Ahad, 9 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pelajar kita dikelar

Posted: 08 Oct 2011 08:11 AM PDT

IPOH: Seorang mahasiswa perempuan warga Malaysia dikelar dengan pisau selepas bergelut dengan seorang perompak yang menceroboh masuk asrama pelajar berkenaan di Kaherah, Mesir.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin (2.15 pagi waktu Malaysia), pelajar Universiti Al-Azhar itu diserang penjenayah warga Arab yang menceroboh bangunan asrama lima tingkat didiami ratusan pelajar Malaysia.


Lebih malang, kejadian berlaku ketika mangsa mengaji al-Quran sebelum mendengar bunyi mencurigakan di dalam asrama berpunca daripada tindakan suspek mengheret 'harta rompakan'.

Sumber Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berkata, mangsa yang cuba memeriksa bagaimanapun diserang dan ditumbuk penjenayah bertopeng yang cuba melarikan melalui tingkap asrama.


Difahamkan, penjenayah bersedia menurunkan plastik berisi barang rompakan milik penghuni asrama melalui bilik di tingkat tiga pangsapuri yang terletak di kawasan Rab'Ah Adawiyah.


Suspek yang dipercayai memanjat bangunan asrama itu mensasarkan komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektronik berharga milik pelajar Malaysia.

Mangsa yang bergelut dengan penjenayah turut ditumbuk di muka berulang kali sebelum penjenayah melarikan diri selepas mencederakan mangsa dengan pisau.


Tindakan berani suspek bagaimanapun berjaya menyelamatkan pelbagai barangan berharga milik pelajar asrama itu daripada dilarikan penjenayah.

Ketika kejadian, rata-rata penuntut tidak ada di asrama berikutan mengikuti kuliah agama di Masjid Azhar.


Pihak pengurusan asrama yang membuat pemeriksaan kemudian menemui pisau digunakan penjenayah untuk menyerang mangsa dibuang di belakang pangsapuri.


Kejadian terbaru itu antara siri jenayah rompakan dan samun membabitkan penuntut warga Malaysia di negara Mesir selepas kejatuhan Presiden Mesir, Hosni Mubarak, Februari lalu.


Difahamkan, lebih 20 kes rompakan dicatatkan berlaku membabitkan penuntut warga Malaysia yang kembali meneruskan pengajian selepas krisis politik di negara itu berakhir.


Situasi tidak menentu selain peningkatan jenayah menyebabkan 11,319 pelajar Malaysia yang mengambil jurusan pengajian Islam dan bidang perubatan kini dalam kebimbangan dan lebih berhati-hati.


Sebelum ini, seorang pelajar lelaki Malaysia menjadi mangsa rompakan apabila diserang seorang lelaki Arab yang menggigit dan cuba menikam mangsa berseorangan di dalam bilik di asrama pelajar Malaysia, Jun lalu.


Kejadian dikatakan berlaku jam 6 pagi apabila mangsa dikenali sebagai Asada, 20-an, selesai sembahyang subuh dan kembali berehat di dalam biliknya sebelum seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk menggunakan kunci pendua.


Sementara itu, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya menghubungi wakil kerajaan negeri di Mesir bagi memantau perkembangan terkini itu yang dilihat membimbangkan.


"Lebih 800 anak Perak antara pelajar Malaysia di Mesir dan saya menghubungi wakil kerajaan negeri di Mesir untuk mendapatkan maklumat mengenai rompakan ini.


"Saya bersyukur selepas dimaklumkan mahasiswa berkenaan bukan anak Perak. Namun sebagai rakyat Malaysia, saya turut bersimpati dan berharap sesuatu dapat dilakukan bagi menjamin keselamatan pelajar kita di Mesir," katanya kepada Metro Ahad, semalam.


Mohammad Zahir berkata, ibu bapa kepada pelajar dari Perak yang menuntut di Mesir tidak perlu risau mengenai keselamatan anak mereka kerana kerajaan negeri menyediakan dua asrama khas untuk mereka.

Lagi restoran dirompak

Posted: 08 Oct 2011 08:07 AM PDT

PETALING JAYA: Seorang pelanggan warga emas di sebuah restoran mamak terpaksa mendiamkan diri manakala sembilan yang lain lari lintang-pukang sebaik premis berkenaan dimasuki dua perompak bersenjatakan parang panjang, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 50-an itu yang diarah keluar dari tempat terbabit oleh perompak dikatakan mengalami masalah sakit lutut dan perlu memakai tongkat untuk bergerak.


Difahamkan, dalam kejadian jam 5,30 pagi, suspek yang memakai topi keledar mengarahkan semua pelanggan keluar sebelum meminta pekerja restoran menurut arahan mereka.

Pekerja A Nagappan, 40 berkata seorang suspek mengacukan parang ke arahnya yang menjaga kaunter bayaran sebelum memintanya menyerahkan wang tunai dan rokok.


Katanya, ketika kejadian, 10 pelanggan menjamu selera manakala keadaan sekeliling sunyi memandangkan cuti hari minggu.


"Saya tidak pasti suspek datang dari arah mana dan menggunakan kenderaan jenis apa kerana tidak melihat sebarang kereta atau motosikal mencurigakan berhenti di depan restoran.

"Kejadian berlaku dengan pantas iaitu kurang lima minit sebelum kedua-dua suspek melarikan diri ke arah belakang kedai yang gelap," katanya yang mengalami trauma.


Nagappan yang lima tahun bekerja di situ berkata, dia hanya dapat merayu supaya mereka tidak mencederakannya dengan akur segala arahan tanpa banyak soal.

Setakat ini, pemilik restoran belum dapat memastikan nilai kerugian dan berharap kejadian itu tidak menjejaskan perniagaan mereka yang beroperasi 24 jam sehari.


Difahamkan, kejadian itu gagal dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) restoran kerana ia rosak.


Sebelum ini, kejadian rompak restoran mamak pernah mendapat perhatian selepas rakaman kejadian di Seksyen 15, Shah Alam tersebar dalam banyak laman web dengan entri bertajuk 'Shah Alam Bukan Lagi Tempat Selamat'.


Dalam kejadian yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan selama empat minit dan 11 saat pada jam 4 pagi, 28 Ogos lalu, lima lelaki lengkap bertopi keledar serta memegang pisau dan parang meluru ke arah pelanggan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Penyanyi tidak bernafas

Posted: 08 Oct 2011 07:21 AM PDT

LOS ANGELES: Doktor peribadi Michael Jackson memberitahu polis, dia meninggalkan penyanyi 'Thriller' kira-kira dua minit selepas memberinya anestetik propofol untuk tidur dan apabila kembali, dia dapati penyanyi itu sudah tidak bernafas.

Dalam satu kenyataan yang dirakam pihak polis, dua hari selepas kematian Michael pada 25 Jun 2009, Dr Conrad Murray dengan tenang menceritakan bagaimana bintang pop itu meminta khidmatnya untuk membantu dia tidur dengan ubat propofol secara tetap dan berkata, Michael memanggil anestetik itu sebagai "milk".

Rakaman selama dua jam itu diperdengarkan kepada awam tanpa dipotong buat pertama kali ketika sesi perbicaraan Murray atas tuduhan membunuh di Los Angeles, semalam.

Kenyataan Murray itu bercanggah dengan bukti yang diberi oleh pihak pendakwaraya dalam perbicaraan yang telah berjalan selama dua minggu.


Michael mati kerana mengambil propofol secara berlebihan bercampur dengan ubat sedatif.


Murray berkata dia memberi propofal kepada Jackson pada 10.50 pagi 25 Jun selepas penyanyi itu gagal tidur walaupun mengambil ubat sedatif. Michael telah meminta diberikan ubat itu.

"Tolong, tolong beri saya 'milk' supaya saya boleh tidur," kata Murray memetik kata-kata Michael.

"Agak lama saya perhatikan dia sehingga saya rasa yakin. Kemudian saya ke bilik air.

"Apabila saya kembali ke katilnya, saya terperanjat kerana saya rasa dia sudah tidak bernafas lagi," katanya Murray kepada detektif.

Pihak pendakwaraya memberi bukti rekod panggilan telefon yang menunjukkan beberapa panggilan dibuat antara jam 11.07 pagi dan sebelum tengahari, di mana waktu Murray mungkin tengokkan Michael sudah tidak bernafas.

Murray yang diupah untuk menjaga Michael ketika penyanyi itu berlatih untuk konsert kembali semula, memberitahu polis Michael meminta dia memberikan propofol untuk membantunya tidur. - Reuters.

Macca, Nancy kahwin hari ini

Posted: 08 Oct 2011 07:18 AM PDT

LONDON: Bekas anggota kumpulan Beatle, Paul McCartney berkahwin buat kali ketiga, hari ini.

Penyanyi itu dan Nancy Shevell akan berkahwin dalam satu upacara sivil di London.

Akhbar The Dailly Mirror dan The Sun semalam melaporkan pasangan itu akan berkahwin di Pejabat Pendaftar Marylebone London dengan disaksikan oleh 30 tetamu.

Ia merupakan tempat di mana McCartney mengahwini isteri pertamanya Linda pada tahun 1969 ketika Beatles di puncak populariti. Linda meninggal dunia akibat kanser buah dada pada 1998.


Menurut Daily Mirror, "Mereka mendapat keizinan khas daripada majlis untuk berkahwin pada hari Ahad (hari ini) dan berkebetulan ia jatuh pada tarikh hari jadi ke 71 bekas anggota kumpulan itu John Lennon."


Kerjasama antara McCartney dan Lennon dalam The Beatles pada tahun 1960-an telah menghasilkan beberapa lagu yang terkenal dan malar segar sehingga sekarang.

Sumber yang rapat dengan McCartney memberitahu, "Acara perkahwinan mereka tidak keterlaluan dan harmoni." - Reuters

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tawar pakej urut berahi

Posted: 08 Oct 2011 09:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: Taktik mereka licik. Dengan memaparkan gambar seksi dan menawan dalam laman sosial, dua beradik ini berusaha menjerat lelaki, lebih-lebih lagi yang bergelar suami atau golongan berada untuk menampung kehidupan mereka.

Mereka menjaja kisah hidup sedih semata-mata untuk memerangkap mangsa, dengan seorang mendakwa ditinggalkan suami manakala seorang lagi melahirkan anak luar nikah selepas kekasih enggan bertanggungjawab dan melarikan diri.

Lelaki yang terperangkap akan ditawarkan pakej urut berahi dengan bayaran tertentu. Jika tidak mahu menerimanya, urut biasa disediakan asalkan berbayar.

Perbuatan tidak bermoral dua beradik itu didedahkan kepada Metro Ahad oleh Azli, 36, yang berstatus suami dan nyaris menjadi mangsa selepas berkenalan dengan mereka menerusi laman sosial.


"Saya cuma mahu berkawan, tapi lama-lama mereka mula tunjukkan taring dan belang mereka," kata Azli.


Menurut Azli, dua beradik itu yang memperkenalkan diri mereka sebagai Liza, 27, dan Anis, 25, memang bijak meraih simpati daripada mangsa, terutama golongan suami, dengan mendakwa terpaksa melakukan kerja urut itu untuk menanggung anak serta bayi masing-masing selepas ditinggalkan pasangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kempunan gaji pertama

Posted: 08 Oct 2011 09:02 AM PDT

ULU TIRAM: Tiga sahabat yang baru sehari memulakan kerja baru di sebuah kilang tidak sempat merasa gaji pertama apabila meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Batu 16 1/2, Sungai Tiram, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi, pemandu Proton Wira, Mohamad Faiz Ahmad Tahir, 18, bersama rakan Mohd Khairuddin Karimi, 21, Mohamad Nazri Zulkifly, 20, disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.


Abang saudara Nazri, Muhzir Abu Bakar, 28, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran.

"Saya ada di rumah yang terletak 100 meter dari lokasi kemalangan dan sepanjang perjalanan, saya hanya mampu berdoa supaya semuanya selamat.


"Bagaimanapun, selepas melihat kereta Wira itu remuk, saya nampak Nazri dalam keadaan tidak sedarkan terbaring di kerusi belakang manakala dua lagi rakannya tersepit," katanya, semalam.


Menurut Muhzir, kali terakhir dia berjumpa Nazri pada Aidilfitri lalu. Seperti biasa Nazri tidak banyak bercakap kerana sikapnya yang pendiam dan mereka hanya berbual biasa.

Muhzir juga terkilan kerana hasratnya untuk membawa Nazri ke Kuala Lumpur dan bekerja dengannya juga tidak kesampaian.


Sementara itu, adik Nazri, Mohamad Faiz Zulkifly, 17, berkata kali terakhir dia berjumpa abangnya pada malam Khamis lalu.

"Abang memaklumkan dia mendapat kerja baru di sebuah kilang di Taman Desa Cemerlang bersama dua lagi rakannya.


"Kami sekeluarga tumpang gembira kerana sebelum ini abang bekerja di bengkel membaiki kenderaan," katanya.


Bagaimanapun, kata Faiz, bapa mereka berasakan ada sesuatu yang tidak kena dan menasihatkan Nazri supaya memulakan tugas pada hari berikutnya.


Bagaimanapun, Faiz berkata, abangnya yang teruja dengan kerja barunya tetap mahu memulakan tugas semalam.


"Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini, abang anak yang taat serta patuh pada ibu bapa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Wira dinaiki mangsa datang dari arah Pekan Ulu Tiram, dan setibanya di lokasi kejadian, pemandunya cuba memotong sebuah kenderaan tetapi gagal.


"Ia menyebabkan kereta itu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Mohamad Faiz dan dua rakannya meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.


Jenazah ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan jenazah mangsa dituntut keluarga untuk urusan pengebumian petang semalam.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


England layak

Posted: 08 Oct 2011 07:33 AM PDT

PODGORICA: England melengkapkan kempen mereka dalam Kumpulan G tanpa kalah apabila seri 2-2 dengan Montenegro untuk layak ke pusingan akhir Euro 2012 walaupun kad merah buat Wayne Rooney dan gol penyamaan saat akhir tuan rumah sedikit menjejaskan kejayaan mereka, awal pagi semalam.

Memerlukan hanya satu mata untuk memastikan muncul juara kumpulan, jaringan Ashley Young dan Darren Bent membolehkan anak buah Fabio Capello menguasai selepas 31 minit pada malam hujan di negara Balkan itu sebelum perkara yang tidak dijangka berlaku.


Pertamanya, Elsad Zverotic melakukan sepakan voli menerusi percubaan terakhir babak pertama dan pemain gantian Andrija Delibasic menanduk masuk gol penyamaan dramatik bagi memastikan Montenegro muncul naib juara kumpulan dan tempat ke play-off.

Rooney, yang terbabit dengan kedua-dua gol England, dilayangkan kad merah kerana secara kasar menyepak Miodrag Dzudovic dengan berbaki kurang 20 minit dan akan terlepas aksi awal pusingan akhir tahun depan di Poland dan Ukraine.


Penyerang Manchester United itu, yang menerima kad keduanya bersama England, mungkin boleh dikenakan penggantungan tiga perlawanan sekali gus mampu memberi implikasi serius terhadap peluang England tahun depan.


England menamatkan kempen kelayakan dengan 18 mata di depan Montenegro yang mengumpul 12.

Switzerland, yang menerima kunjungan Montenegro awal pagi Rabu ini, tidak layak untuk beraksi pada play-off selepas kecundang 0-2 di tangan Wales.


"Kami agak kecewa kerana mendahului 2-0 dan berakhir dengan keputusan seri," kata kapten England, John Terry.

"Namun ia satu perasaan hebat untuk meraih kejayaan ini dan kami pula menjuarai kumpulan.


"Kami benar-benar menguasai dan pengurus berkata pada babak pertama ia mungkin terlalu mudah buat kami." Capello berkata Rooney berhak dibuang padang.


"Saya agak terkejut kerana betul-betul di depan saya dia menyepak pemain lawan. Saya fikir kad merah buat Rooney adalah tepat," kata Capello.


"Pemain agak kecewa daripada apa yang berlaku di padang bukannya di luar padang," kata jurulatih itu, merujuk kepada bapa dan bapa saudara Rooney yang ditahan Khamis lalu dan dibebaskan polis kerana didakwa terbabit dengan komplot pertaruhan.


Semuanya mudah buat England pada babak awal dan tidak hairan apabila Young memberikan pasukan pelawat gol pendahuluan selepas 11 minit. Rooney mengumpan kepada Theo Walcott dan hantaran lintangnya ditampan masuk Young.


Kedudukan menjadi 2-0 apabila Montenegro kehilangan bola di bahagian tengah dan Rooney menghantar kepada Young yang bijak mengumpan kepada Darren Bent sebelum penyerang itu menolak masuk dengan mudah. - Reuters

Vettel rampas petak utama

Posted: 08 Oct 2011 07:29 AM PDT

SUZUKA: Juara dunia dari Red Bull, Sebastian Vettel merampas petak utama dalam usaha memburu kejuaraan Formula Satu kedua berturut-turut pada Grand Prix Jepun, semalam.

Pemandu berusia 24 tahun itu, yang hanya memerlukan satu mata hari ini untuk muncul juara berganda paling muda dalam sukan itu ketika masih berbaki empat perlumbaan, mengatasi pemandu McLaren, Jenson Button dengan hanya 0.009 saat pada sesi kelayakan yang sengit.


Petak utama di Suzuka adalah yang ke-12 buat Vettel daripada 15 perlumbaan musim ini dan kelima secara berturut-turut dan ke-16 berturut-turut buat Red Bull sejak hujung tahun lalu.

"Kami mendapat sayap depan baru tepat pada masanya, ia tidak mudah tapi mujurlah kami melakukannya," kata pemandu Jerman itu., yang mengalami kemalangan pada sesi latihan kelmarin dan merosakkan muncung depan keretanya.


"Kami duduk berbincang selepas sesi latihan pagi tadi dan mujurlah dapat melakukan yang terbaik kepada kereta ketika sesi kelayakan." Button, terpantas bagi semua tiga sesi latihan, adalah satu-satunya pemandu yang boleh menafikan Vettel kejuaraan di Suzuka namun dia mesti menang dan berharap pemandu Jerman itu gagal meraih sebarang mata.


Vettel menang dari petak utama bagi dua tahun terakhir di Suzuka dan dia menamatkan 16 perlumbaan terakhirnya dengan mengutip mata, dengan kedudukan di tangga keempat adalah keputusan terburuknya musim ini. - Reuters

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Taikun masih tak jumpa calon heroin

Posted: 25 Sep 2011 05:52 AM PDT

KEJAYAAN filem Ngangkung arahan Ismail Bob Hasim mencatat kutipan melebihi RM8.5 juta ketika ditayangkan November tahun lalu membuatkan produser Metrowealth Pictures (MIG), David Teo terus menaruh kepercayaan kepadanya mengarahkan filem terbaru, Taikun.

Filem ke-65 terbitan produksi itu bergenre aksi komedi menampilkan gandingan pelawak, pelakon dan pengacara terkenal tanah air, Muhammad Nizamudin Ahmad atau Along Cham dan Iskandarshah Hashim (Angah) sebagai teraju utama.

David berkata, dia menaruh kepercayaan dan kredibiliti pengarah berkenaan
berdasarkan reputasi yang dimilikinya.

Malah Bob bukan hanya membuktikan kemampuan dalam pengarahan malah mampu menghasilkan pelbagai genre filem.

"Saya yakin kemampuan Ismail Bob Hasim bukan sekadar filem komedi selain elemen aksi dan seram yang menjadi kekuatannya mampu mengikut jejak langkah kejayaan filem MIG sebelum ini.

"Selepas melihat filem aksi komedi terbitan MIG, Bini-Biniku Gangster yang mula ditayangkan sejak 22 September lalu. Saya yakin filem ini mampu diterima peminat apabila ditayangkan nanti," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem itu, baru-baru ini.

Bagaikan menjadi trend apabila pelakon utama wanita atau heroin untuk filem kebelakangan ini tidak lagi menjadi keutamaan apabila watak mereka diwujudkan hanya sebagai penyeri layar perak.

Malah ketika majlis sidang media memperkenalkan pelakon dan pelancaran memulakan penggambaran filem berkenaan di pejabat MIG baru-baru ini, David mengakui masih mencari calon sesuai membawa watak heroin dalam filem itu.

"Memang kami sudah mempunyai beberapa nama dalam senarai pendek termasuk yang menghadiri uji bakat secara terbuka namun kami masih mempertimbangkan calon sesuai.

"Kami mencari heroin yang mampu melaksanakan tanggungjawab berat menerusi filem ini. Heroin berkenaan bukan saja perlu mempunyai susuk tubuh menarik atau seksi malah mampu melakukan babak aksi.

"Tidak kira pelakon yang sudah dikenali atau pelakon baru. Jika kami berasa dia calon sesuai dan mampu melaksanakan tanggungjawab itu sudah pasti di layak memegang peranan itu.

"Kemungkinan besar calon heroin akan dimaklumkan beberapa hari lagi. Walaupun penggambaran filem ini bermula 24 September. Namun untuk babak membabitkan heroin hanya akan mulakan penggambaran sekitar 5 Oktober nanti," kata David.

Sementara itu, Bob berkata, skrip karya Fadzil Bahri Zahari dan Yana Samsudin itu mempunyai kekuatan tersendiri. Bukan hanya menerusi penceritaan sebalik penampilan gandingan pelakon baru dan lama menerusi filem itu.

"Budaya kerja di MIG memang menggalakkan pekerjanya sentiasa mencuba benda baru. Selain mengikut kehendak dan selera penonton masa kini.

"Boleh dikatakan sejak kejayaan filem Adnan Sempit ia bagaikan menjadi aliran baru buat industri filem tempatan untuk mencuba pelbagai strategi untuk menghasilkan karya terbaik sekali gus menggalakkan penonton untuk ke panggung.

"Kita perlu sedar penonton sekarang semakin bijak menilai. Walaupun dengan kemunculan bakat baru termasuk pelapis di kalangan pembikin filem," katanya.

Ini juga filem kelapan Bob bersama MIG. Filem terbarunya, Bini-Biniku Gangster sedang ditayangkan di pawagam sejak 22 September lalu dan mendapat sambutan membanggakan.

Mengenai gandingan Along dan Angah, mereka terlebih dahulu muncul menerusi filem komedi, Alamak Toyol yang dijadualkan untuk tayangan pada 3 November ini.

Dalam Taikun, Angah membawa watak Tai manakala Along sebagai Miskun Tusnan aka Kun. Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Selangor itu turut dibintangi Zul Supian, Alex Yanz, Adey Syafrien, Mikael Andre, Addy Rauf dan Mie Raja Lawak.

Bagi Along pula, gandingan mereka yang juga residen artis MIG sudah lama terbentuk sama ada sebagai kawan atau musuh.

Selain dicungkil daripada program realiti Raja Lawak mereka terbabit dalam drama sebelum berganding dalam filem.

"Mungkin ini rezeki kami daripada kejayaan tersenarai dalam kelompok Top 5 di Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Pelawak.

"Dari sana mungkin David melihat kemampuan bakat kami dan percaya kami mempunyai kelompok peminat tersendiri.

"Bukan mudah untuk diberi tanggungjawab sebagai pelakon utama apatah lagi membawakan babak aksi.

"Selain bergandingan sebagai pengacara pentas kami juga kerap terbabit dalam pembikinan drama dan filem," katanya.

Senada dengan rakannya, Angah memaklumkan dirinya perlu bersedia dalam aspek kecergasan untuk memastikan semua penggambaran membabitkan aksi dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

"Dalam filem ini tidak ada sesiapa yang akan membayangi antara satu
sama lain. Sebaliknya kami akan berbincang dan melakukan latihan sebelum menjalani penggambaran.

Selepas kali pertama membaca skrip saya dapati kedua-dua karakter ini agak seimbang," katanya.

Depan Mata: Sultan puji Hasnah

Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

Biar ku bersedih
biar aku merintih
setelah gagal berkasih
lari bersama pedih

ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved