Jumaat, 2 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Impak warna busana

Posted: 02 Nov 2012 08:33 AM PDT

PILIHAN koleksi gaun labuh dan singkat menggunakan sifon mampu memberikan impak menyerlah.

Itu antara konsep diketengahkan butik dalam talian, Aqar Couture bagi mereka yang ingin tampil bergaya dengan cara tersendiri menggunakan busana ringkas tetapi menarik.

Tidak perlu menggunakan perincian dan aksesori yang terlalu sarat kerana busana saja sudah cukup menyerlahkan gaya mengikut personaliti diri.

Namun, pemakaian aksesori masih menjadi keperluan bagi memastikan diri tidak terlalu 'kosong'. Antara aksesori yang boleh digunakan ialah gelang tangan, rantai leher, cincin serta subang.


Gunakan aksesori minimum untuk mengelakkan perhiasan membayangi keunikan dan keindahan busana.


Selain itu, warna busana juga memberikan impak kepada wanita. Bagi mereka yang berani, cuba gunakan warna terang seperti kombinasi merah dan jingga malah ia akan menceriakan hari anda bersesuaian dengan usia muda.

Untuk kelihatan seksi pula, pilih gaun labuh yang menyerlahkan bahagian bahu dan lengan.

Tip penampilan diri menarik:

Tarikan gaya Maghribi

Posted: 02 Nov 2012 08:02 AM PDT

DEWAN menempatkan barisan model di Hotel Dormini, Kuching, Sarawak bermandikan cahaya. Dekorasi hiasan eksotik ala Maghribi menggunakan lampu terang dan berwarna-warni diilhamkan daripada seni bina Moor mengambil tempat di segenap ruang. Hiasan lilin berwarna-warni diletakkan di meja sebagai penyeri.

Sambil menjamu mata menyaksikan model memperagakan pakaian di pentas terbuka dengan iringan irama rancak, tetamu dihidangkan minuman bersama kuih-muih dari negara Timur Tengah yang diletakkan di atas dulang perak.

Bertemakan gaya Maghribi dengan mainan rona terang berkilat, ia disempurnakan menerusi potongan rekaan fesyen menawan yang menjadi inspirasi koleksi kedua Suri & Lana yang digayakan barisan model ketika sesi pratonton terbabit.

Ilham daripada gaya Syurga Maghribi dengan mengetengahkan rekaan memikat dan indah pasti menjadi tarikan. Setiap potongan beralun cantik pada tubuh si pemakai, hasil idea gabungan dua pereka Esmila Saruji dan Nurul Afidah Zulkifli.


Menurut Nurul Afidah, selain warna menyerlah cetakan tribal menjadi ciri utama dalam rekaan berkonsepkan gaya Maghribi ini.


"Fesyen Maghribi yang menggunakan rona terang seperti merah, jingga, ungu, hijau dan biru disertai elemen kilatan menjadi nadi dalam penghasilan karya.
Selain itu, saya menyelitkan sentuhan ceria menerusi pemilihan rona serta perhiasan ala serban untuk wanita yang tampil anggun bergaya," katanya.

Keindahan rekaan dapat dilihat menerusi pemilihan fabrik polos seperti satin, renda dan sifon serta cetakan unik bersama perincian manik dan batu permata pada busana. Malah gaya kilauan dengan sentuhan emas dan perak menambah kesan mewah pada setiap pakaian.

Lebih istimewa, setiap rekaan sesuai untuk menghadiri sebarang majlis apabila Nurul Afidah menghasilkan seluar berpotongan feminin dengan unsur cetakan, blaus, kaftan, legging serta gaun dengan menambah tali pinggang untuk tampil elegan. Wanita boleh menyesuai padan mengikut acara dihadiri.

Selain itu, terkenal dengan potongan kaftan, Suri & Lana menjadi pilihan wanita kala menghadiri majlis makan malam bertema. Ini kerana selain anggun, setiap rekaan disertakan ciri keselesaan apabila tampil ringkas sama ada menerusi fabrik mahupun perhiasan digunakan.

"Wanita moden masa kini selain inginkan rekaan anggun dan elegan, keselesaan daripada segi potongan amat dititikberatkan. Ini kerana pakaian yang selasa boleh dibawa ke mana saja sama ada majlis kasual atau rasmi, siang mahupun malam," katanya.

Koleksi Suri & Lana boleh didapati di butik Mimpikita, 15-1 Jalan Telawi 2, Kuala Lumpur dan Prive', Lot 12, Dormani Square, Kuching, Sarawak atau menerusi FashionValet.net dan Zalora.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Bencana bah kali kedua

Posted: 01 Nov 2012 02:40 PM PDT

KLANG: Belum pun pulih sepenuhnya dengan kejadian banjir kilat dua minggu lalu, lebih 200 keluarga di Kampung Baru Satu, Kampung SC, Kampung Sri Nadi dan Kampung Johan Setia, di sini, diuji lagi apabila kejadian serupa berulang petang kelmarin mengakibatkan rumah mereka dinaiki air hampir satu meter berikutan hujan lebat tanpa henti lebih enam jam.

Bencana kali kedua yang membabitkan kawasan sama diburukkan lagi apabila air laut pasang memasuki Sungai Klang mengakibatkan air di kebanyakan parit dan longkang utama di kampung berkenaan melimpah dan memasuki rumah penduduk.


Sehingga awal pagi semalam, air masih memasuki kediaman terutama rumah di kawasan rendah dan menyebabkan beberapa jalan di kampung itu tenggelam serta tidak boleh dilalui kenderaan.

Mangsa di Kampung SC, Abdul Rahman Derasim, 62, berkata, banyak peralatan elektrik dan perabot di rumahnya rosak selepas gagal diselamatkan.


"Bukan saja barang rosak, ular pun masuk rumah hingga kami sekeluarga ketakutan. "Ini bukan kali pertama banjir kilat berlaku dan saya percaya banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan bencana ini tidak berulang pada masa depan. Kami sudah banyak kali kerugian kerana kejadian sebegini," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Abdul Rahman berkata, air naik dengan cepat hingga dia bersama isteri dan anak-anaknya tidak sempat menyelamatkan barangan.

"Lebih penting kami selamatkan diri dulu. Akibat kejadian ini, kami semua terpaksa menumpang di rumah saudara yang berhampiran," katanya. Harian Metro pada 20 Oktober lalu melaporkan kejadian banjir kilat di kampung berkenaan yang menyebabkan rumah penduduk dinaiki air sedalam hampir satu meter berikutan hujan lebat tanpa henti lebih lima jam. Banjir kilat itu antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun dan didakwa penduduk berpunca daripada sistem perparitan yang tersumbat akibat tidak diselenggara dengan betul. Ia diburukkan lagi apabila sebahagian besar rumah berada di kawasan rendah.


Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd Nor yang meninjau kawasan itu jam 1 pagi semalam, berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib semua yang terbabit dan memberi jaminan mendapatkan bantuan bagi meringankan bebanan mereka.

Katanya, sebagai tindakan segera menangani banjir kilat itu, pihaknya meminta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan beberapa mesin pengepam berkapasiti tinggi untuk mengepam air keluar daripada kawasan yang terjejas teruk.


"Tumpuan utama kami adalah untuk memastikan semua jalan yang tenggelam dapat digunakan semula kerana tidak mahu penduduk terkepung lebih 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


250 keluarga tak lena tidur

Posted: 01 Nov 2012 02:38 PM PDT

SHAH ALAM: Tidur kira-kira 250 keluarga di Kampung Jalan Kebun, di sini, tidak pernah lena setiap kali hujan lebat kerana bimbang rumah dinaiki air berikutan kekerapan berlaku banjir kilat di kawasan itu tanpa mengira waktu.

Malah, dalam tempoh sebulan rumah mereka sudah tiga kali dinaiki akibat banjir kilat yang didakwa berpunca daripada laluan air di bawah Lebuhraya Konsortium Shah Alam Selangor (Kesas) yang terletak berhampiran kampung berkenaan.


Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Buang Abdul Basir, 52, yang mewakili penduduk terbabit berkata, pihaknya kesal kerana Kesas gagal menunaikan janjinya untuk menyelenggara laluan air berkenaan sejak lima tahun lalu.

"Kami tidak pernah nampak laluan air itu diselenggara selama lima tahun dan ia kini berkeladak menyebabkan aliran air tersekat, sekali gus melimpah ke parit berdekatan sebelum memasuki rumah penduduk. "Pihak Kesas berjanji lima tahun lalu untuk menguruskan laluan air berkenaan dan menyedut kelodak yang menyekat aliran air sehingga kerap berlaku banjir di sini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi bersama 100 penduduk di lokasi banjir di kampung berkenaan, semalam. Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat Kesas, Abdul Rashid Rahman, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya memberi perhatian segera mengenai dakwaan penduduk terbabit.


Katanya, selain memikirkan langkah bagi mengatasinya, Kesas juga akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) bagi memastikan masalah itu diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Wanita tewaskan jerung

Posted: 01 Nov 2012 12:40 PM PDT

HAWAII: Seorang penyelam wanita terselamat daripada serangan jerung sepanjang empat meter di sini selepas menggunakan gerakan seni mempertahankan diri.

Pemegang tali pinggang hitam taekwondo, Mariko Haugen sedang berenang bersama suaminya di pantai Maui apabila mendapati dirinya berdepan dengan seekor jerung harimau.


Apabila diserang, Mariko menggunakan kemahirannya dan menumbuk hidung haiwan pemakan manusia itu.

"Keadaan tiba-tiba menjadi seperti filem Hollywood. Anda melihat rahang besar ikan itu menerkam anda. Saya tidak dapat menceritakan bagaimana takutnya saya ketika itu.


"Taekwondo yang saya pelajar membolehkan saya bersedia untuk menumbuk," kata Mariko.


Menyedari ia berdepan dengan orang yang setanding dengannya, jerung berkenaan meninggalkan tempat itu, sekali gus membolehkan Mariko dan suami, Don berenang ke pantai.

Mariko yang berasal dari Folsom, California, tidak dibaham, tetapi memerlukan 60 hingga 70 jahitan pada tangan kirinya yang cedera kerana terkena gigi ikan itu ketika menumbuknya.


Sementara itu, Don berkata, mereka sungguh bernasib baik.

Bagaimanapun, pengalaman ngeri itu tidak akan menyebabkan dia berhenti berenang di laut.


"Saya sentiasa memberitahu anak saya, tidak ada alasan untuk takut kepada jerung kerana apa yang lebih menakutkan ialah barah payu dara. Satu daripada lapan orang menghidapnya.


"Tetapi hanya satu daripada empat juta pelancong ke Hawaii dibaham jerung. Kerana itu kita tidak perlu takut langsung," kata Don. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Patung Lance Armstrong akan dibakar

Posted: 01 Nov 2012 12:37 PM PDT

EDENBRIDGE: Model bekas jaguh lumba basikal, Lance Armstong dengan lencana ' Jim Fix It For Me' akan dibakar di depan beribu-ribu pengunjung pada malam unggun api hujung minggu ini.

Patung itu juga menggambarkan Armstrong memegang poster berbunyi: "Untuk dijual, basikal lumba tidak lagi diperlukan." Langkah itu diambil selepas tujuh gelaran perlumbaan Tour de France dilucutkan daripada pelumba berusia 41 tahun itu kerana kesalahan dadah.


Bagaimanapun, lencana yang dikalung pada leher Armstrong, akuan pencabulan seks terhadap kanak-kanak ke atas mendiang Jimmy Savile, mencetuskan kebimbangan ia mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. Pembakaran patung berkenaan akan memburukkan lagi reputasi Armstrong kerana ia akan mengaitkan imejnya dengan Jiimy Savile, orang yang dipercayai polis Britain sebagai lelaki paling banyak melakukan kesalahan seks di negara itu. Jurucakap Persatuan Bonfire,, Mark Young berkata: "Lance Armstrong sudah pasti menjadi penyangak terbesar dalam sukan. Orang ramai di seluruh dunia merasa ditipu olehnya." Patung itu akan disumbat dengan kertas surat khabar yang sudah direndam dengan minyak tanah sebelum dibakar. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Menggigil lihat kereta ayah

Posted: 01 Nov 2012 03:07 PM PDT

POKOK SENA: "Sukar menggambarkan perasaan ketika itu dan kaki saya tiba-tiba menggigil sebaik melihat nombor pendaftaran Perodua Viva yang terbabit kemalangan itu milik ayah."

Kata Mohd Anuar Shafie, 32, anak kedua tukang gunting, Shafie Hamid, 57, yang terbunuh bersama isteri, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka, Mohd Ittihal, 26, dan Nurul Faiz, 24, selepas kereta mereka naiki bertembung lori seberat dua tan dalam dalam kemalangan ngeri di Jalan Pendang-Kebun 500 berhampiran Kampung Permatang Limau, di sini, semalam.

Seorang lagi anak pasangan itu, Muhd Iqbal Zakuan, 15, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Kejadian jam 2.30 petang itu berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan akibat kerosakan teknikal sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta itu menyebabkan keempat-empat mangsa mati di tempat kejadian.


Mohd Anuar berkata, dia melalui kawasan berkenaan dan melihat orang ramai mengerumuni sebuah Perodua Viva dan lori yang terbabit kemalangan ngeri, namun tidak mengesyaki apa-apa selain beranggapan ia hanya kemalangan biasa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Tayar bongkar tragedi

Posted: 01 Nov 2012 03:06 PM PDT

GEORGETOWN: Sebiji tayar di tengah jalan yang pada mulanya disangka sampah oleh seorang anggota peronda trafik membawa kepada penemuan tidak diduga apabila ia sebenarnya tayar kereta milik seorang lelaki yang terjunam ke laut di Kilometer 7.9, Jambatan Pulau Pinang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, anggota terbabit yang melakukan rondaan rutin mulanya menyangka 'sampah' itu kemungkinan dibuang pengguna jambatan.

Anggota berkenaan memberhentikan kenderaan untuk mengambil 'sampah' itu kerana mahu mengelak sebarang kemalangan yang mungkin berlaku jika dibiarkan di tengah jambatan.

Bagaimanapun, anggota terbabit terkejut apabila mendapati objek disangka sampah itu sebenarnya tayar kereta sebelum dia terlihat kesan serpihan kaca bertaburan atas jambatan.


Anggota polis berkenaan memaklumkan kepada beberapa rakan setugas sebelum mereka terkejut apabila mendapati tiang lampu turut patah dan terjatuh dengan keadaan tergantung dan menjunam ke dalam laut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


‘Hot mama’ bersyukur

Posted: 01 Nov 2012 08:29 AM PDT

PENGACARA dan bakat baru datang silih berganti mewarnai persada hiburan tanah air. Namun, nama pelakon dan pengacara jelita, Sazzy Falak terus bertahan dalam bidang seni, sejak berkecimpung lebih sedekad lalu.

Walaupun bermula dari bidang lakonan, menerusi teater Inggeris Young Legend ketika berusia 11 tahun, pemilik nama sebenar, Sazlini Shamsul Falak, 31, mengakui namanya memang lebih menyerlah dalam bidang pengacaraan ketika ini.

"Sebenarnya, bidang lakonan adalah nombor satu dalam hidup saya dulu. Namun, saya akur rezeki lebih murah dalam bidang pengacaraan berbanding lakonan. Tapi ada juga orang cakap sebaliknya pula.

"Apapun, selepas memiliki anak kembar, cinta saya adalah pada kedua-dua cabang seni sekali gus iaitu bidang lakonan dan pengacaraan. Saya juga ingin pastikan kedua-dua bidang diminati ini bergerak seiringan," katanya.


Selepas berehat seketika dari bidang seni kerana melahirkan anak kembarnya, Imaan Lily dan Tiara Rose tahun lalu, Sazzy mengakui tidak sabar untuk kembali merancakkan bidang seni tempatan.


"Saya sudah kembali bekerja sebaik saja habis tiga minggu tempoh berpantang dengan menjayakan pelbagai sesi fotografi dengan pihak media.

"Kini, Imaan dan Tiara sudah berusia satu setengah tahun dan saya percaya ia masa sesuai untuk bercerai daripada susu badan. Sebagai wanita bergelar ibu, memang saya agak emosi sikit dalam proses bercerai susu ini tapi nak buat macam mana kerana saya ibu moden yang bekerjaya.

"Memang saya jarang muncul dalam drama atau program TV berbahasa Melayu kerana sibuk buat program sukan bahasa Inggeris di saluran ESPN sampai sekarang. Pada masa sama, saya juga sibuk menceburi perniagaan fesyen secara online iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySazzyFalak.com) yang beroperasi sejak Ogos lalu," kata isteri kepada personaliti TV dan Pengasas, Presiden perunding kewangan serta pelaburan, LVG Consultants Sdn Bhd, Nazril Idrus ini.

Berkongsi rahsianya mendapat bentuk tubuh yang langsing, Sazzy mengakui dia memang kuat bersenam sejak zaman anak dara lagi.

"Saya bersyukur kerana berjaya mendapat kembali berat badan asal iaitu sebanyak 45 kilogram seperti sebelum mengandung. Ketika mengandung berat badan saya bertambah sebanyak 58 kilogram.

"Selain menyusukan anak kembar dengan susu badan, saya juga membuat senaman di Body Tone Wellness Studio di mana saya dilantik sebagai jurucakap mereka dan itulah rahsia mendapat tubuh yang langsing.

"Saya juga percaya, menjaga anak kembar yang sudah pandai berjalan dan aktif ini pun antara rahsia kita dapat mengeluarkan peluh dan turut membantu menurunkan berat badan.

"Maklumlah, saya juga tidak mahu bergantung pada ibu dan pembantu rumah semata-mata kerana tetap mencari masa untuk meluangkan masa berkualiti dengan si kembar. Sebagai ibu dan bapa, kami tetap tidak mahu terlepas melihat saat-saat berharga melihat anak kembar membesar depan mata," katanya.

Ditanya sama ada tidak kisah jika anak kembar itu mengikut jejaknya, Sazzy berkata, dia dan suami sentiasa menyokong apa saja yang menjadi minat mereka.

"Saya percaya semua ibu bapa moden mempunyai pemikiran yang sama seperti kami.
Setakat ini, kedua-duanya sudah pandai 'pose' depan kamera dan ia memudahkan kami sekeluarga bergambar untuk majalah dan akhbar khusus buat tatapan peminat di luar sana.

"Kami juga tidak kisah jika Imaan dan Tiara ingin menjadi model iklan, pengacara atau pelakon jika itu yang menjadi minat mereka apabila besar nanti," katanya yang ditemui di majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, Hartamas, Selasa lalu.

Walaupun jarang muncul di kaca televisyen, kebelakangan ini, 'hot mama' yang dikenali dalam program Muzik Muzik, Beat TV, Blast Off dan Ria Sentral ini tetap bersyukur kerana namanya masih mendapat tempat di hati penonton, ketika ini. Selain filem Tolong! Awek Aku Pontianak, drama terbaru lakonannya pula ialah Sofi Suriani yang membabitkan penggambaran Januari lalu.

"Saya juga rindu untuk beraksi dalam drama dan filem baru. Cuma kerinduan mengacara sedikit sebanyak terubat untuk pelbagai majlis korporat dan perkahwinan.

"Terus terang, saya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk kembali berlakon dan mengacara kerana anak kembar sudah besar sikit dan sudah boleh berenggang lama sikit daripada mereka. Justeru, peluang mengacara program televisyen OMG memang seperti pucuk dicita ulam mendatang," katanya.

Sazzy juga tidak bersendirian, sebaliknya bakal bergandingan dengan kawan baiknya, Razif Hashim menjayakan OMG yang bakal bersiaran di saluran Diva Universal.

"Saya sangat teruja buat program ini kerana ia akan ditayangkan di saluran antarabangsa. Selain itu, saya bakal bergandingan dengan kawan baik sendiri.
Kami memang serasi bekerjasama kerana pernah beraksi dalam Gol & Gincu sebelum ini," katanya.

Program yang mengupas topik terkini membabitkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan turut memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'. Ia turut dimeriahkan dengan barisan artis undangan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry. Program sebanyak 13 episod ini akan bersiaran bermula 5 November, setiap Isnin, jam 7.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/01


Meriahkan karnival

Posted: 01 Nov 2012 08:16 AM PDT

ARTIS veteran masih mendapat di hati peminat seni suara di mana pada hujung minggu ini, Jaafar Onn bersama rakan artis yang lain, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman dan A Halim akan menghiburkan peminat mereka di Segamat sempena Karnival Jelajah Sihat 2012 yang diadakan di daerah itu.

Karnival anjuran Kementerian Kesihatan itu akan berlangsung esok dan lusa (3 dan 4 November).

Selain menyanyi, Jaafar yang akan turut menjadi pengacara karnival itu bersama Maya (Matahari). Jelas Jaafar, karnival itu diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga.

"Sekarang saya lihat penyakit bukan saja menyerang mereka yang sudah berusia tetapi juga orang muda termasuklah kanak-kanak. Dalam zaman moden ini, macam-macam penyakit ada.


"Pada usia bayi lagi sudah dapat penyakit kronik. Belum lagi mereka sempat nak mengenal dunia, hospital sudah menjadi rumah tetap. Sebab itu penjagaan kesihatan sangat penting. Bukan saja ibu bapa patut menjaga kesihatan malah mereka juga mesti mengajar anak-anak amalan pemakanan sihat dengan menjauhi makan segera yang terdapat banyak di pasaran.


"Alhamdulillah kita hidup dalam negara yang aman makmur dengan rezeki yang melimpah ruah dan makanan yang sangat mewah. Bukan tidak boleh makan langsung tetapi berhati-hati tetapi kurangkan makanan yang tidak berkhasiat dan menggantikannya dengan banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Saya sendiri menjaga makan, maklum saja pada usia yang kian meningkat ini, orang kata penyakit adalah rakan setia. Memang kita tidak boleh menolak ketentuan Allah SWT tetapi tak salah untuk kita berusaha menjaga kesihatan.

Saya bersyukur pada usia 60 tahun sekarang, saya dikurniakan kesihatan yang baik dan masih aktif dalam dunia seni, lakonan, pengacaraan dan sebagai tukang masak sehingga di jemput memasak ke luar negara.

"Oleh itu saya sangat menyokong karnival ini kerana sudah tiba masanya untuk kita memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penjagaan kesihatan. Amalkan pemakanan sihat dan rajin bersenam," katanya.

Pada hari itu nanti selain persembahan artis pelbagai acara lain disediakan antaranya Pemeriksaan Kesihatan, Pameran Kesihatan, Forum Kesihatan Pertandingan Futsal, Bual Bicara, Pertandingan Mengira Gigi Pasangan, Gubahan Bunga, Pertandingan Karaoke - The Voice Bikin Gegar, Explorace, Pertandingan Memasak, Sukaneka, Pertandingan Basikal Fixie Tercantik, Pertandingan Kayuhan Basikal Terlambat, Pertandingan Jrobik (terbuka) dan Cabutan Bertuah serta Pertandingan Memasak - Jaguh Kuali Ku Sihat oleh Chef Zaidah.

Negeri Johor yang kaya dengan adat dan seni budaya lama, akan menyambut ketibaan tetamu kehormat ke karnival itu dengan persembahan gambus, keroncong dan nyanyian lagu Bangsa Johor.

Turut diadakan hampir 20 gerai khidmat kesihatan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk merujuk kepada pakar kesihatan mengenai penjagaan kesihatan dan mendapatkan maklumat pelbagai jenis penyakit serta cara untuk menghadapinya.

"Ada yang takut berjumpa doktor dan bila penyakit sudah kronik, ia terlambat untuk diubati. Oleh itu, jangan segan dan malu untuk berkongsi masalah kesihatan anda dengan mereka yang pakar kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Apatah lagi kos perubatan semakin mahal sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/01


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Norshahrul pening

Posted: 01 Nov 2012 12:25 PM PDT

KESUNGGUHAN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mendapatkan khidmat pemain paling bernilai (MVP), Norshahrul Idlan Talaha mungkin terpaksa dibayar harga cukup tinggi memandangkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pastinya mahu merasai keuntungan selepas 'melabur' membentuk pemain itu menjadi penyerang digeruni negara.

Adakah benar nilai RM1 juta perlu dibayar PBNJ untuk menebus baki kontrak setahun Norshahrul bersama Kelantan atau jumlahnya lebih tinggi mengikut penilaian majikannya yang kini mencongak dengan teliti kontrak itu dari sudut pasaran dan perundangan.


Situasi itu membuatkan pemain berusia 26 tahun itu 'pening kepala' apabila kedudukannya hingga kini belum dipastikan sedangkan dirinya secara terbuka sudah meluahkan isi hati untuk mencari angin baru selepas tiga tahun bersama Kelantan dan menyertai pasukan 'Manchester City' Malaysia yang baru, iaitu Johor.

Biarpun tiada pengesahan rasmi gaji RM80,000 sebulan ditawar kepada Norshahrul seperti yang dilapor media tempatan setakat ini, namun yang pasti, PBNJ menawarkan pakej menarik untuk pemain kelahiran Besut, Terengganu itu.


"Setiap pemain kalau dapat tawaran macam itu, pasti ada keinginan untuk pergi," katanya ringkas ketika ditanya pemberita semalam mengenai tawaran yang diberikan oleh Johor.


Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo yang berlepas ke Hanoi, Vietnam semalam bersama skuad Harimau Malaya kini menyerahkan kepada Kafa dan PBNJ membuat keputusan.

"Saya serahkan segala keputusan kepada mereka (Kafa dan PBNJ). Saya tak tahu perkara ini menjadi serius, tunggu selepas saya balik dari Vietnam. Saya akan beritahu keputusan daripada perbincangan itu.


"Kafa beritahu mereka sudah baca kontrak (yang diberikan oleh PBNJ) tapi mereka tak cakap tolak, mereka tidak cakap apa-apa. Sekarang saya pening tapi jurulatih (Datuk K Rajagobal) minta saya beri tumpuan kepada pasukan kebangsaan dan biar mereka (Kafa dan PBNJ) buat kerja. Saya harap mereka boleh beritahu keputusan secepat mungkin," katanya.

Norshahrul yang dinobat MVP dan penyerang terbaik kebangsaan buat kali ketiga berturut-turut tahun ini menjadi buruan skuad Harimau Selatan selepas mempamerkan aksi mantap dengan meledak dua gol ketika membantu Kelantan menewaskan ATM, 3-2 pada final Piala Malaysia, piala ketiga musim ini selepas Liga Super dan Piala FA.


Penyerang itu ke Hanoi bagi aksi persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan menentang Vietnam esok dan akan ke Chiang Mai bagi perlawanan dengan Thailand pada 7 November sebelum pulang ke tanah air.


Norshahrul adalah tonggak utama Harimau Malaya ketika menjulang Piala Suzuki AFF dua tahun lalu dan sekali lagi bakal menjadi taruhan utama Rajagobal untuk menerajui barisan serangan melaksana misi mempertahankan kejuaraan hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


McLaren yakin halang Red Bull

Posted: 01 Nov 2012 10:09 AM PDT

ABU DHABI: Pasukan Formula Satu (F1) McLaren yakin mampu menghalang Red Bull mengesahkan kejuaraan pengeluar pada Grand Prix Abu Dhabi, hujung minggu ini.

Pengarah sukan McLaren, Sam Michael berkata, perbezaan karakter litar mungkin menyaksikan kelebihan Red Bull dikurangkan dan memberi peluang kepada pasukan lain melakar kemenangan.


Namun beliau mengaku terlalu sukar untuk mengejar Red Bull dalam perebutan kejuaraan.

Selepas empat kemenangan berturut-turut, termasuk persembahan mengagumkan penyandang juara kategori pemandu, Sebastian Vettel, Red Bull mengungguli kedua-dua carta kejuaraan selepas 17 daripada 20 perlumbaan tahun ini.


Vettel yang menyumbang empat kemenangan berturut-turut buat pasukan berpangkalan di Milton Keynes itu, mengumpul 240 mata untuk mendahului pencabar terdekat yang juga juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Ferrari dengan perbezaan 13 mata dengan baki tiga perlumbaan.


Dalam perebutan kejuaraan pengeluar, Red Bull mendahului 91 mata selepas mengutip 407 mata di depan Ferrari yang mengumpul 316 manakala McLaren meraih 306 mata. Mereka akan mengesahkan kejuaraan di Abu Dhabi jika mendahului 86 atau 87 mata jika pemandu McLaren memenangi perlumbaan itu.

Ini menjurus kepada banyak perkiraan bagi merebut kejuaraan, namun minimum buat Red Bull adalah berakhir di tangga pertama dan kelapan, atau kedua dan ketiga untuk muncul juara.


Michael, bagaimanapun percaya McLaren mahupun Ferrari mampu menangguhkan kemenangan Red Bull, malam Ahad ini.

"Persembahan boleh berubah dari satu litar ke satu litar dengan perbezaan beberapa perpuluhan saat," jelasnya. "Jika bertindak cemerlang dari baris hadapan, maka anda berpeluang untuk menang." McLaren mempamerkan rentak kompetitif dan konsisten dalam beberapa perlumbaan lalu namun perlu mencari sentuhan tambahan untuk mengancam dan meranapkan impian Red Bull meraih kejuaraan pengeluar ketiga berturut-turut selain Vettel ditabal juara tiga kali paling muda dalam sejarah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved