Jumaat, 30 September 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Denim kasual kekal selesa

Posted: 30 Sep 2011 08:53 AM PDT

FESYEN bukan saja berubah mengikut acara, lebih penting perubahan musim turut mempengaruhi gaya. Panas, bunga, luruh dan sejuk empat musim yang menjadikan rekaan berubah seiring keperluan semasa. Setiap satunya melahirkan padanan berbeza sama ada daripada segi rekaan, fabrik, warna dan juga kehendak wanita.

Hadir dengan gaya yang cukup menyerlah, selain memenuhi tema musim luruh dan sejuk, jenama nombor satu di Jepun, Uniqlo tampil dengan padanan kasual yang lebih anggun, sofistikated dan selesa untuk semua golongan.

Bertemakan konsep gaya anak muda Amerika dan Britain, himpunan pakaian ditampilkan menerusi warna hebat seperti biru kelasi, putih, kelabu dan hijau, kemudian diwarnai gandingan merah dan biru bagi memastikan penampilan wanita sentiasa segar dalam apa juga padanan.

Lelaki pula menyerlah dalam sisi tersendiri dengan rona hebat jingga, merah bata dan biru kelasi.


Istimewanya, rekaan setiap padanan diperincikan menerusi fabrik berkualiti bagi memberi keselesaan kepada si pemakai.


Fabrik denim pastinya menjadi pilihan uda dan dara kerana selain tampak kasual, ia juga memberikan keselesaan sepanjang masa kerana lembut, tidak panas serta ruang untuk bergerak bagi memberikan rasa yakin kepada mereka.

Rangkaian Uniqlo meliputi pilihan baju panas heattech yang diperbuat daripada material yang boleh menyerap lembapan badan seterusnya memberikan rasa suam ketika cuaca sejuk. Uniqlo menawarkan kepelbagaian variasi fesyen heattech sama ada untuk musim luruh sehingga sejuk dengan tambahan wangian deodoran yang jarang diperoleh daripada jenama lain.

Bagi penggemar baju panas, kini anda tidak perlu risau sekiranya jaket anda berat atau tebal kerana Uniqlo hadir dengan jaket yang bukan saja trendy malah diperbuat daripada fabrik nilon yang lebih nipis dengan hanya 196 gram. Selain itu, rekaannya memberi rasa nyaman kepada si pemakai setiap masa.

Bagi peminat baju sejuk, kini anda tampil lebih sporty dan ranggi menerusi baju berhud Sweat Parka. Ia boleh dipakai bersendirian atau bersama padanan lain untuk tampil funky dan hebat. Ia diperbuat daripada fabrik bebulu Merino Australia dengan kenipisan hanya 19.5 mikron diameter bagi memberi rasa lembut dan selesa.

Padanan Merino dan Sweat Parka sesuai untuk sebarang acara bagi menyerlahkan lagi gaya klasik Amerika.

Selain itu, terdapat pilihan skirt, legging, seluar panjang, kemeja-T, kemeja dan kardigan untuk gaya rasmi ke pejabat atau dipadankan untuk aktiviti siang menjadi lebih elegan dan kasual.

Kepelbagaian warna sama ada terang atau pastel memberi pilihan kepada wanita untuk menyesuai padan bergantung pada acara yang dihadiri.

Himpunan gaya musim luruh dan sejuk 2011 Uniqlo kini boleh didapati di semua rangkaian Uniqlo seluruh negara bermula 9 September lalu.

Rahsia kejelitaan

Posted: 30 Sep 2011 08:52 AM PDT

MINYAK Argan, cecair emas Maghribi adalah rahsia kejelitaan wanita bangsawan Rom ratusan tahun dulu. Ia juga merawat pelbagai masalah kulit, rambut dan kuku Minyak Argan diperah dari biji buah Argan (Argania spinosa) dan hanya tumbuh di selatan Maghribi, justeru dikatakan salah satu minyak paling unik di dunia.

Kini, keunggulan minyak argan menjadikannya salah satu bahan utama produk kecantikan eksklusif antarabangsa.

Satu-satunya produk 100 peratus minyak argan organik di Malaysia, Secretleaf Pure Oil Series 01 mendapat sambutan hangat kerana sesuai diguna semua golongan termasuk kulit sensitif.

Pure Oil Series 01 berkesan melembutkan kulit kering, mengurangkan kedutan, garis halus dan lingkaran di bawah mata, memudarkan bekas parut serta merawat masalah kulit seperti enzema dan psoriasis.


Seorang pengguna Pure Oil Series 01, Nuraizah Mohd Tiblawi, berkata selepas lima hari menggunakan produk itu, parut jerawat berkurangan dan kulit wajah semakin cerah.


Selain itu, ia sesuai digunakan di kawasan kulit lebih nipis dan sensitif seperti di bawah mata untuk menghilangkan kedutan dan lingkaran hitam.

"Saya tidak ketinggalan menggunakan Pure Oil Series 01 setiap malam," katanya.

Kajian saintifik terhadap kandungan minyak argan menunjukkan ia mengandungi tiga kali ganda antioksida Vitamin E berbanding minyak zaitun, serta omega 6 dan 9 yang tinggi dan squalene yang bertindak mengeluarkan toksik dari sel-sel kulit.

Penggunaan dua kali sehari membantu mencerahkan jeragat dan bintik hitam, mengembalikan tona kulit sekata serta menganjalkan wajah seumpama remaja.

Pure Oil Series 01 adalah pelembap, pelindung UV, asas solekan dan serum anti-penuaan semua-dalam-satu yang diiktiraf organik dari EcoCert Perancis.

Secretleaf dalam misi menghasilkan produk penjagaan kulit berasaskan sumber botani, kini muncul dengan produk terbaru iaitu Krim Siang & Malam berasaskan minyak argan organik yang sudah berada dalam pasaran.

Krim tanpa bahan pengawet berbahaya itu akan dipasarkan dalam pakej RM49.

Argan Day Cream turut diperkaya dengan khasiat kolagen marin, antioksida teh hijau serta 'evening primrose oil' manakala Argan Night Cream merangsang pemulihan sel-sel rosak di samping menjana sel-sel baru lebih sihat.

Layari www.facebook.com/mysecretleaf untuk membuat pesanan atau talian tol bebas 1-800-88-3818 atau SMS kepada 016-6626604 untuk maklumat lanjut.

Pure Oil Series 01 dijual di rangkaian Farmasi Alpha, Farmasi HealthLane dan Farmasi Multicare.

Jika berminat menjadi pengedar produk Secretleaf, hubungi 016-2273815.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sita baju ‘bundle’ RM30,000

Posted: 29 Sep 2011 10:52 AM PDT

KLANG: Beberapa pekerja menjual pakaian terpakai lari lintang-pukang sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam Operasi Bundle di Jalan Sungai Udang, di sini, semalam.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran Kanan, Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPK, Mazlan Abdul Gany, berkata siasatan mendapati perniagaan menjual pakaian terpakai itu beroperasi secara haram sejak setahun lalu.


Menurutnya, lot itu sepatutnya menjadi tapak untuk bangunan balai polis baru.

"Kedai itu beroperasi tanpa lesen sejak setahun lalu. Sebelum operasi, kami memberi notis tujuh hari kepada pemilik kedai supaya memindahkan barangan perniagaan mereka.


"Namun, pemilik tidak mengambil peduli notis itu. Jadi, kami menyita semua barangan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja 2007, Seksyen 3, iaitu perniagaan tanpa lesen. "Jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 dan penjara dua tahun," katanya ketika ditemui selepas operasi, semalam.


Katanya, operasi membabitkan 50 anggota penguat kuasa serta mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Daerah/Tanah Klang.

Mazlan berkata, semua nilai pakaian disita berjumlah lebih RM30,000 dan pihaknya memberi tempoh 30 hari kepada pemilik untuk menuntut semula barangan. Katanya, jika pemilik tidak membuat tuntutan, barangan berkenaan akan dijadikan bukti untuk pendakwaan di mahkamah.


"Lot perniagaan yang beroperasi lebih setahun itu turut menerima banyak aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati kerana menghalang laluan," katanya.

118 pilih buku dalam kapal

Posted: 29 Sep 2011 10:45 AM PDT

KLANG: Seramai 118 pengunjung sekitar Pelabuhan Klang memeriahkan majlis pembukaan pesta buku terapung terbesar dunia anjuran kapal pelayaran dari Jerman, Logos Hope di Terminal Star Cruise Pulau Indah, di sini, semalam.

Pengarah Logos Hope, Gian Walser, berkata pesta buku itu diadakan selama 26 hari bermula semalam hingga 23 Oktober depan. Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pengunjung terutama dari Lembah Klang bagi memeriahkan pesta buku terapung terbesar di dunia itu sambil beramal. "Hampir 5,000 tajuk buku dipamerkan sempena pesta berkenaan dan saya menyeru orang ramai membeli sekurang-kurang sebuah buku untuk tujuan amal.


"Antara buku yang terdapat di Logos Hope seperti sains, sukan, bacaan berbentuk hobi dan kehidupan keluarga selain kamus serta teks akademik.

"Buku yang terdapat di sini juga dijual dengan harga berpatutan iaitu serendah RM2.


"Selain itu, pengunjung boleh membeli barangan cenderahati," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian, semalam.


Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie.

Walser berkata, organisasi itu sudah menerima 40 juta pengunjung dari 160 negara yang dilawati di seluruh dunia.


"Kami membuka pesta buku ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada Selasa hingga Sabtu.

"Pada Ahad pula, ia dibuka dari jam 1 tengah hari hingga 10 malam dan ditutup pada Jumaat," katanya.


Menurutnya, orang ramai dijemput datang bersama keluarga kerana tiada had usia kepada pengunjung melainkan harga tiket RM1 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tidur terus tak bangun

Posted: 29 Sep 2011 12:34 PM PDT

SUBANG JAYA: "Luluh hati saya apabila doktor mengesahkan anak tunggal mengalami pendarahan dalam otak mungkin akibat hentakan atau gegaran kuat," kata bapa kepada seorang bayi berusia tujuh bulan yang tidak sedarkan diri, sejak Isnin lalu.

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Megat, 29, berkata, bayi lelakinya yang diberi jolokan 'Beckham' oleh jururawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di sini, tidak sedarkan diri selepas ditidurkan pengasuhnya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Selepas Beckham gagal dikejutkan dari tidur, pengasuh menghubungi Megat di pejabatnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira jam 4.30 petang, sebelum bayi itu dikejarkan ke hospital berhampiran.

Menceritakan kejadian itu, Megat berkata, pada pagi kejadian, dia menghantar anak lelakinya itu ke pusat asuhan itu seperti biasa.


Menurutnya, ibu mangsa yang berusia 29 tahun kerap menghubungi pusat asuhan itu bagi mengetahui keadaan anak tunggal mereka dan membuat panggilan terakhir kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian sebelum diberitahu pengasuh sedang memberikannya susu untuk tidur.


"Bagaimanapun, kira-kira jam 4.30 petang, seorang pengasuh di pusat itu menghubungi saya dan memberitahu anak kami tidak bangun-bangun selepas ditidurkan," katanya ketika ditemui Harian Metro semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Wanita mati, inspektor parah

Posted: 29 Sep 2011 12:16 PM PDT

KENINGAU: Seorang wanita terbunuh akibat ditikam bertubi-tubi perompak yang memasuki rumahnya manakala rakan lelakinya, pegawai polis berpangkat inspektor yang cuba membantu parah juga akibat ditikam dalam kejadian di Taman Andika di sini, awal pagi semalam.

Pegawai polis berusia 29 tahun berkenaan dikatakan menerima panggilan daripada mangsa berusia 27 tahun yang meminta bantuan apabila mendapati pintu rumahnya diumpil seorang lelaki tidak dikenali pada kira-kira jam 4.40 pagi.


Anggota polis itu kemudian bergegas ke rumah wanita terbabit dan mendapati pintunya terbuka sebelum melihat mangsa sedang bergelut dengan seorang lelaki yang memegang pisau lalu cuba memberi bantuan.

Dalam keadaan kelam-kabut, suspek nekad menikam anggota polis terbabit di kaki, bahu dan belakang badan menyebabkannya berlumuran darah, sebelum menikam wanita terbabit berulang kali sehingga mati.


Pegawai polis yang parah itu kemudian mendapatkan bantuan dari Balai Polis Keningau, sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menghubungi inspektor polis itu melalui telefon bimbit untuk meminta bantuan selepas seorang lelaki tidak dikenali cuba membuka pintu rumahnya.

"Namun sebaik tiba, pegawai polis ini turut bergelut sebelum ditikam ketika cuba membantu mangsa," katanya, semalam.


Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, selepas menikam inspektor polis terbabit, suspek kemudian turut menikam wanita berkenaan bertubi-tubi sehingga mati.


"Malah, sebelum melarikan diri, suspek turut sempat menikam wanita berkenaan walaupun wanita itu dilihat sudah tidak bergerak lagi.


"Tiada tangkapan dibuat pada masa ini dan polis sudah menggerakkan operasi bagi memburu suspek," katanya.


Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim di talian 016-862 5302 dengan segera.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394/302, Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan bunuh," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Layu dipukau Berlusconi

Posted: 29 Sep 2011 09:09 AM PDT

ROME: Seorang wanita yang didakwa membekalkan pelacur untuk melayan nafsu Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, mendedahkan bagaimana dia "terpukau" dengan daya seksual lelaki terbabit.

Aktres, Sabina Began, adalah seorang daripada lapan individu didakwa menyediakan pelacur untuk parti dianjur Berlusconi.


Sesetengah pelacur itu dibayar untuk bermalam bersama Berlusconi.

Dalam temu bual untuk edisi terkini majalah Vanity Fair, Sabina, 38, menceritakan dia terkulai dalam pelukan Berlusconi ketika menghadiri parti di vila ahli politik itu.


"Saya seolah-olah dipukau dan ia adalah malam yang sangat indah," katanya.


Memiliki tatu bertulis "SB" pada buku lalinya sebagai menghormati Berlusconi, Sabina berkata, dia tiba di vila berkenaan di Sardinia bersama sekumpulan tetamu, termasuk pengurus Formula 1, Flavio Briatore, serta isterinya, Elisabetta Gregoraci.

Selepas bersemuka dengan Berlusconi, kata Sabina, dia terus terpesona terhadap ahli politik terbabit dan ditunjukkan tasik kecil di vila berkenaan pada 2005.


"Saya bertanya jika boleh kembali semula ke situ bersama teman lelaki - jika saya memilikinya satu hari nanti.

"Berlusconi memandang tepat ke mata saya dan berkata: Tidak, kecuali jika anda menjadi teman wanita saya. Untuk membolehkan ia berlaku, anda mesti memegang tangan saya.


"Sejak itu, kami tidak memandang ke belakang lagi," katanya.


Mereka juga pernah menikmati makan malam di atas kapal layar Briatore.


Di situ, kata Sabina, Berlusconi berbisik kepadanya dan dia berasa seolah-olah dipukau.


"Selepas dua jam, saya menyatakan kesediaan untuk menemaninya di ranjang," katanya.


Sabina berkata, dia dilamun cinta ketika itu dan Berlusconi satu-satunya lelaki yang melayannya sebagai seorang wanita sebenar.


Dalam temu bual dengan stesen radio awal tahun ini, Sabina mendakwa, Berlusconi "membantunya mengenali tuhan melalui pengalaman rohani." - DM

Lelaki buruan bekerja sebagai warden penjara

Posted: 29 Sep 2011 09:06 AM PDT

BEIJING: Seorang lelaki yang diburu pihak berkuasa ditemui bekerja sebagai warden penjara - 10 tahun selepas dia didapati melarikan bagi mengelak didakwa di mahkamah, lapor Beijing News, semalam.

Wang Zhijia, 37, didakwa menyerang dan mencederakan isterinya 10 tahun lalu selepas kedua-dua mereka bertengkar.


Beberapa hari lalu, lapor akhbar itu, Wang ditemui bertugas di penjara Anhui, kira-kira 260 kilometer dari rumahnya di tengah China.

Wang menyamar sebagai abangnya untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pembantu pasukan polis di Anhui pada 2008 sebelum bertugas sebagai warden penjara dua bulan lalu. Penyamaran Wang terbongkar selepas polis mengesan berlaku pertindihan identiti. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Enggan imbas kisah lama

Posted: 29 Sep 2011 06:26 AM PDT

"SYUKUR Alhamdulillah, akhirnya kebenaran itu berpihak padaku. Akhirnya dia memohon maaf di atas kesilapannya selama ini terhadapku".

Itulah status yang ditulis komposer sensasi, Julfekar Ahmad Shah di laman facebooknya, baru-baru ini hingga menimbulkan persoalan apakah kemelut antara dia dengan penyanyi Farawahida Razali, 26, sudah berakhir?

Bagaimanapun apabila diminta komen penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu, Fara enggan mengulas lanjut.

Katanya, dia ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Alasannya mudah saja, tidak mahu mengimbas semula cerita lama.


"Apa yang saya boleh katakan, memang kami sudah berbaik semula baru-baru ini.

Sebenarnya, saya memang tidak pernah berdendam dengannya dari dulu lagi kerana saya tetap kenang jasanya menaikkan nama saya dalam bidang hiburan dulu.

"Saya sudah memaafkannya sebagai saudara sesama Islam dan kami juga yang putuskan untuk sama-sama bermaafan ketika itu.

"Walaupun sudah berbaik, saya tidak mahu lagi ada kaitan dengannya termasuk bekerjasama dalam album pada masa akan datang. Saya percaya lebih baik begitu saja demi menjaga nama baik keluarga," katanya ketika dihubungi.

Fara mengakui telefon bimbitnya tidak berhenti berdering dihubungi pihak media apabila keluar kenyataan Julfekar di akhbar mengatakan mereka sudah berbaik semula.

Difahamkan, Julfekar menarik semula saman terhadap Farawahida yang difailkan tiga tahun lalu apabila mahkamah mengeluarkan perintah supaya membuat permohonan maaf berhubung isu yang timbul. Fara memohon maaf sebagaimana diperintahkan di hadapan hakim mahkamah, Datuk Nor Bee Ariffin pada 21 September lalu.

Apapun, Fara berharap cerita kontroversi yang pernah melanda hidupnya sebelum ini tidak diungkit lagi kerana ia sudah pun menjadi sejarah.

Walaupun ia pahit untuk ditelan, Fara percaya ada hikmah di sebalik semua keperitan itu.

Kata Fara, apa yang berlaku mematangkan dirinya dan kini sudah mula belajar berdikari yang sebelum ini tidak pernah terfikir olehnya.

"Saya sendiri tidak percaya dengan pencapaian diri selepas hidup berdikari sejak tahun lalu. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang sudah tertulis dalam hidup.

"Malah, saya bangga dengan apa yang dikecapi sekarang. Banyak perkara yang saya belajar sejak mula berdikari menguruskan karier seni.

"Contohnya, saya buat semua perkara dari A hingga Z dan ia pengalaman baru dalam hidup. Ia juga memberi kepuasan yang lebih pada diri sendiri.

"Kalau dulu saya bergantung pada orang lain untuk membawa saya memenuhi undangan persembahan, tapi kini saya sudah ada lesen memandu sendiri. Saya juga sudah memiliki kereta sendiri sehari sebelum Aidilfitri lalu.

"Ia juga duit dari titik peluh melalui undangan persembahan yang tidak putus diterima setiap bulan. Mungkin orang tidak percaya, saya tidak pernah minta duit sesen pun dari ibu bapa atau hutang duit dengan orang, sejak berkecimpung dalam bidang seni, hampir tujuh tahun lalu.

"Sayalah juga yang membantu keluarga untuk mempunyai rumah lebih selesa di Taiping, Perak. Bapa juga hanya menjadi penjamin bila saya membeli kereta tahun ini," katanya .

Buat masa ini, Fara juga tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman tiada masalah bekerjasama dengan komposer lain.

Fara ingin mengubah persepsi orang yang selama ini menganggap hanya boleh bekerja dengan Julfekar saja.

"Terbaru, saya bekerjasama dengan Manusia Putih untuk single terbaru, Jangan Tanya Aku Lagi, selepas dua tahun tidak ada lagu baru. Single ini juga menjadi lagu tema untuk drama bersiri Mata Ayer menerusi slot Legenda di TV3.

"Saya juga bekerjasama dengan komposer baru, Tot untuk lagu raya berjudul Hayati Raya Sejati yang dihasilkan hampir tujuh tahun dalam bidang nyanyian.

"Saya juga ada terfikir membuka syarikat sendiri untuk menguruskan karier seni
tapi semua masih dalam perancangan," katanya.

Fara menafikan lagu Jangan Tanya Aku Lagi menceritakan kisah silamnya dan menegaskan lagu ditulis Manusia Putih itu tidak ada kaitan dengan dirinya.

"Tapi saya akui sukakan judul lagu itu malah lagu dan liriknya memang mencipta khas buat saya. Selama ini, orang tanya bila saya nak keluar lagu baru, kini jawapan saya mudah saja, Jangan Tanya Aku Lagi. Lebih bermakna, single ini dihasilkan dengan duit sendiri dan bukan ditaja mana-mana pihak.

"Proses pembikinan single ini juga membabitkan tempoh empat bulan dan saya puas hati dengan hasilnya. Alhamdulillah, single ini mendapat sambutan baik dari peminat sejak mula diputarkan di radio tempatan, dua bulan lalu. Menyusul selepas ini adalah single kedua," katanya.

Mengenai hubungannya dengan bakal doktor muda yang hangat diperkatakan itu, Fara enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menghebohkan kisah cintanya.

Katanya, dia masih dalam fasa mengenali hati budi.

"Insya-Allah, saya pasti tidak akan sorok hari bahagia dari pihak media dan peminat yang banyak menyokong karier saya selama ini apabila sampai masanya nanti," katanya merancang membeli rumah sendiri sebelum fikir soal kahwin.

PROFIL:

NAMA PENUH: Farawahida Razali
TARIKH LAHIR: 19 Mac 1985
TEMPAT LAHIR: Taiping, Perak
KERJAYA: Penyanyi
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak keempat daripada enam beradik

PENCAPAIAN: Artis Baru Wanita Popular - Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dan Juara Etnik Kreatif AJL23 menerusi lagu Persoalan Cinta

ALBUM: Farawahida, Tanpamu, Semuanya Ada Di Sini dan Farawahida 2009

Karyawan, Pbank cari dana

Posted: 29 Sep 2011 05:53 AM PDT

KETIKA kembali memegang tampuk presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) buat penggal ketiga pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Karyawan pada 30 Jun lalu, ayat pertama yang keluar dari mulut Datuk Freddie Fernandez ialah ingin terus menjaga kebajikan karyawan seni terutamanya pemberian pencen untuk artis veteran.

Karyawan memperkenalkan Skim Pencen itu sejak enam tahun lalu bagi membantu mereka meneruskan kehidupan. Namun, disebabkan kekurangan dana ia terpaksa dihentikan sejak November lalu, menjadikan nasib sebahagian artis veteran semakin kelam.

Bagaimanapun Freddie berjanji akan merancang pelbagai aktiviti untuk mencari wang dan paling cepat ia akan berjalan selepas hari raya. Menepati janjinya, Karyawan tampil dengan majlis makan malam dinamakan Malam Gala Seribu Bintang 2011 bagi mengumpul dana Tabung Penggiat Seni Karyawan.

Kali ini, mereka bergabung dengan Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (Pbank) yang juga mencari dana untuk mengisi tabung bantuan mereka menerusi penganjuran majlis itu.


Acara yang akan berlangsung pada 19 Oktober di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur ini menampilkan persembahan artis popular, Jamal Abdillah, Aishah, Julie Sudiro, Ibnor Riza dan ramai lagi artis.


Turut diadakan, pertunjukan fesyen daripada Maya Karin, Natasha Hudson, Neelofa, Vanidah Imran dan Dynas yang akan menggayakan fesyen rekaan Albert King serta aksesori barangan kemas dari Mouawad.

Freddie berkata, Karyawan sudah menjalinkan kerjasama dengan Pbank sejak 2000 lagi menerusi pembabitan artis-artis dalam majlis yang dianjurkan. Dia bersyukur diberi peluang itu apatah lagi melihatkan Pbank satu pertubuhan aktif mengadakan aktiviti bagi mengisi tabung mereka.

"Menerusi kerjasama erat ini tercetus idea untuk menganjurkan majlis Malam Gala Seribu Bintang 2011 ini. Saya sangat berterima kasih kepada PBank kerana pilih kami terbabit sama sekali gus dapat membantu mengukuhkan dana tabung Karyawan," katanya pada sidang media yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, baru-baru ini.

Sidang media ini dihadiri Naib Yang Di Pertua 1 Pbank, Toh Puan Noor Suzana Abdullah yang juga Toh Puan Bendahara Kedah dan Timbalan Yang DiPertua Pbank, Datuk Wira Abdul Rahman Ismail serta artis tanah air, Datuk Yahya Sulong, MY Shamsuddin, Pak Limra, Datin Paduka Julie Sudiro dan Natasha Hudson.

Meneliti barisan artis yang kuat serta kepelbagaian acara yang bakal ditampilkan, Freddie optimis program ini akan mendapat sambutan masyarakat sekali gus mencapai matlamat mereka.

Sementara itu, Natasha yang pertama kali terbabit dengan program amal sebegini meluahkan perasaan teruja apabila diundang Albert untuk menjayakannya.
Katanya, ini satu tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan dan semua artis lain.

"Ini satu program bagus untuk membantu masyarakat dan artis veteran. Di sinilah perlunya sikap prihatin kita untuk membantu mereka. Saya berterima kasih kepada Karyawan yang menganjurkan program ini serta pihak lain yang turut sama terbabit," katanya.

Yahya Sulong yang berdepan masalah kesihatan dan semakin uzur terharu dengan bantuan berterusan diberikan Karyawan bagi membantu artis veteran.

Katanya jika kesihatannya baik pada malam itu, dia akan membuat persembahan kepada penonton.

"Kalau saya tak sakit, Insya-Allah saya akan main dram malam itu. Saya nak tunjukkan kebolehan main dram serta berlawak kepada penonton sebagai menghargai sokongan yang diberikan. Saya harap program sebegini akan diteruskan kerana artis veteran memang perlukan perhatian semua pihak," katanya.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan persembahan Malam Gala Seribu Bintang 2011, bolehlah membeli meja bernilai RM50,000 (untuk penaja utama dengan 2 meja menempatkan 20 orang), RM30,000 (untuk penaja bersama dengan 2 meja 20 orang), RM20,000 (2 meja 20 orang), RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 (untuk 1 meja 10 orang).

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Siti sengaja ‘sorok kuku’

Posted: 29 Sep 2011 11:47 AM PDT

"MEMANG benar prestasi semasa saya kurang memuaskan kerana tidak berlari dengan sepenuh hati dan serius selepas memikirkan segala masalah membabitkan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia)."

Demikian pengakuan pelari kuartet 4x100 meter wanita negara, Siti Zubaidah Adabi yang mengaku dia tidak mempamerkan prestasi sebenar pada Kejohanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini kerana sudah tawar hati untuk berlari bersama-sama dua lagi pelari dalam kuartet itu, Norjannah Hafiszah Jamaluddin serta Nurul Sarah Abdul Kadir.


Kejohanan ATM adalah antara tiga kejohanan yang menjadi alasan Timbalan Presiden KOM, Karim Ibrahim menerusi laporan Arena Metro baru-baru ini untuk menggugurkan Siti Zubaidah, Siti Fatimah Mohammad dan Yee Yi Ling daripada kuartet 4x100m kerana mendakwa ketiga-tiga pelari itu gagal mempamerkan aksi memberangsangkan di tiga kejohanan terbabit.

Namun Siti Zubaidah mendakwa, selain kejohanan ATM, dia, Siti Fatimah dan Yi Ling tidak berlari bersama-sama Norjannah serta Nurul Sarah pada dua lagi kejohanan iaitu Terbuka Negeri Sembilan dan Grand Prix KOM sekali gus mencetuskan persoalan benarkah dakwaan Karim itu.


"Masa itu (Kejohanan ATM) semangat saya dan Siti Fatimah untuk berlari hanya kira-kira 50 peratus saja kerana kami berdua memang sudah tawar hati untuk berlari bersama Norjannah dan Nurul. Malah kami pun tak bercakap dengan mereka berdua.


"Semuanya sebab kami rasa seolah-olah keadilan tidak memihak kepada kami sedangkan individu yang di pihak bersalah, tidak pula dikenakan sebarang tindakan atau menerima tekanan," katanya.

Apa yang dimaksudkan Siti Zubaidah ialah dia serta Siti Fatimah dan Yi Ling yang mengikut arahan untuk berlatih bersama jurulatih, Tan Kok Lim dan bukan lagi di bawah kendalian Harun Rasheed Othman seperti yang dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN), seolah-olah dilayan di pihak bersalah oleh KOM.


Sedangkan katanya, Norjannah dan Nurul Sarah yang ingkar arahan itu dan terus berlatih di bawah Harun, tidak pula dikenakan sebarang tindakan sebaliknya terus dikekalkan dalam kuartet 4x100m.

"Jadi di mana sebenarnya keadilan untuk kami? Saya, Siti Fatimah dan Yi Ling tidak pernah ingkar arahan pihak atasan tetapi kenapa kami diperlakukan seperti ini?," katanya.


Ditanya adakah dia serta dua lagi rakannya sedia untuk berbaik semula dengan Norjannah serta Nurul Sarah sekali gus berganding semula untuk mewakili negara ke temasya Sukan Sea di Indonesia, November ini, jawab Siti Zubaidah: "Kami hanya akan berlari bersama Norjannah serta Nurul untuk mewakili negara ke Sukan Sea hanya jika mereka berdua mengikut arahan untuk berlatih di bawah Tan Kok Lim. Selain daripada itu, saya fikir tiada lagi jalan penyelesaian untuk kami digabungkan semula.


"Jujur, saya mahu beraksi di Sukan Sea, tetapi andai tiada persefahaman dalam kuartet ini, bagaimana kami dapat mencatatkan keputusan yang baik di sana nanti," katanya.


Perbalahan dalam skuad pecut negara membabitkan lima pelari itu mula tercetus Mei lalu berikutan skandal lari daripada ujian doping. Bagaimanapun, keputusan ujian kemudian didapati negatif.

Safee, Mat Yo jadi sandaran

Posted: 29 Sep 2011 11:43 AM PDT

GANDINGAN berbisa, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha kembali menjadi pertaruhan terbaik ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk menggempur barisan terkuat Australia pada aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, 7 Oktober ini.

Kehadiran semula dua penyerang utama skuad Harimau Malaya itu amat dinanti-nantikan selepas harapan untuk melihat penggempur digeruni ketika Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu tidak kesampaian pada pusingan kelayakan Piala Dunia lalu akibat masalah kecederaan.


Menurut Rajagobal, beliau tidak sabar untuk melihat semula Safee dan Norshahrul atau Mat Yo bergandingan menerajui bahagian serangan.

"Ini masa yang terbaik untuk saya melihat dua pemain ini bermain semula dan saya berharap mereka dapat beraksi dengan baik," katanya yang mengendalikan sesi latihan pusat pertama bersama 26 pemain di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia menentang Singapura Julai lalu, Safee terpaksa 'berseorangan' apabila Norshahrul mengalami kecederaan hamstring yang menyaksikan Malaysia tumpas dalam aksi timbal balik menerusi agregat 6-4 kepada musuh tradisi itu.


Kali terakhir mereka beraksi bersama pada Februari lalu ketika Harimau Malaya mengalahkan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.

Sementara itu Safee yang baru pulang daripada menjalani latihan bersama kelab Cardiff City kelmarin turut teruja untuk kembali beraksi di sisi Norshahrul.


"Ini baguslah untuk pasukan kebangsaan apabila kami dapat bersama semula, dia (Norshahrul) pun sudah pulih daripada kecederaan, prestasi dia dalam saingan Piala Malaysia juga bagus, harap saya dan dia dapat beraksi bersama menentang Australia," katanya.

Aksi menentang Socceroos ini bakal menjadi ujian besar buat Rajagobal yang bakal mempersiapkan diri untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun depan selepas mereka gagal dalam misi kelayakan Piala Dunia.


Bagi Rajagobal, beliau menganggap pertemuan dengan skuad kendalian Holger Osieck ini adalah pendedahan terbaik buat anak buahnya yang kali ini turut dibarisi muka-muka baru antaranya Wan Zaharulnizam Zakaria, Syahrul Azwari Ibrahim, K Reuben dan Norazlan Razali.


"Ini kesempatan terbaik untuk pemain-pemain mendapat pengalaman apabila bertemu dengan pasukan bertaraf dunia seperti Australia. Ini juga peluang untuk saya menilai kemampuan pemain berdepan pasukan kuat dari aspek teknikal, mental dan fizikal," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved