Jumaat, 16 September 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Rekaan sesuai bentuk tubuh raja sehari

Posted: 16 Sep 2011 09:09 AM PDT

MENZAHIRKAN lakaran di atas kertas tidak sama dengan sepasang fabrik yang lembut dan cantik. Biarpun nampak mudah tetapi ilham yang diperoleh harus sesuai dengan peribadi empunya tubuh agar pakaian yang direka tidak nampak cacat celanya, malah beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Berpegang pada prinsip itu, bagi pereka muda Arma Abdul Rahman, biarpun dia lebih menjiwai rekaan perkahwinan Adi Busana, namun dalam konteks atau realiti sebenar, pakaian yang terlalu avant-garde bukanlah menjadi impian mempelai, sebaliknya hanya sesuai untuk acara karpet merah saja.

Lantaran itu daripada idea kreatif dan berseni, dia menghasilkan rekaan berkonsepkan kontemporari dengan mengekalkan unsur feminin sesuai dengan cita rasa wanita timur yang inginkan kesopanan dan kelembutan dalam majlis perkahwinan.

Menurut Arma, walaupun wanita masa kini tampak moden, namun untuk majlis perkahwinan mereka tetap memilih pakaian yang mampu mengekalkan ciri kewanitaan, lembut dan menyerlah daripada segi rekaannya.


"Ini dapat dilihat pada sepasang baju yang mempunyai alunan menarik dan terletak cantik pada tubuh si pemakai. Malah, saya akan pastikan setiap rekaan juga sesuai untuk wanita bertudung. Justeru, ia tidak ketat, jarang dan menutup aurat. Lebih penting, perhiasan digunakan tidak terlalu mewah, bersih dan sederhana," katanya.


Arma yang berpengalaman menghasilkan rekaan perkahwinan selebriti seperti Mawi, Elyana dan Aida Gadis Melayu mengakui, walaupun dia menyediakan pakaian daripada rona terang seperti merah, kuning dan biru, warna pastel tetap menjadi pujaan dan gaya masa kini.

"Selain warna terang, rona perak, emas, coklat, kelabu, krim dan hitam bukan saja menjadi pilihan mempelai pada tahun ini tetapi menjelang 2012 nanti," jelasnya yang menggunakan satu ton warna kerana lebih eksklusif dan mewah berbanding fabrik dua warna.

Bagi menyerlahkan lagi penampilan, jika dulu dia sering menurut cita rasa pelanggan tetapi kini Arma lebih banyak memberikan pendapat mengenai rekaan yang sesuai dengan bentuk tubuh mempelai supaya hasilnya lebih anggun dan menawan.

"Kebanyakan pelanggan hanya tahu apa yang mereka mahukan tetapi mereka kurang arif mengenai rekaan dan konsep yang sesuai dengan bentuk tubuh mereka. Dalam hal ini saya banyak berbincang dan memberikan pendapat supaya apa yang dihasilkan bukan saja mampu menyerlahkan penampilan pada hari bahagia malah
turut memberi informasi mengenai fesyen dan gaya masa kini.

"Misalnya pengantin tinggi lampai sesuai dengan rekaan gaun ala empayar kerana akan menonjolkan keistimewaan mereka. Malah, saya banyak menghasilkan rekaan berbentuk gaun kerana lebih anggun dan nampak feminin untuk mempelai," katanya.

Selain menyediakan rekaan pakaian mempelai, Arma Abdul Rahman Wedding Couture
turut menyediakan perkhidmatan solekan pengantin, pelamin dan hantaran perkahwinan. Mempunyai Ijazah Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Arma mengakui bakat dalam bidang andaman bermula apabila dia diberi tanggungjawab membuat hiasan bilik tidur, hantaran dan cenderahati perkahwinan kakaknya yang diadakan di Cheras, Kuala Lumpur.

Dari situ, minat dalam bidang rekaan pakaian pengantin bermula dan dia terus menghasilkan rekaan untuk keluarga terdekat sebelum diperluaskan kepada rakan dan jiran tetangga.

Sehingga kini, Arma tampil eksklusif dengan pelbagai rekaan pakaian yang menjadi pilihan wanita bertudung. Keistimewaan pakaian pengantin yang dihasilkan terletak pada perincian manik sederhana namun memukau menerusi pemilihan padanan warna sesuai fabrik.

"Untuk majlis raja sehari, mempelai akan tampil lebih anggun dan menyerlah bukan saja menerusi padanan pakaian yang mampu menonjolkan keistimewaan bentuk tubuh tetapi juga akan memancarkan keserian wajah.

"Bagi wanita bertudung, keserasian di antara pakaian dan tudung sangat penting supaya kedua-duanya setanding dan seimbang," ujarnya.

Pusat sehenti seni warisan

Posted: 16 Sep 2011 05:56 AM PDT

SENI kraf mula berkembang di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak pada abad ke-19. Tukang kraf ketika itu bernaung di bawah pengaruh istana dan pembesar negeri, menjadikan seni kraf tempatan tidak berkembang dan digunakan sebagai kegunaan istana semata-mata.

Menurut laman web Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, pada 1930 sekumpulan pegawai awam Melayu dan Inggeris menubuhkan Persatuan Kesenian dan Pertukangan Melayu Kelantan.

Justeru, buat pertama kali, hasil kraf negara dipasarkan di bandar dan Singapura. Inilah bermulanya detik perkembangan seni kraf tempatan.

Jika berpandukan pada sejarah memang indah ceritanya. Namun, berapa ramai antara kita yang menghargai hasil bahan buatan tangan warisan budaya itu supaya diangkat martabatnya agar tidak hilang ditelan zaman?


Menyedari hakikat itu, pelbagai usaha dilakukan Karyaneka bagi memartabatkan hasil kraftangan agar ia terus kekal dan dikenali generasi akan datang.


Baru-baru ini, satu lagi stor menjual dan menempatkan pelbagai barangan kraftangan dari seluruh negeri dibuka di tengah kota Kuala Lumpur untuk tatapan pengunjung dan pelancong asing mahupun tempatan.

Pengurus Besar Karyaneka, Mansor Abd Latiff berkata, pembukaan Karyaneka di KL CityWalk berdasarkan lokasinya yang strategik kerana dikelilingi pejabat, hotel dan kawasan kediaman.

"Ia bukan saja memudahkan pelancong dan pekerja di sekitarnya meluangkan masa pada waktu rehat, malah keadaan tempat yang selesa juga memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengunjung untuk berkunjung.

"Jauh daripada kesesakan lalu lintas dan mesra kanak-kanak adalah ciri terbaik bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung mendapatkan cenderamata di sini.

"Kawasan yang direka de–ngan pejalan kaki di sepanjang gerai juga memberikan pilihan terbaik bagi warga kota di sekitarnya menghilangkan penat selepas seharian menjalankan tugas di pejabat.

"Kehadiran gerai makanan dan perkhidmatan yang disediakan memudahkan pengunjung selain menjamu mata dengan kehadiran bara–ngan kraftangan dan lukisan di kawasan itu.

"Di sini, pemilihan barangan kraftangan terdiri daripada cenderamata korporat sehingga pakaian kanak-kanak," katanya ketika memperkenalkan stor terbaru Karyaneka yang dibuka sejak 8 Ogos lalu.

Antara barangan yang boleh didapati di situ ialah pakaian batik, cenderamata dan alat permainan tradisional seperti congkak.

Tambahnya, pengunjung akan disajikan dengan barangan berkualiti selain turut mengadakan pertunjukan terbuka sebagai satu program pembelajaran bagi mempelajari cara pembuatan kraftangan yang dijual di situ.

Karyaneka yang dibuka di KL CityWalk adalah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Krafta–ngan Malaysia, sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan untuk pasaran kraftangan dan cenderamata dihasilkan pekerja mahir dan industri kecil.

Ditubuhkan pada 1982, ia menjadi pusat beli-belah sehenti bagi barangan kraftangan mempunyai pelbagai koleksi yang mencerminkan warisan etnik dan budaya di Malaysia termasuk batik tekstil, bakul rotan, sumpit, ukiran kayu dan cenderamata.

Sementara itu, bagi mereka yang masih belum mengetahui kewujudan KL CityWalk yang kini hampir siap dibina, ia dibangunkan sebagai ikon global bagi bandar Kuala Lumpur yang dapat dilihat perbezaannya dengan lokasi pelancongan lain.

Ia menjadi pusat beli-belah yang memiliki lorong pejalan kaki di samping mempamerkan gaya hidup kota.

Selain itu, KL CityWalk juga menjadi sampel kepada budaya yang ada di Malaysia kerana terdapat pelbagai warisan dan sejarah yang dirakam dan dipaparkan di situ.

Jika anda berkunjung di sini, terdapat pelbagai budaya tempatan, masakan dan barangan kraftangan yang ditonjolkan kepada pengunjung bagi merasai sendiri ketena–ngan dan keselesaan tanpa kesesakan lalu lintas.

Dibina dengan pejalan kaki sepanjang setengah kilometer dari Jalan P Ramlee hingga Jalan Pinang yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, ia mempunyai 54 deretan kedai dan 23 gerai yang meliputi gerai makanan, jualan runcit dan perkhidmatan.

Ia dikatakan kawasan yang strategik bagi menarik perhatian pengunjung atau pelancong kerana dibina di kawasan yang dikelilingi pejabat, kediaman dan hotel.

Pelbagai aktiviti dan sambutan perayaan bakal diadakan di KL CityWalk bagi menarik minat dan perhatian pengunjung untuk berkunjung ke situ.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved