Rabu, 31 Ogos 2011

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bangga sebagai Anak Malaysia

Posted: 30 Aug 2011 05:34 AM PDT

TATKALA mereka yang ber agama Islam menyambut Syawal dengan penuh gembira, tidak dilupakan hari ini juga kita menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-54. Sambutan kemerdekaan tahun ini diraikan serentak dengan Hari Malaysia pada 16 September.

Berpuasa sepanjang Ogos, bukan penghalang untuk kita merasai kehangatan kemerdekaan. Jika bukan kerana pemimpin sebelum ini bekerja keras untuk membebaskan negara kita dari penjajah, sudah pasti kita tidak dapat menikmati apa yang sudah kita kecapi pada masa kini. Sambutan hari raya juga mungkin langsung tidak disambut atau tidak semeriah seperti yang kita lihat sekarang ini.

Tiga selebriti yang digandingkan bersama masing-masing mempunyai pengertian tersendiri mengenai makna kemerdekaan yang dikecapi. Jaclyn Victor, Black dan Wilson Tan tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan bersama kerana mereka sama-sama mempercayai pada satu perkara iaitu cintakan pada negara yang berbilang kaum.

Walaupun Black dan Jaclyn pertama kali digandingkan dengan Wilson, suasana sesi fotografi yang berjalan penuh dengan gelak ketawa apatah lagi dengan telatah Black yang suka menyakat dan sering membuat lawak.


Wilson, jejaka berkulit cerah ini mungkin kurang mendapat perhatian masyarakat Malaysia kerana kerjayanya sebagai model. Dia jarang sekali muncul dalam acara-acara berbentuk hiburan tetapi sering menghiasi dada majalah terutama sekali yang berkaitan dengan fesyen termasuk di luar negara.


Pernah bergandingan dengan model wanita hebat, Amber Chia, Wilson tidak mahu mensia-siakan kesempatan yang diberikan kepadanya dan ingin membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Wilson ingin membuktikan lelaki Malaysia juga setanding dengan supermodel antarabangsa. Lagaknya apabila menggayakan busana di pentas berlainan daripada supermodel lain. Caranya berjalan sehinggalah eksperasi wajah yang ditunjukkan menjadikan namanya sering diingati kerana memaparkan kelainan.

Wajahnya yang seakan-akan lelaki Eropah memudahkan dia menembusi pasaran luar negara apatah lagi selepas dia memenangi Model Terbaik ketika Festival Fesyen Asia yang keenam di Seoul, Korea awal tahun ini. Turut berlakon dalam drama bersiri Cina, Wilson sangat bersyukur dengan apa yang dikecapinya.

"Saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana dianugerahkan wajah dan ketinggian seperti ini. Saya mempunyai matlamat dalam industri ini kerana hakikatnya apabila saya keluar negara, mereka sering bertanya asal usul saya.

"Tidak dinafikan saya sedikit kecewa apabila saya terangkan saya berasal dari Malaysia dan mereka bertanya 'Malaysia?'. Saya ingin menembusi industri ini di Eropah seperti Paris untuk membuka mata masyarakat di luar sana," katanya.

Tidak pernah menyambut hari kemerdekaan, Wilson berharap dia mempunyai peluang untuk merasai sendiri kehangatan sambutan hari bermakna itu bersama-sama dengan ribuan penduduk Malaysia.

Berbicara mengenai semangat cintakan pada negara, Wilson berpendapat mengibarkan bendera ketika bulan kemerdekaan bukan satu-satunya cara menunjukkan kecintaan kepada negara.

"Ada banyak cara untuk kita tunjukkan semangat itu. Bagi saya sendiri, sudah menjadi rutin hidup sering ke luar negara atas tuntutan kerja, tetapi sekiranya ada sesiapa yang memerlukan kepakaran saya sebagai model di Malaysia, tanpa berfikir panjang saya akan menempah tiket untuk pulang ke tanah air.

"Saya berasal dari Grik, sebuah perkampungan kecil yang belum membangun, tetapi saya tidak segan untuk mengaku siapa saya. Setinggi manapun kejayaan yang kita kecapi, jati diri tidak harus dilupakan kerana ia adalah salah satu perkara yang membentuk siapa diri kita," katanya.

Segak menyarungkan baju Melayu berwarna biru, Black berkata, kebebasan yang dirasai sekarang harus dijaga bagi memastikan keharmonian negara terjaga kerana negara kita yang berbilang kaum dan jika tidak berhati-hati keadaan itu akan dijadikan senjata orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

"Tanpa kita sedari, sebenarnya kita sedang cuba dijajah dari segi fizikal dan mental kita melalui kecanggihan teknologi. Lihat saja internet yang sering digunakan dalam hidup kita. Jika tidak berhati-hati, sumber yang kita dapat dari Internet mungkin akan mengganggu kelancaran sistem di Malaysia, seterusnya mungkin akan mencetuskan pergaduhan.

"Kemerdekaan bukan hanya bererti negara bebas dari jajahan penjajah tetapi ia juga bermakna kita bebas dari pengaruh anasir luar dan sentiasa memupuk semangat cintakan negara.

"Sebagai anak Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab setiap insan mempertahankan keamanan yang sudah dicapai oleh negara kita. Saya sebagai seorang penyanyi juga masih berjuang, berjuang untuk membawa Malaysia ke peringkat antarabangsa," kata pelantun lagu Sofia Jane itu.

Katanya lagi, kerana terlalu cintakan negara dia sanggup turun ke medan perang sekiranya tenaganya diperlukan untuk mempertahankan negara. Bagaimanapun, Black mendoakan kesejahteraan Malaysia agar menjadi tempat yang selamat untuk generasi baru.

Pemenang Malaysian Idol, Jaclyn pula berkata, sudah tiba masanya anak-anak kecil diterapkan dengan unsur-unsur kemerdekaan dan bukan hanya bergembira kerana mereka tidak perlu ke sekolah pada Hari Kemerdekaan.

"Zaman sudah berubah. Ketika masih kecil, apa yang saya tahu pada hari kemerdekaan, saya tidak perlu bersekolah. Duduk di rumah dan menonton televisyen, melihat perarakan di siaran langsung dari Dataran Merdeka.

"Tetapi kanak-kanak pada zaman ini semakin bijak. Tentu ada cara untuk menerapkan semangat cintakan negara dalam jiwa mereka. Jangan sampai kerana keselesaan hidup di negara ini, mereka lupa perjuangan orang-orang yang bertanggungjawab membebaskan negara kita," katanya.

Wilson, Black dan Jaclyn bersyukur dilahirkan sebagai anak Malaysia dan tidak pernah malu bercerita mengenai latar belakang masing-masing kerana mereka sama-sama penyumbang kepada tunggak keamanan negara.

Bunohan wakil Malaysia

Posted: 30 Aug 2011 05:15 AM PDT

FILEM aksi drama Bunohan masih menanti tayangan kepada penonton tempatan, tetapi ia bakal disaksikan terlebih dulu masyarakat antarabangsa apabila dipilih untuk tayangan di Festival Filem Antarabangsa Toronto ke-36 (TIFF) yang berlangsung pada 8 hingga 18 September ini.

Pemilihan filem ditulis dan diarahkan Dain Said serta diterbitkan Nandita Solomon dengan kerjasama Tim Kwok dari Entertainment Convergence ini dipilih secara rasmi untuk tayangan perdana di festival itu melalui seksyen Discovery yang memaparkan filem daripada pembikin meningkat naik dari seluruh dunia.

Difahamkan, Pengurus Program TIFF, Giovanna Fulvi melihat Bunohan sebagai karya yang punya tarikan tersendiri dan percaya filem berkenaan menjadi antara taruhan terbaik pengarah itu.

"Sekali pandang, ia realistik dan bergaya. Filem yang mempunyai kuasanya tersendiri. Arahan Said yang mantap, menjamin persembahan yang kuat daripada barisan pelakonnya, yang hampir keseluruhannya lelaki.


"Boleh dikatakan filem ini mempunyai tarikan tersendiri dengan aksi dan garapan yang diketengahkan," katanya.


Festival yang paling berprestij di Amerika Utara itu menyaksikan Bunohan menjadi satu-satunya filem mewakili Malaysia pada tahun ini.

Tidak cukup dengan berita gembira itu, Bunohan sekali lagi membawa berita baik buat Dain Said apabila berjaya mendapat pengedaran antarabangsa bersama Universal Pictures untuk pasaran United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Pembikin filem, Dain Said yang kini berada di Bangkok bagi menyiapkan filemnya untuk dihantar ke Toronto mengakui cukup gembira dengan dua berita gembira itu.

Katanya, ia menunjukkan langkah positif buat filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

"Pastinya ini berita gembira buat saya dan juga semua pihak yang menjayakan filem ini. Saya benar-benar tidak mengharapkan apa-apa, tetapi sekarang ia terjadi. Apa yang boleh saya katakan, saya berasa teruja, terutama untuk semua tenaga produksi dan pelakon yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan filem ini.

"Saya berharap usaha ini akan berterusan pada masa depan dan peminat filem aksi dapat menerima karya ini," katanya.

Bunohan yang dihasilkan syarikat perfileman Apparat yang dimiliki Dain, diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films. Ia berkisar kepada kisah tragik kasih sayang antara tiga beradik dan bapanya yang kian uzur.

Kisah pergelutan mereka untuk merapatkan ikatan kekeluargaan dan restu, beransur ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan.

Jauh di kampung pedalaman bahagian selatan Thailand, berdekatan sempadan Malaysia, Bunga Lalang atau Adil lakonan Zahiril Adzim mengambil bahagian dalam pertandingan tinju Tomoi yang membabitkan pertaruhan wang, maruah dan nyawa.
Sahabat lama Adil, sempat menyelamatkannya dari pinggir maut, mengubahkan mereka menjadi pelarian penganjur tinju haram itu.

Ilham (Faizal Hussein), pembunuh upahan dihantar untuk memburu dua sahabat itu berada dalam perjalanan pulang ke Kampung Bunohan, kampung halaman Ilham yang sudah lama ditinggalkan. Ilham tidak pernah pulang walaupun ketika ibunya berada di anjung nyawa.

Pada masa sama, Bakar (Pekin Ibrahim), abang sulung Adil juga pulang ke Kampung Bunohan kononnya untuk menjaga bapa mereka yang uzur. Perwatakan solehnya tersembunyi niat buruk seorang usahawan bercita-cita tinggi.

Bakar seorang yang berhati kejam sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi kehendaknya. Sekembali mereka bertiga ke kampung halaman di mana takdir mereka menunggu.

Dalam bayangan kegelapan diri masing-masing, timbul memori silam yang dipenuhi keinginan, penghukuman dan perasaan kehilangan. Dalam Bunohan, di sinilah bermulanya segala keperitan.

Filem ini turut dibintangi pelakon Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan, Amerul Affendi, Hushairy Hussein dan Jimmy Lor selain penampilan khas model tinggi lampai, Tengku Azura dan pengarah indie, Ho Yuhang.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved