Jumaat, 28 Oktober 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Busana, solekan biar sepadan

Posted: 28 Oct 2011 07:51 AM PDT

MEMPELAI yang mengenakan gaun perkahwinan bersesuaian dengan karakter peribadi mereka akan lebih yakin, sekali gus memancarkan aura kecantikan semula jadi ketika berada di hadapan ribuan tetamu.

Oleh sebab itu, penting bagi bakal mempelai mempamerkan karakter asli ketika berbincang dengan perunding perkahwinan bagi membolehkan busana pilihan bersesuaian dengan bentuk tubuh serta jenis fabrik digunakan supaya kedua-duanya anggun menawan tatkala berjalan menuju ke pelamin nan indah.

Menurut pemilik butik D'Cinnamon Beauty House yang hanya mahu dikenali sebagai Hanie, kebanyakan mempelai banyak membuat rujukan menerusi majalah dan Internet mengenai konsep serta gaun yang akan digayakan. Apa yang dipamerkan di dalamnya semuanya bersifat sempurna dari segi fabrik, perincian manik, solekan dan model yang menggayakannya.

Bagaimanapun, kesempurnaan yang terserlah menerusi padanan pada peragawati berwajah cantik serta bertubuh langsing ini belum tentu sesuai untuk bakal pengantin. Ini kerana terdapat beberapa panduan yang harus diikuti agar pada hari bahagia itu nanti, kekurangan mempelai dapat disembunyikan dan yang terserlah semuanya hebat dan menawan pada mata tetamu.


"Sebagai perunding perkahwinan, walaupun kami sedaya upaya menyediakan keperluan mengikut pilihan mempelai, kami akan memberikan pro dan kontra mengenai apa yang menjadi pilihan mereka. Sebaiknya busana harus menonjolkan kelebihan dan menutupi kekurangan bentuk tubuh kerana di sinilah letaknya titik tumpu pandangan tetamu," katanya.


Dalam hal ini potongan, fesyen, fabrik dan warna akan diperbincangkan.
Walaupun di pasaran terdapat kepelbagaian potongan seperti moden, kontemporari atau tradisional, namun terpulang kepada konsep majlis itu sendiri.

"Biasanya saya mencadangkan mempelai memilih tema moden atau kontemporari sesuai dengan arus fesyen semasa. Misalnya gaun berpotongan empayar yang akan menampakkan kelangsingan tubuh mempelai," katanya.

Selain potongan, warna juga berubah mengikut musim. Jika 10 tahun lalu rona terang menjadi pilihan, kini warna pastel mewarnai konsep majlis. Kelabu, putih, krim, coklat dan kuning keemasan yang digabungkan dengan ungu lembut, merah jambu dan perak melatari busana perkahwinan dan juga pelamin.

Warna dengan jolokan rona mewah selain nampak lembut juga membuatkan pengantin berada dalam kelas tersendiri. Apatah lagi sekiranya busana menggunakan fabrik renda Perancis atau Swiss, shantung, sutera Itali, organza atau sifon yang beralun cantik pada tubuh si pemakai.

"Walaupun rona pastel menjadi pilihan semasa, namun saya masih menyediakan busana daripada warna terang seperti merah cili atau biru bagi mempelai yang berani menggayakannya. Tiada masalah kerana rona ini jika bersesuaian dengan kulit akan membuatkan mereka tampil hebat dan menawan," jelasnya yang turut menyediakan khidmat solekan kepada bakal raja sehari.

Tambah Hanie, busana yang hebat dan gah tidak akan menyerlah sekiranya mempelai tampil dengan solekan yang tidak sepatutnya. Justeru, sebelum membuat pilihan mereka harus memilih jurusolek yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

Apa yang penting, solekan haruslah seimbang dan nampak semula jadi supaya seiring dengan rekaan busana serta keindahan singgah sana.

Butik D'Cinnamon Beauty House yang dibuka sejak 10 tahun lalu menyediakan kepelbagaian busana pengantin sama ada untuk majlis pertunangan, pernikahan atau persandingan.

Dikhususkan untuk pengantin bertudung dan tidak bertudung, pakej disediakan meliputi pelamin, solekan, katering dan sewa baju pengantin pada harga RM1,200 ke atas.

Full content generated by Get Full RSS.

Koleksi unik Chantum

Posted: 28 Oct 2011 07:29 AM PDT

JENAMA barang kemas terkenal, Selberan memperkenalkan koleksi Chantum yang boleh dijadikan sebagai hadiah tidak ternilai buat insan tersayang.

Himpunan koleksi terbaru itu didatangkan dalam bentuk kemasan bulatan dan empat segi bagi menunjukkan perlambangan simbol dunia berasaskan fizikal dan rohani.

Bulatan merupakan simbol sejagat yang melambangkan perpaduan dan keutuhan daripada sisi femininnya manakala bentuk empat segi mewakili kekukuhan dunia fizikal melalui sifat simetri.

Selain itu, simbol empat segi juga menegaskan dan menggalakkan keseimbangan manakala bulatan mewakili sifat tenaga yang tidak terhingga dan kekayaan alam semesta.


Sentuhan istimewa Chantum menggabungkan potongan brilliant dan princess berlian Selberan dalam bingkai emas bulat dan segi empat yang mencerminkan keseimbangan dalam setiap koleksi barang kemas itu.


Gabungan kedua-dua unsur pelengkap berkenaan membuatkan koleksi Chantum ini memberi keharmonian dalam kehidupan.

Koleksi unik Chantum memperlihatkan berlian Selberan dalam gaya terkini serta reka bentuk aneh yang bermain dengan bulatan dan empat segi. Ia merangkumi cincin, anting-anting, rantai leher dan loket.

Disaluti emas putih 18 karat dengan setiap reka bentuknya mempunyai aksen emas kuning, ia mampu menyerlahkan gaya si pemakai bersama busana yang dikenakan tanpa mengira majlis yang dihadiri sama ada formal mahupun keraian biasa.

Setiap perincian dalam penghasilan koleksi Chantum menunjukkan jenama Selberan mementingkan hasil kerja tangan yang berkualiti tinggi.

Ia turut membuktikan nilai 4C iaitu kemahiran bertukang (craftmanship), kreativiti (creativity), kredibiliti (credibility) dan keyakinan (confidence) menjadi teras utama penghasilan sesuatu barangan kemas koleksi barangan kemas keluaran Selberan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Judi Internet dalam pusat urut

Posted: 27 Oct 2011 09:37 AM PDT

AMPANG: Dua sindiket perjudian Internet dikesan berselindung di sebalik perniagaan refleksologi untuk menjalankan kegiatan mereka di Pandan Indah dan Ampang Avenue, di sini, sejak sebulan lalu.

Kegiatan sindiket itu terbongkar hasil serbuan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Isnin lalu.


Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Jabatan Penguat kuasa MPAJ, Rosli Jaafar bersama 12 anggota itu menemui premis kedua-dua sindiket terbabit yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan membuka pusat siber haram. Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad dalam kenyataan medianya berkata, dalam serbuan pertama di Pandan Indah, pihaknya menemui sebuah bilik berkeluasan 10X10 meter yang terletak berasingan dari pusat urut itu.

Katanya, ketika ditanya, penjaga premis terbabit mendakwa bilik itu stor menyimpan barang, tetapi sebaik membuat pemeriksaan, pihaknya menemui enam komputer serta terdapat dua pelanggan yang leka melayari Internet disyaki berjudi secara atas talian.


"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti kafe siber di pusat urut itu beroperasi sejak sebulan lalu. Premis terbabit juga didapati tidak menjalankan perkhidmatan urut kaki seperti diiklankan berdasarkan bilik dalam premis itu.


"Ketika serbuan juga terdapat seorang pelanggan diurut seorang tukang urut dari Thailand. Berikutan itu, pihaknya mengambil tindakan ke atas pemilik premis terbabit kerana menjalankan perniagaan pusat siber dan melanggar syarat lesen bagi aktiviti rumah urut," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua di sebuah premis di Ampang Avenue, pihaknya menyita lapan komputer dan menahan dua pelanggan yang disyaki terbabit aktiviti perjudian atas talian.


Selain itu, ketika operasi penyitaan, anggota penguat kuasa menemui beberapa kondom serta gel yang disorok di bawah tilam. Tindakan penyitaan sudah diambil ke atas semua aktiviti di premis terbabit dan MPAJ memohon kerjasama orang ramai supaya memaklumkan perkara yang diragui kepada pihaknya bagi tindakan segera.

Full content generated by Get Full RSS.

Serang jiran buat bising

Posted: 27 Oct 2011 09:35 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dua beranak ganas. Itu ungkapan layak diberikan kepada seorang ibu berusia 40-an dan anak lelakinya berusia lewat 20-an apabila nekad menyerang sebelum memukul tiga beranak yang juga jiran mereka dalam kejadian di Bandar Tun Razak, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dua beranak terbabit menyerang tiga beranak itu disebabkan tidak berpuas hati kerana keluarga terbabit membuat bising, pada jam 5.30 petang.

Akibat serangan dua beranak itu, mangsa yang juga pesara kerajaan berusia 59 tahun patah tiga gigi hadapan manakala isteri berusia 58 tahun dan menantu perempuannya berusia awal 20-an cedera di badan dan kepala.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, pada mulanya, suspek lelaki datang ke rumah mangsa dalam keadaan marah.


"Isteri mangsa dan menantu perempuannya cuba menenangkan lelaki itu sebelum mengajaknya berbincang," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Seksa batin disekat amah

Posted: 27 Oct 2011 10:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Sudah hampir tujuh tahun saya tidak 'bersama' isteri. Setiap kali ingin melakukannya, nafsu saya seperti disekat dan saya jadi tak bermaya, namun keadaan jauh berbeza apabila saya melihat perempuan lain."

Itulah keluhan seorang lelaki mahu dikenali sebagai Zakry, 33, yang percaya masalah dialaminya itu angkara pembantu rumah yang sengaja ingin merosakkan rumah tangganya. Eksekutif sebuah syarikat swasta itu percaya dia tidak membuat tuduhan melulu, sebaliknya memiliki beberapa petunjuk atau bukti yang dirasakan berasas.

"Pada mulanya, saya menyangka saya ada masalah seksual atau lemah tenaga batin. Hasil perbincangan dengan isteri, kami berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian. Namun, pemeriksaan doktor mengesahkan saya tidak mengalami masalah seksual," katanya kepada Harian Metro.

Berikutan itu, Zakry bersama isteri berbincang dengan keluarga dan mereka dicadangkan berubat secara Islam kerana mungkin ada pihak menggunakan cara halus merosakkan rumah tangganya.


"Kami pergi berubat dengan seorang ustaz di Perak dan terkejut apabila ustaz itu memberitahu saya terkena sihir dipercayai dilakukan orang yang pernah duduk serumah dengan kami.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiga mayat atas jalan

Posted: 27 Oct 2011 10:06 AM PDT

SHAH ALAM: Belum pun sempat melepaskan penat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Nepal, sekumpulan 19 pekerja negara itu termasuk lima wanita menempuh detik cemas apabila dua van dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan lori kontena di Kilometer 4.4, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, menyebabkan tiga dari mereka maut manakala lima lagi parah, semalam.

Dalam kemalangan pada jam 3 petang itu, dua van yang membawa pekerja asing itu dalam perjalanan ke kilang Top Glove, Meru.

Berikutan itu, tiga daripada lima wanita Nepal terbabit maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari van berkenaan. Mayat mereka bergelimpangan di atas lebuh raya. Mangsa yang maut dikenali sebagai Kamala Devi Gurigai, Dil Kumari Shrestha dan Dil Maya Gurung berusia 25 hingga 30 tahun.

Sementara itu, pemandu van, Shahibul Fazilah Zahari, 40, serta seorang lagi wanita Nepal yang parah belum dikenal pasti.


Mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Ibu tumpang berhutang RM673,000 lepas pasangan Austria larikan anak

Posted: 27 Oct 2011 08:32 AM PDT

COLORADO: Seorang ibu tumpang dari Colorado terpaksa membayar bil kesihatan berjumlah AS217,000 (RM672,699) selepas melahirkan bayi kembar untuk pasangan dari Austria yang melarikan diri dari Amerika Syarikat bersama bayi kembar itu.

Carrie Mathews berkata, dia hampir mati ketika melahirkan anak Rudolf dan Teresa Bako Julai lalu kerana mengalami komplikasi teruk.

Walaupun kedua-dua keluarga itu sudah menandatangani kontrak, termasuk membayar bil kesihatan, Carrie berkata, pegawai kesihatan meminta bayaran tetapi pasangan Bako enggan berbuat demikian.

Carrie memberitahu 9News, dia bertemu pasangan Bako yang 'sempurna' itu selepas menemui sesawang Pusat Ibu Tumpang dan Anak Angkat Kebangsaan di internet.


Katanya, pasangan itu dalam lingkungan 50-an sudah 20 tahun cuba mendapatkan anak.


Pasangan itu bersetuju membayar AS25,000 (RM77,500) untuk mengandungkan seorang anak dan menandatangani kontrak 30 lebih halaman tentang perkara yang mungkin berlaku ketika kehamilan dan bayaran yang perlu diselesaikan.

"Pasangan itu akan membayar AS2,000 (RM6,200) setiap bulan (jumlah besar RM77,500), Mereka akan memasukkan wang ke dalam akaun di agensi," kata Carrie.

Katanya mereka masih berhutang sebanyak AS$14,000 (RM43,400) kepadanya.

Menurut laporan, Carrie terbang ke Cyprus untuk proses pemindahan embrio.

Pasangan Bako membayar kos penerbangan dan tempat tinggal selama 17 hari ketika dia berada di sana.

Katanya dia hamil dengan bayi kembar dan tidak seperti kehamilannya yang dulu, kali ini dia mengalami masalah. Carrie mengalami pra-eklampsia, satu masalah kesihatan yang membawa kepada hipertensi kepada ibu mengandung dan boleh menyebabkan kematian.

Full content generated by Get Full RSS.

Wajah Charla tidak lagi menggerunkan

Posted: 27 Oct 2011 08:30 AM PDT

STAMFORD (Connecticut): Seorang ibu yang muka dan tangannya terkoyak akibat diserang cimpanzi bersuara kepada umum buat kali pertama sejak melakukan pembedahan pemindahan wajah.

Charla Nash, 55, cuba untuk menangkap monyet milik majikannya, Travis yang lari apabila haiwan itu menyerangnya pada Februari 2009. Dalam serangan cimpanze seberat 90.7 kilogram itu menyebabkan mata Charla menjadi buta selain mencederakan hidung, telinga, bibir dan kedua-dua belah tangannya hingga ibu tunggal itu nyaris meninggal dunia.


Travis, 14, ditembak mati oleh polis ketika Charla dikejarkan ke hospital dekat kediamannya di Stamford, Connecticut.

Pembedahan kecemasan selama tujuh jam menyelamatkan nyawa Charla tetapi menyebabkan wajahnya cacat teruk.


Dua tahun kemudian, wajah Charla hampir pulih selepas menjalani pembedahan pemindahan wajah.


Orang kedua yang menjalani pembedahan sedemikian, Charla berkata mengenai muka barunya: "Ramai orang memberitahu saya, saya kelihatan cantik sekarang dan saya tidak pernah diberitahu seperti itu sebelum ini. Saya tahu saya kelihatan baik-baik saja." "Saya tidak perlu bimbang muka saya akan menakutkan orang lain," katanya.

Charla mengunjungi rakan dan majikannya, Sandra Herold apabila haiwan peliharaan keluarga itu merampas kunci kereta Sandra dan melarikan diri menerusi pintu yang terbuka.


Kedua-dua rakan itu mengejar Travis yang pernah muncul beberapa kali dalam pertunjukan dan iklan di televisyen Amerika tetapi Charla yang dapat menangkapnya.

Kecederaannya dikatakan sangat parah hingga kakitangan hospital terpaksa menerima kaunseling selepas merawatnya.


Bagaimanapun, Charla tidak pernah putus harapan. Charla berkata: "Saya rasa pada mulanya, saya sering berfikir mengapa saya yang menghadapi musibah ini? "Seluruh kehidupan saya tidak mudah tetapi saya tidak putus asa." Charla menjalani pembedahan pemindahan muka pada Jun lalu. Pembedahan menyakitkan itu membabitkan puluhan doktor dan mengambil masa selama 20 jam.


Pembedahan pemindahan wajah itu berjaya walaupun usaha untuk menyambungkan semula tangan ke lengannya yang cedera tidak berjaya kerana tubuhnya menolak anggota baru.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Enggan jadi gadis hipokrit

Posted: 27 Oct 2011 06:21 AM PDT

WAJAH cantik dikatakan satu taruhan buat dua bintang baru, Nur Anzalna Md Nasir atau Anzalna dan Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam (Ramona) bagi mengukir nama dalam industri seni tempatan.

Tambahan pula mereka pernah menjadi finalis pertandingan Dewi Remaja, maka selalunya wajah yang cantik lebih disebut-sebut.

Sudah tertulis, rezeki menyebelahi mereka apabila disatukan dalam filem Sepah The Movie yang kini masih menjalani penggambaran di Johor Bahru, Johor.

Ditemui pada satu sesi fotografi khas bersama Rap di pusat Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts, baru-baru ini, kedua-dua artis jelita terbabit menafikan bahawa pembabitan mereka dalam dunia lakonan bersandarkan rupa semata-mata.


Kata Anzalna, 23, sebagai pelakon rupa bukanlah segalanya. Malah, sesiapa saja mampu kelihatan cantik kalau pandai bersolek.


"Saya bukannya cantik sangat," katanya merendah diri dan kemudian menyambung, "Sebagai pelakon, saya seboleh-bolehnya mahu membuktikan kepada penonton akan bakat dimiliki. Waktu sama, sekiranya saya bergantung kepada rupa saja pasti kerjaya lakonan tidak akan bertahan lama."

Jinak bermanja dengan kuda, gadis ini menjelaskan, kalau seseorang pelakon itu mampu membawakan wataknya dengan berkesan, pasti penonton akan lebih ingat dan tidak lagi 'ambil pusing' soal rupa.

Atas alasan itu juga kata Anzalna, dia tidak pernah gentar untuk menonjolkan dirinya yang sebenar termasuk memperkenalkan teman lelaki kepada umum kerana baginya hal peribadi dan kerjaya tidak seharusnya dikaitkan.

"Saya tidak suka menipu kerana saya percaya walau macam mana pun saya cuba menyembunyikan perkara sebenar, kebenaran akan diketahui juga pada masa akan datang. Bayangkan kalau saya kata saya tidak ada teman lelaki, kalau orang nampak saya keluar berdua pasti kelak akan ada orang mencemuh dan kata saya hipokrit. Saya tidak mahu perkara itu berlaku.

"Mengaku sudah mempunyai teman lelaki juga bukanlah satu perkara yang salah.
Sebaliknya kalau kita menipu orang itu salah. Bagaimanapun, jangan ada pula pihak yang menyalah anggap dengan mengatakan, saya sengaja bercakap sudah mempunyai teman lelaki dengan niat untuk menunjuk-nunjuk. Cuma kalau ada yang bertanya saya akan bercakap benar. Itu sudah menjadi prinsip hidup saya," katanya.

Bercerita mengenai persaingan yang ada sekarang terutama daripada rakannya sendiri yang sama-sama menyertai pertandingan Dewi Remaja dan menjadi pilihan penerbit, kata Anzalna, perkara itu tidak perlu dibimbangkan kerana rezeki setiap orang sudah ditetapkan.

"Begitu juga dengan perkahwinan. Mungkin ada orang takut hendak mengakui sudah mempunyai teman lelaki atau berkahwin dengan alasan peminat akan lari dan produser tidak mahu memberikan tawaran berlakon. Perkara seperti itu tidak akan berlaku sekiranya seorang pelakon itu benar-benar menunjukkan bakatnya," katanya.

Beralih kepada watak yang dilakonkan dalam filem Sepah The Movie, jelas Anzalna, dia memegang watak sebagai gadis kampung bernama Ayu Sofea bersifat lemah lembut dan menjadi rebutan.

"Watak yang saya bawakan dalam filem ini tidaklah berat sangat. Boleh dikatakan Ayu Sofea ini banyak persamaan dengan diri saya. mengenai babak cinta dalam filem ini sebenarnya tidaklah banyak sangat," katanya.

Sementara itu bagi Ramona, dia menyangkal kenyataan yang mengatakan pembabitannya dalam dunia lakonan berbekalkan rupa dan statusnya sebagai peserta Dewi Remaja. Sebaliknya dia sudahpun berlakon sejak berusia 14 tahun lagi.

"Sebelum ini memang tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi pelakon tetapi pembabitan saya dalam filem Castello mengubah segala-galanya. Saya berasakan seperti lakonan sudah menyerap dalam diri, dan sejak itu saya tahu inilah yang saya mahu lakukan untuk kerjaya," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Ramona, dia terpaksa melupakan dunia lakonan buat sementara waktu kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran. Itu juga syarat yang diberikan ibu bapanya sekiranya dia mahu menjadikan lakonan sebagai kerjaya.

"Saya berlakon sewaktu berada di tingkatan dua, kemudian ibu bapa saya minta saya berikan tumpuan kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sehinggalah tamat pengajian sekolah menengah. Selepas itu, saya berlakon kembali tetapi tidak beberapa aktif. Mungkin sebab itu orang tidak berapa kenal saya sebagai pelakon sehinggalah selepas saya menyertai pertandingan Dewi Remaja," katanya.

Pada Ramona, walaupun dia meminati bidang lakonan tetapi tumpuan terhadap pelajaran juga tidak boleh diabaikan kerana ia mampu dijadikan bekalan pada
masa depan. Tawaran untuk membintangi filem Sepah The Movie pula berani
diterima pada saat dia bakal menamatkan pengajian dalam bidang pengajian
perniagaan tidak lama lagi.

Walaupun namanya tidak sehangat rakan seangkatan seperti Neelofa mahupun Izara Aishah, Ramona tidak menafikan Dewi Remaja sedikit sebanyak berjaya mengangkat namanya lebih dikenali dan dijadikan laluan untuk kembali aktif berlakon.

"Memang kami dilihat cuba bersaing sesama sendiri tetapi setakat ini, saya nampak semua yang menyertai bidang lakonan boleh berdiri dengan bakat masing-masing. Malah, saya sendiri secara peribadi banyak menerima tawaran berlakon.
Alhamdulillah, masing-masing sudah didatangkan rezeki dan cuma sekarang ini saya harus bekerja keras untuk membuktikan kepada umum yang saya benar-benar berbakat dalam dunia lakonan," katanya.

PROFIL ANZALNA

NAMA: Nur Anzalna Md Nasir
NAMA KOMERSIAL: Anzalna
TARIKH LAHIR: 9 Januari 1988
USIA: 23 Tahun
ASAL: Pulau Pinang
HOBI: Melancong, karaoke, menghias rumah
KERJAYA: Model, pelakon
DRAMA: Suria Di Cardoba, Ramadan Terakhir, Gemersik Kalbu
FILEM:: Sepah The Movie
IKLAN: Celcom, Tren2, French Oil

PROFIL RAMONA

NAMA: Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam
NAMA KOMERSIAL: Ramona Zamzam
TARIKH LAHIR: 25 Jun 1990
USIA: 21 Tahun
ASAL: Ipoh, Perak
HOBI: Menunggang Kuda, membaca novel, melancong
KERJAYA: Pelajar, pelakon, model
PENDIDIKAN: Pelajar Pengurusan Perniagaan di Segi College

DRAMA: Begitukah Cinta, Nora Elina, Kali Kedua, Nilapura, Sitcom Nana Tanjung, Otai

FILEM: Castello, 2 Hati 1 Jiwa, Sepah The Movie

Full content generated by Get Full RSS.

Festival Seni KLCC

Posted: 27 Oct 2011 06:02 AM PDT

TERSERGAM indah sebagai mercu tanda ibu kota, Menara Berkembar Petronas atau KLCC sering menjadi tumpuan warga tempatan termasuk pelancong asing.

Menariknya, KLCC bukan saja mempromosi lokasi pusat membeli-belah terbaik negara, malah kewujudan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di dalamnya memberi kemudahan kepada pengunjung menikmati persembahan seni bertaraf antarabangsa.

Dalam menarik perhatian pengunjung ke sini, DFP sering mengatur agenda persembahan seni sepanjang tahun. Berita gembira buat peminat seni tanah air mahupun antarabangsa, DFP kembali membawakan persembahan bersempena Festival Seni KLCC.

Eksekutif Perhubungan Media, DFP, Hisham Abdul Jalil, berkata acara ini adalah anjuran kali kedua selepas ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung ketika pertama kali diadakan tahun lalu.


"Acara ini anjuran bersama DFP, Galeri Petronas dan Petrosains dalam membangunkan KLCC sebagai pusat seni. Apa yang ditekankan, DFP menjadi pentas persembahan muzik dan artis tersohor pelbagai genre manakala Galeri Petronas menghimpunkan 1,400 lukisan hasil pelukis ternama.


"Begitu juga Petrosains muncul sebagai pusat sains dan teknologi kreatif dan
ekspresif. Dengan adanya festival ini, ia bakal mempromosi dan meraikan seni Malaysia di menara berkembar yang ikonik," katanya.

Festival yang memulakan tirai persembahan Rabu lalu menerusi gabungan Ensembel Seni Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) Dance Company, meneruskan agendanya, jam 8.30 malam ini bertemakan Malaysian Diversity.

Persembahan ini didukung Orkestra Tradisional Malaysia dipimpin Mohd Yazid Zakaria. Persembahan ensembel ini bakal memberi kelainan menerusi gandingan persembahan bersama penyanyi undangan seperti Jaclyn Victor, Iqwal Hafiz dan kumpulan Orang Asli, Bahbola.

Antara lagu yang akan dipersembahkan bersama penyanyi ini ialah Gemilang, Joget Kenangan Manis, Somewhere, Corazon Espinado, medley karya terbaik Tan Sri P Ramlee, Pak Ngah Balik, Santubong, Sayang Kinabalu, Dondang Sayang, Empat Dara dan Zapin Budi.

Kata Hisham, persembahan ini bukan hanya hiburan kosong, sebaliknya bakal menyaksikan elemen perpaduan rakyat yang menjunjung tinggi konsep 1Malaysia.

"Untuk persembahan hari ketiga pada 29 Oktober, pengunjung berpeluang
menyaksikan persembahan MPO membawakan tema MPO's Native Foray.

"Persembahan ini dipimpin pemain trombon MPO, Marques Young yang dijangka membawakan seleksi lagu yang diinspirasi daripada karya Tan Sri P Ramlee, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer. Pemilihan lagu dan penyanyi sebegini menterjemah pengaruh muzik tempatan dan antarabangsa.

"Kemeriahan festival ini menutup tirai persembahan bersama Badan Kesenian Warisan Johor yang membawa tema, Johor Heads North pada 30 Oktober. Johor popular dengan tarian zapin dan muzik ghazal. Persembahan sebegini menjadi tarikan yang akan dipersembahkan di pentas DFP nanti.

"Dalam persembahan dikenali Pesona Jauhar, ia dibahagikan kepada empat segmen, Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Mereka yang ingin menyaksikan persembahan di DFP, tiket berharga RM58 boleh dibeli di kaunter Box Office dari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang manakala jam 9 malam pada hari persembahan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-20517007.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Irfan tak tergugat

Posted: 27 Oct 2011 08:11 AM PDT

PERANG psikologi yang mendakwa kononnya Piala Malaysia bakal menjadi milik Negeri Sembilan selepas Terengganu muncul juara Piala FA musim ini tidak sedikitpun merencat strategi jurulatih skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim, sebaliknya jurulatih berpengalaman itu sudah mengadun resipi terbaik untuk menumbangkan lawan pada pentas final di Stadium Shah Alam, malam esok.

"Sekalipun pelbagai persepsi sengaja ditimbulkan sesetengah pihak menjelang perlawanan akhir, ia sedikitpun tidak menjejaskan perancangan saya.


"Malah semangat saya semakin berkobar-kobar untuk menyaksikan persembahan anak buah yang seakan mendapat nafas baru apabila mempamerkan kesungguhan setiap kali sesi latihan.

"Selain itu, saya juga sudah mengadun ramuan terbaik daripada segi fizikal dan mental untuk menyekat hajat lawan yang memburu kejuaraan selepas hasrat mereka untuk muncul juara musim lalu dihalang Kelantan.


"Saya juga percaya azam pemain yang tinggi untuk menambah koleksi kejuaraan kedua selepas muncul juara Piala FA, menambahkan lagi komitmen mereka untuk beraksi bersungguh-sungguh," katanya. Terengganu menewaskan Kelantan 2-1 di final Piala FA, Jun lalu.


Selain itu, Irfan yang pernah melatih Negeri Sembilan pada 1999 berkata, beliau mempunyai dua misi yang perlu dilaksanakan pada aksi final, malam esok.

Misi pertama membantu Terengganu muncul juara kali kedua piala berprestij ini selepas mendakapnya pada 2001 dan kedua, menjulang piala itu buat kali pertama sebagai jurulatih.


"Sepanjang 20 tahun bergelar jurulatih, saya belum pernah mengecap nikmat menjulang trofi Piala Malaysia biarpun kerap bertukar pasukan seperti Negeri Sembilan, Perlis, Telekom Melaka dan kini Terengganu.

"Secara jujur, saya akui dengan peluang kali ini, di saat saya berusia 60 tahun, saya harap dapat menjulangnya.


"Saya yakin berbekal kemahiran individu tinggi dan semangat berpasukan pada setiap pemain Terengganu, kami mampu menang di Shah Alam," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Hadiah hari jadi

Posted: 27 Oct 2011 08:07 AM PDT

SELAIN ingin memahat sejarah tersendiri untuk musim pertama bersama Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah berharap skuad bimbingannya itu mampu merangkul kejuaraan Piala Malaysia musim ini sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya pada 25 Oktober lalu.

Ketua jurulatih skuad Hoben Jang Hoben itu amat mengharapkan detik kegembiraan itu berjaya dilakar bersama apabila anak didiknya turun membuat perhitungan terakhir dengan Terengganu pada perlawanan akhir merebut trofi berprestij itu, di Stadium Shah Alam, malam esok.


Baginya, walaupun pernah merayakan kegembiraan menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut ketika membimbing Kedah sebelum ini, beliau mengakui suasana itu berbeza sama sekali jika meraikannya bersama Negeri Sembilan.

"Ini kerana detik perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini terlalu hampir dengan tarikh lahir saya iaitu pada 25 Oktober lalu, selain ini adalah musim pertama saya membimbing skuad Negeri Sembilan. Jika pasukan ini muncul juara, sudah pasti ia bakal mencatat sejarah tersendiri dalam hidup saya dan akan dikenang sepanjang hayat.


"Oleh itu, saya harap detik kegembiraan itu dapat diraikan dengan kejayaan Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia, trofi yang menjadi buruan dan kemegahan setiap pasukan," katanya.


Pengendali berpengalaman berusia 59 tahun itu yang pernah membimbing skuad kebangsaan sebelum ini, mengaku sudah merangka strategi ampuh untuk diterjemahkan pemainnya malam esok dengan misi menafikan hasrat Terengganu menjulang trofi keagungan itu.

Ketenangan yang terpancar di wajahnya jelas menampakkan dia tidak berdepan masalah untuk berdepan anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu.


"Saya mempunyai banyak pilihan untuk menyenaraikan barisan kesebelasan terbaik pada final ini kerana hampir semua pemain cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan.

"Malah mereka juga sentiasa menunjukkan semangat dan moral yang tinggi serta tidak sabar untuk menggalas cabaran bagi membuktikan kemampuan menjulang nama pasukan.


"Ini menunjukkan pemain tidak menghadapi sebarang tekanan menghadapi Terengganu, namun saya tetap mengingatkan mereka perlu fokus dan memberikan komitmen tinggi demi menjamin kemenangan," katanya.


Apapun, Azraai yakin terhadap keupayaan barisan pemain yang bakal ditampilkan namun tetap akur betapa anak buahnya bakal menghadapi tentangan sengit kerana Terengganu juga memiliki kekuatan tersendiri terutama di barisan depan yang menggabungkan tonggak kebangsaan.


"Yang penting pemain perlu cepat menyesuaikan diri dan sentiasa fokus dengan keadaan cuaca dan padang yang mungkin akan turut mempengaruhi persembahan mereka nanti," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved