KLANG: Kejadian banjir kilat yang melanda beberapa tempat di daerah ini minggu lalu mengganggu persiapan sambutan Deepavali bagi penduduk keturunan India yang bakal disambut Selasa depan.
Penduduk Taman Sentosa, di sini, M Selva, 43, berkata, akibat banjir kilat itu, dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah rakannya hingga banjir surut.
Katanya, dia yang sudah empat tahun menetap di situ bimbang jika masalah banjir kilat terus berlaku pada masa akan datang terutama menjelang Deepavali.
"Saya terpaksa mengubah suai rumah dengan membina dinding tambahan di bahagian hadapan dan belakang rumah dengan kos hampir RM4,000 bagi mengelak air banjir memasuki rumah.
"Kejadian banjir tempoh hari mengakibatkan saya kerugian kira-kira RM5,000 termasuk perabot dan beberapa barangan elektronik rosak serta barangan persiapan Deepavali," katanya sewaktu ditemui.
Katanya, banjir kilat yang sering berlaku sejak lima tahun lalu dipercayai berpunca daripada pembangunan kawasan Bandar Botanic yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan berkenaan.
Beliau berkata, kapasiti air yang banyak dari kawasan berkenaan tidak mampu lagi ditampung longkang sedia ada hingga menyebabkan air melimpah.
Katanya, sebelum ini kira-kira 200 penduduk sudah menghantar notis kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung masalah ini, tetapi sehingga kini ia masih tidak menemui penyelesaian konkrit.
Seorang lagi penduduk, A Anjellamah, 72, yang sudah 17 tahun menetap di kawasan berkenaan turut buntu dengan masalah banjir yang sering berlaku apabila tiba musim hujan.
Katanya, dalam kejadian terbaru, air naik hampir satu meter mengakibatkan dia kerugian RM5,000 kerana kerosakan peralatan rumah.
Beliau berkata, persiapan Deepavali juga sedikit terjejas kerana alatan membuat kuih juga rosak disebabkan air memasuki rumah.
"Saya harap pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian secepat mungkin bagi mengelak kejadian sama berulang dan mengembalikan keceriaan kami sekeluarga menyambut Deepavali," katanya.
Sementara itu, Jurucakap MPK berkata, pihaknya kini sedang giat melakukan pemantauan di beberapa kawasan di daerah ini yang sering dilaporkan banjir.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09
0 ulasan:
Catat Ulasan