Isnin, 28 November 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Restoran meletup

Posted: 27 Nov 2011 01:53 PM PST

KUALA LUMPUR: Sebuah restoran di pusat beli-belah Maju Junction di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, musnah dalam letupan dan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas di dapurnya lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, letupan gas dan kebakaran restoran berkenaan di tingkat bawah pusat beli-belah berkenaan turut mengakibatkan beberapa premis berhampiran rosak, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 11.25 malam dan setibanya di tempat kejadian api sudah marak dari bahagian dalam restoran.

"Ketika kejadian semua pekerja selesai bertugas kira-kira 20 minit sebelum letupan berlaku. Siasatan awal mendapati ia berpunca dari kebocoran gas yang kemudian menjadi mampat akibat terkepung di dalam restoran berkenaan sebelum meletup dan menyebabkan kebakaran.


"Api marak dengan cepat, namun berjaya dikawal daripada merebak ke premis lain dan dipadamkan sepenuhnya jam 11.45 malam," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menurutnya, akibat kejadian itu premis berkenaan rosak teruk pada bahagian dinding dan siling serta cermin hadapan pecah hingga bertaburan di atas jalan raya.


"Bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kebocoran berkenaan berpunca dari kecuaian pekerja atau masalah teknikal sistem saluran gas di premis berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Maju Junction Mall, Albert Khoo, dalam satu kenyataan, di sini, semalam, mengesahkan kejadian letupan dan kebakaran itu.


"Restoran terbabit rosak keseluruhannya dan setakat ini siasatan masih dijalankan pihak bomba dan polis bagi mengenal pasti punca letupan berkenaan.

"Tiada kecederaan dilaporkan dan berikutan itu, Maju Junction ditutup hari ini (semalam) dan beroperasi seperti biasa esok (hari ini)," katanya.


Menurutnya, kejadian letupan itu pertama kali berlaku di pusat beli-belah berkenaan sejak dibuka pada 2002 dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lagi selepas siasatan daripada pihak berkuasa selesai.

Full content generated by Get Full RSS.

Remaja perempuan dicabul penghuni pusat pemulihan

Posted: 27 Nov 2011 11:52 AM PST

MARANG: "Saya diseksa hampir setengah jam oleh lima rakan sebilik. Mereka bukan saja tidak mengendahkan rayuan saya, tetapi berterusan melakukan perbuatan terkutuk itu walaupun saya merayu minta dilepaskan," kata remaja hanya mahu dikenali sebagai Mira, 14, dari Klang, Selangor, yang mendakwa menjadi mangsa penderaan seksual dan buli di sebuah sekolah pemulihan akhlak di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, Mira yang juga anak kedua daripada tiga beradik mengalami detik hitam apabila mendakwa alat sulitnya dirodok dengan botol pewangi badan dan jari oleh lima pelajar berusia 14 hingga 17 tahun terbabit yang tidak puas hati terhadapnya.


"Kejadian itu menyebabkan saya tertekan terutama mengenangkan masa depan sedangkan saya dihantar ibu ke sini untuk berubah," katanya yang baru dua bulan memasuki sekolah itu.

Mira mendakwa berjumpa pelajar terbabit dalam bilik mandi jam 3 petang apabila mereka secara sukarela mahu membantunya mencuci rambut yang dijangkiti kutu, tetapi ketika membantunya seorang pelajar 17 tahun meraba belakang badannya menyebabkan dia kurang selesa lalu memarahinya dan segera mandi sebelum balik ke bilik asrama.


"Ketika saya bersiap untuk keluar menghadiri satu program, berlaku pertengkaran mulut dan dia menolak saya ke almari, tetapi saya melawan. "Dia memanggil empat lagi rakannya yang turut berada dalam bilik air sebelum ini iaitu dua berusia 14 tahun memegang tangan dan kaki manakala yang berusia 16 tahun menutup mulut dan mata dengan selimut sebelum dia naik ke atas badan saya.


"Seorang daripada mereka memasukkan botol pewangi ke dalam alat sulit saya diikuti jarinya hampir 20 minit. Mereka memperlakukan saya seperti binatang," katanya sedih ketika ditemui di sebuah kedai di Marang, semalam.

Bagaimanapun, katanya, lima pelajar terbabit menghentikan perbuatan mereka apabila pintu bilik berkenaan diketuk seorang pelajar lain jam 4.20 petang sebelum Mira bergegas keluar.


Dia bercadang mendiamkan kejadian itu, tetapi seorang senior berusia 17 tahun yang juga rakan baiknya mengetahui perkara itu sebelum diketahui warden asrama.

Pihak sekolah membawanya ke hospital sebelum dibenarkan keluar jam 6.30 petang Sabtu lalu dan dia menceritakan kejadian itu kepada ibunya yang baru tiba dari Klang, Selangor.


Mira mendakwa pernah beberapa kali dibuli lima pelajar terbabit apabila dia bukan saja dipaksa mencuci tandas dan pakaian, tetapi turut ditendang selain kehilangan beberapa barang keperluan hariannya.


Sementara itu, ibu mangsa, Nur, 30-an, menerima panggilan daripada polis jam 2.15 pagi Jumaat lalu, memaklumkan Mira dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana menjadi mangsa buli sedangkan pihak sekolah tidak menghubunginya.


"Ibu mana yang tidak sakit hatinya melihat anak diperlakukan sebegini rupa sedangkan tujuan saya menghantarnya untuk mengubah dan mendisplinkannya, tetapi sebaliknya yang berlaku," katanya yang juga pekerja di sebuah kilang di Kapar, Klang.


"Ketika melawatnya pada Aidiladha lalu, Mira mengadu dibuli sambil menunjukkan lebam di badannya. Saya memintanya bersabar dan membangkitkan perkara ini kepada pihak sekolah supaya tindakan sewajarnya diambil.


"Tidak sangka ia akan menjadi serius seperti ini. Perkara seumpama ini mungkin tidak berlaku seandainya pihak sekolah memandang serius aduan saya," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika ditemui mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Imran derita lepas cerai

Posted: 27 Nov 2011 08:38 AM PST

LONDON: Pemain kriket terkemuka Pakistan, Imran Khan, berkata dia hilang semangat untuk hidup selepas perkahwinannya dengan Jemima Glodsmith musnah Dipetik media tempatan semalam, Imran berkata, enam bulan sebelum perceraian dan enam bulan selepasnya adalah detik "paling perit" dalam hidupnya.

Kata Imran, dia juga berasa amat sedih apabila tidak dapat bertemu dua anak lelakinya, Sulaiman, 8, dan Kasim, 5.


"Membesarkan mereka adalah pengalaman paling indah dalam hidup dan kini tanpa mereka di sisi menjadi cabaran terbesar untuk ditangani," katanya.

Untuk kali pertama, kata Imran, dia memahami bagaimana seseorang boleh patah semangat untuk hidup.


Katanya, kesan terhadap anak-anak ternyata memburukkan lagi keadaan.


"Melihat kesedihan Sulaiman menjadikan kesengsaraan saya berganda.

"Saya sangat rindukan mereka dan tiada apa dapat mengubatinya," katanya.


Melalui buku terbaru Imran yang diterbitkan dalam usahanya mendapatkan kuasa politik, dia turut menulis bagaimana politik dan kehidupan berkeluarga gagal diserasikan selepas berkahwin dengan Jemima pada 1995.

Ketika itu, Imran berusia 43 tahun, manakala Jemima baru 21.


Kata Imran, pengorbanan terbesarnya kerana terbabit dalam politik adalah masa yang sangat terhad untuk diluangkan bersama keluarga.


Dalam buku itu juga, Imran menceritakan bagaimana dia diperlekeh di Pakistan ketika menubuhkan parti politik sendiri, manakala Jemima didakwa menjadi sebahagian daripada rancangan Zionis menguasai negara itu.


"Jemima berharap saya tak menyertai politik.


"Sebagai wanita pemalu dan sensitif, tuduhan dilakukan ke atasnya sangat berat," katanya.


Sejurus selepas itu, Jemima kembali ke Britain bersama Sulaiman dan Kasim untuk membolehkan kanak-kanak itu belajar mengenai Islam moden di universiti.


Jemima dan Imran bercerai pada 2004.


Kata Imran, dia lega kerana kesedihan Jemima berakhir selepas mereka berpisah. - DM

Full content generated by Get Full RSS.

Robot canggih bakal kawal banduan Korea Selatan

Posted: 27 Nov 2011 08:16 AM PST

SEOUL: Mana-mana banduan yang cuba melarikan diri dari penjara Korea Selatan tidak lama lagi terpaksa berdepan lebih daripada pengawal, rintangan dan menara kawalan.

Kini pihak berkuasa dilengkapi pengawal baru - robot berteknologi tinggi yang mampu mengesan tingkah laku mencurigakan di kalangan banduan.


Tiga robot pertama - setiap satu setinggi 1.5 meter - akan mula digunakan di penjara bandar Pohang awal tahun depan.

Jika pelaksanaannya berjaya, lebih banyak robot akan dihasilkan untuk mengawal penjara Korea Selatan.


Robot itu diprogramkan untuk meronda di kawasan koridor penjara dan memantau keadaan dalam sel, manakala pengesan yang ada padanya membolehkan ia menilai perubahan keadaan banduan - sama ada agresif atau berisiko membunuh diri.


Semua maklumat itu kemudian dimaklumkan kepada pegawai bertugas. Robot itu bergerak menggunakan empat roda dan boleh menghubungkan tahanan dengan pengawal melalui sistem perhubungan terkawal.

Pegawai Asian Forum For Corrections, Prof Lee Baik-Chul, berkata berbanding sistem kamera litar tertutup yang hanya memantau, robot itu diprogramkan untuk menganalisis pelbagai aktiviti dalam penjara.


"Kini robot itu dalam peringkat perapian bagi membolehkan ia kelihatan lebih mesra kepada banduan," katanya. DM

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Anak bunuh ibu lumpuh

Posted: 27 Nov 2011 12:43 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang ibu berusia 75 tahun yang uzur dan lumpuh maut 'disembelih' anak lelakinya ketika dia tidur nyenyak di banglo di Taman Bukit Serdang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, suspek berusia 35 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental mengambil pisau di dapur rumah mereka dan mengelar leher ibunya yang tidur di atas katil di ruang tamu.

Difahamkan, ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah dan suspek yang menerima rawatan di Unit Psikiatri, Hospital Serdang (HS), di sini, diberi tanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh memandangkan suspek tidak bekerja.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 10.45 pagi.


"Hasil soal siasat seorang anak mangsa iaitu kakak suspek mendakwa dia datang ke rumah berkenaan untuk berjumpa ibu dan adik lelakinya namun terkejut apabila mendapati ibunya terbaring berlumuran darah.


"Sebaik menyedari kehadiran kakaknya, suspek cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sebelum rebah ke lantai dan kakak membawanya ke HS untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Ibu tanam mayat bayi baru lahir

Posted: 27 Nov 2011 12:41 PM PST

TAMPIN: Status kesihatan seorang ibu yang mencurigakan ketika dia menjalani pemeriksaan di Hospital Melaka (HM) membawa kepada penahanan wanita itu kerana disyaki menanam mayat bayi lelakinya yang lahir tidak cukup bulan di kawasan semak sekitar Jalan Batu Belang, dekat sini.

Difahamkan, suspek berusia 25 tahun pergi mendapatkan rawatan di hospital berkenaan pada malam Jumaat lalu sebelum ditahan polis bagi membantu siasatan jam 1 pagi kelmarin.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, sejurus menerima laporan daripada HM, sepasukan polis diketuai Cif Inspektor Azmi Abdul Salam bergegas ke hospital itu untuk menahan wanita berkenaan.

"Selepas disoal siasat, suspek membawa anggota polis ke tempat mayat bayinya ditanam di kawasan semak di Jalan Batu Belang. Bayi itu dipercayai ditanam pada sebelah petang.


"Polis mengambil masa hampir setengah jam untuk menggali dan mengeluarkan mayat bayi lelaki yang sudah reput dan berkecai itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurut beliau, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tampin sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Kata Wooi, suspek dari Taman Indah, dekat sini, direman tiga hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurutnya, bayi itu dipercayai dilahirkan pada 22 November dan suspek kini dikatakan dalam proses bercerai dengan suaminya. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Cif Inspektor Azmi Abdul Salam di talian 06-4411221/ 06-4411222 bagi membantu siasatan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Tak tau nak cakap apa’

Posted: 27 Nov 2011 12:20 PM PST

PENGENDALI skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee jelas kecewa selepas menyaksikan anak-anak buahnya kecundang pada 10 minit terakhir Kelayakan Olimpik Zon Asia kepada Bahrain, semalam.

Tiga gol dilepaskan itu membolehkan pelawat yang beraksi dengan 10 pemain memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 walaupun mendahului dua jaringan pada awalnya.


"Saya tidak tahu bagaimana mahu cakap. Lima minit, semuanya berubah. Saya terpaksa menerima hakikat skuad ini tidak mempunyai ramai pemain tengah," katanya.

Tambahnya, barisan pemain muda negara kehilangan kawalan selepas penjaring gol pertama, Mohamad Nazmi Faiz Mansor dan rakannya di jentera tengah, Mohd Affize Faisal Mamat dikeluarkan kerana kecederaan. "Lawan bergerak dengan selesa selepas ketiadaan mereka (bermula minit ke-60), kita hilang kawalan pada bahagian tengah. "Manakala Irfan Fazail terpaksa menamatkan perlawanan walaupun mengalami kecederaan (sudah melakukan tiga pertukaran)," katanya. Sementara itu pengendali Bahrain, Salman Shareeda berkata adalah sesuatu yang menakjubkan apabila bangkit mencatatkan kemenangan pertama selepas tewas pada dua perlawanan sebelum ini.


"Sebelum datang ke sini saya sudah menyatakan kepada pemain bahawa Malaysia adalah sebuah pasukan yang bagus dan perlu bersedia. Saya gembira kerana ini kemenangan pertama kami," katanya.


Tambahnya walaupun kehilangan seorang pemain kerana mendapat kad merah, beliau melakukan pertukaran yang membuahkan hasil apabila mengeluarkan dua pemain tengah bertahan dan memasukkan dua pemain tengah menyerang.

"Nyata ia membuahkan hasil. Pada pandangan saya, kedua-dua pasukan menang hari ini kerana mempamerkan permainan yang bagus serta jarang satu perlawanan kita dapat saksikan lima jaringan dilakukan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Arif gagal atasi ketangkasan Alamsyah sekali lagi

Posted: 27 Nov 2011 12:17 PM PST

PEMAIN pelapis negara, Mohd Arif Abdul Latif gagal menebus kekecewaan tahun lalu apabila tumpas sekali lagi kepada pemain Indonesia, Alamsyah Yunus pada final Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Proton Malaysia 2011, semalam.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Sandakan, Mohd Arif, 22, berazam mengubati kekecewaan kalah pada final tahun lalu sebelum terpaksa akur dengan ketangkasan lawannya sebelum kalah 12-21, 21-17, 14-21.


Mohd Arif yang tewas pada set pertama berjaya memenangi set kedua tapi Mohd Arif nampak keletihan dan perlawanan ditentukan pada rubber set.dengan permainan banyak dikawal oleh Alamsyah.

Alamsyah ketika ditemui selepas perlawanan itu menyifatkan permainan Mohd Arif sudah matang dan memberikan saingan sengit sebelum dia menang.


Menurutnya tumpuannya selepas ini adalah untuk melayakan diri dalam pasukan Piala Thomas negaranya pada tahun hadapan dan meningkatkan dirinya dalam kedudukan pemain perseorangan Indonesia.


"Pada masa sekarang, saya berada di kedudukan kelima dan saya menyasarkan untuk meningkatkan kedudukan itu untuk terpilih dalam pasukan Piala Thomas," katanya.

Pasukan negara tidak pulang kosong selepas beregu campuran, Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing muncul juara selepas menundukkan beregu Indonesia Andhika Anhar dan Hanadia Keshya 21-18, 21-17.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Keluarga sudah tahu

Posted: 27 Nov 2011 10:30 AM PST

BEKAS anggota kumpulan OAG yang kini mencipta nama sebagai pengacara, Qushairi Mohammed Razali atau Qi dilihat tidak lagi berahsia mengenai hubungannya dengan penyanyi popular Yuna. Pasangan ini lebih bersikap terbuka mengenai hubungan mereka dan sering dilihat bersama termasuklah menghadiri majlis penganugerahan.

Ditemui di satu sesi fotografi khas bagi mempromosikan rancangan Field Trip USA musim kedua yang disiarkan setiap Rabu, 9.30 malam di 8TV, jejaka berusia 34 tahun itu menegaskan, apa yang dilakukan adalah perkara biasa dan tiada apa yang perlu disorokkan membabitkan hubungannya dengan penyanyi bakal mencipta nama di Amerika Syarikat itu.

"Cuma dalam keadaan tertentu saya juga seperti orang lain. Ada perkara dianggap peribadi tidak perlu dikongsikan dengan umum. Begitupun saya tidak berselindung mengenai hubungan saya dan Yuna. Saya mahu menjalani hidup seperti manusia biasa dan menjadi diri sendiri," katanya.

Tegas Qi lagi, sebelum ini bukan dia mahupun Yuna mahu menyembunyikan hubungan cinta mereka, sebaliknya mereka masih lagi dalam peringkat berkenalan dan berkawan. Soal cinta tidak wujud.


"Apabila ia benar-benar berlaku saya dan Yuna sendiri tidak menyembunyikan.

Lagipun hubungan kami sudah diketahui keluarga kedua-dua belah pihak. Tidak ada perkara yang kami fikir perlu disembunyikan. Pada saya biarlah kami dahulukan keluarga. Tidak manis sekiranya hubungan kami diketahui orang sedangkan mereka tidak tahu," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan dia dan Yuna akan mengakhiri zaman solo dalam masa terdekat, kata Qi, mereka belum lagi memikirkan mengenai perkara itu apatah lagi kedua-duanya sedang sibuk.

"Yuna sendiri akan mempromosikan album Inggeris untuk pasaran Amerika Syarikat.
Sepanjang tahun depan dia akan menjelajah negara Uncle Sam itu. Dan saya sendiri sudah mempunyai beberapa perancangan termasuk kembali aktif menghasilkan muzik di samping mengintai peluang kembali ke layar kaca atau perak," katanya.

Penghijrahan dibuat Qi yang sebelum ini menganggotai kumpulan popular indie, OAG dengan menyertai dunia penyiaran dan menjadi pengacara mula menunjukkan perkembangan. Apatah lagi peluang mengendalikan rancangan popular seperti Destinasi Budget disiarkan di 8TV sebelum ini dan Jalan-Jalan Cari Makan membuatkan namanya menjadi sebutan ramai.

Tidak kurang juga ramai yang memuji kemampuannya sebagai pengacara. Kata mereka, Qi begitu bersahaja dan sangat petah beraksi depan kamera sewaktu memberikan informasi kepada penonton.

"Saya tinggalkan dunia muzik sekitar 1999 dan pada 2004 barulah saya mencuba bidang pengacaraan. Segala bermula daripada ajakan seorang teman yang meminta saya mengacarakan rancangan Destinasi Budget. Saya kurang yakin tetapi apabila menghadiri uji bakat mereka berminat dan melamar saya.

"Pertama kali menonton wajah saya sebagai pengacara saya rasa kelakar, tetapi rakan-rakan memberitahu saya boleh buat dan saya nampak bersahaja.

Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada ibu kerana dia menjadi pengkritik utama. Setiap kali rancangan itu disiarkan ibu akan memberikan komen apa yang harus saya perbaiki dan daripada situ saya mula berubah dan mengumpul keyakinan," katanya.

Berpindah daripada dunia muzik kepada pengacaraan kata Qi, tidak memberikan banyak masalah kepadanya kerana apa yang berbeza adalah medium dan alat digunakan untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikan.

"Seperti muzik saya ingin menyampaikan lagu kepada orang ramai. Untuk itu ia memerlukan melodi dan nota lagu bagi menjadikan ia satu karya yang baik dan boleh diterima. Sementara pengacaraan pula kita perlu menyampaikan informasi kepada penonton dan apa yang diperlukan adalah kamera. Persamaan yang wujud dalam dua perkara ini adalah penyampaian harus datang dari hati dan akal.
Sekiranya itu dapat dilakukan barulah orang mudah untuk menerima lagu dihasilkan atau rancangan dipersembahkan," katanya.

Bercerita mengenai Field Trip USA untuk musim kedua, kata Qi kali ini pihak produksi cuba membawa penonton melihat Amerika Syarikat dari sudut berbeza di mana pelajar terbabit dalam rancangan ini akan tinggal bersama keluarga yang menetap di kawasan luar bandar di sana selama enam bulan.

"Saya hormati semangat yang dimiliki pelajar terbabit yang sanggup tinggal di kawasan pedalaman di Amerika dalam tempoh enam bulan semata-mata untuk menimba ilmu dan belajar cara hidup masyarakat lain. Saya berkesempatan mengunjungi beberapa tempat di mana pelajar ini tinggal. Pada saya untuk menetap empat hari sudah bosan inikan pula mereka duduk sampai enam bulan.

"Seorang pelajar, Thessa tinggal bersama keluarga angkatnya di kawasan kampung di Iowa. Dia berasal dari Melaka. Bayangkan penempatan tempat keluarga angkatnya menetap hanya ada 200 orang penduduk. Rasanya Melaka jauh lebih maju.
Tidak ada banyak aktiviti di sana tetapi dia gembira tinggal bersama keluarganya dengan membantu mereka berladang. Satu kehidupan cukup menarik untuk dipaparkan," katanya.

Satu lagi keluarga yang sempat dilawati apabila seorang pelajar bisu menetap dengan keluarga angkatnya yang juga bisu di Indianapolis. Katanya menarik kerana bapa keluarga angkatnya itu seorang genius kerana menghasilkan satu perisian yang dapat membantu orang kelainan upaya (OKU) seperti mereka.

Beralih kepada harapannya sempena menyambut tahun Maal Hijrah, Qi menjelaskan seperti umat Islam yang lain dia mengharapkan perancangan bakal dilaksanakan akan menjadi kenyataan. Apatah lagi impiannya besar kerana mahu kembali aktif dalam bidang muzik.

"Saya sangat rindukan muzik dan mahu kembali aktif. Kebanyakan bidang pengacaraan yang saya lakukan sekarang akan berakhir tahun ini dan masa terluang membuka ruang kepada saya untuk kembali aktif dengan menghasilkan muzik. Saya juga mahu mencuba menyanyi sendiri lagu-lagu yang dihasilkan.

"Selain itu saya juga bercadang mahu mengadakan persembahan bersama OAG.
Alhamdulillah, keadaan Radhi sudah semakin baik. Ternyata tahun baru yang datang ini saya lihat membawa banyak rahmat bukan saja kepada saya tetapi semua orang. Saya berdoa agar apa yang saya impikan ini akan terlaksana. Begitupun segala saya serahkan kepada-Nya. Sebagai hambanya saya hanya mampu berusaha dan berdoa apa yang diimpikan menjadi kenyataan," katanya seraya mengakhiri perbualan.

Full content generated by Get Full RSS.

RIM sedia terima kritikan

Posted: 27 Nov 2011 10:20 AM PST

ADA yang berpendapat penggiat industri muzik tempatan tidak perlu lagi menuding jari kerana mereka yang bertanggungjawab melakukan kesilapan dalam pengumuman pemenang kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-18 (AIM18) sudah mengakui kelemahan mereka.

Pada Khamis (24 November) lalu, penganjur AIM 18 iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan syarikat juruaudit bertanggungjawab menyelaras keputusan, Ernst & Young, pada majlis sidang media khas mengakui kesilapan dan trofi diserahkan kembali kepada mereka yang sepatutnya menang iaitu lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim dan penyanyinya, Anuar Zain.

Pada malam majlis AIM18 di Stadium Putra Bukit Jalil dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria, ratusan ribu peminat dan penggiat industri muzik sendiri menyaksikan nama Yunalis Zarai atau Yuna, diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik. Bagaimanapun tidak sampai dua minggu, anugerah dimenangi ditarik balik RIM.

Mengikut syarat sebelum ini, hanya lagu yang memenangi setiap kategori genre iaitu Lagu Pop Terbaik, Etnik, Rock dan Nasyid terbaik layak untuk dinilai kembali bagi memenangi anugerah Lagu Terbaik.


Bagaimanapun tahun ini berbeza apabila lagu dicipta sepenuhnya Yuna, Penakut awalnya tewas kepada lagu Sedetik Lebih bagi kategori Lagu Pop Terbaik.


Kesan daripada kesilapan itu tentu membimbangkan kerana selepas ini, kepercayaan terhadap pengiktirafan kepada penggiat industri muzik tempatan menerusi satu-satunya majlis prestij ini akan terjejas.

Penggiat sendiri mungkin hilang percaya terhadap apa yang akan dilakukan RIM selepas ini.

Pada sidang media terbabit Pengerusi Bersama Penganjuran AIM18, Rosmin Hashim, menjelaskan pihaknya menyedari perkara itu dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku.

Katanya, wujud kekeliruan sewaktu proses pemilihan Lagu Terbaik menyebabkan berlaku kesilapan terhadap keputusan pemenang.

"Mereka yang memilih juara untuk kategori utama ini terdiri daripada juri berbeza. Untuk memastikan kemenangan bagi setiap kategori genre lagu tidak diketahui mereka, beberapa lagu yang turut dicalonkan dalam kategori pop, etnik, nasyid dan rock turut disertakan termasuklah lagu ciptaan Yuna, Penakut.

"Sewaktu penjurian dibuat tidak dinafikan markah yang diberikan juri terhadap lagu Penakut lebih tinggi berbanding lagu yang menjuarai setiap kategori genre.
Kerana itu pada malam majlis anugerah nama Yuna disebut sebagai pemenang," katanya.

Perkara itu pastinya menimbulkan keraguan, terutama apabila Rosmin sendiri menegaskan cara penjurian terbabit sudah dilakukan sejak dulu sepanjang 18 tahun penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) dibuat.

"Biasanya untuk tahun-tahun sebelum ini, pemilihan juri tidak pernah tersasar dan mereka memilih lagu menjadi juara daripada salah satu genre lagu dipertandingkan. Bagaimanapun tahun ini apa yang berlaku adalah sebaliknya," jelasnya.

Setiap pertandingan yang dibuat selalunya keputusan yang diumumkan adalah muktamad dan AIM18 tidak terkecuali, bagaimanapun kesalahan yang berlaku dikhuatiri bakal membuka ruang untuk ramai pihak mempertikai sekali gus meminta agar setiap keputusan AIM selepas ini dikira kembali.

Sekiranya perkara ini berlanjutan prestij majlis penganugerahan yang asalnya mahu mengangkat martabat industri muzik tempatan dikhuatiri hilang.

Menjelaskan mengenai perkara ini Rosmin menegaskan pihaknya cuba melakukan perkara yang betul dan memperbaiki segala kesilapan. Apatah lagi mengikut syarat ditetapkan oleh AIM, lagu yang memenangi Lagu Terbaik harus menjuarai salah satu kategori bagi genre lagu. Pihak RIM tetap mahu berpegang kepada syarat yang sudah diputuskan sebelum ini.

"Kita semua manusia dan kesilapan memang boleh berlaku tetapi kami berusaha untuk memperbaiki segala kesilapan yang sudah terjadi dan kami sendiri mengharapkan ia tidak berulang," katanya.

Jelas Rosmin, pihaknya bersikap terbuka menerima segala pandangan dan kritikan diberikan ekoran insiden itu.

Waktu yang sama, Rosmin mengharapkan mereka akan dapat mengadakan forum bagi memberikan pandangan terhadap perubahan yang mahu dilakukan kepada AIM membabitkan konsep penjurian.

Sementara itu Rakan Kongsi Ernst & Young, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim, mengakui kesilapan yang berpunca daripada pertukaran kakitangan yang tidak biasa dengan sistem penjurian sebelum ini.

"Kami akui kesilapan berlaku kepada pihak kami. Sekarang terpulanglah kepada pihak RIM sendiri selaku penganjur untuk memutuskan segala tindakan yang mahu diambil," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved