Khamis, 14 Julai 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Hampir dua tahun jadi hamba tauke

Posted: 13 Jul 2011 10:11 AM PDT

PONTIANAK: Sebuah keluarga empat beranak, termasuk seorang bayi 10 bulan ibarat jatuh ditimpa tangga apabila mereka bukan saja menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, malah turut dilayan sebagai buruh paksa di sebuah ladang sawit di sekitar Sri Aman, Sarawak sejak lebih setahun lalu.

Berasal dari Kampung Pati, Jawa Tengah, Indonesia, keluarga Sutono, 45, menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia yang didalangi individu senegara untuk dibawa ke Sarawak melalui pintu masuk sempadan Indonesia/Malaysia di Tebedu sebagai pekerja ladang kelapa sawit sejak Oktober 2009 tanpa pernah menikmati upah yang sepatut diterima.


Episod malang Sutono dan isterinya, Seri Kuswari,45 serta dua anaknya, Joseph,5, dan Bima,10 bulan, berakhir minggu lalu apabila mereka nekad meredah hutan selama empat hari empat malam dengan berjalan kaki untuk kembali ke negara asal selepas tidak tahan diperlakukan sedemikian oleh majikan.

Menurut Sutono, semuanya bermula apabila dia ditawarkan pekerjaan oleh seorang lelaki yang datang ke kampungnya pada pertengahan 2009 mendakwa mempunyai cara untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik dengan bekerja di Malaysia yang menawarkan gaji lumayan.


"Mereka memberitahu saya akan menerima upah Rp50,000 (RM17) sehari dengan bekerja di ladang kelapa sawit dan boleh membawa anak serta isteri kerana majikan menyediakan tempat tinggal untuk kami.


"Ketika itu isteri saya sedang mengandung enam bulan anak kedua dan saya bersetuju menerima tawaran itu. Dengan membawa Rp2 juta kepada lelaki itu, saya dibawa ke Pontianak menaiki kapal terbang sebelum dihantar ke sempadan Entikong menaiki bas," katanya.

Menurut Sutono, tanpa memiliki dokumen perjalanan termasuk pasport, dia dan keluarganya tidak menghadapi masalah masuk ke Malaysia melalui pintu sempadan itu kerana semuanya diuruskan lelaki terbabit, termasuk pengangkutan ke ladang sawit di mana dia sepatutnya bekerja.


"Apa yang ada di tangan saya ketika itu ialah salinan fotokopi kad pengenalan saja, tetapi kami tidak mempunyai masalah masuk ke Malaysia kerana semuanya diuruskan seorang lelaki tanpa saya dan isteri perlu turun dari kenderaan ketika di pintu masuk sempadan.

"Selepas selesai di pintu sempadan, saya dibawa ke ladang kelapa sawit di sekitar Sri Aman, sebelum memulakan kerja memotong pelepah pada keesokannya, manakala isteri ditugaskan memasak makanan untuk beberapa pekerja lain di tempat kami tinggal itu," katanya.


Katanya, sejak hari pertama bekerja di ladang kelapa sawit berkenaan, dia tidak pernah menerima satu sen upah dan setiap kali persoalan gaji dibangkitkan, dia diugut majikan.


"Setiap kali meminta gaji, saya diugut kononnya akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang mana nasib saya didakwa tidak boleh dijangka jika ditangkap kerana tidak memiliki dokumen sah ketika berada di negara ini.


"Oleh kerana takut, saya mendiamkan diri dan hidup diteruskan dengan melakukan kerja tanpa upah di ladang kelapa sawit itu. Bagaimanapun, saya dan pekerja lain diberi makan nasi berlauk ikan masin, telur dan sayur sebanyak tiga kali sehari," katanya.


Menurut Sutono, dia dan keluarga juga tidak pernah keluar dari ladang kerana bimbang ditahan pihak berkuasa, selain ditegah oleh majikannya.


Disebabkan tidak tahan dengan layanan diterima, dia nekad melarikan diri pada waktu malam dengan membawa isteri dan anak yang masih kecil meredah hutan keluar dari 'neraka' itu.


"Kami berjalan kaki empat hari empat malam di dalam hutan. Sepanjang perjalanan itu, makan minum kami dibantu penduduk kampung yang kasihankan melihat anak-anak kelaparan.


"Ada yang memberikan makanan dan wang, ada juga yang membenarkan kami berteduh dan tidur semalaman di anjung rumah mereka.


"Ketika di dalam hutan, kami sering kali berdepan dengan binatang buas dan berbisa, tetapi syukur kami selamat sehingga dapat meneruskan perjalanan sehingga ke sempadan Malaysia-Indonesia," katanya.


Menurut Sutono, selepas meredah hutan selama empat hari empat malam mengikut naluri hatinya, dia akhirnya bertemu dengan seorang penduduk di Entikong yang membantu menghantarnya kepada pihak berkuasa Indonesia sebelum dihantar ke Pusat Pelayanan Terpadu Pembudayaan Perempuan dan Anak di Kota Pontianak pada 7 Julai lalu.


Sementara itu, wakil Yayasan Nanda Dian Nusantara (YNDN) di Pontianak, Devi Suhardoyo, berkata kes Sutono sudah diproses oleh pihak berkuasa negara berkenaan dan keluarga terbabit sudah dihantar pulang ke kampung asalnya.


Katanya, keluarga malang itu adalah sebahagian kes dikendalikan pihaknya berkaitan mangsa pemerdagangan manusia.


"Apa yang berlaku jelas bahawa penyeludupan manusia antara kedua-dua negara berjiran ini dijalankan secara terancang dan sering terlepas daripada kawalan pihak berkuasa," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mati 2 hari lepas samun

Posted: 13 Jul 2011 09:32 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing yang baru dua hari menyamun sebuah kereta mati ditembak manakala rakannya meloloskan diri selepas cuba menyerang anggota polis dengan parang dalam satu kejadian di Wangsa Maju, di sini, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kereta dipandu suspek dikesan pemiliknya berdekatan Pasaraya Carrefour Wangsa Maju. Katanya, pemilik kereta itu kemudian mengekori suspek hingga ke kawasan perumahan Seksyen 2 sebelum memaklumkannya kepada polis.


"Selepas menerima maklumat itu, satu unit kereta peronda polis dan dua pasukan peronda motosikal dari Bahagian Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bergegas ke lokasi dan mengesan suspek.

"Panik dengan kehadiran polis, seorang suspek menyerang polis dengan parang hingga memaksa polis melepaskan tembakan," katanya.


Menurutnya, seorang lagi suspek dipercayai warga tempatan melarikan diri dengan merempuh anggota polis menggunakan kenderaan dipandunya.


"Polis turut melepaskan tembakan ke arah suspek di dalam kenderaan itu, bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri," katanya.

Suspek yang cedera parah di leher dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia ketika dirawat.


Menurutnya, polis kini giat menjalankan gerakan memburu suspek yang melepaskan diri semasa kejadian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved