Selasa, 31 Mei 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Internet, TV bukan satu ancaman

Posted: 31 May 2011 10:45 AM PDT

PERLU SELIAAN...anak-anak harus dipantau dalam apa jua keadaan biarpun ketika di rumah.
PERLU SELIAAN...anak-anak harus dipantau dalam apa jua keadaan biarpun ketika di rumah.

"AIMAN nak tengok kartun. Aiman nak tengok kartun," bentak kanak-kanak ini berkali-kali apabila keinginannya untuk menonton kartun kegemaran dihalang ibunya.

Malah ibunya terus mengambil alat kawalan televisyen daripada tangannya dan meminta dia membuat kerja sekolah terlebih dulu.

Ramai ibu bapa mengakui cabaran terbesar yang harus dihadapi mereka dalam membesarkan anak-anak adalah menyesuaikan diri dengan teknologi tanpa sempadan yang datang daripada pelbagai sudut.

Pelbagai siaran televisyen muncul tanpa kawalan juga perkhidmatan Internet yang boleh diperoleh dengan hanya menekan papan kekunci saja. Malah, kanak-kanak berusia empat tahun sudah bijak memilih rancangan kegemaran mereka atau mengakses permainan komputer menerusi Internet.


Ada yang mengambil jalan singkat menghalang anak-anak daripada menggunakan teknologi ini, namun ia bukan langkah bijak. Tidak kurang pula yang membiarkan anak-anak menonton televisyen atau menggunakan Internet bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa bagi menyenangkan tugas di rumah.


Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli Majlis Penyelaras Perlindungan Kanak-Kanak, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, perkembangan teknologi adalah sesuatu yang sukar dikawal kerana ia berlaku sepanjang masa.

Menyekat daripada menerimanya bukanlah sesuatu yang bijak, sebaliknya setiap orang harus menerima perkembangan teknologi ini sama ada mereka mahukannya atau tidak. Apa yang boleh dilakukan adalah bagaimana mengatasi ledakan teknologi ini dan menggunakannya ke arah kebaikan.

Hari ini kebanyakan ibu bapa menggunakan televisyen sebagai pengganti tugas mereka. Anak-anak dibiarkan menonton bersendirian manakala ibu bapa melakukan tugas masing-masing tanpa diganggu anak-anak. Sebenarnya ini tidak seharusnya berlaku, walau secanggih mana sekali pun teknologi, ia tidak dapat menggantikan komunikasi anak-anak.

"Ada ibu bapa beranggapan televisyen membawa kesan buruk kepada anak-anak. Namun, anggapan ini salah kerana ledakan maklumat adalah satu inovasi penting yang berlaku di mana saja. Adakah kita dianggap bijak apabila menyalahkan media kepada sesuatu perkara sedangkan ini tidak membawa kepada penyelesaian masalah?

"Adakah dengan melarikan diri daripada teknologi dapat menjadikan seseorang itu berjaya menepis cabaran mendatang? Sebenarnya keburukan televisyen hanya pada perkara yang tidak dikawal. Ini akan menyebabkan anak-anak menonton televisyen tanpa had dan berinteraksi dengan watak yang ditonton saja," katanya.

Dia yang pernah menjalankan penyelidikan mengenai Gejala Sosial Profil Belia Bermasalah 2009 diketuai Profesor Dr Jawiah Dakir dari Institut Islam Hadhari UKM mengakui daripada 4,025 responden yang ditemuramah berusia 15 hingga 40 tahun, jawapan diberikan mereka amat mengejutkan.

Kira-kira 75.3 peratus responden mengakui terbabit dengan gejala sosial disebabkan diri sendiri iaitu keinginan ingin mencuba, lebih mengejutkan apabila 80 peratus daripada belia ini, ibu mereka suri rumah sepenuh masa dan tidak berpendidikan tinggi.

"Walaupun ada kawalan di rumah, mengapa anak-anak tetap berkelakuan negatif? Ini kerana walaupun ibu mempunyai banyak masa, mereka tidak menggunakannya secara berkualiti, berbeza dengan ibu bapa bekerja yang menghantar anak ke rumah pengasuh atau taska. Mereka menggunakan masa semaksimum mungkin dengan meninjau pembelajaran anak-anak, melakukan aktiviti bersama-sama, mengajar mengaji atau membuat kerja sekolah.

"Selain itu, ibu berkerjaya lebih terdedah dengan persekitaran luar dan bergaul dengan masyarakat. Mereka lebih terbuka dan menggunakan pendekatan positif bagi mendidik anak-anak," katanya.

Prof Noor Aziah meluahkan kebimbangan mengenai kurangnya komunikasi keluarga yang menjadi faktor utama kepada peningkatan gejala sosial dan bukan disebabkan televisyen atau Internet semata-mata.

Berdasarkan pengalamannya, anak-anak harus dipantau dalam apa juga keadaan walaupun ketika di rumah. Ini kerana apabila ibu bapa menonton bersama anak-anak, akan wujud komunikasi dua hala, sekali gus mengeratkan perhubungan keluarga. Ini turut membantu perkembangan minda anak-anak kerana mereka mendapat jawapan atas apa yang didengar dan ditonton.

Selain itu, ibu bapa boleh mengehadkan masa menonton televisyen sejak mereka kecil lagi misalnya selama satu jam sehari atau hanya menonton selepas melakukan kerja sekolah. Apabila ini sudah diajar, tidak mustahil mereka menggunakan waktu sebaiknya untuk menonton bersama keluarga. Ada pula ibu bapa yang menghalang anak-anak menggunakan Internet kerana bimbang mereka melihat gambar lucah, tetapi mereka tetap melakukannya di luar apabila bersama rakan.

"Ini menunjukkan halangan atau sekatan bukan dapat menyelesaikan masalah sebaliknya menjadi lebih buruk. Kehadiran ibu bapa bersama anak-anak ketika makan atau menonton televisyen sangat membantu hubungan sosial mereka. Ibu bapa boleh melatih penguasaan bahasa, menunjukkan nilai positif serta norma hidup yang baik kepada anak-anak.

"Mereka boleh menerangkan mengapa sesuatu perkara itu tidak boleh dilakukan seperti menonton cakera padat video atau filem lucah. Ini kerana perbuatan negatif sekiranya diulang-ulang tidak mustahil akan menyerap dalam jiwa mereka dan diluahkan menerusi perbuatan," jelasnya.

Prof Noor Aziah mengakui memang benar tidak semua yang dipaparkan di kaca televisyen itu baik, justeru menjadi tanggungjawab ibu bapa menemani anak-anak ketika menonton. Dia memberi contoh anak-anak yang menonton televisyen bersama datuk atau nenek akan menjadi lebih berbudi pekerti mulia. Bahasa mereka juga lebih terkawal dan sentiasa bercakap baik. Lebih penting, mereka tidak akan menonton rancangan yang mampu mempengaruhi tabiat mereka berbanding dengan anak-anak yang menonton bersendirian.

"Dalam hal ini ibu bapa perlu tegas mencari bahan sesuai mengikut usia kanak-kanak. Jangan apabila anak-anak sudah besar baru memulakan kawalan dan itu sudah terlambat. Sebab itu jangan terkejut apabila anak-anak menjadi pemberontak apabila keinginan tidak diikuti, melakukan hubungan seks pada usia muda dan lari dari rumah yang semuanya berpunca daripada masalah komunikasi dalam keluarga," jelasnya.

Mengenai kehadiran saluran BabyTV milik Astro yang dilancarkan di Kompleks Penyayang, Bandar Sri Damansara, di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, menurutnya, apa juga perkara yang baik sekalipun pasti akan mendatangkan kemudaratan sekiranya dilakukan secara berlebihan. Ini termasuk tabiat menonton televisyen.

Bagaimanapun, penghasilan program yang direka khusus untuk pembangunan minda dan kognitif anak-anak disertai pula pembabitan serta pemantauan ibu bapa pasti memberi satu impak positif terhadap anak-anak.

Beliau yang melihat dan meneliti rancangan di saluran BabyTV ini, tidak menafikan pemilihan watak, karakter dan penceritaan amat bersesuaian dengan usia anak-anak di bawah tiga tahun.

"Apa yang paling utama saluran ini menekankan pelbagai aspek integrasi untuk menggalakkan interaksi antara ibu bapa dan anak mereka. Saya yakin ia mampu menjadi saluran eksklusif untuk keperluan dan kemampuan kanak-kanak di bawah usia tiga tahun," katanya.

Menurutnya, tempoh berpantang 44 hari dan bercuti sehingga tiga bulan dapat dimanfaatkan ibu dengan merangsang bayi mereka. Rangsangan boleh dilakukan menerusi bunyi-bunyian, pergerakan tubuh, pelukan, belaian serta ciuman. Ini kerana dalam tempoh usia di bawah tiga tahun, bayi akan mudah menerima apa saja bentuk rangsangan.

"Sama seperti ibu bapa kita dulu yang menggunakan kendong dan membawa anak-anak ke mana saja. Sambil membuat kerja rumah, mereka berbual dengan bayi atau menceritakan apa saja dengan bayi mereka. Walaupun nampak seperti tiada apa, kesannya sangat hebat. Dakapan anak dan ibu sehingga anak mendengar denyut jantung ibu sepanjang masa adalah komunikasi paling berkesan.

"Rantaian kasih sayang ini menjadi lebih erat dan secara tidak langsung akan membawa sehingga anak mereka membesar. Hubungan jiwa yang berlaku sejak bayi kemudian disampaikan menerusi komunikasi apabila mereka membesar akan membuatkan anak-anak lebih mentaati ibu bapa. Mereka juga mampu menilai sesuatu perkara mengikut kaca mata orang tua dan itulah yang tiada pada anak-anak zaman sekarang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nasib 15 kanak-kanak dibela

Posted: 31 May 2011 10:39 AM PDT

"RUMAH perlindungan ini kami wujudkan untuk membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik dari kawasan sekitar Lembah Klang.

"Walaupun baru beroperasi dan mempunyai 15 penghuni, tanggungjawab yang dipikul bukan kecil kerana masa depan penghuni rumah perlindungan ini terletak di tangan kami.

"Namun, kami tidak akan sesekali menyerah kalah dan berputus asa kerana kanak-kanak ini sememangnya memerlukan bantuan untuk mereka meneruskan kehidupan," kata pengasas Rumah Perlindungan Nur Qaseh (RPNQ), Roslida Che Wan.

Rumah perlindungan kanak-kanak kendalian Persatuan Kebajikan Melati Malaysia (PKMM ) itu kini mempunyai 15 penghuni yang berusia di bawah 13 tahun dari seluruh Lembah Klang.


Katanya, PKMM di bawah pimpinan Yang Dipertua, Jasrizal Jasmin, banyak membantu dalam merealisasikan hasrat untuk membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik itu.


"Walaupun ia adalah rumah perlindungan, kami amat berhati-hati dalam mengambil penghuni kerana kriteria yang diutamakan adalah kanak-kanak yang betul-betul memerlukan bantuan.

"Kamu mengutamakan pengambilan kanak-kanak yang bapanya sudah meninggal, keluarga berpecah, fakir miskin dan mualaf saja.

"Ini untuk memastikan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan saja dapat memasuki rumah ini kerana penghuninya hanya terhad kepada 20 orang, mengikut piawaian yang ditetapkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika ditemui di rumah berkenaan di No 614, Jalan J/14, Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Roslida, RPNQ kini dalam proses pendaftaran untuk mendapatkan lesen daripada JKM dan pihaknya menjangkakan ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh tidak lama lagi.

Rumah perlindungan itu diuruskan dengan sistematik serta mempunyai warden dan penyelianya sendiri untuk memantau, sekali gus melancarkan perjalanan pentadbiran.

"Sebagai permulaan, kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak saja kerana rumah teres dua tingkat ini tidak terlalu besar dan kurang selesa jika memuatkan penghuni yang terlalu ramai.

"Mereka dididik untuk berdikari menguruskan keperluan harian termasuk membersihkan pakaian sendiri dengan seliaan penyelia. Mereka perlu mengikut jadual yang disediakan dan wajib mengikuti aktiviti keagamaan seperti solat secara berjemaah.

"Kami akan menjaga kanak-kanak berkenaan sehingga mereka berusia 18 tahun dan selepas itu, mereka akan kembali kepada keluarga masing-masing," katanya.

Roslida yang mempunyai perniagaan sendiri berkata, rumah amal itu diwujudkan bukan untuk mengaut keuntungan kerana semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh PKMM dan dia sendiri sebagai pengasasnya.

Bagaimanapun, Roslida mengakui bukan mudah untuk menguruskan rumah itu kerana ia memerlukan belanja hampir RM15,000 sebulan.

Katanya, sewa bulanan rumah teres itu saja mencecah RM1,800 tidak termasuk bil api, air, telefon dan Internet.

"Perbelanjaan untuk menguruskan rumah ini agak besar kerana kami menyediakan kemudahan yang baik kepada kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

"Kos makan minum, bas sekolah, perubatan termasuk duit poket hampir RM10,000 sebulan.

"Setakat ini segala perbelanjaan ditanggung PKMM dan saya sendiri sepenuhnya kerana orang ramai masih tidak mengetahui kewujudan rumah perlindungan ini," katanya yang amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk membantu rumah berkenaan.

Bagi orang ramai yang ingin membantu rumah perlindungan itu, sumbangan boleh disalurkan kepada akaun CIMB Pertubuhan Kebajikan Melati Malaysia, 14420007624050 atau hubungi 019-7614992.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved