Isnin, 12 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Saya tidak serik terjun’

Posted: 11 Sep 2011 09:57 AM PDT

MELAKA: "Saya akan tetap meneruskan aktiviti sukan payung terjun ini walaupun pernah beberapa kali berdepan saat cemas dan tercedera. Semangat saya tidak pernah luntur, malah saya tak pernah serik untuk melakukan terjunan lagi."

Begitu kata pembantu penguat kuasa di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Asnawi Mohd Hassan, 40, yang retak tulang pinggul sebelah kanan ketika melakukan demonstrasi terjunan bebas pada Majlis Penutup dan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguat Kuasa Gred N17 di Akademi JPJ, Tiang Dua, Ayer Molek, dekat sini, pagi kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi, Asnawi cedera di muka selepas terjatuh di atas tebing batu lalu terpelanting kira-kira 2.3 meter dan terjerumus ke dalam longkang berhampiran tapak perbarisan akademi itu selepas tali bendera dibawanya tersangkut pada sebatang pokok.

"Ketika sesi raptai penuh pada petang Jumaat, kira-kira jam 5.30 petang, saya bersama dua rakan penerjun melakukan terjunan dan pendaratan dengan sempurna.


"Namun, pada hari sambutan, semalam (kelmarin) cuaca kurang baik kerana hujan bermula jam 8.30 pagi hingga jam 10 pagi dan jurulatih tidak membenarkan kami melakukan terjunan.


"Apabila hujan reda jam 10.45 pagi, pesawat Cessna 172 dipandu Kapten (B) A Aziz Ahmad membawa kami terbang melintasi tempat duduk orang kenamaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam.

"Ketika itu, ketinggian 4,000 kaki (1,219.2 meter) dan saya dapat melihat dengan jelas tempat pendaratan di bawah dan bersemangat serta bersedia untuk melakukan terjunan," katanya ketika ditemui di Wad D2, Hospital Melaka, semalam.


Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri dan Pengerusi Cuepacs negeri, Saleh Majid turut meluangkan masa melawat Asnawi.

Asnawi dari Kelantan berkata, dia penerjun ketiga selepas rakannya, Mohd Shamsul Mohd Amin, 32, dan adiknya, Mohd Shamsudin, 20-an.


"Kami melakukan terjunan selang beberapa saat dan dua rakan mendarat sempurna.


"Ketika itu hujan renyai dan apabila saya hampir melakukan pendaratan tiba-tiba tali bendera tersangkut pada pokok pada ketinggian 15 kaki (4.6 meter) dan terputus.


"Akibatnya saya jatuh dan pinggul terhentak pada tebing batu dan tersungkur ke dalam longkang dipenuhi air. Mujur saya memakai topi, jika tidak mungkin cedera lebih teruk," katanya yang berpengalaman melakukan 320 kali terjunan dari pesawat selain 50 kali terjunan bangunan tinggi termasuk Menara Kuala Lumpur.


Menurutnya, dia juga aktif dalam sukan paragliding dan menjadi jurulatih Kelab Sukan Penerbangan Negeri Sembilan dan kejadian seumpama itu bukan pertama kali dialaminya.


Katanya, dia berjinak dengan sukan payung terjun sejak berkhidmat dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) sebelum bersara pada 2004 dan menyertai JPJ tiga tahun kemudian.


"Walaupun retak tulang pinggul ia tidak mematahkan semangat saya untuk aktif dalam sukan ini," katanya.


"Malah, tiga daripada lima anak saya turut berminat dan mengikut saya dalam sukan paragliding," katanya.

Hentak rakan guna mangga

Posted: 11 Sep 2011 09:27 AM PDT

AMPANG: Berang selepas bekas rakan serumahnya menukar mangga jeriji rumah pangsa yang pernah dihuninya, seorang wanita berusia 20-an menendang dan memukul bekas rakan serumahnya itu dengan mangga berkenaan, kelmarin.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang tidur bersama seorang lagi rakannya dalam sebuah bilik di rumah berkenaan di Pandan Indah, di sini, terkejut sebaik mendengar ketukan pintu yang kuat.


"Mangsa bangun dan membuka pintu sebelum mendapati bekas rakan serumahnya berada di luar rumah. Wanita itu mendakwa mahu mengambil barang miliknya yang masih tertinggal.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuka mangga dan jeriji yang dikunci dan membenarkan wanita terbabit masuk untuk mengambil barang," katanya.


Menurutnya, tanpa diduga bekas rakan serumah mangsa itu tiba-tiba menghentak mangsa dengan mangga di belakang badannya. Apabila mangsa cuba melawan, dia ditampar, ditumbuk dan ditendang beberapa kali.


"Mangsa menjerit meminta tolong dan rakan serumahnya cuba membantu, namun turut dipukul," katanya.

Sumber itu berkata, suspek mengamuk dengan menghentak dan mencampak semua barang di ruang tamu sebelum meninggalkan rumah itu.


Menurutnya, mangsa dan rakannya itu mendapatkan bantuan jiran yang menghantar mereka ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved