Isnin, 12 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Saya tidak serik terjun’

Posted: 11 Sep 2011 09:57 AM PDT

MELAKA: "Saya akan tetap meneruskan aktiviti sukan payung terjun ini walaupun pernah beberapa kali berdepan saat cemas dan tercedera. Semangat saya tidak pernah luntur, malah saya tak pernah serik untuk melakukan terjunan lagi."

Begitu kata pembantu penguat kuasa di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Asnawi Mohd Hassan, 40, yang retak tulang pinggul sebelah kanan ketika melakukan demonstrasi terjunan bebas pada Majlis Penutup dan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguat Kuasa Gred N17 di Akademi JPJ, Tiang Dua, Ayer Molek, dekat sini, pagi kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi, Asnawi cedera di muka selepas terjatuh di atas tebing batu lalu terpelanting kira-kira 2.3 meter dan terjerumus ke dalam longkang berhampiran tapak perbarisan akademi itu selepas tali bendera dibawanya tersangkut pada sebatang pokok.

"Ketika sesi raptai penuh pada petang Jumaat, kira-kira jam 5.30 petang, saya bersama dua rakan penerjun melakukan terjunan dan pendaratan dengan sempurna.


"Namun, pada hari sambutan, semalam (kelmarin) cuaca kurang baik kerana hujan bermula jam 8.30 pagi hingga jam 10 pagi dan jurulatih tidak membenarkan kami melakukan terjunan.


"Apabila hujan reda jam 10.45 pagi, pesawat Cessna 172 dipandu Kapten (B) A Aziz Ahmad membawa kami terbang melintasi tempat duduk orang kenamaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam.

"Ketika itu, ketinggian 4,000 kaki (1,219.2 meter) dan saya dapat melihat dengan jelas tempat pendaratan di bawah dan bersemangat serta bersedia untuk melakukan terjunan," katanya ketika ditemui di Wad D2, Hospital Melaka, semalam.


Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri dan Pengerusi Cuepacs negeri, Saleh Majid turut meluangkan masa melawat Asnawi.

Asnawi dari Kelantan berkata, dia penerjun ketiga selepas rakannya, Mohd Shamsul Mohd Amin, 32, dan adiknya, Mohd Shamsudin, 20-an.


"Kami melakukan terjunan selang beberapa saat dan dua rakan mendarat sempurna.


"Ketika itu hujan renyai dan apabila saya hampir melakukan pendaratan tiba-tiba tali bendera tersangkut pada pokok pada ketinggian 15 kaki (4.6 meter) dan terputus.


"Akibatnya saya jatuh dan pinggul terhentak pada tebing batu dan tersungkur ke dalam longkang dipenuhi air. Mujur saya memakai topi, jika tidak mungkin cedera lebih teruk," katanya yang berpengalaman melakukan 320 kali terjunan dari pesawat selain 50 kali terjunan bangunan tinggi termasuk Menara Kuala Lumpur.


Menurutnya, dia juga aktif dalam sukan paragliding dan menjadi jurulatih Kelab Sukan Penerbangan Negeri Sembilan dan kejadian seumpama itu bukan pertama kali dialaminya.


Katanya, dia berjinak dengan sukan payung terjun sejak berkhidmat dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) sebelum bersara pada 2004 dan menyertai JPJ tiga tahun kemudian.


"Walaupun retak tulang pinggul ia tidak mematahkan semangat saya untuk aktif dalam sukan ini," katanya.


"Malah, tiga daripada lima anak saya turut berminat dan mengikut saya dalam sukan paragliding," katanya.

Hentak rakan guna mangga

Posted: 11 Sep 2011 09:27 AM PDT

AMPANG: Berang selepas bekas rakan serumahnya menukar mangga jeriji rumah pangsa yang pernah dihuninya, seorang wanita berusia 20-an menendang dan memukul bekas rakan serumahnya itu dengan mangga berkenaan, kelmarin.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang tidur bersama seorang lagi rakannya dalam sebuah bilik di rumah berkenaan di Pandan Indah, di sini, terkejut sebaik mendengar ketukan pintu yang kuat.


"Mangsa bangun dan membuka pintu sebelum mendapati bekas rakan serumahnya berada di luar rumah. Wanita itu mendakwa mahu mengambil barang miliknya yang masih tertinggal.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuka mangga dan jeriji yang dikunci dan membenarkan wanita terbabit masuk untuk mengambil barang," katanya.


Menurutnya, tanpa diduga bekas rakan serumah mangsa itu tiba-tiba menghentak mangsa dengan mangga di belakang badannya. Apabila mangsa cuba melawan, dia ditampar, ditumbuk dan ditendang beberapa kali.


"Mangsa menjerit meminta tolong dan rakan serumahnya cuba membantu, namun turut dipukul," katanya.

Sumber itu berkata, suspek mengamuk dengan menghentak dan mencampak semua barang di ruang tamu sebelum meninggalkan rumah itu.


Menurutnya, mangsa dan rakannya itu mendapatkan bantuan jiran yang menghantar mereka ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Saya tak tahu’

Posted: 11 Sep 2011 09:03 AM PDT

KETUA jurulatih beregu lelaki yang baru, Tan Kim Her belum merancang apa-apa buat lapan gandingan pelatih dan dua pembantu jurulatih di bawah kendaliannya.

Beliau yang baru kembali dari Terbuka Taiwan itu mengaku tidak tahu menahu mengenai perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan akan merujuk kepada pengurusan persatuan.


"Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan, biarlah saya bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat BAM)) dan Kenny Goh (Pengurus Besar) dulu sebelum menjelaskan peranan saya," kata Kim Her.

Begitupun beliau menganggap tindakan menyatukan pemain beregu dalam satu kumpulan adalah tindakan bijak.


"Sekarang tiada lagi kumpulan elit dan pelapis dan saya rasa ia lebih baik kerana setiap pemain mahupun jurulatih akan saling tolong-menolong." Ketika ditanya siapakah antara beliau, Pang Cheh Chang dan Rosman Razak akan melatih beregu utama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selepas gandingan itu meminta supaya diletakkan di bawah Cheh Chang, beliau menegaskan belum membuat keputusan.


"Ketika ini saya nampak seperti perlu melatih semua pemain dan dibantu Cheh Chang serta Rosman. Biarlah saya jumpa Chin Chai dan Kenny dulu untuk mengetahui apa rancangan mereka," kata Kim Her.

Kenyataan Kim Her ini jelas menampakkan bahawa jurulatih yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada C&T langsung tidak tahu apa-apa keputusan yang dibuat jawatankuasa ituapa lagi ketika mesyuarat mengenainya dilakukan hanya dua jurulatih Tey Seu Bock dan Rexy Mainaky berada dalam negara.


Struktur baru kejurulatihan dan latihan akan bermula hari ini selepas mesyuarat C&T Khamis lalu memutuskan Rexy tidak lagi melatih beregu lelaki sebaliknya beregu wanita dan campuran.

Pertukaran struktur kejurulatihan ini berlaku menerusi desakan Kien Keat-Boon Heong yang menyuarakan hasrat untuk tidak lagi berlatih di bawah Rexy selepas Kejohanan Dunia lalu dan desakan itu dibuat kedua-dua pemain kepada pengurusan persatuan.


Perubahan struktur ini menurut BAM selaras dengan misinya melihat pemain negara merangkul pingat emas di Sukan Olimpik London 2012.

Skuad hoki raih pingat gangsa

Posted: 11 Sep 2011 08:58 AM PDT

SKUAD hoki negara melakar sejarah tersendiri pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Ordos, China apabila meraih pingat gangsa selepas menewaskan Jepun 1-0 pada perlawanan penentuan tempat ke-3/4 semalam.

Hadir ke kejohanan itu dengan memikul sasaran empat pasukan terbaik seperti diharapkan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), skuad kendalian Tai Beng Hai bagaimanapun menamatkan cabaran dengan menduduki tempat ketiga daripada enam pasukan bertanding sekali gus ia pencapaian terbaik selepas meraih pingat perak pada Sukan Asia Guangzhou, tahun lalu.


Jaringan tunggal Muhammad Firhan Ashaari tujuh saat sebelum tamat perlawanan menerusi gol padang memberi keriangan di kem skuad negara selepas pada mulanya dilihat bakal menamatkan kempen lebih awal selepas tewas dua perlawanan pertama kepada Pakistan dan Korea Selatan.

Beng Hai jelas gembira dengan kejayaan yang diraih anak buahnya, namun tetap ada nada tidak puas hati dari pengendali skuad negara itu.


"Meskipun kami hanya menang tipis 1-0, tetapi sebenarnya lebih banyak gol boleh dijaringkan selepas pemain mensia-siakan beberapa peluang terbaik.


"Apapun, secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak buah saya kerana bukan mudah untuk kita bangkit pada kejohanan ini selepas tewas dua perlawanan pertama," katanya.

Pada perlawanan terakhir saingan yang dilangsungkan secara round robin kelmarin, skuad negara turut berjaya menewaskan Jepun 3-2 pada satu perlawanan dramatik sebelum menempah tiket ke penentuan tempat ke-3/4.


Sementara itu, India meraih pingat emas selepas menewaskan Pakistan menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final semalam.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


‘Rentaz satukan kasih kami’

Posted: 11 Sep 2011 06:23 AM PDT

SEPANJANG lapan tahun berkawan, soal cinta tidak pernah wujud antara Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin atau Shah Jaszle, 23, dan Miera Leyana Kasmi (Miera Leyana), 19. Apatah lagi sebelum ini mereka bersekolah sama iaitu di Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kedua-duanya akui sekadar meminati antara satu sama lain.

Sewaktu digandingkan pertama kali selepas masing-masing memilih lakonan sebagai kerjaya menerusi Luna Fantasiku, soal cinta juga tidak wujud memandangkan masing-masing pada waktu itu sudah berteman.

Bagaimanapun, segalanya berbeza apabila mereka ditemukan pengarah prolifik, Mamat Khalid dalam filem terbaru arahannya, Rentaz yang menjalani penggambaran di Pulau Pinang, ketika ini.


Akhirnya filem ke-10 arahan Mamat itu menyatukan hati Shah Jaszle dan Miera dalam ikatan yang dipanggil cinta. Kenyataan itu keluar sendiri daripada mulut jejaka kacak itu.


Tanpa banyak berdalih, apabila ditanya pihak media dengan siapa dia bercinta sekarang selepas hubungannya dengan Maria Farida terputus, terus saja Shah Jaszle dengan yakin menyebut: "Miera Leyana."

Perkara itu menyebabkan sebahagian rakan media yang dibawa khas dari Kuala Lumpur menyaksikan penggambaran filem Rentaz seperti tidak percaya dan menganggap ia mungkin gimik terbaru.

Ini kerana mereka berdua memegang peranan pasangan kekasih dalam filem yang turut menampilkan Awie dan Khir Rahman sebagai teraju utama itu.

"Sebenarnya saya kenal Miera sewaktu dia belajar dalam tingkatan dua dan saya tingkatan lima. Memang minat itu ada tapi ketika itu dia sedang berkawan rapat dengan kawan baik saya.

"Kisahnya saya dan kawan baik saya itu bercadang keluar sama. Kawan saya cakap dia mahu membawa teman rapatnya sekali. Saya sendiri tidak tahu siapa. Apabila dia muncul bersama Miera, saya diam saja," katanya.

Selepas tamat pengajian dan membawa haluan masing-masing, dia tidak tahu bagaimana perkembangan Miera sehinggalah mereka ditemukan dalam Luna Fantasiku.

"Dunia ini kecil. Pusing-pusing akhirnya bertemu semula. Bagaimanapun, waktu itu kami ibarat bertemu rakan lama. Lalu peluang itu saya gunakan untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita apa yang berlaku selepas saya meninggalkan zaman persekolahan. Waktu itu Miera bagaimanapun berkata, dia sedang berkawan dengan seorang lelaki. Jadi kami terus berkawan lagi," katanya.

Jelas Shah Jaszle, waktu sama mereka terus menghubungi antara satu sama lain sekadar bertanyakan perkembangan masing-masing.

Menjelaskan mengapa tiba-tiba hatinya makin terpaut kepada Miera, kata Shah Jaszle, dia sangat menggemari sikap Miera yang 'sempoi' tetapi matang sekalipun membicarakan perkara yang serius.

"Begitu juga dengan kerjaya. Miera walaupun muda tetapi komited terhadap kerjayanya. Dia sudah banyak berubah kalau dibandingkan dengan kemunculan awalnya dalam bidang lakonan dan sewaktu kami sama-sama membintangi Luna Fantasiku. Sewaktu penggambaran Rentaz sekarang, dia semakin matang dan dapat membezakan antara kerja dan hal peribadi," katanya.

Apabila dinyatakan bahawa perasaan yang timbul antaranya dengan Miera tidak lebih daripada cinta lokasi, Shah Jaszle menafikan perkara itu, apatah lagi keluarga kedua-dua belah pihak sudah mengetahui hubungan mereka.

Bagi Miera pula, apa yang berlaku antara dia dan Shah Jaszle seperti sudah ditakdirkan.

"Saya takut sebenarnya, selepas putus cinta dengan bekas kekasih dulu, saya tidak bercadang untuk bercinta dengan sesiapa buat sementara waktu. Namun takdir tiada siapa yang tahu. Saya bagaimanapun cuba menerima hubungan ini secara berpada-pada, maksudnya tidak mahu terlalu taksub," katanya.

Waktu sama, Miera meluahkan rasa bimbangnya kalau-kalau hubungan mereka terlalu diperbesar-besarkan.

"Saya tidak mahu timbul sebarang salah faham. Saya senang dengan Shah kerana dia seorang lelaki matang, berdikari dan rajin. Lagipun dia juga banyak mengajar dan membimbing saya dalam dunia lakonan," katanya.

Begitupun Miera tidak menafikan dia pernah menyimpan perasaan terhadap Shah Jaszle sejak zaman sekolah lagi tetapi disebabkan ketika itu dia lebih dulu berkenalan dengan teman baik Shah Jaszle, perkara itu dipendamkan saja.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai gandingannya dengan Shah Jaszle dalam Rentaz, Miera berkata, mereka begitu seronok membintangi filem itu apatah lagi dibimbing Mamat Khalid.

Mungkin disebabkan mereka sedang bercinta, ia memudahkan lagi penghayatan mereka terhadap watak masing-masing. Seloroh seorang teman, mungkin itu sudah 'rezeki' Mamat Khalid!

PROFIL SHAH JAZLE:

Nama Penuh: Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin
Panggilan: Shah Jaszle
Tarikh lahir: 30 Julai 1988
Usia: 23 Tahun
Asal: Kampung Baru, Kuala Lumpur
Pendidikan: Diploma Masakan Kolej Komuniti
Pekerjaan: Pelakon, model

Drama: Anak Emak, Dari Mata Ke Hati, Bila Mama Pakai Celana,
Mistik Alam Hitam, Pondok Ingatan Cinta, Kemaafan Sakura, Tari
Tirana, Asmara, Gemilang, Tahajjud Cinta, Naratif Cinta, Luna Fantasiku, Bola Cinta, Telah Dihalalkan Epal Itu, Pengantin Untuk Dijual, Ayu Suraya.

Filem: Azura, Rentaz
Pencapaian: Artis Baru Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010

PROFIL MIERA LEYANA:

Name Penuh: Miera Leyana Kasmi
Panggilan: Miera Leyana
Tarikh lahir:28 Ogos 1993
Usia: 18 tahun
Asal: Johor Bahru, Johor
Kerjaya: Pelakon, model

Drama: Luna Fantasiku, Bio-Nik, Apa Itu Cinta, Ceria Ceria Cikgu Rubina, Kecuali Cintamu, Kamelia Katrina, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun, Nana Naruto

Filem: Apokalips, Rentaz
Peragaan: Vinci, Voir

Elfira berlakon filem Jepun

Posted: 11 Sep 2011 06:11 AM PDT

PENAMPILAN Nurul Elfira Loy atau Elfira Loy, 17, dalam filem Jepun, Second Chance, bagaikan satu pengiktirafan besar kepada artis remaja itu sendiri dan pelakon Malaysia lain amnya.

Dalam filem arahan Kurosaki Hiroshi itu, Elfira membawa peranan sebagai Rin, seorang jururawat. Penampilannya menerusi filem itu bagaimanapun tidak memerlukan dia berbahasa Jepun sebaliknya berdialog dalam bahasa Inggeris.

Menurut ibu Elfira yang hanya dikenali sebagai Filzah, anaknya itu meluangkan masa selama sebulan pada Julai lalu di Jepun bagi menyiapkan penggambaran filem berkenaan.

"Sememangnya ia satu pengalaman yang berharga buat Elfira kerana dapat menimba pelbagai pengalaman baru apabila terbabit dalam produksi antarabangsa," katanya.


Apa yang menarik, tayangan perdana filem itu akan dilancarkan di Kuala Lumpur serentak dengan Festival Filem Jepun Ke-8 (JFF8) di Malaysia, bermula minggu ini.


"Elfira menjalani uji bakat pada pertengahan Jun lalu sebelum diterima berlakon. Dia terbabit penggambaran di Jepun sekitar Julai. Penggambaran berlangsung di Studio Soho, Tokyo.

"Sepanjang berada di sana, kami cukup kagum dengan sikap masyarakat mereka yang begitu profesional ketika penggambaran. Selain makan minum kami dijaga, mereka juga menitikberatkan soal waktu solat. Pendek kata, kami dijaga dengan cukup baik," kata Filzah.

Elfira sebelum ini popular dengan drama Kum Kum dan Ekspres Dania di Astro. Dia sebenarnya mula mencipta nama dalam drama TV termasuk Roh Naterah, Hani, Senja Permai, Syurgamu Ramadhan, Sayang Abah dan Tentang Bulan The Series.

Sementara itu, seperti yang dinyatakan, JFF8 di Malaysia yang berlangsung pada 15 hingga 20 September ini menempa sejarah tersendiri apabila tayangan Second Chance dibuat.

Ia berkisar kepada kisah percintaan yang menampilkan lakonan mantap Suzuki Kyoka, Hasegawa Hiroki dan Fukada Kyoko.

JFF8 bukan sekadar mempromosi budaya masyarakat Jepun ke Asia Tenggara, malah memberi peluang kepada peminat filem Negara Matahari Terbit ini menyaksikan pelbagai variasi filem menarik yang ditayangkan di rangkaian pawagam utama Golden Screen Cinema (GSC).

Majlis pelancaran dan sidang media JFF8 berlangsung di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada esok, 13 September, disusuli tayangan perdana Second Chance.

Pawagam terbabit dalam menjayakan JFF8 termasuk GSC Mid Valley, GSC 1 Utama (sayap baru), GSC Pavilion Kuala Lumpur manakala di Pulau Pinang bertumpu di GSC Gurney Plaza, pada 22 - 25 September ini khusus bagi peminat di utara.

Sebanyak 10 judul filem pilihan ditayangkan menerusi festival kali ini, antaranya Double Trouble lakonan Kobayashi Kaoru, Yasuda Narumi dan Ito Atsushi. Tidak ketinggalan karya pengarah terkenal Yamada Yoji menerusi About Her Brother lakonan Yoshinaga Sayuri, Shofukutei Tsurube dan Aoi Yu.

Filem lain termasuk I Just Didn't Do It arahan Suo Masayuki dan karya animasi Mai Mai Miracle. Turut ditayangkan, filem berkisar kehidupan pramugari dan pramugara, Railways arahan Nishikori Yoshinari serta Sawako Decides, The Dark Harbor dan Your Friend.

Festival filem unik anjuran Yayasan Jepun Kuala Lumpur dengan kerjasama GSC itu menawarkan tiket berharga RM5 saja bagi satu-satu tayangan filem. Semua filem yang ditayangkan mempunyai sari kata bahasa Inggeris.

Sempena JFF8, pembaca bertuah Harian Metro bakal menerima 100 pas percuma menyaksikan filem hebat itu.

Caranya mudah, anda hanya perlu membawa keratan asal akhbar ini atau keratan rencana yang disiarkan pada 3 September lalu dalam Harian Metro untuk menukarkannya dengan pas percuma di GSC 1 Utama bermula jam 11 pagi pada 14 September ini.

Pembaca hanya layak mendapat sepasang tiket untuk satu keratan selagi stok masih ada. Pertukaran berdasarkan siapa cepat dia dapat!

Bagi peminat filem Jepun, tiket boleh juga dibeli di GSC Box-Office, GSC E-Payment (Online Ticketing) atau www.gsc.com.my or GSC Mobile App (iPhone) dua hari sebelum tayangan di pawagam. Maklumat lanjut layari laman web www.gsc.com.my / www.facebook.com/gscinemas / www.twitter.com/gscinemas.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Tolong tarik aku keluar Zul’

Posted: 11 Sep 2011 09:49 AM PDT

PADANG BESAR: "Ya Allah sakitnya, tolong tarik aku keluar Zul." Itulah rintihan Hazman Bakhtiar Sharizan, 14, sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat tersepit dalam van yang dihempap pokok besar hingga meragut tiga nyawa semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu di Kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, di sini, Hazman bersama tujuh pelajar lain dari Maahad Tarbiyah Islamiyah (Matri) di Beseri dalam perjalanan melakukan lawatan sambil belajar ke Kilang Gula Felda di Chuping.

Malang menimpa apabila sebatang pokok tumbang lalu menimpa van dinaiki kumpulan pelajar itu kira-kira 50 meter dari pintu masuk kilang berkenaan ketika hujan lebat disertai ribut.

Turut maut dalam kejadian itu ialah seorang lagi pelajar Matri, Ahmad Izzat Ismail, 17, dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang, dan pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri, di sini.


Ahmad Ahnaf Anis Soffian, 14, juga pelajar Matri yang berasal dari Kuala Lumpur, mengalami kecederaan parah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

12 tahun berkurung

Posted: 11 Sep 2011 09:49 AM PDT

KUANTAN: Akibat terlampau sedih dengan kematian bapanya, seorang wanita mengalami kemurungan sehingga enggan bercakap dengan sesiapa termasuk anggota keluarga dan hanya bersembunyi bawah katil sejak 12 tahun lalu.

Ibu wanita berkenaan, Sarimah Majid, 45, berkata, masalah kemurungan itu menimpa anak keduanya, Suzana Salam, 29, sejak kematian suaminya, arwah Salam Abdullah, pada 1999 berikutan arwah amat rapat dan manja dengan Suzana.


Menurut ibu tunggal enam anak itu, disebabkan masalah berkenaan dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga Suzana yang hanya terlantar sejak berusia 17 tahun sehingga tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.

Katanya, mereka sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara keluarga serta empat anak masih bersekolah. Sarimah berkata, dia sekeluarga bergilir-gilir membantu menguruskan keperluan Suzana kerana bimbang ditimpa penyakit lebih serius.


Dia pernah dirujuk kepada beberapa doktor di klinik kesihatan, namun Suzana disifatkan normal tanpa ada masalah mental atau fizikal.


"Saya tidak mampu membawanya ke klinik secara berterusan atau mendapat rawatan pakar perubatan kerana saya perlu memberi keutamaan untuk menyara keluarga terutama empat anak yang masih bersekolah.

"Oleh itu, saya merayu bantuan pihak yang pakar dengan rawatan mental atau perubatan Islam bagi mengubati Suzana kerana besar harapan saya sekeluarga untuk melihatnya pulih," katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, yang menyampaikan sumbangan hari raya kepada keluarga berkenaan kelmarin berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan khidmat pakar perubatan Islam untuk merawat Suzana.

"Penyakit ini perlu penjelasan perubatan lebih saintifik kerana saya mahu memohon mendapatkan elaun kebajikan khusus untuknya jika dia dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) atau pesakit kronik.


"Manakala, jika dia dikategorikan sebagai pesakit mental, dia perlu ditempatkan di pusat rawatan khusus, justeru ibunya mempunyai ruang masa untuk bekerja bagi menyara keluarga," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Chairul, 2, merokok

Posted: 11 Sep 2011 08:38 AM PDT

JAKARTA: Seorang kanak-kanak Indonesia yang menjadi terkenal seluruh dunia tidak lama dulu kerana merokok pada usia dua tahun, sudah menghentikan tabiat itu.

Bagaimanapun, dia memberitahu ibunya, dia akan merokok semula kecuali dia dibelikan mainan.


Ardi Rizal ditemui oleh sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, ABC, dan menjadi terkenal apabila satu rakaman video yang menunjukkan dia merokok tersebar luas.

Program itu bagaimanapun mendapati Ardi bukan satu-satunya kanak-kanak yang menghisap rokok di Indonesia apabila mereka menemui seorang lagi perokok, juga berusia dua tahun bernama Chairul, yang tinggal di sebuah perkampungan nelayan di Jawa Timur.


Chairul dilihat terus merokok selepas bangun tidur, dengan bantuan datuknya.


Si datuk memberitahu rancangan berkenaan, dia membenarkan Chairul merokok kerana rasanya enak, seperti roti dengan cokelat.

Ketika Chairul merokok di sebelahnya, lelaki itu berkata, ia bukan satu masalah.


"Dia kadang-kadang merokok dua kotak sehari. Dia akan tidak sihat jika tidak merokok.

"Ia tidak akan mendatangkan masalah selagi dia minum kopi secukupnya sambil merokok," kata lelaki itu.


Di satu bandar lain, rancangan 20/20 ABC itu menemui seorang budak berusia tujuh tahun, Maulana, yang mahir mengeluarkan asap berbentuk bulatan sambil ibunya melihat dia merokok.


Maulana menghabiskan sekotak rokok sehari.


Ibunya berkata, dia sedar tabiat itu membahayakan kesihatan dan boleh membawa maut, tetapi dia tidak mampu melarang kanak-kanak itu daripada terus merokok. "Dia akan lemah dan mula menangis," kata wanita itu.


Program itu menyalahkan syarikat tembakau kerana mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang pengiklanan bagi mensasar golongan muda Indonesia.


Indonesia tidak menetapkan had umur untuk membeli rokok.


Kru program itu juga menjejaki Ardi, yang kini berusia empat tahun dan tinggal di Sumatera. Ketika ditemui, dia memakai cerminta mata hitam ranggi.


Kanak-kanak itu berhenti merokok selepas pegawai Indonesia yang malu bertindak menghantarnya menjalani pemulihan.


Bagaimanapun, ibunya berkata, dia menggunakannya untuk mengancam.


"Jika saya tidak membelikannya mainan, dia ancam untuk merokok semula," kata ibunya.


Ketika Ardi ditanya sama ada dia masih merokok, kanak-kanak itu menjawab dia tidak akan merokok lagi.


Tetapi ibunya berkata, dia menangkap Ardi bersama rokok baru-baru ini kerana ada orang yang memberinya. - Agensi

Doktor cuai silap cabut gigi

Posted: 11 Sep 2011 08:35 AM PDT

SOMERSET: Seorang doktor gigi yang mencabut gigi yang salah milik seorang pesakit, mengambilnya semula daripada tong sampah dan 'menanamnya' semula pada gusinya dua jam kemudian.

Kim Green yang kesakitan tidak sedar bahawa giginya yang sihat adalah antara yang yang berada dalam tong sampah itu bersama-sama tisu penuh dengan darah, kesan air ludah dan jarum yang digunakan terhadap pesakit lain.


Doktor gigi, Justin George 'menanam' semula gigi itu, membiarkan gigi yang sakit begitu saja dan mencadangkan dia memakan ubat tahan sakit sehingga temu janji lain diadakan.

Tetapi, malam itu, Kim, 44, tidak dapat lagi menahan kesakitan dan dimasukkan ke hospital untuk pembedahan kecemasan.


Seorang pakar bedah yang terkejut, mencabut kedua-dua gigi berkenaan dan membuat laporan mengenai George kepada pihak berkuasa tempatan dan Majlis Doktor Gigi.


Dia kini digantung tugas sementara menanti untuk dibicarakan.

Menurut Kim, ibu dua anak, berikutan kejadian itu dia terpaksa menjalani ujian darah dan suntikan antihepatitis.


Masalahnya bermula 28 Mei lalu apabila dia mengunjungi klinik gigi berhampiran kediamannya.

Kim mendakwa, George menjalankan imbasan-X pada mulutnya tetapi tidak melihat imejnya.


Dia hanya bergantung kepada Kim untuk menunjukkan gigi yang sakit.


Doktor itu hanya menyedari kesilapan itu selepas diberitahu dan melihat imej imbasan itu. - AP

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved