Isnin, 29 Ogos 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bawa bekalan makanan, biskut

Posted: 29 Aug 2011 10:36 AM PDT

BAGAIKAN sudah menjadi satu kemestian untuk perantau balik ke kampung halaman masing-masing setiap kali musim perayaan.

Tidak kira jauh atau dekat, kampung halaman adalah tempat yang paling menjadi pilihan untuk menyambut hari yang berbahagia itu.

Semuanya sanggup menempuh apa saja kesukaran termasuk jalan sesak, berhimpit dalam bas atau menaiki bas haram, semata-mata mahu balik kampung.

Tradisi berkumpul seluruh ahli keluarga untuk mengucapkan selamat hari raya sambil bermaafan pada pagi Aidilfitri sudah lama menjadi satu kemestian dan amalan dalam masyarakat kita.


Ini kerana, pada hari raya jugalah sanak saudara dapat berhimpun untuk bersama-sama merapatkan kembali ukhuwah yang mungkin sebelum itu sedikit renggang lantaran kesibukan kerja masing-masing.


Ia mendorong ramai antara kita untuk mengambil cuti yang agak lama semata-mata untuk memastikan dapat beraya sepuas-puasnya bersama keluarga tersayang di kampung.

Namun, perubahan gaya hidup yang dijalani masyarakat hari ini sedikit sebanyak menjejaskan tradisi berkenaan.

Bukan sudah melupakan kampung halaman sendiri, tetapi bagi segelintir masyarakat yang gemar bercuti ke luar negara ketika musim perayaan utama seperti Aidilfitri, mereka mempunyai alasan tersendiri.

Biarpun kedengaran agak janggal mahu bercuti di luar negara ketika umat Islam lain sibuk kembali ke kampung halaman, mereka ternyata mempunyai pilihan masing-masing.

Mahu merasai sendiri pengalaman Tarawih dan menyambut hari raya di negara orang adalah antara sebab utama mengapa Jamilah Bujang, 40, dan suaminya, Hamdan Mohd Yusuf, 43, membawa tiga anak mereka beraya di China pada Aidilfitri kali ini.

Penulis bebas dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur, itu berkata, keputusan berkenaan tidak dirancang dari awal. Tetapi ia muncul secara spontan selepas mereka sekeluarga kehilangan anak bongsu, Ikbal Fahreen, 4, akibat masalah jantung, baru-baru ini.

Kehilangan anak bongsunya itu menyebabkan mereka sekeluarga mengambil keputusan beraya jauh dari rumah sendiri bagi menghilangkan seketika kesedihan dan kerinduan yang masih bersisa kepada Ikbal.

Jamilah sekeluarga memilih Guangzhou sebagai lokasi untuk beraya memandangkan adik bongsunya, Amna, kini menetap di sana kerana bertugas di pejabat Mida.

Selain itu, dia dan suaminya juga mahu merasai sendiri bagaimana masyarakat Islam di sana menyambut Ramadan dan Aidilfitri kerana melalui pembacaan, mereka juga mempunyai amalan tradisi yang unik.

Dia berkata, sebelum ini keluarganya belum pernah beraya di luar negara dan disebabkan itu, percutian kali ini adalah yang paling ditunggu-tunggu.

"Anak-anak (Izzatul Farhana , 15, Izzatul Firashah, 10, dan Izzatul Fasihah, 7), begitu teruja untuk beraya di Guangzhou dan bertemu sepupu mereka yang sudah hampir tiga tahun tidak bersua muka.

"Walaupun kami juga akan ke Hong Kong selepas hari raya pertama, membeli-belah bukanlah agenda utama.

"Sebaliknya, kami merancang melawat tempat bersejarah dan lokasi menarik sepanjang di sana.

"Apa yang paling utama untuk percutian kali ini ialah kami dua keluarga dapat berkumpul dan meraikan hari kebesaran itu bersama-sama," katanya.

Menurut Jamilah, dia sudah tidak mempunyai ayah dan ibu, untuk itu memang mudah baginya membuat keputusan menyambut Aidilfitri jauh dari kampung halaman.

Bagi mentua pula, Jamilah berkata, mereka juga tidak membantah kerana dia sekeluarga akan terlebih dulu pulang ke kampung suami seminggu sebelum tarikh berangkat.

"Walaupun beraya jauh daripada sanak saudara, saya sekeluarga tetap menghubungi keluarga pada pagi Lebaran untuk bermaaf-maafan.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana teknologi sekarang makin canggih dan kita boleh berhubung ke mana juga pada bila-bila masa," katanya.

Untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan di negara orang, Jamilah turut membawa bekalan makanan dan biskut raya seperti tart nanas dan popia mini yang menjadi juadah kegemaran mereka sekeluarga.

"Insya-Allah, kami akan mengadakan rumah terbuka di sana untuk pelajar dan warga Malaysia yang bekerja di Guangzhou.

"Adik saya sejak awal-awal lagi sudah mengingatkan untuk membawa perencah sup tulang dan rendang ayam kerana dua juadah itu yang akan menjadi sajian utama di sana nanti.

"Pengalaman beraya di negara orang memang tidak boleh dibandingkan dengan beraya di kampung halaman sendiri, tetapi tidak salah jika sesekali kita mencuba sesuatu yang baru dan menyelami kehidupan masyarakat di negara orang pula," katanya yang akan menghabiskan 12 hari di sana sehingga raya kelima.

Keseronokan bermain salji ketika mengunjungi Korea Februari lalu mendorong Zunaidah Sudik, 40-an, membawa keluarganya ke negara itu sekali lagi pada Aidilfitri ini.

Walaupun terpaksa berhabis puluhan ribu ringgit untuk membawa seluruh ahli keluarga termasuk seorang cucu yang berusia 11 bulan, pengusaha restoran itu mengakui keseronokan bercuti bersama melebihi segala-galanya.

Setiap tahun, Zunaidah membawa keluarganya bercuti pada hari raya kerana dia dan suaminya kini tidak mempunyai ibu atau ayah kerana sudah lama meninggal dunia.

Katanya, sambutan Aidilfitri di Kuala Lumpur juga tidak semeriah jika dibandingkan dengan suasana di kampung halaman kerana selepas menziarahi pusara pada pagi raya pertama, mereka kembali ke rumah menunggu jiran tetangga saja.

"Jika dulu, memang kami pulang beraya bersama keluarga tetapi sejak kedua-dua ibu bapa meninggal dunia, kami hanya beraya di rumah sendiri.

"Memang membosankan kerana kebanyakan jiran atau saudara pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

"Jadi, daripada menunggu rumah saja, lebih baik kami pergi bercuti bersama sambil berkumpul seisi keluarga kerana pada hari biasa memang jarang dapat bersama kerana kesibukan kerja," katanya.

Pengusaha Restoran Uwa Kitchen di Plaza Damas itu berkata, mereka akan berangkat ke Korea pada hari raya kedua dan membawa bersama bekalan makanan seperti rendang kering, nasi himpit, ketupat dan sejenis dua biskut raya untuk dinikmati sepanjang enam hari di sana.

"Untuk mendapatkan makanan halal di Korea memang tidak sukar kerana terdapat ramai komuniti Islam di sana.

"Lagipun, kami bercadang untuk memasak sendiri juadah yang ringkas di bilik hotel nanti.

"Memang seronok kerana kami bercadang melaram dengan baju raya di sana selain melawat banyak lokasi menarik seperti Pulau Nami," katanya yang sebelum ini pernah menyambut Aidilfitri di Kota Singa bersama ahli keluarganya.

Zeti Nor Ain Ahmad, 34, pula pernah merasai pengalaman beraya bersama masyarakat Islam Hokkaido, Jepun pada Aidilfitri tahun lalu kerana tuntutan kerja.

Penulis di sebuah majalah kecantikan itu berkata, dia berangkat ke negara mata hari terbit itu pada malam hari raya tatkala umat Islam lain sedang sibuk membuat persiapan akhir menyambut lebaran.

Walaupun menyambut Aidilfitri sendirian di Hokkaido, dia tidak kesunyian kerana kawasan itu mempunyai komuniti Islam yang unik dan kebanyakan masyarakat di sana juga ramah biarpun pertama kali bersua.

"Selepas urusan kerja selesai, saya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi pusat komuniti Islam yang terdapat di kawasan itu.

"Tidak dinafikan juadah Aidilfitri yang disediakan memang jauh berbeza daripada makanan kita, tetapi hidangan seperti sushi, ramen dan mi soba turut disediakan.

"Mujurlah saya tidak mempunyai masalah dengan hidangan Jepun dan boleh menerimanya sepanjang lima hari berada di sana," katanya.

Zeti mengakui pengalaman beraya di Jepun lebih menarik berbanding dengan apa yang dilaluinya ketika menyambut Aidiladha di Aberdeen, Scotland, beberapa tahun lalu.

Katanya, masyarakat Islam di Aberdeen tidak seramai di negara Eropah lain kerana hanya terdapat komuniti Islam kecil kira-kira 45 minit perjalanan dari bandar berkenaan.

"Saya menyambut Aidiladha seorang diri kerana rakan serumah (warga Malaysia) ketika itu berada di Amerika atas urusan kerja.

"Untuk menghilangkan kerinduan pada kampung halaman, saya tetap menyediakan juadah seperti kari ayam dan tart strawberi walaupun untuk dinikmati seorang diri.

"Bila menghubungi keluarga di pagi raya, air mata memang bercucuran. Memang pilu kerana terpaksa beraya seorang diri dan itu adalah antara salah satu faktor mengapa saya mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air selepas setahun mencari pengalaman di rantau orang," katanya.

Istikharah Sang Perindu (Siri 4): Belahan Hati Ibu Di Pagi Syawal

Posted: 29 Aug 2011 07:29 AM PDT

AKU bukanlah orangnya. Orang yang sepatutnya dia cari untuk bantu dia selesaikan segala masalah. Dia tidak ada sesiapa. Sesiapa pun tidak mahu mendengar masalah yang dia tanggung selama ini. Dalam firasat aku, dia sedang menanggung masalah. Masalah besar yang boleh jadikan dia, hilang segala yang dia miliki. Dia akan hilang semuanya.

Tetapi bagaimana cara terbaik, dapat aku bertemu dia? Bukannya aku tidak berusaha mencari, malah sudah beribu kali. Pernah aku ke Canberra, ikut Kak Ika, pun gagal kami temui dia. Kak Zura, ke mana dia? Abang Farhan sudah hilang terus.

Tahukah mereka hatiku yang sedih pilu? Mendengar takbir raya, piluku berganda-ganda. Kalau ada kubur mereka, boleh juga aku bawa ibu, bacakan surah Yasin, surah al-Mulk dan bertahlil, minta Allah ampunkan dosa mereka dan dan minta Allah ringankan seksaan kubur mereka, seperti yang selalu kami lakukan bertahun-tahun di kubur arwah ayah, tetapi ini tidak, hilang ghaib tanpa berita.

Membayangkan pedih hati ibu di pagi Syawal, hatiku bertambah-tambah pedih. Aku melangkah cepat-cepat ke tempat letak kereta. Aku nampak Kak Ika sudah sampai ke kereta. Tiba-tiba aku nampak ada orang ekori Kak Ika. Aku matikan langkah.

Aku menyorok di sebelah kereta.

Aku dengar telefon Kak Ika tiba-tiba menjerit. Entah mengapa tiba-tiba sahaja di mata, di hati, aku hanya ternampak muka Kak Zura. Lima tahun aku tak jumpa dia. Alangkah bahagianya kalau raya tahun ini aku dapat akhirkan penantian ibu.
Aku mahu hadiahkan kepulangan itu kepada ibu. Aku mahu kesat air mata pilu ibu.
Aku mahu ibu menangis gembira. Tapi bila?

"Tak dengarlah. Cakap kuat sikit. Tak dengar." Aku dengar suara Kak Ika agak kuat. Aku pasang telinga lebih luas.

"Siapa?" Dalam terintai-intai, aku nampak Kak Ika tidak jadi buka pintu kereta.
"Akulah. Zura." Aku dengar suara itu.

"Zura?" Kak Ika terkejut.

Aku empat puluh kali lebih terkejut daripada Kak Ika. Hampir sahaja aku mahu melompat keluar. Dada aku berdebar kuat. Aku sabarkan hati. Tidak aku tidak perlu tergopoh-gapah. Aku tarik nafas.

"Zura?" Suara Kak Ika teruja.

Aku teringat kamera dalam beg. Cepat-cepat aku keluarkan dan terhendap-hendap ke muncung kereta. Ya, mereka terlalu teruja, tidak nampak kelibat aku. Aku rakamkan video pertemuan itu. Syukur, semuanya tidak ada masalah.

Badan aku panas satu macam. Aku tahan kaki agar tidak melompat keluar menerpa Kak Zura. Aku nampak ibu. Tiba-tiba air mata aku bergenang. Aku kesat air mata.
Air mata aku keluar lagi. Hish, ini yang buatkan aku lemah. Wajah teduh ibu macam bidadari, jadikan aku tidak boleh buat perkara bukan-bukan. Ya, Kak Zura, anak ibu. Aku kena hormatkan dia.

"Betul kau ini Zura? Jangan bergurau." Di skrin kamera rakaman, aku nampak Kak Ika pandang kiri, pandang kanan.

"Kenapa?" Aku dengar suara orang tergelak.

"Susah nak percaya." Suara Kak Ika gementar.

Dada aku semakin berdebar. Aku nampak ibu, aku nampak Mak Long, aku nampak nenek. Dan jauh berbalam-balam aku nampak Pak Long. Hati aku mula jadi tidak tenteram. Betulkah yang berdiri tidak jauh dari Kak Ika itu, Kak Zura?

"Percaya atau tak percaya, itu kau punya pasal. Tapi aku tak bergurau. Aku tak menyamar. Aku Zura. Azura Zainal Abidin. Anak Mak Ngah kau." Perempuan yang tidak lagi rupa Melayu tergelak lagi.

"Tak payahlah penat-penat berfikir Ika, tak ada siapa dalam dunia ini yang nak menyamar jadi aku. Kau ingat aku ni siapa? Bintang filem? Selebriti? Jutawan?"
Menahan sabar dan sakit hati, kedua-dua belah tanganku jadi terketar-ketar.
Mata pandanglah. Mulut diamlah. Hati, sabarlah. Aku nampak dia peluk pinggang Kak Ika. Kak Ika terkejut. Tidak percaya apa yang dia pandang. Telefon tangannya hampir terjatuh.

"Sekarang percaya?"

Perempuan yang lukakan hati ibu itu tersenyum dan tergelak. Dia salam Kak Ika, dia peluk Kak Ika dan cium pipi Kak Ika kanan kiri. Aku kesat air mata. Aku nampak Kak Ika tergamam.

"Aku baru balik kerja, baru nak masuk kereta. Alhamdulillah, kau balik juga akhirnya Zura." Kak Ika peluk dia semakin erat. "Alhamdulillah. Alhamdulillah."
Kak Ika menangis teresak-esak.

Kak Zura lepaskan pelukan. Aku dengar dia suruh Kak Ika berhenti menangis. Dia tergelak. "Eh, akulah yang balik. Bukan mayat aku."

Kak Ika kesat air mata. Tersenyum. "Bila sampai?"

"Pagi tadi." Dia pegang bahu Kak Ika. "Bagasi aku ada dalam teksi."

Kalang-kabut Kak Ika buka pintu kereta dan tekan butang untuk membuka but. Tiga beg besar muat-muat masuk dalam but kereta.

"Kau balik seorang?" tanya Kak Ika.

Hati aku rasa lapang sungguh. Segunung masalah di atas kepala serasa melambak ke bumi. Aku nampak Mak Long tersenyum, aku nampak nenek tersenyum dan aku nampak bulan lima belas haribulan bercahaya di wajah ibu.

"Itulah yang aku nak cerita pada kau."

Aku fokuskan kamera ke muka Kak Zura. Mencari-cari di sebalik wajahnya berambut pendek, diwarnakan perang yang mahu menjauhkan rupa Melayunya itu, kalau-kalau ada garis kesal di mana-mana. Sayangnya tidak terlihat seurat pun. Hish geramnya aku.

"Ada masalah?" tanya Kak Ika lagi.

Dia mengangguk. Aku ketap bibir menahan geram. Aku rasa ada sesuatu di dalam hati dia. Aku nampak sebuah sungai yang penuh sampah-sarap. Aku nampak sungai yang dulunya tidak lagi jernih bertambah-tambah kelabu warna airnya.
Sampah-sarap banyak terapung. Aku dapat rasakan, ada tugas untuk aku. Agak berat. Sampahnya banyak. Airnya tersekat.

"Dulu kau kata jangan buat, tapi aku degil. Kau suruh aku fikir masak-masak, tapi aku malas nak fikir. Aku tahu perkara ni tak boleh dibuat main-main, tapi perkara dah terjadi, Ika, aku nak buat macam mana?"

Kak Zura pandang kiri kanan. Wajahnya yang tadi nampak selamba kini mula nampak gelisah.

"Aku tahu aku silap. Aku tahu masalah dulu dah jadi berganda-ganda berat. Aku terpaksa jumpa kau. Sama ada kau hendak atau tidak, kau kena tolong aku juga. Ini hidup dan mati aku, Ika. Kau kena tolong aku. Sebabnya, aku hanya ada kau. Sepupu aku, kawan baik aku."

Hati aku lapang sedikit. Syukur alhamdulillah dia masih anggap Kak Ika sepupu, sahabat dan orang yang dia boleh percaya untuk luahkan perasaan. Aku ternampak-nampak nenek dan Mak Long tersenyum.

"Kita balik kampung." Suara Kak Ika ceria.

Aku rasa mahu pinjam cuping telinga gajah untuk mendengar setiap patah perkataan dari mulut Kak Zura, supaya tidak sebutir pun perkataan dari mulutnya jatuh tercicir. Aku nampak dia pegang kejap tangan Kak Ika. Matanya terbeliak.
Dia terkejut macam terpandang hantu. Hantu Kak Zura balik kampung agaknya.

"Balik kampung? Kau gila?"

Ringan sahaja kaki aku mahu melompat menerpa dia dan tangan aku terketar-ketar mahu tampar mulut yang tidak tahu hormatkan perasaan orang itu. Hati, sabarlah.
Mengapa dia tiba-tiba jadi tertekan bila Kak Ika sebut balik kampung? Mengapa dia tidak rasa sedikit pun bersalah di atas segala perbuatannya selama ini? Barangkali dia masih belum seratus peratus bersedia. Nampaknya untuk memujuk dia, Kak Ika kena lebih banyak mengalah.

Aku pujuk lagi hati. Hem, dia sudah balik, sudah sangat baik untuk kami sekeluarga. Kalau aku buat hal, sah, dia akan lari lagi. Tidak, aku tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Aku nampak Kak Ika pegang tangan Kak Zura. "Kita ke rumah nenek?"

Dia menggeleng laju-laju. Mukanya semakin keruh. "Rumah nenek pun tak boleh."
Dia bertambah gelisah.

"Kenapa?" tanya Kak Ika lagi.

Aku mula rasa tidak aman. Niat untuk gembirakan ibu, nenek dan Mak Long yang tadinya datang dengan aman, macam angin waktu subuh malam lailatulqadar, kini jadi ombak Laut Cina Selatan. Yang tinggal hanya harapan. Aku nampak ibu. Aku kesat lagi air mata.

"Pak Long tak boleh tengok muka aku, Ika!" Suaranya tegang. Mukanya keruh. Dia patah-patahnya jari-jari tangan satu persatu.

"Siapa kata nak jumpa ayah aku? Ayah aku sibuk. Aku suruh emak aku datang ke rumah nenek, bawa ibu kau sekali."

Aku kesat lagi air mata. Dalam dunia ini aku sahaja yang faham betapa terseksanya Kak Ika diberi Allah ujian dapat ayah macam Pak Long. Ya, benar kata Ustaz Naufal, Kak Ika juga bakal jadi bidadari, macam ibu, macam Mak Long.

"Tak boleh Ika. Tak boleh. Masalah dulu belum selesai, sekarang aku balik, bawa satu lagi masalah. Kau ingat ibu aku boleh terima?"

Dia nampak sungguh gelisah. "Hei mati aku Ika, mati aku!"

Hem, tahu pun dia sebut mati, aku ingat orang macam dia tak ingat mati! Mak hai, banyaknya dosa aku mengumpat Kak Zura. Hish, mana boleh tahan, dia lukakan hati ibu, dosanya lebih berganda-ganda daripada aku.

"Kenapa? Takut ayah aku marah?" Kak Ika pegang bahu Kak Zura dan memujuknya lagi. Kak Ika lembutkan suara. "Jehan saja yang boleh uruskan ayah aku. Dia tahulah nak buat apa. Yang penting kita balik, jumpa ibu kau." Kak Ika peluk bahunya.

"Masalah aku sekarang, lebih berat dari dulu Ika."

"Sebab itulah kita kena balik. Ibu kau tak sihat. Dia rindukan kau sangat. Dia ada anak lainkah, selain Farhan, kau dan Jehan?"

Kak Zura terdiam.

"Kau kenalah adil pada ibu kau, pada Jehan."

"Aku pun mahu jadi macam kau, Ika. Tapi nasib kita tak sama."

"Dah ada niat dalam hati, sangat baiklah tu. Kita balik ya?" Kak Ika terus memujuk.

"Kau mahu tolong aku atau tidak?"

"Kau nak aku berdosa? Biarkan kau macam ni?"

Dia mengeluh panjang. "Kau ingat aku tak sayangkan ibu? Tak sayangkan Jehan?" Suaranya lemah.

"Kau ingat aku tak ada perasaan? Kau ingat aku tak pernah rasa bersalah? Aku tahu, aku bukanlah kakak yang baik. Bukan juga anak yang baik. Aku malu pada ibu, malu pada Jehan."

Terbeliak mata aku mendengarnya. Sejuk rasa hati.

"Alhamdulillah. Kalau macam tu, kita balik ke Cheras dulu. Rehatkan diri dan buat keputusan nanti."

"Rumah kau?" Lama dia terdiam. "Aku risau sangat. Aku rasa macam nak mati. Aku sayangkan ibu, Ika. Aku sayangkan Jehan. Aku sayangkan kau, sayangkan nenek."

"Sayang?" Suara aku terpancut serentak dengan suara Kak Ika.

"Bukan niat aku nak lupakan ibu dan Jehan. Tapi aku terpaksa."

"Terpaksa? Tinggalkan mereka bertahun-tahun? Terpaksa lari dari mereka?"

Dia tidak menjawab.

"Kau ada berapa ibu dan berapa adik dalam dunia ini, Zura?"

Dia lekapkan kedua-dua belah tangan ke telinga. "Bukan aku tak sayang, tapi aku ada masalah. Aku ada masalah. Tolonglah Ika, jangan hukum aku."

"Besar manalah masalah kau, sampai tergamak lupakan ibu, lupakan adik sendiri.
Dia ibu kau, adik kau, harta kau dalam dunia ini. Berapa juta pun duit yang kau ada, kau tak boleh beli ibu, adik lain lagi. Itu darah daging kau. Hanya itu."
Tenang bila aku dengar suara Kak Ika sejuk dan damai macam air terjun. Itu hati aku? Hati dia?

"Kau faham perasaan aku kan?"

Aku menarik nafas, menahan marah mendengar suara Kak Zura yang tidak ada perasaan langsung itu.

"Aku juga faham hati dan perasaan ibu kau, adik kau."

Dia nampak begitu tertekan. Dia nampak begitu bersalah. "Aku nak betulkan keadaan, tetapi bukanlah mendadak. Beri aku peluang Ika, beri aku peluang. Aku akan selesaikan satu persatu. Berilah aku masa."

"Berjanjilah pada diri, yang kau benar-benar nak berubah."

"Jangan cakap macam tu Ika. Aku, tak berniat nak buat ibu aku risau. Tapi kau kena faham, aku ada masalah."

"Semua orang ada masalah."

"Kau kena percaya pada aku, Ika."

"Kau kena percaya pada diri kau sendiri dulu."

"Kenapa?"

"Kau buat ini semua untuk siapa?"

"Kenapa?"

"Jawab dulu soalan aku."

"Untuk diri aku sendiri."

"Buat kerana siapa?"

"Kerana aku tak mahu terus buat silap."

"Kerana siapa?"

"Kau cakap apa ni?"

Kak Ika tepuk bahu Kak Zura. "Kau dah nampak jalan kan?"

Kak Zura hanya mengeluh. "Aku nampak kau. Aku tahu, kau akan kata, aku hanya nampak kau bila ada masalah."

"Alhamdulillah."

"Alhamdulillah?"

"Alhamdulillah, kau tak buang aku."

Dia menggaru kepala, menggaru telinga dan patah-patahkan jari-jarinya lagi. Dia nampak sungguh gelisah. Gelisah sungguh!

"Syukurlah, kau pun faham hati dan perasaan orang lain."

Dia terdiam.

"Sebesar mana pun masalah, boleh kita selesaikan. Perasaan orang bukannya boleh dibeli dengan wang ringgit."

Dia masih tidak bersuara.

"Kau dah nampak apa yang patut kau nampak. California dunia serba mewah dan serba mencabar itu, tentu banyak mengajar kau?"

"Kau nak tolong aku atau tidak?"

"Eh, tadi beria-ia kau berjanji nak berubah? Sekarang dah berubah balik?"

Dia memandang Kak Ika tajam. Nafasnya semakin huru-hara.

"Itu kata hati kau kan?"

"Memang aku nak berubah. Memang aku nak buang perangai buruk aku. Aku kena berubah. Tapi masalahnya, aku pantang kena tegur, mula nak melenting. Itulah masalah aku. Masalah besar yang bertenggek atas kepala aku."

"Bukan masalah. Jangan namakannya masalah."

Dia semakin tertekan. "Masalah besar."

"Itu cabaran dan ujian namanya. Buang negatif fikiran cajkan positifnya. Kau cakaplah sejujurnya, siapa yang ada dalam hati kau sekarang?"

"Kenapa?" Dia jadi bingung. Nampak keliru.

"Ada sesiapa dalam hati kau sekarang?"

Dia membuang nafas. "Ok, jangan serabutkan lagi kepala otak aku. Kau nak suruh aku buat apa sekarang?'

"Kau nak buat apa?"

"Aku ke rumah kau, jumpa Jehan. Aku nak selesaikan semua."

Kak Ika tersenyum senang. Tersenyum syukur. "Alhamdulillah, ada Jehan. Betul?"

"Kau tanya apa ni?"

"Dalam hati kau ada Jehan?"

Entah mengapa, aku rasa berdebar satu macam.

"Kau ingat aku apa?" Dia mula nak marah.

"Alhamdulillah. Dia rindukan kau sangat-sangat. Dia nak jumpa kau sangat-sangat."

"Tapi bukan di kampung." Dia memberi amaran.

Kak Ika pujuk lagi. "Yang penting kau mesti jumpa ibu kau."

"Kau jangan paksa aku balik kampung." Dia mengugut lagi.

Kak Ika mengaku kalah. "Tak apa. Aku balik kampung hari ini, ambil ibu kau. Esok semua selesai."

Dia jadi gelisah semula. Di matanya aku nampak hati bersalahnya yang ingin minta diampunkan segala silap dan salahnya selama ini. Aku nampak bungkahan batu di hatinya, sudah mula ditarah dan tidak bertimbun seperti dulu. Hati itu nampak sudah mula terbuka untuk mendengar kata-kata dari Kak Ika. Aku mengucap syukur dalam hati.

"Tapi kita berbincang dulu. Aku nak tinggal di rumah kau dulu."

"Dalam hati kau ada dia?"

"Siapa?"

"Ibu kau?"

"Beri aku masa. Aku memang nak jumpa dia."

"Dia rindu sangat nak jumpa kau. Turunkan sikit ego kau, tak rugi kan?"

"Aku belum bersedia."

"Pernah kau tanya semasa ibu kau mula mengandung dan ketika dia melahirkan kau, dia dah bersedia atau belum?"

"Kau tak faham masalah aku!" Dia membentak semula. Bungkahan batu yang mula ditarah terlihat menonjol kembali dalam hati sanubarinya.

"Kau faham perasaan ibu kau?"

"Aku tak mahu dia terseksa."

"Jangan biarkan dia terlalu lama terseksa, Zura. Kasihan dia. Kita balik ya? Kita bincang baik-baik di rumah nenek. Selagi kita tak berkumpul, selagi itu, perkara ini tak akan selesai."

"Jangan macam tu Ika, kau kena tahu perasaan aku dulu."

"Kau rasa semua orang marahkan kau? Semua orang tak mahu maafkan kau?"

Dia terdiam.

"Belajarlah ambil tahu perasaan orang, Zura. Nenek, ibu kau, Jehan, emak aku dan aku tak pernah berubah. Kami semua sayangkan kau."

"Aku tahu, perangai aku memang buruk. Tapi itu dulu. Itu dulu. Berilah aku peluang betulkan kesilapan."

"Kita raikan kegembiraan ini bersama-sama orang yang sangat-sangat harapkan kau akan berubah."

"Tapi aku belum bersedia nak jumpa semua orang." Suaranya jadi sebak.

"Setibanya kau di bumi Malaysia ini, maknanya, kau dah bersedia."

Fon tangan aku berbunyi. Aku harapkan Olin. Tetapi aku jadi terkejut.

Kak Ika? Cepat-cepat aku hantar mesej, beritahu dia, aku akan balik bersama Olin. Aku nampak kereta Kak Ika berlalu.

Aku nampak wajah ibu. Aku terdengar-dengar suara takbir. Aku menangis tersedu-sedu. Lima tahun lagi agaknya ibu, Kak Zura akan peluk dan cium tangan ibu di pagi raya. Maafkan Jehan ibu, hati Kak Zura masih sebungkah batu, apa lagi yang Jehan boleh buat, ibu!

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved