Khamis, 15 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Biskut coklat lipas

Posted: 14 Sep 2011 10:37 AM PDT

KLANG: Terkejut, jijik dan meloyakan. Itu perasaan seorang pekerja swasta apabila mendapati biskut coklat yang dimakan selepas membelinya di sebuah kedai runcit, di sini, mengandungi telur lipas.

Malah, lebih menjijikkan, Mohd Syahmi Saad, 36, berkata apabila diperiksa di dalam tin biskut itu turut menemui bangkai seekor lipas.


Menceritakan kembali, Mohd Syahmi menyatakan dia bersama beberapa rakan sekerja mengisi masa rehat dengan berbual kosong sambil makan biskut itu.

"Ketika bersembang, saya tertarik melihat bijian coklat yang terdapat pada biskut berkenaan kerana agak pelik dan mengambil pen untuk memecahkan bijian coklat itu.


"Saya dan rakan hampir termuntah apabila melihat beberapa anak lipas yang masih putih keluar dari bijian coklat itu dan terdapat beberapa ulat yang bergerak-gerak," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Lebih memeranjatkan, apabila Syahmi dan rakan yang memeriksa kandungan di dalam tin biskut berkenaan menjumpai seekor lipas yang sudah mati.

"Syarikat biskut terbabit sepatutnya memeriksa tahap kebersihan lebih-lebih lagi syarikat mereka mempunyai nama besar sepatutnya tidak mempunyai masalah dari segi kebersihan.


"Apapun, mana-mana syarikat perlu menjaga kebersihan kerana ia memberi kesan kepada kesihatan pengguna dan pembeli," katanya.

Menurutnya, dia sudah menghabiskan hampir 70 peratus daripada tin biskut coklat bertarikh luput pada 2013 itu sebelum menyedari kejadian itu kerana biskut yang mempunyai telur lipas itu berada di lapisan bawah.


Sementara itu, wakil syarikat pengeluaran biskut terbabit, ketika dihubungi, berkata cara penutupan yang tidak rapat boleh menjadi punca lipas memasuki tin biskut itu.


"Bagi telur lipas yang menyerupai bijian coklat itu, saya menolak sekiranya ada yang menganggap kami menggunakan telur lipas bagi mengurangkan modal.


"Kebersihan syarikat kami tidak perlu dipertikaikan kerana berada pada tahap amat memuaskan dan pemeriksaan kebersihan dilakukan dengan kerap," katanya.

Ibu ugut bunuh tak restui kahwin

Posted: 14 Sep 2011 10:34 AM PDT

AMPANG: Hanya kerana percaya bomoh, seorang ibu memukul, menendang perut dan memijak kaki selain mengugut mahu membunuh anak gadisnya yang berusia 23 tahun kerana tidak mahu gadis itu berkahwin dengan lelaki pilihannya, kelmarin.

Difahamkan, teman lelaki mangsa yang berusia lewat 20-an itu pilihan ibu mangsa yang menyatukan mereka, namun disebabkan terlalu percaya kepada bomoh, si ibu menghalang pula hubungan mereka.


Menurut sumber, mangsa dipercayai melarikan diri dari rumah mereka di Pandan Mewah, di sini, selepas bengkak dan lebam pada badan akibat tindakan ibunya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini.

Katanya, ibu gadis terbabit yang berusia 50-an bertindak sedemikian selepas mendapat perkhidmatan seorang bomoh untuk menilik nasib mangsa dan teman lelakinya.


"Malangnya, keputusan tilikan nasib itu kononnya mangsa dan teman lelakinya tidak boleh berkahwin kerana akan berlaku perceraian menyebabkan si ibu mahu dia memutuskan hubungan dengan lelaki itu.


"Bagaimanapun, hari perkahwinan mereka semakin hampir menyebabkan mangsa enggan berbuat demikian dan mengundang kemarahan ibunya," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa tidak dapat menerima hakikat apabila ibunya menyuruh dia memutuskan hubungan dengan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran.


"Ketika pertengkaran itu, ibu saudara mangsa masuk campur dengan memukul, menampar dan menarik rambut mangsa menyebabkan dia terjatuh.

"Malah, ibu saudara memukul kepala mangsa beberapa kali. Mangsa cuba bangun, namun tidak berdaya," katanya.


Tidak cukup dengan itu, sumber mendakwa mangsa menerima 'habuan' lebih teruk apabila ibunya menendang perut dan memijak kakinya.


Selain itu, mereka dipercayai mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya mangsa keluar berjumpa teman lelakinya.


Berikutan itu, mangsa melarikan diri dari rumahnya dan membuat laporan polis.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved