Rabu, 28 November 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gabungan rona cerah, gelap

Posted: 28 Nov 2012 03:01 PM PST

LAIN orang berbeza cara mereka. Sering kali kita melihat jurusolek mengenakan bedak asas sebagai langkah pertama ketika bersolek, namun ada antara mereka memilih memulakan solekan mata kerana berpendapat tumpuan pada mata mampu meninggalkan kesan berbeza.

Selain itu, menyelesaikan tugasan dalam solekan mata mempercepatkan mekap kerana anda tidak perlu bimbang pada pembayang mata yang 'jatuh' pada bawah mata selepas sapuan bedak asas kerana ia boleh dibersihkan tanpa merosakkan wajah.

Menurut jurusolek profesional, Anna Ismail, bagi mendapatkan lirikan mata menggoda, perkara pertama yang harus diberi penekanan ialah asas pembayang mata. Pilih warna krim atau serum yang mudah disapu di seluruh kelopak untuk menjamin ketahanannya. Kemudian, sapukan primer yang anda gemari diikuti warna pembayang mata.

"Pilih pembayang cerah terlebih dulu diikuti rona gelap. Ini bertujuan menjadikan mekap lebih sempurna dan tidak comot. Sapukan warna cerah pada kelopak mata dengan kuantiti mencukupi dan pastikan sapuan anda rata. Selepas itu, pilih warna lebih terang untuk diadun dengan warna asas bagi membangkitkan kejelasan pada kelopak mata," katanya.


Namun begitu, pemilihan sapuan rona gelap atau terang bergantung pada kreativiti masing-masing, malah tiada peraturan ditetapkan. Tetapi apa yang membezakan keindahan mata seseorang adalah pada kebijaksanaan individu memilih serta mengadun warna pembayang mata. Lebih lama anda mencampur dan membuat sapuan pada kelopak mata, solekan menjadi lebih sempurna dan hebat. Dalam hal ini, penting untuk jurusolek berimaginasi bagi mendapatkan hasil mengagumkan.


Selepas itu, sempurnakan solekan dengan celak pada bahagian akar bulu mata sama ada mahukan yang tebal atau nipis. Jika inginkan mata lebih galak, buat sedikit tebal dengan sapuan berulang kali dan lebihkan pada hujung mata. Seni tangan dalam menghasilkan olesan ini berbeza antara individu.

"Apa yang penting jangan keterlaluan kerana calitan celak mampu mengubah penampilan seseorang. Amat penting solekan mata mengikut majlis yang akan dihadiri. Apabila solekan mata selesai, ambil maskara dan mulakan dengan mengoles pada bahagian akar bulu mata berulang kali untuk mendapatkan bulu mata lebih lentik, hitam dan panjang. Jangan sesekali memakai bulu mata palsu sekiranya anda memiliki bulu mata yang panjang," jelasnya.

Menurut Anna, dia lebih puas sekiranya memulakan solekan pada perkara penting serta menjadi tumpuan ramai. Apabila selesai, barulah beralih kepada pemakaian bedak asas, pemerah pipi, bayangan dan gincu.

"Namun semuanya terpulang kepada seni tangan masing-masing. Mungkin ada jurusolek selesa memakai bedak asas terlebih dulu diikuti pembayang mata, namun ada juga memberi tumpuan pada mata kerana di situlah letaknya kunci kejelitaan wanita.

"Malah tiada ketetapan dalam menentukan keanggunan seseorang. Apa yang penting pemilihan warna serta teknik digunakan," ujarnya.

Panduan solekan mata:

  • Gunakan berus berkualiti dan berbulu lembut. Ini kerana bulu yang keras akan menyukarkan anda mengadun warna pembayang mata, sekali gus mendapatkan gabungan warna menawan.
  • Gunakan warna pembayang mata berkualiti. Melabur sedikit tidak salah kerana jika anda menggunakan alat solek yang tidak bermutu, kemungkinan besar ia akan merosakkan kulit dan warna dihasilkan kurang sempurna.
  • Selain berus, jari juga boleh digunakan untuk mengadun warna pembayang mata terutama pada bahagian hujung mata. Ia nampak lebih asli dan semula jadi.
  • Warna terang hanya digunakan pada hujung mata dan bukannya di seluruh mata kerana ia akan menampakkan anda seperti badut.
  • Betulkan solekan menggunakan putik kapas, bukan dengan jari.
  • Warna metalik mungkin akan menambah seri pada mata tetapi jika anda terlebih guna, ia akan menjadikan wajah tampak berusia.
  • Jika anda mahu menggunakan teknik solekan smokey, elakkan membuat sapuan di bawah mata kerana ia nampak seperti mata anda ditumbuk atau lebam.
  • Anda digalakkan memakai pembayang mata sebelum celak diikuti maskara.
  • Sapu bedak asas pada kelopak mata supaya solekan tahan lama.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28



  • Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Air naik 2 meter

    Posted: 27 Nov 2012 12:48 PM PST

    GOMBAK: Hujan lebat tanpa henti petang semalam, menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir termasuk kampung di sekitar daerah ini ditenggelami air lebih dua meter.

    Antara kampung yang terbabit ialah Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana dan Kampung Ulu Yam Bharu menyebabkan tiga jentera bomba dan bot selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikejarkan ke lokasi berkenaan. Sehingga jam 10 malam tadi, lebih enam keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan air naik.


    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 7.30 malam memaklumkan air semakin naik.

    Katanya, sehingga jam 10 malam tadi, operasi mengeluarkan mangsa banjir dari rumah mereka masih dijalankan dan JKM turut membuka pusat pemindahan.


    Sementara itu di Kuala Lumpur, beberapa kawasan turut dinaiki air iaitu Jalan Loke Yew menghala Cheras dan Bulatan Cheras.


    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, berlaku runtuhan tebing di Jalan Mahameru sebelum susur Sentul Link menyebabkan kesesakan teruk.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28



    DBKL kenal pasti tapak baru Uptown

    Posted: 27 Nov 2012 08:28 AM PST

    KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti satu tapak baru yang lebih sesuai untuk menempatkan lebih 300 peniaga Uptown Danau Kota, Taman Setapak Indah, di sini.

    Timbalan Pengarah (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihaknya kini dalam peringkat kajian tapak terbabit yang terletak berhampiran Puspakom Jalan Genting Kelang.


    "Kami sedang kaji tapak itu, milik siapa dan projek yang dijalankan di sana. Sebahagian tanah itu milik DBKL," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Tapak baru itu terletak 1.4 kilometer dari tapak asal Uptown Danau Kota Setapak yang beroperasi hampir tujuh tahun lalu.


    Mohd Amin dalam kenyataannya sebelum in berkata, DBKL tetap dengan pendirian tidak membenarkan peniaga di Uptown Danau Kota beroperasi pada Isnin dan Selasa walaupun pada cuti sekolah.


    Menurut beliau, keputusan itu dibuat berikutan menerima rungutan penduduk yang mahu bazar larut malam itu dipindahkan ke tempat lain.

    Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Uptown Danau Kota, Ahmad Fauzi Abdul Karim mendesak DBKL membenarkan mereka berniaga tujuh hari seminggu sempena cuti sekolah pada November dan Disember ini.


    Permohonan itu bagaimanapun ditolak DBKL dengan alasan perlu menjaga kepentingan komuniti setempat yang tidak bersetuju jika peniaga berniaga tujuh hari seminggu, malah mahu uptown itu dipindahkan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Arena

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Arena


    Tak cuak lagi?

    Posted: 27 Nov 2012 08:00 AM PST

    KETIKA pemain pasukan lain fokus dalam persiapan menghadapi perlawanan kedua Piala AFF, pemain Harimau Malaya pula sibuk menguruskan isu perpindahan dengan kelab baru.

    Itulah realiti yang berlaku dalam kancah bola sepak negara ini apabila ada pihak yang seakan tidak sensitif perihal mana satu keutamaan yang perlu diberikan.


    Pagi semalam berlangsungnya prosiding isu perpindahan penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha dan majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) oleh Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di ibu pejabat badan induk bola sepak tanah air di Kelana Jaya.

    Yang menjadi persoalannya, adakah wajar prosiding itu diadakan sehari sebelum perlawanan penting skuad kebangsaan menentang Laos hari ini ataupun perlu ditangguhkan terlebih dulu bagi memberi fokus sepenuhnya pada kejohanan Piala AFF? Walaupun kehadiran Norshahrul itu mendapat pelepasan Datuk K Rajagobal, namun ketua jurulatih kebangsaan itu tidak menafikan fokus seharusnya diberikan kepada aksi kedua Kumpulan B menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.


    "Betul kata anda (wartawan), fokus pasukan Malaysia kepada perlawanan menentang Laos lebih penting," katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media semalam.


    "Dia (Norshahrul) perlu menyelesaikan perkara itu pagi ini (semalam), tapi saya sudah bercakap dengannya bahawa fokus utamanya tidak boleh lari. Saya rasa ia tidak menjadi masalah kerana kita sudah lihat sendiri ketika bertemu Singapura pada perlawanan pertama, dia mempamerkan aksi mengagumkan.

    "Saya akan berjumpa dengannya sekali lagi, tapi perkara ini saya pasti tidak akan mengganggu fokusnya. Saya tidak mahu terlalu mengawalnya kerana dia perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin, tapi ini juga tidak bermaksud saya tidak menjaga pemain saya," katanya.


    Hasil prosiding itu menyaksikan Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo bebas daripada ikatan kontrak bersama Kelantan dan dibenarkan beraksi dengan pasukan lain musim depan.

    Ketika nasibnya untuk berhijrah ke Johor semakin cerah, peluangnya untuk diturunkan menentang Laos pula masih samar kerana dia dilaporkan mengalami masalah jangkitan di bahagian telinga yang menyebabkannya hilang keseimbangan badan, muntah-muntah dan pening kepala.


    Itu pastinya mengundang keresahan Rajagobal yang mengharapkan sentuhan Norshahrul yang beraksi baik biarpun Malaysia tewas 0-3 di tangan Singapura pada perlawanan pertama, Ahad lalu.


    "Dia memang mengalami masalah kesihatan, namun ia bukanlah benda baru kerana perkara ini berlaku sejak dua minggu lalu. Apa pun saya akan bertanyakan kepada doktor mengenai tahap kesihatannya malam ini (tadi), saya harap dia tidak diketepikan daripada skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini," katanya.


    Mengulas mengenai aksi menentang skuad kendalian Kokichi Kimura hari ini, Rajagobal mengulas mereka tiada pilihan lain selain memungut tiga mata penuh sebelum membuat perhitungan dengan Indonesia, Sabtu ini untuk menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan.


    "Saya lihat Laos memiliki semangat melawan, kesungguhan dan bagus dalam membuat serangan balas pantas. Tapi saya yakin dengan kemampuan pemain saya dan kami perlu meraih tiga mata daripada perlawanan ini.


    "Sememangnya saya akan membuat pertukaran pemain, anda hanya perlu tunggu dan lihat esok (hari ini)," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



    Napoli bangkit

    Posted: 27 Nov 2012 07:57 AM PST

    ROME: Napoli melonjak ke tangga kedua Serie A hasil kemenangan 1-0 ke atas pasukan di tangga tercorot Cagliari manakala pencabar kejuaraan Inter Milan mengalami kekalahan 0-1 kepada Parma semalam.

    Napoli ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Juventus, terpaksa mengharapkan gol pada babak kedua menerusi Marek Hamsik (gambar) dan memintas Inter yang dikecewakan menerusi gol Nicola Sansone di penghujung permainan.


    Juventus yang kalah 0-1 kepada AC Milan, kelmarin, mengumpul 32 mata daripada 14 perlawanan, Napoli pula 30 mata mendahului Fiorentina dan Inter pula dengan 28 mata.

    Napoli tanpa penyerang Edinson Cavani yang digantung perlawanan dan Goran Pandev yang masih cedera, terpaksa bekerja keras untuk menumpaskan Cagliari dengan jaringan Hamsik pada minit ke-73 sudah cukup untuk mereka meraih tiga mata.


    Cagliari dinafikan sepakan penalti selepas Alessandro Gamberini menjatuhkan pemain tengah Daniele Conti, yang kemudian menyambut bola sepakan sudut Thiago Ribeiro yang terkena tiang sebelum rehat.


    Napoli lebih banyak bertahan pada babak kedua namun berjaya menembusi gawang lawan apabila Juan Zuniga melakukan larian ke dalam kotak penalti minit ke-72 dan mengumpan bola kepada Hamsik yang melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Michael Agazzi.

    Gol itu mencetuskan rasa tidak puas hati Cagliari yang mendakwa pemain Slovakia itu dalam kedudukan ofsaid.


    "Ia perlawanan yang sukar, tapi kami beraksi dengan baik," kata jurulatih Napoli, Walter Mazzarri kepada Sky Italia. "Kami bergelut seketika pada babak kedua tapi saya harus memuji persembahan pemain." Ketika ditanya mengenai peluang pasukannya memenangi Serie A, beliau berkata: "Saya langsung tidak memikirkan soal kejuaraan. Kita akan lihat di mana kita berada di penghujung musim."- Reuters

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Bos mafia sembunyi di dapur ibu

    Posted: 27 Nov 2012 01:22 PM PST

    ROME: Seorang ketua mafia dianggap satu daripada pemimpin kumpulan penjenayah paling muda di Itali, ditahan polis semalam.

    Digelar "Baby Boss" oleh media Itali, Mariano Abete, 21, diberkas ketika bersembunyi di sebuah bilik rahsia di rumah ibunya.


    Pintu masuk ke bilik rahsia itu hanya boleh dibuka dengan alat kawalan jauh. Abete mengetuai keluarganya dalam pertikaian dengan kumpulan penjenayah Neapolitan Camorra yang diketahui pernah membunuh ramai mangsa. Abete dilantik menjadi ketua kumpulan berkenaan selepas bapanya ditangkap, manakala bapa saudaranya dibunuh.

    Dia diburu polis kerana terbabit dalam kegiatan jenayah serta bersubahat dengan aktiviti penjualan dadah. Walaupun masih muda, polis berpendapat, Abete sangat berkuasa dan berbahaya.


    Jurucakap polis berkata, mereka menyerbu sebuah rumah di Naples pada awal pagi Ahad lalu sebelum berjaya mengesannya bersembunyi dalam bilik rahsia. "Apabila polis menemui ruang rahsia itu, ibu Abete merayu supaya anaknya tidak dicederakan.


    "Ibunya juga menawarkan diri untuk membuka pintu rahsia berkenaan," katanya.

    Jurucakap polis itu berkata, ibu Abete baru berusia 39 tahun. Rakaman video ruang rahsia itu - terletak di antara dua dinding yang boleh digerakkan - tersebar di laman sesawang semalam. Ia hanya dilengkapi sebuah tilam, bantal, salib dan satu tong oksigen. Abete dianggap mempunyai kedudukan tinggi di kalangan mafia kerana sebelum ini mengetuai kumpulan serpihan menolak keluarganya. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



    Apartmen jadi tempat penduduk China ‘tayang’ pakaian

    Posted: 27 Nov 2012 07:35 AM PST

    BEIJING: Cuma segelintir penduduk China memiliki mesin pengering.

    Juteru, sebahagian besar mereka terpaksa mengeringkan pakaian secara semula jadi, seperti penghuni Universiti Perubatan Tradisional Cina Hubei.


    Di bandar yang padat penduduk, keadaan itu memang biasa dilihat.

    Selain di balkoni, mereka turut menyidai pakaian di pokok, tiang telefon atau kabel elektrik. Ada kalanya, pakaian disidai di tiang besi yang dijulurkan keluar selari menerusi tingkap apartmen.


    Pakaian juga disidai menggunakan penyidai bulat yang tidak banyak memakan ruang dan kayu biasa yang diletakkan melintang di atas dua penyokong.


    Ketika semakin ramai penduduk negara itu mengamalkan gaya hidup mudah seperti kelas pertengahan Barat, ada sesuatu yang terkecuali - amalan menggunakan pengering pakaian.

    Apartmen di China biasanya dibina agak kecil dan tenaga elektrik pula mahal, manakala harga mesin pengering tidak mampu dimiliki. Pada 2010, Shanghai menganggap perbuatan mengeringkan pakaian di kawasan terbuka sebagai kuno dan amalan itu diharamkan. - DM

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    ‘Gadai ibu’ pada along

    Posted: 27 Nov 2012 01:14 PM PST

    KUALA LUMPUR: Seorang ibu ditawan selama empat jam dan semua barang kemasnya dirampas selepas dia 'digadai' anak lelakinya yang terdesak untuk melepaskan diri daripada cengkaman ceti haram atau along.

    Ibu berusia 63 tahun itu yang dikenali sebagai Zabedah berkata, dia mengalami pengalaman menakutkan sepanjang ditahan sekumpulan tiga lelaki yang datang ke rumahnya di Jinjang, di sini, jam 3 petang, Sabtu lalu.

    Menurutnya, sebelum kedatangan kumpulan lelaki itu, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan anak lelakinya berusia 20-an berada dalam tahanan mereka.

    "Apabila saya tanya kenapa anak saya ditahan, lelaki itu beritahu anak saya meminjam wang dengan mereka dan masih ada baki hutang RM10,000 yang belum dibayar.


    "Luluh hati saya mendengar kata-katanya. Bila saya merayu supaya anak dibebaskan lelaki itu beritahu dia hanya akan berbuat demikian jika mendapat semula wang RM10,000 itu.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28



    Terduduk lihat kepala terpisah

    Posted: 27 Nov 2012 01:14 PM PST

    SLIM RIVER: "Saya terduduk seketika selepas melihat kepala seorang daripada mangsa terputus dan otaknya melekat pada pintu kenderaan," kata Ku Mohd Hayazi Ku Mohd Isa, 32, saksi kemalangan yang meragut lima nyawa di Kilometer 372.1, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Slim River arah selatan, di sini, semalam.

    Kemalangan pada jam 7 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dinaiki 11 ahli pancaragam kebudayaan Cina yang terbabas dan merempuh bahagian belakang sebuah lori bermuatan beras yang berhenti di lorong kecemasan.

    Semua yang terbunuh penumpang MPV manakala enam lagi termasuk pemandu kenderaan itu cedera dan Ku Mohd Hayazi adalah kelindan lori terbabit yang berhenti di tepi lebuh raya kerana mengalami kerosakan tayar belakang.

    Mangsa yang terbunuh ialah Daphne Eng Yuik Yee, 14, dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Perak; Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Kedah; Juvien Chin Yu Xuan, 12, dan Poh Hock Huat, 60, kedua-duanya dari Nibong Tebal, Pulau Pinang serta Ong Choon Jee, 33, dari Perai, Pulau Pinang.


    Mangsa yang cedera ialah Chong Soon Choy, 61, (pemandu MPV) dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Ho Seok Yi, 18, dari Bagan Serai; Goey Wen Ni, 16, dari Nibong Tebal; Boo Goik Hong, 58; Lim Tau Hong, 5, dari Butterworth, Pulau Pinang dan Heng Ah Lek , 60, dari Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Perak.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/28



    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Bangga disunting Ajai

    Posted: 27 Nov 2012 05:42 AM PST

    SELAMA ini ramai tercari-cari siapakah pemilik vokal di sebalik lagu yang semakin hit di corong radio ketika ini, Lepaskan.

    Ramai menyangka lagu itu dendangan bekas pemenang program realiti MyStarz LG, Wana padahal sangkaan itu jauh tersasar apabila kebenarannya, ia nyanyian pendatang baru yang namanya kebetulan seakan-akan sama, Wanna Ali.

    Pasti ramai yang belum kenal dengan pemilik nama penuh Norsyazwana Mohd Ali ini, namun sukar untuk menyangkal, remaja comel ini punya masa depan cerah jika digilap dengan betul dan diberikan pendedahan.

    Bukan saja memiliki nada vokal yang sedap, malah dia juga dikurniakan pakej yang baik dari segi imej. Jadi tidak mustahil laluan untuknya mungkin lebih mudah dalam menembusi industri hiburan di Malaysia.


    Bertemunya pada satu sesi fotografi di Balai Berita NSTP, Bangsar, baru-baru ini, siapa sangka melihat caranya yang selesa beraksi di depan lensa kamera, Wanna sebenarnya baru mencecah usia 15 tahun!


    Sewaktu ditemu bual, jelas terpancar elemen profesional kerana gadis yang memakai pendakap gigi ini bijak mengatur jawapan.

    Berbalik kepada isu salah faham mengenai lagu Lepaskan tadi, ternyata penangan lagu itu benar-benar membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah dia Wanna Ali?
    Mengakui mendapat banyak maklum balas mengenai salah faham itu, Wanna bagaimanapun tidak mengambil hati kerana sedar namanya belum lagi gah.

    "Ramai yang keliru dan ingatkan lagu itu nyanyian Wana MyStarz LG. Namun bagi kawan-kawan serta orang yang sudah kenal dengan saya, mereka tahu, itu lagu saya.

    "Apabila mendapat tahu orang keliru antara saya dan Wana, tidak terdetik pun rasa terkilan kerana nama kami pun hampir sama bunyinya cuma ejaan saja yang lain," kata pelajar Sri KDU, Kota Damansara ini.

    Baru tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), menurut Wanna, dia tidak pernah terfikir akan bergelar penyanyi sepenuh masa kerana baginya minat menyanyi itu adalah sekadar untuk suka-suka saja iaitu sebagai hobi masa lapang.

    Mula menunjukkan minat menyanyi sejak kecil lagi, Wanna juga tidak sangka mendapat perhatian daripada komposer Ajai pada tahun lalu sehingga terus ditawarkan merakamkan lagu di studio.

    "Sebelum ini saya lebih kepada berlakon dan nyanyian saya sekadar untuk diri sendiri saja di rumah tapi apabila mendapat tawaran menyanyi daripada Abang Ajai, terdetik dalam hati saya, kenapa tidak mencuba? Jadi akhirnya muncullah lagu Lepaskan.

    "Sekarang ini pun, saya dalam proses untuk menyiapkan album di mana kebanyakan lagu yang dimuatkan adalah hasil ciptaan Abang Ajai. Memang rasa bertuah sangat kerana dapat bekerjasama dengan Abang Ajai, apatah lagi dia seorang komposer berpengalaman.

    "Sebanyak lima lagu akan dimuatkan dalam album saya kelak dan ia akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

    Lebih dulu terbabit dalam bidang lakonan, Wanna pernah muncul menerusi filem Aku Ada, Kau Ada dan akan tampil pula dalam filem Tokan. Bagaimanapun, dia akan tetap mengutamakan bidang nyanyian buat masa ini.

    "Saya meminati bidang muzik sejak kecil lagi dan suka menyanyi sampailah sekarang. Sebenarnya, saya pun tidaklah menyimpan cita-cita untuk menjadikan seni sebagai karier tapi apabila peluang sudah terbuka, saya pun terima.

    "Namun kalau diberi pilihan sama ada nyanyian ataupun lakonan, semestinya saya akan memilih nyanyian. Nyanyian itu umpama sudah menjadi sebahagian daripada diri kerana setiap masa pun saya akan habiskan dengan mendengar lagu dan menyanyi di rumah.

    "Untuk lakonan pula, saya jadikan ia sebagai batu loncatan untuk menimba pengalaman dan mencuba sesuatu yang baru," jelasnya yang datang ke studio ditemani ibu.

    Meminati penyanyi Barat terutamanya Lenka selain turut meminati Adele dan Amy Winehouse, Wanna teringin belajar bermain muzik.

    "Saya tahu ramai penyanyi berjaya pada masa ini terdiri daripada penyanyi yang pada masa sama mencipta lagu sendiri, namun buat masa ini biarlah saya serahkan dulu tugas itu kepada komposer handalan untuk membantu saya," katanya.

    Pada masa sama, artis remaja ini yang turut tersenarai sebagai calon awal kategori Penyanyi Wanita Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012), tidak sesekali terlintas mengabaikan pelajarannya.

    "Walaupun sudah mula berkecimpung dalam bidang ini, saya masih letakkan pendidikan sebagai fokus nombor satu. Seperti yang saya katakan, nyanyian ini hanyalah suka-suka dan paling penting saya mahu berjaya dalam bidang pelajaran terlebih dulu.

    "Saya tidak mahu tergesa-gesa untuk memutuskan sama ada saya akan teruskan karier dalam nyanyian kerana masa depan kerjaya ini pun masih lagi samar-samar," kata anak kedua daripada empat beradik ini yang menyimpan cita-cita untuk menjadi pakar sakit puan suatu hari nanti.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



    Muslihat doktor kahwin 5

    Posted: 27 Nov 2012 05:33 AM PST

    RAMAI tahu, lelaki Muslim hanya dibenarkan berkahwin empat sekali gus. Jadi apabila wujudnya Kahwin 5, pastinya ramai tertanya-tanya apakah muslihat di sebalik kisah seorang lelaki itu.

    Lantaran itu, penonton boleh mendapatkan jawapannya dalam filem Kahwin 5 Miang Lawan Pailang terbitan Showbiz Productions yang akan menemui penonton di pawagam mulai 27 Disember ini.

    Diarahkan Nizam Zakaria, filem ini arahan keduanya selepas filem Cinta Kura-Kura dan juga yang kedua terbitan Showbiz.

    Memilih pelakon dan penyampai radio, Usop Wilcha, Nizam yang ditemui pada pelancaran filem berkenaan, baru-baru ini berkata, pemilihan Usop berdasarkan sifatnya yang berjaya mencuit hati penonton sehingga menjadi ikutan ramai.


    "Selepas melihat kehebatan filem Madu Tiga, saya terfikir untuk mewujudkan filem sedemikian dengan penambahan elemen baru dan lebih segar maka wujudlah Kahwin 5. Mengetengahkan genre komedi, filem ini diwujudkan bukan untuk menyindir sesiapa, sebaliknya sekadar berkongsi pandangan bagi memberi suntikan positif kepada mereka yang hidup berpoligami di luar sana.


    "Filem ini sebagai satu tarikan utama kepada golongan lebih dewasa berkongsi gelak ketawa mereka bersama-sama. Walaupun diklasifikasikan sebagai 18 tahun ke atas, saya tidak terkilan malah yakin sambutan penonton tidak menjadi masalah berikutan jika dilihat penonton sekarang bijak menilai," katanya.

    Selain menerapkan elemen komedi, menariknya dalam filem ini, keempat-empat watak isteri dilakonkan Dian P Ramlee, Norish Karman, Adrea Abdullah dan Marsha Lodoh. Masing-masing diberikan peranan menggunakan dialek negeri seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah selain Usop yang diminta menggunakan loghat Perak.

    "Filem ini bukan sekadar jenaka semata-mata, kami inginkan komedi yang mempunyai mesej kerana itulah empat karakter ini diwujudkan bagi menunjukkan walaupun hadir dari pelbagai negeri, setiap isteri ini mempunyai sikap saling menghormati sesama mereka.

    "Pemilihan pelakon juga saya yakin mampu menarik penonton untuk ke panggung.
    Kehadiran Usop sudah cukup membuat penonton pecah perut!" katanya.

    Kahwin 5 mengisahkan seorang usahawan mangkuk plastik yang berjaya dan dikenali iaitu Dr K. Dia yang sudah mempunyai empat isteri masing-masing berasal dari Selangor (Saadiah), Kelantan (Sahara), Negeri Sembilan (Monalisa) dan Sabah (Mimi).

    Kehidupan mereka sekeluarga aman bahagia sehinggalah Dr K dipengaruhi Rahim,
    pemandu peribadinya menyebabkan Dr K terjebak dengan skandal bersama Farra, adik kepada seorang lelaki 'pailang', Cico.

    Timbul dilema apabila Dr K dipaksa berkahwin lagi walaupun sudah cukup kuota isterinya. Berjayakah Dr K melakukan apa yang diminta?

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27



    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved