Khamis, 22 September 2011

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Samurai tepati ramalan

Posted: 21 Sep 2011 08:29 AM PDT

KETUA jurulatih, Ong Kim Swee akur dengan kehebatan Jepun yang menguasai setiap babak perlawanan sehingga sukar buat skuad Olimpik negara untuk bangkit menentang sehingga tewas 0-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012, semalam.

Sekalipun tidak gembira dengan apa yang disaksikannya, beliau lega apabila pintu gol Malaysia hanya bolos dua gol.


Katanya pujian harus diberikan kepada ketangkasan kapten yang juga penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Dia bukan saja menafikan banyak percubaan berbahaya tuan rumah, tetapi bijak menyusun semula rakan di benteng pertahanan agar tidak goyah apabila kerap diasak. "Tidak dinafikan Khairul Fahmi memastikan keputusan perlawanan ini kekal 2-0 sehingga tamat," katanya.


Ditanya apakah sebenarnya yang berlaku ke atas persembahan pasukan yang tidak bermain seperti kebiasaan, Kim Swee memberikan alasan bahawa menentang pasukan sehebat Jepun bukan mudah.


Andai pasukan hilang konsentrasi dan fokus permainan, mereka akan dihukum.

"Inilah yang berlaku seperti apa yang anda saksikan. Malahan pemain langsung tidak dapat bergerak apabila pemain Jepun pantas mengawal kawasan serta mengecilkan kebebasan untuk bergerak.


"Malah mereka tidak langsung membenarkan kita kembali menyusun pergerakan dengan melancarkan asakan dari segenap penjuru padang," katanya.

Apapun Kim Swee percaya bahawa perlawanan pembukaan kebiasaannya tidak menjadi seperti yang diharapkan.


Jepun memang berhajat meraih kemenangan besar tetapi cuma menjaringkan satu gol pada setiap babak.


"Bagi kami pula, perlawanan ini yang semestinya cukup penting untuk kita mengutip mata, mungkin memberi sedikit tekanan untuk pemain memberikan yang terbaik.


"Terus terang saya memuji komitmen ditunjukkan setiap pemain. Memang bukan mudah menentang Jepun dan keputusan malam ini tidak begitu melukakan," katanya.

‘Bukan salah saya seorang’

Posted: 21 Sep 2011 08:24 AM PDT

PUNCA kemerosotan prestasi dialami gergasi Lembah Klang, Selangor musim ini tidak boleh diletakkan ke atas bahu jurulatih semata-mata.

Walaupun tampil bertanggungjawab berikutan situasi itu, bekas ketua jurulatih Merah Kuning, K Devan menegaskan ia tidak bermakna semua faktor yang hampir menyebabkan Selangor menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi berpunca daripada dirinya.


"Saya memang bertanggungjawab namun ia tidak bermakna saya bersalah 100 peratus. Terdapat faktor lain yang menyumbang kepada perkara ini," katanya Bekas pengendali berusia 50 tahun itu mengaku antara faktornya adalah kehilangan penyerang utamanya, Mohd Safee Sali yang berhijrah ke Pelita Jaya FC pada awal saingan Liga Malaysia 2011 selain masalah kecederaan tonggak utama yang sering kali membelenggu pasukannya musim ini.

Pandangan Devan itu ada kebenarannya apabila penyerang lain yang dimiliki Selangor gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu sehingga terpaksa menggunakan dua pemain tengah di jentera serangan dalam aksi pembukaan Piala Malaysia awal bulan ini.


"Tindakan penonton Selangor yang membawa sepanduk mendesak saya meletakkan jawatan ketika tewas 2-1 kepada T-Team (Sabtu lalu) membuatkan saya terfikir untuk berundur. Mereka seolah-olah tidak mengenang jasa saya membawa lima piala kepada Selangor sejak 2009," katanya yang meraih Liga Super (2009 dan 2010), Piala FA (2009) dan Piala Sultan Ahmad Shah (2009 dan 2010).


Beliau bagaimanapun mengaku kekalahan besar kepada Kelantan (5-1) pada separuh akhir Piala FA pertama adalah titik tolak kepada kemerosotan pasukan Merah Kuning walaupun dibarisi sejumlah pemain berkualiti.

"Selepas tewas perlawanan itu, moral, semangat, motivasi dan semangat satu pasukan sudah merosot dan saya gagal kembalikan semula empat perkara ini dalam diri pemain. Namun saya tidak salahkan pemain, mungkin nasib tidak menyebelahi kita kali ini," katanya.


Mengenai tindakan FAS menamakan bekas penolongnya, P Maniam sebagai pengganti bagi meneruskan cabaran mengharungi Piala Malaysia yang sedang berlangsung, Devan berkata pihak pengurusan mempunyai keyakinan dan mereka lebih bijak dalam memilih siapa pengganti dirinya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved