Ahad, 16 September 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Jaga kaki seawal usia 20-an

Posted: 16 Sep 2012 09:53 AM PDT

WALAUPUN pemakaian kasut tinggi yang menjadi kegemaran kaum wanita tidak baik untuk kesihatan kaki, keadaan berkenaan sukar dibendung kerana sikap lebih mementingkan gaya dan mahu tampak menawan serta seksi biarpun merana menanggung kesakitan.

Pemakaian kasut tinggi dalam jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan pelbagai masalah kaki termasuk tekanan dan kecacatan bentuk kaki yang boleh memberi kesan tidak langsung kepada keseluruhan kesihatan tubuh termasuk di bahagian tulang belakang.

Kasut tinggi, ketat, runcing dan tidak selesa boleh menyebabkan kesan kesakitan serta-merta dan jangka panjang kepada kaki si pemakainya.

Antara masalah kesihatan kaki yang sering berlaku kepada mereka yang hanya memakai kasut tinggi adalah bunion (hallux valgus). Keadaan ini berlaku apabila ibu jari kaki menjadi senget dan terarah ke jari kaki kedua, menyebabkan benjolan terhasil pada bahagian luar hujung kaki sebelah ibu jari.


Selain itu, akibat kasut yang sempit, tulang jari kaki lama-kelamaan akan membengkok merapat antara satu sama lain dan keadaan itu hanya boleh dibetulkan semula dengan menjalani pembedahan.


Masalah lain yang boleh wujud akibat pemakaian kasut tidak bersesuaian adalah kulit mengeras di beberapa bahagian kaki yang sering menerima tekanan seperti tapak kaki di bawah jari serta bahagian tepi hujung kaki.

Menurut Pakar Ortopedik Pusat Pakar Universiti Malaya, Dr Chua Yeok Pin, berkata ulser juga boleh terjadi sekiranya kaki luka dan melecet terutama di kalangan mereka yang mengalami penyakit kencing manis.

Pada masa sama, pemakaian kasut tinggi menolak badan ke hadapan dan apabila keadaan itu berterusan untuk jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan timbul masalah sakit belakang.

"Bukan saja kasut tinggi menyebabkan pergerakan menjadi terbatas, ia juga meletakkan tekanan pada bahagian sendi di bahagian kaki dan badan terutama pada bahagian lutut.

"Gejala lain yang wujud akibat pemakaian kasut tinggi adalah morton's neuroma iaitu kesakitan akibat saraf bengkak atau menebal pada bola kaki, keradangan tisu tebal di bahagian bawah kaki (plantar fasciitis), pembesaran tulang di belakang tumit (kecacatan haglund), jari bengkok (claw hammer), achilles tendonitis dan metatarsalgia," katanya.

Dalam kecacatan Haglund, tisu lembut berhampiran dengan tendon achilles mencetuskan rasa sakit apabila pembesaran yang berlaku pada tulang di belakang tumit akibat pemakaian kasut tidak sesuai, bergosok pula dengan kasut.

Achilles tendonitis pula keadaan kesakitan dan keradangan tendon yang besar di belakang buku lali. Ia adalah kecederaan biasa yang cenderung berlaku di kalangan atlet.

Tendon achilles berlebihan boleh menyebabkan keradangan yang membawa kepada kesakitan dan bengkak. Ia dibezakan daripada satu lagi keadaan biasa tendon achilles yang dikenali sebagai achilles tendinosis.

Metatarsalgia pula adalah suatu keadaan yang menyebabkan kesakitan dan keradangan pada bahagian bola kaki. Seseorang mungkin mengalami metatarsalgia jika aktif mengambil bahagian dalam aktiviti membabitkan berlari dan melompat atau kerana memakai kasut tidak sesuai.

Dr Chua berkata, walaupun secara amnya tidak serius, metatarsalgia boleh membataskan pergerakan namun rawatan seperti ais dan rehat yang cukup selalunya boleh melegakan gejala metatarsalgia.

Katanya, melalui penggunaan kasut yang betul bersama-sama dengan pelapik menyerap kejutan dan hentakan, ia mungkin dapat mencegah atau mengurangkan masalah metatarsalgia.

"Semua masalah kaki berkenaan disebabkan oleh pemakaian kasut tinggi, runcing di hadapan, sempit dan ketat hingga ia mengubah bentuk kaki sebenar dan memberi tekanan pada bahagian sendi yang terdapat pada kaki.

"Ia seterusnya mengakibatkan rasa sakit yang keterlaluan selain kecacatan bentuk kaki hingga menyebabkan mereka yang mengalaminya menderita dan perlu mendapatkan bantuan pakar bagi menjalani rawatan sepatutnya untuk memulihkan semula keadaan terbabit.

"Disebabkan pemakaian kasut tinggi adalah fesyen dan sukar untuk diubah, wanita dinasihatkan memakai kasut yang tidak terlalu tinggi atau hanya memakai kasut yang mempunyai ketinggian kurang daripada dua inci," katanya.

Dr Chua turut menyarankan wanita supaya mengenakan kasut tinggi dalam tempoh sesingkat yang mungkin dan hanya mengikut keperluan, bukan semata-mata untuk kecantikan dan penampilan seksi.

Wanita dinasihatkan membawa bersama kasut kedua yang bertumit rendah dan dipakai pada tempoh yang lebih panjang seperti di pejabat dan ketika berjalan di luar.

Bagi memastikan kesihatan kaki berada pada tahap optimum, wanita atau sesiapa saja boleh melakukan senaman regangan sekurang-kurangnya dua kali sehari selama lima minit untuk fleksibiliti otot betis, bagi memberi kestabilan pada tubuh.

Cara senaman berkenaan dilakukan adalah dengan melakukan aksi menolak dinding dengan satu kaki di hadapan dan satu di belakang dengan tapak kaki rapat ke lantai.

Selain itu, cara lain yang boleh dibuat adalah dengan duduk menjulur kaki dan menggunakan tuala untuk menarik tapak kaki atau berdiri separuh tapak di anak tangga lalu mengimbangkan diri menggunakan sebahagian depan tapak kaki.

Senaman itu sangat berguna kepada mereka yang banyak berdiri atau memakai kasut tinggi namun paling baik adalah dengan menukar kepada kasut yang lebih selesa.

Menurutnya, daripada kajian yang dijalankan dan temuramah dengan 400 wanita, didapati 18 peratus daripada mereka mengalami kecacatan bentuk kaki akibat kasut ketat, menunjukkan pemakaian kasut selesa sememangnya memainkan peranan sangat penting untuk kesihatan kaki.

"Keadaan kecacatan kekal atau kesakitan yang berlaku pada kaki akibat pemakaian kasut tinggi bertahun lamanya hanya boleh dirawat melalui pembedahan," katanya.

Pemakaian kasut yang selesa, saiz tepat dan mempunyai sokongan juga penting kerana ia membantu tulang kaki berada dalam kedudukan lurus ketika berjalan seterusnya menjaga postur badan keseluruhan dan mengelak masalah kesihatan lebih serius timbul.

Paling baik adalah memakai kasut diperbuat daripada kulit kerana ia lebih serasi dengan kaki, ruang kaki yang lebih luas pada bahagian depan, memilih kasut yang anjal, tidak terlalu lembut dan mempunyai pelapik.

Menurutnya, waktu paling baik adalah membeli kasut pada lewat petang iaitu sekitar jam 5 petang dan 6 petang terutama kepada pesakit kencing manis dan darah tinggi kerana kaki lebih besar ketika itu.

"Apabila memakai kasut, kaki perlu masuk dengan elok dan terus muat. Itu menandakan kasut itu sememangnya saiz yang tepat. Jangan beli kasut dengan harapan ia akan muat selepas beberapa kali memakainya.

"Perlu jaga kaki bermula usia awal 20-an untuk mengelak masalah. Pakai kasut yang mempunyai kesan merawat setiap hari termasuk di rumah. Jika tidak selesa memakai kasut merawat pada awalnya, jangan putus asa sebaliknya cuba untuk masa yang singkat setiap hari hingga beberapa minggu bagi menyesuaikan diri," katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Kasut Reckitt Benckiser, Chan Cheng Hwee, berkata kehadiran kasut jenama Scholl di pasaran adalah bagi memberi alternatif kepada pengguna yang lebih mementingkan keselesaan dan kesihatan kaki berbanding fesyen atau mereka yang mahukan kasut yang dapat membantu melegakan masalah kaki.

Scholl mula memperkenalkan kasut yang mampu memberi kelegaan pada kaki sejak 1950 dan hingga kini model kasut itu masih ada dalam pasaran.

"Kami juga memperkenalkan model Scholl Biomechanics Orthotic yang mempunyai tapak mengikut bentuk semula jadi kaki dan memberi sokongan padu pada beberapa bahagian utama tapak supaya ia tidak 'jatuh' dan memberikan keselesaan pada kaki secara keseluruhannya.

"Kasut Scholl dengan tapak ini juga mampu meluruskan kembali tulang di bahagian tumit kaki dan ini membuatkan kaki berjalan lurus dan boleh bergerak dengan lebih fleksibel," katanya.

Menurutnya, pengenalan model itu tiga tahun lalu mendapat sambutan hangat di beberapa negara termasuk Hong Kong dan Thailand kerana ia juga memberi sokongan kepada belakang tubuh.

Chan berkata, jenama terbabit bukan saja mengeluarkan kasut yang selesa tetapi menepati cita rasa terkini orang ramai yang sememangnya menggemari kasut yang bergaya dan dapat disesuaikan dengan pelbagai majlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kawal nafsu lihat makanan

Posted: 16 Sep 2012 09:41 AM PDT

SELAIN mengambil kesempatan untuk memohon maaf, satu lagi keistimewaan Syawal adalah kepelbagaian jenis makanannya yang enak seperti ketupat, lemang, rendang ayam, kuah kacang juga kuah lodeh.

Sambutan hari raya sememangnya memberi cabaran tersendiri terutama bagi mereka yang ingin mengawal berat badan. Terdapat pelbagai soalan yang saya terima menerusi laman web kevinzahri.com mengenai masalah ini.

Justeru, di kesempatan ini, ingin saya kongsi beberapa tip mudah untuk membantu anda apatah lagi saya juga yakin anda banyak menerima jemputan ke majlis rumah terbuka.

Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga serta kurangnya aktiviti fizikal, gaya hidup seharian mungkin akan mengalami sedikit perubahan. Antaranya, kecenderungan untuk makan makanan yang berkalori tinggi.


Perlu diingat, makanan dan minuman yang diambil semasa perayaan kebiasaannya mengandungi kandungan lemak, gula dan kalori tinggi. Oleh itu, kita perlu mengamalkan pemakanan seimbang ketika menikmati hidangan berkenaan.


Sumber nutrien seperti karbohidrat, protein, serat dan buah-buahan penting untuk kesihatan tubuh badan. Protein misalnya adalah sumber yang mengenyangkan dan ia dapat mengelakkan kita daripada makan berlebihan.

Anda dinasihatkan mengawal nafsu semasa melihat makanan yang terhidang. Cuba ambil masa beberapa saat untuk melihat semua makanan sebelum membuat keputusan memilih makanan yang ingin dimakan.

Dengan cara ini, ia boleh membantu anda untuk mengambil jumlah setiap makanan yang diingini secara sederhana dan terkawal. Kunyah makanan perlahan-lahan supaya dapat memberi peluang kepada sistem penghadaman badan terus berfungsi dengan baik.

Selain itu, minum air kosong atau mineral dengan secukupnya dan ambil makanan yang kaya dengan serat bagi mengelakkan anda mengalami masalah sembelit.

Jika masalah sembelit ini terjadi, pasti hari anda menjadi tidak seronok. Manakan tidak, orang lain berseronok berbual bersama saudara-mara sedangkan anda 'terperangkap' pula di dalam tandas sepanjang hari.

Pengurangan kalori boleh juga dilakukan dengan mengelakkan minum minuman yang manis serta berkarbonat. Kandungan gula dan kafein di dalam air berkarbonat memang tinggi. Tidak salah jika minum setengah gelas air berkenaan dan kemudian minum pula segelas air kosong sekiranya masih dahaga.

Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, lemak, garam, dan kafein boleh menyebabkan masalah seperti makanan tidak hadam.

Untuk makan tengah hari dan makan malam, saya pasti kebanyakan kita mungkin terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang. Jika masih berasa lapar, tukar ia dengan sayur-sayuran atau buah-buahan saja.

Berikut beberapa kandungan kalori lemang, ketupat, serunding, lontong dan pelbagai makanan lazat di Aidilfitri. Saya berharap, ia dapat menolong anda dalam pemilihan dan pengiraan kalori sepanjang musim perayaan juga ketika pengambilan makanan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Ajal dihempap traktor

Posted: 15 Sep 2012 03:28 PM PDT

JITRA: "Arwah berkeras tidak mahu balik kerana ingin habiskan kerja menebas pokok walaupun ketika itu senja. Arwah beritahu adiknya, dia hendak cari duit lebih kerana dalam poketnya hanya ada RM3," kata Abdul Majid Mohd Noh, 62, bapa kepada Nor Azman, 31, yang maut selepas traktor dipandunya terbalik dan menghempap mangsa di Jalan Lahar, Kampung Palas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa yang bekerja sebagai Pembantu Am di Kolej Kejururawatan, Alor Setar terpaksa menanggung derita sejam sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di pinggang.


Abdul Majid yang juga terkenal dengan wayang kulit Seri Asun berkata, arwah pergi ke ladang itu jam 4 petang bersama adiknya, Shazwan Suhaili, 15, kerana mengambil upah membersihkan kawasan ladang.

"Arwah pergi berdua bersama adiknya untuk membersihkan kawasan hutan di situ dan dia memandu traktor. Sejam kemudian, arwah balik ke rumah untuk mengambil barang alat ganti mesin yang tertinggal sebelum pergi semula ke ladang.


"Ketika memandu traktor, arwah dipercayai mengundur beberapa kali untuk meratakan kawasan. Bagaimanapun, ketika mengundur, arwah gagal mengawal traktor itu lalu terjatuh ke parit sedalam satu meter.


"Selepas terjatuh ke parit, arwah cuba naikkan semula traktor, namun ia terus terbalik dan menghempapnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kunluang, Mukim Binjal, di sini, semalam.

Beliau berkata, adiknya yang berada di situ tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana arwah tersepit di tempat duduk traktor.


"Arwah masih bernafas ketika itu tetapi dalam keadaan tidak bermaya kerana kecederaan dialami. Shazwan kemudian meminta bantuan penduduk kampung berhampiran dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mangsa.

"Bagaimanapun, anggota bomba menghadapi kesukaran kerana kenderaan mereka tidak boleh masuk ke hutan berikutan laluan kecil.


"Selepas sejam bertarung nyawa di atas traktor itu, akhirnya anak saya meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di pinggang," katanya.


Abdul Majid berkata, anaknya dikeluarkan dengan menggunakan dua jentera 'backhoe' jam 11 malam sebelum dibawa ke Hospital Jitra (HJ), di sini, untuk bedah siasat.


"Arwah anak ketiga daripada lapan beradik meninggalkan isteri, Azizah Mohd Ali, 31, serta dua anak, Nor Hafifi, 13, dan Arfah, 7. Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kunluang, dekat sini, jam 10 pagi semalam," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan mangsa mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Gagal rompak ATM

Posted: 15 Sep 2012 03:25 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Jalan Peel, Pudu, di sini, rosak akibat cuba dipecah menggunakan alat pengimpal logam oleh sekumpulan perompak, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, perompak terbabit gagal memecahkan mesin itu yang ditempatkan di tingkat bawah pasar raya berkenaan kerana kejadian disedari pengawal premis, jam 7.30 pagi.


"Polis yang tiba selepas dihubungi kemudian menemui peralatan mengimpal dan dua tong gas ditinggalkan perompak, dipercayai lebih daripada seorang.

"Mereka gagal mengambil wang kerana panik selepas ATM tidak dapat dipecahkan sebelum beredar," katanya.


Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Rumah teres simpan sundal

Posted: 15 Sep 2012 03:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sungguh kurang ajar apabila penyewa sebuah rumah teres di Cheras, dekat sini, menjadikan kediamannya sebagai pusat maksiat 'tiga dalam satu' urut, mandi bersama dan seks dengan bayaran RM130, walaupun dikelilingi jiran yang kebanyakannya tinggal secara berkeluarga.

Tindakan liciknya menyebabkan kegiatan tidak bermoral yang didakwa dijalankan di rumah dua tingkat itu sejak lebih tiga tahun lalu tidak pernah diserbu pihak berkuasa.

Taktik digunakan sindiket itu sungguh berkesan. Bukan sembarangan pelanggan dibenarkan masuk, malah pelanggan tetap sekalipun dihadkan antara lima hingga 10 orang saja sehari bagi mengelakkan operasi mereka dihidu pihak berkuasa.

Bertindak atas aduan seorang lelaki yang mendakwa jiran di kawasan perumahan berkenaan, wartawan Metro Ahad menyamar sebagai pelanggan untuk menyiasat kesahihan rumah berahi itu. Terbukti, ia pusat pelacuran didalangi warga tempatan yang menawarkan khidmat wanita Thailand.


Tidak seperti pusat maksiat lain yang menerima sesiapa saja, 'bapa ayam' atau lebih dikenali sebagai 'kapten' pusat itu hanya menerima pelanggan dikenali atau yang diperkenalkan oleh pelanggan tetap.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Bangga miliki nama ‘Malaysia’

Posted: 15 Sep 2012 03:54 PM PDT

BERUAS: "Nama saya Siti Zaleha, tapi jiran dan rakan lebih mengenali saya sebagai Siti Malaysia," kata Siti Zaleha Samsuri, 45, isteri kepada pemilik nama unik, Malaysia Mohamad Yusof, 48.

Katanya, walau apa dikata orang, dia berbangga dengan nama suaminya, tambahan pula Hari Malaysia disambut 16 September setiap tahun.

Menurutnya, dia tidak berdepan masalah dengan nama unik suaminya, sebaliknya mudah dikenali apabila turut digelar Siti Malaysia.

"Saya dikenali ramai dengan gelaran itu walaupun ia bukan nama sebenar saya. Hasil perkahwinan sejak 23 tahun lalu, kami dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Muhammad Safuan, 21; Muhammad Afiq, 16, dan Muhammad Amar, 13.


"Bagaimanapun, tiga anak kami berdepan masalah dengan nama bapa mereka kerana sering diejek di sekolah. Namun, lama-kelamaan rakan sekolah boleh menerima perkara itu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Pencalonan kecoh lagi

Posted: 15 Sep 2012 02:38 PM PDT

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) sekali lagi kecoh apabila majlis pengumuman senarai calon yang bakal bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk KOM pada Mesyuarat Agung Tahunan, 23 September ini sekali lagi terpaksa ditangguh.

Majlis yang sepatutnya menyaksikan pengumuman senarai calon itu bertukar tegang apabila jawatankuasa yang hadir membidas persoalan ditimbulkan Penolong Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), T Kumar yang dilantik sebagai Pegawai Jawatankuasa Pemilihan oleh KOM.


Sampul pencalonan yang seharusnya dibuka Isnin lalu itu kini sekali lagi terpaksa ditangguh apabila terdapat beberapa klausa dalam perlembagaan baru KOM menimbul keraguan.

Kumar yang dilantik menguruskan sampul pencalonan dan mengumumkan calon bertanding, mempersoalkan klausa perlembagaan KOM yang menimbulkan keraguan dan boleh dipertikaikan.


Kumar berkata, apabila timbul keraguan klausa perlembagaan itu, beliau tidak boleh membuka sampul pencalonan kerana keputusan AGM boleh dipersoal kesahihannya.


"Jika AGM diteruskan, akan berlaku risiko dalam pemilihan apabila calon yang kalah boleh mencabar mana-mana pihak berikutan kekeliruan perlembagaan ini dan saya yang bertanggungjawab membuka sampul ini juga boleh diheret sama.

"Saya dilantik untuk menyelesaikan majlis pembukaan sampul pencalonan namun bila merujuk kembali perlembagaan ini terdapat beberapa klausa perlembagaan yang meragukan. "Oleh sebab itu saya tidak dapat melaksanakan tugas ini kerana saya tidak tahu perlembagaan mana perlu diikut," katanya yang mempersoalkan Klausa 8.4.4, 8.6.1 dan 8.7.6.


Bagi menyelesaikan perkara itu, Kumar memohon KOM segera memperbetulkan konflik yang timbul dengan merujuk semula kepada Pesuruhjaya Sukan atau mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk meminda perlembagaan.

Majlis di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, menyaksikan Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak hadir sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Naib Presiden, Datuk R Annamalai.


Hanya tiga calon bertanding Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim, Annamalai dan Rajemah Sheikh Ahmad hadir pada majlis itu. Sementara itu, Annamalai berkata, perkara yang timbul itu bukan satu isu besar dan akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin dengan sampul pencalonan dijangka dibuka Rabu ini andai masalah itu dapat diselesaikan dengan Pesuruhjaya Sukan.


Penangguhan itu bermakna masih belum ada sebarang kepastian berhubung siapa yang bertanding merebut jawatan dalam KOM.


Sebelum ini desas-desus terus bertiup kencang apabila Shahidan dilapor akan dicabar dua calon, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS), Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal.


Karim dikhabarkan akan ditentang dua calon. Mereka yang akan mencabar jawatan itu adalah Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Salleh dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor, K Yogeswaran.


Selain itu, sembilan calon dilapor bertanding untuk kerusi Naib Presiden dengan mereka yang dijadualkan bertanding terdiri daripada Presiden Persatuan Olahraga Amatur Kedah, P Solomon, Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor, R Rajasegram, Setiausaha POAT, Rajemah Sheikh Ahmad dengan Datuk Mumtaz Jaafar akan mempertahankan kerusi Naib Presiden bagi slot wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Tahun gemilang Allyson

Posted: 15 Sep 2012 02:36 PM PDT

TARIKH 4 September mengakhiri musim panas gemilang buat pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Allyson Felix.

Dia disenaraikan sebagai finalis Atlet Wanita Tahunan Yayasan Sukan Wanita bersama bintang tenis, Serena Williams, perenang Missy Franklin, gimnas Gabrielle Douglas dan atlet ski Lindsey Vonn.


Pada hari sama, dia menjuarai perlumbaan 200m terakhir disertainya musim ini dengan rekod kejohanan 22.35 saat di Kejohanan Dunia IAAF di Zagreb, Croatia dengan menewaskan pelumba Jamaica, Aleen Bailey dan rakan senegara Charonda Williams.

Semua itu berlaku susulan pencapaian hebat atlet berusia 26 tahun itu di Sukan Olimpik London sebaik melakar pencapaian cemerlang dalam acara trek dan balapan dengan pingat emas dalam acara 200m, 4x100m dan 4x400m.


Sebaik Allyson pulang ke AS, dia akan meninggalkan latihan selama sebulan. Ia adalah rehat yang dinantikan Allyson pada akhir setiap musim.


"Sebaik musim kejohanan berakhir, saya akan jauhkan diri dari trek dan gimnasium selama sebulan," kata Allyson.

"Saya akan menunggang basikal di tepi pantai, bermain tenis atau rollerblade tetapi saya tidak akan lakukan sebagai aktiviti sukan yang spesifik atau mengangkat beban selama sebulan." Untuk memahami mengapa Allyson begitu teruja untuk merehatkan dirinya, anda perlu faham bagaimana dia bekerja keras selama 11 bulan dalam setahun.


"Biasanya saya menghabiskan masa lima jam untuk latihan setiap hari," katanya.

"Sesi memanaskan badan selama sejam diikuti dua jam latihan pecut atau latihan lasak di trek, kemudian rehat seketika sebelum pergi ke gimnasium pada dua jam terakhir." Latihannya di trek, lebih menjurus kepada matlamatnya. Selepas menempuhi cabaran Olimpik, fokusnya kini terarah kepada kejohanan dunia dan dia mahu mencatat masa spesifik.


Allyson turut memberi tumpuan terhadap misi memenangi gelaran dunia dalam acara 100 dan 400m yang masih belum pernah dilakukannya.


"Saya sentiasa mahu menjadi pelari pecut yang versatil," kata Allyson.


"Biarpun kami sering menumpukan dari asas, iaitu latihan 100m yang tertumpu kepada kelajuan dan 400m yang memberi tumpuan kepada ketahanan tetapi saya mahu berlari lebih pantas dan memperbaikinya." Allyson turut memastikan sasaran itu berjaya dilaksanakan di gimnasium. Dia meminati plyometrics (gerakan pantas seperti latihan 'box jumps' yang digunakan untuk meningkatkan kepantasan dan kuasa) selain angkatan Olimpik (snatch dan clean and jerk). Dia juga mendapat cuti dua hari seminggu dan melakukan larian selama 30 minit untuk menaikkan staminanya.


Sepanjang musim pertandingan, dia juga menjaga pemakanannya dengan mengambil protein, buah-buahan dan sayuran, lemak serta karbohidrat. Dia juga sentiasa mengambil snek ketika perjalanan.


Dengan jadual latihan yang ketat dan sukar mengekalkan diet, Allyson sentiasa mencari jalan untuk memastikan dirinya kekal bermotivasi. Dia berfikir mengenai idolanya, Jackie Joyner-Kersee, serta sikapnya yang enggan menyerah kalah. Dia berfikir mengenai pesaingnya dan adakah mereka berusaha lebih gigih daripadanya. Malah dia juga berfikir mengenai sasarannya dan apa yang perlu dilakukan untuk mencapainya.


"Apabila saya malas bangun dari katil, saya fikir mengenai apa yang saya ingin capai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


William, isteri saman majalah

Posted: 15 Sep 2012 03:03 PM PDT

LONDON: Isteri Putera William, Catherine semalam berdepan dengan tindakan yang akan memalukannya lagi berhubung gambar separuh bogelnya apabila satu lagi majalah Itali berkata, ia akan menyiarkan gambar berkenaan.

Pasangan diraja Britain itu itu sudahpun memulakan tindakan undang-undang terhadap majalah Closer, selepas ia menyiarkan gambar yang dirakam paparazi menunjukkan Catherine berjemur bersama-sama suaminya dalam keadaan separuh bogel.

Majalah itu adalah sebahagian daripada empayar media bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.

Pasangan berkenaan berharap untuk mengekang skandal itu dengan menyaman Closer serta-merta tetapi, Chi, sebuah majalah mingguan yang juga diterbitkan oleh Kumpulan Mondadori milik Berlusconi, mengumumkan rancangan menerbitkan isu khas 26 muka esok, khusus mengenai gambar Catherine.


Gambar itu dirakam ketika beliau bercuti bersama William yang menduduki tangga kedua dalam senarai pewaris takhta Britain, di Perancis, baru-baru ini.


Pengarang Closer, Laurence Pieau dipetik oleh majalah The Sun semalam sebagai berkata, pihaknya mempunyai banyak lagi gambar itu tetapi belum menyiarkannya.

"Ada banyak lagi gambar itu yang kami tidak siarkan dan kami tidak akan menyiarkannya. Tetapi akhbar lain mungkin akan menyiarkannya," kata Laurence.

Versi muka depan Chi menunjukkan beberapa gambar itu dengan tajuk 'Ratu Berbogel.'

"Hakikat bahawa ia gambar bakal Ratu England menjadikan artikel itu lebih menarik.

"Ia topik yang baik kerana ia menunjukkan secara menyeluruh kehidupan harian pasangan yang amat terkenal dan moden yang sedang bercinta," kata pengarangnya, Alfonso Signorini.

William dan Catherine, yang berada di Malaysia ketika ini, menyaman Closer kerana menceroboh privasi mereka.

Dalam pada itu, tindakan menyaman Closer dilapor berkesan apabila majalah itu menarik balik beberapa gambar kontroversi itu dari laman webnya, lapor RadarOnline.com. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Saudi tangkap 4 tukang sihir

Posted: 15 Sep 2012 02:59 PM PDT

JEDDAH: Empat warga Asia, termasuk dua wanita, ditangkap atas tuduhan mengamalkan sihir dan menipu orang ramai.

Jurucakap polis Jeddah, Brigadier Misfer Al-Juaid berkata, seorang wanita Indonesia berusia 33 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz bersama-sama tangkal, beberapa kertas dan barangan berbau busuk.


Dalam kejadian lain, polis lapangan terbang menangkap seorang warga India yang cuba memasuki Arab Saudi dengan membawa barangan ilmu hitam dan tangkal yang didakwanya ubat.

Apabila disoal, lelaki itu mengaku merancang menggunakannya ke atas keluarga majikannya.


Pihak berkuasa lapangan terbang juga menahan seorang lelaki Pakistan yang membawa tangkal dan didakwa melakukan sihir.


Dalam pada itu, polis Jeddah menyerbu sebuah rumah di daerah Al-Rawabi selepas menerima maklumat mengenai seorang wanita Indonesia mengamalkan sihir.

Wanita itu dikatakan mengambil upah 'menundukkan gadis' untuk orang yang mengupahnya. Anggota dari Balai Polis Al-Jami'ah mengepung rumah itu sebelum menangkapnya ketika dia sedang melakukan sihir. - SG

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved