Khamis, 1 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ilham kreatif aksesori butang

Posted: 28 Oct 2011 07:29 AM PDT

MUDAH serta tidak memerlukan banyak masa untuk menghasilkan sesuatu rekaan, itulah yang menjadi pegangan pemilik laman aksesori ber–asaskan butang SNf Craft, Siti Norfathiah Md Afandi, 24.

Paling penting, suai padankan bentuk serta corak butang berkenaan dengan kombinasi warna menarik serta perhiasan tambahan yang digunakan untuk mencantikkan lagi perhiasan dihasilkan.

Untuk aksesori butang, dia banyak menumpukan pada koleksi sepit rambut, cekak dan juga kerongsang. Kelengkapan yang diperlukan untuk proses pembuatannya pula ringkas yang hanya menggunakan tampalan gam pistol dan daya kreativiti kerana ia hanya perlu dilekatkan bagi membentuk corak serta bentuk diingini.

"Masa untuk membuatnya juga tidak lama, malah ia boleh disiapkan dalam masa 15 minit saja tanpa perlu bertungkus-lumus seharian.


"Ia lebih menjimatkan masa memandangkan saya tidak gemar menjahit terutama menggunakan mesin tetapi lebih mudah menjahit tangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan Dalam, Ampang, baru-baru ini.


Idea yang digunakan untuk menyediakan koleksi aksesori berkenaan banyak diperoleh melalui pemerhatian laman aksesori di Internet terutama blog aksesori luar negara.

Pemerhatian sebegitu dijadikan panduan untuk mencipta dan mereka aksesori mudah dan ringkas tetapi masih nampak comel dan sesuai dengan kehendak persekitaran tempatan.

"Kebiasaannya kanak-kanak meminati aksesori kepala sebegini untuk digayakan dan dipadankan dengan busana pilihan. Ia bukan saja ringkas, malah harganya juga berpatutan serta mengikut permintaan pelanggan," katanya.

Walaupun baru memulakan perniagaan aksesori berkenaan secara dalam talian awal Februari lalu, Norfathiah tidak sesekali menjadikannya sebagai bebanan walaupun masih bergelar pelajar.

"Saya hanya memfokuskan pada pembuatan aksesori setiap hujung minggu dan tidak akan mencampuradukkan minat dengan pengajian.

"Kedua-duanya amat penting dan untuk itu, saya akan me–nyeimbangkan masa," katanya.

Untuk melihat lebih banyak lagi koleksi aksesori butang yang dihasilkan Norfathiah, layari itsacrafttime.blogspot.com/ teyare.tumblr.com ataupun sertainya di laman facebook.com/snfcrafttilicious.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Mujur 44 nyawa tak melayang’

Posted: 30 Nov 2011 11:47 AM PST

ALOR GAJAH: "Mujur saya tak panik apabila beberapa guru yang duduk di bahagian depan dan belakang saya menjerit dengan kuat apabila melihat sebuah kereta tiba-tiba muncul di satu selekoh tajam," kata Mohd Hafiz Ismail, 22, mengenai kemalangan membabitkan bas sekolah dipandunya dengan sebuah kereta di selekoh Kampung Telok Belanga, Kuala Sungai Baru, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Mohd Hafiz bersama 44 penumpang termasuk 38 pelajar sekolah pendidikan khas dan enam guru pengiring mereka berdepan detik cemas akibat perlanggaran kuat itu yang turut menyebabkan pemandu kereta berusia 20-an parah apabila keretanya remuk teruk. Difahamkan, sebelum kejadian, bas sekolah terbabit dalam perjalanan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Taman Desa Bayu, di sini, selepas mengadakan lawatan sehari di Jasin.


Menurut Mohd Hafiz, dia cuba memaut stereng ke kiri, namun belum sempat berbuat demikian kereta berkenaan yang datang dari arah Kuala Sungai Baru meluncur laju dan merempuh bahagian hadapan kanan bas.

"Beberapa guru yang duduk di bahagian hadapan menjerit kepada saya supaya mengelak dari terus melanggar kereta itu namun saya cuma mampu mengelak ke kiri jalan.


"Dalam keadaan cemas saya sedar di sebelah kiri jalan terdapat penghadang besi dan gaung, jika saya gagal kawal bas dengan baik berkemungkinan boleh meragut 44 nyawa yang ada dalam bas," katanya.


Katanya, akibat perlanggaran kuat itu beberapa pelajar berusia antara tujuh dan 12 tahun tersungkur di atas lantai dan di bawah kerusi manakala kereta berkenaan berpusing beberapa kali.

"Apabila berjaya memberhentikan bas dan memastikan semua penumpang selamat dan tidak cedera saya turun melihat keadaan pemandu kereta yang tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan orang ramai dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.


"Sementara itu, saya dan beberapa guru pengiring terpaksa menahan beberapa buah bas kilang untuk menghantar pelajar tadi pulang ke PDK yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana mereka semua terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharuddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan mengesahkan tiada kemalangan jiwa.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-556 3222 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Pendera Nirmala macam ‘zombie’

Posted: 30 Nov 2011 11:37 AM PST

PUTRAJAYA: Suri rumah, Yim Pek Ha yang disabit kesalahan kerana menyebabkan kecederaan teruk terhadap pembantu rumahnya rakyat Indonesia, dimasukkan ke wad psikiatri Pusat Pakar Universiti Malaya (PPUM) akibat kemurungan, Mahkamah Rayuan diberitahu di sini, semalam.

Peguamnya, Datuk Jagjit Singh mengemukakan sepucuk surat daripada Prof Madya dan konsultan psikiatri hospital itu Dr Subash Kumar Pillai, menyatakan ibu empat anak itu mengalami kemurungan teruk dan beliau kini merawatnya.


Dalam surat itu, konsultan berkenaan menyatakan kini, Yim, 43, merasakan 'fikirannya sangat terganggu dan kemurungan' dan mengalami 'niat untuk membunuh diri'.

Konsultan itu berkata, sungguhpun Yim agak stabil, keadaannya bertambah teruk sejak beberapa minggu lalu.


Surat berkenaan menyatakan Yim dimasukkan ke hospital itu kelmarin.


Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Clement Allan Skinner membenarkan permohonan peguamnya untuk menangguhkan perbicaraan rayuan beliau itu serta rayuan balas pendakwaan terhadap hukumannya tempoh dipenjarakan.

Sulong menetapkan 5 Mac depan bagi tarikh akhir perbicaraan.


Sementara itu, panel menolak permohonan pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Yim.

Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abas membuat permohonan itu selepas membantah penangguhan itu atas alasan ini bukan pertama kali permohonan untuk menangguhkan atas sebab dia mengalami kemurungan.


Beliau berkata, tidak ada ketentuan dalam rayuan itu kerana ada kemungkinan Yim tidak menghadiri perbicaraan akan datang.


Jagjit kemudian memberitahu mahkamah kali terakhir beliau melihat Yim, beliau dalam keadaan 'zombie' selepas makan ubat.


"Ia persepsinya (Yim) bahawa dia tidak bersalah," kata Jagjit sambil menambah hukuman penjara terhadapnya menyebabkan dia kemurungan.


Yim menghadapi empat pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk terhadap pembantu rumahnya, Nirmala Bonat di apartmennya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.


Selepas perbicaraan, dia didapati bersalah dan dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas tiga kesalahan menyebabkan cedera teruk terhadap Nirmala menggunakan seterika panas dan air panas, tetapi dibebaskan atas empat pertuduhan yang menyebabkan kecederaan kepada pembantu rumah itu dengan cawan logam.


Dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hukuman penjaranya dikurangkan kepada 12 tahun.


Mahkamah Tinggi mengekalkan sabit kesalahannya untuk pertuduhan pertama dan kedua, tetapi membebaskannya atas pertuduhan ketiga. Mahkamah Tinggi juga menolak dan membebaskan pertuduhan keempatnya kerana mematahkan hidung pembantu rumah itu dengan cawan keluli oleh Mahkamah Sesyen. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Saya dah nak kahwin’

Posted: 30 Nov 2011 12:07 PM PST

KUALA LUMPUR: Penyebaran gambar terbaru membabitkan Khairul Fahmi Che Mat, 21, atau Apek dengan seorang gadis di Internet sejak Sabtu lalu, membuatkan gadis yang dikaitkan dengan penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan itu dihujani pelbagai tohmahan.

Berikutan itu, gadis terbabit, Nor Hashidah Harmi, 23, atau lebih mesra dengan panggilan Shida mengadakan pertemuan dengan Harian Metro, semalam bagi menjelaskan keadaan sebenar sambil ditemani ibu bapanya, Shamsinar Basrun, 46, dan Harmi Ramli, 46.

Shida berkata, penyebaran gambar itu mengganggu emosi dan mencalarkan maruahnya serta keluarga, tambahan pula tidak sampai dua minggu lagi dia akan melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hati, Mohd Danial Adnan, 24.

"Gambar itu pada mulanya dipaparkan sebuah blog. Berikutan itu, sejak Ahad lalu, saya menerima gangguan daripada peminat Apek yang memberi komen di ruangan blog itu, malah ada yang menghubungi saya dengan menghamburkan kata-kata kesat serta penghinaan.


"Lebih menyedihkan apabila ibu bapa saya disabit dan dituduh tidak pandai menjaga anak. Mujur orang tua saya memahami termasuk tunang kerana mereka tahu itu gambar lama," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Angkara Mat Gian

Posted: 30 Nov 2011 12:07 PM PST

KUALA LUMPUR: Angkara Mat Gian, 10 rumah terbakar dalam kejadian di Tingkat 4, Blok 4, Flat Perumahan Awam Sri Pulau Pinang, Cheras di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, 50 penghuni hilang tempat tinggal dan kini ditempatkan di empat dewan orang ramai di sekitar kawasan perumahan itu.


Penduduk yang dikenali sebagai Goh, 40-an, berkata, ketika kejadian, dia menonton televisyen di rumahnya sebelum mendengar jeritan jiran.

Katanya, ketika hendak keluar dari rumah, mereka ternampak kelibat beberapa Mat Gian berlari keluar dari sebuah rumah kosong di tingkat berkenaan.


"Akibat tindakan mereka, kami tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Seorang lagi mangsa, P Shalini, 17, yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini kehilangan segala dokumen peribadi dan bahan rujukan.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang mengulang kaji pelajaran untuk dua lagi peperiksaan bakal didudukinya hari ini dan 13 Disember. "Kami sekeluarga bukan sahaja hilang tempat tinggal tetapi segala dokumen penting termasuk slip peperiksaan," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.45 malam dan lima jentera bomba dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh sejam namun 10 rumah di Tingkat 4 gagal diselamatkan dan hangus.


Katanya, struktur bangunan berusia lebih 40 tahun itu menyebabkan api marak dengan cepat.


Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan dipercayai berpunca dari sebuah rumah kosong dipercayai digunakan Mat Gian sebagai markas mereka melepas gian.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Norshahrul tak ikut jejak Safee

Posted: 30 Nov 2011 08:37 AM PST

PENYERANG Terbaik 2011, Norshahrul Idlan Talaha tidak berminat mengikut jejak langkah rakan baiknya, Mohd Safee Sali berhijrah ke Indonesia meskipun mengakui menerima banyak tawaran lumayan beraksi bersama kelab Liga Super negara jiran itu.

Dia yang turut menerima anugerah Supermokh selaku Pemain Paling Bernilai pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 semalam menyatakan tidak tertarik untuk beraksi di Indonesia, sebaliknya lebih berminat untuk mewakili kelab di Vietnam atau Thailand.


"Saya mendapat banyak tawaran daripada kelab Indonesia sejak Safee mula berpindah ke negara itu. Tapi bagi saya sendiri, saya sebenarnya lebih berminat untuk beraksi di Vietnam atau Thailand.

"Buat apa saya mahu pergi ke Indonesia sebab kita lebih baik berbanding mereka. Sukan Sea pun kita boleh mengalahkan mereka. Kalau hanya sebab sokongan penyokong kelab di sana bagus, penyokong di Kelantan juga bagus," katanya yang ditemui pemberita semalam.


Norshahrul, 25, yang turut senang disapa dengan panggilan Mat Yo mengakui dirinya masih mahu memberikan komitmen bersama juara Liga Super, Kelantan selepas menandatangani kontrak baru selama dua tahun.


Dia yang meledak 19 gol musim lalu bagaimanapun terkejut dengan anugerah Supermokh yang diterimanya itu kerana menjangkakan rakan sepasukannya, Khairul Fahmi Che Mat turut berpeluang cerah.

"Saya sebenarnya terkejut kerana menerima anugerah Supermokh yang pertama kali diperkenalkan tahun ini kerana Apek (Khairul Fahmi) beraksi banyak perlawanan. Apapun saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu," katanya yang turut meraih dua anugerah sama tahun lalu.


Mengulas mengenai sasarannya selepas ini, Norshahrul mahu memberi fokus untuk membantu Kelantan merebut trofi di peringkat domestik dan juga dalam kempen kejohanan Piala AFC.

Malah dia turut berazam membantu skuad kebangsaan mempertahankan Piala AFF apabila Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan serta muncul pemain paling bernilai kejohanan dwitahunan itu.


"Saya berharap agar Malaysia dapat mengekalkan kejuaraan (Piala AFF) dan sasaran peribadi saya adalah untuk merampas anugerah pemain terbaik kejohanan itu yang diraih pemain Indonesia, Firman Utina," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

‘Rombak Liga M’

Posted: 30 Nov 2011 08:29 AM PST

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa menggesa supaya struktur Liga Malaysia dirombak bagi membolehkannya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Beliau berkata, kelemahan struktur liga tempatan menyebabkan badan induk bola sepak negara serta pemain Malaysia sukar mendapat pengiktirafan di peringkat tertinggi.


Menurutnya, ramai yang tidak tahu mengenai negeri serta pemain yang bermain di Liga Malaysia sebenarnya tidak layak bermain di Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). "Di Eropah, pemain kita tidak layak menyertai kelab di sana disebabkan Liga Malaysia tidak diurus secara profesional," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di sebuah hotel terkemuka, semalam.

Annuar berkata, mengikut peraturan AFC pada 2009, Liga Malaysia sepatutnya diuruskan sebuah entiti yang membabitkan gabungan kelab dan persatuan negeri yang bersaing di liga itu dan diurus secara profesional.


"Namun berdasarkan perbincangan dengan anggota gabungan FAM, pengurusan di peringkat kelab dan persatuan negeri masih di takuk lama dan terus mengharap pemberian geran tahunan dari FAM," katanya.


Katanya jika kelab dan persatuan negeri gagal diurus dengan baik, kesannya dapat dilihat pada pemain dilahirkan.

"Pemain pasukan kebangsaan dilahirkan kelab dan persatuan negeri dan taraf pemain kebangsaan itu juga menjadi cermin kepada liga tempatan," katanya.


"Sebab itu, pemain terbaik di Malaysia ini sebenarnya hanya bertaraf sederhana di Asia. Kerana itu juga pemain kebangsaan sukar mendapat tempat bermain di Eropah." Kenyataan Annuar itu merujuk kepada isu penyerang kebangsaan Safee Sali yang gagal mendapat permit kerja untuk bermain bagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Cardiff City pada September lalu.

Masalah itu timbul berikutan pihak imigresen di United Kingdom mensyaratkan pemain yang mahu bermain dengan kelab di negara itu mestilah datangnya dari negara di ranking 70 terbaik dunia.


Malaysia ketika itu berada di ranking ke-146 dunia. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Jadi isteri derhaka

Posted: 30 Nov 2011 04:19 AM PST

BARU dua tahun menceburi bidang lakonan, nama Nur Fathia Abd Latiff atau Fathia sudah mula menjadi sebutan ramai. Drama Stanza Cinta meletakkan namanya sebaris pelakon popular sedia ada dan mula menjadi perhatian penerbit drama mahupun filem.

Walaupun sudah boleh menarik nafas lega kerana kerjaya lakonan mula menunjukkan perkembangan positif, gadis berusia 24 tahun ini tidak mahu berasa selesa dan mahu terus memperbaiki kelemahan diri.

Ditemui sewaktu sesi fotografi khas bersama Rap, baru-baru ini, Fathia menjelaskan ada perkara yang mahu dilakukan dan ia dilihat mampu mempertajamkan bakat dimiliki iaitu bekerja dengan mereka yang dianggap bagus dan menerima tawaran melakonkan pelbagai watak.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pelakon dianggap bagus menjadi idamannya untuk bekerjasama, Fathia dengan pantas menjawab Shaheizy Sam.


"Jangan ada pula pihak membuat andaian yang bukan-bukan. Saya ikhlas mahu bekerja dengan Sam kerana saya lihat dia antara pelakon muda berbakat besar dan kaya pengalaman. Saya kagum dengan kemampuannya melakonkan pelbagai watak sama ada romantis, komedi mahupun antagonis.


"Saya menjadikan dia sebagai idola. Saya rasa peminat filem tempatan sendiri setuju dengan kenyataan saya ini bahawa Sam seorang pelakon yang bagus. Berikanlah kepadanya apa saja watak pasti dia akan membawanya dengan baik. Kalau boleh saya juga mahu menjadi sepertinya, mampu melakonkan pelbagai watak dengan bagus," katanya.

Dalam diam, rupa-rupanya Fathia menjadi pemerhati setia Sam sama ada dalam bidang lakonan mahupun secara peribadi.

Katanya, melihat usaha gigih Sam sewaktu bekerja dan cara dia melayani peminat setia, tidak mustahil pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) itu diangkat sebagai Artis Paling Popular di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun lalu.

"Saya tidak pernah bekerja dengan Sam sebelum ini cuma sesekali bertemu di majlis anugerah yang kami hadiri. Di kesempatan itu, saya sempat menegurnya. Walaupun saya baru dan kurang dikenali, Sam tetap meluangkan masa bercakap dengan saya.

"Bukan itu saja, saya nampak dia sering dahulukan peminatnya yang mahu bergambar bersama atau sekadar bertegur sapa. Kerana itu dia disayangi ramai," katanya.

Melihat daripada sudut itu, jelas Fathia, dia tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian sekiranya ada penerbit atau pengarah yang mahu menggandingkan mereka berdua di filem mahupun drama. Lebih daripada itu, apa yang lebih penting dia mahu menimba ilmu daripada pelakon berbakat seperti Sam.
Kata Fathia, dia kini sibuk di lokasi telefilem terbaru. Memastikan penampilannya kali ini berbeza dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini, pelakon filem Al-Hijab itu buat pertama kali memegang peranan antagonis.

"Drama ini mengisahkan kehidupan lelaki yang berkahwin lebih daripada satu. Watak suami saya dilakonkan Rizal sementara isteri kedua adalah Fyda. Saya memegang watak seorang isteri yang bongkak dan kurang ajar kepada suami. Bayangkan jahatnya saya terhadap suami sampai kaki naik ke badannya.

"Saya pasti ramai akan terkejut dengan penampilan saya dalam drama itu. Maklumlah, ramai mengenali saya menerusi drama Stanza Cinta, seorang gadis bertudung sering dirundung malang. Watak Amni Sorfina juga mengangkat nama saya sehingga dikenali.

"Bagaimanapun untuk memperbaiki bakat lakonan, saya tidak boleh berlakon watak yang sama walaupun ramai yang menggemarinya. Kalau saya masih terus melakonkan watak sedemikian rupa, takut nanti lama-kelamaan orang akan bosan," katanya.

Diaju dengan pertanyaan, tidak bimbang kelak orang akan membencinya gara-gara watak yang dilakonkan, kata Fathia, untuk memastikan kerjaya seninya terus menunjukkan perubahan dia harus melakukannya.

"Memang perasaan takut orang membenci saya itu ada apabila melakonkan watak antagonis, tetapi saya tidak boleh berasa selesa dengan apa yang sudah saya lakukan sebelum ini. Setiap orang mahukan perubahan dalam hidup dan kerjaya. Begitu juga saya.

"Saya mahu orang lihat apa yang mampu saya lakukan sebagai pelakon. Andai orang membenci saya kerana watak jahat yang saya lakonkan itu, saya bersyukur kerana ia berjaya mempengaruhi orang ramai sehingga mereka percaya dengan watak yang saya mainkan," katanya.

Waktu sama jelas Fathia, dia yakin peminat sekarang sudah boleh membezakan antara lakonan dan juga peribadi seseorang pelakon. Mengambil contoh aktor idolanya Sam. Dia bukan saja tampil dalam watak hero dan romantis, tetapi juga watak jahat. Sehinggakan ramai yang geram melihatkan aksi jahatnya itu, tetapi ia hanya dalam filem. Di luar peminat masih menyayanginya.

Jelas Fathia lagi, walaupun dia kini sedang mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam tahun akhir, tetapi dia tidak bercadang mahu meneruskan kerjaya sebagai peguam. Sebaliknya dunia lakonan sudah meresapi dan sebati dalam jiwanya.

"Saya terpaksa membahagikan masa antara kuliah dan dunia lakonan. Bagaimanapun sekarang ini apa yang menjadi keutamaan saya adalah menghabiskan dulu pengajian. Tapi bila sudah lama tidak ke lokasi, membuatkan hati saya rasa rindu untuk berlakon.

"Daripada situ saya sudah tahu apa yang saya mahukan dalam hidup. Saya mahu menjadi anak seni dan kalau boleh mahu menjadi yang terbaik. Saya sanggup lakukan apa saja bagi memastikan kecintaan saya dalam bidang lakonan dapat diteruskan sampai bila-bila," katanya yang bakal membintangi filem Pak Pong bersama Fauzi Nawawi.

PROFIL

Nama sebenar: Nur Fathia Abd Latiff
Panggilan: Fathia
Tarikh lahir: 1 September 1987
Umur: 24 Tahun
Tempat lahir: Ayer Hitam, Pulau Pinang
Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik
Kerjaya: Pelakon dan Model
Pendidikan: Sedang Mengikuti Pengajian Peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Drama dan telefilem: Stanza Cinta, Hani, Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri dan Bila Musang Berjanggut.
Filem: Al-Hijab
Iklan komersial: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua dan Panasonic.

Full content generated by Get Full RSS.

Iktiraf sumbangan

Posted: 30 Nov 2011 04:11 AM PST

LAGU Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi yang dipopularkan Alleycats sekitar 1980-an melonjakkan nama penulis lirik, Syed Mohd Amin Syed Hashim Al-Shahab, 57, atau lebih dikenali S Amin Shahab.

Sebagai penulis lirik terkenal, dia sudah menghasilkan lebih 500 lirik yang pernah dinyanyikan hampir 30 penyanyi sejak awal 1980-an lagi. Malah mencatat rekod antara penulis lirik yang menghasilkan lirik terbanyak. Di kalangan penggiat seni S Amin dikenali dengan penghasilan lirik yang puitis, berunsur nasihat dan penuh makna.

Lirik lagu yang dihasilkan antaranya 10 lagu dalam album Judul Cinta dan Hidup nyanyian Datuk Shake, 10 lagu ciptaannya menerusi album Drama Kehidupan (Alleycats) pada 1984, serta beberapa lagu yang dipopularkan kumpulan FRU.

Tidak ketinggalan beberapa lagu popular seperti Keroncong Untuk Ana 1 dan Keroncong Untuk Ana 2 (M Nasir), Suci Dalam Debu (Iklim) dan Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff).


Atas sumbangan besarnya dalam penulisan lirik lagu, S Amin dipilih untuk menerima pengiktirafan khas, Anugerah Nadi Cipta pada Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) Berhad, kelmarin.


Tidak dinafikan kemampuan dan bakat semula jadi S Amin selain sumbangan dan kegigihan yang ditunjukkan tanpa kenal erti putus asa berbakti menerusi karyanya, wajar dicontohi.

Katanya, Anugerah Nadi Cipta adalah anugerah pertama yang diterimanya daripada MACP sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni dan ia disifatkan cukup bermakna. Secara tidak langsung sebagai ahli MACP sememangnya mengambil berat kebajikan ahlinya.

"Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada MACP dan sangat menghargai pengiktirafan ini. Sememangnya MACP antara pertubuhan yang menjaga keahliannya selain membantu karyawan seni menjana pendapatan menerusi karya yang dihasilkan.

"Malah ketika zaman kegawatan ekonomi suatu masa dulu MACP tetap membantu ahlinya dengan mengutip royalti," kata S Amin yang bertindak sebagai penulis lirik eksklusif syarikat rakaman Luncai Emas.

Bapa kepada lima anak ini memaklumkan, lirik yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri. Padanya tidak sukar untuk seseorang itu menghasilkan lirik jika mempunyai minat yang tinggi.

"Kebanyakan lirik yang saya hasilkan berkonsep penceritaan. Kadang kala lirik yang dihasilkan disesuaikan dengan penyanyi itu sendiri. Menerusi lirik pelbagai subjek atau topik yang sudah saya sentuh daripada cerita membabitkan peperangan, kisah individu selain kebanyakan lagu berkisar kepada percintaan.

"Sejak serius dalam penghasilan lirik lagi saya sudah menghasilkan lagu-lagu rakyat, kritik sosial dan berunsur nasihat. Sehingga ada juga beberapa permintaan daripada artis yang mengaitkan jalan cerita sehingga terhasilnya 10 lagu dalam sebuah album karya saya sendiri.

"Situasi dunia seni sekarang jauh berbeza daripada dulu. Kebanyakan penyanyi boleh menghasilkan lirik sendiri terutama dengan kemunculan aliran indie. Pada saya ini satu perkembangan positif. Walaupun ada yang berpendapat senario ini mempunyai kebaikan dan kelemahannya namun masing-masing tetap diberi peluang dan ruang untuk berkarya," katanya.

S Amin yang kini berjinak dengan hobi mengumpul keris masih aktif menghasilkan lirik berdasarkan permintaan. Tidak hanya dalam penulis lirik, S Amin turut diiktiraf sebagai pelukis sejak 2004.

Penyertaan secara seriusnya membuahkan kejayaan dan mencatat sejarah apabila berjaya menyiapkan lukisan terpanjang iaitu 800 meter dua tahun lalu. Menerusi lukisan yang ditaja Balai Seni Lukis Negara, S Amin menjelajah ke Eropah, Asia Timur, Pakistan dan Makassar.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Wanita saman bekas kekasih tatu imej najis di belakang tubuh

Posted: 30 Nov 2011 08:54 AM PST

DAYTON (Amerika Syarikat): Seorang wanita yang berang menyaman bekas teman lelakinya selepas dia mentatu imej najis di belakang tubuh wanita itu.

Rossie Brovent menuntut ganti rugi sebanyak 60,000 pound (RM300,000) daripada Ryan Fitzjerald.


Rossie dari bandar raya ini mahukan gambar dalam adegan filem Narnia ditatu di belakang tubuhnya.

Sebaliknya, dia mendapati tubuhnya ditatu dengan imej najis dengan dihurung beberapa lalat.


Artis tatu, Fitzjerald berang apabila mendapat tahu Rossie berlaku curang dengan teman baiknya.


Pada awalnya, Rossie mahu bekas kekasihnya itu didakwa melakukan serangan, tetapi dia sudah menandatangani borang mengesahkan rekaan tatu itu dibuat mengikut pertimbangan artis. Rossie berkata: "Dia menipu saya dengan meminum sebotol arak murah bersama saya sebelum mendapatkan tanda tangan saya dan membuat tatu itu.

"Sebenarnya pada kebanyakan waktu saya pengsan dan ketika tersedar saya dapati imej buruk ini di belakang tubuh saya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Wajah dimusnah doktor palsu

Posted: 30 Nov 2011 08:52 AM PST

MIAMI: Mangsa seorang doktor palsu, Oneal Ron Morris tampil untuk menunjukkan keadaan buruk wajahnya selepas disuntik dengan campuran toksik terdiri daripada simen dan penampal tayar.

Rajee Narinesingh, 48, dari bandar raya ini berkata, wajahnya dirosakkan Morris, 30, yang baru dibebaskan dari tahanan selepas dia dituduh melakukan suntikan yang boleh membawa maut itu ke atas seorang lagi mangsa. Rajee yang seperti Morris dilahirkan sebagai lelaki tetapi hidup sebagai wanita berkata, dia mengalami benjolan di pipi, dagu yang tiada bentuk dan bibir atas yang tebal selepas mendapat rawatan kecantikan secara haram itu. Rajee mengakui pada awalnya dia berjumpa Morris kerana dia tiada wang untuk mendapatkan rawatan pakar bedah plastik berlesen. Menurutnya, dia mengetahui mengenai Morris melalui mulut ke mulut dalam komuniti pondan.


Rajee memberitahu stesen televisyen CBS4 di Miami: "Ia menjadi terdesak untuk menyesuaikan penampilan luaran dengan dalaman anda, jadi anda sanggup mengambil risiko." "Sebagai seorang individu pondan, anda akan berfikir, 'Oh Tuhan, saya boleh memperoleh wajah yang diidamkan dan tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuknya." Rajee sudah melakukan beberapa pembedahan plastik untuk memperbaiki wajahnya dan masih perlu menjalaninya lagi.

"Saya akhirnya terpaksa juga melakukan pembedahan plastik," katanya. Morris yang dibebaskan daripada tahanan lewat malam tadi selepas membayar ikat jamin AS$15,000 (RM48,000) enggan memberi sebarang ulasan ketika dia meninggalkan Penjara Miami Dade.


Dia berkata, dia hanya akan menjawab soalan wartawan jika peguamnya ada bersama. Peguam mendakwa Morris tidak bersalah. Morris ditahan awal bulan ini kerana mempraktikkan rawatan perubatan tanpa lesen dan menyebabkan kecederaan parah selepas seorang pesakit mengadu dia menyuntik simen dan bahan kimia bergelar Fix-a-Flat yang digunakan untuk menampal tayar ke belakang badannya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved