesihatan Indonesia.

Dr Raj berharap lebih ramai delegasi dari seluruh dunia akan mendaftar untuk menyertai persidangan berkenaan. Inilah masanya wanita dari seluruh dunia berkumpul serta membincangkan mengenai pelbagai masalah, kaedah terbaru dan cara rawatan bagi mengurangkan kadar kematian ibu bersalin serta mengetengahkan kemajuan yang dicapai berhubung hak dan kesihatan wanita.

Mereka yang berminat menyertai persidangan boleh melayari laman sesawang www.womendeliver.org untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Penularan virus influenza

Posted: 28 Apr 2013 09:16 AM PDT

Ahad ini akan berlangsunglah 'pesta' besar-besaran di seluruh negara. Tidak kira sesibuk manapun kita, sama ada membantu kempen atau sekadar mendengar ceramah politik, soal kesihatan jangan dipandang remeh kerana risiko mendapat jangkitan sentiasa terbuka terutama apabila berada di tempat yang ramai orang.

Jika kurang sihat, walaupun selesema yang dianggap sebagai masalah kesihatan biasa dan ringan, disarankan supaya berehat di rumah walaupun desakan hati begitu kuat untuk memeriahkan acara besar yang hadir lima tahun sekali ini. Bukan apa, inilah perkara mudah yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan orang lain daripada mendapat jangkitan.

Penyakit yang mudah berjangkit memang sentiasa menunggu-nunggu suasana seperti ini di mana ramai orang berkumpul pada satu tempat. Ini kerana jangkitan penyakit bawaan virus contohnya selesema dan influenza boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.

Jika seseorang batuk atau bersin dengan tidak menutup mulut, percikan halus air liur dan cecair hidungnya akan berterbangan di udara dan dengan mudah memasuki saluran pernafasan orang lain. Maka akan bermulalah 'pengembaraan baru' bagi satu-satu jenis virus seperti virus penyebab selesema dan influenza termasuklah H1N1.


Meskipun Kementerian Kesihatan tidak lagi mengawal H1N1 secara khusus kerana cara jangkitan, gejala dan risiko yang ditunjukkan sama seperti influenza bermusim biasa yang lain, tidak rugi jika kita sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apatah lagi dengan kemunculan virus influenza baru H7N9 di China, kata Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit, Datuk Dr Christopher Lee.


Sehingga kini, kes jangkitan virus influenza H7N9 hanya dilaporkan berlaku di Shanghai, Beijing dan lima wilayah lain di China dengan catatan terbaru sebanyak 111 kes dan 22 kematian. Taiwan juga sudah melaporkan satu kes jangkitan H7N9 membabitkan seorang lelaki berusia 65 tahun.

Setakat ini saintis di China sudah mengesahkan adanya jangkitan virus influenza H7N9 daripada ayam kepada manusia tetapi belum ada bukti menunjukkan penularan virus ini dari manusia kepada manusia.

Sebenarnya virus influenza dikelaskan mengikut aktiviti dua jenis antigen iaitu H (haemagglutinin) dan N (neuraminidase). Antigen H ada 17 subtip dan antigen N pula ada 10 subtip. Gabungan aktiviti dua antigen inilah timbulnya nama virus seperti H1N1, H5N1 dan H7N9.

"Virus influenza H7N9 tidak sama dengan H1N1. Jika disebut H7, bermakna biasanya virus itu datang daripada unggas atau burung. Namun apa yang penting untuk diketahui ialah virus influenza cukup suka dan mudah mengalami mutasi dan menghasilkan ahli (jenis virus) baru dalam keluarga influenza," katanya.

Influenza H7N9 ini adalah salah satu virus dalam kumpulan besar virus H7 yang biasanya ada pada burung. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) walaupun sesetengah virus H7 (H7N2, H7N3 dan H7N7) kadangkala ditemui menjangkiti manusia, tetapi tiada laporan mengatakan wujudnya jangkitan H7N9 daripada burung ke manusia sehinggalah berlakunya kes di China.

Di bawah disenaraikan beberapa persoalan yang kerap dikemukakan mengenai virus influenza.

Adakah gejala jangkitan H7N9 sama seperti H1N1?

Dr Lee berkata, virus ini memberikan gejala yang sama seperti influenza lain, cuma individu dijangkiti akan mengalami pneumonia (radang paru-paru) yang teruk. Gejala lain termasuklah demam, batuk dan sesak nafas.

Bagaimana virus yang sepatutnya berada dalam keluarga unggas ini boleh menjangkiti manusia?

Tiada siapa tahu jawapan yang pasti, tetapi penyelidik mendapati virus influenza boleh mengalami mutasi dan mengadaptasi untuk membolehkannya hidup dalam badan mamalia (termasuk manusia). Adaptasi ini termasuklah keupayaannya untuk berpaut pada sel mamalia dan membiak pada suhu badan.

Adakah H7 sejenis virus baru?

Tidak, kata Dr Lee. Virus H7 sudah dikesan sebelum ini dan berdasarkan maklumat WHO, dari 1996 hingga 2012, jangkitan virus H7 (H7N2, H7N3 dan H7N7) dilaporkan berlaku di Belanda, Itali, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang semuanya membabitkan unggas dan ternakan ayam.

Adakah virus H7N9 berbeza dengan H1N1 dan H5N1?

Ya. Walaupun ketiga-tiga virus ini dalam kelompok virus influenza A, setiap satu jauh berbeza. H7N9 dan H5N1 dianggap virus influenza haiwan yang kadangkala menjangkiti manusia. Sebaliknya virus H1N1 boleh dibahagikan kepada jenis yang menjangkiti manusia saja dan jenis yang menjangkiti haiwan saja.

Namun selepas negara kita dilanda virus H1N1, Kementerian Kesihatan menganggapnya sebagai virus influenza bermusim menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak khususnya di bawah lima tahun, warga emas melebihi 65 tahun, wanita mengandung dan penghidap penyakit kronik contohnya kencing manis.

Bagaimana seseorang itu boleh dijangkiti virus H7N9?

Dalam laporan terbaru, saintis di China mengesahkan adanya jangkitan virus ini daripada ayam ke manusia. Bagaimana jangkitan itu berlaku, belum dapat dipastikan tetapi kini langkah ketat diambil bagi mengekang penularannya.

Adakah selamat untuk pergi ke China?

Sehingga kini, WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan untuk ke China. Bagaimanapun Dr Lee berkata, jika tiada urusan penting dan sekadar mahu pergi melancong ke China terutama Shanghai dan Beijing, sebaiknya tangguhkan dulu rancangan itu. Jika ada urusan penting membabitkan keluarga, pendidikan, perniagaan dan seumpamanya, ambillah langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri.

"Berdasarkan maklumat, jangkitan virus H7N9 terkawal tetapi apakah keadaan sebenar seperti yang didakwa, tiada siapa tahu. Risiko ada tetapi mungkin tidak tinggi. Jadi untuk mengurangkan risikonya, eloklah ditunda dulu perjalanan anda. Jika berada di China, elakkan daripada pergi ke pasar basah atau menyentuh ayam atau burung yang dijual di sana," katanya.

Apakah langkah pencegahan yang perlu diambil?

Dr Lee menyenaraikan beberapa langkah mudah iaitu:

a. Sentiasa jaga kebersihan tangan - menjaga kebersihan tangan sepatutnya menjadi amalan seharian kita, tidak kira ada penularan penyakit atau tidak. Bawa cecair pembunuh kuman beralkohol untuk digunakan terutama jika berada di tempat yang sukar mendapat air bersih.

b. Sentiasa bawa penutup hidung dan mulut, tisu atau sapu tangan ke mana saja anda pergi.

c.Cuba untuk tidak berada di tempat yang sesak walaupun penularan virus daripada manusia ke manusia.

d. Jika perlu berada di tempat yang ramai orang, pakai penutup hidung dan mulut.

e. Jika anda batuk dan perlu keluar, pakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan daripada menyebarkan virus yang ada pada anda kepada orang lain.

Jika tidak, pastikan anda menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin supaya virus yang ada dalam air liur dan cecair hidung anda tidak berterbangan dan memasuki saluran pernafasan orang lain.

Jika tiada tisu atau sapu tangan, halakan mulut anda ke bahagian dalam lengan setiap kali batuk atau bersin. Ini adalah tempat yang paling kurang disentuh atau bergesel dengan orang lain. Begitu juga jika anda berdiri berhampiran orang yang batuk, segeralah menutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan.

f. Usah bimbang untuk makan daging daripada keluarga burung (termasuk ayam) selagi ia dimasak sepenuhnya. Maknanya, semua dagingnya perlulah berwarna putih (tiada bahagian yang berwarna kemerah-kemerahan). Telur juga selamat dimakan, asalkan kulitnya dicuci bersih sebelum dimasak.

g. Hentikan tabiat suka meludah merata-rata.

Oleh kerana virus influenza mudah mengalami mutasi, adakah perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza tahunan?

Jika ada kemampuan dan keperluan, tidak salah untuk mendapatkannya khususnya bagi individu yang ada urusan di China. Bagaimanapun, keperluan ini lebih tertumpu pada kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit yang mempunyai masalah paru-paru, asma, lupus, kegagalan buah pinggang, kencing manis dan pengguna ubat steroid serta mereka yang berumur 65 tahun ke atas.

Kumpulan berisiko ini bukanlah bermakna mereka lebih mudah mendapat jangkitan tetapi jika terkena, mereka lebih cenderung mengalami komplikasi yang akan membahayakan nyawa.

Setiap tahun WHO akan membuat dua penilaian ke atas keadaan epidemiologi dunia dan menyarankan jenis vaksin baru yang bersesuaian. Kandungan vaksin ini berbeza setiap tahun. Secara umumnya, vaksin influenza tahunan (bermusim) ini adalah trivalen iaitu mengandungi campuran strain virus influenza A dan B yang dijangka akan menyerang pada musim akan datang.

Bagaimanapun, vaksin ini tidak melindungi kita daripada H7N9. Pun begitu, dengan mengambilnya anda terlindung daripada virus influenza yang lain iaitu H1N1, H3N2 dan influenza B.

"Tidak perlu terlalu risau tetapi sentiasalah berwaspada demi menjaga kesihatan diri sendiri dan keluarga. Jika anda mendapat jangkitan walaupun virus influenza biasa atau selesema, orang yang paling berisiko untuk dijangkiti ialah anak-anak.

"Paling penting, sentiasa amalkan penjagaan kebersihan tangan. Mencegah dan melindungi itu lebih mudah daripada mengubati. Kita tidak akan rugi apa-apa kalau menjadikan penjagaan kebersihan tangan yang menjadi ejen paling cekap untuk memindahkan jangkitan sebagai amalan sepanjang hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Mayat hanyut 15km

Posted: 27 Apr 2013 03:23 PM PDT

Kuala Kangsar: "Saya terpandang susuk tubuh manusia terdampar di tebing sungai. Saya tak sangka ia mayat seorang gadis," kata peniaga, Mohd Yunus Abd Hamid, 60, yang menemui mayat seorang daripada tiga mangsa yang maut dihanyutkan 'kepala air' di air terjun Sungai Tempias, dekat sini, petang kelmarin.

Junus mendakwa dia yang menyapu sampah berhampiran gerainya di Kampung Labu Kabung, di sini, terkejut terlihat objek menyerupai manusia terbaring di tebing sungai tidak jauh dari gerainya.


"Saya segera memanggil anak untuk melihat objek itu selepas berasa was-was sama ada ia manusia atau sebaliknya.

"Namun saya terkejut apabila melihat siku dan dan seluar dalam dipakai mangsa," katanya ketika ditemui wartawan, semalam.


Menurutnya, dia segera memaklumkan kejadian itu polis dan bomba sebelum mayat mangsa dibawa naik dari tebing sungai itu.


"Saya sukar percaya mayat itu dihanyutkan lebih 15 kilometer dari lokasi kejadian di Kampung Paya Lintah ke kawasan ini," katanya.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa yang lemas dihanyutkan `kepala air' di air terjun Sungai Tempias.

Mayat mangsa ketiga itu kemudian segera dihantar ke bilik Mayat Hospital Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut.


Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, empat remaja yang mandi di sungai itu dihanyutkan 'kepala air' di kawasan Sungai Tempias, Kampung Paya Lintah, di sini.

Dalam kejadian itu, dua beradik kembar, Muhammad Khairul Safuan Tajuddin, dan Muhammad Khairul Azuan, 18, yang mandi di sungai turut dihanyutkan arus deras.


Muhammad Khairul bagaimanapun terselamat selepas berpaut pada dahan kayu manakala kembarnya, Khairul Safuan dihanyutkan arus deras sungai.


Mayat mangsa pertama, Muhammad Khairul Safuan ditemui sejam kemudian tersangkut di celah pokok buluh, lima kilometer dari lokasi dia dihanyutkan.


Usaha mencari dan menyelamat dua lagi mangsa diteruskan anggota polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM3) sebelum mayat kedua, seorang gadis ditemui jam 10.30 malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Van Persie tak layak

Posted: 27 Apr 2013 02:38 PM PDT

London: Arsene Wenger langsung tidak menghiraukan bekas pemainnya di Arsenal, Robin van Persie apabila menegaskan Michael Carrick sepatutnya menjadi Pemain Terbaik Tahunan.

"Saya lebih senang memilih Carrick. Dia boleh bermain di Barcelona dan boleh menyesuaikan diri dengan gaya permainan mereka," kata Wenger.


"Dia mempunyai pandangan yang bagus, seorang pemain yang bijak dan juga kerana apa yang dicapainya sepanjang karier." Sumbangan 24 gol oleh Van Persie dalam 31 perlawanan bersama Manchester United melonjakkan kelab itu ke mercu kegemilangan selepas berpindah dari Arsenal dengan bayaran £22 juta (RM103.2 juta) musim lalu.

Penyerang Belanda berusia 29 tahun itu sudah pasti akan menerima layanan kasar sebaik kembali ke Stadium Emirates sebagai juara bersama United malam ini.


Begitupun Wenger berkata, rakan sepasukan RvP, Carrick, 31 lebih layak menerima anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) itu.


"Robin pernah mengalami kemarau jaringan pada satu ketika. Undian dibuat pada masa itu dan ia mungkin akan memberi kesan kepadanya.

Foto

VAN Persie.

"Luis Suarez pula memusnahkan peluang meraih ganjaran itu! Anda juga ada Gareth Bale tetapi Carrick adalah pemain yang kurang diberi tumpuan di England.


"Ada kalanya bukan saja penyerang perlu diberi ganjaran tetapi juga pemain sejati yang menjadi nadi permainan. Carrick berhak menerimanya.

"Saya akan memilih Carrick kerana Robin sudah mendapatkannya musim lalu. Berikan saja kepada pemain yang berbeza. Dia melakukan hantaran berkualiti." Wenger turut menegaskan beliau tidak mempunyai masalah jika pemainnya mengucapkan tahniah kepada United kerana kejayaan mereka sebelum perlawanan utara London malam ini.


"Dalam hidup, lakukan sebaik mungkin dan jika ada yang lebih kuat daripada anda, hormati mereka," katanya.


"Ia bukan mudah tetapi saya bangga bekerja di England di mana budayanya menghormati mereka yang menang." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Ikrar setia Terry

Posted: 27 Apr 2013 02:31 PM PDT

London: John Terry berjanji kepada peminat Chelsea dia tidak akan menyertai kelab lain di England.

Kapten Blues itu menegaskan dia sudah pasti di Stamford Bridge musim depan, biarpun itu bermakna dia akan berada di bangku simpanan selama setahun.


Biarpun masa depan pemain itu tidak menentu menjelang tahun terakhirnya di Chelsea dengan bayaran £150,000 (RM 704,262) seminggu, Terry masih terus komited kepada satu-satunya kelab profesional yang disertainya.

Menyedari dia tidak akan kekal selamanya di kelab itu, Terry percaya masih banyak yang mampu disumbangkan untuk kelab yang disertainya sejak 18 tahun lalu.


"Saya ingin menandatangani kontrak baru dan terus bersama Chelsea tetapi biarpun ia tidak menjadi kenyataan, saya masih mempunyai kontrak setahun lagi dan saya amat menghormatinya," katanya.


"Sudah pasti saya akan berada di sini tahun depan biar apa saja keputusan kelab mengenai kontrak baru. Jika pengurus baru tidak sukakan saya, saya akan kembali ke bangku simpanan.

"Secara jujurnya, jika saya tidak bermain tidak bermakna saya boleh mengetuk pintu pihak pengurusan dan meminta supaya kontrak saya dibincangkan.


"Itu bukan cara saya. Saya lebih senang membiarkan saja dan menunggu panggilan daripada kelab." Biarpun menghabiskan hampir sepanjang tahun di bangku simpanan, Terry mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan polisi penggiliran pemain yang diterapkan pengurus Rafa Benitez tetapi percaya tugas lebih penting bakal digalasnya sebaik Benitez meninggalkan Chelsea akhir bulan depan.

"Rafa berkata dia berada di sini sehingga musim panas. Sama ada beliau akan kekal jika kami menang Liga Europa saya tidak tahu tetapi perkara itu tidak akan menjejaskan beliau.


"Bagaimanapun secara realistiknya kami perlu menang trofi setiap musim." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


1,000 maut demi pakaian murah

Posted: 27 Apr 2013 03:03 PM PDT

London: Sikap warga Britain yang ketagih mendapatkan pakaian murah secara tidak langsung 'mengorbankan' kira-kira 1,000 nyawa pekerja Bangladesh sejak lapan tahun lalu.

Siasatan media menunjukkan, dalam tempoh sama, berpuluh-puluh ribu pekerja lagi cedera dalam banyak kilang yang menyediakan bekalan pakaian untuk rangkaian kedai di Britain.


Angka itu termasuk sekurang-kurangnya 330 orang yang terbunuh dalam kejadian bangunan runtuh di sebuah bandar pinggir Dhaka pada Rabu lalu.

Kelmarin, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan kira-kira 50 mangsa yang masih hidup dari bawah runtuhan bangunan lapan tingkat menempatkan kilang yang membekalkan pakaian untuk jenama terkenal di Britain, Primark Menurut beberapa penganalisis, tragedi Plaza Rana itu sepatutnya boleh dielakkan jika pihak yang berkenaan mengambil langkah perlu.


Sumber pula berkata, beberapa firma Britain yang menggunakan produk kilang berkenaan enggan menandatangani perjanjian keselamatan tempat kerja yang baru.


Langkah itu sudah dilakukan syarikat pengeluar jenama Calvin Klein dan Timberland. Kata sumber, sejak 2005 lebih 1,000 pekerja kilang kain terbunuh dalam pelbagai bencana, termasuk kebakaran dan bangunan runtuh.

Foto

WARIS seorang daripada mangsa runtuhan bangunan kilang pakaian berdoa tidak jauh dari lokasi bencana itu berlaku di Savar, semalam.

Foto

TANGAN satu daripada mayat yang belum dapat dikeluarkan dari bawah runtuhan.

"Banyak insiden kecil yang berlaku dan kurang diberi perhatian," katanya. Beberapa bulan lalu, kebakaran di kilang Tazreen Fashion membunuh 112 orang pekerjanya.


Sementara itu, Primark berkata, mereka tidak menandatangani pelan keselamatan untuk kilangnya kerana ada inisiatif lain diambil.

Kenyataan itu dibantah pengkritik kerana inisiatif berkenaan hanya meliputi bencana kebakaran, bukan keselamatan bangunan. Aktivis pertubuhan War On Want, John Hilary berkata pihak berkuasa wajar bertindak bagi menghalang kejadian sama berulang.


"Tiba masa untuk kerajaan meminta syarikat terbabit bertanggungjawab atas kejadian runtuhan itu," katanya ketika ditemui, semalam. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Jurutera kilang pakaian ditahan

Posted: 27 Apr 2013 03:00 PM PDT

Savar: Polis Bangladesh berkata, dua jurutera yang meluluskan reka bentuk bangunan lapan tingkat menempatkan kilang pakaian yang runtuh Rabu lalu ditahan untuk disoal siasat.

Sumber polis berkata, Imtemam Hossain dan Alam Ali ditahan pihak berkuasa semalam.


Bagaimanapun, polis belum menyatakan peranan dimainkan Imtemam dan Alam ketika memberi kelulusan bangunan berkenaan.

Sebelum runtuh, bangunan itu menjalani proses ubah suai dengan untuk menempatkan tiga tingkat tambahan secara haram. Terdahulu, dua pemilik satu daripada beberapa kilang pakaian di bangunan itu ditahan.


Isteri seorang daripada mereka turut diberkas sebelum itu untuk memberi tekanan kepada suaminya supaya menyerah diri kepada polis. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Rasukan sindrom comel

Posted: 27 Apr 2013 03:41 PM PDT

Oleh SHAMRAN SARAHAN, HIDAYATUL AKMAL AHMAD, ANIZA ZAINUDIN dan NURUL HUSNA MAHMUD

Selepas Gangnam Style, kini muncul satu lagi produk seni terbaru Korea Selatan, Gwiyomi yang menjadi kegilaan generasi muda di negara ini, termasuk golongan artis.

Artis muda yang 'dirasuk' sindrom itu termasuk Wawa Zainal, Nora Danish dan Elfira Loy. Aksi Gwiyomi ketiga-tiga pelakon comel dalam laman sosial YouTube dan Keek itu dilayari hampir dua juta pengunjung sejak awal bulan ini.

Gwiyomi bermaksud comel. Lagu Gwiyomi pada mulanya berasal dari band K-Pop iaitu kumpulan BtoB (Born To Beat). Tajuk asal lagu itu ialah Gwiyomi Player atau bermaksud pemain comel.

Namun kehadiran artis indi negara itu, Hari menaikkan nama lagu berkenaan, seterusnya mencetus fenomena di beberapa negara seperti Thailand, Filipina, Singapura dan Malaysia.

Foto

Beberapa artis muda turut memuat naik aksi Gwiyomi mereka dalam Youtube, Keek.


Di negara ini, aksi Gwiyomi yang dimuat baik dalam beberapa laman sosial, terutama YouTube dan Keek, sebahagian besarnya membabitkan remaja perempuan dan wanita berusia 20-an.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Melambung 20 meter

Posted: 27 Apr 2013 03:41 PM PDT

Gemencheh: Dua beradik lelaki meraung sambil mendakap erat mayat ayah mereka yang berlumuran darah selepas terbabit kemalangan di hadapan simpang tiga, Jalan Batang Melaka, Ayer Kuning Selatan, dekat sini, pagi semalam.

Masing-masing, Chong Yow Sang, 45, dan adik bongsunya, Chong Ah Lee, 40, tidak mampu menahan sedih dengan kematian ayah mereka, Chong Kow, 64, sekali gus menerbitkan simpati orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa menunggang motosikal jenis Honda untuk pulang ke rumahnya di Kampung Baru Air Kuning Selatan, di sini.

Menurut sumber, sebaik mangsa keluar dari simpang dan membelok ke kanan untuk ke rumahnya, tiba-tiba muncul lori dari arah Air Kuning menghala ke Sungai Dua.

Foto

Yew Sang meraung sambil memeluk mayat ayahnya.


"Mangsa tidak sempat berhenti dan dilanggar lori menyebabkan dia dan motosikal melambung sejauh 20 meter. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah," katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved