Selasa, 11 Disember 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Boleh menyusu jika tak mudarat

Posted: 11 Dec 2012 06:55 AM PST

RAMAI kaum ibu beranggapan menyusu ketika hamil tidak harus dilakukan.

Malah, mereka juga berpendapat menyusukan bayi secara seiringan (tandem) iaitu menyusukan bayi yang baru bersalin bersama anak yang sedia ada tidak boleh dilakukan.

Ia juga perlu dihentikan kerana proses berkenaan mungkin boleh memberi kemudaratan kepada anak yang baru lahir mahupun anak sedia ada.

Tanggapan terbabit diperkukuhkan lagi dengan mitos pantang larang orang tua mengatakan si ibu tidak patut menyusukan anaknya lagi ketika mengandung.


Keadaan ini dikhuatiri akan menyebabkan kandungan terjejas disebabkan khasiat susu badan diambil oleh anak yang masih menyusu sedangkan bayi di dalam kandungan sedang membesar dan memerlukan nutrien tambahan.


Sebenarnya daripada segi kesihatan, si ibu masih boleh menyusukan anak mereka walaupun ketika mengandung ataupun selepas bersalin menyusukan secara seiringan dengan anak sedia ada.

Bagaimanapun, jika keadaan kesihatan ibu tidak mengizinkan dan doktor menyarankan untuk memberhentikan penyusuan kerana akan memudaratkan bayi serta ibu itu sendiri, ia perlu dipatuhi.

Malah majoriti doktor menggalakkan pemberian susu ibu kepada bayi mereka walaupun ketika itu ibu terbabit sedang hamil selagi si ibu tidak mempunyai masalah kesihatan.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Suhaimi Hassan, berkata terdapat satu masalah yang berlaku semasa pertengahan kehamilan yang mana kuantiti susu akan berkurangan.

Keadaan ini disebabkan perubahan hormon semasa mengandung dan lagipun kebanyakan ibu tidak lagi memerah susu untuk anak sedia ada.

Ibu yang hamil juga harus memastikan tumbesaran bayi yang menyusu tidak terbantut kerana kerana kekurangan susu.

Pada masa ini, ramai ibu yang khuatir mengenai keperluan susu anak mereka namun mereka perlu ketahui selepas anak berumur setahun, susu bukanlah lagi diet utama bagi anak.

"Anak perlu diberi makanan lain untuk memenuhi keperluan zat mereka dan proses penyusuan pada waktu ini lebih kepada pengisian emosi yang tiada tolok bandingnya.

"Jika pertumbuhan tumbesaran anak terbantut disebabkan kekurangan susu badan dan disahkan doktor pakar kanak-kanak, ibu yang hamil harus menambah susu formula untuk anak sedia ada yang menyusu terutama jika anak terbabit berumur bawah enam bulan," katanya.

Ibu juga harus tahu pada penghujung kandungan, susu ibu akan berubah rasa kerana penghasilan kolostrum sebagai persediaan untuk bayi yang bakal dilahirkan.

Kadang-kadang keadaan ini akan menyebabkan anak yang menyusu itu berhenti menyusu secara semula jadi.

Namun si ibu tadi tidak perlu memaksa anak itu meneruskan penyusuan dan perlu diingatkan jika kanak-kanak berkenaan ingin terus menyusu, kolostrum akan sentiasa terbentuk dan mencukupi untuk bayi yang bakal dilahirkan.

"Jika pada masa ini ibu memilih untuk memberhentikan penyusuan, dia harus pandai memujuk anak yang baru bercerai susu kerana ia boleh mengganggu emosi anak itu.

"Tetapi jangan bersedih kerana si ibu boleh cuba memujuk mereka menyusu semula selepas kelahiran bayi baru sekiranya masih ingin membekalkan khasiat susu ibu untuk jangka masa panjang kepada si anak tadi," katanya.

Selain itu, tanggungjawab ibu menyusu ketika hamil agak berat kerana jika anak yang sedang menyusu berusia kurang daripada setahun, si ibu perlu memerhatikan pertambahan berat badannya sendiri semasa hamil.

"Kebiasaannya si ibu akan menjadi lebih penat kerana perlu melayan kerenah anak dan bayi dalam kandungan pada masa yang sama, oleh itu dapatkan rehat secukupnya bagi mengurangkan tekanan.

"Ketika hamil puting payudara si ibu juga mungkin lebih sensitif justeru, si ibu perlu memastikan anak sedia ada menghisap puting dengan cara yang betul," katanya.

Jika keadaan sebaliknya berlaku dan si ibu mengalami luka pada bahagian berkenaan, jangkitan kuman mudah berlaku dan mungkin boleh menyebabkan payudara membengkak dengan nanah dan ibu perlu melakukan pembedahan kecil. Ini akan menyukarkan keadaan dan anak mungkin akan berhenti menyusu.

Bagaimanapun, katanya untuk memastikan penyusuan susu ibu terbabit berjaya, golongan ibu yang membuat keputusan untuk meneruskan penyusuan ketika hamil perlu menjaga kesihatan diri serta mengambil makanan seimbang secara tetap.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan pengambilan kalsium terutama susu sentiasa mencukupi memandangkan keperluan kalsium anak dalam kandungan serta anak yang sedang menyusu sangat tinggi.

"Si ibu seharusnya mengambil makanan atau menepati diet seperti piramid makanan yang betul serta makan makanan berzat.

"Malah, mereka perlu minum air dengan kuantiti yang banyak demi kesihatan diri dan juga bayi," katanya.

Dr Suhaimi berkata, terdapat beberapa keadaan yang mana kaum ibu tidak dibenarkan menyusukan bayi mereka ketika hamil.

Keadaan ini apabila ibu hamil mengalami masalah muntah yang teruk semasa awal mengandung.

Selalunya ibu yang mengalami muntah yang teruk, badan mereka sangat tidak bermaya dan meneruskan penyusuan akan lebih memudaratkan ibu. Mereka boleh mencuba untuk memulakan penyusuan semula apabila keadaan pulih kelak.

Satu lagi faktor apabila ibu mengalami kontraksi pramatang semasa mengandung atau mereka pernah melahirkan bayi pramatang.

Kebiasaannya doktor tidak menggalakkan penyusuan kerana dengan meneruskan penyusuan ia akan menyebabkan kontraksi bertambah kuat dan akan menyebabkan ibu melahirkan bayi pramatang.

Keadaan ini disebabkan penambahan dan perubahan hormon dalam badan yang menggalakkan kontraksi.

Jika berlaku perdarahan semasa peringkat awal mengandung, ibu juga tidak digalakkan meneruskan penyusuan kerana khuatir ia mungkin boleh menyebabkan keguguran kandungan.

Akhir sekali, dia berharap ibu yang ingin menyusukan bayi ketika hamil agar sentiasa bertanya doktor mereka terutama sekali jika terdapat sebarang keraguan.

Fakta susu ibu:

  • Khasiat dalam susu ibu mengatasi segala khasiat yang disediakan dalam susu formula sedia ada di pasaran.
  • Si ibu perlu menyusukan anaknya dengan susu ibu selama enam bulan secara eksklusif dan meneruskannya sehingga dua tahun di samping makanan tambahan bayi. Kebanyakan pakar kanak-kanak berpendapat makanan tambahan pula hanya dimulakan ketika anak berumur enam bulan dan ke atas.
  • Susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi serta mudah dihadam dan digunakan
    bayi dengan berkesan.
  • Ia juga berupaya melindungi si bayi daripada penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran.
  • Bagi bayi yang dilahirkan pramatang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi terbabit kerana ia kurang laktosa, lebih protein, laktoferrin dan imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan.
  • Penyusuan susu ibu juga menjimatkan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan, tidak perlu membeli susu formula dan mengurangkan perbelanjaan untuk rawatan perubatan kerana bayi yang menyusu ibu jarang sakit.
  • Penyusuan susu ibu berupaya membantu mengeratkan kasih sayang antara
    anak dan ibu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



  • Kelebihan kentang

    Posted: 11 Dec 2012 06:43 AM PST

    KENTANG kaya dengan pelbagai khasiat pemakanan khususnya serat, vitamin dan mineral penting. Mungkin tidak ramai tahu kentang bersaiz sederhana seberat 148 gram kaya dengan vitamin C.

    Selain itu, ia juga membekalkan zat kalium apabila dimakan dengan kulit selain hanya mengandungi 110 kalori serta kurang daripada sembilan peratus nilai harian karbohidrat.

    Ia membekalkan serat sebanyak lapan peratus jika diambil bersama kulit dan tidak mengandungi lemak, natrium serta kolesterol.

    Pelbagai jenis kentang segar boleh didapati di dunia seperti russet, kentang putih bulat, putih panjang, merah, kuning, biru dan ungu serta jejari.


    Kentang russet digunakan secara meluas di Amerika Syarikat. Sebahagian besarnya ditanam di kawasan barat laut negara itu dan ia boleh didapati sepanjang tahun.


    Teksturnya lebih berkanji serta mudah dikenali melalui warna kulit yang perang dan isinya yang putih. Disebabkan kandungan kanji yang tinggi, teksturnya seperti tepung apabila dimasak menjadikannya sesuai dibakar, digoreng atau dilecek.

    Kentang putih bulat juga boleh didapati sepanjang tahun. Ia mempunyai kandungan kanji sederhana tinggi dan berkulit nipis rona perang muda serta isinya berwarna putih.

    Teksturnya berkrim dan bentuknya masih kekal walaupun selepas dimasak. Berbeza dengan kentang putih panjang yang berbentuk bujur.

    Kandungan kanji sederhana tinggi dan berkulit nipis rona perang muda mempunyai tekstur yang pejal serta rasa berkrim apabila dimasak.

    Ia sesuai direbus, dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro dan ditumis goreng menjadikannya kentang yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis masakan.

    Kentang merah pula boleh didapati secara lebih meluas sepanjang tahun. Ia dikenali melalui warna kulitnya yang secara semula jadi berwarna merah.

    Kentang merah mempunyai tekstur keras, licin dan kalis air menjadikannya sesuai dibakar, dikukus, direbus dan dijadikan salad.

    Kentang kuning pula semakin digemari di Amerika Syarikat dan kini boleh didapati hampir sepanjang tahun. Kentang jenis ini mempunyai tekstur padat dan berkrim dengan warna keemasan dan isinya lembut seperti rasa mentega. Ia sesuai dimasak dengan cara dilecek, dipanggang, dibakar, direbus dan dikukus.

    Bagi mereka yang masih belum tahu mengenai kewujudan kentang berwarna biru dan ungu, ia sebenarnya sudah mula popular di Amerika Syarikat. Kebanyakan kentang biru dan ungu boleh didapati pada musim luruh.

    Kentang yang boleh dianggap luar biasa itu mempunyai rasa seperti kekacang dengan isi aneka warna sama ada biru tua atau lavender hingga putih.

    Warnanya kekal apabila dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro tetapi ia juga boleh disediakan dengan cara panggang atau kukus.

    Kentang jejari pula berbentuk tiub lonjong panjang seperti jari manusia.
    Kentang kecil yang berukuran panjang lima hingga 10 sentimeter itu boleh didapati dalam aneka warna semula jadi yang menarik.

    Teksturnya yang keras dan melekit menjadikannya sesuai dimasak dengan cara kukus, bakar, rebus atau dijadikan salad.

    Menggunakan kentang, pelbagai produk boleh dihasilkan seperti kentang sejuk beku, nyah hidrat, segar atau kerepek. Tahukah anda kerepek kentang dicipta di Amerika Syarikat pada 1853? Ia semakin digemari kerana segar selain dieksport ke seluruh dunia untuk diproses menjadi pelbagai jenis kerepek kentang.

    Penanaman kentang memerlukan iklim yang baik dan tanah subur selain peralatan atau kemudahan untuk menghasilkan kerepek bermutu tinggi.

    Penuaian, pengendalian, peralatan dan kemudahan penyimpanan yang betul penting untuk mengekalkan ketinggian mutu kerepek sepanjang proses pengeluaran dari ladang ke kilang pengeluaran.

    Kentang yang baru dituai disimpan kira-kira dua hingga empat minggu pada suhu 14.5 darjah Celsius untuk membolehkan pembentukan lapisan perlindungan suberin.

    Dalam tempoh berkenaan, gula yang berlebihan disesuaikan dengan kentang sebelum suhu diturunkan kepada suhu penyimpanan.

    Kentang disimpan dalam stor direka khas bagi membolehkan suhu, kelembapan, oksigen dan karbon dioksida dipantau serta dikawal untuk memaksimumkan jangka hayatnya.

    Kelembapan dikekalkan pada tahap 90 hingga 95 peratus untuk mengurangkan pengecutan, lebam akibat tekanan dan kehilangan teksturnya.

    Berbeza dengan kentang nyah hidrat, ia dihasilkan dalam bentuk emping, tepung atau hirisan. Biasanya, ia digunakan dalam perkhidmatan penyediaan makanan dan bakeri atau tujuan pengeluaran makanan secara umum.

    Emping kentang pula biasa digunakan dalam produk snek kentang rekaan termasuk berbentuk kepingan dan semperit manakala kentang nyah hidrat berbentuk hirisan, dadu atau cincang mempunyai pelbagai kegunaan.

    Disebabkan itu, kentang menjadi makanan sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu menggunakan pelbagai jenis masakan berbeza.

    Justeru, Lembaga Kentang Amerika Syarikat (USPB) memperkenalkan pelbagai cara baru menggunakan kentang sebagai ramuan utama dalam masakan di Grand Salon, Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Memperkenalkan empat menu roti kecil yang mempunyai bahan di atasnya (canape), ia mudah disediakan untuk dihidang kepada tetamu.

    Selain pencuci mulut, Chef Eksekutif Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, Antoine turut menunjukkan cara menyediakan makan malam menggunakan bahan asas iaitu kentang.

    Untuk maklumat lanjut layari laman web www.potatoesusa-malaysia.com dan www.potatogoodness.com.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Ubat maut RM40,000

    Posted: 10 Dec 2012 12:11 PM PST

    KUALA LUMPUR: Seorang warga emas kecewa selepas mendapati ubat tradisional yang dibeli daripada seorang jurujual dengan harga RM40,000 untuk merawat kanser hati dihidap isterinya yang didakwa mampu mengubati penyakit itu ternyata ubat palsu selepas kematian wanita kesayangannya itu di rumah mereka di Sentul, September lalu.

    Lelaki itu, Bay Fatt Soon, 73, mendakwa didatangi seorang pengamal perubatan tradisional Cina di rumahnya yang mendakwa mampu menyembuhkan penyakit mendiang isterinya pada 22 Ogos lalu.


    Katanya, tabib terbabit menjanjikan penyakit mendiang isterinya yang dikahwini sejak lebih 50 tahun itu akan sembuh dan mampu hidup lebih lama sekiranya memakan ubat yang bernilai RM360,000 berkenaan.

    "Tabib terbabit mendakwa mempunyai kedai ubat di Johor dan berjaya merawat ribuan pesakit menggunakan ubat berkenaan.


    "Saya yang hanya mahukan lebih masa bersama mendiang isteri percaya kata-kata tabib terbabit dan membayar RM40,000 untuk ubat berkenaan," katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di Jalan Ampang, di sini, semalam.


    Menurut Bay, penyakit isterinya bertambah parah sebelum meninggal dunia sebulan selepas menggunakan ubat berkenaan.

    Dia yang berasa tertipu cuba menghubungi tabib terbabit, namun usaha mengesan lelaki itu gagal apabila diberitahu kedainya di Johor ditutup selepas diburu ramai pesakit yang membeli ubat berkenaan.


    Bay menemui Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di pejabatnya untuk mendapatkan bantuan sebelum diperkenalkan dengan pengedar sah ubat berkenaan yang mengesahkan ubat itu palsu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



    Penganjur konsert dakwa ditipu Adun RM13,500

    Posted: 10 Dec 2012 11:59 AM PST

    KAJANG: Seorang warga emas kerugian RM13,500 apabila dipercayai diperdayakan seorang ahli politik ketika menganjurkan satu konsert Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persatuan di Tian Hou Temple, di sini, pada Februari lalu.

    Mangsa, Tan Kim Swee, 70, dari Pandan Perdana, Cheras di sini, kesal dengan sikap ahli politik berkenaan yang cuba lepas tangan berhubung bayaran tiket bagi persembahan itu.


    Katanya, dia diamanahkan ahli politik yang juga Adun kawasan itu untuk menguruskan acara terbabit dan memberi 18 buku tiket konsert bernilai RM1,000 dan RM700 bagi jumlah tetamu seramai 458 orang.

    "Ini kali pertama saya ditipu sepanjang 20 tahun menguruskan acara.


    "Saya terpaksa menanggung hutang terbabit kerana penganjur mahu saya menjelaskan wang itu segera selepas konsert habis," katanya.


    Menurut Tan, keengganan Adun itu menjelaskan bayaran kepada penganjur menyebabkan dia terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan untuk menyelesaikan hutang terbabit.

    "Saya pergi ke pejabat Adun itu sebanyak tiga kali untuk meminta kembali wang konsert, tetapi tidak dilayan dan dia memberi alasan tidak mahu membayarnya serta menganggap ia percuma.


    "Saya sudah buntu bagaimana mahu mendapatkan wang saya kembali. Saya hanya minta RM3,800, tetapi masih tidak dipedulikan," katanya ketika sidang media di sini, semalam.

    Tan membuat laporan polis pada September lalu di Balai Polis Pandan bagi menuntut keadilan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    ‘Abah...tolong abah!’

    Posted: 10 Dec 2012 12:29 PM PST

    ARAU: "Abah...tolong abah! Selamatkan Fasha. Akak takut!" antara jeritan yang masih terngiang-ngiang di telinga Mazlizan Md Isa, 28, ketika anak perempuannya, Nur Fasha Adriana, 10, dilarikan lelaki yang memecah masuk rumahnya di sini, awal pagi Sabtu lalu.

    Dalam kejadian jam 1.30 pagi di rumahnya yang terletak di Ulu Pauh, Mazlizan parah dan terpaksa menerima lebih 10 jahitan di tangan dan dagu selepas ditetak suspek menggunakan pisau.

    Ketika itu, katanya, dia cuba menyelamatkan anaknya dengan berpaut di tingkap kereta suspek sebelum dia jatuh selepas diseret lebih 100 meter.

    Difahamkan, ketika kejadian, anaknya tidur nyenyak di rumah itu bersama nenek dan datuknya, manakala Mazlizan baru pulang daripada berniaga.


    "Ketika itu Fasha, ayah dan ibu saya tidur nyenyak.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



    Alamak, treler masuk rumah

    Posted: 10 Dec 2012 12:29 PM PST

    KUANTAN: Brek tangan sudah ditarik manakala tayar hadapan disendal dengan batu-bata menyebabkan seorang pemilik treler, Mohd Yusabry Mohd Yusof, 39, bingung bagaimana treler 13 tan miliknya itu boleh bergerak merempuh rumah ibunya hingga menyebabkan bahagian depan rumah itu rosak teruk.

    Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, Mohd Yusabry sepatutnya menghantar peralatan solar yang sudah dimuatkan ke dalam treler itu ke Kuala Lumpur dan singgah di rumah ibunya di Felda Panching Timur, di sini, untuk menukar pakaian sebelum memulakan perjalanan.

    "Selepas menghidupkan enjin treler bagi memanaskannya saya masuk ke bilik untuk menukar baju. Sebelum itu, saya sudah pastikan brek tangan ditarik manakala tayar disendal dengan bata.

    "Tiba-tiba terdengar dentuman amat kuat dan sebaik keluar dari bilik, saya dapati kepala treler sudah berada dalam rumah. Saya hanya sempat melaungkan Allahuakbar sebelum kepala treler itu berhenti di ruang tamu.


    "Saya benar-benar hairan dan terkejut dengan kejadian ini kerana kalau tidak diusik sesiapa, mana mungkin treler itu bergerak sendiri," katanya.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Belum jalan dah pandai berenang

    Posted: 10 Dec 2012 07:38 AM PST

    GLOUSTERSHIRE: Mereka terlalu muda untuk berjalan dan bercakap tetapi bayi kembar, William dan Ellenita Trykush boleh berenang sejauh 25 meter pada usia hanya sembilan bulan.

    Kembar berkenaan gemar berenang sambil menendang kaki mereka di dalam air.


    Dan gambar menarik ini memaparkan mereka tersenyum sambil berenang.

    Pencapaian itu menjadi lebih menarik memandangkan kedua-duanya dilahirkan secara caesarean enam minggu lebih awal. Bakat luar biasa pasangan kembar itu mula dilihat ketika bercuti bersama keluarga di Cyprus Oktober lalu apabila mereka mula berenang tanpa bantuan.


    Sekembalinya ke Cirenster, Gloustershire, ibu mereka, Charlotte, 3,5 membawa pasangan berkenaan ke kolam bayi tempatan apabila mereka tiba-tiba berenang. "Ia amat mengejutkan. Mulanya mereka berenang lima meter dan kemudian tujuh meter sebelum berenang sepanjang 12 meter," kata Charlotte, wanita kelahiran Perancis yang juga bekas jurulatih renang.


    "Memandangkan tidak ada orang di kolam dewasa, saya mencadangkan guru mereka mencuba di kolam renang besar itu.

    "Mereka begitu riang. Mereka mula berenang sepanjang kolam itu dengan saya berenang di bawah mereka bagi memastikan kedua-duanya tidak menghadapi masalah dan memandu mereka jika tersalah arah.


    "Ellie adalah yang pertama. William kelihatan meniru kakaknya. Kami sungguh gembira. Penyambut tetamu dan jurulatih renang datang melihat dan turut kagum.

    Seorang jurulatih yang sudah mengajar selama 20 tahun berkata, ini kali pertama dia melihat keadaan seperti itu.


    "Saya yakin ia semula jadi kerena mereka terlalu kecil untuk belajar berenang." kata Charlotte. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



    Pengacara radio kesal sebabkan jururawat bunuh diri

    Posted: 10 Dec 2012 07:35 AM PST

    SYDNEY: Dua pengacara radio yang panggilan palsu mereka menyebabkan seorang jururawat diraja di sebuah hospital di London membunuh diri, semalam meluahkan perasaan kecewa terhadap kejadian itu dalam satu wawancara.

    Mel Greig dan Michael Christian berkata, mereka berhajat menghantar ucapan takziah kepada suami dan keluarga Jacintha Saldanha.


    "Ia satu kejadian tragik yang tidak diramalkan oleh sesiapa. Anda tahu peranan kami dalam kejadian itu dan kami amat kesal," kata Christian.

    Mel yang kelihatan menangis dan jelas terkejut menambah: "Saya juga begitu kecewa dengan apa yang berlaku." Kedua-dua pengacara berkenaan meluahkan kesedihan mereka buat kali pertama dalam wawancara berkenaan dan mengaku mereka tersentak dan terlalu kecewa.


    Mereka mungkin tidak akan meminta maaf berhubung panggilan ke hospital Duchess of Cambridge selepas ketua stesen radio tempat mereka bekerja menganggap tindakan itu mungkin keterlaluan.


    Jacintha, 46, ibu dua anak yang juga dikenali sebagai Jess, ditemui mati di kuarters jururawat di Hospital King Edward VII, tengah London, Jumaat lalu. Dia dipercayai menggantung diri.

    Selasa lalu, dia menerima panggilan daripada Mel, 30 dan Christian yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles. Jururawat itu yang tidak mengesyaki apa-apa, menyambungkan mereka ke wad tempat isteri Putera William, Kate, 30, dirawat.


    Mel memberitahu rangkaian televisyen Australia mengenai bagaimana dia mendapat berita mengenai kematian jururawat itu. "Saya masih ingat saat itu dan tidak dapat melupakannya sejak ia berlaku. Saya ingat soalan pertama saya, 'Adakah dia seorang ibu?'" "Saya sentiasa terkenang peristiwa berkenaan. Saya hanya mahu menghubungi keluarganya, memeluk mereka dan memohon maaf," kata Mel.

    Christian menambah: "Saya hanya berharap keluarganya mendapat kasih sayang, sokongan dan penjagaan yang mereka perlukan." Di tanya bagaimana perasaannya, dia menjawab: "Amat kecewa." Kedua-dua pengacara itu kelihatan sebak ketika bercakap.


    Stesen radio Sydney, 2Day FM semalam berkata, kedua-dua petugas mereka itu berusaha untuk mencari cara terbaik bagi menghubungi keluarga Jacintha.


    Tetapi apabila ditanya sama adakah mereka akan memohon maaf, jurucakapnya, Sandy Kaye berkata: "Tidak. Itu mungkin langkah yang keterlaluan. Mereka sudah pasti mahu mengucapkan takziah. Tetapi ia isu yang begitu sensitif di banyak peringkat." Tetapi pagi semalam, pengacara itu bertindak memohon maaf menerusi televisyen Australia. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Nak ikut jejak Maya Karin

    Posted: 10 Dec 2012 05:30 AM PST

    SELEPAS Aaron Aziz dan Adi Putra mencipta nama sebagai pelakon popular di Malaysia, kini seorang lagi anak jati Kota Singa sanggup menyeberangi Selat Tebrau untuk mencuba nasib. Atikah Suhaimie, gadis jelita yang bernaung sebagai bakat baru di bawah Metrowealth Pictures (MIG).

    Baru berusia 21 tahun, Atikah yang juga anak kedua daripada tiga beradik disunting penerbit terkenal, David Teo menerusi Instagram. Hanya di laman maya, David memintanya menghantarkan maklumat peribadi diri kepada MIG sekiranya Atikah berminat dalam kerjaya seni dan ingin menjadi seorang pelakon.

    Menerusi maklumat dihantar dalam Instagram itu, Atikah kemudian ke negara ini menjalani sesi uji bakat yang diadakan MIG. Namun, Atikah berkata pada mulanya dia juga bimbang dengan tawaran diberikan David kerana mereka belum pernah berjumpa dan berkenalan pun hanya di Internet.

    "Saya tahu David seorang penerbit filem terkenal di Malaysia. Bagaimanapun, apabila tawaran diberikan itu datangnya daripada individu yang saya kenali di Internet, maka perasaan risau dan was-was tak mampu dielak. Apatah lagi, saya sedia maklum kenalan di Internet tidak semuanya boleh dipercayai.


    "Di Internet, ramai individu suka menyamar. Jadi, haruslah saya tidak mahu menjadi salah seorang mangsanya. Pun begitu, tak dinafikan saya juga memang meminati bidang seni sejak kanak-kanak lagi. Malah, ketika persekolahan dulu pun saya juga sering menjayakan projek lakonan," katanya mesra berbicara.


    Ditanya apa yang menjadi kekuatannya untuk mencuba nasib di negara ini, Atikah berkata, restu ibu dan bapanya membuatkan dia berani untuk berhijrah ke Malaysia dan membina karier sebagai anak seni. Apatah lagi, keyakinan daripada David membuatkan ibu bapanya yang bersikap terbuka merestui.

    "Saya nekad untuk menjadi pelakon di Malaysia dan berkorban meninggalkan karier tetap sebagai eksekutif akaun dan pemasaran di Singapura. Malah, tak sangka juga saya berjaya dalam uji bakat di MIG yang sekali gus membuka ruang kepada saya berlakon dan membintangi filem pertama, Lagenda Budak Hostel.

    "Di bawah bimbingan pengarah Ismail Bob Hasim, saya gembira mendapat banyak tunjuk ajar. Ditambah lagi, dalam filem itu saya memperoleh peluang sangat berharga kerana bekerjasama dengan ramai pelakon berpengalaman. Sebagai orang baru, mereka sangat baik dan selalu membantu saya.

    "Jadi, saya gembira dapat berlakon di Malaysia walaupun ketika di Singapura dulu pernah juga berlakon. Saya membintangi dua drama iaitu Dikir Puteri sebagai Jasmin, seorang pelajar sekolah dan Deli Catensen, sebuah info drama berkonsepkan masakan. Ketika itu, saya bergandingan dengan pelakon baru.

    "Tetapi senario yang saya lalui di Singapura tidak sama di negara ini. Macam saya katakan, biarpun Lagenda Budak Hostel adalah percubaan awal saya di Malaysia, namun gandingan diberikan bukan calang-calang pelakon. Walaupun baru, saya mendapat kepercayaan beraksi bersama pelakon senior," katanya.

    Enggan melepaskan peluang yang sudah berada dalam genggaman, Atikah berkata, dia akan gigih berusaha dan memastikan masyarakat di negara ini mampu menerima kehadirannya dengan bakat lakonan dipersembahkan. Bahkan ujarnya, dia juga seorang yang suka belajar dan tidak malu bertanya.

    Berbicara mengenai pelakon Malaysia yang diminatinya, tanpa berselindung Atikah berkata aktres jelita, Maya Karin adalah bintang pujaannya. Ujar gadis yang cukup menyayangi kucing ini, dia cukup kagum dengan lakonan Maya dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam yang disifatkan begitu berkesan.

    "Sejak persekolahan dulu pun saya memang suka menonton lakonan Maya dan sentiasa berangan-angan nak tiru gaya lakonannya. Justeru, Maya adalah ikon yang saya jadikan panduan untuk menjadi seorang pelakon berjaya suatu hari nanti. Pada saya, Maya pelakon yang bijak bermain mata.

    "Permainan mata dipersembahkan Maya mampu untuk saya merasai emosi watak dilakonkannya. Sebagai peminat, saya juga menyimpan impian supaya suatu hari nanti dapat berlakon di sampingnya. Apapun, semua ini bergantung kepada peluang dan jika memperolehnya saya pasti takkan menolak," katanya.

    Mengikat kontrak bersama dengan MIG selama lima tahun, Atikah juga ditanya mengenai pandangannya terhadap kejayaan beberapa pelakon kelahiran Singapura seperti Aaron Aziz dan Adi Putra. Ujarnya, dia hanya melihat kejayaan mereka sebagai sumber inspirasi untuk membantunya mencapai kejayaan juga.

    Menyentuh juga mengenai tawaran lakonannya yang dirancang MIG selain filem, anak tunggal perempuan dalam keluarga itu memaklumkan dia juga membintangi drama Rawan di samping pelakon seperti Faralyna Idris dan Fadzil Zahari.
    Melakonkan watak Julia, katanya ia cukup mencabar sebagai wanita simpanan.

    "Tak dinafikan, saya berasa janggal ketika mula-mula mendapat watak ini. Apatah lagi, ia watak antagonis dan gelap. Justeru, sebagai orang baru, saya bimbang juga memikirkan bagaimana reaksi dan penerimaan masyarakat terhadap diri ini.
    Pun begitu, saya sedar harus berani mencuba kerana itulah cabarannya.

    "Malah, saya juga sudah memaklumkannya kepada keluarga. Mujur mereka faham dan tidak menghalangnya. Tetapi, pada masa juga mereka mengingatkan saya supaya tidak keterlaluan beraksi kerana harus menjaga nama baik keluarga. Jarak jauh dari mereka kini juga bukan tiket untuk saya bebas," katanya.

    Berbicara soal perancangan masa depannya di negara ini, Atikah berkata, semuanya diserahkan kepada takdir. Ujarnya, terlalu awal juga untuknya memikirkan perancangan akan datang kerana baru saja menjadi pelakon. Apapun, katanya dia belajar erti kehidupan daripada pengalaman dilalui.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



    Unsur lucah bawa padah

    Posted: 10 Dec 2012 05:17 AM PST

    SEJAK minggu ketiga lagi, kumpulan Dadidu, Pimai dan Balas berada di tangga tiga terbawah dan kedudukan itu kekal sehingga minggu keempat yang akhirnya menjadi penamat perjuangan mereka.

    Cuma di antara tiga kumpulan yang sebelum ini bagai kekontangan idea, Balas menampakkan peningkatan apabila persembahan jenaka mereka di Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM2012) yang bersiaran langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam, berjaya menggeletek hati penonton.

    Malangnya, Balas tersilap langkah sama ada secara sengaja atau tidak disengajakan memperkatakan sesuatu berunsur 'double meaning' di akhir persembahan mereka sehingga menyebabkan gagal mendapat markah yang baik daripada juri yang dibarisi oleh Awie, Wulan, Lisa Surihani dan Najip Ali.

    Mengimbas kembali kenyataan panas salah seorang anggota Balas sewaktu persembahan berbunyi: "Kena letak air liur atas kepala baru senang masuk".


    Situasi itu sebenarnya dijelaskan sebagai petua orang tua-tua, jika mahu ilmu senang masuk cara ("kena letak air liur atas kepala baru senang masuk") patut dilakukan.


    Bagaimanapun, gara-gara kenyataan berkenaan ia membawa padah kepada Balas sehingga menyebabkan mereka tersingkir.

    Awie menerusi komentarnya, berkata: "Sebagai juri saya sendiri tidak senang dengan lawak 'double meaning', lawak, tetapi bunyinya kotor di telinga. Sebelum ini pun ramai penonton sedia maklum dengan persembahan Balas yang selalu 'double meaning'. Tapi harus diingat program ini ditonton seisi keluarga dari anak kecil sehingga dewasa."

    Manakala Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai, menerusi keterangan dalam sidang media yang diaturkan sesudah usai siaran MLM2012, berkata,
    demi menjaga kandungan program pihaknya mewujudkan sistem pemarkahan.

    "Balas ada memaklumkan kepada saya mereka tidak berniat untuk mengutarakan sesuatu berbaur fitnah. Namun, dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan dialog mereka tidak lengkap. Apa yang cuba dimaksudkan mereka kena letak air liur pada kepala benang baru senang masuk."

    "Apapun, kesilapan sudah dilakukan dan inilah risikonya apabila membabitkan program siaran langsung. Yang terjadi tidak boleh ditarik semula. Harus diingatkan kepada peserta supaya tidak lagi menggunakan lawak 'double meaning'.

    "Sebagai pihak penerbitan dan penyiar, Astro sangat mengambil kira sensitiviti masyarakat dan memastikan setiap program kita tidak menyinggung perasaan umum.

    "Justeru itu, menerusi program MLM2012 kami wujudkan sistem pemarkahan di mana juri boleh mengurangkan markah bagi kumpulan yang membuat jenaka 'double meaning'.

    "Saya secara peribadi berpendapat, peserta sebenarnya perlu lebih kreatif dalam mencari bahan iaitu dengan membuat kajian daripada mengambil jalan singkat dengan mengenengahkan lawak murahan. Saya berasa kagum dengan kumpulan yang tidak bergantung dengan lawak murahan tetapi menggunakan isu semasa kemudian menyuntik elemen komedi dalam persembahan.

    "Saywho antara kumpulan yang mempunyai kepakaran ini dan saban minggu mereka memikat rakyat Malaysia dengan mengutarakan isu yang dekat di hati masyarakat negara ini. Bagaimanapun, untuk persembahan malam ini kumpulan R2 mengejutkan juri dan persembahan mereka mendapat pujian," katanya.

    R2 bagaimanapun diumumkan lima kumpulan yang berada di tangga terbawah selain The Bandung Jokers. Pun begitu, mereka terselamat daripada penyingkiran.

    Secara keseluruhan peserta kegemaran Jozan yang dianggotai Zizan dan Johan, masih lagi menguasai dan mendahului pertandingan diikuti kumpulan Jambu.

    Malam bertemakan 'Mengayat' yang dikendalikan pengacara Datuk AC Mizal itu, turut menampilkan persembahan kumpulan Shiro, Sabon dan Boboi, iaitu tiga daripada tujuh kumpulan yang masih meneruskan perjuangan pada minggu kelima.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Makin sukar

    Posted: 10 Dec 2012 07:28 AM PST

    KUNJUNGAN skuad negara ke Bangkok untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF, semalam tidak banyak bezanya bagi pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal ketika situasi kini seakan-akan tidak memihak kepada anak buahnya.

    Seperti perlawanan separuh akhir pertama kelmarin yang berkesudahan seri 1-1, ketua jurulatih negara itu masih berdepan masalah kehilangan beberapa tonggak utama menjelang pertemuan timbal balik bertemu anak buah Winfried Schafer di Stadium Supachalasai.


    Pemain seperti Wan Zack Haikal Wan Nor serta Mohd Shakir Shaari pada pendapat Rajagobal hampir pasti tidak dapat diturunkan.

    Namun Rajagobal tetap tenang walaupun mengetahui lawannya mempunyai skuad terbaik untuk diturunkan pada Khamis ini selain kelebihan beraksi di halaman sendiri.


    "Semua perlu faham, kami tidak mempunyai lima tonggak akibat kecederaan dan keputusan seri bagi saya sesuatu yang cukup baik dengan komitmen tinggi ditunjukkan setiap pemain.


    "Kalau dibandingkan dengan Thailand, mereka dapat turunkan semua pemain utama. Kita perlu bersikap positif," katanya.

    Hasrat meraih bekalan selesa pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin lebur selepas Thailand berjaya mengikat kedudukan sekali gus perlawanan timbal balik Khamis ini dilihat lebih memihak kepada Thailand.


    Tapi Rajagobal tidak panik, sebaliknya berkata, barisan pemainnya sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila bertemu anak buah Schafer sekali lagi.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



    Messi ledak sejarah

    Posted: 10 Dec 2012 07:22 AM PST

    MADRID: Rekod jaringan terbanyak dalam setahun milik lagenda bola sepak Jerman, Gerd Mueller yang bertahan selama 40 tahun akhirnya dipecahkan Lionel Messi kelmarin selepas penyerang Barcelona itu menjaringkan dua gol pada minit ke-85 dan 86 ketika menewaskan Real Betis 2-1.

    Pemain berusia 25 tahun dari Rosario, Santa Fe, Argentina itu mengukuhkan peluangnya mencatat satu lagi rekod andai dianugerah Ballon d'Or buat kali keempat berturut-turut.


    Kehebatan menggelecek, keserasian bersama pasukan dan kekerapan menjaringkan gol menjadikannya pemain lebih sempurna.

    Malah dia membuktikan dirinya mampu terus menyerlah pada majlis anugerah sukan yang menawarkan hadiah terbesar dengan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara dan lima kejuaraan La Liga.


    Messi juga dua kali memenangi anugerah pemain terbaik Piala Dunia Fifa selain menjadi pendahulu senarai penjaring terbanyak Barcelona dengan 283 gol dalam semua kejohanan.


    Berbekal kebolehan semula jadinya itu, Messi langsung tiada bandingan dalam sukan ini namun kelincahan kakinya bersama Barcelona itu tidak pernah menjadi ketika bersama pasukan kebangsaan.

    Messi menjaringkan 31 gol dalam 76 perlawanan bersama Argentina, satu rekod yang mengecewakan dan tidak mampu menyelamatkan negaranya dari tersingkir di suku akhir Piala Dunia 2010 dan Copa America yang dianjur negaranya tahun lalu.


    Pengkritik sering mengatakan Messi tidak boleh dibandingkan dengan Pele mahupun Diego Maradona semata-mata kerana kehebatannya bersama kelab, melainkan dia meninggalkan kesan mendalam pada kejohanan utama antarabangsa.

    Peluang untuk Messi melakukannya adalah pada Piala Dunia Brazil 2014 pada usia 26 tahun dan dia mesti berada dalam kedudukan terbaik untuk menunjukkan bakatnya pada kejohanan paling berprestij itu.


    "Saya masih menaruh impian bergelar juara dunia dan menjulang Copa America bersama pasukan kebangsaan," kata Messi.


    "Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan yakin mampu melaksanakannya." - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved