Rabu, 30 November 2011

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Watak paling merisaukan

Posted: 29 Nov 2011 02:45 PM PST

DUA 'hero Malaya' ini memulakan langkah lakonan mereka pada usia masih mentah. Jika Shaheizy Sam dikenali dengan telefilem menyayat hati, Pa'e pada 1998 ketika usia 12 tahun, pastinya Mohammad Syafie Naswip pula menerusi filem Mukhsin.

Diketengahkan pengarah tersohor negara, Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2007, ketika itu Mohammad Syafie baru berusia 15 tahun. Kini, Shaheizy dan Syafie juga sudah membuktikan bakat lakonan masing-masing menerusi anugerah dimenangi.

Shaheizy menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) tahun lalu dan Pelakon Lelaki Terbaik di FFM24 baru-baru ini. Manakala Syafie pula menang Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (FFM20) serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22).

Bagaimanapun, dari aspek populariti nyata lebih berpihak kepada Shaheizy kerana dinobatkan Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun lalu. Ia sekali gus kejayaan berganda buatnya yang makin menonjol dalam lakonan.


Berpaksikan kecemerlangan yang sudah terbukti itu, Shaheizy dan Syafie kini disatukan sebagai adik beradik dalam filem Songlap arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina yang diterbitkan secara bersama produksi Primeworks Studios Sdn Bhd dan Red Films Sdn Bhd.


Walaupun pertama kali bergandingan di filem, sama ada Shaheizy atau Syafie, mereka saling 'memberi' dalam tuntutan watak masing-masing. Bahkan, tiada masalah juga buat mereka membentuk keserasian serta mengakui selesa bekerja antara satu sama lain.

Menurut Shaheizy atau mesra dengan panggilan Sam, dia seronok bekerja dengan Syafie biar pun hubungan mereka tidaklah begitu rapat sebagai sahabat baik. Bagaimanapun, katanya Syafie memang seorang pelakon yang berbakat kerana dia mudah membentuk kerjasama.

"Biarpun hubungan kami tidak rapat, tetapi atas dasar urusan kerja, Syafie memberi ruang kepada saya untuk masuk ke dalam dirinya. Ia sekali gus membantu menghidupkan lakonan kami terhadap watak Am yang saya bawa dan dia pula sebagai Ad.

"Jujur saya katakan, tidak semua pelakon boleh melakukan seperti Syafie yang memudahkan gandingannya selesa, serasi dan boleh menghayati watak bersama. Dalam soal ini, apabila mendapat gandingan yang bagus, saya menjadi bertambah yakin.

"Lakonan ditonjolkan juga ikhlas dan tulus mengikut apa yang diinginkan skrip. Bahkan, saya juga berasakan lakonan yang dipaparkan dalam Songlap lebih 'terpelihara'. Sehubungan itu, saya sangat mengharapkan penonton akan berpuas hati," katanya.

Aktor kacak berusia 29 tahun yang begitu laris membintangi pelbagai genre ini, memaklumkan Songlap ialah filem yang jujur. Ia mengangkat kisah benar berkaitan sindiket penjualan bayi yang memang berlaku dalam kehidupan realiti masyarakat.

Songlap yang turut dijayakan Sara Ali, Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri dan Hasnol Rahmat bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Disember ini. Filem lakonan Sam yang turut menanti tayangan, 8 Jam, Adnan Sempit 2, Nongkrong dan Aku Ada Kau Ada.

Menyedari usia yang makin meningkat, sejauh mana pula perancangan Sam dalam kehidupan peribadinya? Apakah anak bongsu dramatis Khaty Fauziah ini sudah bersua calon sesuai untuk menjadi teman hidup? Menjawab pertanyaan ini, dia yang kini tampil berjambang berkata, jadualnya terlalu padat.

"Saya terlalu selesa dengan kerja sekarang ini dan tiada masa untuk mencari cinta. Justeru, saya tidak memikirkannya dan biarlah soal jodoh ini ditentukan Tuhan. Sampai masa ditetapkan, saya yakin dan percaya akan bertemu juga dengan jodoh itu.

"Sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai impian untuk memiliki keluarga sendiri. Cuma, sekarang sukar untuk saya memaklumkan lebih lanjut kerana tumpuan serta komitmen saya hanya pada karier. Apapun, saya bersyukur keluarga sangat memahami," katanya.

Pernah muncul juga dengan kumpulan MOB yang mengetengahkan irama hip hop, Sam berkata, kerjaya nyanyian padanya kini sudah menjadi kenangan. Ujarnya, biarpun tawaran untuk menyanyi masih diperoleh tetapi dia yang tidak bersedia untuk terima.

Syafie berusaha atasi rasa gugup

Selesa merendah diri, Syafie berkata dia masih terlalu baru dalam industri lakonan tanah air. Katanya, banyak lagi ilmu yang perlu ditimba daripada pelakon berpengalaman seperti Shaheizy Sam. Pengalaman adalah kayu pengukur antara dia dan Shaheizy

Biarpun pernah bergandingan dengan Shaheizy dalam telefilem Alahai Cicit Atuk, tetapi ketika itu babak membabitkan mereka tidak banyak. Justeru, Syafie sendiri tidak berasa terlalu gugup beraksi di sisi Shaheizy yang sangat dihormatinya.

"Namun, situasi itu nyata berbeza dalam Songlap kerana kami berdua adalah teraju utama dan paling merisaukan apabila kami memainkan watak adik-beradik. Shaheizy seorang pelakon yang bagus, jadi siapa yang tidak akan berasa gementar.

"Ditambah pula watak Ad lakonan saya sangat mencabar. Ia banyak bermain dengan emosi dalaman yang memerlukan saya banyak berbincang dengan pengarah dan pelakon yang terbabit dalam filem ini untuk mendapatkan pandangan mereka.

"Tak dinafikan, ketika mendapat tawaran untuk berlakon filem ini hati saya berbelah bahagi sebenarnya. Saya rasa mahu menolaknya kerana takut dengan tuntutan penghayatan watak yang berat. Ini kerana, saya seorang remaja biasa yang gemar duduk di rumah.

"Saya pun tidak pernah terbabit masalah apatah lagi, perihal menjual bayi. Jadi, semestinya sukar untuk saya menjiwai watak Ad itu. Justeru, bagi mendapatkan mood yang sesuai, saya ambil inisiatif menonton filem The Reader serta membuat tinjauan di sekitar Chow Kit," katanya.

Menurut Syafie, selain itu dia juga banyak bertanya pada rakan-rakan dan berkongsi kisah yang mereka tahu mengenai penjualan bayi. Ujarnya, dia memberanikan diri menerima juga tawaran filem Songlap kerana terpikat dengan jalan cerita yang berbeza.

Berusia 18 tahun dan kini melanjutkan pengajiannya dalam tingkatan enam, Syafie berkata sekarang, komitmen utamanya adalah pelajaran untuk jaminan masa depan. Justeru, jika ada tawaran berlakon pun, dia hanya terbabit pada penggambaran hujung minggu.

Katanya dia mahu lebih dulu mengejar cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran. Oleh itu, dia lebih selesa jarang menerima tawaran demi pendidikan. Katanya dia mahu berusaha dan melakukan sebaik mungkin dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) nanti.

PROFIL

NAMA: Shaheizy Sam Abdul Samad
PANGGILAN KOMERSIAL: Shaheizy Sam
TARIKH LAHIR: 4 September 1982
USIA: 29 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak bongsu daripada lima beradik
DRAMA/ TELEFILEM: Antaranya Pa'e, The Son, Elly, Noda Semalam, Bisikan Hati, Graduan, KL Menjerit, Ali Din, Seiras Maya, Kasanova XXL, Impak Maksima, Jangan Pandang Belakang
FILEM: Sama Tapi Tak Serupa, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Semp-it, Niyang Rapik, Evolusi KL Drift 2, Ngangkung, Kongsi, Sekali Lagi, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH2010, Bintang Paling Popular ABPBH2010, Anugerah Yasmin Ahmad (Anugerah Skrin 2010), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM23), Pelakon Lelaki Terbaik (FFM24)

PROFIL

NAMA: Mohammad Syafie Bin Naswip
PANGGILAN KOMERSIAL: Syafie
ASAL: Selangor Darul Ehsan
TARIKH LAHIR: 2 Ogos 1992
USIA: 18 tahun
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak tunggal
KARIER: Pelakon, Pelajar
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Impian, Ilham Suci, Dosa Semalam, Kasih Tak Terucap, Takbir Suci 2, Soulful Finding, Manja, Alahai Cicit Atok, Ustaz Kecil, Seluhur Nazar, Demi Masa, Dunia Batinku, Biang Lala Di Kaki Langit, A Untuk Abah, Melukut Kasih Di Kaki Santubung, Hero Komik, Jidin, Keliwon
TEATER: P Ramlee The Musical (musim 1) Titik-Titik Perjuangan 1, Titik-Titik Perjuangan 2, Gelanggang Tok Wali
FILEM: Mukhsin, Talentime, Nur Kasih The Movie, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (FFM20) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22)

Full content generated by Get Full RSS.

INTERAKSI: ‘Tak ada konspirasi’

Posted: 29 Nov 2011 04:47 AM PST

SEJAK melangkah dunia seni melalui album reKRUed yang popular dengan lagu Awas, trio yang menggelarkan diri mereka KRU, Norman Abdul Halim bersama adiknya, Edry dan Yusry, melakar kejayaan besar dalam muzik tanah air hingga terus berkarya sehingga kini.

Selama dua dekad ini, KRU melahirkan ramai penyanyi baru dengan lagu-lagu ciptaan Edry kemudian mengorak langkah ke dunia filem melalui produksi KRU Studios yang tampil dengan genre yang jarang diteroka produser lain seperti filem super hero Cicakman, komedi I Spy, filem seram Karak, filem animasi Magika dan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).

Akhir-akhir ini, KRU dilihat begitu hebat pengaruhnya dalam dunia seni tanah air. Dalam majlis anugerah yang berlangsung baru-baru ini, Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18), Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) dan juga Anugerah Skrin 2011 (ASK2011), KRU melakar kejayaan besar.

Bermula dengan kejayaan Magika untuk Filem Terbaik di ASK pada 8 November lalu, filem terbitan KRU Studios terus cemerlang apabila HMM dinobatkan Filem Terbaik di FFM24 pada 20 November.


Tidak cukup dengan itu, kejayaan Yuna menggenggam trofi Lagu Terbaik untuk Penakut di AIM18 pada 12 November lalu hanya sedetik cuma apabila penganjur menarik semula kemenangan itu atas alasan kesilapan teknikal dan pemenang sebenar adalah Sedetik Lebih ciptaan Edry.


Kejayaan demi kejayaan KRU ini menimbulkan tanda tanya hingga ada yang menyarankan supaya dikaji apa kaitan KRU dengan majlis anugerah ini. Dari segi jawatan, Norman adalah Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) juga penganjur AIM serta Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang mempunyai pengaruh besar dalam penganjuran FFM.

Ada juga mengatakan semua kejayaan ini satu percaturan KRU untuk melakar kejayaan besar dalam industri seni kerana semua ini ada kaitannya dengan dana yang diterima KRU dari kerajaan dan semua kejayaan ini penting sebagai catatan profil syarikat .

Benarkah semua yang dikatakan itu? Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, wartawan RAP, Murshid Eunos (murshid@hmetro.com.my) mendapatkan penjelasan dari Norman.

RAP: Kemenangan besar KRU dalam tiga majlis anugerah baru-baru ini menimbulkan banyak spekulasi hingga ada mengatakan wujud propaganda dan konspirasi di sebalik semua pengiktirafan itu. Boleh anda jelaskan apa yang sebenarnya berlaku?

NORMAN: Tidak adil untuk mempersoalkan kemenangan KRU dan segala pengiktirafan yang sudah pun dinobatkan hanya kerana melihat saya berada dalam organisasi penganjuran. Kehadiran dan fungsi saya dalam RIM mahupun PFM bukanlah sebesar mana hingga mampu mempengaruhi keputusan.

Kejayaan HMM dan Sedetik Lebih adalah berdasarkan kualiti yang diukur oleh barisan juri profesional. Mereka adalah pemerhati yang mempunyai integriti yang meneliti setiap produk yang dipertanding dan kebetulan karya terbaik milik KRU.

Mengapa ada pihak yang mempersoalkan kemenangan itu kerana seharusnya mereka menghulurkan ucapan tahniah. Hakikat sudah ditentukan dan saya terfikir mengapa pihak yang bising dan gigih menyebar persepsi negatif itu menerima saja dengan fikiran terbuka segala keputusan ini.

Melihat dari perspektif positif dan pembangunan industri, HMM memang layak diangkat menjadi yang terbaik begitu juga dengan Sedetik Lebih kerana itu sudah melalui satu proses penilaian sebanyak dua kali oleh barisan juri profesional.

RAP: Pernah terfikir mengapa mereka mempersoalkan dan meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kemenangan ini hingga dikaitkan dengan agenda tersembunyi KRU.

NORMAN: Itulah lumrah kehidupan dan sepak terajang dunia hiburan yang saya fahami sejak hampir dua dekad lalu. Mengapa perlu saya hairan atau terkejut kerana sejak awal lagi, saya memang sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi begini. Malah jujurnya, tatkala karya terbitan KRU diumumkan ke peringkat akhir, saya mengharapkan agar ia tidak sangkut di mata juri kerana saya sudah penat menjawab segala pertikaian seperti ini.

Sebelum ini pun penat kami bertiga menjawab seribu satu dakwaan yang menyangkal kemenangan Magika di FFM23 tahun lalu. Senario yang sama masih berlaku tahun ini apabila HMM sekali lagi menang di FFM24. Lebih teruk lagi, pertikaian ini dilakukan lengkap dengan dakwaan lain hingga membabitkan cerita mengarut yang ada kalanya membuatkan saya terdiam kerana terkilan.

Puncanya hanya satu iaitu kerana saya berada dalam persatuan dan badan penganjuran. Itu adalah sasaran utama beberapa pihak yang tidak henti mempersoalkannya hingga jawatan saya dalam persatuan disalah erti.

Sistem penjurian bukan di bawah bidang kuasa saya. Malah jika dikaji semula dari minit mesyuarat jawatankuasa RIM, saya hanya terbabit pada peringkat awal perlantikan dulu yang mana fungsi saya untuk mencari penaja kepada AIM dan penyiar rasminya saja. Pernah sesiapa datang bertanya soal itu yang mana sumbangan saya dengan mendapatkan penaja kepada AIM yang kian merosot jumlah tontonan?

Saya langsung tidak ambil peduli soal penjurian dan penganjuran anugerah secara terperinci kerana sudah ada jawatankuasa AIM terdiri daripada Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (AIMM) yang bertanggungjawab memantau aspek penjurian. Saya memang tidak tahu menahu soal juri jika ada yang pertikai kononnya saya seperti merancang kemenangan ini.

RAP: Insiden menarik semula trofi Lagu Terbaik yang dimenangi Yuna menerusi lagu Penakut kemudian diserahkan pula kepada Edry menerusi lagu Sedetik Lebih dilihat kemuncak segala pengaruh KRU. Apa komen anda dalam hal ini?

NORMAN: Apabila nama Yuna diumumkan pemenang Lagu Terbaik, saya sendiri terkejut kerana tanpa sebarang tayangan video calon-calon akhir, tiba-tiba namanya diumumkan menang sedangkan lagu itu tidak langsung tersenarai untuk pemenang genre lain, Pop, Pop Etnik, Rock, Nasyid dan Inggeris Tempatan sedangkan syarat untuk menang Lagu Terbaik haruslah daripada pemenang genre itu. Semua itu sudah diketahui umum sejak dulu lagi.

Namun itulah yang sudah dijelaskan apabila kesilapan yang berlaku datangnya dari pihak syarikat audit bertaraf antarabangsa yang dipertanggungjawab dan mereka sendiri punya kredibiliti global merakamkan maaf atas kesilapan itu. Persoalannya adalah pengaruh saya juga yang membuatkan hingga syarikat sebesar itu memohon maaf atas kesilapan yang berlaku. Implikasinya sangat besar kepada kredibiliti syarikat itu dan secara logik, adakah saya yang mengarahkannya?

RAP: Ada yang mengatakan KRU kemaruk anugerah dan inginkan semua pengiktirafan tertinggi bagi membuktikan segala usaha KRU Studios dalam penerbitan filem.

NORMAN: Kami sudah jauh ke depan dan melihat anugerah antarabangsa sebagai motivasi. Kunci kejayaan dan kiblat kepada masa depan adalah pada perspektif yang luas dan bukannya sibuk menjadi jaguh kampung. Kami sudah puas menerima penghargaan di Malaysia dan kini adalah masa untuk kami melangkah ke depan di peringkat antarabangsa.

Dakwaan kononnya kami inginkan kemenangan atau gila untuk memegang anugerah adalah sangat longgar dan tidak masuk akal. Apatah lagi untuk mempertikaikan soal dana dan bantuan kerajaan kepada kami. Itu langsung tidak masuk akal kerana pada saya, sesiapa yang sibuk mengandaikan perkara buruk atau gigih memikirkan pelbagai sangkaan negatif adalah manusia yang tidak punya motivasi. Itu adalah sentimen individu cemburu, iri hati dan penuh dengan hasrat berdengki yang tidak mahu melihat orang lain berjaya sedangkan ia satu hakikat. Saya tidak kisah dengan apa juga tuduhan kerana semua itu tidak langsung berbekas kudis pada saya.

RAP: Sejauh mana ketelusan pihak penjurian?

NORMAN: Penjurian cukup telus apabila lagu saya dan adik-adik saya sendiri tidak terpilih. Kami tetap hantarkan beberapa lagu nyanyian kami termasuk Ganas namun semuanya tersadai tidak diterima kerana ada lagi lagu lain yang jauh lebih layak.

Jika benar saya punya kuasa dan pengaruh, mengapa tidak saya pilih lagu-lagu kami sebagai pemenang dan sentuhan Yusry dalam kategori Video Muzik Terbaik diangkat.

Begitu juga dengan kemenangan kami di FFM. Itu semua sudah diadili dengan saksama dan adil oleh barisan juri profesional yang berlainan latar bidang. Mengapa harus kemenangan HMM dipersoalkan? Jangan pertikaikan ketelusan barisan juri hanya kerana kepentingan tertentu.

RAP: Perasaan anda apabila berlakunya perkara ini?

NORMAN: Sukar untuk saya jelas dan gambarkan kerana senario yang berlaku seolah-olah membawa diri sendiri ke dalam mahkamah dan menjejaskan kredibiliti sendiri. Bayangkan saya perlu meletak justifikasi kepada integriti saya sendiri selaku pengerusi dan organisasi penganjuran.

Kemenangan KRU tidak langsung mendapat ucapan tahniah dan tidak sempat kami raikan sebaliknya saya sendiri perlu tampil memberi kenyataan berhubung seribu satu dakwaan yang mempersoalkan kedudukan dan keikhlasan saya bekerja. Saya sendiri terduduk memikirkan soal ini kerana sejak dulu lagi satu formula pengukuhan empayar KRU adalah ketelusan, ikhlas dan sentiasa berpegang kepada integriti diri.

Kini saya perlu ke depan dan mempertahankan formula sendiri sedangkan semuanya hanya berpaksi pada ketidakpuasan sesetengah individu. Memang kelakar buat saya.

RAP: Adakah senario dan segala dakwaan ini membuatkan anda berputus asa dalam meneruskan perjuangan?

NORMAN: Itu adalah tindakan paling bodoh jika saya berundur kerana kecewa dengan segala dakwaan yang dilemparkan. Saya berdiri di sini atas pemilihan dan bukannya perlantikan mengisi kekosongan tempat. Saya dipilih dan seharusnya saya perlu kekal berdiri memperjuangkan apa yang patut saya perjuangkan.

Saya masih banyak lagi agenda besar buat industri. Panjang lagi perjalanan saya sebagai anak seni yang harus saya lakukan kepada perkembangan industri tempatan. Biarlah mereka terus menyalak dan meletak pelbagai tomahan kepada saya dan KRU Studios kerana apa yang penting adalah keikhlasan dan kejujuran diri sendiri.

Saya ikhlas memperjuangkan apa yang termampu dan tidak sesaat terlintas untuk menyalahguna kuasa dan tanggungjawab yang diberi. Namun jika itu yang menjadi ukuran kepada pihak yang tidak henti mempertikaikan, terpulanglah.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved