Rabu, 13 Julai 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Dua produk asas jaga rambut

Posted: 13 Jul 2011 07:28 AM PDT

RAMBUT yang lebat, halus dan menarik sentiasa menjadi dambaan wanita hinggakan ia dianggap mahkota yang perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Rambut turut menerima tempias kesan pencemaran alam sekitar yang mengakibatkan rambut mula kusam, kering, bercabang dan hilang kilauannya.

Justeru, rawatan demi rawatan perlu dilakukan bagi memastikan rambut kembali sihat dan dalam keadaan terkawal. Ironinya, makin sihat keadaan rambut, makin kempis poket dek terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk rawatan-rawatan itu.

Menurut Dr G Govindarajan, Ketua Saintis di Himalaya, India, situasi itu sebenarnya boleh diatasi jika rambut menerima rawatan awal iaitu membasuh menggunakan syampu serta melembapkan dengan perapi yang sesuai.


"Asas kepada penjagaan rambut ialah menggunakan syampu dan perapi yang benar-benar menepati keperluan rambut serta kulit kepala.


"Dua produk itu bukanlah semata-mata berfungsi sebagai pembersih dan pelembap kerana biasanya kandungan di dalamnya mampu memberi khasiat tambahan kepada rambut," katanya.

Bagaimanapun ramai yang tidak pasti atau faham dalam memilih syampu serta perapi sesuai dengan keadaan rambut lalu membeli syampu kerana tertarik dengan rekaan botol, harumannya dan iklan menarik yang ditonton di media massa.

"Pengetahuan dalam memilih syampu terbaik untuk rambut adalah penting bagi memperoleh serta mengekalkan rambut yang sihat dan cantik. Amat penting untuk menggunakan syampu yang sesuai mengikut jenis rambut anda dan ia tidak bertindak secara efektif jika tersilap memilihnya.

"Syampu dihasilkan untuk menghilangkan kotoran dan minyak di rambut serta menyuburkannya dari dalam. Wujud bermacam syampu yang memberi tumpuan kepada setiap jenis rambut dan kebanyakannya mengandungi protein, vitamin, mineral, minyak pati dan pelbagai bahan semula jadi yang dapat membaiki rambut rosak dan memeliharanya," tegas Govindarajan.

Selain faktor luaran, rambut dan kulit kepala makin kotor apabila sebum iaitu bahan berminyak yang dirembeskan oleh kelenjar kulit melapisi liang roma dan menutup permukaan helaian rambut.

Sel-sel kulit mati dan pendedahan kepada pencemaran kemudiannya melekat pada sebum. Justeru penggunaan syampu yang sesuai boleh membantu membuang semua kotoran itu dan membuatkan rambut lebih terurus, mudah disikat dan berkilau.

Namun, syampu yang anda gunakan mungkin tidak sesuai dengan orang lain kerana faktor pengeluaran sebum dan jenis kulit kepala yang berbeza.

"Oleh itu, sentiasa pastikan jenis rambut anda terlebih dulu sebelum memilih syampu. Tentukan sama ada ia kering, berminyak, biasa, menggelupas dan tidak bermaya.

"Contohnya jika rambut berminyak, jangan gunakan syampu atau perapi yang direka untuk rambut kering kerana ia tidak akan mengeluarkan minyak berlebihan daripada kulit kepala hingga boleh menyebabkan masalah lain seperti kelemumur, sukar diurus dan hujung rambut yang bercabang.

"Sebaiknya rambut berminyak perlu menggunakan syampu yang lembut dan kurang kandungan minyak di dalam bahan-bahannya. Jika benar-benar berminyak, hadkan penggunaan perapi dan tumpukan penggunaannya pada hujung rambut.

"Elakkan daripada meramas perapi pada kulit kepala kerana ia mampu merangsang pengeluaran lebih banyak minyak semula jadi.

"Bagi jenis kering pula, pilih syampu yang mempunyai tahap pelembap tinggi dengan bahan-bahan seperti minyak zaitun, minyak badam, madu dan kamomil.

"Perapi juga perlu digunakan setiap kali selepas bersyampu kerana ia dapat membekalkan lembapan yang diperlukan rambut jenis ini," katanya.

Tidak dilupakan rambut yang diwarnakan atau sering menjalani rawatan di salun kerana rambut jenis ini lebih mudah rapuh dan tidak bermaya.

Biasanya rambut sebegini memerlukan syampu yang mempunyai tabir suria dan bahan-bahan yang boleh mengekalkan warnanya walaupun kerap dicuci.

Bagi yang mengalami masalah kelemumur, syampu berubat sesuai digunakan terutama yang mengandungi bahan khusus seperti ketoconazole yang bertindak membunuh bakteria pada kulit kepala lalu mengembalikannya ke tahap pH normal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bibir merah menawan

Posted: 13 Jul 2011 07:07 AM PDT

BAHAGIAN wajah manakah yang sering menarik perhatian. Adakah mata atau bibir? Tahukah anda di antara bahagian wajah yang paling penting selepas mata ialah bibir. Ini kerana apabila kita berbual selain daripada memerhatikan matanya, kita tidak akan terlepas pandang pada bentuk bibir yang seksi dan menawan.

Sebenarnya penampilan solekan pada bibir amat penting bagi wanita. Bibir yang menggelupas dan kering akan membuatkan seseorang itu nampak selekeh dan tidak sihat walaupun selepas disapu gincu. Ini kerana bibir akan kelihatan putih dan tidak rata disebabkan kesan menggelupas ini.

Sebelum anda melakukan perawatan bibir sebaiknya anda harus tahu sifatnya. Bibir adalah anggota yang sangat sensitif, nipis dan memerlukan penjagaan sempurna. Kurangnya jumlah lapisan lemak pelindung (yang terletak pada epidermis kulit iaitu kulit luar), kelenjar sebum (minyak) dan kandungan melanin akan menyebabkan kulit bibir mudah kehilangan lembapan, kering dan pecah.

Apabila terlalu lama terkena cahaya matahari, bahan kimia dan bahan-bahan lain yang mungkin terdapat dalam makanan atau minuman akan menyebabkan kulit bibir mengering.


Oleh itu, pastikan anda tidak memakai kosmetik mengandu– ngi terlalu banyak plumbum atau merokok yang boleh memberi kesan tidak baik pada bibir anda. Ada beberapa cara untuk mendapatkan bibir yang sihat dan cantik antaranya:

  • Menggunakan salap bibir pada waktu malam mampu memberikan nutrisi serta memperbaiki kulit bibir. Sebaiknya sapukan salap bibir mengandungi penapis matahari sebelum memakai gincu atau sapukan gincu mengandungi pelindung matahari ketika melakukan aktiviti di luar rumah.
  • Jangan memakai salap bibir mengandungi perasa. Perasa ini membuatkan anda menjilat bibir atau membasahi bibir selalu.
  • Elakkan memakai gincu jenis pusam (matte). Gincu jenis ini selalunya tidak mengandungi pelembap, sekiranya ada, jumlahnya terlalu sedikit.
  • Bersihkan bibir setiap kali ketika mandi. Pastikan sisa-sisa kosmetik dibersihkan dengan sempurna daripada bibir anda.
  • Gunakan pelindung matahari (UV) untuk bibir setiap kali keluar dari rumah.
  • Gunakan pelembap bibir untuk mengekal kelembapan kulit bibir anda.
  • Kurangkan kebiasaan membasahi bibir dengan air liur. Ini kerana air liur yang digunakan untuk membasahkan bibir selalunya menjadi punca kekeringan pada bibir.
  • Biasakan mengambil sayur dan buah-buahan segar terutamanya yang tinggi kandungan vitamin C. Anda juga boleh mengambil vitamin C dalam bentuk pil.
  • Sekiranya anda tidak mahu memakai salap bibir, gantikan dengan sapuan madu sebelum tidur. Cairan manis ini berfungsi sebagai pelembap dan bekerja secara maksimum ketika anda tidur.

    Selain itu ada petua tradisional yang boleh diamalkan antaranya:

    Supaya bibir nampak merah

  • Ambil madu asli, kemudian sapu sedikit pada bibir sehinga rata. Lakukan setiap kali ketika hendak tidur.

    Untuk membersihkan bibir

  • Tuangkan beberapa titis minyak zaitun dan campurkan sedikit madu. Sapu ramuan pada bibir, gosok perlahan-lahan (fungsinya sebagai penyental) dan kemudian cuci dengan bersih.
  • Untuk mengelakkan bibir menjadi hitam, banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran, segera berhenti merokok dan elak memakai gincu terlalu lama melebihi lapan jam.

    Bagi mendapatkan warna gincu sesuai bergantung kepada bentuk bibir iaitu garis bibir yang mengikut bentuk atau susunan gigi serta tulang rahang. Bentuk dan garis bibir ini menentukan warna gincu yang serasi pada bibir anda.

    Bibir bergaris lembut dengan bentuk mendatar memerlukan gincu berkilat dengan warna merah, merah jambu atau ungu. Bibir bergaris keras dengan bentuk yang cembung memerlukan gincu jenis berkrim atau pusam dengan warna coklat seperti merah muda coklat atau krim muda.

  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved