Selasa, 30 Ogos 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Serlah kotak eksklusif

Posted: 30 Aug 2011 08:55 AM PDT

MENGHADIRI rumah terbuka atau kunjungan ke rumah saudara-mara akan lebih bererti sekiranya anda membawa buah tangan bersama.

Antara yang boleh disediakan ialah kuih raya, rendang atau ketupat yang dimasukkan di dalam bekas untuk diberikan kepada tuan rumah. Juadah ini biasanya dibalas dengan kiriman yang sama sebagai tanda terima kasih atas kehadiran yang sangat bererti.

Supaya cenderahati tampil menawan anda boleh menghias ringkas dengan meletakkan reben atau sekuntum bunga di atasnya.

Menurut Amilita Zaini yang berpengalaman menjalankan perniagaan penghantaran cenderahati sejak tujuh tahun lalu, untuk hari raya pemberian kuih raya yang dihias indah akan menjadi kenangan berharga kepada penerima. Apatah lagi sekiranya cenderahati itu dihias sendiri.


"Untuk cenderahati raya, biasanya saya meletakkan dua jenis biskut di dalam kotak bersama makanan tradisi seperti dodol. Bagi menyerikan hiasan, reben diikat pada kotak bersama sekuntum bunga," katanya.


Pemilihan untuk reben dan bunga bergantung kepada kreativiti masing-masing. Namun, Amilita lebih selesa menggunakan reben sedondon warna kotak supaya lebih menyerlah.

"Untuk menghasilkan cenderahati yang menarik, selain gabungan warna, jenis bahan juga sangat penting. Untuk tampil eksklusif anda boleh menggunakan kotak atau bakul bersesuaian dengan jenis barang," jelasnya.

Amilita yang menjalankan perniagaan cenderahati menerusi dalam talian www.azgiftbaskets.com.my bukan saja membuat penghantaran untuk musim perayaan,
tetapi juga untuk acara keraian seperti hari jadi, kelahiran bayi dan barang-barang spa. Malah, Amilita juga mengambil tempahan hantaran menggunakan bunga segar.

Pelanggan boleh membuat pilihan dengan melihat laman web kemudian menjelaskan bayaran sebelum barang dihantar ke alamat penerima yang mengambil masa dua hari untuk sampai.

Menurut Amilita, idea untuk menjalankan perniagaan ini bermula sekadar hobi menghias sendiri barang untuk rakan dan saudara-mara. Apabila semakin ramai menggemari rekaannya, ini menambah keyakinan Amilita untuk mengambil tempahan orang ramai. Antara gubahan yang mendapat perhatian ialah My Baby Boy, Serai Wangi dan terkini Bunga Kantan.

Sempena Aidilfitri ini, Amilita menunjukkan langkah demi langkah menghias cenderahati kuih raya untuk menghadiri rumah terbuka.

Reda besar 2 anak OKU

Posted: 30 Aug 2011 05:49 AM PDT

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bagi Roslina Abdul Malek, 46, dan suami, Ahmad Radzi Mat Said, 50, memiliki anak di kalangan orang kelainan upaya (OKU) bukan sesuatu yang memalukan atau menyusahkan.

Meskipun hanya bergantung kepada pendapatan yang tidak seberapa, pasangan itu cekal membesarkan dua daripada tiga anak mereka yang cacat dan kelainan upaya berbanding insan lain.

Menurut Roslina, anak sulungnya, Mohamad Hafizil Akram, dilahirkan normal seperti bayi lain.


Namun, siapa sangka demam panas yang dialami secara tiba-tiba ketika usianya baru mencecah tujuh hari membuatkan seluruh hidup Mohamad Hafizil kini terpaksa bergantung kepada orang tuanya.


Anak sulung pasangan itu mengalami serangan sawan dan menyebabkan perkembangan dirinya terbantut.

Sejak itu, keadaan Mohamad Hafizil tidak seperti insan normal lain dan kini, pada usia 24 tahun, dia hanya mampu merangkak dan berbicara dengan butir kata-kata yang tidak berapa jelas.

"Semangat kami sekeluarga sekali lagi diuji selepas anak kedua, Mohamad Muazan, juga mengalami masalah yang sama.

"Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan menganggap semua ini adalah ujian daripada-Nya.

"Mereka adalah amanah perlu dijaga, dididik dan diasuh dengan penuh kasih sayang kerana siapa tahu mungkin ada rahmat tersembunyi di sebalik semua ini," katanya yang kini menetap di Anjung Bemban Maju, Batu Gajah, Perak.

Roslina berkata, keadaan anak keduanya lebih teruk berbanding Mohamad Hafizil kerana tidak dapat bercakap dan hanya mampu mengengsot untuk bergerak.

Keadaan dua anaknya itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja tetap untuk membantu suaminya menambah pendapatan keluarga.

Roslina dan suaminya yang juga bekas pesara polis perlu bergilir-gilir menguruskan dua anaknya kerana dia perlu menyiapkan makanan seperti nasi lemak serta kuih-muih bagi dijual di gerai berhampiran rumah mereka.

Kata Roslina, pendapatan daripada jualan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban suaminya untuk menyara keluarga.

"Pendapatan suami saya sebagai pesara polis memang tidak mencukupi untuk menyara kami sekeluarga termasuk anak bongsu yang kini berada di tahun lima, Sekolah Kebangsaan Pusing, Batu Gajah.

"Oleh sebab itu, saya menggagahkan diri untuk berniaga nasi lemak setiap pagi di tepi jalan walaupun ada ketikanya terpaksa membawa Mohamad Hafizil bersama dan meninggalkan Mohamad Muazan sendirian di rumah," katanya.

Menurut Roslina, anak sulungnya tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi seperti anak keduanya kerana boleh mengambil makanan seperti orang biasa.

Mohamad Muazan pula hanya boleh mengambil bijirin beras dan susu khas yang berharga puluhan ringgit setin termasuk perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

"Dia (Mohamad Muazan) menggunakan lima keping lampin pakai buang sehari dan harga sekeping lampin itu bukannya murah.

"Setiap bulan, kami memperuntukkan kira-kira RM600 untuk keperluan Mohamad Hafizil dan Mohamad Muazan termasuk kos perubatannya.

"Jumlah itu memang besar bagi kami yang masih mempunyai anak yang bersekolah dan membayar ansuran rumah setiap bulan," katanya.

Bagaimanapun, Roslina mengakui dia dan suami bersyukur dengan anugerah istimewa itu dan mahu membesarkan mereka dengan sebaik mungkin.

"Sebagai ibu bapa, saya dan suami sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk Mohamad Hafizil dan Mohamad Muazan walaupun menyedari kekurangan yang ada pada diri mereka.

"Kami tidak pernah membezakan mereka dengan adiknya yang normal, malah tidak pernah berasa malu membawa mereka bersiar-siar di luar rumah jika berkesempatan.

"Saya dan suami akan pastikan mereka mendapat yang terbaik meskipun terpaksa mengerah keringat yang ada," katanya.

Bagi yang mahu meringankan beban keluarga ini, sumbangan boleh dihulurkan ke akaun Bank Islam 08086020159343 (Roslina Abdul Malek).

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved