Rabu, 5 Oktober 2011

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Fitnah kasanova

Posted: 04 Oct 2011 09:46 AM PDT

JOHOR BAHRU: "Dia memberitahu suami kononnya saya curang dan menjalin hubungan dengan lelaki lain. Saya pula dia beritahu suami ada hubungan dengan perempuan lain.

"Akibatnya saya diceraikan, namun selepas itu dia pula ajak saya kahwin di Siam," kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aimi, 26, mengenai 'permainan' seorang lelaki kasanova untuk memikat mangsanya sebelum mengikis duit mereka.


Aimi berkata, kasanova yang dikenali sebagai Man, 30-an itu amat licik memerangkap mangsa sehingga mampu memikat 20 teman wanita serentak termasuk bekas isteri dan kekasih orang, biarpun kawannya sendiri.

Rahsia Man terbongkar apabila seorang demi seorang kekasihnya tampil membuat laporan polis selepas menyedari mereka dianiaya dan terpedaya.


Menurut Aimi, Man yang juga seorang kakitangan awam beruniform sering menggunakan jawatannya itu untuk memerangkap wanita dan permainan fitnahnya menyebabkan rumah tangga sebahagian mangsanya porak-peranda. "Saya mengenali Man menerusi suami kerana mereka berkawan, namun lama-kelamaan hubungan kami tegang dan selalu bergaduh kerana termakan hasutannya yang mendakwa kami curang.


"Akibat terpedaya dengan fitnah Man, saya diceraikan talak satu oleh suami pada hujung Julai lalu. Sebelum itu, suami juga memukul dan menendang hingga badan saya lebam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Masai, semalam.

Aimi berkata, lebih menghairankan ialah selepas dia diceraikan, Man beria-ia mahu memberikan bantuan termasuk menumpangkannya di rumah seorang rakan wanitanya, selain memberinya wang RM2,000 bagi membolehkannya hidup bersendirian.


Menurutnya, Man yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kemudian menyatakan ingin memperisterikannya dengan berkahwin di selatan Thailand.

"Pelik dengan perangainya itu, saya mula terfikir apa yang dikatakannya kepada saya dan suami sebelum bertemu suami serta berbincang hasil bantuan keluarga.


"Kami rujuk semula selepas mendapati Man berniat jahat memfitnah kami suami isteri sehingga bercerai," katanya.


Seorang lagi mangsa Man yang juga bekas teman wanita lelaki itu, Shima, 30-an berkata, dia menjalin hubungan selama 10 tahun sebelum menyedari ditipu dan diperalatkan untuk mendapatkan wang.


"Sepanjang 10 tahun bersama, saya memberinya lebih RM15,000 wang simpanan saya selepas dia memberi pelbagai alasan untuk menggunakan wang. "Sepanjang tempoh kami berkawan, tidak pernah dia mengaku sudah beristeri dan mempunyai dua anak," katanya.


Shima berkata, Man seorang panas baran dan sering memukulnya hingga terseliuh pergelangan tangan, namun dia tetap bersama lelaki itu atas dasar sayang dan cinta.


"Bagaimanapun, saya mula tidak tahan dengan sikapnya apabila dia sering membawa wanita lain ke kelab malam dan karaoke sedangkan wang simpanan saya habis dikikis," katanya.


Seorang lagi mangsa Man yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 18, berkata sikap romantis Man dengan kata-kata manis, peramah serta prihatin terhadap dirinya pada awal perkenalan menyebabkan dia jatuh cinta kepada lelaki itu sehingga terlanjur.


"Man berlagak romantik dan prihatin selain selalu menunjuk-nunjuk dia berharta hingga pernah memberikan saya ribuan ringgit secara tunai.


"Bagaimanapun, lama kelamaan tembelangnya pecah kerana dia membawa wanita lain ketika kami masih bercinta. Semua itu masih boleh dimaafkan kerana saya cintakannya.


"Namun, lebih dikesalkan ialah dia cuba memperalatkan saya memikat lelaki lain sebelum berpesan supaya saya mengikis wang lelaki itu," katanya sambil memberitahu lelaki dimaksudkan ialah suami Aimi.


Aimi membuat laporan polis berhubung sikap kasanova Man di Balai Polis Masai, 3 September lalu, manakala Shima membuat laporan berhubung penipuan dan ugutan lelaki itu di Balai Polis Scinetx Seri Alam, 26 Julai lalu.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Kebun pisang berdarah

Posted: 04 Oct 2011 09:46 AM PDT

KOTA BHARU: Mayat seorang kontraktor ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila tangannya terikat di belakang, mukanya dipenuhi kesan lebam dan kepalanya berlumuran darah dalam sebuah kebun pisang berdekatan Kampung Kubang Palas, Binjai, di sini, semalam.

Mayat itu ditemui pada jam 7.50 pagi oleh penduduk kampung, Zamizi Mohamad, 42, yang dalam perjalanan ke kebunnya untuk memetik sayur sebelum dia memaklumkannya kepada penduduk kampung dan menghubungi polis.


Menurut Zamizi, memang menjadi rutin hariannya ke kebun yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah untuk memetik sayur bersama isteri, Mariam Hamzah, 38 dan tidak menyangka bertemu 'tetamu tidak diundang' itu.

"Saya terkejut menemui mayat seorang lelaki dengan tangan terikat di belakang, muka dipenuhi kesan lebam dan kepalanya berlumuran darah di sebuah kebun pisang.


"Saya segera memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum menghubungi polis," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis menerima laporan penemuan mayat itu kira-kira jam 8 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Unit Forensik ke tempat kejadian.

Katanya, mayat itu dikenali sebagai Saw Yee Siang, 57, seorang kontraktor berasal dari Tumpat.


"Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dan tangannya terikat di belakang. Siasatan mendapati, mangsa mati selepas dipukul dengan benda keras dalam keadaan kepalanya dibungkus dengan kain.

"Kami percaya mangsa mati kira-kira 10 jam sebelum ditemui dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan, di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan keluar rumah malam kelmarin bersama seorang kenalannya.


"Kami percaya mangsa mungkin mempunyai musuh.


"Ketika mayatnya ditemui, mangsa berpakaian lengkap, tetapi ada kecederaan di kepala dan badan selain semua barangan berharga termasuk jam, dompet dan telefon bimbitnya hilang," katanya.


Jalaluddin berkata, setakat ini polis sudah menemui beberapa petunjuk dan akan melakukan siasatan lanjut termasuk menyemak latar belakang mangsa.


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved