Selasa, 23 Julai 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Dengan budak bolehlah kau...

Posted: 22 Jul 2013 10:24 AM PDT

Kuala Lumpur: Gara-gara didakwa terlanggar motosikal diparkir hingga tumbang, seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) bisu, bermasalah pendengaran dan jantung berlubang berumur lapan tahun dipukul pemilik motosikal berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun dalam kejadian di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Azmeen Mustama ditemui ibunya, Rosmiha Karim, 45, dalam keadaan ketakutan dan menangis di koridor flat itu jam 5.20 petang.


Rosmiha yang ditemui di Klinik Otorinolaringologi (ORL) Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika membawa mangsa mendapatkan rawatan pakar berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi kekecohan di pekarangan bawah flat dan disangkakan orang bergaduh.

"Ketika itu saya, suami dan anak sulung berehat di ruang tamu rumah kami di tingkat satu. Walaupun menyangka bunyi kecoh itu bunyi orang bergaduh, tetapi saya rasa tak sedap hati sebab anak bongsu saya tiada di rumah.


"Saya menjenguk dari atas dan terdengar suara lelaki memarahi seseorang yang lain, namun tak jelas siapa. Kemudian saya turun dan alangkah sedih melihat anak istimewa saya menyorok di koridor dalam keadaan takut dan menangis teresak-esak.


"Dengan menggunakan bahasa isyarat, anak saya memberitahu dipukul di kepala serta telinga kiri dan terdapat bekas kemerahan di bahagian itu," katanya.

Foto

ROSMIHA bersama anaknya, Muhammad Azmeen.

Katanya, seorang jiran wanita kemudian datang kepadanya menyatakan dia melihat kejadian itu, tetapi tidak berani membantu kerana lelaki yang memukul kanak-kanak itu bengis.


Rosmiha berkata, dia bimbang kejadian itu boleh menyebabkan kecederaan serius kepada anaknya kerana tempat dipukul pernah dibedah dua kali akibat masalah pendengaran.

Menurutnya, Muhammad Azmeen juga penghidap jantung berlubang dan dibedah di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2006 untuk dipasang alat khas menutup lubang di jantungnya.


Sehubungan itu, Rosmiha dan suaminya, Mustama Chanan Din, 62, membuat laporan di Balai Polis Jinjang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan masih menunggu laporan penuh daripada hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Kate hanya menanti masa

Posted: 22 Jul 2013 02:57 PM PDT

London: Duchess of Cambridge, Kate Middleton dilaporkan sudah mengalami kesakitan untuk bersalin dan dimasukkan ke hospital kira-kira jam 5.30 pagi semalam (1.30 tengah hari waktu Malaysia) untuk melahirkan bakal raja atau ratu Britain.

Putera William turut menemani isterinya ke Lindo Wing, Hospital St Mary di Paddington, barat London, tempat yang sama beliau dilahirkan pada 1982.


Sementara itu, di luar wad dan pagar Istana Buckingham, tempat kelahiran itu bakal diumumkan secara rasmi, orang ramai yang teruja berhimpun pada hari yang dianggap sebagai paling sensasi tahun ini.

"Duchess of Cambridge sudah dimasukkan ke hospital pagi ini di Hospital St Mary, Paddington, London pada peringkat awal proses bersalin," kata jurucakap diraja.


"Duchess menaiki kereta dari Istana Kesington ke Lindo Wing bersama Duke Of Cambridge." Kate dan William yang menghabiskan hujung minggu di Istana Kensington menuju ke hospital tanpa diiringi polis dan memasuki hospital melalui pintu belakang. Sumber memberitahu media bahawa Kate mahu bersalin secara semula jadi dan tidak mahu disuntik bius sambil menambah bakal ibu itu dalam keadaan baik.


Sementara itu, Ratu Elizabeth di Istana Windsor sudah dimaklumkan mengenai keadaan Kate. Beliau dijangka pulang ke istana Buckingham dan pancaragam Pertukaran Pengawal di istana itu memainkan "Walking on Sunshine" untuk menghiburkan orang ramai yang berhimpun di luar istana.

Foto

KATE, kali terakhir dilihat di tempat awam Jun lalu.

Foto

MEDIA dari seluruh dunia berkumpul di luar hospital, menanti kelahiran bayi diraja.

Bapa William, Putera Charles yang dalam lawatan dua hari ke Yorkshire memberitahu orang ramai pagi ini bahawa belum ada berita lagi dari Hospital St Mary.


Perdana Menteri David Cameron berkata, semalam adalah hari yang sangat menarik dan seluruh negara mengharapkan yang terbaik. Archbishop of Canterbury, Rev Justin Welby menulis di Twitter: "Ingatan dan doa saya bersama Kate dan seluruh keluarga diraja pada hari yang amat istimewa ini".

Terdapat sebilangan besar anggota polis di sekitar kawasan hospital dan dua pegawai polis turut mengawal pintu masuk ke Lindo Wing. Pakar percaya Kate akan mengambil masa setengah hari sebelum bersalin.


Pakar sakit puan, Patrick O'Brien berkata, tempoh purata sakit bersalin untuk bakal ibu yang melahirkan anak kali pertama ialah 12 jam.


Ini memungkinkan bayi diraja itu dilahirkan lewat petang atau awal malam (waktu London). Anak pasangan itu bakalmenjadi pewaris ketiga, mengambil tempat Putera Harry yang bakal menjadi pewaris keempat dan Duke of York sebagai pewaris kelima.


Berikutan perubahan dalam undang-undang baru-baru ini, bayi itu juga akan membawa gelaran HRH (Yang Teramat Mulia) dan diberikan gelaran Prince atau Princess of Cambridge. Jika perempuan, suatu hari kelak dia akan menjadi ratu dan jika lelaki dia ialah bakal raja. Dia juga akan menjadi ketua angkatan tentera, gabenor tertinggi Gereja England dan ketua Commonwealth, yang terdiri daripada 54 negara di seluruh dunia, selain turut menjadi ketua kepada 16 negara.


Anggota polis yang melindungi pasangan diraja itu yang dilihat mengiringi mereka masuk ke hospital dengan selamat juga bakal menjadi antara orang pertama mengetahui jantina bayi diraja pasangan berkenaan.


Sementara itu, pihak hospital menyediakan bantuan, nasihat dan sokongan logistik, selain daripada pembantu setia pasangan diraja itu - Miguel Head, setiausaha peribadi William dan temannya Rebecca Deacon yang bertugas sebagai setiausaha peribadi kepada Kate.


Kedua-duanya sangat rapat dengan pasangan itu bagaikan anggota keluarga diraja.


Dua daripada pasukan kecil media pasangan itu Setiausaha Akhbar Ed Perkins dan pembantunya, Nick Loughran juga sudah berada di hospital, berulang-alik antara Lindo Wing di hospital itu dengan tempat beratus-ratus jurugambar, wartawan dan kru kamera berkumpul di luar.


Pengawal peribadi pasangan itu dari Scotland Yard juga tidak ketinggalan. Malah, anggota polis yang melindungi pasangan diraja itu yang dilihat mengiringi mereka masuk ke hospital dengan selamat juga bakal menjadi antara orang pertama mengetahui jantina bayi diraja pasangan itu.


Pegawai istana memilih untuk membuat pengumuman bahawa Kate mengalami sakit bersalin kepada khalayak ramai dalam usaha untuk mengimbangi 'maruahnya' berikutan sukar untuk merahsiakan ketibaan bayi itu daripada media sosial. Bayi William dan Kate akan menjadi cicit ketiga Ratu Elizabeth. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

75 korban gempa di China

Posted: 22 Jul 2013 02:48 PM PDT

Beijing: Sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh apabila gempa bumi yang kuat melanda kawasan pertanian berbukit dan kering di barat China, semalam.

Pihak berkuasa tempatan berkata, lebih 400 cedera dalam bencana itu yang turut memusnahkan beribu-ribu rumah di bandar raya Dingxi, wilayah Gansu.


Gegaran dapat dirasakan di ibu negeri wilayah itu, Lanzhuo, kira-kira 177 kilometer ke utara dan hingga sejauh Xi'an, 400 kilometer ke timur.

"Anda boleh lihat lampu berhayun dan tingkap bergegar, tetapi tiada rekahan di dinding. "Pembantu kedai semua bertempiaran keluar ke jalan raya apabila gegaran berlaku," kata kerani di Hotel Wuyang di daerah Zhang, kira-kira 40 kilometer dari pusat gempa.


Pusat pemantauan gempa kerajaan berkata, gempa awal berlaku pada 7.45 pagi (waktu tempatan), berukuran 6.6 magnitud dan beberapa gempa susulan termasuk yang berukuran 5.6 magnitud.


Badan Kajiselidik Geologi Amerika Syarikat menyatakan gempa itu berukuran 5.9 magnitud dengan kedalaman 10 kilometer. Kematian dan kecederaan berlaku di daerah Min dan kawasan luar bandar di selatan, kata Datuk Bandar Dingxi, Tang Xiaoming kepada stesen penyiaran CCTV. Menurutnya, kerosakan teruk dikesan di Zhang dan Min, di mana kediaman rosak dan bekalan elektrik serta khidmat telefon terputus. Ketua pasukan penyelamat Su Wei berkata, usaha menyelamat sukar dijalankan kerana lumpur dan bongkah batu menghalang jalan raya.

Persatuan Palang Merah China berkata, pihaknya menghantar 200 khemah, 1,000 peralatan rumah dan 2,000 jaket ke kawasan terjejas, selain menghantar petugas dari Lanzhuo dan Beijing bagi membantu kerja menyelamat. Hujan lebat dijangka melanda kawasan itu minggu ini, meningkatkan keperluan perlindungan dan ancaman tanah runtuh.


Lebih 1,200 kediaman musnah akibat gempa dan 21,000 lagi rosak teruk, kata jurucakap kerajaan Chang Zhengguo kepada agensi berita rasmi Xinhua. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Hanya latihan pramusim!

Posted: 22 Jul 2013 08:47 AM PDT

Shah Alam: Sebahagian proses latihan!

Itu adalah hakikat dan pandangan pengendali Chelsea, Jose Mourinho mengenai aksi persahabatan Blues menentang skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam, malam kelmarin yang menyaksikan anak buahnya mudah menang 4-1 di hadapan 40,000 penonton.


Selepas sekadar menewaskan Singha All Stars, 1-0, Chelsea bangkit menerusi tiga jaringan pemain muda pada babak pertama untuk menggambarkan kehebatan gergasi EPL itu disusuli gol Victor Moses di penghujung perlawanan menewaskan Mohd Farizal Marlias sebelum Mohd Fadhli Shas menyumbat gol sagu hati tuan rumah.

"Saya gembira kerana ia sebahagian proses latihan kami. Kami menjalani latihan menentang Thailand (Singha All Stars) dan Malaysia. Ia sesi latihan apabila kami mempraktikkan apa yang kami berlatih setiap hari.


"Oleh kerana sesi latihan tertutup, anda tidak boleh merasai apa yang kami terjemahkan dalam padang namun sebaliknya bagi saya. Saya melihat menerusi aspek pertahanan dan menyerang. Kaedah itu penting bagi saya dan pemain," kata Mourinho yang gembira dengan perkembangan dipamer skuad kendaliannya itu.


Beliau yang kembali membimbing Chelsea musim ini menambah, keputusan perlawanan tidak penting kerana ia sebahagian daripada proses membentuk karektor pasukan.

Foto

NORSHAHRUL (kiri) diasak pemain Chelsea, Michael Essien di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Hingga kini beliau gembira dengan perkembangan pemain dalam aspek identiti, personaliti dan mentaliti untuk menang yang membolehkan Chelsea bermain menurut cara digemarinya.


Tanpa berselindung pengendali dari Portugal itu memuji skuad kebangsaan apabila mempamerkan tentangan terutamanya pada babak pertama permainan.

"Separuh masa pertama kami bermain dengan baik menentang lawan yang bagus, meletakkan tekanan kepada kami di bahagian belakang selain serangan balas pantas dan kreatif.


"Namun babak kedua berbeza kerana Malaysia melakukan terlalu banyak pertukaran dan 20 kali perlawanan terhenti menyebabkan kehilangan rentak.


"Perlawanan ini menghiburkan buat penonton. Kami mempamerkan corak permainan diingini." Skuad negara menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Amri Yahyah untuk menerajui jentera serangan pada babak pertama namun peluang paling hampir untuk meledak jaringan menerusi rembatan K Gurusamy m-22 disusuli percubaan kencang kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak m-39 yang dinafikan penjaga gol Mark Schwarzer.


Gol-gol Chelsea dijaringkan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Victor Moses.


Chelsea akan meneruskan Jelajah Asia dengan bertandang ke Indonesia menentang skuad republik itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Bayern garang

Posted: 22 Jul 2013 08:35 AM PDT

Berlin: Bayern Munich meraih satu lagi kejuaraan selepas menewaskan tuan rumah Borussia Moenchengladbach 5-1 pada final Piala Telekom kelmarin ketika pemain baru Thiago Alcantara menjaringkan gol sulungnya.

Selepas membenam Hamburg 4-0 pada separuh akhir Sabtu lalu, juara Eropah itu memastikan satu lagi kemenangan dengan pemain baru Alcantara menyumbat gol pada babak pertama untuk meraih gol pertamanya buat kelab Bavaria itu.


Bayern muncul kelab pertama Jerman meraih tiga kejuaraan Eropah, liga dan piala musim lalu dan mereka menokok satu lagi trofi dalam koleksi mereka.

"Kami gembira, memang bagus memenangi satu pertandingan pramusim," kata jurulatih Pep Guardiola yang mengubah formasi Bayern kepada 4-1-4-1 daripada formasi sebelum ini 4-2-3-1.


"Kami masih perlu memperbaiki beberapa aspek, kami belum cukup banyak melakukan gerakan tapi ia masih awal musim dan ada masa yang lama." Alcantara melakukan penampilan sulung bersama Bayern Sabtu lalu menentang Hamburg di Borussia Park, gelanggang Moenchengladbach, kemudian pemain berusia 22 tahun itu meledak gol pertamanya buat juara Eropah itu kelmarin.


Kapten skuad B-21 Sepanyol itu diikat dari Barcelona minggu lalu dengan perjanjian empat tahun dan bayaran permulaan 20 juta euro (RM83.8 juta), selain tambahan 5 juta euro (RM20.9 juta) daripada kutipan perlawanan persahabatan antara Bayern dan Barcelona tidak lama lagi.

Selepas memenangi semua enam perlawanan persahabatan pramusim menentang kelab kerdil sebelum ini, pasukan kendalian Guardiola melepasi ujian pertama menentang kelab Bundesliga dengan penuh bergaya.


Pada final yang dimainkan 30 minit setiap babak, Franck Ribery membuka jaringan pada minit ke-17 manakala gol lain dijaringkan kapten Philipp Lahm (m-23), Alcantara (m-26), Arjen Robben (m-41) dan Thomas Mueller (m-89).

Moenchengladbach membalas satu gol menerusi penyerang Belanda, Luke de Jong yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Isteri songsang suami bakar diri

Posted: 22 Jul 2013 01:47 PM PDT

Ampang: Kecewa apabila isteri yang dikahwini 18 tahun menjalinkan hubungan cinta sejenis, seorang lelaki nekad cuba membunuh diri dengan mencurah petrol ke badannya sebelum membakar diri di rumah mereka di Pandan Height, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa, Lim Vit, 58, melecur hampir 100 peratus pada badan dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal di Hospital Ampang.

Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum itu adiknya bertengkar dengan isterinya berusia 45 tahun apabila mendapat tahu wanita itu berlaku curang menjalinkan hubungan sejenis dengan majikan berusia 40-an di tempat kerjanya.

Menurutnya, pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga sejak 18 tahun dan dikurniakan tiga anak lelaki berusia lapan hingga 18 tahun.

Foto

KESAN terbakar di pintu rumah mangsa.


"Hanya dua bulan adik saya (mangsa) mendapat tahu isterinya yang bekerja di sebuah hotel menjalinkan hubungan sejenis dengan majikannya sejak itu sering bertengkar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Tunang orang patah paha

Posted: 22 Jul 2013 01:47 PM PDT

Kuantan: "Saya melihat motosikal yang ditunggang dengan laju itu cuba mengelak lembu yang tiba-tiba melintas. Ia menyebabkan motosikal itu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta Perodua Viva di belakang saya selepas bergesel dengan motosikal yang saya naiki bersama tunang.

"Ia menyebabkan saya gagal mengawal motosikal dan terbabas di tepi jalan sehingga mengakibatkan kami nyaris melanggar pokok," kata Shahrul Izwandy Redzuan, 23, yang cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 15, Jalan Kuantan-Cherok Paloh dekat Pantai Sepat, di sini, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku jam 8 malam itu menyebabkan seorang pemuda Orang Asli, Yus Kamarul a/l Kadir, 20, maut manakala rakannya, Amrie a/l Manan, 16, serta tunang Shahrul, Mazura Azina Ahmad, 22, cedera parah.

Shahrul berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke rumah tunangnya di Cherok Paloh.

Foto

REMAJA Orang Asli memangku mayat Yus Kamarul di Pantai Sepat, semalam.


Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, dia melihat sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang Yus Kamarul bersama Amrie sedang berlumba dengan sebuah lagi motosikal dinaiki dua lelaki dari arah Cherok Paloh menghala ke Kuantan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Artis meriahkan majlis iftar

Posted: 22 Jul 2013 06:39 AM PDT

Kehadiran deretan selebriti tanah air terkenal memeriahkan majlis berbuka puasa AirAisa dan AirAsia X bersama anak-anak yatim di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apa yang pasti, kehadiran selebriti seperti Amy Search, Tomok, Kamal Adli, Elfira Loy, Farish Aziz, Sari Yanti, Nadia Nisaa, Intan Ladyana, Azharina, Linda Hashim, Beego dan Hazami sedikit sebanyak turut menceriakan anak-anak yatim dari Asrama Anak-Anak Yatim Sabak Bernam, Persatuan Kebajikan Ti-Ratana dan Rumah Tara Bhavan.

Dalam majlis itu, Tomok, Azharina dan Hazami turut memeriahkan suasana dengan mendendangkan lagu-lagu Raya serta single masing-masing.

Hadir sama pada malam itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Pengerusi AirAsia, Datuk Aziz Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar; Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz; dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani.

Foto

TOMOK menyuntik 'mood' raya apabila menyampaikan lagu Balik Kampung.

Foto

MAJLIS Iftar AirAsia & AirAsia X berlangsung cukup meriah.

Foto

AZIZ (lima dari kanan) bersama Kamarudin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Foto

ANTARA kakitangan Air Asia yang hadir.


Walaupun umum mengenali AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah, tetapi AirAsia sebenarnya cukup dekat dengan industri hiburan tempatan khususnya bidang muzik berikutan individu penting konglomerat terkenal itu berpengalaman luas dalam bidang muzik sebelum ini.


Contoh paling dekat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang satu ketika dulu pernah menjawat jawatan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia manakala Aziz Bakar pula pernah mengetuai syarikat rakaman BMG Malaysia selain menguruskan kumpulan Search.

Dalam pada itu, Aireen menerusi ucapannya menyatakan rasa terharu apabila majlis seperti itu sekali lagi dapat dilaksanakan.

"Saya berasa syukur dan gembira di atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT kerana AirAsia dan AirAsia X sekali lagi dapat menganjurkan majlis berbuka puasa sempena Ramadan yang mulia ini.

"Tambah bermakna apabila tahun ini kami dapat meraikan bersama anak-anak dari Asrama Anak-Anak Yatim Sabak Bernam, Persatuan Kebajikan Ti-Ratana dan Rumah Tara Bhavan. Kami berasa bertuah kerana AirAsia terus diberkati dan diberikan rezeki untuk membolehkan kami untuk terus memenuhi tanggungjawab sosial dengan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

"Segala kecemerlangan serta kejayaan yang kami kecapi sehingga hari ini tentulah sukar dicapai tanpa sokongan semua pihak yang sentiasa menyokong perjuangan kami," katanya.

Aireen berkata, selepas 11 tahun, AirAsia berjaya membuktikan di mata dunia sebagai satu syarikat penerbangan yang mampu berdaya saing dan baru-baru ini, mereka sekali lagi dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia 2013 oleh Skytrax, iaitu pakar perundingan industri penerbangan yang tersohor di London.

"Ia adalah pengiktirafan kali kelima berturut turut kami memenangi anugerah berkenaan, berkat sokongan orang ramai yang mempunyai kepercayaan teguh terhadap kualiti perkhidmatan dan produk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22

Sarah mahu bawa ibu bercuti

Posted: 22 Jul 2013 06:39 AM PDT

Impian juara Gadis M2, Sarah Hildebrand untuk menjejak kaki ke bumi Paris, Perancis tercapai akhirnya apabila dia memenangi tiket penerbangan tajaan Air France-KLM, baru-baru ini.

Ujar gadis berusia 23 tahun itu, hadiah kemenangan atas kejayaannya dalam pertandingan pencarian bakat itu bagai bulan jatuh ke riba, yang sudah lama dinanti-nantikan.

"Sebenarnya saya sudah lama pendam hasrat untuk bercuti ke negara itu cuma belum ada peluang selama ini.

"Kemenangan tiket penerbangan ini peluang pertama untuk saya ke sana," katanya ketika hadir pada majlis penyampaian tiket Ekonomi Premium Air France ke Paris, baru-baru ini.


Bercerita lanjut, gadis kacukan Jerman, Amerika Syarikat dan Melayu ini berkata, dia turut merancang untuk membawa ibunya, Che Arbi Hashim, 60, bersama pada percutian itu kelak.


"Saya sudah tidak sabar hendak ke sana (Perancis). Maklumlah, ia bakal jadi pengalaman pertama saya jadi sudah tentu rasa teruja.

"Berkemungkinan saya dan ibu akan terbang ke sana dua minggu selepas Hari Raya. Kami hendak bercuti di sekitar Paris selama seminggu," katanya.

Selaku juara Gadis M2, Sarah turut membawa pulang kontrak pengurusan bernilai RM100,000, barangan Rafflesia bernilai RM30,000 dan tajaan pembiayaan bernilai RM20,000 daripada Snips Art Academy serta menghiasi enam muka surat majalah InTrend.

Pada majlis penyampaian tiket penerbangan itu, Air France-KLM turut melancarkan kelas Ekonomi Premium bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Paris.

Termasuk Kuala Lumpur, Air France kini menawarkan perkhidmatan ke 15 destinasi di lapan negara Asia iaitu India, China, Jepun, Thailand, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/22
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved