Jumaat, 7 Oktober 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gaya Arab cita rasa kita

Posted: 07 Oct 2011 07:13 AM PDT

SONGKET yang dulunya sinonim dengan rekaan tradisional kini melalui proses penyerapan menerusi potongan dan teknik jahitan agar menjadi lebih kontemporari seiring peredaran zaman.

Jika dulu, mempelai memilih padanan baju kurung dan kebaya songket, kini fabrik tradisi ini menjadi lebih moden dan bergaya.

Selain penggunaan songket, potongan ala gaun kembang menggunakan teknik lipatan dan alunan bersama helaian fabrik renda dan sutera sifon menjadikan pakaian ini terletak cantik dan 'jatuh' pada tubuh si pemakai.

Lebih istimewa, menjelang 2012 perkahwinan bertemakan padang pasir semakin mendapat perhatian disebabkan tampak sopan, elegan dan menepati ciri wanita Muslimah.


Menurut pemilik butik Udaimatunnur, Ismail Abd Rahman, perkahwinan ala Puteri Balqis dengan pengantin memakai niqab walaupun masih terlalu baru, semakin mendapat perhatian terutama pada majlis pernikahan disebabkan gaya sebegini mampu menonjolkan kejelitaan mempelai selain nampak suci dan sopan.


"Kini kebanyakan mempelai berani memilih perkahwinan tema Arab terutama ketika majlis pernikahan.

"Namun pemilihan warna sangat penting kerana akan mempengaruhi penampilan.

"Tidak semua orang boleh memakai warna yang sama. Untuk gaya Timur Tengah, warna gelap seperti kelabu, coklat, hitam dan perak ditambah rona putih dan krim, sesuai untuk semua jenis kulit," katanya.

Ismail yang berpengalaman sebagai perunding perkahwinan memberitahu terdapat beberapa perkara yang harus diberi perhatian sebelum memilih tema busana.

Bagi mendapatkan padanan sesuai, rekaan harus mengikut bentuk badan, ketinggian serta warna kulit mempelai.

"Contohnya, mempelai berkulit gelap tidak sesuai memakai warna jingga seharusnya mereka mengenakan rona perang cair atau krim. Begitu juga dengan pemilihan tudung, tidak semestinya mengikut rona baju sebaliknya ton warna bersesuaian. Ikatan tudung pula sangat dipengaruhi bentuk muka.

"Bagi mempelai berwajah bulat, mereka digalakkan memakai tudung bersengkuap supaya wajah nampak bujur. Pilih rona gelap berbanding cerah bagi menyembunyikan kekurangan wajah," katanya.

Bagi gaya padang pasir, Ismail tidak mengambil inspirasi seratus peratus daripada gaya Arab, sebaliknya menggabungkan unsur moden supaya boleh diterima wanita. Jika diikutkan, gaya Arab mengetengahkan juntaian perhiasan kepala yang sarat dan berwarna. Busana mereka pula adalah jubah yang diperindahkan perincian manik mewah.

"Gaya sebegini mungkin agak janggal di Malaysia kerana mempelai lebih gemar bersederhana dalam berpakaian. Sebab itu dalam kebanyakan rekaan, saya memilih teknik lipatan dengan penggunaan fabrik bermutu seperti sifon ditambah manik serta batu permata pada bahagian tertentu bagi menampakkan imej sopan sesuai pengantin Muslimah.

"Untuk tudung, saya lebih gemar memilih ikatan kemas dengan lilitan selendang
ditambah perhiasan kepala.

Ini kerana gaya sebegini akan lebih menonjolkan keistimewaan mempelai. Mereka tidak perlu bimbang kerana penggunaan layah akan membuatkan pengantin berada dalam kelas tersendiri," ujarnya.

Selain pakaian, solekan juga memainkan peranan penting terutama bagi mempelai
berniqab, solekan mata mampu menonjolkan keanggunan raja sehari kerana pada bahagian itu menjadi titik tumpu tetamu.

"Jika sudah memilih pakaian sebaiknya, mereka memilih jurusolek sesuai yang tahu konsep diinginkan. Kemahiran menyolek bahagian mata adalah kunci kepada kejelitaan selain membuat teknik bayangan pada wajah terutama pengantin berwajah bulat dan comel," katanya.

Butik Udaimatunnur bukan saja menerima tempahan baju pengantin, tetapi turut menyediakan perkhidmatan sewa atau membeli baju siap. Harga untuk sepasang baju yang ditempah adalah mengikut bajet pelanggan manakala kadar sewa bagi sepasang
baju adalah RM1,500 dan RM2,000 ke atas untuk pengantin lelaki dan wanita.

‘Mahkota’ untuk si manis

Posted: 07 Oct 2011 07:00 AM PDT

MINAT menyediakan aksesori hiasan kepala kanak-kanak sebagai mengisi masa lapang biarpun hanya melalui pemerhatian menerusi laman Youtube ternyata mampu memberikan pulangan yang tidak pernah dijangka.

Bagi Melor Maswani Mohtar, 35, perniagaan jualan aksesori yang dimulakan sejak 2005 itu pada mulanya dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Bagaimanapun kini, ia mula dijalankan secara serius memandangkan permintaannya yang menggalakkan.

Walaupun tidak pernah mendapatkan pembelajaran secara formal mengenai cara menyediakan kraf sebegini, Melor Maswani menyifatkan tiada apa yang dianggap mustahil memandangkan maklumat yang boleh diperoleh kini hanya berada di hujung jari.


"Saya banyak melihat laman Youtube mengenai cara pembuatan sesuatu aksesori dan daripada situ saya mula berjinak-jinak menghasilkan barangan kreatif hasil idea sendiri.


"Tidak dinafikan bagi memperoleh idea untuk mencipta bentuk yang diingini, saya banyak melakukan pemerhatian pada barangan aksesori tempatan dan luar negara dan cuba menghasilkan sesuatu yang lebih kreatif," katanya.

Dia yang menjalankan aktiviti jualan secara dalam talian melalui laman sosial Facebook menggunakan nama Wanie's Craft Cottage berkata, bahan utama yang digunakan adalah reben grossgrain dengan pelbagai warna dan corak bercetak.

Reben jenis ini sesuai dijadikan aksesori kepala kerana ia didatangkan dengan warna ceria serta pelbagai corak dan rekaan cetakan, sekali gus mampu menarik minat pelanggan cilik.

"Pada mulanya agak sukar untuk saya memperoleh bahan mentah kerana reben jenis ini jarang digunakan di pasaran tempatan. Untuk itu saya mula mencari bahan terbabit secara dalam talian.

"Saya banyak memberi tumpuan pada perhiasan kepala seperti cekak rambut, sepit rambut dan lilitan kepala bayi pada harga berpatutan meskipun material agak mahal dan sukar dijumpai," katanya.

Harganya berbeza mengikut saiz dan jenis perhiasan iaitu cekak rambut antara RM10 dan RM20, sepit rambut pula RM6 hingga RM10 manakala lilitan kepala bayi RM10 hingga RM15.

Jika ingin mencuba sendiri, ikuti langkah mudah menyiapkan sepit rambut loop bow untuk ruangan Rias kali ini.

Sebelum itu, sediakan bahannya terlebih dulu iaitu reben grosgrain 17 sentimeter (tiga), 15 sentimeter (empat), lapan sentimeter (tiga), butang hiasan, felt bulat (dua), sepit hitam, pemetik api, gam pistol, gunting, benang dan jarum.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pelajar dipukul akibat wang jualan sayur

Posted: 06 Oct 2011 02:37 PM PDT

SEREMBAN: Seorang bapa tersentak apabila mengetahui anak lelakinya yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini, cedera dipukul pelajar lain berikutan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang jualan sayur, kelmarin.

Difahamkan, insiden antara mangsa, Redhuan Mohd Anas Shanker, 14, dan beberapa pelajar di padang sekolah berkenaan menyebabkannya menerima lapan jahitan di dahi selain cedera di muka. Menurut bapa mangsa, Mohd Anas Shanker Abdullah, 43, dia yang membeli sayur di pasar terkejut apabila menerima panggilan daripada guru sekolah memaklumkan kejadian itu, pada jam 1 tengah hari.


"Guru itu memberitahu anak saya cedera dan dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. "Saya ke klinik berkenaan dan mendapati dahinya berdarah sambil dia menangis kerana menahan kesakitan," katanya di sini, semalam.

Anas berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang lagi anaknya, Syuib, 15, yang belajar di sekolah sama.


"Dia (Syuib) memberitahu, beberapa pelajar menumbuk adiknya (Redhuan) di padang sekolah berkenaan. Ketika itu, Syuib cuba membantu, tetapi dia ditolak dan terjatuh ke dalam longkang namun tidak cedera.


"Selain itu, dia memaklumkan pergaduhan berpunca perselisihan faham membabitkan wang jualan sayur," katanya.

Kata Anas, Redhuan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya yang cedera di kawasan sekolah. "Saya amat berharap pihak sekolah melakukan sesuatu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku kepada pelajar lain pada masa akan datang," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

7 lelaki ditahan

Posted: 06 Oct 2011 02:09 PM PDT

SHAH ALAM: Polis yakin menyelesaikan kes pembunuhan sepasang suami isteri di Batu 30 Hulu Yam, Hulu Selangor pada 28 September lalu berikutan penahanan tujuh lelaki di Pekan Rasa, Hulu Selangor, bau-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata dalam kejadian itu, L Ramasandram, 57, dan isterinya, A Bakiam, 51, yang juga penoreh getah ditemui mati dengan kesan luka dan tetakan di muka, kepala dan kedua-dua tangan.


Menurutnya, susulan itu, polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes terbabit secara lebih terperinci.

"Hasilnya pada 30 September lalu antara jam 5 petang hingga 8 malam, polis memberkas lima lelaki berumur 16 hingga 44 tahun.


"Tiga daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau dan dua lagi masih dalam status hukuman perintah buang daerah (PCO) di Kampung Batang Kali, Pekan Rasa, Hulu Selangor.


"Susulan itu, pada 3 Oktober lalu dua lagi lelaki berumur 25 dan 31 tahun diberkas di Pekan Rasa. Siasatan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah, tetapi suspek berusia 31 tahun terbabit positif syabu," katanya di sini, semalam.

Katanya, kelmarin, hasil siasatan polis membawa kepada penemuan dua parang yang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan kejam itu di Sungai Rasa, Hulu Selangor.


"Polis menjumpai dua parang pada 5 Oktober lalu yang dipercayai digunakan suspek di Sungai Rasa, Batang Kali iaitu satu kilometer dari tempat kejadian.

"Setakat ini siasatan mendapati motif pembunuhan disyaki berpunca daripada perselisihan faham dan dendam antara suspek utama yang berusia 44 tahun dengan mangsa," katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi pada 28 September lalu, mayat kedua-dua mangsa ditemui terlentang di atas jalan tanah merah di sebuah dusun durian di Batu 30 Hulu Yam.


Ramasandram cedera teruk di kepala dengan kelima-lima jari tangan kanannya putus manakala Bakiam hampir putus pergelangan tangan selain turut ditetak di kepala.


Pasangan terbabit yang juga penoreh getah keluar rumah kira-kira jam 5 pagi untuk menoreh di kebun dua kilometer dari rumah mereka.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Koo-Tan dapat sifu baru

Posted: 06 Oct 2011 12:22 PM PDT

BUNTU tiada azimat di negara ini yang boleh mengembalikan semula aksi garang Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini memancing jurulatih dari Korea Selatan, Yoo Yong-sung untuk membantu mereka melonjakkan kembali gigitan pasangan utama negara itu.

Lamaran untuk mendapatkan bekas pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu dikatakan sudah selesai dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga bersetuju dengan cadangan BAM yang dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara MSN dan BAM di Bukit Jalil semalam.


"BAM beritahu mereka mahu melantik jurulatih baru bagi membantu Kien Keat-Boon Heong dalam memburu emas Olimpik. Mereka bercadang melantik Yong-sung dari Korea dan pada dasarnya, kami bersetuju," kata Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong, semalam.

Dikhabarkan untuk peringkat awal, BAM akan menanggung bayaran gaji Yong-sung bagi tempoh enam bulan pertama.


MSN pula akan menilai prestasi jurulatih itu dan akan mengadakan perbincangan sekali lagi dengan BAM bagi menentukan sama ada mereka perlu membantu membayar separuh daripada gaji jurulatih itu atau sebaliknya.


"Sekarang BAM sudah ada sumber penajaan baik, jadi tak semua perkara perlu babitkan MSN dalam soal kewangan," kata Zolkples.

Menurut sumber, Yong-sung sudah bersetuju dengan tawaran itu tetapi BAM sedang mengkaji terma dan syarat untuk dikemukakan dalam kontrak jurulatih Korea itu.


Jika semua berjalan lancar, Yong-sung dijangka memulakan tugasnya di negara ini bermula bulan depan.

Yong-sung, 37, kini menjadi jurulatih sebuah kelab badminton di Korea belum terbukti sebagai jurulatih yang baik tetapi BAM terpikat dengan rekod cemerlangnya ketika bergelar pemain.


Yong-sung yang bergandingan dengan Lee Dong-soo adalah pemenang pingat perak Olimpik 2000 Sydney dan 2004 Athens, juga pernah dua kali meraih perak di Kejohanan Dunia selain menggondol tiga emas Sukan Asia di dua temasya berbeza.


BAM ketika dihubungi bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai soal bayaran gaji dan kontrak yang akan ditawarkan kepada Yong-sung.


Malah BAM juga enggan mendedahkan di mana kedudukan Pang Cheh Chang jika Yong-sung melatih Kien Keat-Boon Heong kelak.


Mengenai isu membabitkan Persatuan Badminton Selangor (SBA) yang didakwa tidak sah oleh 32 ahli gabungan yang tidak dipanggil menghadiri Mesyuarat Dwi Tahunan persatuan itu, BAM menerusi Setiausaha Kehormatnya, Ng Chin Chai enggan mengulas lanjut dan mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti berikut: "BAM tiada fakta mengenai keahlian SBA, jadi tidak dapat komen."

PHM bengang FIH tidak adil

Posted: 06 Oct 2011 12:19 PM PDT

SIKAP berat sebelah Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam memutuskan pembahagian kuota ke Sukan Olimpik tahun depan di London mencetuskan rasa tidak puas hati Persekutuan Hoki Malaysia (PHM).

Apa tidaknya, benua Oceania yang hanya diwakili tiga negara iaitu Australia, New Zealand serta Fiji diberi dua kuota automatik ke temasya sukan terbesar dunia itu sedangkan benua Asia yang mempunyai banyak pasukan berkelas dunia, hanya diberi satu tiket automatik ke Olimpik iaitu Pakistan selepas memenangi pingat emas pada Sukan Asia lalu dengan menewaskan skuad negara.


Lebih mengecewakan, Fiji yang sepatutnya beraksi untuk saingan Piala Oceania, kejohanan yang menentukan dua tiket ke Sukan Olimpik di benua itu, menarik diri sebelum bermulanya saingan yang bermula semalam sekali gus menyaksikan Australia dan New Zealand secara automatik layak ke London.

Tidak berpuas hati dengan situasi itu, Setiausaha PHM, Maninderjit Singh (gambar) baru-baru ini menulis surat kepada FIH meminta supaya badan induk hoki dunia itu mengkaji semula kedudukan terkini selepas pengunduran Fiji. "Antara tuntutan PHM kepada FIH ialah meminta supaya pemenang tempat kedua di Piala Oceana bertemu dengan pemenang tempat kedua semasa Sukan Asia lalu iaitu Malaysia bagi menentukan satu slot ke Sukan Olimpik.


"Bagaimanapun, jawapan yang diterima sudah dijangka iaitu FIH tetap dengan keputusan memberi dua slot tiket automatik kepada Australia dan New Zealand meskipun dengan pengunduran Fiji dengan alasan tuntutan kami sudah terlambat.


"Apa yang PHM lakukan ini bukanlah untuk kepentingan skuad negara semata-mata, tetapi bagi membela pasukan benua Asia. Apakah rasional FIH memberi dua tiket automatik itu kepada hanya dua pasukan yang bertanding di Piala Oceania?" kata Maninderjit.

Menurutnya, adalah tidak wajar untuk Australia serta New Zealand memperoleh dua tiket automatik ke Sukan Olimpik sedangkan benua Asia yang mempunyai lebih banyak pasukan terbaik dunia, hanya diberi satu tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu.


"Saya cuma berharap perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan. FIH perlu adil dalam memberikan slot Olimpik kepada setiap benua termasuk Asia," katanya.

Berikutan perkembangan itu, bermakna skuad negara masih perlu melalui pusingan kelayakan Sukan Olimpik awal tahun depan di lokasi yang masih belum ditetapkan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


MUI tolak kunjungan Leila

Posted: 06 Oct 2011 02:35 PM PDT

BANDUNG: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menolak kunjungan Ratu Universe 2011, Leila Lopez ke bandar ini, Selasa depan.

Setiausaha umum MUI, Jabar Raffani Achyar menganggap kunjungan ratu berasal dari Angola itu mencemari pengisytiharan bandung sebagai kota agama. "Ratu Universe dikatakan akan bertemu pemerintah kota Bandung, Dada Rosada. Kami menolak kunjungannya itu," katanya kepada wartawan, semalam. Beliau menganggap pertandingan Ratu Universe tidak menepati syariat Islam contohnya seperti perlu memakai bikini, berjalan catwalk sambil mendedahkan aurat tubuh.


"Ia tidak relevan dengan program Bandung sebagai kota agama. Kota agama dikenal sebagai bandar tanpa minuman keras, pornografi dan aksi yang berkaitan dengan pendedahan aurat," katanya.

Menurut Jabar, masih ramai tokoh terkenal lain yang boleh diundang dalam acara amal misalnya seperti pemenang anugerah Nobel atau olahragawan ternama.


"Daripada Ratu Universe lebih baik diundang pemenang anugerah Nobel atau ilmuwan yang dapat memberi manfaat kepada kita. Tambahan pula, undangan Ratu Universe memerlukan perbelanjaan yang besar," katanya.


Bagaimanapun, sekiranya kehadiran Ratu Universe ke Bandung hanya untuk membeli-belah, Jabar tidak mempertikaikan kunjungan itu kerana ia dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Kematian Jobs catat rekod dalam Internet

Posted: 06 Oct 2011 11:47 AM PDT

SYDNEY: Kematian Steve Jobs bakal mencatat rekod apabila pengagum dan peminat teknologi menjadikan Internet sebagai saluran menyatakan kesedihan mereka.

Sebanyak lima daripada 10 topik dipos di laman media sosial adalah mengenai Jobs, termasuk menggunakan kata kunci #ThankYouSteve dan #iSad dalam Twitter.


Dua daripada kenyataan popular Jobs - Think Different dan Stay Hungry - juga menjadi pilihan pengguna Internet sehingga sempat menyebabkan Twitter sesak seketika akibat penggunaannya yang meluas.

Penganalisis media sosial berkata, Jobs berpotensi memecah rekod sebagai isu paling banyak diperkatakan dalam sejarah Internet.


Agensi pemantau SR7 menganggarkan, nama Jobs disebut 10,000 kali sesaat di Twitter dan dijangka kadar itu terus meningkat.


Pengasas bersama SR7, Peter Fraser, berkata mereka menunggu kenyataan rasmi Twitter tetapi berdasarkan kepada jumlah yang dipantau, ia mungkin memecah rekod sedia ada.

Rekod terkini dipegang penyanyi Beyonce Knowles yang mencatat 8,868 pos sesaat apabila dia mengumumkan kehamilannya. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Terima kasih, sayang mama’

Posted: 06 Oct 2011 02:32 PM PDT

MACHANG: "Terima kasih, sayang mama." Itu antara kandungan SMS terakhir Mohd Syamil Malek kepada ibunya beberapa jam sebelum terbunuh dalam kemalangan meragut empat nyawa di Kilometer 4.2 Jalan Machang-Pasir Puteh, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, selain Mohd Syamil tiga lagi mangsa yang terkorban ialah rakannya yang sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan di sini manakala seorang lagi cedera.

Semua mangsa berusia 19 tahun dan menuntut di tahun dua dalam jurusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka.

Mohd Syamil dari Batu Pahat, Johor dan Mohd Rizal Mohd Zin dari Kluang, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Mohd Faizuddin Jamil dan Mohd Syazwan Rosli, masing-masing dari Shah Alam, Selangor dan Pekan, Pahang pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian manakala Haziq Zailani hanya cedera ringan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Genius Apple ditewas barah

Posted: 06 Oct 2011 02:32 PM PDT

SAN FRANCISCO: Pengasas Apple Computer, Steve Jobs, meninggal dunia akibat kanser pankreas pada usia 56 tahun semalam, selepas dia berjaya merevolusikan budaya moden dan mengubah selama-lamanya perhubungan teknologi melalui pelbagai inovasi.

Antara sumbangan Jobs kepada dunia ialah mencipta iPad dan iPhone.


Dalam kenyataan lembaga pengarah Apple semalam, syarikat gergasi itu mengesahkan kematian Jobs dan bersedih atas kehilangan itu.

"Jobs seorang pintar, bersemangat dan bertenaga menjadi sumber pelbagai inovasi yang memperkaya dan meningkatkan kualiti hidup kita.


"Dunia ini menjadi lebih baik kerana Jobs," kata kenyataan itu.


Lahir di San Francisco pada 24 Februari 1955, Jobs lahir tanpa bapa dan dijadikan anak angkat kira-kira seminggu selepas itu.

Dibesarkan di kawasan Mountain View - sebuah kawasan pertanian yang kemudian menjadi hab teknologi dunia dikenali sebagai Lembah Silicon.


Jobs juga menjadi pengasas bersama pengeluar filem dihormati, Pixar, pada 1986 selepas dia membeli unit komputer grafik penerbit Star Wars, George Lucas.

Semalam, Jobs meninggal dunia di kelilingi ahli keluarganya.


Kematian Jobs turut dirasakan di seluruh dunia, dengan peminat Apple membanjiri laman sesawang sosial dengan menyatakan ucapan dan penghargaan masing-masing.


Orang biasa - kebanyakannya tahu berita kematian itu melalui iPhone dan iPad mereka - menggunakan Twitter menyatakan penghargaan.


Jobs hanya berusia 21 tahun ketika dia mengasaskan Apple Computer bersama rakannya, Steve Wozniak - ketika itu berusia 26 tahun - pada 1976.


Daripada syarikat sederhana, Apple berkembang menjadi satu daripada firma paling bernilai di dunia kini.


Pada Julai lalu, perolehan keuntungan separuh kedua Apple mencapai RM23.2 bilion.


Presiden Barack Obama turut memberi penghormatan ke atas Jobs dengan menggelarnya sebagai "pakar inovasi terhebat" yang mengubah hidup manusia dan memberi makna baru kepada keseluruhan industri.


"Dia mengubah cara setiap kita melihat dunia," katanya. Jobs meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Apple enam minggu lalu.


Jobs meninggal dunia sehari selepas Apple melancarkan produk terbarunya, iPhone 4S, tetapi gagal menarik sambutan seperti diharapkan.


Dia meninggalkan isteri, Laurene, bersama tiga anak mereka, selain seorang anak perempuan hasil hubungan Jobs dengan seorang wanita lain sebelum dia berkahwin. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Matang sebelum usia

Posted: 06 Oct 2011 09:18 AM PDT

DIA menganggap dirinya sangat bertuah kerana mendapat didikan pengarah yang berpengalaman. Noor Melia Aimiellia Zaidi, atau nama manjanya, Melia, 18, ternyata cukup berbangga apabila diterima berlakon di bawah arahan Othman Hafsham untuk filem komedi romantik Karipap-Karipap Cinta.

Walaupun filem itu tidak mencapai tahap 'box-office', Melia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia dapat menimba pengalaman yang banyak daripada Hafsham dan bergandingan dengan pelakon lebih 'senior' dalam filem itu.

Selain itu, satu perkara yang penting, dia mendapat rezeki daripada kerjaya itu untuk membantu keluarganya yang bukannya berasal dari golongan berada.

"Pengalaman berlakon filem Karipap-Karipap Cinta sungguh menyeronokkan. Saya gembira kerana dapat menimba pengalaman daripada pengarah yang saya kagumi dan dikenali dengan filem yang hebat seperti Adik Manja, Mekanik dan Soal Hati.


"Saya juga tidak ada masalah berlakon dengan Gambit (pelakon utama yang berpasangan dengannya dalam filem itu) kerana Gambit seorang yang profesional dan baik orangnya," ujar Melia kepada Harian Metro dalam satu sesi fotografi di Balai Berita, baru-baru ini.


Namun, kata Melia, dia agak terkedu apabila dituduh cuba menjatuhkan imej wanita Muslimah ketika membawa watak Sarah, graduan Universiti Al-Azhar dalam Karipap Karipap Cinta.

"Sebagai pelakon saya hanya mengikut kehendak skrip dan arahan pengarah.
Keputusan bagaimana imej mahupun bentuk karakter saya itu bukan terletak
di tangan saya. Namun selepas saya fikir, saya tidak perlu rasa tertekan kerana ia hanya pandangan segelintir pihak. Sekurang-kurangnya mereka menonton filem pertama lakonan saya itu," katanya yang pernah membintangi telefilem Baju Raya Mona dan Ampunkan Daku.

Melia sedar 'sambutan sendu' ke atas Karipap-Karipap Cinta, namun itu tidak sekali-kali melemahkan semangatnya untuk terus mara.

"Mungkin itu belum lagi saat kemuncak dalam kerjaya seni saya. Di sebalik bermacam komen yang didengar, saya semakin bersemangat menjadi pelakon dan akan terus berjuang dalam industri yang mencabar ini. Saya memang terhutang budi kepada Hafsham," katanya.

Apa yang jelas, kejayaan Melia mendapat watak utama dalam Karipap-Karipap Cinta itu berjaya menepis pandangan sinis segelintir pihak yang sebelum ini menjeling rendah terhadap keupayaannya.

Ibunya, Norita Abdul Basit juga sempat memberikan komen ketika diajukan pertanyaan mengenai pahit maung Melia sebagai seorang anak seni.

"Kami bukannya dari keluarga senang. Kami juga sedar rezeki tidak akan datang bergolek dan kita mesti berusaha dari bawah. Memandangkan Melia benar-benar mahu menjadi pelakon dan mengasah bakatnya, saya akan memberi restu dan sokongan. Pada masa yang sama, saya akan cuba memberikan nasihat kepada Melia untuk berdepan dengan setiap cabaran. Maklumlah dia masih lagi remaja," kata ibunya.

Bagi Melia, keluarga sangat penting kepada dirinya, tambahan pula dia mempunyai seorang adik yang kurang upaya.

"Sebab itulah saya mahu bekerja dan membantu keluarga saya," katanya yang mempunyai raut wajah jelita dan nampak lebih matang daripada usia sebenar.

Cinta gadis kelahiran Sentul, Kuala Lumpur ini terhadap dunia seni bermula seawal usia 16 tahun. Neneknya, pelakon veteran, Kamalia Mat Dom adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkannya ke industri hiburan ini.

Walaupun baru setahun jagung bergelar anak seni, industri hiburan sudah banyak mengajar Melia selok-belok dan 'permainan' dunia hiburan. Cabaran mula dianggapnya sebagai satu motivasi diri untuk membina tahap kerjaya yang lebih mantap.

Dulu, Melia pernah ditawarkan untuk merakamkan 'single' oleh komposer Izwan Talhah, tetapi dia terpaksa menolak tawaran itu kerana bidang nyanyian memerlukan modal ringgit dan komitmen yang tinggi.

"Selepas habis persekolahan, bidang lakonan adalah punca rezeki kami sekeluarga. Setakat ini masih belum terfikir untuk menyambung pelajaran, biarlah lakonan menjadi fokus utama saya buat masa terdekat ini," katanya.

Melia akui, dia juga tidak dapat lari dari menjadi mangsa cemuhan dan kritikan, tetapi sentiasa bertenang dan mengambilnya dari sudut positif.

"Ada yang cakap saya jenis gadis yang suka bersosial dan ada juga yang melabelkan saya sebagai anak mak. Tidak kurang juga yang tuduh saya sombong.

"Bagi saya, apa juga yang orang cakap, itu hanyalah pandangan mereka. Mungkin sebab mereka belum kenal saya dengan rapat. Apa yang boleh saya katakan, ketika di lokasi penggambaran, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih banyak mendiamkan diri. Kalau berkawan dengan rakan artis pun sekadar di lokasi saja," katanya.

Ditanya mengenai sokongan daripada keluarga, Melia akui ibunya bukan saja berperanan sebagai pengurus, tetapi juga menjadi rakan karib dalam mengekang tohmahan negatif yang dilemparkan kepada mereka.

"Memang buat masa ini ibu akan sentiasa bersama saya. Lebih senang ibu ada bersama kerana ibu lebih memahami diri saya," katanya .

Melia mengulas lanjut, dia lebih banyak melakonkan watak yang lebih matang dari usianya. Jika diberi peluang, dia juga mahukan watak remaja dan antagonis untuk mengembangkan lagi bakat lakonannya sedia ada.

PROFIL

Nama penuh: Noor Melia Aimiellia Zaidi
Panggilan: Melia
Tarikh lahir: 7 November 1993
Usia: 18 Tahun
Asal: Sentul, Kuala Lumpur
Keluarga: Anak sulung daripada dua beradik
Hobi: Memasak
Idola: Fauziah Datuk Ahmad Daud, Scha Al-Yahya, Erra Fazira
Kerjaya: Pelakon
Filem: Karipap-Karipap Cinta
Drama: Ampunkan Daku, Silap Menghitung, Kalau Hati Sudah Suka, Menanti Hujan Teduh

Ismail pertahan diri

Posted: 06 Oct 2011 06:22 AM PDT

ISU dalaman Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) nampaknya belum mencapai jalan penyelesaian. Walaupun pelantikan empat ahli jawatankuasa (AJK) baru dibuat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 24 September lalu, jalan perdamaian masih tiada.

Difahamkan, bekas Presiden, Ismail Ahmad bersama Timbalannya, Mohd Wazata Md Zain digantung jawatan mengikut undian majoriti ahli diputuskan pada EGM itu.
Tempat mereka kini digantikan Mohd Jamil Abdul Mutalib bersama Martias Mohd Ali yang menjadi timbalannya.


Begitu juga Mohd Shaari Abdul Wahab dan Asiah Mion menggalas cabaran baru memikul tanggungjawab setiausaha kehormat dan penolong yang sebelum ini disandang Zaienal Abidin Omar bersama Mokhzan Ali.

Tindakan pergantungan Ismail dan Mohd Wazata dibuat selepas dua AJK lama itu didakwa menggunakan wang persatuan tanpa kelulusan AJK lain.

Satu laporan polis dibuat bekas Bendahari Kehormat, Shafril Sanusi pada 5 Ogos lalu mengenai dakwaan itu.

Namun seperti dijangka Ismail yang tidak hadir pada EGM itu tidak berdiam diri.
Dia akhirnya tampil memberi kenyataan menerusi e-mel yang membawa tajuk 'Jawatan Presiden SWAM Dibuka Untuk Dilelong.'

Dalam kiriman e-mel itu, Ismail menyatakan ada individu yang cuba merampas jawatan dalam persatuan yang sepatutnya menjadi milik ahli.

Dia menekankan persatuan mempunyai perlembagaan di mana setiap amalan dan keputusan dibuat harus mengikut perlembagaan itu sendiri.

"Mungkin Swam terlalu hebat sehingga ramai yang tak sabar-sabar nak jadi presiden. Dalam masa enam bulan kini ada dua penyamar sebagai presiden dan ia menjadi rebutan termasuk bukan ahli," katanya.

Ismail merujuk pada tiga perkara dalam perlembagaan Swam iaitu Fasal 6.2, 6.8 dan dan 8.2 mengenai keahlian.

Fasal 6.2 menyatakan seseorang itu ditauliah sebagai ahli aktif jika jawatankuasa berpuas hati terhadap dua perkara iaitu memiliki ijazah atau diploma penulisan skrip atau pernah menulis skrip secara aktif hingga karya itu disiarkan.

"Fasal 6.8 pula, jawatankuasa boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan keahlian tanpa perlu dinyatakan alasan. Dalam Fasal 8.2, menyatakan keahlian ahli itu terhenti pada ulang tahun permohonannya diterima pertubuhan," katanya.

Berdasarkan tiga perkara itu, tujuh nama ahli dikemukakan Ismail mengikut rekod persatuan iaitu Mokhzan dikatakan bankrap sejak 1998 dan belum dilepaskan manakala empat ahli, Rosliza Kamarun Ariffin, Norasidah Ismail, Shafril dan Jaafar sudah tamat keahlian.

"Keahlian Zaienal, Mariam Shahnaz dan Nursyamsul Bahariah Hussein pula tidak pernah dibentang untuk kelulusan dalam mesyuarat jawatankuasa sebelum 27 Julai.

"Oleh demikian mesyuarat yang dipanggil kumpulan ini termasuk EGM pada 24 September bukanlah mesyuarat Swam.

"Selain mereka yang tersenarai, ramai lagi yang menyertai EGM ini adalah ahli yang tamat keahlian dan bukan ahli termasuk Jamil yang tamat keahlian pada 3 September 1997 yang dilantik sebagai presiden," katanya.

Mengenai isu tandatangan pada cek yang dikeluarkan, Ismail menyatakan hanya tandatangan presiden, timbalan presiden, setiausaha kehormat dan bendahari kehormat yang sah.

"Kita tidak boleh menghukum seseorang berdasarkan tuduhan liar. Setiap tuduhan mestilah disusuli dengan bukti yang kukuh. Kalau tidak kita boleh diambil tindakan kerana membuat tuduhan palsu.

"Kumpulan di atas kini dalam siasatan polis dan bank negara. Shafril mengeluarkan cek sebanyak RM650 atas nama setiausaha kerja dan jumlah itu diserahkan dalam tunai pada 27 Julai 2011.

"Shafril juga menggunakan wang persatuan tanpa kelulusan presiden atau jawatankuasa. Saya difahamkan sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun Shafril," katanya.

Mengenai cek untuk projek yang dikeluarkan, Ismail menjelaskan Swam hanya membelanjakan RM36,000 dan mempunyai baki sebanyak RM10,000 hasil dari Karnival Rakyat Bersama Seniman yang dianjurkan sempena Hari Seniman lalu.

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved