Ahad, 7 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pengawal curiga bongkar jenayah

Posted: 06 Aug 2011 08:45 AM PDT

IPOH: "Saya tak kenal perempuan ini... dia sakit, saya mahu hantar dia ke hospital." Itu reaksi spontan seorang daripada suspek dipercayai terbabit dalam kes bunuh Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, Khamis lalu.

Seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Bukhari, 62, berkata lelaki terbabit yang juga jiran kepada mangsa mengatakan demikian selepas dia menghampirinya kerana curiga melihat suspek memikul cadar pada awal pagi.


"Saya bersama seorang rakan setugas baru melangkah dua anak tangga dan belum sempat kami bertanya, dia terus memberitahu dia tidak mengenali perempuan ini.

"Ketika itu baru saya perasan kaki manusia terjulur keluar daripada hujung cadar dalam keadaan terikat dan melihat kami semakin mendekatinya, lelaki terbabit terus meletakkan cadar berkenaan ke lantai tangga," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Bukhari adalah individu penting dalam membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan Rohani yang mati dicekik di rumahnya di unit F-1-09, Pangsapuri Permai Lake View, Tambun, dekat sini, hingga tertangkapnya empat suspek, termasuk lelaki yang memikul cadar berisi mayat mangsa, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.


Malah, sikap bertanggungjawab Bukhari yang hampir lima tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri itu menyiasat gelagat mencurigakan berhampiran kediaman mangsa berjaya menghalang niat jahat suspek yang dipercayai cuba membawa keluar mayat untuk dibuang di tempat lain.

"Saya melakukan rondaan rutin sekitar kawasan pangsapuri yang mempunyai sembilan blok ini apabila melihat kelibat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan mundar-mandir di depan kawasan tangga Blok F berhampiran kediaman mangsa seperti memerhatikan sesuatu, jam 3.30 pagi.


"Saya memerhatikan tindak-tanduk lelaki terbabit dengan berselindung di sebalik sebuah kenderaan dan ketika itu juga saya menyedari dua lelaki dalam sebuah kereta Perodua Kancil yang dihidupkan enjin tetapi lampu ditutup parkir bersebelahan kereta mangsa," katanya.

Bukhari berkata, ketika itu dia terlihat kelibat seorang lagi lelaki memikul cadar berkenaan dan selepas lelaki itu memberi penjelasan pelik serta melihat kaki manusia terjulur, hatinya semakin berdebar-debar.


"Suspek kelihatan gelisah dan tidak semena-mena dia memberitahu pula mangsa sakit dan mahu menghantarnya ke hospital, sedangkan sebelum itu mengatakan tidak mengenalinya.


"Sebaik saya bertanya kenapa kaki dan tangan mangsa terikat, dia terus melarikan diri ke tingkat atas dan pada masa sama, tiga lagi lelaki yang dilihat sebelum itu, turut cabut dengan menaiki kereta," katanya.


Bukhari berkata, dia memberanikan diri membuka cadar untuk melihat keadaan mangsa dan mengucap panjang apabila mendapati mulut mangsa ditutup dengan pita pelekat serta mukanya lebam kebiruan.


Menurutnya, dia memaklumkan kejadian kepada ketua pengawal yang menghubungi polis. Keterangan Bukhari berjaya membantu polis menangkap dua suspek dalam tempoh kurang dua jam selepas kejadian di kawasan berhampiran diikuti penahanan dua lagi suspek pada hari sama.


"Saya masih terbayangkan keadaan muka mangsa ketika menyelak cadar itu dan sedih mengenangkan nasibnya diperlakukan sedemikian rupa.


"Saya mengenali keempat-empat lelaki yang saya lihat pada hari kejadian kerana mereka adalah jiran yang tinggal berdekatan rumah mangsa.


"Apapun, saya menyerahkan segala-galanya kepada polis untuk melakukan siasatan rapi dan mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, siasatan lanjut masih dijalankan tetapi pihaknya yakin kes dapat diselesaikan dengan tertangkapnya empat suspek terbabit.


"Tangkapan pertama dibuat terhadap dua lelaki masing-masing berumur 26 tahun di sekitar kawasan kejadian pada jam 4 pagi. Dua lagi suspek masing-masing berusia 20 dan 22 tahun berjaya ditahan di Tanjung Malim pada jam 4.30 petang dan di Slim River jam 10.25 malam hari sama.


"Polis percaya seorang daripada suspek mungkin terbabit dalam kes pecah rumah mangsa pada 14 Julai lalu berdasarkan penemuan barang kemas mangsa. Siasatan lanjut akan dijalankan dan punca kematian masih disiasat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Mayat dikerat rakyat asing

Posted: 06 Aug 2011 08:22 AM PDT

AMPANG: Mayat seorang wanita yang dikerat beberapa bahagian dalam sebuah pangsapuri terbiar di Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, adalah warga asing.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya mengenal pasti mangsa adalah warga asing selepas cap jari mayat dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Bagaimanapun, pihaknya belum dapat menentukan identiti mayat kanak-kanak lelaki yang turut dijumpai dan kaitannya dengan wanita berkenaan kerana laporan DNA belum siap.

"Kami juga menahan beberapa orang untuk siasatan tetapi belum dapat dikenal pasti sama ada mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya, di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan di tempat kejadian bagi mengesan bukti lain yang boleh membantu siasatan.


Khamis lalu, Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di sebuah unit pangsapuri tanpa penghuni di tingkat lima apartmen sejak Sabtu minggu lalu terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas unit itu.

Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik di atas siling tandas dan beberapa tempat dalam rumah berkenaan. Dipercayai mangsa dibunuh kurang seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat lebih 15 bahagian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved