Isnin, 31 Oktober 2011

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Didik masyarakat fahami bencana

Posted: 31 Oct 2011 07:31 AM PDT

BENCANA ada pelbagai. Bencana yang berlaku sekitar rumah, kampung atau negeri kita. Kemudian ada bencana yang lebih besar membabitkan sebahagian besar negara kita.

Tahap tragisnya semakin besar apabila bencana menyerang beberapa negara sekali gus seperti gempa bumi dan tsunami. Bencana mungkin berlaku secara semula jadi seperti banjir, taufan, tanah runtuh, kebakaran hutan, tsunami, kemarau dan jerebu.

Bencana hasil buatan manusia pula antaranya kemalangan kenderaan, pencemaran, perubahan iklim dan serangan pengganas. Ada juga bencana yang membabitkan kesihatan seperti wabak, denggi, penyakit haiwan dan tumbuhan.

Kita mungkin mengetahui dan terkesan dengan bencana yang menimpa dunia beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya yang besar seperti tsunami kerana Malaysia turut menjadi negara yang mengalami kemusnahan. Walaupun kecil berbanding negara lain, impaknya sangat besar daripada segi mangsa yang terbabit juga seluruh rakyat Malaysia.


Kita semua terkejut kerana tidak menyangka ia boleh menimpa kita. Malah, ada yang tidak tahu, apakah itu tsunami. Ini mungkin kerana tiada pendedahan langsung kepada kita sebelum ini dan tiada persediaan dilakukan ke arah itu.


Sekarang, sudah bersediakah kita menghadapi bencana? Sekiranya berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh dan wabak, adakah kita bersedia menanganinya?
Setakat mana persediaan kita jika tsunami berlaku sekali lagi?

Pengarah, Perunding Pengurusan Bencana dan Risiko, Kestrel Group, Karen Stephens, menegaskan bencana perlu diperkenalkan kepada seluruh masyarakat supaya mereka sedar mengenai impaknya.

"Contohnya, apabila bencana gunung berapi meletus, mungkin ia tidak begitu mengambil banyak nyawa kerana ia sempat memberi amaran dan orang ramai dapat diselamatkan, tetapi ada bencana daripada sudut lain iaitu sudut ekonomi dan pelancongan yang menimpa sesebuah negara. Ia selalunya membabitkan begitu banyak kerugian.

"Justeru, pengawalan bencana yang terancang sangat perlu," katanya dalam pembentangan kertas kerja pada Seminar Persediaan Menghadapi Bencana anjuran Institut Pembangunan Wanita NAM (NIEW) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apakah maksud pengawalan bencana?

"Maksudnya, setelah mengenali bencana dan kesannya, daripada situ kita boleh mengenal pasti cara mengurangkan kesannya. Kita memang tidak boleh menghentikan atau mengelak sesuatu bencana terutama bencana alam seperti gempa bumi, taufan dan tsunami, tetapi kita boleh bersedia mengurangkan hasil daripada bencana itu," katanya.

Menurutnya, setiap perancangan perlu memikirkan jangka panjang yang membabitkan pembangunan akan datang dan sedia ada. Sebarang penyelidikan mengenai persediaan menghadapi bencana juga perlu disokong dan seluruh dunia saling berkongsi pengalaman.

"Buat persediaan dan didik masyarakat supaya faham mengenai bencana. Ini supaya mereka tahu apa yang hendak dibuat ketika bencana. Latihan dan ujian perlu dilakukan manakala kerajaan boleh memberikan amaran bencana, tetapi masyarakat juga perlu tahu apa yang perlu dilakukan serta persediaannya," katanya.

Menurutnya, komunikasi sangat penting antara pihak berkuasa supaya tidak terjadi arahan dan maklumat yang saling bercanggah dan ini menyukarkan lagi keadaan.

Selain daripada persediaan menghadapi bencana, perlu juga persediaan dan pengetahuan mengenai apa yang dijangka berlaku selepas bencana iaitu termasuk proses pemulihan dan menyediakan diri jika bencana sama berlaku dan masalah pekerjaan.

"Bagaimana hendak meneruskan hidup selepas berlaku bencana? Bagi pihak kerajaan, jika negara itu sering dilanda gempa, mereka sudah tahu jenis bangunan yang boleh dibina di negaranya.

"Bencana tetap berlaku. Cara kita mengawal bencana itu sangat penting dan selepas bencana hidup tetap perlu diteruskan," katanya.

Antara cara mengurangkan kesan daripada bencana ialah persediaan penting yang perlu diwujudkan.

"Contohnya, perlu ada papan tanda khas seperti arah ke lokasi selamat, sistem amaran, latihan keselamatan, risalah penerangan kepada komuniti dan juga pelan serantau bagi pemindahan untuk kawasan berisiko tinggi yang membabitkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan, jalan raya dan pengangkutan yang disasarkan pada masyarakat berisiko tinggi," katanya.

Beliau akui, perancangan sangat berharga, namun semua perancangan tidak berguna sekiranya tidak mempunyai orang yang berkelayakan bagi menjayakan rancangan itu.

"Perancangan, komunikasi, pendidikan (pada sekolah, masyarakat dan syarikat) sangat penting. Setiap perancangan itu pula perlu diuji dengan latihan kerana selagi latihan tidak dibuat, kita tidak boleh mengatakan perancangan itu sudah berjaya.

"Perancangan mestilah membabitkan semua pihak dan kenal pasti tanggungjawab dan peranan masing-masing," katanya.

Antara wakil negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang hadir pada seminar anjuran NIEW ialah Kenya, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Iran dan Malaysia.

Full content generated by Get Full RSS.

Seminar kongsi pengalaman antara negara

Posted: 31 Oct 2011 07:08 AM PDT

KITA tidak boleh meneka bila bencana akan menimpa, daripada bencana kecil sehinggalah ke bencana besar. Namun, kecil dan besar bencana bukanlah ukuran kerana setiap bencana perlu dilalui dan apabila menimpa, kita tidak boleh lari daripadanya.

Ada bencana alam yang boleh diagak cuma kita tidak tahu bila ia akan berlaku, contohnya tsunami. Tsunami pernah melanda Malaysia dan dijangka akan datang lagi pada tarikh yang tidak diketahui. Sebab itu, persediaan menghadapi tsunami terutama di kawasan pantai perlu dilakukan, begitu juga latihan amaran mengenainya. Begitu juga banjir, kita boleh mengagak ia akan berlaku jika hujan lebat berterusan turun tanpa henti.

Cara persediaan menempuh bencana tentu saja berdasarkan pengalaman lalu, digabung dengan pengalaman yang dilalui negara lain. Berbanding sebuah tempat yang tidak pernah menghadapi banjir, mereka akan kehilangan punca apabila ia berlaku tanpa disangka. Sebab itu, persediaan dan pengetahuan mengenai bencana amat penting.

Ramai yang memandang keperluan mempunyai persediaan sebelum bencana tidak sepenting mana iaitu apabila bencana berlaku, barulah kita mengatasinya.


Sebenarnya, persediaan menghadapi bencana akan membuatkan masyarakat lebih bersedia sebelum dan selepas bencana itu sendiri. Selalu orang menyangka bencana hanya membuatkan kita kehilangan harta benda, tetapi sebenarnya ia membuahkan akibat yang lebih besar iaitu daripada segi kehidupan seseorang secara keseluruhannya terutama jika ia membabitkan kematian juga perubahan hidup dan kerjaya.


Bagaimana menghadapi perubahan hidup selepas bencana? Daripada segi pembangunan negara, ia tentu saja mengalami kerugian ekonomi yang besar dan memerlukan persediaan supaya dapat bangkit kembali. Pendek kata, bencana bukan terkena pada orang di tempat itu saja, tetapi radius tempiasnya adalah besar.

Menyertai Seminar Persediaan Menghadapi Bencana anjuran Institut Pembangunan Wanita NAM (NIEW) di Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis mendapat begitu banyak pengetahuan baru dalam penyelenggaraan bencana yang dilakukan di Malaysia.

Begitu banyak pihak yang terbabit dan daripada situ, menyedari segala-galanya berfungsi jika perancangan terancang dibuat, begitu juga komunikasi yang baik antara semua pihak.

Seminar berkenaan menyasarkan penyertaan daripada semua peserta di bidang persediaan kecemasan seperti polis, tentera, bidang perubatan sehinggalah ke semua peringkat sama ada jabatan pelajaran, kesihatan dan sukarelawan.

Selain mendapat informasi, peserta perlu aktif menyebarkan pengetahuan yang didapati itu supaya kesedaran masyarakat mengenai persediaan menghadapi bencana semakin meningkat.

Penolong Pengarah, NIEW, Vinnilaa Aurumugam, berkata NIEW memang aktif dalam mengadakan pelbagai seminar kesedaran dan pembangunan wanita NAM sama ada untuk rakyat tempatan dan membabitkan penyertaan wakil peserta antarabangsa.

Nampaknya ia bertepatan dengan misinya yang mahu mendidik masyarakat dan wanita khususnya supaya membangun dan berjaya di dunia yang serba mencabar ini.

Seminar kali ini menampilkan penyertaan dari Brunei, Iran, Kenya, Myanmar, Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia sendiri. Pembentang pula melakukan pembentangan daripada sudut yang sesuai dengan persediaan menghadapi bencana seperti Jabatan Kecemasan Hospital, Farmasi, Saliran, Bomba, Pemetaan, Satelit serta penyelenggara dan pengawalan hakisan pantai.

Semua ini perlu diambil kira demi pencegahan dan mengurangkan kesan daripada bencana itu sekiranya terjadi.

"Seminar ini sebagai perkongsian negara terbabit, bagaimana Malaysia mengambil langkah bersedia dalam semua sudut dalam memastikan persediaan menghadapi bencana. Walaupun bencana berat seperti gempa bumi tidak melanda Malaysia, sebenarnya kategori bencana amat luas.

"Seminar ini juga untuk memberi persediaan kepada wanita. Kita semua sedar, jika berlaku bencana, wanita selalunya tidak memikirkan dirinya saja ketika menyelamatkan nyawa.

"Wanita akan berfikir mengenai keluarga dan orang terdekatnya dahulu, baharu mereka menyelamatkan diri. Begitu juga selepas bencana, wanita tanpa mengira masa menjadi orang yang menolong di semua sudut," tegas Vinnilaa.

Katanya, NIEW sentiasa aktif menganjurkan seminar pembangunan wanita sepanjang tahun di Malaysia. Bagi peringkat yang membabitkan penyertaan antarabangsa, ia diadakan sebanyak empat kali setahun.

Apa kata peserta?

ANUM Faizura Mohd Hizam, 27, rasa bertuah kerana terpilih menyertai seminar berkenaan. Baginya yang baru setahun bekerja sebagai Penguasa Bomba, Bahagian Keselamatan Kebakaran, Cawangan Kesedaran Keselamatan Awam di Putrajaya, peluang menambah pengetahuan bertepatan sekali dengan bidang kerjayanya sekarang.

Berasal dari Hutan Melintang, Perak, anak ketiga daripada sembilan beradik ini teruja kerana dapat menyertai seminar yang turut disertai rakan antarabangsa.

"Memang saya seronok dan teruja untuk menyertai seminar lima hari ini dan ini seminar yang pertama sejak setahun bekerja sebaik tamat belajar," katanya.

Peluang berbincang dengan wakil dari luar negara, Anum Faizura dapat berkongsi dan mendengar pengalaman negara lain dalam persediaan menghadapi bencana.

"Banyak pengetahuan dan pengalaman baru yang dapat saya kumpul di seminar ini.
Antara kertas kerja yang paling menarik bagi saya ialah pembentangan Dr Alzamani Mohammad Idrose mengenai persediaan jabatan kecemasan di hospital dalam menghadapi bencana di negara kita.

"Setelah mengikuti seminar ini, saya semakin jelas betapa kita perlu sentiasa bersedia menghadapi bencana supaya dapat mengurangkan kematian dan kerosakan.
Persediaan menghadapi bencana sangat penting walaupun kita tidak tahu bila tarikh ia akan berlaku.

"Melalui seminar ini juga saya melihat betapa ia memerlukan perancangan yang teliti daripada semua pihak terbabit dan bidang komunikasi yang amat penting sekali," katanya.

Anum Faizura mengakui kesedaran masyarakat dalam persediaan menghadapi bencana tidak besar dan menyeluruh, mungkin kerana bencana di Malaysia tidak berlaku sekerap negara lain.

"Tetapi kita kena bersedia dan nampaknya pihak berkuasa banyak mengambil iktibar daripada keadaan bencana yang pernah berlaku sebagai pengajaran dan persediaan," katanya.

Pensyarah di Politeknik Ungku Omar, Saripah Salwa Sapani, berkata walaupun berpengalaman kerja selama enam tahun di bidang kejuruteraan sivil, antara mata pelajaran lain yang perlu diajarnya adalah mengenai keselamatan yang merangkumi persediaan menghadapi bahaya dan bencana.

"Seminar ini sangat bertepatan dengan kerjaya saya dan kertas kerja pembentang dari New Zealand, Karen Stephens sangat menarik minat saya kerana ia menerangkan mengenai pengenalan bahaya dan bencana serta impaknya," katanya.

Farah Asindua Salwa, 34, bertugas sebagai Pembantu Setiausaha di Kementerian Negeri untuk program khas yang menyelenggara bencana di Kenya.

Berkhidmat di jabatan itu sejak 2007, Farah, ibu kepada dua anak bukan hanya gembira dengan peluang menyertai seminar ini tetapi juga dapat mengunjungi Malaysia buat kali pertama.

"Saya gembira berpeluang menghadiri seminar ini dan menyukai semua kertas kerja yang dibentangkan kerana semuanya sangat penting dan berguna untuk mengawal bencana yang bakal menimpa.

"Di Kenya, kami ada mengalami gegaran gempa walaupun tidak terlalu kerap.
Bencana biasa yang kami hadapi ialah kemarau, banjir dan bangunan runtuh kerana kesilapan pembinaan, tanah runtuh dan serangan pengganas," katanya.

Dapat berkongsi cara Malaysia menyediakan diri menghadapi bencana adalah proses pembelajaran bagi Farah. Contoh kes yang dibentangkan juga sangat membuka matanya.

"Hari terakhir saya seronok kerana diberi peluang melawat Balai Bomba dan Penyelamat di Taman Desa, Jalan Klang Lama. Dapat melihat peralatan canggih yang dimiliki Malaysia, semuanya terkini berbanding di Kenya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved