Rabu, 14 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Berang kandang haram diroboh

Posted: 13 Sep 2011 10:42 AM PDT

SERDANG: Gagal mengawal emosi kerana terlalu marah dengan tindakan pihak berkuasa merobohkan pusat ternakan haiwan yang didirikan 25 tahun lalu secara haram di Taman Serdang Jaya di sini, seorang wanita cuba memukul wakil pemaju.

Difahamkan, insiden itu bermula apabila penternak terbabit tidak berpuas hati dengan penjelasan diberi sehingga menyerang pemaju, cuba memukul dan membalingnya dengan tong air yang diletakkan berhampiran.


Menurut wanita itu, notis yang dikeluarkan pihak berkuasa terlalu singkat untuk memindahkan semua barang dan merobohkan kandang terbabit.

"Mereka patut beri lebih banyak masa untuk berpindah dan merancang semula perniagaan kami, bukan datang dan terus merobohkan kandang itu.


"Sudah 25 tahun kami menjalankan perniagaan di sini dan disuruh berpindah ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Nilam, Hulu Selangor, yang mengambil masa satu setengah jam perjalanan.


"Jika ingin membuka pusat ternakan di kawasan baru, kami terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM100,000 untuk menampung perbelanjaan pembinaan kandang dan urusan lain. Kami tidak ada wang sebanyak itu dan jika ada, sudah lama kami membuka pusat ternakan di kawasan lebih baik," katanya ketika ditemui.

Selain mendirikan premis di kawasan yang tidak dibenarkan, penternak mendapatkan bekalan utiliti daripada fius papan tanda dan paip berdekatan secara haram. Mereka juga difahamkan membenarkan orang ramai membuang lebihan bahan pembinaan di kawasan seluas kira-kira satu hektar itu.


Sementara itu, Penolong Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Asmidar Shaarin, berkata notis arahan mengosongkan tanah sudah dikeluarkan beberapa kali sejak 2002 dan notis terakhir diberikan minggu lalu.

Orang awam cekup suspek

Posted: 13 Sep 2011 10:36 AM PDT

KAJANG: Seorang pelajar warga Afrika diberkas orang ramai selepas dia mencabul seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berhampiran sebuah pasar raya di Semenyih, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa yang juga jurujual di pasar raya itu keluar seorang diri untuk pergi ke kedai berhampiran untuk membeli barangan sebelum suspek menarik tangan dan membawanya ke tingkat dua pasar raya berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata sebaik menyedari suspek menarik tangannya dan membawanya ke tempat sunyi, mangsa meronta-ronta dan merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek.

Katanya, suspek bertindak lebih agresif apabila menarik mangsa naik ke tingkat tiga kerana khuatir jeritan mangsa didengari orang ramai sebelum suspek membuka seluarnya. "Suspek menunjukkan kemaluannya kepada mangsa selain meraba seluruh tubuh mangsa walaupun dia merayu tidak diperlakukan sedemikian.


"Bimbang diperlakukan lebih kejam, mangsa menjerit meminta tolong dan jeritan itu didengari seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan berkenaan," katanya.


Ab Rashid berkata, pengawal keselamatan berkenaan ke tempat kejadian menyebabkan suspek terkejut dan cuba melarikan diri ke kawasan kedai berhampiran pasar raya berkenaan.

Tindakan pengawal keselamatan mengejar suspek menarik perhatian orang awam di kawasan berkenaan sebelum mereka membantu memberkas suspek.


Beliau berkata, suspek yang kepenatan ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dan siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun dan masuk ke Malaysia sebagai pelajar kolej swasta di ibu kota.

Ab Rashid berkata, suspek kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved