Ahad, 18 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Penyakit lazim di negara maju

Posted: 18 Sep 2011 08:12 AM PDT

"BAPA borek, anak rintik. Bapa gatal, anak pun gatal...," kata Perunding Dermatologi Paediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Kin Fon sambil tersenyum. Kaum bapa jangan marah ya, kata-kata ini bukannya bertujuan menyindir sesiapa tetapi ia digunakan bagi menerangkan masalah kegatalan kronik akibat ekzema iaitu sejenis penyakit kulit.

Ekzema atau dermatitis atopik ialah satu daripada penyakit kulit yang paling lazim, membabitkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan satu hingga tiga peratus orang dewasa di seluruh dunia. Ia penyakit kulit yang kronik dan sangat gatal menyebabkan pesakit khususnya kanak-kanak menderita.

Di seluruh dunia, kadar kelaziman ekzema semakin meningkat terutama di kalangan kanak-kanak. Berdasarkan kajian tempatan, didapati kadar kes ekzema di kalangan kanak-kanak sekolah di Malaysia meningkat kepada 12.6 peratus (2006) berbanding 9.5 peratus pada 1999. Di kalangan remaja berusia 13 hingga 14 tahun, kes ekzema antara 9.5 peratus dan 6.3 hingga 9.5 peratus.

Tidak dapat menahan rasa gatal inilah yang membuatkan pesakit menggaru bahagian kulit yang mengalami keradangan. Semakin digaru semakin sedap rasanya, tetapi masalahnya lebih giat anda menggaru, lebih luaslah kawasan kulit yang mengalami ekzema.


Tindakan ini juga menyebabkan masalah kulit pesakit bertambah teruk. Adakalanya kerana terlalu gatal dan asyik menggaru, pesakit tidak sedar kulit yang digaru itu luka dan mengundang masalah lain pula kerana ia terdedah kepada jangkitan bakteria.


Menurut Dr Leong, ekzema ialah sejenis penyakit kulit dengan beberapa ciri iaitu:

  • Rasa gatal dan sakit - Ia adalah penyakit yang sangat menyeksakan. Rasa gatal ini akan menyebabkan pesakit menggaru dan apabila kulit digaru terlalu kuat ia akan mengalami kerosakan. Ketika inilah badan akan menghasilkan bahan kimia keradangan yang membuatkan kulit menjadi lebih gatal dan keinginan untuk menggaru akan lebih tinggi.

    Ia tidak sekadar menyebabkan rasa sakit pada pesakit tetapi turut menjejaskan kualiti hidup ibu bapa. Apabila anak tidak boleh tidur (kerana gatal dan asyik menggaru), ibu bapa juga tidak dapat melelapkan mata.

  • Kulit sangat kering - Pesakit ekzema mempunyai kulit yang sangat kering kerana ketiadaan lapisan penghalang untuk memerangkap cecair dalam kulit. Tidak kira berapa banyak air yang diminum, ia masih tidak dapat mengatasi masalah ini.
  • Bahagian kulit yang mengalami ekzema terasa panas. Tahap kepanasan ini bergantung kepada keadaan ekzema setiap pesakit sama ada sedikit, sederhana atau teruk.
  • Ekzema bermula dalam lima tahun pertama kehidupan seseorang kanak-kanak. Bagi kebanyakan pesakit, keadaan ekzema mereka akan bertambah baik dengan peningkatan umur. Bagi pesakit bertuah, ekzema mereka akan hilang sendiri pada usia enam hingga 12 bulan. Bagaimanapun, 30 peratus kes ekzema berlanjutan sehingga dewasa.

    "Kira-kira 50 peratus kes ekzema berlaku sebelum kanak-kanak berumur setahun dan lebih 80 peratus kes apabila kanak-kanak mencapai umur lima tahun.

    "Tempoh pengulangan serangan ekzema berbeza antara pesakit - ia boleh berlaku dalam masa beberapa bulan atau tahun. Biasanya penerimaan pesakit terhadap serangan berulang ini lebih baik apabila umur mereka meningkat. Kajian mendapati 50 hingga 70 peratus pesakit dewasa tidak terganggu dengan serangan ekzema yang sudah dialami sejak kecil," katanya pada majlis pelancaran kempen Bersama Membanteras Kegatalan anjuran Leo Pharma.

  • Faktor genetik - Ekzema ada kaitan dengan faktor genetik dan jika salah seorang ibu atau bapa ada masalah ini, anak-anak mempunyai 20 hingga 40 peratus mengalami ekzema. Ini bersesuaian dengan ungkapan 'bapa borek, anak rintik. Bapa gatal, anak pun gatal' di atas.

    Jika salah seorang anak ada alahan, peluang anak seterusnya mendapat ekzema ialah 30 peratus. Peluang anak mendapat ekzema akan lebih tinggi (40 hingga 60 peratus) jika kedua-dua ibu bapa ada alahan dan sekiranya mereka mengalami gejala alahan yang sama peluang ini melonjak kepada 72 peratus! (Rujuk Jadual 1)

    Punca dan gejala

    Ibu bapa terutama yang tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami alahan sering bertanya bagaimana anak mereka boleh mendapat ekzema. Pakar perubatan percaya ia disebabkan interaksi kompleks antara faktor genetik dengan persekitaran. Ia boleh disebabkan faktor genetik saja atau dirangsang persekitaran atau tindak balas dua faktor ini.

    Sesetengah orang yang ada mewarisi genetik ekzema boleh mengalami tindak balas dengan sesuatu dari persekitaran yang tidak mendatangkan masalah pada orang lain. Ia juga dikaitkan dengan masalah kecacatan pada fungsi sekatan atau halangan pada kulit dan sistem imun yang tidak normal.

    "Apabila serangan ekzema berlaku, kulit pesakit akan berasa sangat gatal, menjadi merah, timbul ruam dan kadangkala lesi. Gejala ini biasanya bermula di muka dan merebak ke dada. Apabila kanak-kanak membesar, lebih banyak kawasan yang akan mengalami ekzema terutama di kulit yang berkedut seperti di siku dan lutut.

    "Oleh kerana kulit pesakit mengalami kecacatan pada fungsi sekatan, maka ia akan menjadi kering. Kulit yang kering akan mudah berasa gatal. Apabila pesakit menggaru, ia akan mengganggu fungsi sekatan dan jika kulit luka, boleh berlaku jangkitan bakteria khususnya Staphylococcus aureus. Keadaan ekzema akan lebih teruk pada kulit yang lebih kering.

    "Menggaru bukan saja mendedahkan pesakit kepada jangkitan tetapi ia juga akan membuatkan kulit menjadi tebal dan menjadi lebih tidak sihat," kata Pensyarah Kanan Onkologi Dermatologi Universiti Buckingham, United Kingdom, Prof Anthony Chu.

    Bakteria S aureus ini bukanlah asing pada kita. Namun 70 peratus pesakit ekzema ada bakteria ini dalam hidung mereka berbanding 30 peratus pada bukan pesakit. Hampir 100 peratus kulit yang mengalami ekzema ada bakteria ini dan ia boleh membiak (membentuk koloni) dengan cepat kerana ia akan melekat pada kulit yang kering.

    Jika kulit pesakit luka, bakteria ini akan memasuki badan dan menghasilkan bahan kimia eksotoksin yang bertindak sebagai antigen super (bahan yang merangsang pembentukan atau pengeluaran antibodi). Antigen super inilah yang akan merangsang tindak balas sistem imun untuk menyebabkan ekzema menjadi lebih teruk (bengkak, merah dan sangat gatal).

    Menurut Dr Leong, teori kebersihan yang dikemukakan pakar penyelidik juga ada munasabahnya kerana kajian mendapati kes ekzema di kalangan kanak-kanak bandar yang tinggal dalam persekitaran 'terlalu' bersih lebih tinggi berbanding kanak-kanak luar bandar.

    Berdasarkan teori ini, dalam keadaan bersih, sistem imun badan menjadi tidak matang dan 'malas'. Ia tidak dapat membezakan antara penceroboh yang baik dengan jahat. Akibatnya, sistem imun ini akan bertindak balas terhadap semua penceroboh badan dan inilah yang menyebabkan seseorang itu menjadi terlalu sensitif atau mengalami alahan.

    Teori ini diperkuatkan dengan keputusan banyak kajian yang mendapati kadar kelaziman ekzema meningkat dua hingga tiga kali ganda di negara industri dan maju dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini membabitkan 15 hingga 30 peratus kanak-kanak dan dua hingga 10 peratus orang dewasa.

    Jadi tidak hairanlah jika kes ekzema di kalangan kanak-kanak di negara maju seperti United Kingdom jauh lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu antara 20 hingga 30 peratus.

    Rawatan dan pengurusan

    Sehingga kini tiada ubat yang boleh menyembuhkan ekzema yang juga dipanggil penyakit sistem imun kerana ia membabitkan banyak faktor. Bagaimanapun, ia boleh dirawat dan sasaran rawatan bukanlah untuk menyembuh tetapi mengurangkan gejala memanjangkan tempoh bebas daripada serangan berulang yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit.

    Antara rawatan yang ada ialah steroid sapuan (dalam bentuk krim, gel atau balsam dalam pelbagai kekuatan) untuk menghentikan keradangan dan membantu menyembuhkan kulit.

    Doktor juga mungkin akan mencadangkan penggunaan krim kombinasi steroid dan antibiotik khususnya apabila steroid sapuan tidak berkesan. Krim kombinasi ini lebih berkesan untuk merawat ekzema kerana ia boleh disapu pada kulit yang luka untuk menghentikan rasa gatal dengan segera. Malah ia juga boleh digunakan walaupun tiada kesan jangkitan.

    "Steroid adalah ubat yang sangat baik tetapi ia mestilah digunakan mengikut arahan doktor. Malangnya kebanyakan ibu bapa di Malaysia mahukan ubat yang kuat supaya penyakit anak mereka sembuh. Mereka mahu anak mereka diberikan antibiotik untuk membunuh semua bakteria yang boleh merangsang ekzema tetapi kaedah ini tidak praktikal kerana kita sentiasa terdedah kepada bakteria.

    "Cara yang lebih baik ialah mengawal dan menguruskan penyakit anak. Antaranya dengan mengetahui faktor yang boleh merangsang serangan seperti rasa gatal, tindakan menggaru, cuaca panas dan lembap, bakteria, alergen (bahan yang boleh menyebabkan alahan), penggunaan sabun atau bahan pencuci yang kuat (bagi individu dengan kulit sensitif), alahan makanan dan habuk rumah," kata Dr Leong.

    Kaedah rawatan konvensional masih berguna dan boleh diamalkan. Ini termasuk:

  • Mandi setiap hari (sekerap yang dikehendaki jika tinggal di negara panas lembap). Jika pergi ke negara lain pada musim sejuk, hanya dibenarkan mandi sekejap sekali sehari. Serangan ekzema boleh menjadi lebih teruk pada musim sejuk kerana cuacanya yang kering dan penggunaan alat pemanas hawa yang menyebabkan kulit semakin kering.
  • Menggunakan sabun yang lembut.
  • Menyapukan losen pelembap selepas mandi (sangat penting).
  • Menyapukan ubat steroid atau kombinasi steroid dan antibiotik.
  • Memberikan suntikan sedatif antihistamin (hanya untuk kes yang teruk, biasanya pada bayi atau kanak-kanak kecil).

    "Orang kita selalu percaya ekzema disebabkan alahan makanan. Ia mungkin ada kaitan tetapi makanan laut bukanlah puncanya. Ia boleh menjadi faktor perangsang kepada serangan ekzema. Justeru, buatlah pemerhatian, sama ada anak anda ada alahan pada makanan laut.

    "Namun secara umumnya tidak perlu menyekat diet anak kerana dalam tempoh inilah mereka sangat memerlukan pemakanan seimbang untuk membesar. Berbincanglah dengan doktor sebelum anda mengehadkan pemakanan anak.

    "Pengurusan masalah ekzema anak perlulah bersifat dinamik dan seimbang iaitu berubah mengikut keadaan, umur dan cuaca. Dalam soal ini, biarlah kita mengambil pendekatan yang lembut. Janganlah pilih kaedah untuk 'menghapuskan' semua bakteria kerana kesan jangka panjangnya mungkin lebih serius.

    "Manusia sebenarnya boleh hidup dengan bakteria pada tahap tertentu. Memang kita mahu hidup dalam persekitaran yang bersih tetapi kita perlu ada had supaya ia tidak mendatangkan masalah kepada anak," kata Dr Leong.

    Ibu bapa di Scandinavia yang mempunyai anak ekzema akan membawa bayi mereka menunggang kuda untuk mendedahkan anak kepada persekitaran 'kotor' dan ia didapati mampu mengurangkan sedikit masalah ekzema.

    Akhir sekali, kita perlu membantu anak menghentikan kitaran garu-gatal-keradangan-jangkitan yang menyebabkan ekzema semakin teruk. Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan kuku sentiasa pendek, ubah kaedah daripada menggaru kepada menepuk-nepuk bahagian yang gatal, balut tangan anak dengan tuala lembap dan sejuk untuk mengurangkan rasa gatal, menyapukan ubat steroid mengikut arahan doktor dan sentiasa memberi sokongan kepada si kecil.

  • Global: Harapan baru

    Posted: 18 Sep 2011 07:58 AM PDT

    IA ada karaoke dan kopi segar tetapi bilik air di geladak atau dek bawah tiada air dan sesetengah penumpang terpaksa tidur di atas lantai. Selamat datang ke kapal persiaran pertama Korea Utara!

    Dalam keghairahannya merangsang ekonomi khususnya dalam bidang pelancongan, pihak berkuasa melancarkan percutian pelayaran dari Pelabuhan Rajin yang terletak di timur laut Korea Utara ke kawasan resort cantik di Gunung Kumgang.

    Untuk perjalanan pertama, mereka membawa lebih 120 wartawan dan ejen pelancongan dari China merasai sendiri pelayaran selama 21 jam di atas kapal Man Gyong Bong - berusia 39 tahun yang diperbaiki dan diberikan wajah baru itu. Ini langkah yang sangat luar biasa bagi kerajaan Korea Utara.

    Sorakan dan tepukan gemuruh daripada ratusan pelajar dan pekerja sambil memegang bunga beraneka warna bergema sebaik kapal persiaran itu mula meninggalkan salah satu jeti tua di Pelabuhan Rajin.


    "Kapal ini baru diperbaiki minggu lalu," kata Timbalan Datuk Bandar Zon Ekonomi Khas Rason, Hwang Chol Nam.


    Dia duduk di meja yang dipenuhi botol bir Korea Utara, sepinggan buah dan hidangan lain daripada telur serta makanan laut.

    "Tetapi ia sudahpun belayar ke Gunung Kumgang dan balik ke pelabuhan. Saya beritahu, kapal ini perlu diuji dulu untuk memastikan ia selamat," kata pemimpin berusia 48 tahun yang memakai sut kemas. Di bajunya tersemat pin merah dengan gambar bekas pemimpin Korea Utara, Kim Il-Sung.

    Projek berkenaan sebenarnya diilhamkan Kumpulan Pelaburan Antarabangsa Taepung dan kerajaan Rason, kawasan segi tiga di timur laut terletaknya bandar Rajin dan Sonbong, bersempadan dengan China dan Russia.

    Asalnya ia dijadikan zon ekonomi khas pada 1991 untuk menarik pelaburan ke Korea Utara tetapi perancangan itu tidak menjadi akibat kekurangan infrastruktur, ketidakcukupan bekalan elektrik dan ketiadaan keyakinan terhadap corak pemerintahan yang terasing dari dunia luar itu.

    Bagaimanapun, kini pihak berkuasa cuba untuk memulihkan kawasan berkenaan selepas ia mengalami kesulitan akibat sekatan ekonomi antarabangsa melalui senjata atom dan peluru berpandunya.

    Kemiskinan di Korea Utara semakin mendesak selepas puluhan tahun polisi pemulauan ekonomi dikenakan ke atasnya dan kini ia menghadapi masalah kekurangan makanan berpanjangan.

    Hwang berkata, pihak berkuasa Rason memberi fokus kepada tiga aspek pertumbuhan iaitu perdagangan kargo, pemprosesan makanan laut dan pelancongan.

    Korea Utara hanya membuka pintu kepada pelancong Barat pada 1987 dan sampai hari ini, kemasukan pelancong dikawal ketat, tetapi kini lebih banyak destinasi mula diperkenalkan kepada kumpulan pelancong yang mahu melihat sendiri keadaan di negara itu.

    Gunung Kumgang menjadi titik pertikaian politik antara Korea Utara dan Selatan selepas seorang pelancong dari Korea Selatan ditembak mati oleh askar Korea Utara pada 2008.

    Rason, tempat permulaan pelayaran sebenarnya adalah kawasan yang miskin. Pelancongan di sini dipantau rapi, hubungan antara pelancong dan penduduk tempatan yang dibenarkan ialah dengan pemandu pelancong, pemilik kedai cenderahati dan pekerja hotel.

    Pelancong hanya dapat melihat kehidupan harian penduduk Korea Utara sepintas lalu melalui cermin tingkap bas kerana kebanyakan penduduk yang berpakaian satu warna berbasikal atau memandu menuju ke jalan yang sunyi.

    Blok pangsapuri yang kebanyakannya sudah buruk berselang-seli dengan tugu pemimpin negaranya. Potret ketua negara, Kim Jong Il dan mendiang ayahnya, Kim Il-Sung menyambut ketibaan pelancong apabila mereka masuk ke lobi hotel di Rajin.

    Kata-kata 'Buku ialah guru senyap dan teman seumur hidup' digantung di atas rak yang dipenuhi buku mengenai Korea Utara, dengan judul seperti 'Kim Jong-Il yang Agung' dan 'Korea - Negara Perintis.

    Biliknya sangat sederhana tetapi bersih, tiada Internet dan talian telefon pula bukan saja mahal bahkan tidak boleh diharap. Telefon bimbit dari luar negara (milik pelancong) pula diambil dan disimpan pemandu pelancong sebaik memasuki negara berkenaan.

    Menurut Hwang lagi, kerajaan di Ranson cuba mengetengahkan masalah komunikasi dan sudah menandatangani 26 perjanjian eksklusif dengan syarikat Thailand untuk memasang Internet di kawasan itu, yang diharap boleh digunakan September ini.

    Namun dia mengakui, laman web yang tiada kaitan dengan perniagaan berkemungkinan besar disekat dan media juga dikawal ketat di Korea Utara.

    Kebanyakan pelancong Rason datang dari China. Secara purata 150 pelancong dari China datang ke situ setiap hari pada musim panas. Salah seorang pelancong China yang hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, dia datang ke Rason selepas mesyuarat perniagaan di sempadan China untuk melihat perubahan di situ berbanding di negaranya.

    Simon Cockerell, Pengarah Urusan Kumpulan Koryo, agensi pelancongan yang beribu pejabat di Beijing dan mengendalikan banyak lawatan ke Korea Utara berpendapat, Rason mungkin bukan destinasi percutian pilihan ramai tetapi ia mempunyai daya tarikan tersendiri.

    "Ramai orang suka pergi ke tempat yang tertutup. Inilah destinasi tertutup di negara yang paling tertutup daripada istilah pelancongan. Inilah negara yang paling kurang dikunjungi," katanya.

    Di atas kapal persiaran, pelancong China asyik menyanyi karaoke di dalam dewan makan yang dihiasi bendera Korea Utara. Penumpang lain pula duduk mengelilingi meja plastik menikmati bir dan makan ikan kering.

    Sesetengah kabin dilengkapi katil dua tingkat manakala kabin lain hanya dibekalkan tilam yang diletakkan di atas lantai. Bilik yang lebih baik dilengkapi meja, kerusi dan bilik air sendiri.

    Bekalan air di bilik mandi kapal persiaran itu (yang digunakan sebagai feri antara Korea Utara dan Jepun hingga 1992 sehinggalah ia memulakan kapal kargo) juga tidak boleh diharap, jika ada, airnya kadangkala keruh.

    Bagaimanapun, Timbalan Presiden Taepung, Park Chol Su, berkata dia mempunyai perancangan besar untuk menarik lebih ramai pelancong. Dia mahu menjemput lebih 100 agensi pelancongan dari Eropah, Oktober depan untuk merasai sendiri pelayaran dan lawatan yang sama.

    Pihak berkuasa berjanji pelancong tidak diperlukan membuat visa untuk menaiki kapal persiaran berkenaan dan jika semuanya mengikut perancangan, kemudahan di kapal itu akan diperbaiki supaya lebih selesa.

    "Kami menyasarkan memiliki kapal yang lebih besar dan elok yang boleh membawa 1,000 penumpang. Kami akan sewa kapal dari negara lain di Asia Tenggara," katanya. - AFP

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Leher ayah berlubang

    Posted: 17 Sep 2011 11:07 AM PDT

    SUNGAI GOLOK (Thailand): "Dalam keadaan terkejut dan panik, saya dan isteri meredah asap tebal selepas bom meletup. Kami lihat perut anak terburai, manakala ayah cedera parah di kepala dan lehernya berlubang," kata Wong Wai Siong, 33.

    Wai Siong kehilangan anak, Wong Kai Sien, 3, dan bapa, Wong Hong Yep, 64, serentak selepas terbunuh dalam kejadian tiga siri letupan bom yang menggegarkan pekan Sungai Golok, di sini, jam 8.15 malam kelmarin.


    Selain dua beranak itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang terbunuh ialah pengurus insurans dari Kuantan, Pahang, Foong Too Keh, 45.

    Wai Siong berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri, Ang Ya, 35, dua anak dan ayahnya berkunjung ke Sungai Golok dari Kota Bharu dan tiba jam 6.30 petang untuk membawa isteri menjalani rawatan di Hospital Sungai Golok kerana sakit perut dan membeli susu anak.


    Katanya, selepas selesai rawatan dan membeli susu anak, mereka lima beranak makan di sebuah kedai makan sebelum tiba-tiba terdengar letupan bom, lalu segera keluar untuk pulang dan pada masa sama melihat apa berlaku.


    "Mendengar letupan bom, kami segera keluar dari restoran untuk pulang. Dalam perjalanan ke kereta yang jaraknya 40 meter dari restoran, sebutir lagi bom di sebuah motosikal meletup.

    "Ketika itu anak saya dan datuknya keluar terlebih dulu dari restoran manakala saya, isteri dan seorang lagi anak berada tidak jauh daripada mereka. Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata, saya kehilangan anak dan ayah," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sungai Golok, di sini, semalam.


    Menurut Wai Siong, anaknya ditemui dalam keadaan terhempap motosikal manakala ayahnya terbaring kaku.

    Wai turut cedera di pergelangan kaki kanan, isterinya luka di tangan, manakala anak bongsunya, Wong Kai Royce, 1, tidak cedera.


    Sementara itu, abang Too Keh, Foong Too Meng, 55, berkata adiknya berkunjung ke pekan Sungai Golok untuk berjalan-jalan dan tiba di pekan itu jam 5 petang.


    "Adik saya mendaftar untuk menginap di Hotel Genting sebelum keluar ke Hotel Merlin untuk minum bersama rakan.


    'Ketika dalam perjalanan ke Hotel Merlin, bom diletakkan di motosikal berdekatan sebuah tokong meletup. Serpihan bom terkena tulang rusuk adik, menyebabkan dia parah dan maut di tempat kejadian," katanya.


    Menurut Too Meng, dia menerima panggilan daripada rakan adiknya yang terselamat daripada kejadian itu jam 7.45 petang.

    Kumpulan pengedar dadah jadi dalang

    Posted: 17 Sep 2011 10:46 AM PDT

    SUNGAI GOLOK: Polis Thailand percaya kejadian tiga siri letupan bom yang menggegarkan pekan Sungai Golok kelmarin, didalangi kumpulan pengedar dadah yang cuba mengalihkan perhatian polis supaya dapat meneruskan kegiatan mereka dengan lebih lancar.

    Ketua Polis Sungai Golok, Polis Kolonel Chakaporn Thenthong, berkata, pihaknya yakin sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda itu memainkan peranan penting memasang bom kawalan jauh pada sebuah kereta dan tiga motosikal sehingga tercetusnya tragedi itu.


    Bagaimanapun, katanya, hanya tiga bom meletup berhampiran kawasan tokong Buddha, Hotel Parkson dan Hotel Merlin, di sini, menyebabkan tiga rakyat Malaysia dan seorang anggota sukarelawan Thailand terbunuh selepas disambar api ketika cuba memadam kebakaran sebuah kereta.

    "Dua bom yang diletakkan pada motosikal mengorbankan tiga rakyat Malaysia manakala bom yang diletakkan di sebuah kereta mengorbankan seorang anggota sukarelawan Thailand yang ketika itu cuba memadam kebakaran pada kereta berkenaan. Ketiga-tiga bom meletup selang lima minit.


    "Sebutir lagi bom yang diletakkan pada sebuah motosikal tidak sempat diletupkan selepas berjaya dikesan dan dimatikan pihak berkuasa. Siasatan awal dijalankan mendapati bom yang diletakkan pada kenderaan itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh," katanya pada sidang media di Hotel Genting, di sini, semalam.


    Menurut Chakaporn, selain empat terbunuh, lebih 60 lagi cedera, termasuk 19 rakyat Malaysia yang kebetulan berkunjung ke Sungai Golok untuk makan angin dan berhibur.

    "Dua anggota polis, empat tentera dan tiga anggota sukarelawan Thailand turut cedera dan kini dirawat di Hospital Sungai Golok, "katanya.


    Chakaporn berkata, pihaknya akan cuba mengesan suspek kejadian itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mungkin ada di kawasan kejadian.

    Katanya, walaupun kejadian itu disifatkan antara cubaan kumpulan pengedaran dadah untuk mengalihkan perhatian polis, pihaknya akan tetap menjalankan operasi membanteras pengedaran dadah seperti biasa.


    "Motif utama mereka (kumpulan pengedar dadah) sudah pasti mahu mengalihkan perhatian polis dan menjejaskan kedatangan pelancong sehingga ekonomi Sungai Golok merosot," katanya.


    "Kita berharap penduduk dari Malaysia akan tetap datang ke Sungai Golok kerana pihak berkuasa Thailand memberi jaminan keselamatan pelancong Malaysia akan dijaga seperti kami menjaga keselamatan penduduk Thailand sendiri," katanya.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Depan Mata: Sultan puji Hasnah

    Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

    Biar ku bersedih
    biar aku merintih
    setelah gagal berkasih
    lari bersama pedih

    ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

    Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

    Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


    Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


    Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

    Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

    Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

    Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

    Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

    Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

    Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

    Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

    Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

    Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

    Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

    Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

    Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

    Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

    Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    3 maut, 56 cedera pesawat terhempas

    Posted: 17 Sep 2011 10:36 AM PDT

    LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 56 lagi cedera apabila sebuah pesawat merempuh kawasan berhampiran tempat duduk penonton dalam pameran udara di Nevada, Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa tempatan, semalam.

    Sekurang-kurangnya 12 mangsa berada dalam keadaan kritikal dalam nahas yang berlaku di Reno itu apabila pesawat Perang Dunia Kedua yang dipandu seorang juruterbang veteran berusia 74 tahun merempuh astaka yang padat dengan penonton. Saksi berkata, pesawat itu merempuh kawasan berkotak yang menjadi ruang rehat untuk penonton, manakala seorang lagi saksi berkata, juruterbang itu menyimpangkan pesawat daripada menghala ke arah penumpang bagi mengelak keadaan lebih buruk berlaku. "Ia terhempas betul-betul di hadapan kawasan berkotak," kata Ketua Persatuan Perlumbaan Udara Reno, Mike Houghton yang enggan mengulas mengenai jumlah sebenar mangsa yang terkorban.


    "Kami semua terkejut dengan tragedi ini," katanya. Pesawat yang digelar 'Galloping Ghost' itu adalah jentera Perang Dunia Kedua P-51 Mustang yang dipandu juruterbang dari Florida, Jimmy Leeward.

    Rakaman video amatur mengenai nahas itu yang dirakam penonton di astaka menunjukkan orang ramai bertempiaran lari sebaik saja pesawat merempuh kawasan berkotak di hadapan astaka. Ahli Persatuan Perlumbaan Udara Reno, Mike Draper berkata, pesawat itu tersasar dari litar perlumbaan sebelum Leeward membuat panggilan kecemasan. "Kami tidak tahu bagaimana pesawat itu boleh terhempas, tetapi juruterbang ada membuat panggilan kecemasan. Saksi, Ben Cissel memuji tindakan juruterbang pesawat itu. "Saya rasa dia bertindak bijak apabila menyimpangkan pesawat dan menyelamatkan lebih 300 orang yang menyaksikan pameran udara itu," katanya. Dua orang disahkan maut di Pusat Perubatan Renown yang turut merawat 23 lagi mangsa yang cedera dengan 12 dalam keadaan kritikal. - AFP

    Victoria pakai fesyen rekaan sendiri

    Posted: 17 Sep 2011 10:34 AM PDT

    NEW YORK: Selebriti Victoria Beckham melancarkan koleksi baru pakaiannya dalam Minggu Fesyen New York, awal minggu lalu.

    Namun, dia tahu tiada cara pengiklanan yang lebih baik daripada memakai pakaian daripada jenama rekaannya sendiri.


    Pereka fesyen berusia 37 tahun itu memakai satu daripada fesyen rekaannya untuk hari kedua berturut-turut ketika membawa anak perempuannya, Harper membeli-belah di Barney di bandar raya New York, semalam.

    Victoria mengenakan gaun coklat cair dengan motif kucing, gaun versi merah yang digayakan ketika pertunjukan catwalk Victoria by Victoria dalam Minggu Fesyen New York Isnin lalu. Ibu empat anak itu baru-baru ini berkata, dia sangat seronok kerana tidak perlu memakai pakaian wanita hamil lagi.


    "Saya rasa seronok kerana dapat menggayakan semula pelbagai fesyen pakaian," katanya.


    Dia juga menjelaskan bagaimana dia membahagikan masa menjaga Harper yang berusia dua bulan dan mengurus perniagaan fesyen pakaiannya. "Saya perlu merancang kaedah bekerja yang strategik. Bagaimanapun, Harper juga banyakmembantu kerana dia seorang bayi yang tidak banyak ragam," katanya. - DM

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Godaan licik gadis Pinoy

    Posted: 17 Sep 2011 11:05 AM PDT

    KUALA LUMPUR: Muda, bergetah, memiliki tubuh gebu serta berwajah ala Sepanyol. Mungkin itu antara tarikan yang membuatkan sebilangan lelaki hidung belang cair dengan godaan gadis Filipina yang kini menjadi kegilaan warga kota sebagai pendamping malam mereka.

    Jika dulu, gadis dari negara jiran seperti Indonesia dan warga China menjadi rebutan kutu kelab malam, kini suasananya jauh berbeza. Lambakan gadis Filipina yang diberi jolokan Pinoy menggantikan tempat golongan itu di kelab malam sekitar ibu kota.


    Entah apa istimewanya, gadis Pinoy mula menjadi tumpuan dan digemari sehingga ramai lelaki berkerjaya serta tebal poket hanyut dan terpedaya dengan mereka yang hanya mahu mengikis wang.

    Berdasarkan maklumat diperoleh daripada lelaki dikenali sebagai Rizal, 41, yang mendedahkan kebanjiran gadis Filipina, wartawan Metro Ahad cuba mencari kebenaran mengenai dakwaan itu.


    Hakikatnya, mereka bukan saja mudah diajak berhibur ketika ditemui di kelab malam, malah boleh dibawa ke ranjang dengan bayaran tertentu yang jauh lebih murah jika kena caranya.


    Rizal berkata, berbeza dengan pelayan pelanggan (GRO), gadis Pinoy biasanya tidak mengharapkan lelaki untuk mendapatkan khidmat seks terlebih dulu, sebaliknya lebih suka berhibur dan dibelanja minum arak.

    "Kalau GRO, kita panggil je duduk bersama memang dah kena keluar duit, lepas tu ajak kita sewa bilik (hotel) dan bayar dia. Semua nak cepat dan mereka cuma mahukan duit.


    "Namun gadis Pinoy berbeza, iaitu cara mereka kikis duit lelaki lebih halus. Berkenalan dulu, lepas tu bila dah jadi macam kawan baru dia goda (ke ranjang)," katanya.

    Rizal yang juga peniaga mula terjebak dengan penangan gadis Pinoy sejak 2010 disebabkan pengaruh rakan.


    Dia berkenalan dengan gadis Filipina yang dikenalinya sebagai Dessy dari Wilayah Batangas.


    Perkenalannya dengan Dessy tidak hanya berakhir di ranjang, sebaliknya turut menjadi perempuan simpanannya.


    "Walaupun tak fasih cakap Melayu, mereka pandai layan lelaki. Sebab itu saya 'simpan' Dessy. Bagaimanapun, hubungan kami berakhir sebulan lalu.


    "Dessy tiba-tiba menghilangkan diri. Baru saya sedar dia sebenarnya hanya mahu mengikis wang saya, entah berapa banyak duit saya habis ketika bersamanya," katanya.


    Menurut Rizal, kebanyakan gadis Pinoy mudah ditemui di kelab malam di ibu kota, selain pusat urut.


    Tinjauan Metro Ahad mendapati beberapa pemandu teksi turut meletakkan kenderaan sehingga menghalang lalu lintas di sekitar kawasan itu dan berlagak seperti 'bapa ayam' kerana merekalah yang menghantar pasangan yang ingin memadu asmara ke hotel.


    Hampir setiap ceruk kelab malam itu dipenuhi gadis Filipina dan mereka mundar-mandir di sekeliling pusat hiburan itu untuk mencari mangsa.


    Begitupun, bukan mudah mendekati gadis Pinoy kerana mereka pemilih dan hanya mahu mendampingi lelaki banyak duit.


    Berdasarkan pemerhatian, selain orang tempatan, gadis Pinoy turut menjadikan mat salih sebagai sasaran mereka.


    Jika berpeluang berbual, mereka akan cuba mengorek sebanyak mungkin maklumat mengenai kerjaya dan memastikan pasangan yang mereka pilih ada banyak wang.


    Wartawan Metro Ahad sempat berbual dengan lelaki yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Azli dan bertanya mengapa gadis Pinoy sungguh diminati.


    "Kalau dibandingkan dengan wanita bangsa lain, Pinoy lagi hebat dan kelas. Sebagai wanita, fizikal mereka lengkap, sekali gus mudah memikat lelaki miang," kata Azli.


    Sepanjang berbual, Azli teruja menceritakan kehebatan gadis Pinoy. Ditanya adakah dia memiliki wanita simpanan di kalangan gadis Filipina, Azli menafikannya.


    Ikuti perbualan lanjut wartawan bersama Azli.


    Soalan (S): Kenapa tak ambil jadi wanita simpanan? Jawapan (J): Saya tak suka komitmen dan bukan selalu datang sini. Cukup untuk berhibur suka-suka dan belanja mereka 'minum' (arak).


    S: Belanja minum saja? J: Taklah... kalau berkenan saya bawa ke hotel, 'one night stand' (melakukan hubungan seks satu malam) saja cukuplah. Datang lain hari boleh ambil Pinoy lain pulak.


    S: Bayar tak? J: Eh... mana ada free (percuma), kena bayarlah.


    S: Berapa (bayaran)? J: Paling murah RM150, paling mahal dalam RM300. Tak tentu.


    S: Kenapa macam tu pulak? J: Biasanya kalau datang awal sekitar jam 10 malam ke atas, mereka minta mahal tetapi bila lewat sikit boleh bayar murah. Kalau dah biasa dengan mereka, boleh main tarik tali.


    S: Selain seks, apa yang hebat sangat dengan mereka? J: Pinoy ni ramai yang cantik, manja dan pandai menghibur lelaki. Bab layan lelaki, mereka memang terbaik.


    Rizal juga berkata, sejak kebelakangan ini ramai lelaki, terutama yang berusia, menjadi mangsa gadis Pinoy.


    "Yang boleh saya katakan, mereka sungguh licik mengikis wang. Mereka tidak minta untuk duit poket, tetapi banyak habiskan untuk joli.


    "Ketika berjoli, kita tidak sedar wang habis dikikis, dan sebahagian lagi sudah masuk ke dalam poket mereka," katanya.

    Buaya julang mayat

    Posted: 17 Sep 2011 11:05 AM PDT

    SARATOK: "Saya melihat buaya itu muncul di permukaan air sambil menjulang tubuhnya sebelum menghilangkan diri secara perlahan-lahan ke dasar sungai," kata Safri Hassan, 20, ahli keluarga Sulaiman Abdullah, 66, yang dikhuatiri maut selepas dibaham buaya di Sungai Sebelak, dekat Kampung Roban, di sini, awal pagi semalam.

    Safri yang menceritakan perkara itu berkata, dia terserempak dengan buaya itu ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa penduduk di sekitar tempat kejadian.


    "Sebaik tiba di lokasi kejadian, buaya berkenaan muncul sambil menjulang tubuh mangsa. Saya terkejut namun tidak sempat berbuat apa-apa sebelum reptilia itu menghilangkan diri.

    "Tindakan buaya berkenaan menunjukkan tubuh mangsa seolah-olah 'meminta izin' daripada kami untuk memakannya," katanya.


    Dalam kejadian itu, Sulaiman bersama anaknya, Endoi, 40, serta cucunya, Nazri, 9, keluar menangkap udang di sungai berkenaan, jam 4.30 pagi.


    Kejadian berlaku ketika mangsa memunggah jaring menangkap udang ke dalam perahu, namun tiba-tiba seekor buaya sepanjang tiga meter muncul berdekatan perahunya sebelum menyambar kaki mangsa lalu mengheret ke sungai.

    Difahamkan, anak dan cucu mangsa tidak sempat membantu menarik mangsa berikutan cuaca gelap selain bimbang diserang reptilia berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada penduduk.


    Ini kejadian kedua sepanjang tahun ini membabitkan buaya mengganas di sungai berkenaan di mana sebelum ini penduduk, Menkay Goheh maut selepas dibaham buaya ketika mencuci tangan, Mei lalu.

    Kejadian berlaku ketika Menkay keluar bersama rakannya menangkap udang, jam 12 tengah malam menggunakan bot.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Lein berkata, mangsa bersama anak dan cucu dikatakan keluar menangkap udang jam 3 pagi ketika air sungai surut.


    Beliau berkata, setakat ini operasi dijalankan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penduduk masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada mangsa masih hidup atau meninggal dunia.


    "Operasi bermula jam 10 pagi tadi (semalam) dan tertumpu di sekitar lokasi kejadian, termasuk di beberapa lubuk sungai berkenaan.


    "Ini kerana mangsa mungkin dibawa ke sana (lubuk). Setakat ini operasi masih diteruskan untuk mencari mangsa," katanya.

    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Villas-Boas tolak perang psikologi

    Posted: 17 Sep 2011 10:31 AM PDT

    LONDON: Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas enggan bermain perang psikologi dengan Sir Alex Ferguson dan mana-mana pengurus Liga Perdana Inggeris.

    Villas-Boas akan bersemuka dengan Ferguson buat pertama kali, malam ini apabila Chelsea berkunjung ke Old Trafford dalam pertemuan yang sering mencetuskan perbalahan ketika mentornya, Jose Mourinho mengendalikan Blues.


    Mourinho mengambil setiap kesempatan untuk berperang dengan pengurus seperti Rafael Benitez dan Arsene Wenger malah sering bertikam lidah dengan Ferguson, biarpun hubungan mereka secara umumnya begitu baik.

    Andai Mourinho merasakan perlawanan bermula di sidang media dengan mengeluarkan kenyataan berbisa yang mengalihkan tumpuan daripada pemainnya selain menimbulkan kemarahan lawan, Villas-Boas pula lebih senang bersikap tenang selagi termampu.


    "Saya tidak rasa beruntung terbabit dalam perang psikologi," katanya. "Jika sentiasa membalas apa yang diperkatakan orang ramai, ia seolah-olah anda terlalu lemah menghadapi tekanan.


    "Itulah sebabnya saya membaca laporan penuh sidang media Ferguson sebelum perlawanan ini.

    "Saya tahu apa yang diperkatakan sebelum saya bercakap kepada media dan dia tidak berkata sesuatu yang biadap," katanya.


    Villas-Boas turut tidak percaya permainan psikologi Mourinho menjadi rahsia kejayaan Chelsea ketika kedua-duanya masih bersama di skuad barat London itu dan Villas-Boas bekerja sebagai peninjau skuad lawan.

    "Ketika bersama Mourinho di Chelsea, kami menang dua trofi Liga Perdana Inggeris tetapi apakah kepentingan permainan psikologi? Saya rasa ia tidak memberi kesan terhadap pemain.


    "Tahun lalu, saya tidak sependapat dengan pengurus Benfica dan itu normal kerana mereka mencabar gelaran tetapi saya tidak fikir ia memberi perbezaan terhadap hasil perebutan gelaran itu," katanya. - AFP

    Springboks kota janji

    Posted: 17 Sep 2011 10:27 AM PDT

    WELLINGTON: Juara bertahan, Afrika Selatan mengotakan janji untuk tidak membenarkan Fiji menguasai bola apabila mempamerkan persembahan mantap untuk membelasah pencabar dari Kepulauan Pasifik itu, 49-3 pada perlawanan kedua Piala Dunia, semalam.

    Sebelum perlawanan itu, Springboks mendedahkan strategi yang bakal dilaksanakan dan menegaskan tidak akan membenarkan lawan menguasai bola sekali gus mengekang Fiji melancarkan serangan.


    Selain itu, mereka juga menegaskan bakal bergantung penuh terhadap kemantapan pertahanan yang berpengalaman.

    Janji itu dilaksana sejak awal permainan dan Springboks akhirnya berjaya menguasai 60 peratus perlawanan untuk melakukan enam try untuk mengungguli Kumpulan D.


    Di babak kedua, Afrika selatan membenarkan Fiji melancarkan serangan tapi sistem pertahanan berjaya memastikan lawan gagal melakukan try.


    "Kami gembira kerana berjaya mempraktikkan strategi dan mengekang asakan lawan," kata kapten Springboks, John Smit.

    Kapten Fiji, Deacon Manu memuji kehebatan barisan pemain Springboks.


    "Perlawanan itu amat sukar dan Springboks menunjukkan kenapa mereka layak bergelar juara dunia," katanya. - AP

    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved