Ahad, 4 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Perubahan wajah ketara

Posted: 04 Nov 2012 01:21 PM PST

MEMANG teruja apabila diajak menghadiri Hari Pendidikan Pesakit Akromegali. Sepanjang perjalanan membelah sejuk pagi, penulis membayangkan akan bertemu dengan jejaka atau wanita tinggi berbadan besar seperti gambar yang tertera dalam surat jemputan.

Namun dalam majlis ilmu serba sederhana itu, hanya ada dua orang yang ketinggiannya sedikit menonjol - iaitu Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Mohamed Badrulnizam Long Bidin dan gadis manis pemalu yang enggan dikenali.

Sekali imbas, tidak terlihat sebarang perbezaan fizikal pada peserta lain. Selepas mendengar penerangan beberapa pakar endokrinologi, barulah penulis tahu individu akromegali tidak semestinya akan menjadi besar dan tinggi sebaliknya kesannya boleh bersifat setempat contohnya pada anggota tertentu saja.

Antara perubahan fizikal yang boleh dialami individu akromegali ialah hidung besar; lidah besar dan tebal; kulit menebal, kasar dan sentiasa berpeluh; rahang membesar dan menyebabkan gigi menjadi jarang; lubang gigi juga membesar dan apabila terlalu besar boleh membuatkan gigi tertanggal. Selain itu, tengkorak, tangan dan kaki turut mengalami pertambahan saiz yang ketara.


Bunyinya memang menggerunkan, apatah lagi ia boleh membuatkan wajah penghidapnya berubah dengan ketara. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan akromegali ini sehingga ia boleh menyebabkan perubahan begitu?


Menurut Perunding Endokrinologi, Dr Alexander Tan, akromegali ialah keadaan yang berlaku akibat perembesan hormon pertumbuhan secara berlebihan pada orang dewasa, iaitu selepas kematangan tulang, dicirikan dengan pembesaran hujung tulang. Akromegali adalah gangguan metabolik yang jarang berlaku disebabkan kewujudan ketumbuhan benigna pada kelenjar pituitari.

Untuk pengetahuan bersama, sebenarnya di bawah otak kita ada satu pusat hormon yang sedikit terjuntai kedudukannya. Ia dipanggil kelenjar pituitari. Walaupun saiznya kecil - hanya sebesar kacang pea - ia sangat penting kerana di sinilah pusat atau kilang yang menghasilkan beberapa jenis hormon untuk mengawal organ badan iaitu:

● Hormon adrenokortikotropik (ACTH), juga dikenal sebagai kortikotropin - mengawal tekanan darah, tahap gula dalam darah

● Hormon perangsang-tiroid (TSH), juga dipanggil tirotropin - mengawal kelenjar tiroid dan tahap metabolisme

● Hormon prolaktin - merangsang perkembangan payudara dan penghasilan susu badan

● Hormon peluteinan (LH) dan hormon perangsang-folikel (FSH) - hormon seks yang mengawal ciri-ciri lelaki dan perempuan

● Hormon pertumbuhan (GH) - hormon yang merangsang pertumbuhan, penghasilan dan kemusnahan sel

Masalah berlaku apabila wujud ketulan atau ketumbuhan pada kelenjar pituitari yang mana sel ketumbuhan kadangkala mengeluarkan hormon pertumbuhan (GH) yang menyebabkan jumlah hormon ini terlalu banyak dalam badan. Inilah yang menyebabkan seseorang mengalami masalah akromegali.

Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh memendekkan jangka hayat pesakit kerana pesakit berisiko tinggi mendapat serangan otak (strok), serangan jantung dan kanser paru-paru.

Menurut Dr Mohamed Badrulnizam, akromegali berlaku pada 1,000 hingga 3,000 penduduk negara ini. Berdasarkan data yang terhad, di negara kita dianggarkan ada 200 hingga 300 pesakit. Bagaimanapun, dia percaya banyak kes yang tidak dapat dikesan kerana masalah ini masih amat asing di kalangan masyarakat kita.

Akromegali boleh berlaku pada semua semua peringkat umur, walaupun mengikut catatan ia biasanya bermula pada usia yang lebih dewasa iaitu 40 hingga 45 tahun, baik di kalangan lelaki atau perempuan.

Penyakit ini bukan saja mengubah hidup pesakit malah seluruh keluarga mereka kerana akromegali boleh menyebabkan tekanan fizikal dan emosi yang kadangkala amat sukar ditanggung.

Masalahnya, akromegali agak sukar dikesan kerana gejalanya berkembang secara perlahan-lahan dalam tempoh yang lama. Malah ahli keluarga juga kadangkala tidak dapat mengesan perubahan yang dialami individu akromegali. Biasanya individu akromegali menyedari perubahan yang berlaku apabila saiz kasut bertambah atau cincin menjadi seolah-olah terlalu kecil untuk disarungkan ke jari mereka.

Menurut catatan, akromegali mula dikesan oleh pakar saraf Perancis, Pierre Marie pada 1886. Pada zaman dulu individu yang mengalami ketidaknormalan tubuh sering dijadikan bahan rujukan atau pameran sama ada secara sukarela atau paksaan. Pada awal abad ke-20, individu akromegali yang bertubuh besar dan tinggi kebanyakannya bekerja di sarkas, menjadi bahan pameran di mana-mana pesta termasuklah di muzium.

Pada penghujung abad ke-20, pakar perubatan di Barat menemui cara untuk mengesan dan merawat masalah akromegali daripada peringkat awal lagi. Inilah sebabnya keadaan yang dipanggil 'akromegali gergasi' tidak lagi wujud di sana.

Kebanyakan kes akromegali gergasi berlaku di Afrika dan Asia terutama China, India, Pakistan dan negara bekas jajahan Soviet Union.

Gejala

Gejala akromegali boleh dibahagikan kepada dua kategori:

1. Gejala yang disebabkan oleh kesan setempat ketumbuhan:
● Bergantung kepada saiz tumor, ia boleh menjejaskan penglihatan dan menyebabkan sakit kepala. Ini adalah tanda yang paling biasa dialami pesakit.

● Hemianopsia bitemporal - kebutaan separa yang mana pesakit kehilangan setengah ruang penglihatan luar kanan dan kiri. Maknanya, ruang penglihatan pesakit menjadi kecil iaitu hanya di bahagian tengah saja dan penglihatan sebelah luar seolah-olah terpadam.

● Hiperprolaktinemia - keadaan yang mana paras hormon prolaktin terlalu tinggi yang akan menyebabkan pelbagai masalah sampingan seperti menjejaskan sistem imun.

● Kehilangan bahagian hujung organ hormon yang menjejaskan tindak balas badan terhadap tekanan biologi, kesuburan, paras tenaga, penghasilan protein dan sensitiviti terhadap hormon lain.

2. Komplikasi yang disebabkan berlebihan hormon pertumbuhan

● Tisu lembut membengkak dan menjadi sangat besar

● Saiz tangan dan kaki bertambah

● Hiperhidrosis iaitu mengalami peluh yang keterlaluan untuk mengawal suhu badan

● Sakit sendi (artritis)

● Berlaku perubahan ketara pada struktur muka seperti dahi membesar dan menonjol, hidung menjadi besar dan tebal, rahang juga besar dan tertonjol

● Makroglosia iaitu pembesaran luar biasa pada lidah sehingga menjejaskan fungsinya termasuklah menelan, bercakap dan tidur.

● Peningkatan masalah apnea tidur (OSA), mengalami kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Secara umumnya kesan yang dialami individu akromegali boleh disenaraikan seperti di bawah:

● Kardiomegali - membabitkan jantung yang mana jantung membesar, bengkak dan menjadi lemah. Pesakit berisiko mendapat serangan jantung.

● Perubahan fizikal yang ketara

● Hati membengkak

● Buah pinggang membengkak

● Usus besar kadangkala diserang kanser

● Mengalami gangguan saraf

● Sakit kepala

● Mengalami masalah penglihatan

Jangan risau dengan istilah perubatan yang sukar disebut di atas, ia hanyalah sebagai pengetahuan. Namun jika anda atau ada ahli keluarga yang mengalami gejala di atas, disarankan segera bertemu doktor supaya anda boleh dirujuk kepada pakar endokrinologi untuk pemeriksaan lanjut.

Pengesanan dan rawatan

Walaupun masalah ini sudah dikesan lebih 120 tahun lalu, di rantau ini ia masih belum begitu dikenali. Malah ada yang tidak pernah langsung mendengar namanya atau tidak tahu kewujudannya.

Perunding Kanan Endokrinologi PPUKM merangkap Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia, Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin menyifatkan akromegali sebagai penyakit 'yatim piatu' kerana ia sangat jarang diberikan perhatian.

Seperti disebut di atas, akromegali sukar dikesan kerana perkembangannya yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Selain ciri fizikal, ujian hormon pertumbuhan juga akan dilakukan diikuti imbasan MRI bagi mengesahkannya.

"Rawatan utama ialah pembedahan kerana akromegali disebabkan oleh ketumbuhan. Namun masalah yang dihadapi pakar perubatan ialah akromegali mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum ia disedari. Dalam tempoh ini pesakit masih boleh menjalani kehidupan yang normal cuma mungkin alami sedikit perubahan.

"Biasanya apabila ia dikesan, ketumbuhan sudah jadi besar dan mencetuskan pelbagai komplikasi seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan ruang penglihatan juga menjadi terhad. Individu yang ada masalah akromegali dinasihatkan supaya tidak memandu kerana ia sangat berbahaya. Di United Kingdom individu yang ada akromegali tidak dibenarkan memandu.

"Semakin besar saiz ketumbuhan, semakin banyak urat saraf yang terjejas dan pembedahan jadi semakin sukar. Sebab itulah jika boleh, dapatkan pemeriksaan dan rawatan secepat mungkin jika mengalami gejala akromegali," katanya.

Jika pembedahan dapat menyelesaikan masalah, mengapa masih berlaku pengulangan gejala akromegali? Ini kerana ketumbuhan yang berada celah-celah saraf tidak dapat dibuang dan saki baki sel ketumbuhan inilah menyebabkan gejala akromegali berulang. Pun begitu janganlah ada yang menyangka tidak perlu menjalani pembedahan kerana ia sangat penting untuk merendahkan komplikasi khususnya pada jantung, hati dan buah pinggang.

Selain pembedahan, akromegali juga dirawat menggunakan kaedah hormon atau radioterapi. Radioterapi bertujuan membakar dan mematikan sel ketumbuhan. Ada juga pesakit diberikan ubat untuk merencatkan atau menghentikan pengeluaran hormon pertumbuhan yang secara tidak langsung akan membuatkan ketumbuhan mengecut.

"Kaedah rawatan untuk setiap pesakit berbeza, mengikut keadaan masing-masing. Apa yang lebih penting ialah jumpa doktor sebaik gejala dikesan. Malangnya ramai pesakit tidak berjumpa doktor kerana perubahan fizikal yang mereka alami tidak menyebabkan rasa sakit," katanya.

Kualiti hidup

Akromegali memang memberi kesan besar kepada kualiti hidup pesakit. Paling ketara ialah isu imej diri kerana perubahan ciri fizikal khususnya pada wajah sering membuatkan individu akromegali berasa rendah diri. Antara masalah yang sering dihadapi individu akromegali ialah kaki terasa lemah, berasa diri hodoh, berasa tertekan dan murung.

Malah ramai tidak suka melihat diri mereka di dalam gambar, cuba mengelak daripada keluar dengan rakan, lebih suka mengasingkan diri, rasa diri disisihkan, mengalami masalah untuk melakukan aktiviti biasa (termasuk bekerja, belajar, menulis, menjahit, membuat kerja rumah), selalu menjadi perhatian orang, percakapan menjadi sukar kerana saiz lidah yang besar, cepat penat dan mengalami sakit sendi.

Pun begitu semua pesakit yang penulis temui hari itu adalah wira. Memang mereka akui berasa sedikit malu dengan perubahan fizikal yang dialami, namun semuanya tidak pernah putus asa untuk berusaha menjalani hidup sebaik mungkin.

Perubahan diri yang dialami tidak menjadikan mereka orang asing. Mereka juga sudah lali dengan renungan orang ramai yang masih tidak tahu mengenai akromegali. Renungan yang kurang menyenangkan itulah juga menguatkan semangat mereka untuk terus menjalani rawatan. Bahkan ada juga pesakit yang mengambil kesempatan menerangkan keadaan sebenar supaya ilmu ini dapat dikongsi bersama kerana akromegali boleh berlaku pada sesiapa saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Perangi kanser

Posted: 04 Nov 2012 09:15 AM PST

LARIAN Terry Fox kembali lagi buat kali ke-32 bagi tujuan mengumpul dana untuk memerangi kanser.

Larian kali ini bakal diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Ahad, 11 November mulai jam 9 pagi. Orang ramai dialu-alukan untuk memeriahkan acara sekali gus menjadikannya acara santai buat keluarga. Tidak hanya berjalan, peserta boleh mengambil bahagian dengan berlari, menaiki basikal, menggunakan papan luncur dan seumpamanya dalam acara tiga dan lima kilometer ini.

Penyertaan percuma, namun orang ramai boleh menderma menerusi pembelian baju-T Larian Terry Fox yang mana hasil jualan disalurkan kepada penerima larian tahun ini iaitu Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser (Carif) untuk dimanfaatkan dalam penyelidikan penyakit terbabit.

Baju-T berharga RM30 itu boleh didapati dalam pelbagai saiz untuk kanak-kanak serta dewasa di Pusat Perubatan Sime Darby pada hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang sehingga 10 November ini.


Larian Terry Fox ialah hari pengumpulan dana terbesar di dunia bagi manfaat penyelidikan kanser. Ia diraikan sempena Terry Fox, warga muda Kanada yang juga pesakit kanser yang memulakan 'Maraton Harapan' - perjalanannya merentasi Kanada untuk mengumpul wang bagi penyelidikan kanser.


Dengan satu kakinya kudung, Terry Fox menjadi wira apabila dia berjaya berlari selama 143 hari dan menyudahkan laluan 5,373 kilometer sebelum dia meninggal dunia pada 1981.

Yayasan Terry Fox kemudian ditubuhkan tahun itu untuk meneruskan warisannya dengan penganjuran acara larian pada tarikh sama setiap tahun. Sejak itu, Larian Terry Fox diadakan di lebih 50 negara di seluruh dunia.

"Jika saya tidak menyudahkannya, kita perlukan orang lain untuk meneruskannya. Ia harus diteruskan tanpa saya." Begitu kata-kata yang pernah diucapkan Fox sebelum ini.

Sehingga kini, larian terbabit mengumpul lebih daripada RM1 juta untuk penyelidikan kanser di Malaysia sejak larian pertama diadakan pada 2001. Tahun lalu, acara berkenaan menarik perhatian lebih daripada 6,000 peserta dan mengumpul lebih daripada RM161,000.

"Beberapa Larian Terry Fox sejak kebelakangan ini menyaksikan penyertaan yang ramai di negara ini dan kami ingin melihat lebih ramai peserta tahun ini bagi membantu mengumpul dana untuk meningkatkan penyelidikan mengenai kanser di Malaysia.

"Larian ini mengingatkan kita bahawa setiap daripada kita mampu melakukan perubahan, terutama apabila kita bersama-sama mencapai satu matlamat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Carif, Prof Dr Teo Soo Hwang.

Untuk maklumat lanjut mengenai larian ini, layari halaman www.facebook.com/TerryFoxRunKL.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


32 murid trauma

Posted: 03 Nov 2012 04:38 PM PDT

NILAI: Kegembiraan 32 murid dan guru menghabiskan cuti hujung minggu dengan mengikuti rombongan ke Perak berakhir tragedi apabila bas dinaiki terbabit dirempuh lori di Jalan Batang Benar-Nilai berhampiran Stesen Komuter Batang Benar, di sini, semalam.

Kejadian jam 8.30 pagi itu menyebabkan dua murid berusia 11 tahun parah, manakala tiga guru dan pemandu bas yang membawa 29 murid cedera di beberapa anggota badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).


Difahamkan, bas itu antara empat bas yang dalam perjalanan membawa 112 murid tahun tiga hingga enam Sekolah Kebangsaan (SK) Petaseh, Kuala Klawang mengikuti rombongan sehari ke Perak.

Mangsa, Mohd Zamzurkarnain Kudus, 9, berkata, ketika kejadian dia berbual dengan rakannya di dalam bas sebelum ternampak sebuah lori dipandu laju keluar dari simpang.


"Tiba-tiba lori berkenaan melanggar bahagian depan kiri bas hingga menghasilkan bunyi dentuman kuat, menyebabkan saya dan rakan tercampak dari tempat duduk.


"Sebaik bas berhenti, saya menyedari telinga kiri berdarah dipercayai terkena kaca sebelum kami semua diarah turun," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HTJS, di sini, semalam.

Murid tahun lima, Amirul Naim Abu Suffian berkata, dia yang lena tidur di bahagian depan bas terkejut sebaik mendengar bunyi hon.


"Saya tersedar apabila mendengar bunyi hon berterusan sebelum bas bergegar, menyebabkan saya tercampak ke depan.

"Kepala saya bengkak akibat terhantuk di cermin dan saya berasa trauma untuk menaiki bas lagi," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori membawa batu yang mahu keluar simpang untuk ke Nilai hilang kawalan sebelum merempuh badan bas.


"Pemandu lori berusia 25 tahun itu cedera ringan dan kini ditahan bagi membantu siasatan. Saksi kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran atau hubungi talian 06-7991222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Anak bertukar penyayang, pendiam

Posted: 03 Nov 2012 04:34 PM PDT

JASIN: "Baru semalam (kelmarin), saya membaca akhbar mengenai kisah kematian empat sekeluarga di Alor Setar, Kedah dan hari ini (semalam) ia berlaku kepada anak kami pula yang maut bersama dua rakannya."

Begitu kata Noriah Md Dim, 62, ibu kepada Hairul Nizam Alias, 34, yang terbunuh dalam kemalangan negeri mengorbankan empat nyawa di Kilometer 38.5 Jalan Air Panas-Kesang, di sini, malam kelmarin.


Kemalangan jam 11.15 malam membabitkan dua kenderaan itu turut mengorbankan dua sahabat mangsa, iaitu Mohd Shahir Mat Sahat, 27, dan Mohammad Izzuddin Usop, 21, serta remaja bawah umur, Mohd Hafiz Helmi, 14.

Menurut Noriah, anak ketiga daripada lima beradik itu berubah sikap sejak beberapa bulan lalu dengan menjadi lebih pendiam.


"Saya melihat perubahan itu sejak dia membawa saya ke Langkawi, Kedah beberapa bulan lalu kerana dia menjadi sangat penyayang dan pendiam.


"Malah, lebih mengejutkan semalam (kelmarin), sebelum keluar rumah, arwah tidak langsung memandang muka saya, sedangkan biasanya dia salam saya setiap kali keluar dan balik rumah," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Jasin, di sini, semalam.

Beliau berkata, biarpun terkejut dengan kejadian yang meragut nyawa Hairul Nizam, dia dan keluarga menerimanya dengan reda.


"Arwah sanggup berhenti kerja sebagai pemandu orang kenamaan di Kuala Lumpur untuk menjaga saya dan suami, Alias Wahab, 66, namun ternyata Allah lebih sayangkannya," katanya.

Sementara itu, Alias berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh jiran yang datang ke rumahnya di Felda Bukit Senggeh, di sini, tidak lama selepas kejadian.


Katanya, dia tidak sempat bertegur sapa dengan arwah yang tergesa-gesa meninggalkan rumah sebelum kejadian.


"Arwah balik daripada kerja jam 10.30 malam dan tergesa-gesa keluar rumah apabila rakannya datang menjemput sehingga kami tidak sempat berbual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Mudahnya nak gugur!

Posted: 03 Nov 2012 04:56 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga klinik pakar wanita di ibu kota dikesan menawarkan khidmat menggugurkan janin kepada pelajar sekolah yang terbabit dalam hubungan terlarang.

Penemuan ini hasil penyamaran tiga wartawan Metro Ahad yang berkunjung ke klinik terbabit sejak dua minggu lalu. Seorang berlakon sebagai pelajar perempuan yang berpakaian seragam sekolah, seorang berlagak sebagai kekasih, manakala seorang lagi menyamar sebagai kawan baik.

Berdasarkan siasatan, pelajar yang hamil kurang tiga bulan sangat mudah melakukan pengguguran janin. Prosedurnya ringkas, hanya perlu pergi kaunter, buat temu janji dan bayaran pendaftaran RM50, seterusnya berjumpa doktor untuk proses pengguguran.

Tanpa perlu diiringi ibu bapa atau keluarga terdekat, kos keseluruhan pengguguran janin hanya antara RM1,200 hingga RM2,500 bergantung kepada saiz kandungan.


"Jumpa doktor dulu untuk periksa. Kalau okey, sediakan duit saja, kita akan buat (pengguguran). Tak perlu takut," kata seorang jururawat ketika wartawan mengunjungi sebuah klinik di Ampang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Hidup dalam bilik sempit

Posted: 03 Nov 2012 04:55 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kedaifan hidup menyebabkan sepasang suami isteri terpaksa membesarkan tiga zuriat mereka, termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) di sebuah bilik sempit di Chow Kit, di sini, yang hanya layak dijadikan stor menyimpan barang.

Begitulah penderitaan Sania Taib, 41, bersama suami, Johari Md Salleh, 40, dalam mengharungi kehidupan di ibu kota, termasuk membesarkan anak istimewa berusia 12 tahun yang hanya terlantar sejak lahir.


Wanita berasal dari Taman Datuk Rashid, Kuantan, Pahang itu berkata, walaupun terpaksa bersesak di bilik sempit, dia dan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tabah membesarkan zuriat dalam keadaan serba daif.

"Gaji suami sebagai pengawal keselamatan tidak seberapa dan dengan kudratnya itu, dapatlah kami menyewa bilik sempit ini dengan bayaran RM250 sebulan.


"Kami tidak dibenarkan memasak selain terpaksa berkongsi dua bilik air dengan 10 keluarga lain yang turut menyewa bilik di sini.


"Sebagai isteri, saya harus bijak mengagihkan pendapatan untuk saraan sekeluarga, termasuk makan dan minum setiap hari, serta urusan membawa anak ke klinik dan ubat-ubatannya setiap bulan.

"Memandangkan kami berasal dari pantai timur, sukar mendapat bantuan pelbagai pihak seperti Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


"Lagipun, saya baru dua bulan di Kuala Lumpur. Jika dapat bantuan, sikit sebanyak ia mampu meringankan beban kami," katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Sania berkata, anak sulung mereka, Siti Nurasyikin, 12, memerlukan penjagaan rapi akibat penyakit saraf dialami sejak lahir, menyebabkan dia terpaksa memberi tumpuan sepenuh masa terhadap kanak-kanak itu.


Selain masalah saraf, Nurasyikin mengalami penyakit jantung berlubang, manakala berat badannya hanya 7.8 kilogram seperti seorang bayi.


Katanya, anak kedua mereka, Mohd Salman, 11, pula terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama suami hingga terlantar di hospital.


Menurutnya, walaupun Salman beria-ia mahu meneruskan persekolahan, dia buntu memikirkan cara menyekolahkan anaknya kerana sukar menguruskan surat pertukaran sekolah berikutan terpaksa menjaga Nurasyikin selain faktor desakan hidup.


"Bayangkan, apabila memerlukan air panas, saya terpaksa berjalan sejauh dua kilometer untuk mengambilnya di sebuah masjid serta meninggalkan anak OKU keseorangan di bilik.


"Saya bernasib baik kerana anak kedua kami banyak membantu, misalnya mencuci pakaian dan menjaga adiknya jika saya sakit dan suami pula bekerja," katanya.


Anak bongsu Sania, Mohd Shafiq, 6, yang sepatutnya bersekolah Januari depan, belum didaftarkan untuk sesi persekolahan di mana-mana sekolah di ibu kota.


Bagaimanapun, dia bersyukur kerana Rumah Sinar Salam, di sini, bersimpati dengan nasibnya dan menghulurkan bantuan berupa makanan dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban ditanggung.


Sania berharap ada pihak sudi membantunya mendapatkan rumah sesuai supaya dapat menguruskan keluarga, terutama anak OKU, dalam keadaan lebih selesa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


38 tahun angkat tangan

Posted: 03 Nov 2012 03:55 PM PDT

NEW DELHI: Seorang lelaki tidak pernah menurunkan tangan kanannya sejak 1973.

Bekas kerani, Manhant Amar Bharti Ji dikatakan mengangkat tangannya pada tahun berkenaan sebagai menghormati Tuhan Hindu, Shiva.


Manhant meninggalkan keluarganya pada 1970 selepas berhenti kerja untuk mengabdikan diri pada Shiva.

Tiga tahun kemudian, kerana merasakan masih terikat dengan gaya hidup lamanya, Manhant mengangkat sebelah tangannya sebagai tanda taat kepada Tuhannya.


Dan hari ini, selepas 38 tahun, dia masih tidak menurunkannya, Pengikutnya berkata, dia enggan menggunakan tangannya itu bagi memisahkan dirinya dengan keseronokan hidup.


Ramai mengikut jejak Manhant dengan mengangkat tangan dan tidak menurunkannya selama beberapa tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Gadis 14 tahun urus sindiket pelacuran ditangkap

Posted: 03 Nov 2012 03:53 PM PDT

BANGKOK: Polis semalam menahan seorang gadis berusia 14 tahun yang menguruskan satu sindiket pelacuran di sebuah motel di wilayah Samut Perakan.

Pihak berkuasa yang menerima aduan daripada orang ramai, melancarkan operasi di daerah Bang Phli, kata Ketua Bahagian Antipemerdagangan manusia, Chavalit Sawaengphuet Menurutnya, pegawai yang menyamar sebagai pelanggan, cuba mendapatkan khidmat seks daripada gadis itu.


Gadis berkenaan mengenakan bayaran 2,000 baht (RM200) untuk dua pelacur muda berusia 14 dan 16 tahun.

Ketiga-tiga gadis itu kemudian ditahan di luar motel itu.


Gadis berkenaan memberitahu polis, dia biasanya memperoleh upah 500 baht (RM50) daripada setiap gadis yang dikenalkannya kepada pelanggan. - BP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Azimat Gerrard

Posted: 03 Nov 2012 03:49 PM PDT

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers percaya banyak lagi yang mampu dilakukan Steven Gerrard menjelang penampilan ke-600 bersama kelab pada pertemuan menentang Newcastle di Anfield, malam ini.

Gerrard, 32, dianggap sebagai antara pemain terhebat Liverpool tapi meskipun pernah menjuarai Liga Juara-Juara bersama pasukan Merseyside itu pada 2005, dia masih gagal merangkul gelaran domestik.


Pemain tengah itu dua kali menolak tawaran untuk menyertai Chelsea iaitu pada 2005 dan 2006, kini dijangka menamatkan kerjayanya bersama kelab yang juga kampung halaman pemain itu.

Kesetiaannya terhadap Liverpool setanding dengan kepentingannya untuk kelab itu dan Rodgers mengaku kesediaan Gerrard yang juga kapten England untuk memperbaiki permainan biarpun usianya semakin lanjut ketika ramai pemain lain mula memikirkan persaraan, meletakkannya jauh di depan.


"Gerrard beraksi cemerlang sejak hari pertama saya menyertai kelab ini.


"Dia kini sudah berusia 32 tahun, kapten pasukan England dan baik saya mahupun Gerrard masih mencari jalan untuk memperbaiki corak permainannya dan itu membuatnya dihormati kerana banyak yang dicapainya dalam perlawanan.

"Kami melihat video, menganalisis setiap permainannya bersama-sama dan mencari jalan supaya dia dapat meningkatkan persembahan. Banyak yang boleh saya katakan mengenainya, mentalitinya serta kesanggupannya untuk memperbaiki diri.


"Saya pernah berkata sebelum ini dan akan menyebutnya sekali lagi, dia adalah ikon kelab bola sepak ini dan berharap dapat membuat penampilan ke-600 pada perlawanan ini.

"Banyak lagi yang boleh dilakukannya disebabkan semangat yang dimiliki apatah lagi dia memiliki tahap mental dan fizikal terbaik," kata Rodgers.


Skuad Reds menang tujuh perlawanan terakhir menentang Newcastle di laman sendiri tapi menjaring kurang daripada tiga gol dalam dua daripada perlawanan itu.


Newcastle pula dijangka kehilangan khidmat penjaring terbanyak, Demba Ba bagi merealisasi misi memburu kemenangan pertama di Anfield dalam tempoh 18 tahun.


Pemain Senegal itu mengalami kecederaan betis yang menyebabkan dia tidak dapat meneruskan permainan sewaktu mereka mengatasi West Brom, 2-1 hujung minggu lalu yang melonjakkan kelab itu ke kelompok atasan Liga Perdana Inggeris. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Pulangan lumayan

Posted: 03 Nov 2012 03:45 PM PDT

TINDAKAN mengorbankan cuti Hari Raya Aidiladha baru-baru ini membuahkan hasil buat Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila gah mendominasi acara penutup tirai memanah di Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

UiTM unggul dengan catatan enam pingat emas, satu perak dan dua gangsa menewaskan UPM, tiga emas, tiga perak dan lima gangsa (kedua) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), satu emas, satu perak, satu gangsa, ketiga.


Kejayaan itu sekali gus menjadi motivasi buat UiTM untuk memberi tentangan sengit di Sukan Universiti Asean (AUG), Laos, bulan depan.

Pencapaian membanggakan itu berjaya dicapai hasil bimbingan bekas atlet negara yang pernah beraksi di Olimpik Athens sebelum ini, Mon Redee Sut Txi.


"Saya puas hati dengan pencapaian anak buah selepas kami mengorbankan cuti raya Aidiladha.


"Berbekal latihan intensif tiga bulan, kami berjaya atasi UPM yang dibarisi atlet berkaliber.

"Meskipun arif tahap persembahan atlet UPM, kami tidak pernah gentar dan berbekal semangat tinggi kami berjaya mengatasi cabaran lawan," katanya.


Semalam, UiTM menambah tiga pingat emas menerusi acara berpasukan (Pusingan Olimpik) compound lelaki dan wanita, dan berpasukan (Pusingan Olimpik) recurve wanita. Mengulas lanjut persediaan ke AUG, Mon Redee berkata, meskipun tidak mengendalikan skuad ke Laos tapi lima atau enam atlet UiTM hampir pasti terpilih beraksi pada temasya sukan itu.

"Berdasarkan pemantauan, skuad memanah UiTM mempamerkan prestasi paling mantap."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/04


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved