Jumaat, 21 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Potongan ala duyung curi tumpuan

Posted: 21 Jun 2013 02:56 PM PDT

Siapa yang tidak mahu kelihatan anggun dan serba berbeza pada hari bersejarah mereka.

Justeru bagi menyerlahkan keanggunan, mempelai perlu membuat pertimbangan dari pelbagai segi termasuk, rekaan, perincian juga warna busana.

Itulah jua yang diketengahkan butik pe­ngantin, Rins Suzana yang menampilkan kepelbagaian rekaan busana pengantin gaya moden dan sederhana yang anggun dan menarik dipandang.

Kombinasi bridal satin, sifon, renda berserta perincian manik dan kristal memenuhi titik tumpu pada, baju menyerlahkan lagi keindahan busana pengantin yang digayakan.

Foto

ANTARA rekaan busana menawan.


Kebiasaannya, pilihan utama tampalan perincian lebih menjurus pada bahagian bahu, dada, hujung lengan, tengah badan serta hujung kain dan layah.


Pilihan gaun labuh yang dipelbagaikan dengan motif perincian tersendiri serta tatarias kepala sedondon membolehkan ia dipakai bakal pengantin bertudung dan juga tidak bertudung.

Potongan kain ala duyung serta kembang juga menjadi pilihan bakal pengantin, namun perlu disesuaikan dengan persekitaran persandingan untuk menyerlahkan keunikannya.

Menggunakan fabrik jaring sebagai layah belakang sama ada dijahit bersama baju atau hanya dibuat tampalan, rekaan busananya kelihatan lebih eksklusif dan menawan.

Padanan warna kain dan perincian juga menimbulkan aura kreatif terutama bagi mereka yang menggemari rekaan unik pada baju. Ia mengetengahkan seri pada baju malah menjadi penyamar bentuk bagi mereka yang ingin tampil langsing.

Tidak terhad untuk bakal pengantin bersaiz kecil, mereka yang memiliki bentuk badan berisi juga boleh menggayakan busana pengantin disediakan butik ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

Bagai puteri bangsawan

Posted: 21 Jun 2013 07:18 AM PDT

Potongan baju pengantin kain leret sama ada dalam bentuk busana tradisional mahupun moden, sememangnya digemari.

Apa tidaknya, gaya berkenaan membuatkan si pengantin kelihatan bak puteri bangsawan malah tidak hairan jika tumpuan lebih terarah kepada keang­gunan gayanya.

Namun, masih ada yang menggemari gaya ringkas tanpa penggunaan kain panjang meleret kerana beranggapan kain sedemikian sekadar mengganggu pergerakan.

Bagi butik pengantin Tressour Collection dan PuncaQaseh Collection, kelebihan setiap busana pengantinnya disediakan mengikut permintaan.

Foto

KAIN ekor duyung gaun kemban disertakan baju lapisan kedua daripada kain renda.


Apa saja kehendak bakal pengantin dipenuhi sama ada gaun ekor duyung, ropol bertingkat serta tambahan renda yang diserikan bunga tampal. Perincian sulaman manik juga boleh dijadikan pilihan untuk menyerlahkan lagi busana.


Untuk gaya kebaya pendek, kebanyakan perincian digunakan di bahagian hujung lengan, dada dan hujung kain. Kebiasaannya butiran manik menggunakan warna terang dengan pilihan warna yang diseimbangkan mengikut tema busana.

Mengetengahkan gaun bercorak moden dengan gabungan renda dan manik pada baju, koleksi butik ini juga diberi suntikan unik sama ada menggunakan rekaan gaun kemban atau baju penuh dengan baju lapisan kedua daripada fabrik jaring.

Tidak dinafikan kain leret pada gaun terutama gaun kain kembang agak berat kerana gabungan beberapa lapis kain yang dicantumkan untuk membentuk ‚ekor kain', tetapi bagi penggemarnya, kepuasan memakai memang sukar dilupakan.

Terima kasih:

  • Butik Pengantin Tressour Collection (www.tressour.blogspot.com/ www.tressourcollection.com)
  • Butik Pengantin PuncaQaseh Collection (Facebook - PuncaQaseh Weds/ PuncaQaseh@yahoo.com)
  • Tatarias: Lina Tressour (012-3090541)
  • Model: Waniey dan Tasya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21
  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Duit lebur diperdaya CEO

    Posted: 20 Jun 2013 11:04 AM PDT

    Kuala Lumpur: Impian empat individu untuk memiliki sebuah kedai serbaneka 24 jam berkecai bersama wang pelaburan RM131,000 yang didakwa sudah dibayar kepada sebuah syarikat yang sepatutnya menguruskan pembukaan premis itu di Wangsa Maju, lebih setahun lalu.

    Mereka mendakwa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terbabit lesap bersama wang itu sebagai pendahuluan pelaburan perniagaan francais bernilai RM1.17 juta.


    Pegawai aplikasi teknologi maklumat Azhari Nordin, 47, berkata, dia tertarik dengan konsep perniagaan kedai serbaneka 24 jam melalui sistem francais itu selepas terbaca mengenainya di sebuah akhbar pada Disember 2011.

    "Kami turut dijanjikan mendapat barangan 1Malaysia, Koperasi 1Malaysia selain modal permulaan yang rendah mengikut pakej ditawarkan iaitu bermula dengan RM15,000, RM30,000 atau RM35,000," katanya, semalam.


    Lebih meyakinkannya apabila melihat jenama kedai itu sudah mempunyai beberapa cawangan selain didakwa mendapat kerjasama melalui skim pembiayaan francais Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta beberapa agensi lain.


    "Pada Disember 2011, saya bertemu dengan CEO syarikat terbabit yang dilantik pemilik kedai serbaneka terbabit menjadi pihak ketiga untuk menguruskan urusan pembayaran membuka kedai yang difrancaiskan itu.

    Foto

    MANGSA penipuan kedai serbaneka menunjukkan laporan yang dibuat.

    "Kemudian pada 1 Januari 2012, saya membuat bayaran deposit pertama kepadanya berjumlah RM13,000, iaitu lima peratus daripada pakej kedai RM260,000 dan tambahan lagi RM17,250 tiga minggu kemudian.


    "Setelah beberapa minggu berlalu, saya menghubunginya semula untuk bertanyakan status kedai, tetapi pelbagai alasan diberikan sehinggalah pada September tahun lalu saya minta wang deposit dikembalikan, tetapi sehingga ke hari ini, dia lesap bersama keseluruhan wang RM30,250.

    Mangsa lain, Shaiful Nizam Saad, 36, berkata, dia kerugian RM35,250 selepas menjelaskan deposit pakej membuka kedai serbaneka bernilai RM325,000 pada Disember 2012.


    "CEO lelaki berusia lingkungan 40-an itu memberitahu mendapat tawaran PNB, tetapi apabila menghubungi PNB mereka dimaklumkan tidak pernah berurusan dengan syarikat terbabit.


    "Pelbagai alasan diberikan sehingga kini saya gagal mendapatkan semula wang yang dibayar," katanya.


    Peniaga Mohamed Zuhri Sharif, 29, dan kontraktor Zulkifli Mohd Sahar, 24, yang turut menjadi mangsa masing-masing membabitkan pelaburan berjumlah RM30,250 dan RM35,250 menggesa pihak berkuasa menyiasat kewujudan syarikat terbabit.


    "Kami yakin, lelaki terbabit hanya mahu menggunakan peluang ini untuk menipu mangsa, malah semasa membuat laporan polis, kami diberitahu terdapat 35 lagi individu lain menerima nasib seperti kami yang mungkin dilakukan individu sama," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Geng sapu licin

    Posted: 20 Jun 2013 11:23 AM PDT

    Nibong Tebal: Bukan saja komputer riba dan televisyen, anak patung beruang, tilam serta kereta mainan turut 'disapu' tiga geng pecah rumah dianggotai 17 pelajar sekolah ditumpaskan polis hasil beberapa tangkapan sepanjang bulan ini.

    Tiga geng berkenaan iaitu Geng Amirul dan Geng Simpang Ampat yang setiap satu dianggotai enam ahli serta Geng Belalang yang mempunyai lima ahli disyaki terbabit dalam 13 kes pecah rumah di sekitar Seberang Prai Selatan (SPS) sejak Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafien Mamat berkata, 17 remaja terbabit berusia antara 15 dan 17 tahun dan masih bersekolah di beberapa sekolah menengah di SPS.

    Menurutnya, mereka antara 34 orang, termasuk pembeli barangan curi, yang dicekup pasukan khas polis SPS bagi membanteras jenayah pecah rumah diketuai Inspektor Mohammad Saiful Lal Mohammad.

    Foto

    SHAFIEN (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas.


    "Kumpulan remaja terbabit aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar SPS sejak Mei lalu. Hasil pasukan khas yang ditubuhkan mereka dan 17 yang lain ditahan di beberapa lokasi termasuk di rumah dan tempat melepak menerusi beberapa siri tangkapan," katanya pada sidang media, semalam.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

    491sekolah tutup

    Posted: 20 Jun 2013 11:23 AM PDT

    Johor Bahru: Keadaan jerebu yang semakin teruk di Johor menyebabkan 491 sekolah di Muar, Batu Pahat dan Pasir Gudang membabitkan 273,433 pelajar diarah bercuti mulai semalam.

    Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Nor A Ghani berkata, selepas semua sekolah rendah dan menengah di Muar diarah bercuti, sekolah di daerah Batu Pahat dan Pasir Gudang turut diarah berbuat demikian.

    "Di Batu Pahat, 175 sekolah rendah dan menengah melibatkan 80,000 pelajar serta 105 sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang melibatkan 116,493 pelajar diarahkan bercuti berikutan masalah jerebu," katanya di sini, semalam.

    Indeks pencemaran udara (IPU) di kedua-dua daerah meningkat petang semalam iaitu 333 bagi Pasir Gudang manakala bacaan bagi Batu Pahat belum diperoleh.

    Foto

    PENGAWAL keselamatan memasang notis penutupan sekolah di pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Muar selepas diarahkan Pejabat Pelajaran Daerah.


    Bagaimanapun, bacaan IPU di daerah itu, yang merangkumi kawasan Muar, pada sebelah pagi ialah 383.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Suara emas Yusni pukau penonton

    Posted: 20 Jun 2013 11:37 AM PDT

    Kalau namanya sudah penyanyi sejati, berilah beliau apa juga lagu, pastinya ia tidak akan menghampakan pendengar.

    Barangkali itu gambaran paling tepat buat penghibur handalan Datuk Yusni Hamid tatkala menilai persembahannya dalam Konsert Emas Orkestra RTM yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam Selasa lalu.

    Sesudah 45 tahun berkecimpung dalam nyanyian, pemilik nama sebenar, Aisah Mohd Shariff ini diberi penghormatan untuk menyanyi bersama 40 anggota pemuzik Orkestra RTM dan mengalunkan 20 lagu daripada yang pernah dipopularkan Allahyarham Kamariah Noor hinggalah kepada Adele dan Yuna.

    Mungkin pada sudut komersial, jenama Yusni Hamid tidak segah artis rakaman popular lain, namun kelebihan yang dimiliki bintang berusia 62 tahun ini cukup tersendiri hingga mampu menjadi penyanyi 'evergreen'.

    Foto

    Inilah gandingan bintang baru dan lama dalam Pandang-Pandang Jeling-Jeling.

    Foto

    Dendangkan Hati Ke Hati dengan Bob Yusof.

    Foto

    Menyanyikan Kau Yang Ku Nanti sambil diiringi petikan gitar Fauzi Marzuki.


    Dari segi profil latar belakang, Yusni mempunyai pengalaman luas kerana mula bertapak melalui pertandingan nyanyian di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 1968 dan kemudian menjadi penyanyi tetap di Kelab Tasik Perdana, Kuala Lumpur.


    Seterusnya dia menyanyi selama 10 tahun di lounge sebuah hotel terkemuka di ibu negara sehinggalah disunting menjadi artis rakaman dengan merakamkan lagu ciptaan S Atan dan Fauzi Marzuki.

    Disebabkan suara buluh perindu miliknya itu, Yusni selalu diundang menjayakan persembahan yang ditatap kerabat diraja serta golongan pemimpin tertinggi dari dalam dan luar negara.

    Pada malam konsert itu, Yusni jelas berjaya melontarkan sepenuh tenaganya melalui pengalaman menyanyi selama puluhan tahun. Dalam tempoh rakaman selama dua jam itu, Yusni mendendangkan lagu malar segar dengan lantunan vokal tersendiri.

    Tirai dibuka dengan medley Bintang Malam, Say A Little Prayer dan You Don't Have To Say You Love Me dan Esok Malam Kan Ku Jelang.

    Kemudian dia beralih ke segmen lagu-lagu Melayu klasik termasuk yang dipetik daripada filem lama iaitu Dayang Senandung, Cahaya, Sang Rajuna Hati, Bayanganmu dan Joget Serampang Laut.

    Kemampuan menyanyikan lagu Inggeris kemudian diserlahkan lagi dengan tiga lagu - Killing Me Softly, I Feel The Earth Move dan Rhythm's Gonna Get You.

    Beralih ke segmen seterusnya, Yusni terus menghangatkan suasana konsert dengan mengundang tiga penyanyi lelaki popular masa kini bagi mewarnai persembahannya.
    Pada segmen ini, Yusni berduet dengan Hafiz Suip, Black dan Bob Yusof menerusi tiga lagu merangkumi genre pop tradisional dan rock.

    Bersama Hafiz, Yusni berpadu suara menyampaikan lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling yang asalnya dirakamkan bersama Tan Sri SM Salim sekitar 1980-an.

    Menyusul selepas itu, Black berduet dengannya menerusi lagu Search, Fantasia Bulan Madu dalam versi keroncong sebelum Bob pula mengisi slot menerusi lagu Hati Ke Hati nyanyian asal R Ismail dan Datin Rafeah Buang.

    Ketika ditanya Bob berhubung rahsia penjagaan vokalnya selama lebih empat dekad, Yusni membalas, setiap penyanyi punya kelebihan masing-masing tetapi perkara terpenting adalah menjaga aspek pemakanan dan kesihatan.

    "Orang kata kalau hendak jaga suara tidak boleh makan pedas-pedas tapi saya kalau tidak ada pedas, tidak boleh juga. Yang penting jangan keterlaluan dan kena rehat secukupnya selain membuat latihan vokal yang berterusan. Kita juga kena fokus pada setiap kerja kita," pesannya.

    Selepas segmen terbabit, Yusni meninggalkan pentas seketika bagi memberikan laluan kepada tiga artis tadi meneruskan konsert dengan lagu solo masing-masing.
    Dalam slot ini, Bob menyampaikan lagunya, Yang Bertakhta, Black dengan lagu keramat, Sofea Jane manakala Hafiz membuai suasana dengan lagu terbaru, Bahagiamu Deritaku.

    Yusni kemudian kembali ke pentas selepas itu untuk melengkapkan segmen terakhir konsert yang dirangkumi sembilan lagu baru dan lama. Dengan iringan 40 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Jimmy Ali, Yusni mengalunkan Terukir Di Bintang (Yuna) dan Someone Like You (Adele).

    Kejituan vokal Yusni semakin memukau apabila menyampaikan lagu-lagu jazz termasuk Jelingan Manja, Juwita Malam dan Asmara. Tidak hanya itu, Yusni turut menjemput komposer muzik terkenal Fauzi Marzuki mengiringi persembahannya dalam dua lagu yang pernah dirakamkan - Ku Tak Mengerti dan Kau Yang Ku Nanti.

    Melabuhkan tirai konsert, Yusni menutup acara dengan dua lagu rancak, Sambaria dan Kopi Dangdut. Bagi peminat di luar sana, persembahan Yusni ini akan dapat ditonton pada Aidilfitri akan datang.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/20
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    'Nak derma, boleh bincang...'

    Posted: 20 Jun 2013 10:03 AM PDT

    Kuala Lumpur: "Setiap tahun (kewangan) kami diaudit dan laporan dikeluarkan setiap tahun".

    Itu reaksi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika ditanya mengenai wang tajaan Liga Malaysia (Liga M) berjumlah RM30 juta semusim yang diterima badan induk negara itu.


    Tajaan RM30 juta itu ditimbulkan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa susulan masalah kewangan yang menghimpit beberapa ahli gabungan FAM dengan beliau mempersoalkan ke mana perbelanjaan membabitkan dana berkenaan disalurkan.

    "Saya tidak terbabit dalam urusan kewangan FAM namun saya tahu terdapat penajaan yang diagihkan kepada semua seperti diputuskan. Kalau nak tanya lebih maklumat, anda perlu tanya Jawatankuasa Kewangan FAM," katanya.


    Bagaimanapun beliau mengaku jumlah RM30 juta tidak mencukupi kerana Presiden FAM Sultan Ahmad Shah turut terpaksa mengeluarkan duit sendiri.


    "Kalau ada Tan Sri atau Datuk yang mahu menderma, kita boleh bincang." Mengenai dakwaan terbaru Annuar yang mempersoal penghantaran Harimau Muda A ke Eropah sekali gus dilihat sebagai membuka peluang kepada ejen berkenaan membuat urus niaga menguntungkan selain menjadi alasan kepada pegawai dan isteri berulang-alik atas alasan pergi melihat pasukan berlatih, Tengku Abdullah berkata, beliau tidak berani membuat spekulasi.

    Foto

    TENGKU Abdullah (kanan) ketika majlis minum petang bersama skuad hoki negara, semalam.

    "Saya tidak terbabit dalam hal ini, kita hanya putuskan dasar persatuan. Ini semua pengurusan, saya tidak tahu. Saya tidak suka tuding jari dan tuduh-menuduh, bukan cara saya." Mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang hanya mahu berjumpa dengan pemimpin FAM yang boleh membuat keputusan seperti dirinya, Tengku Abdullah sedia bertemu siapa saja untuk sebarang urusan.


    "Siapalah saya, saya sedia berjumpa sesiapa sekalipun."

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21

    RSP Smart Kids B tunjuk belang

    Posted: 20 Jun 2013 09:56 AM PDT

    Kuala Lumpur: Remaja Semangat Pejuang (RSP) Smart Kids B dari Klang mempamerkan aksi bertenaga untuk muncul juara selepas membenam cabaran CT Nur Nilam A, 4-0 pada final Kejohanan Futsal B12 'U R MY BRO' 2013 di Kompleks Sukan NPNG, Damansara Damai, Petaling Jaya.

    Pada separuh akhir, CT Nur Nilam terpaksa 'bermandi peluh' sebelum menang 3-2 ke atas Premier Footbal Kids Academy B (PKFA B) dari Batu Caves selepas terikat 1-1 manakala RSP Smart Kids B tidak menghadapi masalah mengalahkan Anak Panglima Melayu Selayang Baru (APMS), 4-0.


    Program ini adalah inisiatif Kelab Sukan SportsUnite dalam usaha mempromosi perpaduan melalui sukan yang bertemakan 'U R MY BRO'. Milo, Revive, Figos, Munchy's dan McDonalds turut memberi kerjasama erat memeriahkan kejohanan.

    Sebanyak 24 pasukan mengambil bahagian dan wajib menyenaraikan sekurang-kurangnya dua pemain berlainan kaum.


    Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal berkata: "Kami hargai semua yang terbabit terutama penaja kerana tidak jemu memberi sokongan kepada program ini. Pujian juga harus diberikan kepada kanak-kanak, ibu bapa, jurulatih kerana menunjukkan semangat kesukanan tinggi."

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/21
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Dolce, Gabbana dipenjara 20 bulan

    Posted: 20 Jun 2013 08:37 AM PDT

    Milan: Pasangan pereka fesyen terkemuka dari Itali, Domenico Dolce dan Stefano Gabbana, dihukum penjara 20 bulan selepas mahkamah mendapati mereka bersalah mengelak cukai sebanyak £350 juta (RM1.7 bilion).

    Pengasas jenama Dolce & Gabbana itu didakwa gagal mengisytiharkan royalti mereka sebanyak £860 juta (hampir RM4.3 bilion).


    Berdasarkan keterangan, hakim mendapati Dolce, 55, dan Gabbana, 51, menggunakan sebuah syarikat di Luxembourg bagi mengelak pihak berkuasa Itali mengenakan cukai ke atas mereka.

    Bukti menunjukkan kedua-dua pereka fesyen itu menyembunyikan perolehan masing-masing di luar Itali selama beberapa tahun. April lalu, mereka turut didenda bersama seorang akauntan sebanyak £340 juta (RM1.7 bilion) dalam kes berkaitan.


    Menurut undang-undang Itali, seseorang yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah secara automatik diberi sekurang-kurangnya dua kali rayuan.


    Di peringkat akhir perbicaraan, pelaksanaan hukuman penjara kurang dari dua tahun atas kesalahan tidak ganas biasanya digantung.

    Foto

    DOLCE (kanan) bersama Gabbana.

    Foto

    JENAMA Dolce & Gabbana mula dipasarkan sejak 28 tahun lalu.

    Dolce & Gabbana adalah syarikat fesyen terkemuka yang diasaskan di Milan pada 1985.


    Antara selebriti yang sering mengenakan pakaian jenama itu ialah Kylie Minogue dan Kate Moss.

    Sabitan itu dibuat beberapa hari sebelum syarikat terbabit membuka kedai baru di New Bond Street di London. Kes itu disiasat sejak 2008 sebagai sebahagian daripada usaha pihak berkuasa Eropah mengesan individu yang culas membayar cukai.


    Pada 2011, Dolce dan Gabbana didapati tidak bersalah atas tuduhan pemalsuan cukai apabila seorang hakim lain mendapati bukti dikemukakan pihak pendakwa tidak mencukupi. Selepas keputusan itu dirayu ke mahkamah tertinggi Itali, pendakwa berjaya membuka semula kes berkenaan dengan menggugurkan dakwaan pemalsuan, sebaliknya mengemukakan tuduhan mengelak cukai. - Daily Mail

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/20

    Wanita berang campak perempuan simpanan suami ke dalam gaung

    Posted: 20 Jun 2013 08:24 AM PDT

    Lima: Gara-gara berang tertipu dengan hubungan sulit, seorang wanita mencampakkan perempuan simpanan suaminya ke dalam gaung sejurus selepas kecurangan itu terbongkar.

    Ibu kepada empat anak, Lissette Lupo Mamani dilaporkan mengintip jejak suaminya yang menjalin hubungan terlarang dengan Sandra Bruna Morales, 25.


    Rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian menunjukkan bagaimana suami Lissette, Renzo Zanabria Huanca lari lintang-pukang sebaik saja isterinya menyergah mereka di Arequipa, Peru, semalam.

    Lissette pula terus membelasah Sandra sebelum mengheret rambut wanita terbabit ke gaung berhampiran. Lissette kemudian menolak Sandra ke situ.


    Bagaimanapun Sandra bernasib baik kerana terjatuh hanya setinggi enam meter dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sandra kemudian dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan ringan.


    Tidak dapat dipastikan sama ada Lissette akan didakwa atas tindakannya itu. Sementara itu ketika ditemui media, Lissette berkata, dia tidak ingat insiden berkenaan kecuali ketika dia menarik rambut kekasih suaminya. Huanca pula mendakwa, dia bertemu Sandra untuk menamatkan hubungan sulit mereka dan mahu kembali kepada Lissette. - AFP

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/20
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved