Rabu, 8 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ton kulit lebih menyerlah

Posted: 08 May 2013 06:46 AM PDT

Riasan wajah semula jadi, kulit berseri dan tampak sihat menjadi nadi kepada himpunan warna aliran solekan di MAC bagi musim bunga dan panas (SS13) kali ini.

Biarpun tampak semula jadi dengan sedikit suntikan neon, keseluruhan persembahan SS13 ini dicetuskan daripada aliran musim sebelumnya lalu diberikan nafas baru.

Menerusi sesi pengenalannya oleh Pengarah Solekan Artistry Asia-Pasifik MAC, James Molloy yang berkunjung ke Kuala Lumpur, baru-baru ini, SS13 menampilkan empat zon aliran iaitu Sig-Nature, Nu-Ance, Sci-Chedelic dan Puri-Tan, yang tidak hanya menekankan kepada aspek solekan 'cantik dan sempurna' tetapi lebih kepada lagak wanita yang tampil penuh keyakinan tanpa calitan rona keterlaluan.

Jelas Molloy, solekan bagi musim bunga dan panas tidak semestinya bertumpu kepada gaya ceria serta rona yang terlalu menonjol kerana trend musim ini lebih terarah kepada riasan segar dan lembut seakan-akan wajah 'dicium' sinaran matahari yang menyihatkan.

Foto

JAMES Molloy pilih kesan keemasan minimum memperlihatkan kulit sihat bercahaya bagi trend musim ini.

Foto

EMPAT trend solekan musim bunga dan panas 2013 di MAC yang terarah kepada riasan segar serta lembut.

Foto

MINIMALIS Sci-Chedelic menonjolkan gaya grafik retro inspirasi era 1960-an.

Foto

PURI-TAN disifatkan gaya baru untuk solekan gangsa yang menyerlahkan wajah berkilau tanpa kesan perang keterlaluan.


"Gaya pilihan saya bagi musim ini lebih kepada kesan keemasan minimum dengan pemakaian bedak asas yang memperlihatkan kulit sihat bercahaya.


"Saya banyak menggunakan bedak asas baru daripada MAC, Master. Ia menampilkan teknologi terkini yang membolehkan ton kulit semula jadi lebih menyerlah tapi pada masa sama memberikan litupan asas yang diperlukan.

"Ia sesuai untuk keadaan cuaca panas dan lembap, selain kering dengan penyudah matte. Master juga sesuai untuk pemakaian tempoh lama dan tidak terlalu berat untuk sapuan menyeluruh," katanya.

MAC tidak ketinggalan cuba kembali kepada solekan satu titik fokus di mana tumpuan diberikan pada satu bahagian contohnya kening. Kening dipantis sedikit bagi membolehkannya dirias penuh.

"Untuk bibir pula lebih kepada olesan pucat atau sekadar layangan pengilat bibir rona semula jadi.

"Saat trend SS13 ini dikembangkan lagi gayanya, ia sebenarnya memperlihatkan kecantikan semula jadi iaitu cara terbaik untuk memulakan peringkat solekan seterusnya," jelasnya.

Nyata tiada betul atau salah dalam solekan tapi semuanya bergantung sama ada berani atau tidak untuk menggayakannya seperti yang ditegaskan Molloy.

"Saya tidak percaya dengan 'kesilapan bersolek'. Bagi saya, ia lebih kepada keyakinan diri serta tabiat untuk lari daripada kebiasaan.

"Setiap wanita mempunyai rutin penjagaan kecantikan dan solekan tertentu tapi ia boleh berubah mengikut masa atau keadaan.

"Apa yang penting, jangan takut untuk mencuba. Solekan boleh dibersihkan bila-bila masa dan ulang semula riasan jika ia tidak menepati gaya yang diingini. Mudah, bukan?" ujarnya.

TREND MAC #1
Sig-Nature

Sig-Nature berkisarkan kepada wajah yang bersih, sihat dan tampak manis dengan sedikit sapuan rona lembut pada pipi serta bibir. Ia seakan-akan kombinasi cerahnya patung mannequin dan kulit bak telur dikupas yang memberikan kesan kilauan memukau.

"Ia memaparkan wajah segar dan imaginasi tanpa cela. Bayangkan wanita yang baru menjalani rawatan wajah dan pipinya berseri-seri.

"Menariknya, wajah ini ditambah dengan sedikit gaya adrogini di bahagian kening dengan riasan penuh menggunakan warna yang sedikit gelap," jelas Molloy.

Trend wajah ini menjadi pilihan di pentas peragaan bagi JW Anderson, Prabal Gurung, Tommy Hilfiger, Blumarine, Rick Owens, Tory Burch, Ruffian, Sportmax, Margaret Howell, edun, Costume National dan Antipodium.

Produk pilihan: Bedak asas Mineralize Moisture SPF 15, Dirty Blonde Fluidline Brow Gelcreme, Golden Elixir Strobe Cream, bedak asas dan bedak debu Mineralize, gincu Posh Tone Mineralize Rich serta losen Face and Body.

TREND MAC #2
Nu-Ance

Nu-Ance menjurus kepada wajah bersih de­ngan riasan semula jadi yang digabungkan bersama sedikit warna terang atau pastel di bahagian mata yang menceritakan mengenai kisah romantis wanita moden.

Bagi menambahkan lagi gaya elegan, sapuan rona kelabu dan metalik menghasilkan aura futuristik segar.

"Trend ini diilhamkan daripada palet warna alam yang kita lihat setiap hari. Biru, merah, jingga, perang semuanya diadun dengan lembut bagi menghasilkan gaya feminin.

"Ia banyak memainkan pesona pastel dan menyerlahkan sisi berbeza wanita lembut," kata Molloy.

Trend wajah ini diperagakan di pentas Blugirl, Ermanno Scervino, Francesco Scognamiglio, Gianfranco Ferre, Issey Miyake, Meadham Kirchhoff, Monique Lhuillier, Nicole Miller, Peter Som, Roksanda Ilincic, Sophie Theallet dan Tess Giberson.

Produk pilihan: Pembayang mata Now Mustard!, pembayang mata Sunshine, pemerah pipi rona Poised, pelembap bibir dan pigmen kelabu atau metalik.

TREND MAC #3
Sci-Chedelic

Minimalis. Tunggal. Reduksionis. Ia menonjolkan gaya grafik retro inspirasi era 1960-an. Punk tapi pada masa sama mengekalkan ciri chic dan elegan.

"Banyak rujukan kepada gaya 60-an, The Beatles dan seumpamanya. Trend ini mengenai ekspresi diri menerusi warna dan semangat bebas yang diterjemahkan pada solekan mata atau bibir yang lain daripada biasa," katanya.

Trend ini popular di pentas peragaan Mugler, Vivienne Westwood, Missoni, Aquilano Rimondi, Gareth Pugh, Haider Ackerman, Holly Fulton, Jean-Pierre Braganza, Moschino, Richard Chai dan Threeasfour.

Produk pilihan: Pensel MAC Pro Chromographic rona Process Magenta, MAC Pro Acrylic Paint rona Yellow, Cyan dan Process Magenta, pigmen Electric Red, penggaris mata Auto-de-Bleu Technakohl dan pensel bibir Embrace Me.

TREND MAC #4
Puri-Tan

Puri-Tan boleh disifatkan gaya baru untuk solekan gangsa. Ia disapu lembut bagi menyerlahkan wajah berkilau tanpa kesan perang keterlaluan.

Palet warna terdiri daripada rona tanah dan padang pasir dengan riasan mata berteraskan kesan akuatik serta ton keemasan.

"Puri-Tan adalah sisi lembut perang yang menggunakan ton madu untuk 'bronzing'. Cuma layangkan pada wajah berbanding melakukannya terlalu dramatik," kata Molloy.

Trend ini digayakan penuh bersahaja di pentas peragaan Alberta Ferretti, Alexis Mabille, Christian Siriano, House of Holland, Mandy Coon, Max Mara, MSGM, Osklen, Proenza Schoulder, Rebecca Taylor, Theyskens' Theory dan Yigal Azrouel.

Produk pilihan: Pembayang mata Must Have Brown, pemerah pipi rona Taupe Shape, pembayang mata Top Soil, gincu Mineralize Rich rona Luxe Naturals dan pigmen rona Golden Lemon.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Gigih berusaha, berani bersuara

Posted: 08 May 2013 06:24 AM PDT

Aksinya ceria dan penuh bertenaga. Andai tidak bertanya, pasti tidak me­nyangka Datuk Rosaline Ganendra baru menimang cahaya mata perempuan beberapa bulan lalu.

Perkenalan pertama dengannya pada Anugerah Bella, Mac lalu, membuka peluang untuk terus me­ngatur pertemuan sekali lagi bagi menyelami kehidupan serta pencapaian Pengarah Minconsult Sdn Bhd ini.

Sebagai seorang daripada pengarah termuda dalam sebuah syarikat perundi­ngan kejuruteraan terbesar di Malaysia, beliau sememangnya berdepan jadual padat, ditambah tugasan sampingannya selaku penceramah motivasi di institusi pengajian tinggi negara.

"Saya percaya dengan kehidupan yang seimbang. Tapi saya berikan komitmen penuh dalam semua perkara yang saya lakukan," ujarnya ringkas memulakan bicara.


Menceritakan lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam industri kejuruteraan yang mana Rosaline antara jurutera perintis bagi wanita ketika itu, beliau sejak kecil didedahkan dengan suasana berkenaan oleh bapanya, mendiang P Ganendra.


Mendiang bapanya jugalah yang mengasaskan firma perunding kejuruteraan swasta pertama Malaysia pada 1962. Firma yang dikenali sebagai P Ganendra & Associates itu menyumbang secara proaktif dan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan menggunakan sebaiknya tenaga kerja tempatan.

Firma itu kemudian­nya meluaskan operasinya sehinggalah pembentukan Minconsult Sdn Bhd iaitu entiti perundingan kejuruteraan yang menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan dalam dan luar negara.

"Bapa saya bukan saja menjadi inspirasi kepada ramai orang tapi kami sekeluarga. Empat daripada lima adik-beradik saya juga jurutera dan boleh dikatakan ia mengalir dalam darah keluarga sejak dulu kerana bapa saudara dan sepupu saya juga terbabit dalam bidang sama.

"Ketika masih kecil, saya suka mengikut bapa ke pejabat dan menghabiskan masa di mejanya. Saya teruja melihatnya mengendalikan mesyuarat, berbincang dan menyelesaikan masalah.

"Memori itu menjadi pemangkin untuk saya meneruskan warisannya dan kini saya pula di tempatnya," ujar Rosaline.

Tambah penerima Anugerah ACEM (anugerah khas bagi industri kejuruteraan Malaysia) ini, bidang yang diceburi itu turut memboleh­kannya berkhidmat kepada masyarakat.

"Saya percaya jurutera adalah pembina negara. Apa yang perlu kami lakukan ialah mempunyai visi dan merealisasikan visi itu lalu membina negara yang sejahtera untuk didiami.

"Pada masa sama, ia juga profesion yang membolehkan saya menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan komuniti," ujarnya.

Bagaimanapun, apa yang dikecapinya hari ini tidak datang bergolek malah Rosaline terpaksa membuktikan kemampuannya di bidang yang sejak dulu dikuasai lelaki.

"Prinsip saya mudah. Hargai diri sendiri terlebih dulu sebelum kita mahu dihargai orang lain. Apabila kita sudah mencapai apa yang diingini, jangan hentikan usaha kerana hidup ini perlu diteruskan.

"Benar, pada mulanya sukar untuk saya buktikan kemampuan diri dalam bidang yang dikuasai lelaki ini. Tapi dalam apa jua yang kita lakukan, pastikan dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan perlu bekerja lebih keras berbanding biasa.

"Kita perlu berusaha lebih daripada lelaki dan disebab­kan kita wanita, kita mampu melakukan pelbagai kerja ­dalam satu masa. Kita mampu melakukan kerja secara lebih terperinci, tabah dan ­sabar.

"Saya percaya wanita lebih baik dari segi mengimbangi karier, keluarga dan kehidupan peribadi," jelasnya.

Faktor komunikasi turut memainkan peranan penting dalam apa jua karier. Tambah Rosaline, wanita hari ini lebih berani me­nyuarakan pendapat serta keinginan mereka dan ia bukan lagi perkara tabu dalam masyarakat.

"Kita kini menuju ke dunia yang lebih moden dan berintegrasi. Beranikan diri bersuara, beranikan diri memberitahu mengenai idea yang ingin dikete­ngahkan dan beranikan diri untuk meminta bantuan apabila diperlukan.

"Wanita sering memberi pelbagai alasan anak, suami, keluarga dan pelbagai lagi. Saya sendiri amat mementingkan keluarga dan kesihatan diri tapi apabila kita percaya pada kemampuan diri, tidak sepatutnya wujud alasan itu.

"Kemahiran ­komunikasi juga amat penting di mana sektor perkhidmatan kini lebih pesat dan penguasaan lebih daripada bahasa pe­ngantar serta bahasa kedua amat diperlukan dalam sek­tor pekerjaan global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Hujan 8 jam tanpa henti

Posted: 07 May 2013 09:44 AM PDT

Bestari Jaya: Hujan lebat lebih lapan jam menyebabkan kawasan penempatan penduduk berhampiran Sungai Selangor, Rantau Panjang, di sini dinaiki air secara mendadak sehingga 0.6 meter menyebabkan 102 penduduk daripada 31 keluarga terpaksa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Rantau Panjang bermula jam 10 pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Rantau Panjang, Rahim Mohd Yatim berkata, pihaknya dimaklumkan hujan lebat tanpa henti menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan rumah penduduk sehingga menyebabkan 97 penduduk resah rumah dinaiki air.


Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah awal menempatkan penduduk ke kawasan penempatan banjir dengan bantuan penduduk, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis sementara menunggu bantuan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor (PTDKS).

"Tindakan pantas penduduk untuk berpindah ke kawasan lebih selamat mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandangkan limpahan air sungai naik dengan mendadak dan melimpah ke kawasan rumah penduduk di kawasan lebih rendah.


"Mangsa banjir turut menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor yang baru, Datuk Irmohizam Ibrahim yang melawat keadaan mereka sebaik sahaja menerima laporan banjir di kawasan ini," katanya.


Rahim berkata, setakat ini makanan dan minuman disediakan jawatankuasa kampung memandangkan belum menerima sebarang bentuk bantuan daripada agensi berkaitan dan berharap musibah banjir yang berlaku segera pulih seperti sedia kala.

Foto

BANJIR di Kampung Rantau Panjang mencecah paras pinggang.

"Sememangnya diakui beberapa penempatan penduduk di kawasan ini sering dinaiki air sekiranya hujan lebat tanpa henti dalam tempoh yang lama dan keadaan itu tidak dapat dielakkan berikutan rumah berhampiran dengan sungai.


"Bagaimanapun, bantuan yang diterima sebelum ini amat memuaskan dan penduduk selesa tinggal di balai raya sebelum dibenarkan pulang ke rumah oleh pihak berkuasa," katanya.

Difahamkan, kali terakhir kawasan itu dinaiki air adalah pada 5 Mac tahun lalu apabila sebanyak 71 keluarga dipindahkan. Pada tarikh sama, banjir turut dilaporkan berlaku di lima kampung di Jeram iaitu Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cheraka, Parit Mahang, Kampung Bukit Kuching Tengah dan Kampung Kuching Hilir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


10 tahun dikurung penculik

Posted: 07 May 2013 09:33 AM PDT

Cleveland (Ohio): Tiga wanita yang diculik lebih sedekad lalu ditemui hidup dalam tingkat bawah sebuah rumah di Ohio yang menjadi tempat tahanan mereka selama ini.

Amanda Berry, 26; Gina DeJesus, 23, dan Michelle Knight, 32, diselamatkan dari rumah berkenaan hanya beberapa kilometer dari tempat mereka disahkan hilang 10 tahun lalu.


Penahanan mereka terbongkar selepas seorang jiran lelaki terdengar Amanda - yang hilang ketika berusia 16 tahun - menjerit meminta tolong selepas lelaki yang mengurung mereka tiada di rumah. Selepas 10 tahun menjadi tahanan, Amanda, Gina dan Michelle akhirnya dibebaskan apabila Charles Ramsey terdengar jeritan itu ketika menikmati hidangan di rumahnya. Ariel Castro, 52, ditahan polis kerana dipercayai ada kaitan dengan kes penculikan berkenaan bersama dua saudara kandung lelakinya yang masing-masing berusia 50 dan 54 tahun.

Saudara Amanda mengesahkan seorang daripada kanak-kanak dalam rumah berkenaan adalah anaknya yang dilahirkan ketika dia dikurung.


Sumber berkata, kanak-kanak itu dipercayai berusia enam tahun. Ketiga-tiga wanita dan kanak-kanak terbabit dibawa ke Pusat Perubatan MetroHealth dan dilaporkan mereka mengalami kekurangan air yang serius, selain tidak mendapat makanan berkhasiat mencukupi.


Kehilangan Amanda dan Gina menarik perhatian seluruh penduduk Cleveland sejak sedekad lalu apabila keluarga mangsa terus mengadakan majlis memperingati mereka.

Foto

Mangsa culik diselamatkan dari rumah ini.

Berita kehilangan itu juga disiarkan secara berterusan dalam media tempatan.


Mangsa diculik di sebatang jalan sama sebelum ini dan ditemui di sebuah rumah yang terletak kira-kira 4.8 kilometer dari situ.

Penculik mereka juga sering dilihat orang ramai dari semasa ke semasa. Sementara itu, Ramsey berkata, dia ternampak Amanda - tetapi tidak mengenalinya - di pintu yang terkuak sedikit.


Katanya, Amanda meminta tolong supaya dikeluarkan dari rumah itu kerana dikurung sejak sekian lama.


"Kami terpaksa menendang bawah pintu untuk membukanya.


"Nasib baik pintu itu diperbuat daripada aluminium murah," katanya.


Selepas terbuka, kata Ramsey, Amanda merangkak keluar bersama anaknya. Amanda kemudian berlari ke seberang jalan untuk menghubungi polis sambil memperkenalkan diri melalui talian kecemasan 911.


"Tolong, nama saya Amanda Berry. Saya telah diculik dan hilang sejak 10 tahun tetapi sekarang saya sudah bebas," katanya.


Amanda juga menyatakan identiti lelaki yang menahan mereka sebagai Ariel Castro.


Kehilangan Amanda disedari sejurus selepas dia menghubungi kakaknya untuk memaklumkan dia dalam perjalanan pulang menumpang seseorang dari tempat kerjanya di restoran Burger King. Media tempatan melaporkan, Castro ditahan di sebuah restoran McDonald's berhampiran. Menurut The Plain Dealer, suspek tinggal di rumah itu sejak 1992 dan pernah ditahan polis atas kesalahan keganasan domestik pada 1993.


Sumber berkata, wanita terbabit dirantai sepanjang tempoh mereka di kurung di rumah berkenaan. "Polis menemui beberapa rantai yang digantung dari siling dalam rumah itu," katanya.- Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07

Gunung berapi meletus: 3 maut

Posted: 07 May 2013 08:19 AM PDT

Manila: Tiga pelancong Jerman dan pemandu pelancong warga tempatan maut apabila satu daripada gunung berapi paling aktif di Filipina memuntahkan kepulan abu dan ketulan batu semalam, kata pihak berkuasa.

Seramai 20 rakyat asing dan pemandu pelancong mereka berada di lereng Gunung Mayon ketika ia meletus dan petugas penyelamat dikejarkan dengan helikopter bagi mencari mangsa.


"Ia bagaikan hujan batu yang teruk," kata pengendali pelancongan tempatan, Marti Calleja memetik kenyataan wanita Austria yang terselamat dalam bencana itu. "Batu-batan yang jatuh ke bawah mengenai mereka hingga sebesar meja makan," katanya kepada media melalui telefon. Calleja berkata, tiga pemandu pelancong tempatan daripada syarikatnya dan lima pelancong asing baru memulakan pendakian sebelum letusan berlaku yang menyebabkan asap tebal sehingga 500 meter di udara.

Tiga warga Jerman dan seorang pemandu pelancong daripada kumpulannya terbunuh, manakala wanita Austria berkenaan mengalami cedera ringan.


Jurucakap polis daerah Superintendan Renato Bataller mengesahkan empat kematian dengan tujuh lagi cedera termasuk empat rakyat Thai.


Calleja berkata, pelancong asing membayar kira-kira AS$100 (RM298) setiap seorang untuk pengembaraan semalaman di Gunung Mayon setinggi 2,460 meter itu.

Gunung itu terkenal dengan bentuknya yang hampir menyerupai kon, tetapi mempunyai sejarah letusan yang panjang.


Radius "zon berbahaya kekal" sejauh enam kilometer sepatutnya dikuatkuasa di sekitar gunung itu. Tetapi Cajella berkata, kerajaan tempatan membenarkan orang ramai mendaki apabila tiada tanda akan berlaku letusan.

"Antara 300 hingga 1,000 pendaki datang ke sini ketika musim puncak dari Mei hingga Ogos," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Fyza rapat dengan ahli perniagaan

Posted: 07 May 2013 04:54 AM PDT

Bertubuh tinggi lampai laksana model dengan wajah persis bintang Latin dan Bollywood, pastinya pendatang baru Fyza Kader memiliki pesona tersendiri untuk mencuri perhatian ramai di persada hiburan tanah air.

Justeru, tidak hairanlah nama pelakon berdarah kacukan Malbari-Melayu ini turut menjadi buruan ramai golongan VIP dan kenamaan yang ingin menghimpit dirinya.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar Norhafezzah A Kadir, 27, ini mengakui memang ramai golongan VIP ingin mendekatinya sejak dua tahun berkecimpung dalam bidang seni.


"Terus terang, saya memang tidak suka bersosial atau berparti di pusat hiburan. Selalunya selepas selesai penggambaran, saya terus pulang ke rumah. Kalau tidak berlakon, saya banyak terbabit dengan kerja di belakang pentas.

"Malah, sudah setahun saya tidak buat sebarang sesi fotografi dengan pihak akhbar mahupun majalah tapi malangnya, nama saya tetap menjadi sasaran gosip termasuk dikaitkan dengan golongan VIP.

"Memang saya mengaku ada VIP berpangkat Datuk cuba mendekati termasuklah yang ingin mengajak saya kahwin dengannya tapi saya pula menganggap ia sebahagian daripada asam garam dalam dunia artis," katanya.

Beralih soal teman istimewa pula, Fyza yang berasal dari Johor Bahru ini tidak menyorok cerita dia berkawan rapat dengan seseorang, namun masih dalam proses mengenali hati budi lagi.

"Buat masa ini, saya memang berkawan dengan seseorang. Cukuplah saya katakan si dia seorang ahli perniagaan dan dialah kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang.

"Mungkin ada peminat yang terserempak dengan kami di luar kerana si dia memang sering menjadi 'pemandu' saya untuk ke sesi fotografi. Maklumlah, saya tidak memandu kereta dan dialah yang banyak membantu untuk menghantar saya ke sana sini.

"Kalau orang tanya soal kahwin pula, saya memang menyasarkan usia sebelum 30 tahun untuk berkahwin dan membina keluarga. Saya memang suka dengan kanak-kanak serta tidak sabar untuk memiliki cahaya mata sendiri apabila sampai masanya nanti," kata anak keempat daripada lima beradik ini.

Jika diukur pembabitannya dalam bidang seni, masih terlalu awal untuk meletakkan nama Fyza duduk sebaris dengan barisan pelakon muda berkaliber sedia ada.

Namun pemegang Diploma Fesyen dan Rekaan Tekstil dari Institut Seni Malaysia (MIA) ini terjun dalam dunia glamor kerana ingin mempertaruhkan bakat lakonan dimiliki.

"Saya akui bukan senang nak jadi seorang pelakon. Kalau setakat nak kejar glamor, lebih baik saya tidak payah berlakon dan duduk di rumah saja. Saya ingin orang kenal saya sebab bakat dan bukannya paras rupa semata-mata.

"Sebab itu, saya tidak kisah bawa watak pembantu atau buat satu dua babak sekali pun dalam filem sebelum ini. Sebagai orang baru, saya percaya belum masanya untuk memilih watak lagi sebab itu apa saja watak diserahkan, saya terima dan berusaha membawanya sebaik mungkin.

"Saya anggap diri masih cetek ilmu lakonan dan hanya selepas enam hingga tujuh tahun berlakon, barulah saya berani untuk lebih memilih watak ditawarkan," katanya.

Antara filem lakonan­nya sebelum ini ialah Ngongkrong, Senario Opps Pocot, Pe3, Salam Cinta, Ajiboy dan Seram Sejuk.

Bercerita lanjut perkembangan karier seni, Fyza juga berdebar menanti tayangan filem lakonannya iaitu Kisah Paling Gangster arahan Brando Lee terbitan B&L Kreatif Sdn Bhd.

"Saya memang minat berlakon dalam genre aksi kerana sering diberikan watak 'hantu' dalam filem sebelum ini. Justeru, saya tidak lepaskan peluang keemasan apabila diberi kepercayaan bawa watak Sofia yang juga anak kepada bapa gangster dalam filem ini.

"Watak ini mencabar kerana saya juga cedera di bahagian dada ketika babak berbalas tembakan dalam filem ini. Saya terkena serbuk belerang yang meletup di badan ketika melakukan lagak ngeri sendiri untuk babak ini.

"Justeru, saya harap lakonan dalam filem ini boleh menjadi hasil yang boleh dibanggakan nanti. Mengikut perancangan, saya akan teruskan karier lakonan jika maklum balas pada lakonan positif dan memberangsang­kan daripada penonton nanti," katanya.

Filem ini turut menampil­kan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Wawa Zainal, Zul Handy Black dan Epi Raja Lawak.

Satu lagi genre aksi lakonan Fyza ialah 1 Lawan 1 yang diterajui Mikhael Andre. Penggambaran kedua filem ini berlangsung pada tahun lalu.

Diminta mengulas dakwaan dirinya dikatakan akan keluar daripada MIG Talents, Fyza pantas menafikannya.

"Siapa kata saya nak keluar daripada MIG Talents? Setakat ini, saya masih selesa bernaung di bawah pengurusan mereka. Saya juga tak terfikir pun perkara itu lagi. Mungkin orang fikir saya nak keluar daripada MIG kerana menyepi tanpa sebarang publisiti selama setahun.

"Bagi saya, pihak MIG sudah beri jalan dan sayalah yang perlu 'membalas' semula kepercayaan diberikan itu sebaik mungkin. Sebenarnya, selepas selesai penggambaran dua filem aksi itu, saya terus berehat seketika dan beri tumpuan pada perniagaan rekaan busana bersama kakak angkat.

"Selain berlakon, saya turut meminati bidang rekaan fesyen sebagai jaminan masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07

Faizul belum puas

Posted: 07 May 2013 04:21 AM PDT

Pertama kali mencurahkan kreativi–tinya dalam filem menerusi Bisikan Syaitan, pengarah Faizul A Rashid semestinya banyak kebimbangan untuk dikongsi lantaran percubaan inilah jadi penentu kepada kebolehannya.

Bagaimanapun, ternyata pengarah yang turut popular dengan siri urban kegemaran ramai Friday I'm in Love itu mempunyai sentuhan istimewa tersendiri apabila masuk hari keenam tayangan filem itu semalam, sambutan agak memberangsangkan.

Mempertaruhkan Fizz Fairuz dan Wan Sharmila sebagai teraju filem berkenaan, meskipun cerita seram bukan lagi menjadi trend untuk ditonton masa kini, namun Bisikan Syaitan sebaliknya.

Ditambah pula dengan tayangannya yang kebetulan jatuh ketika negara berhadapan agenda lebih penting iaitu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kebimbangan pastinya lebih berganda terutama buat Faizul sendiri.


Tidak mahu terlalu berprasangka dan optimis filem berkenaan mampu menarik penonton ke pawagam, Faizul berkongsi kebimbangannya itu kepada wartawan RAP, Georgie Joseph (georgie@mediaprima.com.my) mengenai eksperimen pertamanya itu.

RAP: Anda pernah mengarah siri Friday I'm in Love yang berkonsepkan urban dan santai tetapi tiba-tiba tampil dengan filem bergenre seram?

Sebenarnya saya buat filem ini terlebih dulu sebelum mengarahkan siri berkenaan. Selepas itu barulah saya diberikan peluang mengarah siri terbabit. Sebenarnya genre sedemikian lebih dekat dengan jiwa saya. Itulah 'forte' saya.
Bagaimanapun, sebagai pengarah baru, saya harus mengambil semua peluang yang ada dan kena cuba pelbagaikan benda baru. Kreativiti itu tidak harus terbatas hanya kerana kita mempunyai genre kegemaran sendiri.

Lagipun, sebelum ini pun saya sudah banyak terbabit di belakang tabir menghasilkan iklan komersial jadi apabila diberi peluang mengarahkan genre lain, saya buat sebaik mungkin mengikut kebolehan saya.

Khabarnya setakat ini Bisikan Syaitan mencatatkan sambutan memberangsangkan.

Syukur alhamdulillah. Masuk beberapa hari tayangannya, saya mendapat maklumat kutipan setakat ini memang sangat menggalakkan. Saya pun tidak sangka di sebalik kesibukan rakyat Malaysia mengikuti PRU-13, masih ada yang menyokong dan meluangkan masa ke panggung menonton filem berkenaan.

Secara peribadi, puas hati tak dengan percubaan pertama anda ini?

Kalau saya cakap puas hati memang riak namanya. Sudah pasti saya masih belum berpuashati kerana filem ini dihasilkan dua tahun lalu dan menonton berulang kali hasil akhir, banyak sebenarnya perkara yang perlu diperbaiki.

Tidak kurang juga tindak balas daripada banyak pihak yang memberikan pendapat, pandangan dan komen. Jika tanggungjawab ini diberikan sekarang, banyak elemen boleh saya perbetul serta tingkatkan.

Apabila mengetahui tarikh PRU-13 jatuh pada sekitar tayangan filem itu, bagaimana kebimbangan anda ketika itu?

Bimbang yang teramat dan ini kali kedua saya berasa begitu selepas Oktober tahun lalu di mana ia sepatutnya ditayangkan pada ketika itu. Tahun lalu, kebetulan filem ini ditetapkan pada tarikh serentak tayangannya dengan Sembunyi: Amukan Azazil namun atas faktor tertentu, filem berkenaan diberi laluan terlebih dulu.

Apabila tarikh PRU-13 tahun ini ditetapkan, memang terkejut juga memandangkan ura-ura mengatakan ia akan diadakan pada penghujung April. Namun, saya berusaha berfikir optimis dan melihat dari sudut positif, apatah lagi filem Duyung pada 2008 juga jatuh tayangannya sehari sebelum PRU tetapi masih mencatatkan kutipan yang bagus.

Sejauh mana keyakinan terhadap filem ini lantaran genre seram sudah kurang menjadi pilihan seperti mana beberapa tahun lalu?

Masa filem ini dihasilkan, memang ketika itu pun filem seram menjadi trend dalam kalangan peminat tempatan. Cuma, baru tahun ini filem ini ditayangkan namun saya tahu genre ini masih relevan dan mempunyai pengikut tersendiri.

Penerimaan itu memang subjektif. Bagi penonton yang sudah biasa disajikan cerita berunsur sebegini akan beranggapan ia biasa saja, namun bagi penonton yang jarang tonton cerita hantu, pasti boleh merasakan sendiri ketakutan itu.

Lagipun dengan kekuatan pelakon itu sendiri yang menghidupkan cerita ini dengan bagus menjadikan filem ini lain daripada kisah seram sebelum ini. Saya cukup kagum dengan kemampuan Fizz terutamanya apabila berjaya membawa cerita ini ke tahap yang saya mahukan.

Selain itu, semestinya sinematografi filem ini juga cukup kuat apabila syot yang kami gunakan lebih kepada elemen komersial dan cukup menarik.

Nampaknya nama anda semakin kukuh, boleh kongsikan projek terbaru pula selepas ini?

Saya sudah selesai penggambaran filem kedua berjudul Anak Jantan yang dijadualkan ditayangkan sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun depan. Filem ini lebih kepada cerita aksi di mana teraju utamanya adalah Farid Kamil dan mengisahkan mengenai balas dendam, keinsafan serta realiti hidup.

Selain itu, saya juga dalam perancangan untuk membikin sebuah filem yang bakal mengetengahkan lebih kepada pelakon cilik mengenai kisah pengembaraan dan banyak menggunakan teknik komputer grafik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


9 kereta tertimbus tanah runtuh

Posted: 07 May 2013 10:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Sembilan kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Ampang berhadapan Stesen LRT Dang Wangi, kira-kira jam 7.05 malam semalam.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang pemandu kenderaan nyaris tertimbus ketika cuba mengeluarkan keretanya.

Mangsa M Logeswaran, 28, berkata, ketika dia tiba di tempat kejadian jam 7.45 malam, keretanya hanya tertimbus 40 peratus sebelum cuba mengeluarkan kenderaan itu bagi mengelak kerosakan lebih teruk.

Dia yang juga seorang jurutera berkata, ketika dia hendak mengeluarkan keretanya yang baru dibeli dua bulan lalu itu, dia terdengar bunyi kuat dan nampak tanah runtuh di hadapannya dan sempat melarikan diri ke kawasan selamat.

Foto

TANAH setinggi 25 meter runtuh dalam kejadian hujan lebat berhadapan Stesen LRT Dang Wangi.


"Saya nampak motosikal beberapa anggota polis yang sedang bertugas turut ditimbus tanah yang baru runtuh itu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Terpelanting disambar api

Posted: 07 May 2013 10:00 AM PDT

Pelabuhan Klang: Tiga lelaki warga Bangladesh kritikal selepas seluruh tubuh mereka melecur dalam kejadian letupan di sebuah kilang tayar di Jalan Pusara, Telok Gong, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, mangsa yang melakukan proses pembakaran tayar untuk mengasingkan getah tayar dengan besi, terpelanting selepas api tiba-tiba keluar dari ketuhar pembakar tayar ketika membukanya.

Semua mangsa yang berusia 30-an itu menjerit meminta tolong daripada rakan sekerja lain kerana tidak tahan kesakitan kerana kulit badan mereka melecur akibat terkena api selain getah tayar yang cair melekat pada badan.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 5.43 pagi sebelum sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke tempat kejadian.

Foto

DUA daripada tiga mangsa yang kritikal diberi rawatan awal kecemasan sebelum dihantar ke HTAR, semalam.


"Sebaik tiba, pegawai operasi mendapati tiada kebakaran berlaku, namun selepas melakukan pemeriksaan di sekitar kilang, beliau mendapati terdapat tiga mangsa sedang terbaring sambil menahan kesakitan berhampiran ketuhar pembakar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Dua gol James julang Gladiators

Posted: 07 May 2013 09:55 AM PDT

Seremban: Marlon Alex James memastikan ATM terus mengekori rapat pendahulu Liga Super, LionsXII apabila menjaringkan dua gol ketika membantu Gladiators menewaskan pasukan bertaraf bintang, Johor Darul Takzim, 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Penyerang St Vincent & Grenadines itu nyata menampilkan aksi yang menjadikannya penjaring terbanyak liga apabila menguji benteng Johor DT seawal minit ke-6, namun impian ATM untuk mendahului awal tidak menjadi apabila tandukan penyerang import itu tersasar.


Ayam tambatan naib juara Piala Malaysia itu sekali lagi menguji kecekapan Al Hafiz Hamzah pada minit ke-13, tetapi penjaga gawang Johor DT itu dapat menangkap kemas percubaannya.

Ketika aksi separuh masa pertama menghampiri penamat James sekali lagi berdepan dengan peluang untuk meletakkan ATM di depan tapi usahanya sekali lagi gagal sehingga kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.


Babak kedua menyaksikan ATM menggandakan asakan dan James akhirnya memecah kebuntuan apabila menanduk kemas hantaran Bruno Martelotto pada minit ke-54.


Kedudukan kemudian menjadi lebih selesa buat pasukan tuan rumah itu apabila James sekali lagi membocori gawang Johor DT selepas menggelecek dua pertahanan lawan sebelum merembat padu untuk gol kedua peribadinya pada perlawanan itu.

Foto

JAMES (tengah) cuba menanduk bola tetapi dihalang oleh pemain JDT.

Begitupun Johor DT yang cuba meletakkan diri mereka dalam kelompok pencabar, memperoleh peluang terbaik untuk memperbaiki jurang, namun sepakan penalti Leonel Nunez pada minit ke-66 diselamatkan penjaga gawang, Farizal Harun.


Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan dengan ATM kekal menghuni tangga kedua, ketinggalan satu mata kepada LionsXII. Pasukan dari Singapura itu terus unggul di persada liga dengan 31 mata, tapi mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08

Kena tunggu dua bulan lagi

Posted: 07 May 2013 09:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga pelumba basikal negara yang berdepan dengan masalah visa sekurang-kurangnya perlu menunggu dua bulan sebelum kembali menjalani latihan bersama ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley di Melbourne, Australia.

Masalah itu bagaimanapun akan cuba diselesaikan secepat mungkin pegawai penyelaras sukan berbasikal Majlis Sukan Negara (MSN), Rahimi Ahmad Sulaiman dengan cuba mendapat bantuan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi Timbalannya, Datuk Naim Muhamad.

Muhd Arfy Qhairant Amran, Mohd Fattah Amri Zaid dan Ummi Hamimah Mohamad yang baru dinaikkan taraf sebagai pelumba elit dijadualkan ke Australia, pada 21 April lalu, namun berdepan dengan masalah visa kerana syarat ketat Kedutaan Australia.

Katanya, masalah itu sudah dibangkitkan kepada PKBM yang sedia menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka kembali menjalani latihan bersama pelumba elit negara, Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa yang sudah berada di Melbourne ketika ini.


"Permohonan visa itu mengikut prosedur sama seperti sebelum ini, namun Kedutaan Australia sudah mula mengetatkan syarat kemasukan terutama sekiranya ingin menetap di negara itu dalam tempoh lebih lama.


"Masalah ini sebenarnya tidak begitu mengganggu proses latihan mereka kerana ketiga-tiga pelumba itu tidak mempunyai kejohanan penting dalam masa terdekat ini selepas ACC (Kejohanan Berbasikal Asia). Mereka boleh meneruskan latihan di sini kerana Kejohanan Siri Piala Dunia hanya akan membabitkan pelumba elit negara seperti Josiah, Azizulhasni dan Fatehah," katanya.

Bagaimanapun Rahimi berkata, beliau akan tetap berusaha mempercepatkan proses itu dan kini segala dokumen berkaitan sudah disiapkan.

Sementara itu, Naim berkata, beliau tidak berdepan dengan masalah membantu dengan menghubungi Kedutaan Australia agar mempercepatkan kelulusan visa itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved