Sabtu, 3 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pejabat kerajaan kembali sibuk

Posted: 02 Sep 2011 11:22 AM PDT

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari cuti Aidilfitri dan Hari Merdeka, jabatan kerajaan dan syarikat swasta mula beroperasi mulai semalam.

Masih dalam suasana menyambut Aidilfitri, kakitangan di kaunter perkhidmatan tetap meneruskan tugas seperti biasa walaupun hanya perlu bekerja sehari dan kemudian bercuti semula pada hujung minggu.


Tinjauan Harian Metro ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di Maju Junction di sini, semalam mendapati pengunjung mula memenuhi pejabat terbabit seawal jam 9 pagi untuk menguruskan hal masing-masing.

Biarpun hanya beberapa kaunter dibuka, semua urusan berjalan lancar.


Pekerja swasta, Mohd Azizi Majid, 32, berkata, hari bekerja semalam digunakan untuk menguruskan pendaftaran kelahiran dan mengambil MyKid anaknya yang baru lahir kelmarin.


"Semua pejabat ditutup empat hari sempena cuti umum bermula Isnin lalu, ini menyebabkan banyak urusan tergendala, kebanyakan pengguna mengambil peluang hari ini untuk menyelesaikan semua kerja yang tertangguh," katanya.

"Tambahan pula, kaunter akan ditutup pada 3 dan 4 September ini dan dibuka semula pada Isnin (5 September). Biarpun tidak ramai kakitangan yang bertugas, semuanya berjalan dengan lancar dan kami tidak perlu menunggu terlalu lama," katanya.


Bagi Norhidayah Ahmad, 40, pujian perlu diberikan kepada kakitangan yang bertugas kerana dapat menjalankan kerja dengan lancar dan tidak mendatangkan kesulitan kepada pengguna.

Majikan kurung amah seminggu

Posted: 02 Sep 2011 11:21 AM PDT

KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung sejak seminggu lalu dan hanya diberikan makan mi segera berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pandan Indah, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa warga Kemboja berusia 18 tahun itu mula bekerja di rumah terbabit sejak tiga bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar, malah dia tidak dibekalkan kunci rumah atau nombor telefon majikannya untuk tujuan kecemasan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes dera pembantu rumah.

Katanya, selepas tiba di rumah itu, pihaknya mendapati rumah berkenaan dikunci dan hanya dapat berinteraksi dengan mangsa melalui tingkap belakang. "Anggota polis meminta nombor telefon majikan daripada mangsa, tetapi dia tidak mempunyainya dan kami terpaksa memecahkan pintu depan untuk menyelamatkan mangsa," katanya.


Beliau berkata, selepas disoal siasat, mangsa mendakwa dikurung di rumah sejak seminggu lalu dan majikannya keluar untuk tempoh berkenaan.


"Dia hanya diberikan makan mi segera dan kadang-kala jiran akan memberikannya makanan.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun dia dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan," katanya.


Amiruddin berkata, pihaknya sedang menjejaki majikan mangsa untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah.

Menurutnya, siasatan lanjut juga sedang dijalankan mengenai rumah yang dijadikan tempat untuk menyembunyikan mangsa.


Katanya, mangsa dihantar ke pejabat Kedutaan Kemboja untuk perlindungan sementara.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved