Selasa, 25 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Dunia kanak-kanak berwarna-warni

Posted: 25 Sep 2012 07:54 AM PDT

MELIHAT perkembangan anak pasti menjadi kenangan terindah bagi ibu bapa. Apatah lagi sekiranya setiap detik yang dilalui mereka dapat dilihat ibu bapa.

Anak berpusing, meniarap, merangkak dan berjalan adalah antara peralihan usia yang tidak seharusnya dilepaskan. Malah, ibu bapa mahu menjadi orang pertama mendengar anak menuturkan perkataan pertamanya, bukan pengasuh atau orang gaji.
Ini kerana detik ini paling berharga dan indah serta sukar dilupakan.


Dalam mendidik anak, ibu bapa adalah guru terbaik yang bertanggungjawab bukan setakat menyediakan semua keperluan, tetapi memberi asuhan terbaik sama ada secara formal atau tidak. Dalam erti kata lain tugas ini tidak sewajarnya diserahkan kepada guru di sekolah semata-mata, tetapi ibu bapa moden kini boleh memberikan didikan di rumah atau homeschooling kepada anak-anak.

Kaedah sekolah di rumah bukan saja diberikan secara sepenuh masa iaitu anak tidak langsung dihantar ke sekolah, malah ketika anak berada bersama ibu bapa.

Menurut pengamal sekolah di rumah yang juga perunding laktasi (IBCLC) dan Pengarah Urusan Lunatots, Siti Nur Suraya Mohamed Ali, mendidik anak di rumah boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa saja. Ibu bapa boleh menjadi pendidik dengan memulakan pembelajaran seawal usia anak setahun dengan memberikan pembelajaran secara rasmi atau tidak rasmi mengikut kurikulum tertentu.

Bagi mereka yang ingin menyekolahkan anak di rumah secara sepenuh masa, ibu bapa perlu membuat permohonan pengecualian daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Konsep sekolah di rumah sangat sesuai untuk ibu bapa yang bekerja sendiri atau mengikut jadual bertugas (syif). Dalam beberapa keadaan, ada juga ibu yang mengajar anak selama empat hari seminggu selebihnya digunakan untuk bekerja. Namun, bagi ibu bapa yang bekerja sepenuh masa, mereka boleh melakukan aktiviti sekolah di rumah ini dengan anak pada cuti hujung minggu," ujarnya.

Suraya yang menggunakan pendekatan sekolah di rumah untuk ketiga-tiga anaknya, Ammar Zikry, 5, Ammar Dzakwan, 3 dan Alya Zalikha, setahun, memberitahu idea mewujudkan sekolah di rumah tercetus secara tidak langsung selepas terbabit dalam bidang keibubapaan serta bergelar perunding laktasi dengan menekankan penyusuan susu ibu, mengusahakan perniagaan lampin kain Lunatots dan pengendong bayi.

Ini sekali gus memberi inspirasi kepadanya memberikan pendidikan di rumah kepada anaknya selepas menyedari pentingnya ibu bapa itu sendiri memulakan pendidikan awal kanak-kanak sebelum menghantar mereka ke sekolah.

"Sebenarnya saya bercita-cita menjadi pendidik di rumah untuk anak selepas melahirkan anak pertama iaitu lima tahun lalu. Sejak itu, saya mula mencari pendekatan sesuai serta kaedah terbaik dengan memberi penekanan kepada mental, emosi dan fizikal mereka," katanya.

Apa yang berlaku pada masa sekarang, kebanyakan ibu bapa beranggapan pendidikan harus dilakukan secara formal atau di bilik darjah saja. Tetapi, sebenarnya tidak, mendidik anak boleh dilakukan di mana-mana saja.

"Misalnya anak yang bersekolah pada waktu pagi, ibu bapa masih boleh melakukan pendekatan sekolah di rumah pada waktu petang, malam dan hujung minggu serta ketika cuti sekolah.

"Ini boleh dilakukan dengan berkongsi kepakaran dengan semua ibu bapa di kawasan sekitar rumah serta mereka yang berpegang kepada konsep sekolah di rumah. Contohnya, saya mengajar anak saya serta anak jiran mengenai urus niaga perniagaan manakala mungkin ada ibu kreatif mengajar anak saya dan anak yang lain mengenai ilmu seni dan lakonan, perubatan, pendidikan atau kejuruteraan.

"Pertukaran ilmu seperti ini pasti menyeronokkan bukan saja untuk anak, malah ibu bapa sendiri. Ini kerana mereka lebih memahami bagaimana bidang tugas ibu bapa sejak kecil lagi," katanya.

Namun, beberapa penilaian perlu difahami ibu bapa dalam memperkenalkan konsep sekolah di rumah. Ia adalah proses membabitkan keseluruhan ahli keluarga termasuk bapa.

Apabila ibu bapa faham mengenai kaedah sekolah di rumah ini, ia menjadi lebih mudah dilaksanakan bukan hanya membayangkan susunan meja dan kerusi yang sama seperti di bilik darjah (tetapi di rumah), namun sebenarnya pembelajaran lebih daripada sekeping kertas.

"Misalnya dengan melakukan aktiviti di dapur bersama-sama, berkebun dan ketika menonton televisyen, ia antara waktu yang boleh digunakan untuk mengajar. Pada masa ini, ibu boleh memberitahu mengenai jenis sayuran, mengapa tumbuhan perlukan air atau memperkenalkan jenis masakan dan barang digunakan di dapur," katanya.

Bagi ibu bapa yang berminat memperkenalkan kaedah pembelajaran di rumah secara sepenuh masa, mereka perlu mencari 'mengapa' mereka mahu melaksanakannya sebelum 'bagaimana' mereka melakukannya. Ini adalah dua faktor yang sangat penting.

"Mengapa saya mahu melakukan pendekatan sekolah di rumah adalah kerana saya percaya pada kapasiti saya dan suami serta sangat sukakan kanak kanak. Dunia mereka berwarna-warni dan bukan menjadikannya hanya 'satu warna' saja dengan menetapkan pelajaran hanya boleh di dapati di sekolah.

"Namun, sebenarnya apa juga yang ada di sekeliling kita adalah pembelajaran seperti menghormati orang tua dengan cara bersalam.

"Dalam hal ini saya dan suami tiada bezanya dengan ibu bapa lain cuma terdapat pertambahan tugas iaitu kami suami isteri perlu melihat kepada kecenderungan anak-anak dan menggalakkan mereka melakukan apa yang mereka suka," kata Suraya.

Bagi mengelakkan tekanan, Suraya tidak menggunakan jadual waktu, kurikulum serta pembelajaran khusus untuk anak-anaknya. Apa yang dilakukan misalnya pada minggu pertama, dia mengajar mengenai bentuk, anak yang berusia tiga tahun belajar bentuk bulat sementara abang belajar mengenai bentuk heksagon.

"Tetapi sekiranya anak sulung merasakan tidak sukakan bentuk heksagon, dia boleh membantu adiknya belajar bentuk bulat dengan cara menunjukkan kepada adik barang dalam rumah yang berbentuk bulat," jelasnya.

Walaupun sibuk dengan urusan pejabat, wanita ini tidak menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak berdamping dengan anak. Jadual waktu diatur pada waktu pagi selepas sarapan, dia mengajak anak membuat aktiviti di atas kertas.
Biarpun hanya kertas kosong dengan sebarang lakaran yang terlintas di fikiran, ini dapat membantu daya kreativiti mereka.

"Malah, selepas beberapa ketika, saya boleh melakukan kerja di depan tablet sambil memerhatikan mereka bermain ataupun menonton televisyen. Pada waktu petang pula saya melakukan aktiviti berlainan bagi mengurangkan rasa bosan," ujarnya.

Suraya percaya dalam mendidik anak-anak, komunikasi yang berkesan sangat penting. Komunikasi merangkumi bentuk suara, sentuhan, pelukan dan bahasa tubuh. Beritahu anak-anak bahawa anda adalah ibu dan juga guru. Pasti mereka mengagumi anda serta lebih memahami tugasan anda.

Untuk menjadi lebih sistematik, apa yang boleh dilakukan ialah menyediakan fail untuk menyimpan hasil kerja anak di dalam bentuk material. Sekiranya bukan dalam bentuk kertas, ambil gambar dan cetak hasil kerja mereka dan simpan di dalam fail.

"Saya menjadikan apa yang dilihat di sekeliling sebagai sumber rujukan seperti daun, sampah dan ulat serta mewujudkan persoalan seperti mengapa roti berwarna putih? Selain itu, saya turut merujuk laman web yang membincangkan mengenai aktiviti sekolah di rumah bersama anak prasekolah.

"Bagi anak yang berusia lima tahun ke atas, ibu bapa boleh mula mencipta blog keluarga bagi membolehkan anak sulung mencatatkan aktiviti harian mereka.
Pastinya anak akan lebih berbangga diberi tanggungjawab oleh ibu bapa," katanya yang berhasrat menjadi guru kepada anak sehingga mereka dewasa.

Malah, hala tuju anak ditentukan sepanjang perjalanan mendidik mereka mengikut kelebihan dan minat anak. Di samping itu, anak dihantar menghadiri kelas bahasa dan permainan anjuran kumpulan Homeschoolers yang lain.

Aktiviti sekolah di rumah:

  • Memasak bersama

    Beli buku resipi kreatif untuk memasak bersama anak. Bercerita dengan mereka bahawa memasak adalah aktiviti yang sangat menggembirakan terutama apabila menyediakan makanan sihat untuk keluarga.

    Pastikan semua ahli keluarga memakai apron dan mempunyai peralatan yang sama seperti pisau dan papan pemotong.

    Babitkan anak dalam setiap aktiviti dan bercerita mengenai setiap langkah dalam penyediaan makanan.

  • Berkebun

    Aktiviti berkebun juga adalah proses yang bagus untuk pembelajaran anak.. Ambil peluang menceritakan mengenai benda hidup seperti haiwan dan tumbuhan serta kebergantungan antara satu sama lain.

    Ajak anak menanam sayuran seperti tomato dan bayam. Anda sekeluarga pasti teruja ketika menikmati hidangan sayur bayam yang ditanam dan dituai sendiri.

    Dapatkan topi untuk menutup cahaya matahari dan baju lengan panjang untuk berkebun supaya anak belajar pakaian yang sesuai untuk aktiviti itu.

  • Membeli-belah

    Membeli barang dapur adalah aktiviti mingguan yang boleh dimasukkan dalam aktiviti sekolah di rumah. Sebelum ke pasar raya, senaraikan bersama anak barang yang perlu dibeli.

    Semak barang di dalam peti ais seperti buah apa yang sudah ada, bilangan biji telur yang masih berbaki atau jenis sayur yang sudah layu kerana tidak dimasak.
    Terangkan kepada anak mengenai pembaziran. Semasa di pasar raya, anda dan anak membeli apa yang ada di dalam senarai saja. Kongsi jumlah duit yang ada dan boleh digunakan.

    Seawal empat tahun, mereka sudah faham mengenai duit dan bagi anak yang lebih kecil, mereka sukakan warna buah dan sayur di pasar raya.

    Pastikan anda membeli lima jenis warna makanan sihat seperti merah (cili), oren (mangga), hijau (sayur-sayuran), kuning (pisang) dan putih (telur).

    Ajar anak membayar makanan di kaunter pembayaran serta proses mendapatkan baki kembali.

  • Menonton televisyen

    Menonton televisyen adalah waktu belajar untuk anak.. Duduk bersama anak dan tanya mereka mengenai cerita itu.

    Beritahu apa yang cuba disampaikan menerusi rancangan yang ditonton. Beritahu apa yang boleh dilakukan serta contoh yang tidak baik.

    Seawal usia dua tahun, mereka boleh memahami. Cuba sampaikan sebaik mungkin dengan ekspresi wajah yang baik.

  • Belajar bahasa

    Pilih satu bahasa yang anda mahu pelajari bersama anak. Contohnya bahasa Arab, Mandarin atau Inggeris. Cadangkan dan tanya persetujuan mereka.

    Terdapat banyak aplikasi di Internet dan telefon yang boleh dimuat turun.
    Beritahu tujuan kita belajar bahasa itu. Sebagai contoh, saya dan anak
    mengikuti kelas bahasa Arab kerana jika ingin menunaikan umrah atau haji ke Makkah, semua orang menggunakan bahasa ini.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Hadiah istimewa

Posted: 25 Sep 2012 05:29 AM PDT

MENYAMBUT kehadiran cahaya mata pasti menjadi kenangan terindah buat ibu bapa apatah lagi sekiranya tarikh kelahiran sama dengan hari pembentukan negara atau Hari Malaysia.

Sebagai meraikan sambutan berganda ini, jenama lampin bayi Pet Pet memberikan cenderahati pek hadiah Hari Malaysia Pet Pet sebagai ucapan tahniah kepada lebih 1,000 pasangan yang melahirkan anak pada hari istimewa itu di 49 hospital awam dan swasta di seluruh negara.

Menurut Ketua Pemasaran Disposable Soft Goods (DSG) Pet Pet, Kuan Mun Jen, tahun ini adalah ulang tahun ketiga rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia.
Sebagai jenama lampin nombor satu, Pet Pet ingin turut serta menyambut kelahiran bayi sempena Hari Malaysia.

"Melahirkan anak adalah saat paling menggembirakan, apatah lagi disambut pada tarikh yang sama negara ditubuhkan. Berdasarkan faktor ini, kami membuat keputusan mengedarkan pek hadiah Pet Pet eksklusif kepada ibu dan cahaya mata mereka hari ini," katanya.

Pada tahun lalu, selepas Pet Pet mengedarkan hadiah eksklusif Hari Malaysia, masing-masing tersenyum puas justeru ini memberi inspirasi kepada jenama terbabit untuk terus berbuat demikian pada tahun ini.

Di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tiga bayi Hari Malaysia (dua perempuan dan seorang lelaki) dilahirkan. Bayi pertama perempuan seberat 3.2 kilogram dilahirkan secara normal pada jam 12.06 pagi. Bayi kedua juga perempuan seberat 2.9 kilogram dilahirkan pada jam 1.07 pagi manakala bayi ketiga lelaki dengan berat 3.3 kilogram menyempurnakan keluarga bahagia Indah Taib dan suaminya, Mohamad Azhar Baharudin.

"Saya bersama suami saya sangat gembira kerana kami ingin menyambut ulang tahun pertama perkahwinan dengan kelahiran anak pertama," kata Indah.

Untuk mempermudahkan alam keibuan, Pet Pet melancarkan program Mula Selesa Mudah Sentiasa khas untuk ibu dengan bayi baru lahir sehingga tiga bulan diberi insurans perlindungan percuma.

Pek terbabit boleh didapati pada Beg Ibu Baru percuma yang diedarkan kepada setiap bayi dan ibu apabila mereka keluar dari hospital di kebanyakan hospital di seluruh negara.

Untuk ibu yang tidak menerima Pek Pet Pet Mula Selesa Mudah Sentiasa di hospital, sila layari Pet Pet(R) facebook di www.facebook.com/PetPetMY - 'Motherhood made

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pam minyak dirempuh hempap motor

Posted: 24 Sep 2012 02:27 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pam minyak hingga menyebabkan pam berkenaan tumbang serta menghempap sebuah motosikal dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Alam Damai, Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, penunggang motosikal yang dihempap bagaimanapun terselamat kerana ketika kejadian dia berada di kaunter untuk membuat pembayaran.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Mohd Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 9.02 pagi dan dua jentera dengan 12 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di stesen minyak terbabit, anggota kami mendapati sebuah kereta Proton Iswara sudah merempuh pam minyak hingga menyebabkan ia tumbang dan berlaku tumpahan petrol selain menghempap sebuah motosikal.


"Tindakan pantas mencabut wayar sambungan pada bateri kereta diambil untuk mengelak percikan api hingga boleh mengakibatkan kebakaran atau lebih teruk letupan berlaku.


"Pemandu kereta cedera ringan di mulut, manakala penunggang motosikal tidak cedera kerana tidak berada berhampiran motosikalnya ketika kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Diperdaya ejen urus pinjaman

Posted: 24 Sep 2012 02:25 PM PDT

PETALING JAYA: Tindakan seorang ahli perniagaan membuat pinjaman ikut pintu belakang menggunakan khidmat seorang ejen di Damansara Damai, di sini, mengundang padah apabila dia diperdaya lelaki terbabit sehingga kerugian RM87,000.

Mangsa berusia 26 tahun mendakwa diperkenalkan kepada ejen terbabit oleh rakannya pada akhir Jun lalu selepas diberitahu lelaki itu mempunyai ramai kenalan rapat terdiri daripada pegawai bank dan banyak membantu individu membuat pinjaman tanpa mengikut prosedur biasa.


Menurut sumber, mangsa terpaksa menggunakan khidmat ejen itu berikutan dia didapati tidak layak untuk meminjam membabitkan jumlah besar dan kali pertama menemui ejen itu di sebuah restoran di Damansara Damai.

"Selepas berbincang, ejen itu meminta mangsa membayar RM5,000 kononnya untuk membuat dokumen yang membolehkan pinjamannya diluluskan.


"Seminggu kemudian, ejen terbabit menghubungi mangsa dan meminta RM3,000 lagi kononnya wang itu digunakan untuk dibayar kepada Bank Negara di samping mangsa dikehendaki menandatangani satu surat perjanjian," katanya.


Sumber berkata, sejak itu ejen terbabit memberi pelbagai alasan bagi mendapatkan wang daripada mangsa sedikit demi sedikit kononnya ia digunakan untuk membayar beberapa pihak tertentu supaya pinjamannya diluluskan dengan mudah.

"Tipu helah ejen terbabit berlarutan sehingga lebih dua bulan dan mengakibatkan mangsa mengeluarkan wang keseluruhannya berjumlah RM87,000.


"Mangsa menyedari tertipu selepas pinjamannya belum diluluskan, sedangkan banyak wangnya habis sehingga terpaksa berhutang," katanya.

Katanya, mangsa menemui ejen terbabit dan bertanyakan hal sebenar status pinjamannya.


"Ejen terbabit berang dan mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kepada polis jika tidak mahu wangnya lenyap.


"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Scha tak suka sendirian

Posted: 24 Sep 2012 07:32 AM PDT

SHARIFAH Nor Azean Syed Mahadzir, 28, atau lebih dikenali sebagai Scha Al-Yahya, belum menunjukkan sebarang tanda kehamilan atau sebarang perubahan hormon selepas dia berkahwin dengan Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal.

Jika ada yang berubah pun, pendirian Scha saja yang kini lebih selektif memilih watak untuk dilakonkan demi kemajuan kerjaya lakonannya dan peranan yang diberikan haruslah bersesuaian dengan statusnya kini.

Bilang Scha, dia mahu lari daripada watak kebiasaannya yang pernah dibawakannya sebelum ini dan mahukan sesuatu yang asing.

"Watak yang diberikan kepada saya balik-balik watak hampir sama, gadis lasak dan tomboi. Memang tugas sebagai pelakon harus mempelbagaikan lakonannya, tetapi saya juga ada masanya 'tepu' idea.


"Saya mahu dicabar dengan watak yang lari daripada kebiasaan yang menyerlah sisi lain yang ada pada diri dan kemampuan saya. Misalnya, watak air mata, watak lemah-lembut atau psiko.


"Apabila sudah berkahwin saya juga perlu memikirkan apakah watak yang saya ambil itu mampu memberikan contoh yang baik buat penonton. Ada satu watak drama bersiri ditawarkan pada saya dulu, sudah saya jangka ia akan mencetuskan kontroversi jadi saya terpaksa tolak tawaran itu.

"Filem Dampak misalnya, saya diberikan peranan utama. Namun, saya tolak dan minta kepada pengarah untuk diberikan satu lagi watak yang hanya muncul beberapa babak saja kerana watak sampingan itu menawarkan karektor berlainan dan boleh membuka mata penonton bahawa saya juga boleh jadi versatil jika ada yang sanggup memberikan kepercayaan.

"Saya tidak menyesal malah puas biarpun cuma sedikit. Terus-terang saya mencari kepuasan, tidak lagi seperti dulu saya berlakon kerana enggan mempersia-siakan peluang," katanya yang sedang sibuk mempromosikan filem Awan Dania.

Jelas jurucakap kepada produk Bio Essence dan Avon itu, sekitar Oktober nanti kontraknya sebagai Wajah Eksklusif Astro akan tamat dan sempena pembebasan itu, dia mensasarkan lebih banyak peluang diperoleh daripada stesen televisyen tempatan untuk mengembangkan kebolehan lakonannya.

"Tanpa Astro, saya akui saya harus lebih berdikari dan perlu pandai memasarkan diri. Saya tidak keberatan untuk mencuba apa jua watak, sekalipun kecil asalkan ia berbaloi selain mampu mengikis satu sisi yang sudah tertanam di minda penonton dan peminat seperti watak gadis lasak misalnya.

"Saya sudah sedia diuji," ujar wanita tinggi lampai itu sewaktu ditemui pada majlis perasmian produk makanan, House Of Mini, di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Jika si isteri mensasarkan kelainan watak, berlainan pula ceritanya dengan suami yang memasang hasrat untuk beraksi di samping isteri sama ada menerusi program berbentuk realiti.

"Sejak saya dan Scha muncul menerusi program Seia Kata Schawal yang memaparkan persediaan kami sebelum berkahwin, ramai peminat memberi maklum balas positif dan tidak kurang yang menyarankan kami hasilkan satu program seumpamanya.

"Terus-terang antara drama dan program realiti, saya lebih sukakan konsep program realiti dan saya pernah ketengahkan idea kepada stesen TV untuk hasilkan program realiti membabitkan pasangan pengantin baru.

"Saya suka menonton rancangan Guiliana & Bill, dua selebriti Hollywood yang sangat sukses, tetapi dalam kehidupan yang sebenar mereka sama saja seperti pasangan suami-isteri yang lain, tidak pernah putus usaha untuk mendapatkan cahaya mata.

"Program realiti, kemungkinan untuk membuka aib pasangan itu memang ada. Namun saya percaya dengan garis panduan penerbitan program yang ada di Malaysia ini, masih terkawal.

"Hakikatnya, program seperti ini mampu mendekatkan diri seorang artis kepada penonton. Seperti saya katakan, artis sama saja seperti orang biasa. Kadang kala mereka juga punya isu tersendiri dalam hidup. Apabila berkahwin mereka juga melalui proses yang sama untuk membina keserasian, untuk mempunyai anak dan sebagainya.

"Penting untuk masyarakat tahu bahawa artis juga berhak untuk menjalani kehidupan normal di sebalik kerjaya mereka yang penuh glamor," katanya.

Juga berminat untuk mengacarakan program realiti berbentuk 'gameshow' bersama Scha, pengacara tetap program sensasi, Melodi, itu mengakui terkadang dihimpit perasaan rindu untuk berlakon.

Namun, komitmennya sebagai pengacara Melodi yang memerlukannya bersiaran langsung setiap Ahad, membuatkan beberapa tawaran terpaksa ditolak.

"Kalau telefilem mungkin tiada masalah sangat, tetapi drama bersiri agak susah sikit, kerana keutamaan saya adalah Melodi. Tambahan pula kebanyakan produksi drama dan filem, kebelakangan ini gemar melakukan penggambaran di luar negara, lagilah susah untuk saya terima.

"Kalau bukan kerana komitmen mengacara, saya sendiri sebenarnya tak sampai hati meninggalkan Scha sendirian. Nampak saja kental, tetapi isteri saya itu seorang yang manja sebenarnya dan mahu sentiasa berteman.

"Sekarang ini pun kalau habis kerja, saya terus balik rumah temankan Scha.
Kadangkala dia juga temankan saya ketika bekerja, cuma dia elakkan berbuat demikian selalu kerana bimbang ada yang tak selesa pula nanti," katanya.

Sah bergelar suami isteri pada 4 Mei lalu, pasangan sama cantik sama padan itu sedang dalam perancangan membuka lagi satu cawangan butik Schapoholic, di mana cawangan pertamanya beroperasi di pusat membeli-belah, The Curve.

"Dua tahun Scha menjalankan perniagaan ini dan sambutannya saya lihat amat baik. Justeru, saya dan isteri merancang untuk membuka butik di Wangsa Walk untuk mengembangkan jenama Schapoholic.

"Jika cawangan pertama menumpukan pada pakaian, aksesori dan kasut wanita, di cawangan baru ini saya merancang untuk membawa masuk baju lelaki bersama item fesyen yang gemar digayakan golongan itu," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Awal sempat memaklumkan, dia dan Scha sedang menyertai pertandingan dinamakan Petronas Switch 4 Xtra Race yang turut disertai penyampai radio, Faizal Ismail dan blogger, Hanis Zalikha.

Peminat yang mengundi selebriti pilihan mereka bukan saja dapat menentukan kemenangan artis yang bertanding, tetapi juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai serta dipilih untuk mengalami perlumbaan sebenar. Untuk menyertainya, ikuti pertandingan itu di laman twitter dan facebook.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Mohram cipta kelainan

Posted: 24 Sep 2012 07:24 AM PDT

KEINDAHAN lantunan lagu instrumental duo kumpulan Mohram menerusi alunan bunyi rebana dan seruling sering menjadi halwa telinga pendengar dalam persembahannya sebelum ini, namun dalam pementasan baru-baru ini, mereka mencipta kelainan apabila turut menyumbangkan suara menerusi beberapa lagu.

Mohram yang dianggotai Mohardiman Ismail (seruling) dan Ramli Hamid (rebana) tampil sebagai artis utama dalam pementasan muzikal Amanat Muzikhat sempena Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF) di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Amanat Muzikat diinspirasikan melalui ekspresi kehidupan dan kesenian ketamadunan Islam sejagat dengan mengenengahkan sejarah ketamadunan Islam di Nusantara yang mempengaruhi cara hidup, budaya dan tradisi masyarakatnya sehingga kini.

Konsert muzikal akustik diterajui Mohram itu turut diiringi Syed Alwi al-Haddad yang memperdengarkan alunan qasidah dan pemuzik terkemuka termasuk kumpulan gamelan dari Suktra Terengganu selain penampilan pemuzik dan kaligrafer kelahiran Iran iaitu Bahman Panahi yang bermain alat muzik tradisional Arab.


Dalam persembahan selama kira-kira tiga jam yang diilhamkan komposer dan pengarah muzik terkenal, Farihin Abdul Fattah itu, sebanyak 12 lagu dari ketiga-tiga album Mohram didendangkan antaranya Sakti, Suluk, Pawana Pawaka dan Cahaya di Taman Suci.


Lebih menarik, lagu-lagu dipersembahkan itu berselang-seli dengan qasidah dan zikir yang disampaikan oleh Syed Alwi al-Haddad yang menceritakan mengenai kedatangan Islam ke rantau Nusantara.

Menyentuh perkembangan terbaru albumnya, Mohardiman berkata, album ketiga mereka berjudul Alam adalah lanjutan kejayaan dua album terdahulu iaitu Sakti dan Antarssukha namun Alam adalah album pertama yang menampilkan persembahan vokal oleh kedua-dua pemuzik itu.

"Kami mencabar diri sendiri dalam penerbitan album ini. Selain daripada penambahan vokal, lagu-lagu dalam album terbaru ini menggunakan jenis rentak dan irama yang berbeza.

"Album terbaru ini juga mengehadkan bilangan instrumen untuk lagu-lagu.
Apabila terdapat banyak instrumen yang digunakan dalam sebuah lagu, pemuzik boleh menyembunyikan kesilapan mereka di belakang muzik dan apabila mengehadkan bilangan instrumen, pemuzik perlu lebih berhati-hati kerana kesilapan mereka akan menjadi lebih jelas.

"Bagi kami, ia satu cara untuk menggalakkan pemuzik tempatan kita untuk menjadi lebih berhati-hati kerana apabila mereka memilih untuk memainkan lagu-lagu kami, mereka perlu lebih peka dalam prestasi mereka," katanya.

Ramli pula berkata, selepas tujuh tahun berehat, mereka mengambil keputusan mencipta sebuah album yang diharapkan dapat membantu meluaskan minda pendengar dan masyarakat pada keseluruhannya.

"Ketika ini terlalu banyak lagu yang lebih fokus kepada nilai komersial dan majoritinya tidak mempunyai mesej pendidikan.

"Kami ingin menggalakkan kewujudan lebih ramai pemuzik dengan identiti muzik budaya rakyat Malaysia dan berharap usaha kami akan mendapat lebih banyak sokongan dari radio," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramli berkata, mereka mendapat inspirasi untuk album terbaru hasil daripada lawatan ke Kuala Terengganu di mana mereka merasa kagum dengan usaha kerajaan negeri dalam usaha mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

Sementara itu, Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman berkata, Mohram yang dilantik pihaknya sebagai ikon mampu menarik kehadiran ramai pengunjung ke TTI sekali gus menghayati keindahan kesenian Islam.

Beliau berkata, sebagai perkongsian pintar kedua-dua pihak, TTI akan turut membawa Mohram mengikuti rombongan mereka dalam setiap program ke luar negara antaranya Mesir dan Jordan tidak lama lagi dalam usaha memperkenalkan taman tema hiburan berpendidikan dan kesenian Islam itu di mata dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Jeritan suami ditikam

Posted: 25 Sep 2012 12:27 AM PDT

AMPANG JAYA: "Saya ingat bunyi bising di luar rumah adalah pergaduhan keluarga jiran, namun terkejut selepas mendapati jiran saya terbaring berlumuran darah selepas cedera parah di perut dan tangan kiri," kata Azim Shaharbudin, 24, jiran Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali, 41, yang parah ditikam dua lelaki, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi di Taman Dagang, di sini, mangsa dikatakan baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran berhampiran rumahnya dan ketika meletak kereta di luar pagar rumah tiba-tiba mangsa diserang dua lelaki terbabit.

Mangsa dikatakan bergelut dengan suspek sebelum ditikam dengan senjata tajam, tetapi sempat berlari sejauh 30 meter untuk meminta bantuan keluarganya dengan mengetuk pintu pagar.

Azim berkata, ketika kejadian dia menonton perlawanan bola sepak sebelum dikejutkan dengan bunyi bising disusuli bunyi ketukan pintu pagar rumah beberapa kali.


Katanya, dia menyangka bunyi itu adalah pergaduhan, namun tidak sedap hati apabila mendengar suara lelaki meminta tolong sambil menahan kesakitan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Baru kahwin jadi balu

Posted: 24 Sep 2012 03:32 PM PDT

JOHOR BAHRU: Kurang empat jam pasangan suami isteri menganjurkan majlis makan malam perkahwinan bersama keluarga dan rakan, pengantin lelaki maut ditetak kira-kira lapan lelaki bersenjata parang ketika keluar dari sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini, pagi semalam.

Malah, janda segera itu terkejut apabila suaminya ditetak bertubi-tubi di depan mata hingga cedera parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa, Allan Tee Kok Weng, 36, yang juga pemilik kedai alat ganti kereta dan isterinya, Shiu Ting, 30-an dalam perjalanan pulang sebelum diserang lapan lelaki.

Terdahulu pada jam 8 malam kelmarin, pasangan itu menghadiri majlis makan malam perkahwinan mereka di Taman Daya di sini, bersama keluarga dan rakan.


Mereka kemudian membuat keputusan keluar bersama kira-kira 10 rakan termasuk pekerja Allan dan keluarga ke sebuah kelab malam di Taman Mount Austin sebelum meninggalkan kelab itu pada kira-kira jam 2 pagi.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Kata dua Butler

Posted: 24 Sep 2012 01:15 PM PDT

SELESAI cara baik atau jumpa di mahkamah! Itu kata dua jurulatih Terengganu yang baru dipecat, Peter James Butler kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Butler yang menyerahkan surat rayuannya kepada Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh semalam berkata, beliau sanggup duduk berbincang secara baik tapi turut rela menyelesaikan masalah penamatan kontraknya di mahkamah.


Jurulatih bangsa Inggeris itu berkata, beliau boleh membuktikan PBSNT silap apabila menamatkan kontraknya yang masih berbaki 15 bulan selepas dijatuhkan hukuman jawatankuasa tatatertib persatuan.

Bagi kesalahan bercakap kepada media tanpa kebenaran pengurusan mengenai masalah disiplin pemain pertahanan, Muslim Ahmad dan pemain tengah, Ismail Faruqi Ismail, jurulatih berusia 46 tahun itu dihukum gantung enam bulan dan didenda RM4,000.


Gaji bulan depan pula dipotong 15 peratus kerana tindakannya memarahi dan menolak Mohd Sharbinee Allawee Ramlie ketika penjaga gol itu keluar padang untuk digantikan dengan Sharmiza Yusof dalam perlawanan menentang Kedah di tempat sendiri awal bulan ini.


Jurulatih kelahiran Halifax, England, itu berkata, beliau sudah menyerahkan surat rayuan kepada PBSNT dan satu salinan surat rayuan itu juga diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, surat rayuan empat muka surat itu ditulis kerana berasa PBSNT tidak mempunyai asas cukup untuk mengambil tindakan dan hukuman diterimanya tidak adil.


"Sebagai contoh, saya digantung enam bulan kerana bercakap kepada media mengenai pemain tanpa kebenaran pengurusan sedangkan sebelum ini saya juga melakukan perkara sama tanpa dihukum.

"Ada lagi contoh lain yang saya kemukakan dalam surat rayuan itu dan berharap persatuan dapat menimbangkan semula keputusan dan saya pula dibebaskan daripada semua tuduhan," katanya.


Butler yang juga bertemu dengan pegawai tertinggi T-Team termasuk pengurus pasukan, Rozi Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, enggan mengulas spekulasi dilantik menjadi jurulatih dan pengurus pasukan berstatus kelab itu.


"Kenyataan pertemuan itu cuma boleh diberikan pegawai T-Team kerana saya diminta tidak bercakap mengenai perkara itu," katanya.


Penolong pengurus T-Team yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin pula cuma mengesahkan pertemuan itu namun menolak untuk memberi sebarang komen mengenai apa yang dibincangkan dengan Butler.


Namun pegawai pasukan yang enggan namanya diketahui, memberitahu pertemuan pertama membabitkan pegawai pasukan itu dengan Butler berjalan lancar.


"Tidak ada keputusan dibuat dalam pertemuan itu kerana ia cuma bertujuan mengenali jurulatih itu dengan lebih dekat lagi. Mereka yang hadir juga dikatakan kagum dengan penjelasan dan perancangan masa depan Butler untuk T-Team," katanya.


Katanya, Butler juga menceritakan mengenai surat rayuannya kepada PBSNT dan ada yang berpendapat jika peluang diberikan kepada Butler untuk membersihkan namanya terlebih dulu.


"Apapun, mereka yang hadir dalam pertemuan itu tidak boleh membuat keputusan sebelum mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dulu.


"Apa yang saya tahu, Butler kini menjadi antara calon untuk ketua jurulatih T-Team," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Peluang terbuka

Posted: 24 Sep 2012 12:33 PM PDT

SELEPAS Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di Kluang, Johor berakhir, kelmarin, saingan merebut mahkota Anugerah Berpasukan Keseluruhan kategori CP130 dan CP115 musim ini dilihat masih terbuka.

Berbaki tiga pusingan lagi, tidak ada pasukan mendominasi saingan kedua-dua kategori itu. Bagi pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2, walaupun dua pelumba, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Fitri Ashraf Razali berupaya mengutip 189 mata untuk menerajui tangga teratas senarai berpasukan CP130, kedudukan ini masih belum selamat dan mampu dipintas.


Kejayaan Ahmad Fuad Baharudin menjuarai perlumbaan di Kluang membantu pasukan Faito Motobert Racing yang turut diwakili Ahmad Fazrul Sham merapatkan kedudukan tempat kedua dan kini hanya ketinggalan satu mata (188 mata).

Dengan baki 135 mata maksimum yang mampu dikutip setiap pasukan pada pusingan akan datang, empat pasukan lain dilihat masih berupaya bergelar pasukan terbaik musim ini, termasuk juara bertahan, Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1 yang mengekalkan gandingan Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli selain Pachie Yuzy Honda Racing, Yamaha Maju Motor Racing dan Petronas Syntium Moto Yamaha AHM.


Begitu juga dalam saingan CP115. Kemenangan satu-dua Mohd Shariffudin Shamsudin dan Ahmad Afif Amran melonjakkan kedudukan CKJ Yamaha Racing ke tempat ketiga keseluruhan dengan 126 mata manakala Petronas Syntium Moto Yamaha AHM (Shahril Izzuwan Mohd Noor/Husni Aizat Abdul Malik) terus mendahului dengan 176 mata diikuti M-Seki Liberty Honda Racing (Mohd Emir Firdaus Hasan/Sasitharen Sukumaran) di tangga kedua, 135 mata.


Puas dengan peningkatan ditunjukkan pasukan bertanding musim ini, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg berkata: "Mutu perlumbaan tahun ini menunjukkan banyak peningkatan, bukan hanya pelumba, malah pasukan yang bertanding. Pasukan kecil kini berupaya menggunakan teknologi dan kepakaran sama dengan pasukan gergasi sekali gus merapatkan jurang.

"Contoh paling ketara adalah pasukan Faito Motobert Racing dan CKJ Yamaha Racing. Walaupun masih baru, mereka berupaya menyediakan jentera yang pantas bersesuaian dengan karakter pelumba dan pada masa sama mengancam kedudukan lawan. "Justeru, tidak hairan mereka memenangi kategori masing-masing di Kluang minggu lalu. Tanpa dominasi ditunjukkan mana-mana pasukan setakat ini, saingan bagi baki pusingan pasti bertambah menarik terutama perebutan pasukan terbaik." Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 6 dan 7 Oktober. Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Hayman ada memori luar biasa

Posted: 24 Sep 2012 01:31 PM PDT

LONDON: Aurelien Hayman bukan pemuda biasa seperti dijangka.

Kini berusia 20 tahun, Hayman memiliki kemampuan mengingati dengan tepat apa saja sepanjang tempoh sedekad lalu. Menghidap hyperthymesia, Hayman boleh menceritakan apa yang dilakukannya, dipakai, dimakan serta berita serta setiap sesuatu yang dialaminya tanpa masalah walaupun ia berlaku lama dulu. Ketika orang normal hanya mampu mengingati tidak lebih daripada 11 peristiwa dalam setiap tahun, Hayman pula sebaliknya.


Kata Hayman, dia boleh mengingat apa yang berlaku dekad lalu. "Saya seperti budak biasa sehinggalah berlaku perubahan ketika berusia 11 tahun," katanya.

Namun, kata Hayman, dia menyedari perubahan itu apabila berusia 14 tahun dan mendapati dirinya mempunyai daya ingatan luar biasa. Misalnya, dia boleh bercerita mengenai cuaca pada 1 Oktober 2006 serta lagu yang didengarnya pada hari berkenaan. Hanya 20 orang disahkan menghidap hyperthymesia di dunia dan Hayman adalah satu-satunya di Britain. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Air mani beku punca telagah

Posted: 24 Sep 2012 01:29 PM PDT

ABU DHABI: Seorang lelaki tempatan menyaman bekas isterinya kerana mencuri sperma beku untuk hamil tanpa pengetahuannya, semalam.

Menurut lelaki terbabit, tidak lama selepas berpisah, wanita Russia itu secara diam-diam melakukan proses persenyawaan dengan air maninya di sebuah klinik.


Menurut lelaki itu, mereka pernah berkunjung ke klinik berkenaan untuk menjalani rawatan kesuburan sebelum itu. Mereka berpisah kurang tiga minggu selepas berkunjung ke klinik berkenaan. Dalam keterangannya di mahkamah semalam, lelaki terbabit mengakui bekas isterinya itu hamil tetapi dia tetap berang kerana proses itu dilakukan di luar pengetahuannya.

"Saya mahukan keadilan. Apa yang berlaku tidak boleh diterima," katanya di depan hakim di Mahkamah Rayuan Abu Dhabi.


Pasangan terbabit yang tidak dinamakan mengaku terdesak mahu mendapatkan anak selepas empat tahun berkahwin dan tidak dikurniakan zuriat.


Mereka juga mengaku dua kali menjalani rawatan kesuburan tetapi gagal mendapat sebarang hasil. Disebabkan rumah tangga bermasalah, wanita terbabit kembali ke Russia dan menjalani proses rawatan kesuburan tanpa pengetahuan bekas suaminya. Lelaki terbabit berkata, apabila wanita itu kembali ke Abu Dhabi, dia memalsukan tanda tangannya dalam borang kebenaran mengambil air mani beku. "Saya menceraikan isteri tiga minggu kemudian tanpa mengetahui dia hamil," katanya. Dia hanya tahu bekas isterinya hamil empat bulan kemudian. Wanita terbabit turut memfailkan tuntutan bagi memaksa lelaki itu mendaftarkan nama bayi mereka dengan namanya. Mahkamah membenarkan permohonan itu tetapi lelaki terbabit membuat rayuan. Lelaki itu berkata, dia menyayangi anak perempuannya itu dan sedia memberikan hak sepenuhnya kepada isteri dan bayi berkenaan.

"Tetapi penipuan bekas isteri saya tidak boleh dibiarkan," katanya. Sementara itu, hakim Khairi al-Kabbash berkata, lelaki terbabit wajar berlapang dada dan menerima kenyataan. Tambahan pula, kata Khairi, dia bersedia memberi nafkah serta hak kepada anak dan bekas isterinya.


"Kamu lelaki hebat.

"Saya faham mengapa bekas isteri kamu tidak mampu melepaskan kamu begitu saja," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved