Khamis, 21 Julai 2011

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Tolong wan, adik sakit...’

Posted: 20 Jul 2011 10:56 AM PDT

IPOH: "Tolong wan, adik sakit..., tolong adik...," jerit kanak-kanak berusia tiga tahun kepada neneknya selepas diseret sejauh hampir 100 meter oleh van dinaikinya menyebabkan kulit kepalanya terkoyak sehingga menampakkan tempurung kepala, pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Bandar Baru Putra, Bercham di sini, turut mengakibatkan Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, cedera di perut dan tangan kirinya. Mangsa diseret di depan neneknya, Timah Sukaimi, 70, yang sedang menunggu di pintu untuk menyambut kepulangan cucunya taska.


Menurut Timah, ketika kejadian dia mahu membuka pagar sebelum dikejutkan dengan jeritan Muhammad Haziq. "Saya sangka adik (nama timangan mangsa) diculik kerana dia tidak kelihatan di tepi jalan selepas van dinaikinya bergerak pergi. "Jeritannya bertambah nyaring menyebabkan saya panik dan seperti orang tidak siuman mencarinya sekitar kawasan rumah," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Warga emas yang uzur dan berjalan menggunakan tongkat itu hampir pengsan selepas dimaklumkan jiran yang turut terdengar jeritan itu bahawa cucunya diseret van.


Kejadian dipercayai berlaku apabila beg galas dibawa mangsa tersangkut pada pintu van ketika menutupnya dan pemandu van yang menyangka mangsa sudah turun, memecut kenderaannya.


Tindakan pemandu van itu menyebabkan Muhammad Haziq terseret sejauh hampir 100 meter di bahagian bawah kenderaan dalam keadaan terbaring.

Mujur tindakan berani seorang wanita yang juga jiran keluarga mangsa melangkah ke tengah jalan untuk memberhentikan van itu berjaya menyelamatkan Muhammad Haziq daripada maut.


Pemandu van, seorang lelaki berusia 50-an mendakwa tidak mendengar jeritan mangsa ketika ditanya jiran wanita itu.

Jiran itu kemudian meminta orang ramai mengangkat mangsa yang meraung kesakitan ke dalam van sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan. Bapa mangsa, Muhamad Sazali Yahaya, 30, anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berkata, jirannya itu memaklumkan kejadian berkenaan kepadanya.


"Dia terlebih dulu memberitahu kejadian itu kepada ibu saya (Timah) sebelum menghubungi saya yang ketika itu berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) bagi menghantar makanan kepada isteri yang bertugas sebagai jururawat di sana.


"Saya bersama isteri bergegas ke klinik berkenaan dan luluh hati kami melihat keadaan anak yang meraung kesakitan. Saya cuba tabahkan diri untuk menenangkan perasaan, tetapi gagal," katanya sebak.


Muhamad Sazali berkata, dia bertambah sayu selepas Muhammad Haziq meminta dia dan isteri berhenti menangis.


"Haziq pintar biarpun baru berusia tiga tahun lima bulan. Dalam keadaan sakit dia masih sempat menasihatkan saya dan isteri supaya jangan menangis kerana dia tidak mahu mati lagi," katanya.


Berikutan kecederaan parah dialaminya, Muhammad Haziq dimasukkan ke bahagian kecemasan HRPB sebelum menjalani pembedahan.


Muhamad Sazali berkata, menurut doktor, anaknya mungkin mengalami kecacatan kekal pada dua jari tangan kirinya selepas urat saraf di bahagian itu hancur dan putus.


Pembedahan awal yang dilakukan ialah untuk mengambil cebisan kulit paha bagi ditampal pada perutnya.


Muhamad Sazali tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu van terbabit, namun tumpuannya kini ialah terhadap anaknya yang bakal menjalani satu lagi pembedahan plastik bagi menutup tempurung kepala.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bertarung nyawa selamat lembu

Posted: 20 Jul 2011 10:56 AM PDT

SARATOK: Operasi besar-besaran pihak berkuasa memburu buaya di Sungai Sebelak di sini, sejak dua hari lalu mengembalikan ingatan seorang penduduk, Rashid Abu, 45, kejadian dia berdepan maut apabila terpaksa bertarung kira-kira setengah jam dengan haiwan itu, dua tahun lalu.

Menurut penduduk Kampung Emplam itu, pertarungannya dengan reptilia sepanjang kira-kira empat meter di tebing Sungai Sebelak berlaku ketika dia cuba menyelamatkan lembu peliharaan daripada dibaham seekor buaya.


"Meskipun peristiwa itu sudah dua tahun berlalu, ia tetap segar di ingatan saya," katanya yang ditemui Harian Metro, semalam.

Rashid berkata, ketika kejadian itu dia langsung tidak menyangka sedang 'berebut' dengan reptilia ganas yang menjadi ketakutan penduduk di sepanjang sungai berkenaan.


Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia berusaha membawa keluar ternakannya dari kandang yang dimasuki air sungai yang melimpah ke tebing akibat air pasang besar.


Katanya, pada awalnya, dia menyangka kaki lembu jantannya itu tersangkut pada celah akar pokok menyebabkan dia nekad masuk ke dalam air untuk menarik haiwan terbabit.

"Saya cuba memeluk tengkuk lembu dengan harapan dapat dibawa ke atas namun gagal. Tarikan buaya itu cukup kuat dan saya mencuba sekali lagi termasuk menarik kaki lembu itu.


"Selepas beberapa kali mencuba, tetapi masih gagal sebelum saya menggunakan tali dan akhirnya berjaya membawanya naik ke atas dan ketika itu saya ternampak kelibat seekor buaya sedang menggigit kaki lembu," katanya.

Rashid berkata, menyedari buaya terbabit cuba menarik lembunya kembali ke dalam air, dia nekad 'bertarung' bagi menyelamat haiwan itu sehingga berlaku tarik menarik selama beberapa minit.


"Saya tidak tahu apa lagi perlu dilakukan bagi menyelamatkan lembu saya melainkan menariknya sedaya upaya sehingga menyebabkan reptilia terbabit mengalah dan melepaskan gigitan sebelum menghilangkan diri," katanya.


Mengimbau kembali tindakannya memasuki kandang lembu yang digenangi air paras dada, dia langsung tidak terfikir bahawa reptilia itu turut berada di dalam air dan menanti saat membaham lembunya itu.


"Memang saya tidak akan masuk ke kandang itu jika saya tahu ada buaya di dalam air," katanya.


Rashid berkata, dua kejadian sebelum ini menyebabkan empat lembu peliharaannya menjadi habuan reptilia ganas itu yang menyebabkannya kerugian kira-kira RM14,000.


"Kejadian pertama berlaku pada 2002 apabila dua lembu saya dibaham. Kali terakhir kejadian sama berlaku iaitu dua tahun lalu," katanya yang memiliki 14 lembu.


"Oleh kerana lembu yang diselamatkan itu cedera teruk pada paha kirinya, saya mengambil keputusan menyembelihnya sebagai hidangan kenduri kesyukuran kerana saya terselamat daripada menjadi korban buaya berkenaan," katanya.


Sementara itu, operasi besar-besaran digerakkan pihak berkuasa yang masuk hari kedua semalam, dipercayai hanya berjaya membunuh seekor anak buaya yang bangkainya ditemui terdampar di tepi Sungai Sebelak di sini.


Bangkai haiwan berusia lebih dua tahun itu ditemui penduduk kira-kira jam 2.30 petang, tidak jauh dari jeti pusat operasi, dipercayai ditembak pada malam pertama operasi dijalankan.


Penduduk, Mohd Faizul Abu Bakar, 25, berkata dia menemui bangkai buaya itu ketika menaiki sampan menyusuri sungai berkenaan.


"Berdasarkan saiz bangkai buaya berkenaan dipercayai berusia dua tahun atau lebih dan kami yakin buaya ini bukan yang sering membaham penduduk," katanya.


Bangkai buaya berkenaan dibawa menaiki sampan sebelum diangkat ke jeti menyebabkan penduduk berpusu-pusu mahu melihat reptilia yang didakwa menimbulkan ketakutan selama ini.


Sungai Sebelak terus menjadi tumpuan berikutan operasi besar-besaran pihak berkuasa memburu reptilia yang didakwa menyebabkan beberapa penduduk menjadi mangsa, termasuk kejadian terkini dua bulan lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved