Jumaat, 25 Januari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bergaya ceria

Posted:

KEHADIRAN musim bunga dan panas tahun ini menyerlahkan keceriaan dengan lambaian warna pastel lembut memenuhi koleksi rekaan terbaru label pakaian popular dunia dari Jepun, Uniqlo.

Mengetengahkan rekaan baju yang ringkas dan selesa untuk pakaian harian, ia boleh digayakan secara kasual dan santai oleh semua peringkat usia.

Menurut Pengarah Rekaannya, Naoki Takizawa, pemilihan warna lembut sedemikian bertujuan merehatkan minda dalam suasana harmoni.

Idea untuk menggunakan warna pastel berkenaan diperoleh ketika dia sedang beristirahat sambil menikmati hidangan teh.


Warna teh yang jernih itu akhirnya mencetuskan inspirasi untuk mengetengahkan warna alam semula jadi sebagai sebahagian daripada koleksi fesyen terbaru.


"Ilham yang dicetuskan pereka perlu menambat hati pengguna bukan sebaliknya. Jika membuat rekaan terbaru tetapi hanya berdasarkan cita rasa diri, ia pasti kurang menyengat.

"Paling penting, menggabungkan kehendak dan keinginan fesyen semasa berserta idea tersendiri bagi menyerlahkan lagi rekaan," katanya.

Bagi memberikan kelainan, label berkenaan menawarkan rekaan pakaian yang boleh disuai padan mengikut kreativiti penggemar fesyen.

Tidak hanya memfokuskan kepada satu rekaan baju yang khusus sebaliknya ia boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian serta tanpa had.

Untuk koleksi musim terbaru ini, jenama pakaian terkemuka terbabit turut memperkenalkan rangkaian celana yang diperbaharui.

Tidak lagi sekadar dijadikan pakaian pelengkap kepada kemeja-T atau top, pilihan koleksi seluar panjang, skirt, dan seluar pendek kali ini makin diperkemaskan dari segi rekaan, corak serta konsep penggunaannya.

Kedua-dua koleksi lelaki dan wanita diberikan suntikan pengubahsuaian secara dramatik dengan menawarkan gaya baru, bercetak menggunakan warna terkini yang versatil serta mudah digayakan semua peringkat usia.

Untuk koleksi wanita, pilihan fesyen seluar merangkumi gaya skinny tirus dengan cetakan flora, polka dot, denim, serta legging ultra lembut dengan potongan pendek kelihatan sempurna apabila digayakan.

Selain itu, rekaan terbaru membabitkan denim lembut menggunakan kain linen nyata memberi keselesaan kepada si gadis sepanjang musim panas ini.

Denim lembut ini diperbuat daripada fiber ultra nipis yang dilapisi partikel bagi memastikan permukaan kasar denim terbabit dileraikan serta melembutkan kain digunakan. Fabrik digunakan mengandungi 60 peratus kapas dan 40 peratus linen.

Bagi si jejaka pula, ia memaparkan pilihan seluar pendek yang diperincikan dengan rekaan nautika, paisley, madras dan cetakan polka dot.

Terdapat 20 pilihan warna seluar pendek chino untuk koleksi terbaru ini dan turut disertakan rangkaian denim lembut buat si jejaka.

Untuk pilihan pakaian musim panas wanita pula, jenama terbabit lebih banyak menumpukan rekaan pada koleksi gaun.

Ketelitian jahitan paras lipatan bawah baju, bentuk, gaya dan kain digunakan diberikan penekanan utama bagi memastikan koleksi tersedia lebih feminin tetapi tidak keterlaluan dan boleh digayakan tanpa mengira usia.

Bagi pakaian dalam, koleksi Uniqlo AlRism direka bersama pakar teknologi fiber, Toray Industries yang bukan saja memberikan sensasi dingin tetapi juga selesa apabila digayakan sepanjang musim panas.

Fiber digunakan memberikan sensasi kulit kedua bertujuan menyejukkan dan memberikan keselesaan kepada badan apabila berada dalam persekitaran yang panas.
Ia membuatkan pemakainya sentiasa kering tanpa kesan peluh serta memastikan kulit terjaga walaupun banyak berpeluh.

Selain itu, Uniqlo juga menawarkan himpunan kemeja-T yang direka dengan kerjasama pereka ternama seperti koleksi UT Disney-Pixar, siri UT komik terkemuka Hokuto No Ken, UT Star Wars, UT Sanrio serta UT Celia Birtwell dan pelbagai lagi koleksi menarik untuk dimiliki.

Menurut Timbalan Presiden Kanan Kumpulan (Penyelidikan dan Pembangunan) Uniqlo, Yukihiro Katsuta, kajian terhadap rekaan dan corak fesyen terkini sentiasa menjadi keutamaan.

Ia bertujuan memastikan setiap rekaan baru sentiasa mendapat maklum balas positif daripada pengikut setia jenama terbabit.

"Kami cuba menghasilkan pakaian menggunakan bahan berkualiti tetapi pada harga mampu milik. Disebabkan itu, kaji selidik bahagian penyelidikan dan pembangunan sememangnya penting.

"Kami cuba menghasilkan bentuk kain terbaru menggunakan teknologi terkini bagi memastikan kualiti dipamerkan mencapai piawaian diperlukan bagi memenuhi jangkaan penggemar serta pengkritiknya," katanya.

Pihaknya juga sentiasa mencipta peluang untuk bekerjasama dengan ramai pereka dalam mereka serta mengetengahkan produk terbaru.

Sementara itu, Timbalan Presiden Eksekutif Kumpulan, Naoki Otoma berkata, hingga kini Uniqlo sudah bertapak di China, Korea Selatan, Taiwan, United Kingdom, Hong Kong, Singapura, Russia, Malaysia, Perancis, Amerika Syarikat, Thailand dan juga Filipina.

Hanya dua negara Asia yang belum dimasuki pasaran fesyennya iaitu Vietnam dan India.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Pengalaman beli-belah unik

Posted:

Rambang mata apabila menjejakkan kaki ke gedung pakaian Bicqlo Uniqlo Shinjuku East Exit Store yang terletak di Shinjuku, Tokyo.

Dibuka dalam ruang pameran bangunan Bic Camera, ia memperuntukkan tingkat satu hingga tiga sebagai ruang pameran pakaian dengan keluasan 4,000 meter persegi.

Idea untuk menempatkan dua produk berbeza di bawah satu bumbung ini diwujudkan hasil kerjasama gedung pakaian Uniqlo dan jenama kelengkapan rumah terkemuka Jepun, Bic Camera.

Berkonsepkan gaya pusat sehenti bagi fesyen, gedung ini menawarkan pelbagai produk terkini dan terbaru pada harga berpatutan.


Malah, pengunjung disajikan dengan susun atur pakaian ala 'pagar berselirat' dan membuatkan pengunjung seakan-akan berada dalam satu bentuk permainan yang tidak berpenghujung.


Namun, ia memberikan satu bentuk pengalaman membeli-belah menarik kerana setiap produk yang dipamerkan mudah dilihat dan senang dipilih serta paling penting, setiap belian boleh dilakukan dengan selesa.

Setiap koleksi pakaian sama ada untuk lelaki, wanita serta kanak-kanak dibahagikan mengikut aras bagi memudahkan pengguna mendapatkan rekaan diingini.

Selain itu, turut disediakan ruang pameran bagi barangan kelengkapan rumah yang direka secara fesyen interaktif.

Setiap produk disusun sekata mengikut warna dan jenis rekaan bagi memudahkan proses pemilihan malah untuk lebih menarik, penggunaan teknologi terkini seperti monitor turut digunakan untuk memperkenalkan produk.

Lebih efektif, pembantu jualan berada di tengah lokasi pada setiap tingkat yang menawarkan koleksi terpilih.

Sementara itu, terdapat sudut interaktif untuk kanak-kanak bagi pengunjung yang membawa anak ketika berkunjung ke Bicqlo.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Ditelan 'kepala air'

Posted:

Puchong: Hasrat seorang pekerja kilang SIG Gases Bhd (SIG) menikmati hidangan ikan yang dipancing di Sungai Rasau berhampiran Puchong Gateway, di sini, tidak kesampaian apabila dia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan 'kepala air', kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa, S Hemanathan, 29, yang memancing bersama rakannya, P Vimalnathen, 28, berdepan saat mencemaskan apabila dihanyutkan arus deras ketika memancing di bawah jambatan sungai berkenaan.


Ini menyebabkan mangsa yang tidak tahu berenang hilang dibawa arus manakala rakannya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tebing konkrit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jafri Amat berkata, kedua-dua lelaki terbabit memancing dengan ditemani isteri Vimalnathen dan wanita berkenaan yang menghubungi pihak berkuasa selepas menyedari kejadian itu.


"Lelaki yang terselamat menceritakan sebelum kejadian dia dan mangsa berdiri atas batu di tengah sungai dan ketika itu paras air berada pada buku lali.


"Bagaimanapun, kira-kira 10 minit memancing, air naik mendadak sehingga lutut sebelum tiba-tiba arus deras muncul dari hulu dan menghanyutkan kedua-dua lelaki terbabit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, dalam situasi cemas itu, Vimalnathen menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing konkrit dan berpaut sebelum dibantu orang awam yang berada di tempat kejadian.


"Dalam tempoh setengah jam, air sudah naik sehingga hampir satu meter dan kemunculan arus deras di sungai berpunca daripada limpahan air hujan lebat dari Serdang beberapa jam sebelum itu.

"Rakan mangsa cuba mengejar mangsa, tetapi gagal kerana arus sungai semakin deras sebelum terpaksa pasrah dan menunggu pasukan penyelamat tiba," katanya.


Jafri berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan sementara jam 12 tengah malam, kelmarin, berikutan cuaca gelap selain arus sungai deras sebelum dimulakan semula jam 9 pagi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sudah tahu hala tuju

Posted:

Tiga tahun berusaha membina nama dalam bidang seni suara tempatan, nasib penyanyi remaja jelita, Amanda Imani, 21, semakin menyerlah.

Kelmarin, bertempat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Amanda melancarkan dua lagi single ciptaannya sekali gus sebagai taruhan baru untuk menambat hati penggemar muzik tanah air. Ujarnya, sekarang adalah masa paling sesuai untuk tampil dengan lagu sendiri mengikut hala tuju diinginkan.

"Dua single saya itu, Fobia Cinta dan Like A Boss dicipta sepenuhnya tahun lalu dan ia hasil ilham daripada pengalaman saya sendiri dan orang lain yang rapat dengan saya. Umpamanya, Fobia Cinta pastinya mengisahkan perihal cinta saya yang tidak kesampaian apabila putus di tengah jalan dan saya akui pernah melaluinya beberapa kali.

"Ia perkara yang amat menyakitkan dan membuat saya rasa sangat sedih. Ketika lagu ini dicipta pun ia memang salurkan segala perasaan geram saya kerana saya sudah dilukai. Pun begitu, ia bukanlah bermakna sampai sekarang saya masih bersedih kerana hidup perlu diteruskan dengan pemikiran positif. Saya akui lebih matang dengan pengalaman yang saya lalui dulu.

Foto

Amanda bersama Pengarah Urusan Warner Music, Darren Choy pada majlis pelancaran lagunya.

Foto

Teruja dapat wakili negara jayakan konsert 'Malaysia Supernova' di Cannes, Perancis, Ahad ini.


"Bagi lagu Like A Boss pula ia lebih menjurus kepada kisah wanita yang mempunyai matlamat untuk mengejar cita-cita dan berjaya menggapai impian. Walau pun lagu ini dicipta dalam bahasa Inggeris, ia nyata menggambarkan hala tuju saya yang sentiasa menyimpan keinginan untuk menjadi penyanyi berjaya di Malaysia," katanya.


Menurut Amanda, dia sebenarnya berasa pelik kerana selepas pelbagai usaha dilakukan beberapa tahun ini untuk memahat namanya sebagai penyanyi dikenali ramai tetapi masih belum berhasil. Katanya, dia juga sudah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di luar negara tetapi agak sukar diterima di tanah air sendiri.

"Apapun, saya tidak pernah berasa mahu berputus asa sebelum apa yang diinginkan dalam karier muzik ini dicapai. Pun begitu, saya tetap mengharapkan semoga suatu hari nanti bakat seni dimiliki ini akan memperoleh pengiktirafan daripada penggemar muzik tempatan. Bahkan, saya yakin usaha ini akan berjaya.

"Ditambah lagi, kini saya sudah tahu apa hala tuju dan keinginan diimpikan dalam karier nyanyian diceburi. Atas sebab itu, dua karya saya ini jelas menunjukkan betapa kerja keras yang dilakukan itu takkan pernah berakhir sehingga mengecapi kejayaan. Kini, tiba masanya juga untuk pendengar menilai bakat sebenar saya," katanya.

Menyentuh soal jalinan kerjasamanya dengan pemuzik terkenal, Dennis Lau dalam lagu Fobia Cinta, gadis berdarah kacukan Melayu, China dan Turki ini memaklumkan mereka sudah lama kenal antara satu lama lain. Malah, sering juga terbabit dalam pelbagai acara hiburan sama ada di dalam dan luar negara.

"Perkenalan yang agak lama itu akhirnya membuatkan kami jadi sahabat. Justeru, tatkala keinginan untuk kerjasama ini disuarakan kepada Dennis, dia tidak menolak sebaliknya menerima dengan hati terbuka. Apapun, di antara kami tiada hubungan istimewa melainkan rapat dalam erti kata persahabatan saja.

"Oleh itu, tidak perlulah cuba mengaitkan soal cinta di antara kami berdua. Ini kerana, perkara itu sememangnya tidak pernah berlaku. Apatah lagi, kini fokus dan tumpuan saya hanya kepada memantapkan karier semata-mata. Ditambah lagi, dalam usia yang masih muda ini, saya harus terus gigih berjuang," katanya.

Cukup matang berbicara, Amanda berkata dia harus sentiasa bijak mengambil peluang yang datang kepadanya memandangkan perjalanan kerjaya nyanyian diceburi itu diurus sendiri dengan bantuan ibunya.

Selain menyanyi, Amanda yang berkebolehan mencipta lagu memberitahu dia sudah mencipta sebanyak 75 buah lagu sejak setahun lalu. Begitu mendapat perhatian di luar negara, Amanda pernah mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi anugerah Bakat Muda Terbaik dan Lagu Asal Terbaik menerusi lagu Selamilah Cinta di World Association of Festivals & Artists (WAFA) di Bulgaria, dua tahun lalu.

Teruja jayakan Malaysia Supernova

MENGAKUI selesa bersikap 'low profile' dan tidak mempunyai kisah kontroversi, Amanda menjelaskan dia lebih bersedia untuk dikenali peminat menerusi bakat nyanyiannya berbanding cerita peribadi. Jelasnya lagi, dikenali menerusi karier itu lebih memberikan kepuasan dalam mencipta nama sebagai anak seni.

Sekali pun 'kurang tuah' di negara ini, perjalanan karier nyanyian Amanda tetap berjalan lancar apabila dia terpilih sebagai salah seorang artis yang akan mewakili Malaysia ke Cannes, Perancis untuk menjayakan acara muzik dikenali `Malaysian Supernova' di MarchÈ International du Disque et de l'Edition Musicale 2013 (MIDEM), Ahad ini.

Berangkat ke Cannes, Sabtu ini bagi melengkapkan penyertaan dalam acara yang berlangsung dari 26 hingga 29 Januari itu, artis lain yang turut terpilih bersama-sama Amanda dalam MIDEM 2013 ialah Jaclyn Victor, Hujan, Bunkface, Goldfish & Blink, Nadhira, ZE! dan Sasi The Don.

MIDEM 2013 yang juga dianggap sebagai program acara pameran dagangan muzik terbesar dunia mula diwujudkan pada 1967. Bahkan, dalam pameran berprestij ini dijangkakan seramai lebih 6,000 penggiat seni terdiri daripada karyawan muzik, penerbit, pengurus dan wartawan dari 75 negara di seluruh dunia akan berkumpul.

Berkongsi kegembiraannya, Amanda berkata dia berasa sangat berbangga apabila terpilih untuk mewakili negara pada persembahan konsert 'Malaysia Supernova' itu. Malah, ujarnya, dia akan mendendangkan enam buah lagu hasil ciptaannya seperti Like A Boss, Fobia Cinta, Salem, Black Widow dan City of Angles.

Amanda berkata, perasaannya kini sudah tentu sangat gembira dan teruja dengan kepercayaan diberikan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang memilihnya untuk turut sama menjayakan persembahan itu.

"Saya melihat ini satu langkah baik dilakukan RIM dengan sokongan penuh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang berusaha membawa artis muda tempatan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"Secara tidak langsung, ia satu pendedahan yang sangat baik. Apapun, pemilihan saya untuk terbabit dalam persembahan ini berdasarkan beberapa kriteria antaranya boleh menyanyi dalam bahasa Malaysia dan Inggeris, pernah meraih pengiktirafan di luar negara dan mampu berinteraksi dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Pengiktirafan dua negara

Posted:

Hasrat Hann's Entertainment memberikan pengiktirafan kepada se­ni­man dan seniwati dari Malaysia dan Singapura dengan menganjurkan Anugerah Seri Temasek (AST) buat kali kedua berjaya apabila anugerah itu buat kali kedua bakal berlangsung pada 2 Februari ini di Singapura.

Anugerah yang turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) itu sekali gus dapat menge­ratkan hubungan dan kerjasama penggiat seni Malaysia dan Singapura dalam memartabatkan industri perfileman Melayu.

Penasihat Anugerah Datuk Mustapha Maarof berkata, hingga kini belum ada acara anugerah membabitkan karyawan perfileman Malaysia dan Singapura yang menjadi lokasi awal perkembangan filem Melayu.

"Sejarah filem Melayu bermula di Studio Jalan Ampas di Singapura pada era 50-an dan secara tidak langsung penganjuran Anugerah Seri Temasek di negara itu umpama sirih pulang ke gagang selain me­ngimbas detik kegemilangan filem Melayu.


"Pada malam kemuncak itu nanti kita akan menghimpunkan semua pejuang seni lama termasuk dari Malaysia dan mereka yang masih tinggal di Singapura kerana majlis berkenaan sememangnya bertujuan menghargai sumbangan golongan seni terbabit.


"Memang ada festival filem lebih besar membabitkan rantau ini, namun tidak salah jika kita sama-sama berganding bahu memartabatkan karyawan filem dua negara serumpun ini kerana lihat saja arena muzik, mereka mempunyai Anugerah Planet Muzik (APM)," katanya pada sidang media di Subang Jaya, baru-baru ini.

AST tahun ini akan me­ngumumkan 25 penerima trofi membabitkan beberapa kategori termasuk Anugerah Legenda, Anugerah Pencapaian dan Anugerah Khas di mana pemenang dinilai berdasarkan kecemerlangannya sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.

Dijangka acara kali ini lebih besar daripada anugerah pertama yang dianjurkan pada 2011, di mana tahun ini penganjur turut mengadakan diskusi yang dinamakan Bicara Filem membabitkan filem yang meraih kutipan RM12 juta iaitu KL Gangster terbitan Skop Production dan dipengerusikan oleh Mustapha.

Perbincangan panel mengenai Hala Tuju Industri Filem Perfileman Malaysia - Cabaran dan Harapan yang berlangsung pada pagi sebelum malam kemuncak itu dijangka dihadiri lebih 40 aktivis seni serta peminat.

Sementara itu, Penga­rah Hann's Entertainment Hans Rawie berkata, bagi menyemarakkan lagi semangat serumpun, penggiat seni Indonesia turut diundang memeriahkan acara yang diharap menjadi pencetus usaha ke arah penerbitan filem membabitkan tiga pihak.

"Walaupun baru kali kedua diadakan, kami yakin penganjuran majlis seumpama ini bakal menjadi pencetus permulaan baru seterusnya mengingatkan penonton filem di Singapura sendiri yang filem Melayu masih mampu mengutip jutaan ringgit melihatkan industri filem di Malaysia.

"Sekarang tidak ba­nyak filem Melayu masuk pawagam di sana kerana kurang mendapat sambutan, namun kita pasti senario sebegini dapat diubah menerusi kerjasama erat semua pemain industri termasuk di Indonesia de­ngan meningkatkan kesedaran umum," katanya.

Hans turut meluahkan penghargaan di atas soko­ngan penaja dan pihak korporat serta individu yang merealisasikan majlis makan malam itu menerusi pembelian meja.

Bukan sekadar berlaga bahu dengan seniman dan seniwati tersohor, acara kemuncak yang dihoskan Didie Alias itu turut diserikan dengan persembahan artis tiga negara iaitu Datuk Sharifah Aini dan Jamal Abdillah dari Malaysia, Bob Tutupoli (Indonesia) serta Taufik Batisah (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Temui mayat disyaki William Yau

Posted:

KLANG: Berdasarkan pakaian yang dicam ahli keluarga, mayat budak lelaki yang dijumpai di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, lewat petang semalam disyaki William Yau Zhen Zhong, 6, yang dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu.

Menurut sumber Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, kira-kira jam 12.30 malam tadi, ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman ke atas mayat kanak-kanak yang ditemui tersangkut di tepi bot berhampiran jeti Sungai Sireh di depan flat Sri Perantau itu.

Katanya, berdasarkan pengecaman ahli keluarga terbabit, kanak-kanak terbabit memakai seluar dalam sama seperti seluar dalam yang dipakai William Yau pada hari kehilangannya.

Bagaimanapun, usaha wartawan Harian Metro untuk menemubual ahli keluarga mangsa terbabit gagal kerana difahamkan mereka masuk dan keluar melalui pintu belakang rumah mayat HTAR.


Sementara itu, bercakap kepada pemberita di HTAR, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mayat kanak-kanak itu itu dijumpai orang ramai pada jam 6.30 petang semalam.


"Polis terima panggilan daripada orang ramai berhubung penemuan satu mayat budak lelaki tersangkut berhampiran bot di jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang petang semalam.

"Berdasarkan siasatan awal, polis tidak dapat kenal pasti identiti mangsa untuk dibuat pengecaman berikutan mayat dipercayai sudah lama berada di laut.

"Ketika dijumpai, mayat berkenaan lengkap berpakaian iaitu kemeja-T berwarna oren kekuning-kuningan dan seluar pendek," katanya di sini, semalam.

Difahamkan, kemeja T berkolar bulat itu bertulis perkataan `Active Group' dan `Best Team'.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk dibedah siasat yang dijangka dilakukan pagi esok.

"Kita tidak menolak kemungkinan ujian DNA akan dilakukan bagi mengenal pasti identiti mangsa. Tiada sebarang kesan perbuatan jenayah pada mayat berkenaan dan berdasarkan keadaan fizikalnya, kita percaya mangsa adalah warga tempatan," katanya.

William Yau dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu selepas keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya ketika singgah di kedai alatan elektronik di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights Subang Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Isteri tanam RM42,000

Posted:

Kuala Lumpur: Tidak tahan wang simpanannya sering dilesapkan suami yang suka berjudi, seorang wanita terpaksa menyorokkan wang hasil pendapatannya menjual nasi lemak dengan mengorek lubang dan menanam tin berisi wang di dalam rumahnya.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mashitah, 42, berkata, hasil kegigihan dan sikap jimat cermatnya selama dua tahun, dia berjaya menyimpan RM42,000.

Menurutnya, tindakan menanam wang simpanan dalam tanah ikhtiar terakhirnya bagi memastikan wang miliknya tidak diambil suami yang ketagih bermain judi mesin kuda.

"Dia mengambil duit saya kerana setiap bulan semua gajinya sebagai penjawat awam habis digunakan untuk membayar hutang akibat berjudi.

Foto

MASHITAH (kanan) menceritakan masalahnya kepada Khairul Anwar dan Nur Hafidzah.


"Malah, semua barang kemas saya berjumlah RM12,000 dia gadai dan duit digunakan untuk berjudi dan selepas itu, saya terpaksa menebus sendiri untuk mendapatkan balik barang kemas berkenaan," kata ibu tiga anak berusia enam hingga 15 tahun itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Siput hidup dalam hidangan

Posted:

Aberdeen: Seorang wanita terkejut menemui seekor siput masih hidup dalam hidangan makan malamnya di sebuah hospital.

Angel Crawford, 20, menemui siput itu ketika makan kentang putar beberapa hari selepas melahirkan anak di Hospital Bersalin Aberdeen, November lalu.


Kejadian itu menyebabkan model dan ahli muzik berkenaan tidak lagi mahu makan makanan hospital.

Ketika menceritakan peristiwa itu semalam, Angel berkata: "Mulanya saya tidak menyedarinya. Tetapi selepas makan satu atau dua sudu penuh, saya ternampak siput berkenaan. Saya berhenti makan dan berkata, "Ia kelihatan seperti siput." Saya melihat dengan lebih dekat dan saya mengulangi beberapa kali perkataan "Oh Tuhan, apa benda itu." Kemudian tunang saya, Gavin melihatnya lalu berkata, "Ia sudah pasti siput," Angel yang kini was-was mengenai kualiti makanan hospital mengaku pengalaman itu menyebabkan dia tidak lagi ingin makan di hospital.


"Apabila anda sudah berdepan dengan emosi selepas melahirkan anak dan bimbang mengenai keadaan anak anda, ia bukan pengalaman baik untuk dilalui." Angel yang berasal dari Aberdeen, Scotland, menghubungi Richard Carey, Ketua Eksekutif NHS Grampian, satu daripada 14 lembaga kesihatan serantau Perkhidmatan Kesihatan Scotland, untuk mengadu kejadian itu.


Dia menerima permohonan maaf, kelmarin dan tawaran melawat dapur lembaga berkenaan.

Seorang jurucakap NHS Grampian berkata: "Kami terkejut selepas mengetahui kehadiran 'benda asing' dalam makanan itu dan kami akan berkongsi hasil siasatan pihak pembekal dengan Angel." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Beg tangan hilang 7 tahun ditemui semula

Posted:

London: Seorang ibu menemui begnya semula selepas ia dicuri tujuh tahun lalu. Lebih menarik lagi, Parveen Ashraf terkejut mendapati wangnya sebanyak £250 (RM1,250) masih ada di dalam beg berkenaan.

Selepas beg itu dicuri dalam satu rompakan terhadap rumahnya di Werrington, Peterborough pada 2006, Parveen membatalkan semua kad kreditnya dan tidak menaruh harapan untuk menemui beg itu semula.


Dalam kejadian berkenaan, rumah Parveen, 47, dimasuki pencuri menerusi pintu dapur. Antara barang dilarikan ialah basikal anaknya dan beg tangan jenis Fiorelli.

Parveen tidak percaya apabila seorang jirannya mengetuk pintu dengan membawa beg itu selepas ditemui pekerja ketika membersihkan semak 10 meter dari rumahnya.


Beberapa gambar keluarga yang amat berharga bagi Parveen masih berada di dalam beg itu bersama-sama lesen memandu dan alamatnya yang membolehkan pekerja terbabit mengesan Parveen.


"Beg ini hanya berada 10 meter dari rumah saya sepanjang masa. Saya terkejut memperolehinya semula. Seronok kerana mengetahui masih ada orang jujur di dunia ini. Satu keajaiban memperolehinya semula. Tetapi, menemui wang itu semula adalah satu bonus.

"Saya yakin pencuri itu mengambil not £20 (RM100) kemudian mencampakkan beg sebelum melarikan diri dengan basikal anak saya. Dia tidak sedar wang £250 terlipat di dalam buku cek saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Tak puas hati? buatlah aduan

Posted:

Kuala Lumpur: "Ada orang cuma cakap-cakap saja tapi tiada tindakan. Seelok-eloknya kalau tidak puas hati dengan pengadil, buatlah aduan rasmi menerusi persatuan negeri atau kelab masing-masing untuk kami ambil tindakan," jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Astaman Abdul Aziz.

Kenyataan disuarakan itu sebagai menjawab isu mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini yang didakwa mengundang rasa tidak puas hati jurulatih.


Malah isu ini turut hangat diperkatakan di kalangan peminat tempatan dan juga pemerhati bola sepak tidak kira dalam media sosial mahupun forum diskusi bola sepak di televisyen.

Terbaru, mutu pengadilan perlawanan Liga Super antara Perak dan Selangor Selasa lalu turut dipersoal membabitkan tindakan pengadil Zulkifli Ahmad melayangkan kad merah kepada pemain Red Giants, Mohd Amri Yahyah serta tidak membenarkan dua gol pasukan tuan rumah kerana dikatakan ofsaid.


Sebelum itu, dalam pertembungan Liga Super antara Terengganu dan Selangor di Kuala Terengganu 15 Januari lalu, dilaporkan ada penonton membaling botol minuman ke arah penjaga garisan kerana tidak puas hati terhadap keputusan pegawai perlawanan, sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan selama kira-kira 10 minit.


Menurut Astaman, selepas lima perlawanan Liga Super dan Liga Perdana berlangsung musim ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung masalah membabitkan pengadil perlawanan.

Foto

PENYOKONG Perak berkumpul di perkarangan stadium protes pengadil perlawanan.

"Kami bagi ruang untuk pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil untuk membuat aduan. Tapi kadang-kadang orang terlupa kami juga mempunyai pegawai penilai pengadil dalam setiap perlawanan liga. Kami juga boleh mengambil tindakan berdasarkan laporan pegawai penilai pengadil ini.


"Pegawai penilai pengadil ini membuat laporan mengenai prestasi pengadil dan pegawai perlawanan. Jika ada yang tidak betul, kami boleh mengenakan tindakan. Kami ada mengambil tindakan sebelum ini (tahun lalu) cuma kami tidak menghebahkan kepada pihak luar saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24

Suka, duka Real

Posted:

Madrid: Real Madrid mengatasi layangan dua kad merah buat Fabio Coentrao dan Angel Di Maria serta kecederaan dialami Iker Casillas sebelum seri 1-1 dengan Valencia sekali gus layak ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol menerusi agregat 3-1, awal pagi semalam.

Karim Benzema menjaringkan gol sebelum rehat untuk meletakkan anak buah Jose Mourinho mendahului agregat 3-0 sebelum Coentrao meraih kad kuning kedua kerana memegang bola pada minit ke-51.


Valencia membalas satu gol menerusi sepakan percuma apabila rembatan leret Tino Costa mengejutkan penjaga gol simpanan Real, Antonio Adan.

Adan terpaksa menggantikan Casillas pada minit ke-15 selepas pertahanan Real, Alvaro Arbeloa secara tidak sengaja menyepak tangan kirinya ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.


Di Maria dilayangkan kad merah dua minit sebelum tamat kerana menyepak pertahanan Valencia, Joao Pereira ketika berebut bola.


Real berdepan sama ada juara bertahan, Barcelona atau Malaga pada separuh akhir.

"Kami hadir dengan kelebihan selesa daripada perlawanan di tempat sendiri dan selepas gol pertama ia mula sukar," kata pemain tengah Real, Xabi Alonso.


"Tanpa seorang pemain kami terpaksa bermain dengan bijak." Dalam satu lagi perlawanan, Alvaro Negredo menyumbat dua gol untuk membantu Sevilla mengatasi Real Zaragoza yang beraksi sembilan pemain, 4-0 pada suku akhir kedua.

Penyerang Sepanyol menjaringkan gol menerusi tandukan dan satu penalti manakala pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic dan Madu del Moral menyumbang dua gol lagi untuk melengkapkan kemenangan agregat 4-0.


Zaragoza kehilangan pertahanan, Jose Fernandez yang dibuang padang seawal minit ke-26 dan pemain tengah, Fran Gonzalez mengikut jejak langkahnya pada minit ke-66 selepas menghadiahkan sepakan penalti bagi gol ketiga Sevilla. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved