Ahad, 9 Oktober 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pelajar kita dikelar

Posted: 08 Oct 2011 08:11 AM PDT

IPOH: Seorang mahasiswa perempuan warga Malaysia dikelar dengan pisau selepas bergelut dengan seorang perompak yang menceroboh masuk asrama pelajar berkenaan di Kaherah, Mesir.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin (2.15 pagi waktu Malaysia), pelajar Universiti Al-Azhar itu diserang penjenayah warga Arab yang menceroboh bangunan asrama lima tingkat didiami ratusan pelajar Malaysia.


Lebih malang, kejadian berlaku ketika mangsa mengaji al-Quran sebelum mendengar bunyi mencurigakan di dalam asrama berpunca daripada tindakan suspek mengheret 'harta rompakan'.

Sumber Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berkata, mangsa yang cuba memeriksa bagaimanapun diserang dan ditumbuk penjenayah bertopeng yang cuba melarikan melalui tingkap asrama.


Difahamkan, penjenayah bersedia menurunkan plastik berisi barang rompakan milik penghuni asrama melalui bilik di tingkat tiga pangsapuri yang terletak di kawasan Rab'Ah Adawiyah.


Suspek yang dipercayai memanjat bangunan asrama itu mensasarkan komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektronik berharga milik pelajar Malaysia.

Mangsa yang bergelut dengan penjenayah turut ditumbuk di muka berulang kali sebelum penjenayah melarikan diri selepas mencederakan mangsa dengan pisau.


Tindakan berani suspek bagaimanapun berjaya menyelamatkan pelbagai barangan berharga milik pelajar asrama itu daripada dilarikan penjenayah.

Ketika kejadian, rata-rata penuntut tidak ada di asrama berikutan mengikuti kuliah agama di Masjid Azhar.


Pihak pengurusan asrama yang membuat pemeriksaan kemudian menemui pisau digunakan penjenayah untuk menyerang mangsa dibuang di belakang pangsapuri.


Kejadian terbaru itu antara siri jenayah rompakan dan samun membabitkan penuntut warga Malaysia di negara Mesir selepas kejatuhan Presiden Mesir, Hosni Mubarak, Februari lalu.


Difahamkan, lebih 20 kes rompakan dicatatkan berlaku membabitkan penuntut warga Malaysia yang kembali meneruskan pengajian selepas krisis politik di negara itu berakhir.


Situasi tidak menentu selain peningkatan jenayah menyebabkan 11,319 pelajar Malaysia yang mengambil jurusan pengajian Islam dan bidang perubatan kini dalam kebimbangan dan lebih berhati-hati.


Sebelum ini, seorang pelajar lelaki Malaysia menjadi mangsa rompakan apabila diserang seorang lelaki Arab yang menggigit dan cuba menikam mangsa berseorangan di dalam bilik di asrama pelajar Malaysia, Jun lalu.


Kejadian dikatakan berlaku jam 6 pagi apabila mangsa dikenali sebagai Asada, 20-an, selesai sembahyang subuh dan kembali berehat di dalam biliknya sebelum seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk menggunakan kunci pendua.


Sementara itu, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya menghubungi wakil kerajaan negeri di Mesir bagi memantau perkembangan terkini itu yang dilihat membimbangkan.


"Lebih 800 anak Perak antara pelajar Malaysia di Mesir dan saya menghubungi wakil kerajaan negeri di Mesir untuk mendapatkan maklumat mengenai rompakan ini.


"Saya bersyukur selepas dimaklumkan mahasiswa berkenaan bukan anak Perak. Namun sebagai rakyat Malaysia, saya turut bersimpati dan berharap sesuatu dapat dilakukan bagi menjamin keselamatan pelajar kita di Mesir," katanya kepada Metro Ahad, semalam.


Mohammad Zahir berkata, ibu bapa kepada pelajar dari Perak yang menuntut di Mesir tidak perlu risau mengenai keselamatan anak mereka kerana kerajaan negeri menyediakan dua asrama khas untuk mereka.

Lagi restoran dirompak

Posted: 08 Oct 2011 08:07 AM PDT

PETALING JAYA: Seorang pelanggan warga emas di sebuah restoran mamak terpaksa mendiamkan diri manakala sembilan yang lain lari lintang-pukang sebaik premis berkenaan dimasuki dua perompak bersenjatakan parang panjang, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 50-an itu yang diarah keluar dari tempat terbabit oleh perompak dikatakan mengalami masalah sakit lutut dan perlu memakai tongkat untuk bergerak.


Difahamkan, dalam kejadian jam 5,30 pagi, suspek yang memakai topi keledar mengarahkan semua pelanggan keluar sebelum meminta pekerja restoran menurut arahan mereka.

Pekerja A Nagappan, 40 berkata seorang suspek mengacukan parang ke arahnya yang menjaga kaunter bayaran sebelum memintanya menyerahkan wang tunai dan rokok.


Katanya, ketika kejadian, 10 pelanggan menjamu selera manakala keadaan sekeliling sunyi memandangkan cuti hari minggu.


"Saya tidak pasti suspek datang dari arah mana dan menggunakan kenderaan jenis apa kerana tidak melihat sebarang kereta atau motosikal mencurigakan berhenti di depan restoran.

"Kejadian berlaku dengan pantas iaitu kurang lima minit sebelum kedua-dua suspek melarikan diri ke arah belakang kedai yang gelap," katanya yang mengalami trauma.


Nagappan yang lima tahun bekerja di situ berkata, dia hanya dapat merayu supaya mereka tidak mencederakannya dengan akur segala arahan tanpa banyak soal.

Setakat ini, pemilik restoran belum dapat memastikan nilai kerugian dan berharap kejadian itu tidak menjejaskan perniagaan mereka yang beroperasi 24 jam sehari.


Difahamkan, kejadian itu gagal dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) restoran kerana ia rosak.


Sebelum ini, kejadian rompak restoran mamak pernah mendapat perhatian selepas rakaman kejadian di Seksyen 15, Shah Alam tersebar dalam banyak laman web dengan entri bertajuk 'Shah Alam Bukan Lagi Tempat Selamat'.


Dalam kejadian yang dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan selama empat minit dan 11 saat pada jam 4 pagi, 28 Ogos lalu, lima lelaki lengkap bertopi keledar serta memegang pisau dan parang meluru ke arah pelanggan.

Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved