Jumaat, 7 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pelajar dipukul akibat wang jualan sayur

Posted: 06 Oct 2011 02:37 PM PDT

SEREMBAN: Seorang bapa tersentak apabila mengetahui anak lelakinya yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini, cedera dipukul pelajar lain berikutan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang jualan sayur, kelmarin.

Difahamkan, insiden antara mangsa, Redhuan Mohd Anas Shanker, 14, dan beberapa pelajar di padang sekolah berkenaan menyebabkannya menerima lapan jahitan di dahi selain cedera di muka. Menurut bapa mangsa, Mohd Anas Shanker Abdullah, 43, dia yang membeli sayur di pasar terkejut apabila menerima panggilan daripada guru sekolah memaklumkan kejadian itu, pada jam 1 tengah hari.


"Guru itu memberitahu anak saya cedera dan dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. "Saya ke klinik berkenaan dan mendapati dahinya berdarah sambil dia menangis kerana menahan kesakitan," katanya di sini, semalam.

Anas berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang lagi anaknya, Syuib, 15, yang belajar di sekolah sama.


"Dia (Syuib) memberitahu, beberapa pelajar menumbuk adiknya (Redhuan) di padang sekolah berkenaan. Ketika itu, Syuib cuba membantu, tetapi dia ditolak dan terjatuh ke dalam longkang namun tidak cedera.


"Selain itu, dia memaklumkan pergaduhan berpunca perselisihan faham membabitkan wang jualan sayur," katanya.

Kata Anas, Redhuan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya yang cedera di kawasan sekolah. "Saya amat berharap pihak sekolah melakukan sesuatu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku kepada pelajar lain pada masa akan datang," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

7 lelaki ditahan

Posted: 06 Oct 2011 02:09 PM PDT

SHAH ALAM: Polis yakin menyelesaikan kes pembunuhan sepasang suami isteri di Batu 30 Hulu Yam, Hulu Selangor pada 28 September lalu berikutan penahanan tujuh lelaki di Pekan Rasa, Hulu Selangor, bau-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata dalam kejadian itu, L Ramasandram, 57, dan isterinya, A Bakiam, 51, yang juga penoreh getah ditemui mati dengan kesan luka dan tetakan di muka, kepala dan kedua-dua tangan.


Menurutnya, susulan itu, polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes terbabit secara lebih terperinci.

"Hasilnya pada 30 September lalu antara jam 5 petang hingga 8 malam, polis memberkas lima lelaki berumur 16 hingga 44 tahun.


"Tiga daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau dan dua lagi masih dalam status hukuman perintah buang daerah (PCO) di Kampung Batang Kali, Pekan Rasa, Hulu Selangor.


"Susulan itu, pada 3 Oktober lalu dua lagi lelaki berumur 25 dan 31 tahun diberkas di Pekan Rasa. Siasatan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah, tetapi suspek berusia 31 tahun terbabit positif syabu," katanya di sini, semalam.

Katanya, kelmarin, hasil siasatan polis membawa kepada penemuan dua parang yang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan kejam itu di Sungai Rasa, Hulu Selangor.


"Polis menjumpai dua parang pada 5 Oktober lalu yang dipercayai digunakan suspek di Sungai Rasa, Batang Kali iaitu satu kilometer dari tempat kejadian.

"Setakat ini siasatan mendapati motif pembunuhan disyaki berpunca daripada perselisihan faham dan dendam antara suspek utama yang berusia 44 tahun dengan mangsa," katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi pada 28 September lalu, mayat kedua-dua mangsa ditemui terlentang di atas jalan tanah merah di sebuah dusun durian di Batu 30 Hulu Yam.


Ramasandram cedera teruk di kepala dengan kelima-lima jari tangan kanannya putus manakala Bakiam hampir putus pergelangan tangan selain turut ditetak di kepala.


Pasangan terbabit yang juga penoreh getah keluar rumah kira-kira jam 5 pagi untuk menoreh di kebun dua kilometer dari rumah mereka.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved