PENGORBANAN hidup seorang bapa tunggal bukanlah isu atau topik baru yang mewarnai penceritaan filem mahupun drama tempatan.
Pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki pada 2009 pernah tampil dengan karya diberi nama, Papadom, sebuah filem menterjemahkan kasih pengusaha nasi kandar bernama Saadom (Afdlin) terhadap anaknya, Maisara yang dilakonkan aktres muda berbakat besar, Liyana Jasmay.
Di Hollywood pula, jalan cerita memaparkan hubungan bapa dan anak juga pernah dijayakan Will Smith dan anak kandungnya, Jaden menerusi The Pursuit of Happyness pada 2006.
Meskipun kisah kekeluargaan sebegini jarang meraih kutipan pecah panggung, ia masih dilihat sebagai keperluan dalam memaparkan wadah hiburan penuh nilai bagi membentuk masyarakat penyayang.
Maka, lahirlah sebuah filem dinamakan Papa I Love You terbitan MIG Production Sdn Bhd arahan Hashim Rejab juga individu yang bertanggungjawab menggarap karya, Sekali Lagi. Filem ini bakal menggegarkan panggung pada 29 Disember ini.
Mencari keunikan filem Papa I Love You, barangkali keberanian David Teo selaku produser apabila memilih pendatang baru, Zalif mendukung watak Bahar sebagai teraju utama di samping Lisa Surihani dan Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan (Mia), 6.
Lazimnya, kisah sebegini bersandarkan pada nama besar aktor yang dihormati bagi menarik perhatian penonton seperti Shaheizy Sam bersama Lisa dan Mia Sara dalam Sekali Lagi.
Zalif atau nama sebenar, Wan Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 26, mengakui saat pertama ditawarkan David Teo, dia seolah-olah bermimpi dan tertanya-tanya apa yang dilihat produser itu pada dirinya.
"Saya bukan kategori pelakon lelaki yang kacak atau berbadan tegap, sebaliknya bertubuh bulat dan mungkin boleh dikatakan comel-comel sikit.
"Entahlah, saya sendiri sampai sekarang masih belum menemukan jawapan mengapa saya dipilih. Pernah saya usulkan pertanyaan itu kepada produser dan dijawab, 'Saya mahu kasi you watak hero, you mau ke tak mau?'
"Fikir punya fikir, saya rasakan ia satu peluang yang tidak seharusnya dipersiakan. Pada masa sama, tipulah kalau saya tidak bimbang akan risikonya. Namun, saya percaya kejayaan atau kegagalan sesebuah filem bukan pelakon sebagai penyebab semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek.
"Menerusi filem ini, saya rasa amat berbesar hati dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Lisa Surihani yang banyak memberi tunjuk ajar serta berbincang dengan saya untuk mewujudkan keserasian dalam skrin," katanya.
Lebih mesra disapa sebagai Pooh, Zalif yang sebelum ini pernah bekerja dengan KRU Studios sebagai Eksekutif Promosi (Cetak) memberitahu, dia menerima tawaran daripada David selepas bertemu di majlis mempromosikan Astro First. Iklan komersial berhubung saluran baru Astro itu menggunakan wajahnya untuk poster promosi.
Dalam Papa I LOve You, Zalif memegang watak Bahar, bapa tunggal yang mempunyai anak perempuan lakonan Mia Sara. Katanya, selain tanggungjawab besar memegang watak utama, Zalif juga berhadapan cabaran menjiwai watak yang belum pernah dilaluinya seumur hidup iaitu menjadi bapa.
"Memang ia cabaran berat buat pelakon baru seperti saya yang belum cukup pengalaman. Genre filem ini adalah komedi & drama. Nampak macam mudah tetapi buat saya, ia satu cabaran dan tugas berat. Saya belum berkahwin, persoalannya bagaimana saya mahu membawakan watak bapa.
"Justeru, untuk watak Bahar ini, saya lakukan sedikit kajian dengan mendapatkan pandangan daripada Sein Ruffedge yang pernah berlakon dengan Mia dan Lisa menerusi drama Adamaya. Sein kata kepada saya, kanak-kanak suka coklat dan anak patung, jadi untuk membuatkan Mia selesa dengan saya, saya hadiahkan dia barangan seperti itu.
"Taktik itu berhasil dan apa yang membuatkan saya kagum, Mia memang seorang kanak-kanak yang luar biasa. Hanya perlu sebut dialog yang terawal dan kemudian dia lontarkan dialog seterusnya tanpa bantuan sesiapa, sekali gus dengan penghayatan.
"Ada satu babak kami perlu berhujan. Bermula dari jam 6.30 petang, sedar tidak sedar hanya untuk menyempurnakan babak itu saja sampai ke subuh esok hari. Melihat Mia yang menggigil masih mampu bertahan, terdetik di hati saya patut malu pada dia kalau gagal menyudahkan babak itu," katanya.
Sementara itu, karya ini amat dekat dengan diri Lisa kerana ia memaparkan hubungan baik antara bapa dan anak perempuan sebagaimana keakraban dirinya dengan arwah bapanya, Mohamed Mahbob.
Katanya, dia memilih untuk terbabit dalam filem ini kerana jalan ceritanya yang memaparkan kasih sayang di antara bapa dan anak perempuan. Bagaimanapun, terdapat dua situasi yang digambarkan iaitu hubungan baik Bahar dan Mia sementara dirinya sebagai Elly berdepan masalah dengan bapanya, Datuk Kudin watak dimainkan Zaidi Omar.
"Saya sepatutnya memanggil abang Zaidi Omar dengan gelaran papa tetapi saya meminta izin kepada pengarah untuk memanggilnya daddy kerana itu panggilan saya buat arwah.
"Kebetulan abang Zaidi Omar berkulit cerah dan bermata kecil sama seperti daddy. Terkadang saya merasakan dia seperti bapa saya kerana terdapat banyak persamaan.
"Di alam realiti, hubungan saya dengan arwah daddy sangat baik, sebaliknya dalam Papa I Love You, saya sering terikat dengan babak pertengkaran dengan daddy saya. Salah satu daripadanya, saya mengacukan pisau kepadanya. Itu adalah sesuatu yang sukar untuk saya lakukan. Saya sakit hati apabila perlu berbuat demikian," katanya.
Pernah menang Pelakon Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM2) dan Pelakon Wanita Terbaik FFM23, Lisa menambah, dia tidak mempunyai sebarang masalah bergandingan dengan Zalif kerana percaya keserasian itu perlu diwujudkan sebagaimana keserasian yang diwujudkan bersama pasangan layarnya sebelum ini, Farid Kamil dan Shaheizy Sam.
Harapan Lisa, semoga filem Papa I Love You dapat menyentuh perasaan penonton sekali gus menawarkan genre yang pelbagai kepada perkembangan industri sebagai Hollywood mempunyai banyak pilihan.
Mia Sara yang bakal melangkah ke darjah satu tidak lama lagi diwakili bapanya, Ridhuan sewaktu temubual dijalankan.
Ridhuan berkata, filem ini mempunyai sedikit kelainan berbanding lakonan Mia sebelum ini kerana dia perlu menghayati watak anak yatim.
"Menerusi Papa I Love You, Mia memainkan watak seorang kanak-kanak yang kehilangan ibunya akibat meninggal dunia. Bapanya tidak bekerja sebelum ini, justeru apabila ibunya sudah tiada, Bahar hilang punca pendapatan.
"Dalam kesedihan yang membelenggu, Mia harus menampung emosi ditinggalkan ibunya dan dalam masa sama menceriakan bapanya. Untuk memastikan dia benar-benar menjiwai wataknya, saya dan pengarah dengan bantuan pelakon seperti Lisa sendiri banyak memberi keterangan padanya.
"Syukur kerana Mia mudah memahami dan cepat faham akan tuntutan wataknya. Paling mencabar, tentu sekali babak hujan di mana penggambaran bermula jam 6.30 petang dan tamat hampir jam 7 pagi keesokan harinya.
"Sebagai bapa, saya kesian juga melihat Mia tetapi dia rela melakukannya. Kalau dia terlalu penat, dia akan maklumkan pada saya dan saya akan terus bercakap dengan pengarah supaya Mia diberikan sedikit masa untuk berehat," katanya.
Full content generated by Get Full RSS.