Jumaat, 30 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Paduan rona terang, gelap

Posted: 30 Nov 2012 02:09 PM PST

HARUMAN lavender dan mawar memenuhi segenap ruang. Gubahan bunga tiruan ala Inggeris selain mempesona pandangan mata juga mewujudkan situasi tenang dan mendamaikan, sesuai dengan konsep yang diketengahkan.

Bukan saja pada reka bentuk butik, malah koleksi pakaian ditampilkan Yan's Creation mengambil inspirasi daripada pengaruh Victoria, Melayu klasik Indonesia serta ala gipsi.

Menariknya, setiap himpunan menawarkan rekaan unik seperti gaun ala jubah, kaftan, baju kurung, kebaya, blaus dipadankan palazo dan skirt labuh.

Menurut pemilik Yan's Creation, Yani Bachtiar, 49, setiap rekaan mempunyai identiti tersendiri sesuai untuk acara kasual. Dia yang pernah menimba ilmu gubahan dan jahitan di Amsterdam dan Australia mengakui setiap potongan direka bagi memberi keselesaan kepada wanita.


"Untuk itu setiap padanan menggunakan fabrik lembut bermutu seperti sutera satin, baldu, lycra dan sifon kemudian diperindahkan menerusi motif bunga-bungaan menggunakan tampalan bunga, reben, manik dan jemeki bagi menambah unsur elegan kepada si pemakai," katanya.


Bagi Yani, kualiti amat dititikberatkan dalam setiap rekaan kerana di situlah letaknya tanda pengenalan jenama ini sejak pembukaan pertama di Ampang Park, 20 tahun lalu.

Selain menampilkan warna gelap dan lembut, Yani sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan memilih rona terang dan pelbagai bagi mempraktikkan konsep suai padan.

"Kini pemilihan rona terang sebagai memenuhi konsep warna blocking menjadi pilihan semua tidak kira sama ada remaja atau wanita pertengahan usia. Dengan menyediakan kepelbagaian rekaan dan warna, pelanggan boleh memilih padanan sesuai bagi memenuhi acara yang akan dihadiri mereka," jelasnya.

Sementara itu, Yan's creation juga banyak menampilkan rekaan blaus berpotongan jubah paras lutut yang boleh dipadankan dengan seluar atau skirt.

Sesuai untuk percutian hujung tahun selain tambahan perhiasan seperti rantai dan anting-anting, Yani juga menghasilkan rekaan topi dihiasi bunga dan reben bagi menampilkan gaya elegan wanita.

Setiap satunya direka menggunakan bunga tiruan berkonsepkan ala Inggeris dan sesuai dipadankan sama ada dengan blaus atau kaftan.

"Bagi mereka yang ingin tampil ringkas, kaftan labuh warna polos sesuai dipadankan dengan palazo manakala bagi mereka yang ingin bereksperimen dengan warna bolehlah memilih kaftan potongan pendek atau separa warna terang dipadankan skirt atau pario warna berbeza," ujarnya.

Tambah Yani, kaftan dianggap istimewa kerana ia tampak ideal digayakan wanita bertudung mahupun tidak bertudung. Bagi mereka yang tidak bertudung, pastikan rambut diikat atau didandan sanggul atau boleh digayakan dengan topi untuk kelainan.

Selain baju, dia turut menyediakan gubahan bunga ala Inggeris di butik yang terhasil selepas menutup Yan's Collection di Suria KLCC, sedekad lalu. Ketika itu Yani mempunyai dua perniagaan iaitu Yan's Collection dan kedai bunga, Yan's Creation.

"Tetapi apabila butik di KLCC ditutup, saya mula bingung memikirkan lokasi sesuai bagi menempatkan stok pakaian yang masih berbaki. Lalu timbul idea melakukan transformasi di Yan's Creation dengan menjual bunga dan pakaian," terang Yani yang berasal dari Padang, Indonesia.

Menjelang 2013, menurut Yani, rona ceria masih menjadi kegilaan ramai selain pakaian moden Muslimah seperti gaun labuh, jubah dan kaftan menjadi pilihan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Advertorial: Lima mitos bidet digital

Posted: 30 Nov 2012 02:08 PM PST

MINGGU lalu, penulis sempat meluangkan masa hujung minggu dengan menonton wayang bersama seorang teman. Seperti biasa, sebelum cerita yang dinanti bermula, treler beberapa filem akan diputarkan.

Tidak terkecuali, beberapa iklan turut dipaparkan sebagai selingan. Penulis tersenyum keseorangan apabila tanpa disangka-sangka munculnya iklan Coway Bidet untuk tontonan penonton di panggung itu.

Menarik, menggelikan hati dan mesej yang ingin disampaikan juga mudah untuk difahami. Diharapkan orang ramai dapat mempelajari sesuatu dan mengetahui kelebihan tandas digital itu seperti penulis yang sudah mencubanya sendiri.

Penulis yakin, ramai di kalangan anda yang tertanya-tanya bagaimana ia dipasang di rumah, adakah alat ini akan merosakkan mangkuk tandas, lantai jubin dan sebagainya?


Bagaikan mitos, anda akan mula menyangka dan membayangkan yang bukan-bukan mengenai perkara ini. Manakan tidak, tiada siapa di antara kita yang mahu tandas rumahnya berantakan disebabkan perkara ini bukan?


Perasaan risau dan khuatir itu adalah lumrah.

Terdapat lima mitos yang dikenal pasti apabila berbicara akan masalah ini.

Pertama, anda tidak perlu risau kerana pemasangan bidet digital ini tidak memerlukan tandas anda diketuk, ditebuk atau dipecahkan. Sebaliknya, ia hanya dipasang di bahagian tempat duduk di atas mangkuk tandas asal anda seperti menggunakan skru.

Kedua, anda juga tidak perlu memasangnya sendiri kerana juruteknik profesional Coway akan datang ke rumah untuk melakukan proses pemasangan dengan sempurna.

Ketiga, tempoh waktu pemasangan pula tidak mengambil masa terlalu lama. Menurut pengalaman penulis, proses itu hanya berlangsung selama 30 minit hingga sejam saja.

Selain itu, walaupun terdapat bidet yang digunakan itu berasaskan tenaga elektrik, anda jangan sesekali takut kerana masalah terkena renjatan elektrik dan sebagainya tidak akan berlaku malah, ia berfungsi seperti tandas normal.

Hal yang sama juga diyakini tidak akan berlaku jika anda menggunakan bidet digital jenis bateri.

Akhir sekali, tandas digital ini boleh ditanggalkan untuk tujuan memudahkan proses menaik taraf sistem dan juga jika anda tidak mahu menggunakannya lagi.

Beberapa pengguna turut berkongsi mitos, pendapat dan pengalaman mereka menggunakan Coway Bidet ini di laman sosial.

Liyana Shuib misalnya menyatakan, pemasangan dilakukan dengan cepat malah tiada sebarang tebukan atau pecahan di bahagian mangkuk tandas.

Noorkhairul Aliza pula berkata, dinding dan lantai jubin juga tidak diusik dan masih dalam keadaan baik kerana juruteknik memasang bidet itu di bahagian tempat duduk saja dan bukannya keseluruhan mangkuk tandas.

Sementara itu, anda juga turut berpeluang mencuba sendiri tandas digital ini secara percuma selama 14 hari.

Untuk maklumat lanjut, layari facebook.com/CowayMalaysia dan coway.com.my atau hubungi talian khidmat pelanggannya, 1800-888-111.

Anda juga boleh menyaksikan iklan Coway Bidet di bawah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Denda pembikin bah

Posted: 29 Nov 2012 01:30 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang melanggar syarat kerja tanah menyebabkan bencana alam termasuk banjir.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya tidak menolak masalah banjir di bandar raya ini turut berpunca daripada projek pembangunan yang mengabaikan sistem saliran air dan longkang.


"Jika didapati bersalah, mereka (pemaju) dikenakan tindakan termasuk kompaun tidak kurang RM1,000 bagi setiap kesalahan. Dalam masa sama, DBKL sudah mengenal pasti 38 kawasan lokasi panas yang kerap berlaku banjir seperti Jalan Kuching, Segambut dan Sungai Besi.

"Malah, kerja pembersihan longkang daripada tersumbat akibat sampah-sarap atau tanah sudah dilakukan bagi mengatasi masalah banjir di sini," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, DBKL turut menubuhkan unit khas penguat kuasa yang sentiasa bersedia mengawal lalu lintas ketika banjir.


"Di Kuala Lumpur, aliran trafik perlahan apabila hujan lebat berlaku. Oleh itu, setiap kali mendung, unit khas ini bersedia untuk bergerak ke lokasi yang dikenal pasti bagi mengawal lalu lintas.

"Selain itu, tahun depan, kami akan bekerjasama dengan Alam Flora dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi perhatian lebih untuk menaik taraf semua saliran longkang bermasalah," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin Abd Aziz berkata, DBKL tidak membenarkan lori tanah melalui jalan raya di Pantai Dalam ke tapak projek pembangunan 71 banglo Bukit Gasing selama dua minggu, bermula kelmarin.

"Tindakan ini diambil selepas kontraktor lori itu tidak mematuhi peraturan kerana menyebabkan jalan raya menjadi kotor serta rosak selain menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Dua pengawal nafi sogok polis RM500

Posted: 29 Nov 2012 01:27 PM PST

SHAH ALAM: Dua pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memberi sogokan RM500 kepada seorang anggota polis bagi mengelak tindakan kerana menjual dadah di Hulu Langat, dekat sini, Ogos lalu.

Tertuduh, J Genash, 31, dan K Karithikeyan, 40, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.


Dua sekawan itu didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada Koperal Mohd Kamarulzaman Mohd Sukri dari cawangan pencegahan jenayah, Balai Polis Kajang di hadapan EGI Group, Lot 5290, Batu 19, Off Jalan Semenyih, Kajang, jam 5.30 petang, pada 24 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.


Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Yusliza Mohd Yusoff dari SPRM menawarkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak berkemampuan.


Asmadi membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan Genash dan Karithikeyan masing-masing melapor diri ke pejabat SPRM pada Ahad pertama setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Harimau mesti asah kuku lagi

Posted: 29 Nov 2012 07:52 AM PST

BELUM masanya untuk Harimau Malaya mendabik dada meskipun juara bertahan itu mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Laos dalam kempen kelayakan Kumpulan B Piala AFF kelmarin.

Kebangkitan skuad kendalian Datuk K Rajagobal dalam perlawanan itu selepas teruk dikritik ekoran aksi hambar ketika tumpas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pembukaan memang wajar dipuji tapi sebenarnya kemenangan ke atas Laos sudah boleh dijangka kerana kalau ia tidak berlaku, ia ibarat satu lagi tragedi buruk kepada bola sepak tanah air.


Meskipun mendominasi sepenuhnya perlawanan dengan pasukan yang kurang pengalaman, masih banyak yang perlu diperbaiki skuad kebangsaan sebelum turun dalam aksi terakhir menentang Indonesia yang diibaratkan aksi ulangan final dua tahun lalu.

Indonesia yang dikendalikan jurulatih baru, Nil Maizar sekadar seri dengan Laos 2-2 tapi mereka mula menampakkan potensi sebenar dengan menumpaskan Singapura 1-0 untuk meneraju kumpulan dengan lima mata.


Rajagobal sedar hanya kemenangan boleh menjamin anak buahnya ke separuh akhir sementara skuad Garuda pula hanya memerlukan seri untuk mara.


Mengulangi kejayaan mengalahkan Indonesia 3-0 pada perlawanan pertama final 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukan sesuatu yang mustahil buat Harimau Malaya namun jentera serangan yang diterajui Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha perlu lebih tajam.

Malah pemain negara juga diingatkan supaya mengelak daripada melakukan kesilapan jika tidak mahu dihukum dengan kepantasan pemain Indonesia khususnya Andik Vermansyah.


"Saya kecewa dengan kesilapan pemain melakukan hantaran. Kita seharusnya menutup ruang dan membunuh perlawanan menentang Laos lebih awal, mujur kita masih boleh mendapat keputusan baik malam ini (kelmarin)... yang penting pemain tidak boleh mengulangi kesilapan dalam perlawanan penting.

"Saingan dalam kumpulan ini kembali terbuka. Semua pasukan mahu mencari kemenangan, malah Laos juga masih boleh layak.


"Sebagai jurulatih, saya tetap yakin dengan kemampuan pasukan saya. Percayalah kami. Saya optimis akan mendapat keputusan baik menentang Indonesia," katanya.


Selain itu kreativiti jurulatih itu turut dituntut khususnya dalam pemilihan pemain selepas rombakan kecil dalam pasukan ketika menentang Laos tampak berhasil.


Pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama khususnya Wan Zack Haikal Wan Noor yang meledak gol ketiga kelmarin dan Mohd Shakir Shaari yang bergandingan dengan kapten Safiq Rahim di bahagian tengah agak menyerlah.


"Shakir banyak merampas bola dan membuat hantaran dengan baik mungkin dia akan diturunkan lagi," jelas Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Mat Yo kental

Posted: 29 Nov 2012 07:47 AM PST

SEMANGAT kental Norshahrul Idlan Talaha yang sanggup mengetepikan soal kesihatannya untuk membantu skuad kebangsaan membenam Laos 4-1 pada kempen Piala AFF kelmarin sesuatu yang wajar dipuji.

Pemain kebangsaan paling bernilai 2012 itu tidak menjalani latihan sehari sebelum perlawanan kerana disahkan mengalami jangkitan di telinga yang menyebabkan dia hilang keseimbangan badan, muntah-muntah dan pening kepala.


Namun Norshahrul atau Mat Yo yang baru menandatangani kontrak bersama Johor tetap diturunkan oleh ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal dan ternyata pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi yang tidak menghampakan.

"Memang kesihatan saya tidak berada di tahap 100 peratus, tapi jurulatih masih memberikan kepercayaan kepada saya dan saya berusaha untuk memberikan yang terbaik. Perlawanan semalam (kelmarin) amat penting untuk kita teruskan saingan dalam Piala AFF jadi saya kuatkan mental dan fizikal untuk bermain dengan sebaik mungkin," katanya, semalam.


Gerakan dan lariannya sering memberikan masalah kepada pemain Laos namun apa yang kurang menjadi adalah sentuhan penyudah di dalam kotak penalti.


Kegagalannya menyempurnakan sekurang-kurangnya tiga percubaan terbaik dalam perlawanan itu menyebabkan dia masih gagal menghasilkan gol dalam edisi kali ini.

Namun dia yang gemar menggelecek pemain di garisan tepi padang bertekad untuk merobek gawang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi memastikan skuad juara bertahan, Harimau Malaya mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Harimau 170kg jadi sahabat

Posted: 29 Nov 2012 11:27 AM PST

MALANG: Persahabatan dijalin sejak kira-kira empat tahun lalu membolehkan seekor harimau Benggala menjadi sahabat kepada manusia.

Haiwan liar yang dinamakan sebagai Mulan itu kini menjadi kawan akrab kepada Abdullah Sholeh.


Mulan - kini berusia empat tahun dan seberat lebih 171 kilogram - mula dijaga Abdullah sejak haiwan berkenaan berusia tiga bulan. Sejak dipelihara, hubungan Mulan dengan Abdullah semakin rapat dan kini haiwan yang lazimnya ganas dan berbahaya kepada manusia itu boleh bergurau dengan penjaganya.

Bagaimanapun, Abdullah bukanlah pemilik Mulan, sebaliknya dia cuma dibayar sebagai penjaga oleh majikannya, Noer Mohammaed Sholeh.


Mereka kini tinggal di sebuah kawasan di Malang, Indonesia.


Dikenali sebagai "pengasuh harimau" Abdullah dilaporkan sering menolak untuk tidur di katil sendiri, sebaliknya dia lebih selesa tidur bersama Mulan di kandang haiwan berkenaan. Ditanya perasaannya terhadap Mulan, Abdullah, 31, berkata dia tidak pernah takut atau bimbang terhadap harimau bertina berkenaan.

"Saya menganggap Mulan sama seperti rakan lain.


"Apabila dia menggigit atau mencakar, itu petanda Mulan seekor harimau yang normal," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Lindsay tumbuk wanita dalam kelab malam

Posted: 29 Nov 2012 10:56 AM PST

NEW YORK: Aktres Lindsay Lohan ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah kelab malam dan menumbuk seorang wanita, semalam.

Selebriti bermasalah itu berada di Club Avenue ketika dia dilaporkan berbalah dengan seorang wanita lain. Sumber polis berkata, wanita terbabit sebelum itu bergaduh dengan seorang lagi pengunjung kelab malam berkenaan.


"Hanya selepas itu wanita terbabit bergaduh pula dengan Lindsay," katanya.

Sumber itu berkata, mangsa tumbukan Lindsay adalah wanita kulit putih berusia 28 tahun.


Katanya, akibat pergaduhan berkenaan, wanita itu mengalami bengkak dan lebam di beberapa bahagian badannya. Lindsay, 26, masih diletakkan di bawah pengawasan selepas mahkamah mendapati dia bersalah mencuri seutas rantai pada Julai 2011. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sepakat ambil anak angkat

Posted: 29 Nov 2012 06:02 AM PST

KARAKTER Seth Tan lakonannya dalam drama Nora Elena, tahun lalu nyata cukup diminati ramai. Menerusi drama itu juga, Aaron Aziz berjaya memenangi trofi Pelakon TV Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) dan turut mengangkatnya sebagai Bintang Paling Popular.

Kini bagi mengisi pencalonan untuk edisi ABPBH2012, sekali lagi Aaron muncul mempertaruhkan lakonan hebat menerusi drama Adam & Hawa terbitan Global Station Sdn Bhd. Disiarkan di saluran berbayar Astro Mustika HD, Aaron melakonkan watak Adam Mukhriz, seorang juruterbang kacak dan diminati ramai.

Justeru, masih mampukah Aaron mempertahankan kemenangannya untuk dua kategori trofi berprestij itu?

Selesa menyerahkan segala keputusan undian di tangan peminatnya, ayah kepada tiga anak ini sudah cukup bersyukur dan berterima kasih di atas segala sokongan yang diberikan kepadanya selama ini.


Bersua Aaron yang ditemani isteri tersayang, Diyana Halik ketika mengikuti rombongan percutian eksklusif tiga pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) bersama pembaca bertuah Berita Harian (BH) ke kota Ho Chi Minh, Vietnam pada 23 hingga 26 November lalu, aura aktor ini masih kuat.


Apatah lagi, ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga tiba di Vietnam, peminat sentiasa mencari ruang dan mengambil peluang untuk mendekati Aaron. Tidak ketinggalan, bagi merakamkan foto istimewa serta mendapat tandatangan eksklusif daripada pelakon berusia 36 tahun ini.

Tatkala berbicara mengenai perkembangan kariernya, Aaron berkata, selain dalam proses mempertimbangkan dua skrip filem yang akan dibintanginya pada 2013 nanti, dia juga kembali duduk di kerusi sutradara untuk mengarahkan drama lapan episod, Dol & Minah (bahagian dua) terbitan produksi miliknya.

"Bergandingan dengan pelakon Jasmin Hamid, drama ini diterbitkan untuk siaran TV di Singapura. Malah saya tidak sangka ia mendapat sambutan yang baik sehingga bahagian dua dihasilkan. Sebagai peneraju utama iaitu mengarah dan berlakon sekali gus, ia tidaklah sesukar mana kerana karya ini berkonsepkan info drama.

"Agak senang mengendalikannya dan saya juga seronok bekerja dengan Jasmin.
Gandingan kami nampaknya serasi sehingga mendapat permintaan untuk sambungan bahagian dua pula. Apapun, saya sentiasa memastikan memberi yang terbaik lebih-lebih lagi drama ini terbitan produksi sendiri," katanya.

Bersimpati dengan penderitaan yang pernah dialami penduduk Vietnam selepas melawat ke Terowong Cu Chi, Muzium Peringatan Perang hingga menyusuri Sungai Mekong, Aaron berkata, dia sangat bersyukur kerana lahir dan dibesarkan di negara maju. Pun begitu, yang pasti banyak pengajaran diperolehnya.

"Hasil daripada lawatan ini, saya dapati penduduk Vietnam sentiasa gigih berjuang untuk kehidupan. Justeru, mereka sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan negara tercinta serta menyara hidup. Kesusahan serta keperitan hidup yang dialami nyata menguatkan semangat mereka untuk terus berani dan gigih berjuang.

"Malah, saya juga sangat kagum pada mereka dengan terbinanya Terowong Cu Chi ketika zaman peperangan Vietnam dan Amerika dulu. Bayangkan, kegigihan lelaki dan wanita berganding bahu dalam kesusahan serta demi menyelamatkan diri sendiri, keluarga dan anak-anak, mereka bersatu dan saling membantu.

"Hasilnya, walaupun selama 21 tahun terpaksa duduk di dalam tanah menyelamatkan diri tetapi yang penting mereka berjaya menewaskan tentera Amerika. Jerangkap samar dihasilkan daripada bahan kitar semula daripada serpihan bom dijatuhkan berjaya membunuh jutaan tentera Amerika dalam peperangan itu. Ia sangat menakjubkan," katanya.

Menurut Aaron lagi, pengalaman bercuti bersama peminat di Vietnam itu juga cukup berharga baginya.

Katanya, terlalu banyak pengajaran berkaitan kehidupan dipelajari. Terutama, pengalaman memasuki Terowong Cu Chi yang sempit dan gelap itu. Ujar Aaron, sukar membayangkan bagaimana untuk terus hidup.

Sehubungan itu, Aaron juga memaklumkan atas keprihatinannya terhadap golongan yang kesempitan hidup ini terutama kanak-kanak, dia dan isteri mengambil inisiatif menyertai skim anak angkat di bawah Penajaan Kanak-Kanak World Vision sejak tiga bulan lalu dengan sumbangan RM65 sebulan.

"Menerusi skim ini, saya mengambil seorang kanak-kanak lelaki dari Laos dan Diyana pula memilih kanak-kanak perempuan (Indonesia) sebagai anak angkat kami.
Walaupun tidak pernah bertemu dengan dua kanak-kanak itu sehingga kini, namun sumbangan daripada kami amat membantu mereka.

"Menerusi RM65 yang didermakan setiap bulan itu, kami berupaya membantu mereka menikmati kehidupan lebih baik seperti mendapat bekalan air bersih, makanan berkhasiat, tempat tinggal yang selamat serta peluang pendidikan. Justeru, saya berharap masyarakat Malaysia berminat menyertai program amal itu," katanya.

Ditanya apa yang menarik minatnya terhadap program itu, Aaron berkata, semua itu bermula atas pendedahan minat dan sokongan daripada isterinya terhadap anak angkat.

Ujarnya, kasih sayang yang menebal terhadap anak-anak kecil yang hidup dalam kesusahan juga mendorong mereka untuk tampil membantu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Pencarian Ikon Zapin

Posted: 29 Nov 2012 05:50 AM PST

PERSATUAN Belia Kota Gagasan (Noraniza Idris) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi serta Persatuan Kebajikan Pembangunan Prihatin Kuala Lumpur, akan menganjurkan pertandingan, Akar Kita..Zapin 2012.

Program mendapat sokongan Pergerakan Puteri Umno Malaysia itu adalah pertandingan berkonsepkan 'battle' zapin berkumpulan peringkat separuh akhir dan kebangsaan bagi merebut Piala Pusingan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada 29 Disember ini dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Akademi Tatihseni Malaysia, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dan Sekretariat Masyhur 1Malaysia selaku penyelaras acara keseluruhan tidak terkecuali mengambil bahagian bersama agensi lain yang dilantik untuk bekerjasama dan dipertanggungjawabkan bagi menyelaraskan program yang julung kali dianjurkan itu.

"Program ini kali pertama dianjurkan dan dijadikan sebagai acara tahunan untuk peringkat zon dan kebangsaan bagi merebut gelaran Ikon Akar Kita - Zapin bermula tahun 2012 serta Piala Pusingan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.


"Acara yang terbesar ini mengalu-alukan pembabitan lebih 32 kumpulan kesenian dan kebudayaan dari seluruh negara untuk mengambil bahagian bagi memilih 16 kumpulan terbaik mara ke peringkat Kebangsaan.


"Sasaran peserta setiap kumpulan adalah seramai 10 orang termasuk seorang kareografer dan seorang jurulatih. Kumpulan terdiri daripada lelaki dan wanita, lelaki saja atau perempuan saja. Mereka mestilah warganegara Malaysia berusia 18 hingga 40 tahun daripada pelbagai kaum," katanya.

Kriteria peserta, mereka mestilah mempunyai pelbagai asas tarian tradisional zapin. Perlu membawa dua lagu zapin pilihan sendiri untuk slot persembahan selama tiga minit.

Pendaftaran adalah percuma. Pembabitan peserta adalah di bawah tanggungan sendiri. Tarikh tutup penyertaan pada 10 Disember 2012.

Juara dan naib juara layak mengikuti Jelajah Masyhur 1Malaysia 2013 anjuran Persatuan Belia Kota Gagasan. Kategori pemenang adalah juara, naib juara, tempat ketiga, anugerah khas juri, kareografer terbaik, individu wanita terbaik, individu lelaki terbaik dan pakaian terbaik.

Masing-masing akan membawa pulang piala iringan, wang tunai berserta sijil penghargaan. Sebarang pertanyaan untuk mengetahui dan mengambil bahagian dalam acara ini sila hubungi kami di talian & "like" aktiviti di fanpage: sekretariat masyhur 1malaysia serta layari website www.masyhur1malaysia.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Berpelukan di bilik mandi

Posted: 29 Nov 2012 01:48 PM PST

BELURAN: Cubaan seorang ibu menyelamatkan dua anak perempuannya dengan keluar melalui tingkap jeriji gagal kerana ia berkunci menyebabkan ketiga-tiga beranak itu rentung dalam kebakaran membabitkan rumah kedai yang mereka diami di Jalan Lama Beluran Dua, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mayat Siti Jainah Abd Razak, 32, bersama dua anaknya, Siti Noraznizah Husin, 9, dan Siti Norajikah Husin, 5, berasal dari Kampung Kolapis, di sini, ditemui berpelukan di bilik mandi bahagian atas rumah kedai mereka.

Tiga beranak itu terperangkap selepas gagal membuka tingkap jeriji yang berkunci, manakala suaminya, Husin Ismail, 30-an, dan anak lelaki sulung mereka, Azrul Nizam, 12, yang ketika kejadian berada di tingkat bawah, sempat menyelamatkan diri.

Kebakaran itu memusnahkan sebahagian daripada ruangan restoran dan Pejabat Perhubungan Parlimen Beluran yang terletak bersebelahan kedai menjual perkakas rumah terbabit.


Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan V Sivanathan berkata, ketika kejadian, mangsa bersama dua anak perempuannya tidur di tingkat atas kedai berkenaan, namun mereka terjaga apabila berlaku kebakaran dan cuba menyelamatkan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Mati selepas ‘layang’ nota

Posted: 29 Nov 2012 01:48 PM PST

PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga Indonesia sempat meninggalkan nota serta nombor telefon yang dibuang dari tingkat sembilan sebuah kondominium di Kota Damansara meminta tolong supaya mencarikannya pekerjaan baru sebelum dia ditemui maut selepas terjatuh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, wanita berusia 30-an itu yang baru beberapa bulan bekerja dengan majikannya bertindak nekad melarikan diri dengan memanjat balkoni, namun tergelincir sebelum terjatuh dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dipercayai cuba melarikan dari rumah majikannya selepas penemuan bungkusan pakaian dan nota yang turut berada di bawah kondominium itu.

Menurutnya, pihaknya percaya mangsa membuang bungkusan baju dan nota terbabit terlebih dahulu sebelum dia bertindak berani memanjat balkoni dalam percubaannya untuk melarikan diri.


"Bagaimanapun, tindakannya itu tidak berhasil selepas gagal mengimbangi badan dan terjatuh dari tingkat sembilan serta maut di tempat kejadian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved