Selasa, 20 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Penyamun dua beranak diburu

Posted: 19 Sep 2011 11:24 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dua beranak yang menjadi dalang beberapa kes samun dan pecah rumah di Brickfields sejak awal tahun ini diburu selepas polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil curi dengan anggaran nilai RM100,000 di sebuah rumah di Setapak, di sini, Rabu lalu.

Suspek, Lee Tai Ping, 64, pemandu teksi dan anak lelakinya, Lee Kok Yew, 27, diminta tampil bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri sebaik mengetahui mereka dikehendaki polis.


Terdahulu, isteri suspek, suri rumah berusia 60 tahun serta anak perempuannya, 23, pelajar kolej swasta direman tiga hari untuk diambil keterangan. Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata ketika tangkapan, polis merampas pelbagai barangan curi termasuk skrin komputer, televisyen, komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenis, pengering rambut dan geran kereta pemilik lain di rumah suspek.


"Selain itu, polis menemui alat yang digunakan untuk kegiatan itu seperti parang, kapak, pistol tiruan, alat ganti kereta yang diubah suai, penebuk lubang dan pemutar skru.


"Berdasarkan pemeriksaan, suspek pertama tiada rekod kesalahan lampau, bagaimanapun, anak lelakinya pernah disabitkan atas beberapa kesalahan pecah rumah.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis meminta kedua-dua suspek tampil ke balai polis bagi membantu siasatan," katanya.


Menurutnya, kejayaan penemuan barangan itu hasil aduan seorang pengurus wanita sebuah syarikat persendirian berusia 40 tahun yang membuat laporan selepas pejabatnya dipecah masuk dan barangannya dilarikan pada 10 September lalu.

Belasah ibu tak tahan dileter

Posted: 19 Sep 2011 11:21 AM PDT

AMPANG: Hanya kerana menasihati anak lelakinya yang sering menghabiskan masa di kafe siber, seorang ibu cedera dipukul dengan kayu, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berusia 40 tahun bersama suaminya berada di dalam rumah mereka di Pandan Mewah, di sini, sebelum anak mereka pulang.


"Remaja berusia 16 tahun itu mengadu kurang sihat sebelum dinasihati mangsa supaya tidak menghabiskan masa di kafe siber.

"Berang mendengar 'leteran' si ibu, remaja terbabit naik angin lalu memaki hamun dan memukul ibunya," katanya.


Sumber berkata, mangsa yang marah dengan tindakan anak lelakinya itu mengambil kayu untuk mempertahankan diri dan memarahi anaknya supaya tidak bertindak sedemikian.


Bagaimanapun, anak mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati bertindak lebih kejam apabila mengambil kayu berkenaan dan memukul mangsa.

Malah, remaja terbabit turut menendang mangsa menyebabkan dia terjatuh sebelum remaja itu melarikan diri.


Difahamkan, suami mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu, namun tidak berhasil.

Menurutnya, mangsa dibawa suaminya untuk rawatan di hospital berhampiran sebelum ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kejadian itu.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved