Isnin, 3 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Darah O tapi diberi darah B

Posted: 02 Oct 2011 11:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang baru melahirkan anak ketiganya mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada kecuaian kakitangan hospital yang tersilap memasukkan darah jenis berlainan ke tubuhnya.

Kejadian itu berlaku 22 September lalu dan Faridah Abd Aziz, 34, yang juga pegawai bank kini terpaksa menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas beberapa hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.


Suaminya, Ku Nazri Ku Yaakob, 34, mendakwa petugas hospital berkenaan memasukkan darah jenis B ke tubuh isterinya yang mempunyai darah jenis O dan kesilapan itu boleh mengundang maut.

"Ketika kejadian, isteri saya baru melahirkan anak ketiga kami secara pembedahan, jadi dia kekurangan darah dan memerlukan doktor memasukkan darah ke dalam tubuhnya," katanya yang ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Ku Nazri berkata, isterinya terpaksa menjalani rawatan susulan dan terlantar sakit di HKL serta diberitahu akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua minggu lagi.


Katanya, kejadian itu memberi kesan emosi yang teruk terhadap mereka sekeluarga, malah anak ketiganya itu tidak dapat diberikan susu ibu.

"Saya mengambil cuti sejak 10 hari lalu untuk menjaga isteri di hospital dan membawa ibu berusia 74 tahun dari kampung di Jitra, Kedah, untuk menjaga bayi kami," katanya.


Katanya, pihak pengurusan hospital sudah memanggilnya dan mengakui kesilapan mereka yang cuai terhadap pesakit, malah satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian terbabit.

Susulan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang 23 September lalu dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


"Saya sudah memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini saya tidak dihubungi bagi mendapatkan penjelasan perkembangan semasa kes isteri saya," katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit dan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

Tak setuju berniaga hanya pada Sabtu

Posted: 02 Oct 2011 11:13 AM PDT

KUALA LUMPUR: Tegang. Itu suasana yang berlaku ketika perbincangan antara Persatuan Peniaga KL 1Malaysia Kuala Lumpur dan wakil Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) berhubung isu pemindahan tapak perniagaan Program KL Family Fair di lot 152 ke lot 45 di Matic, Jalan Ampang, dekat sini.

Peniaga mendakwa, lokasi baru itu menyebabkan mereka rugi kerana hanya dibenarkan berniaga setiap Sabtu berbanding lokasi lama iaitu enam hari seminggu, sekali gus enggan berpindah ke lot 45.


Presiden Persatuan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah, berkata persatuan akan berbincang perkara itu dengan pihak berkenaan untuk meminta lokasi program ditetapkan di lot 152.

"Sepanjang sesi perbincangan, kami dapati isu ini berlaku disebabkan salah faham dengan peniaga tidak mendapat penjelasan tepat mengenai syarat program.


"Bagaimanapun, persatuan akan berbincang dengan pihak berkenaan dan cuba menyelesaikan perkara ini dalam tempoh dua minggu," katanya pada sidang media berkaitan isu terbabit, kelmarin.


Katanya yang juga selaku wakil peniaga, sepanjang tempoh itu, pihaknya meminta Matic membenarkan peniaga meneruskan perniagaan seperti biasa sehingga kata putus diambil.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Rashidi Hasbullah.


Sementara itu, Rashidi mendakwa, pihaknya sudah menggariskan syarat program dalam mesyuarat pada 31 Mac lalu antara Matic dan 50 peniaga dengan menyatakan program terbabit bersifat sementara dan lot 152 ialah lokasi percubaan. Namun, dipercayai ada segelintir peniaga yang tidak mendapat maklumat itu dengan jelas.

"Kementerian mendapati lokasi percubaan selama tiga minggu itu tidak berjaya. Oleh itu, peniaga yang masih berminat untuk berniaga di lot 45 boleh terus berbuat demikian.


"Walaupun ruang di lot 45 hanya memuatkan 30 khemah dan jumlah peniaga 43 orang keseluruhan, mereka tetap dibenarkan untuk menjual barangan dengan konsep 'jualan but kereta'," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved