Sabtu, 24 September 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Kondo denggi

Posted: 23 Sep 2011 09:37 AM PDT

KUALA LUMPUR: Nyawa kami dalam bahaya. Begitu situasi dihadapi penduduk Kondominium Bintang Mas, Cheras, apabila diancam denggi sejak beberapa bulan lalu.

Bukan satu atau dua kes dilaporkan sebaliknya 13 penduduk dilaporkan dijangkiti termasuk beberapa orang daripadanya disyaki denggi.


Penduduk, Roslan Jali, 44, baru pulih dan keluar daripada hospital selepas menjalani rawatan akibat denggi.

"Ketika ini kami sekeluarga diancam denggi. Tiga anak saya pula demam dan mengalami bintik-bintik merah pada badan. Saya berulang-alik ke hospital setiap hari kerana mereka dalam pemerhatian dan perlu menjalani pemeriksaan darah.


"Saya baru sembuh itupun selepas ditahan di hospital selama empat hari," katanya ketika ditemui di kawasan kondominium berkenaan, baru-baru ini.


Menurutnya, bilangan nyamuk di rumahnya semakin meningkat menyebabkan dia memasang ubat nyamuk terutama pada waktu pagi dan petang.

Selain Roslan, beberapa penduduk turut dimasukkan ke hospital dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini termasuk Chuan Tzu Mei, 38, yang mengalami masalah kekurangan darah mendadak.


"Saya menerima lapan peket darah ketika dimasukkan ke sebuah hospital selepas demam empat hari. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan saya denggi," katanya.

Dia berkata, masalah denggi bermula sejak tahun lalu dan bilangannya semakin meningkat tahun ini.


"Kami sudah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai masalah denggi dan berharap ia diatasi segera," katanya.


Namun, selepas pemeriksaan, penduduk dimaklumkan tiada sebarang penemuan tempat pembiakan aedes di perumahan berkenaan termasuk di rumah mereka yang disahkan menghidap denggi.


"Kami percaya nyamuk membiak di kawasan projek perumahan di sebelah rumah kami. Ini kerana sejak projek terbabit dibina, bilangan kes denggi meningkat.


"Terdapat takungan air termasuk di beberapa tong untuk kegunaan membasuh dan mandi pekerja terbabit. Selain itu, air mungkin bertakung di kawasan lantai projek yang terdedah akibat hujan," katanya.


Seorang lagi penduduk, Chen Jeng Feng, 38, berkata banyak aduan dibuat kepada DBKL sepanjang tahun ini, namun masalah itu masih berlaku, malah bilangan mereka yang dijangkiti denggi meningkat.

Dikeroyok keluarga rakan wanita

Posted: 23 Sep 2011 09:33 AM PDT

AMPANG: Seorang pelajar lelaki cedera dibelasah ahli keluarga rakan wanitanya gara-gara dituduh melakukan perkara tidak elok dengan anak gadis mereka menyebabkan dia cedera di kepala, tangan dan badan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, pelajar terbabit yang berusia 17 tahun tidur di rumah rakannya di Pandan Mewah, di sini, sebelum terjaga apabila terdengar pintu rumah diketuk.


Menurut sumber, mangsa yang menyangka rakannya datang membuka pintu, namun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali bertanyakan seseorang.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberitahu orang yang dicari itu dirinya dan belum sempat berbuat apa-apa, seorang daripada lelaki terbabit masuk dan menumbuk muka serta kepalanya.


"Tersentak dengan tindakan itu, mangsa bertanya mengapa dia dipukul sebelum mereka memperkenalkan diri bapa, abang dan bapa saudara rakan wanitanya," katanya.


Menurutnya, keluarga terbabit membawa mangsa ke kediaman mereka di Sri Nilam untuk berjumpa seorang pelajar perempuan yang berkawan dengan anak mereka.

"Pada pertemuan itu, pelajar perempuan terbabit disoal keluarga itu sama ada mangsa pernah berbuat perkara tidak elok kepadanya dan anak mereka.


"Namun, ia dinafikan pelajar terbabit dan memberitahu mangsa bukan seperti didakwa mereka," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik mendengar penjelasan itu, mangsa dilepaskan.


"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved