Harian Metro: Rap |
Posted: 18 Dec 2012 04:33 AM PST FILEM trilogi Kampung Pisang pertama, Zombie Kampung Pisang yang ditayangkan sekitar 2007, diikuti Hantu Kak Limah Balik Rumah pada 2010 dan terbaru, Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit bakal mencetus fenomena baru bagi peminat pengarah terkenal, Mamat Khalid. Masih mengekalkan genre komedi seram, filem ini menampilkan elemen kejutan serta jenaka tersendiri yang menghiburkan. Kisah bermula dengan karakter utamanya, Husin lakonan Awie yang diisytiharkan muflis akibat ditipu satu kumpulan skim cepat kaya di Singapura, sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin berjumpa semula dengan geng lamanya dan juga Mon lakonan Ezylnn yang juga kekasih lamanya ketika Kampung Pisang mereka dilanda serangan zombie suatu ketika dulu.
Namun masalah timbul apabila Husin didapati hilang dari rumahnya tanpa diketahui sesiapa. Rakan-rakan sekampungnya, Ucop, Wan Kaswi dan Nazari SMK, gagal mengesan di manakah Husin berada. Sebaliknya mereka mendapati hanya mi segera buatan Singapura yang ditinggalkan Husin. Dalam kekecohan itu, muncul pula Jin Pakai Toncit yang menghantui penduduk kampung dan dikatakan menculik teruna Kampung Pisang. Namun kehadiran Dr Samsudin pula mendakwa dia mampu mengesan di mana misteri hilangnya Husin. Apakah sebenarnya yang berlaku? Siapakah yang menculik Husin? Siapa yang berjaya menghurai misteri kehilangan Husin itu? Semua ini bakal terjawab untuk anda dalam filem ini yang bakal menemui penonton mulai 7 Februari depan. Mampukah Husin, Mon & Jin Pakai Toncit menyambung fenomena HKLBR yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung menghampiri RM8 juta? Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sendirian Berhad (TUSB), Gayatri Su-Lin Pillai, ketika ditemui selepas sesi tayangan perdana Husin, Mon & Jin Pakai Toncit bertempat di TGV, Ipoh Parade, Ipoh minggu lalu berkata, kejayaan filem arahan Mamat sebelum ini amat luar biasa dan menjadi pemangkin kepada pihaknya untuk menerbitkan trilogi seterusnya. "Produksi kami amat berpuas hati dengan hasil kerja yang ditunjukkan oleh Mamat Khalid dan percaya dengan kredibiliti beliau untuk mengarahkan filem mengenai Kampung Pisang seterusnya. "Kami berharap filem ini dapat diterima peminat seperti mana filem sebelumnya yang berjaya mencetus fenomena tersendiri," katanya. Sementara itu, Mamat berkata, filem trilogi ketiga arahan beliau yang menelan bajet kira-kira RM1.65 juta itu banyak menggunakan kesan khas atau imej janaan komputer (CGI) yang mampu dibanggakan serta mencapai kualiti global. "Sebanyak 20 peratus CGI digunakan dalam filem ini bagi memberikan kesan yang lebih hebat kepada filem ini. Disebabkan mahu menyiapkan CGI kepada Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, saya mengambil masa agak lama untuk menyiapkan filem ini. "Kami ingin memberikan yang terbaik kepada penonton dan kesan khas yang digunakan itu adalah antara satu kelainan dalam filem ini. Saya fikir tidak mengapalah kita lambat sedikit asalkan hasilnya dapat memberikan kepuasan kepada peminat setia 'Kampung Pisang'," ujarnya. Tegas Mamat lagi, dia masih mahu mengekalkan Kampung Pisang sebagai lokasi penting filemnya itu namun menyuntik banyak elemen segar dari segi penceritaan dan babak-babak lucu. "Saya masih lagi kekalkan Kampung Pisang sebagai latar utama filem ini kerana dua filem saya yang lepas bertumpu kepada kemelut di kampung itu. Saya mahu penonton terus terhibur dengan plot terbaru yang berlaku di kampung yang sama. "Akan tetapi elemen jenaka yang pernah saya gunakan dalam filem lepas tidak diulang sebaliknya saya memaparkan banyak elemen baru supaya ia lebih segar. Kata Mamat lagi, kalau dalam filem kedua dulu dia memberikan tumpuan utama kepada peranan Kak Limah lakonan Delimawati yang sakit tetapi dituduh menjadi 'hantu', namun kali ini dia cuba menonjolkan pula watak Husin dan Mon. Katanya, Awie dan Ezlynn sendiri ada keserasian dan mampu meninggalkan kesan. Bagaimanapun kata Mamat lagi, peranan penting lain seperti Usop (Usop Wilcha), Pak Jabit (Man Kadir) dan Pak Abu (Allahyarham Zami Ismail) masih lagi dikekalkan kerana merekalah yang menambah rencah kelucuan terhadap filem ini. "Saya yakin penonton tentu mahu melihat plot yang berbeza pula dan apa kejutan terbaru kali ini. Kalau saya masih teruskan penceritaan Kak Limah mungkin ia akan menyebabkan filem ini kurang menarik dan mungkin boleh dijangkakan. Sebab itulah saya angkat peranan Husin dan Mon pula kerana ada plot misteri membabitkan mereka. "Sebagai satu lagi kelainan, saya memperkenalkan watak baru iaitu Dr Shamsuddin lakonan Rashidi Ishak. Saya yakin kemunculan Rashidi akan turut memberikan kesan kepada filem terbaru ini," jelas Mamat. Turut hadir pada tayangan khas itu pelakon seperti Awie, Rashidi Ishak, Usop Wilcha, Azwan Annuar dan Nazari (anak Mamat Khalid). Apa yang jelas, semua penonton cukup terhibur dengan hasil arahan Mamat itu yang dianggap cukup menghiburkan dan menggeletek hati seperti mana filem yang lepas. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18 |
Soseh Soseh: Didie diintai Suria FM? Posted: 18 Dec 2012 04:07 AM PST SURIA FM yang semakin mendapat perhatian pendengar radio baru saja kehilangan penyampainya iaitu Nabil Raja Lawak apabila dia tidak menyambung kontraknya dengan stesen radio itu kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga terutama anaknya yang baru lahir serta kerjayanya sebagai pelakon dan pengacara. Selama setahun ke udara, dia digandingkan dengan penyampai popular iaitu Halim Othman dan Kencana Devi. Mereka bertiga memang serasi tetapi sayang sekali jodoh Nabil dengan mereka tak panjang. Khabarnya Suria FM sedang mencari pengganti Nabil bagi menambahkan seri segmen pagi yang selama ini mendapat sambutan yang sangat baik.
Dalam pencarian mereka itu, SS difahamkan mereka teringin menyunting pelakon dan pengacara popular iaitu Didie Alias bagi menggantikan Nabil. Meskipun tak serupa, barangkali mereka melihat Didie antara calon paling hampir dan paling sesuai untuk menggantikan Nabil. Pun begitu, SS dapat tahu yang Didie masih menimbangkan tawaran itu, bukan dia tak sudi tetapi bimbang tak boleh memberikan komitmen nanti. Maklum saja, kalau dia sanggup terima tawaran itu, jam 5 pagi dah terpacak di konti sehinggalah jam 10 pagi setiap hari. Sedangkan pada masa sama, Didie juga sibuk berlakon dan mengacara. Malah tanggungjawab besarnya sebagai ibu dan isteri, perlu juga diutamakan. SS faham situasi Didie, apa pun SS harap Didie dapat membuat pilihan terbaik.
SS: Pilih yang berbakat, bukan populariti. Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/18 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan