Harian Metro: Hati |
Posted: 28 Sep 2012 07:10 AM PDT SELAIN pakaian pengantin, pemilihan sepatu dalam persandingan tidak harus dipandang ringan. Selain berperanan memberikan keselesaan kepada si pemakai, pelindung kaki ini mampu memberikan imej menawan, segar dan memikat terutama apabila berjalan menuju singgahsana bersama pasangan. Biasanya sepatu dihasilkan sedondon dengan pakaian, tetapi ada juga yang berlainan warna mengikut kegemaran pengantin. Apa yang menyerlahkan sepasang sepatu bukan saja pada warna, tetapi fabrik dan perhiasan digunakan. Berkonsepkan Golden Touch I, Galeri Saiful Sin Couture memperkenalkan rekaan sepatu unik inspirasi daripada gaya segar dan menawan. Pemilihan warna memainkan peranan penting apabila jenama ini mengetengahkan rona terang seperti biru, kuning keemasan, hijau, merah dan merah jambu pada sepasang sepatu bersama perincian manik pada hadapan dan sisi kasut. Rekaan unik dan memikat ilham dua pereka muda, Saiful Amar dan Saiful Alif ini sesuai digayakan mempelai sama ada untuk majlis perkahwinan di taman atau dewan.
Menampilkan lapan rekaan kasut dengan warna terang disulami perincian manik pada bahagian tertentu, setiap padanan berada dalam kelas tersendiri. Lebih penting kasut digayakan mampu membuatkan mempelai bertambah langsing dan anggun. Bagi mereka yang berminat, boleh membuat tempahan mengikut rekaan serta warna pilihan di Galeri Saiful Sin, Shah Alam. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28 |
Posted: 28 Sep 2012 05:48 AM PDT POTONGAN yang tepat serta fabrik nipis memainkan peranan utama pada penampilan koleksi terkini diketengahkan The Dude & Duchess. Ia memberi penghormatan kepada rekaan koleksi klasik yang masih digemari sehingga kini oleh pencinta fesyen seluruh dunia. Diperkenalkan pada September lalu, rekaan koleksi The Other Side of Paradise dihasilkan dengan mengambil inspirasi daripada The Great Gatsby. Kisah di sebalik The Other Side of Paradise itu menceritakan mengenai pertemuan golongan bangsawan yang menghimpunkan pemuzik jazz, artis, penulis sastera dan mereka yang terbabit dalam wacana sosial dan politik.
Dilengkapi bayangan simetri dan elemen perincian yang indah, ia menampilkan lagi keunikan rekaan gaya klasik untuk peminatnya. Meraikan gaya yang terkenal pada era 20-an, ia digemari kerana rekaannya yang ringkas, tetapi tampak elegan dan fabrik digunakan pula menonjolkan lagi keanggunan si pemakai. Lipatan di bahagian dalam baju, skirt dan top bercetak digayakan bagi mereka yang berani. Tampak menarik apabila rekaannya diterjemahkan melalui corak garisan atau ilusi. Fabrik nipis seperti sifon, georgette dan jersi menambah sentuhan halus untuk wanita bangsawan menonjolkan penampilan yang lembut manakala kain kapas serta twil membuatkan si jejaka tampak kemas. Untuk musim ini, warna klasik dan bersahaja masih dikekalkan melalui penggunaan fabrik yang meniru kembali rona Zaman Batu. Hijau buah zaitun, perang, merah jambu pudar dan ungu gelap bersama sentuhan ton coklat gelap serta keemasan bagi mewujudkan impak yang lebih menarik. Rona hitam dan kelabu pula masih menjadi kegemaran buat si jejaka dan wanita yang ingin mengekalkan gaya klasik ketika berjumpa teman seangkatan. Bermula pada harga antara RM129 hingga RM299, koleksi menarik yang ditampilkan boleh dimiliki di cawangan jenama berkenaan di Bangsar Village II, Empire Shopping Gallery, Tangs 1 Utama dan Isetan, KLCC. Untuk maklumat lanjut, layari, www.dudeandtheduchess.com, fashionvalet.net atau zalora.com.my. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/28 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |