Selasa, 8 November 2011

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tagih nyawa

Posted: 07 Nov 2011 11:07 AM PST

KEPALA BATAS: Pantai Kuala Muda, Penaga, di sini, kini diberi gelaran Pantai Puaka kerana sentiasa dahagakan nyawa, sekurang-kurangnya seorang setiap tahun pasti menjadi korban di kawasan itu.

Penduduk mengesahkan kejadian korban nyawa itu berlaku setiap tahun dan ada mendakwa ia berpunca daripada kesilapan nenek moyang yang membuat perjanjian kerana mempercayai perkara karut.


Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bakau Tua, Ramli Mahat, 60, berkata, kejadian korban di laut itu saban tahun berlaku di kampung itu.

"Setiap tahun ada saja kejadian lemas di sini dan terbaru, Oktober lalu apabila dua pelajar lemas," katanya.


Menurutnya, kawasan laut di situ bagaikan sentiasa dahagakan nyawa sekurang-kurangnya seorang setiap tahun.


"Bukan percaya perkara mengarut, tetapi hakikatnya memang ia berlaku," katanya ketika ditemui, semalam.

Ramli berkata, papan tanda amaran mandi sudah dipasang, tetapi kawasan pantai di situ umpama kolam renang kepada penduduk terutama kanak-kanak.


"Budak-budak, jika dilarang bukan mahu mendengar kata, takutnya hanya sekejap," katanya.

Kampung nelayan berusia ratusan tahun itu dihuni kira-kira 5,000 penduduk yang menempatkan hampir 1,000 rumah.


Penduduk, Halimah Ismail, 65, yang menetap di kampung itu sepanjang hayatnya percaya dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan laut Kuala Muda berpuaka kerana sejak kecil, setiap tahun dia mendengar berita kematian di laut.


"Kes mati lemas sudah puluhan kali saya dengar, belum lagi kes nelayan hilang di laut atau mati mengejut di dalam bot ketika keluar menangkap ikan," katanya.


Menurutnya, dia bimbang memikirkan nyawa siapa pula selepas ini yang akan menjadi korban laut itu.


"Kebanyakan mangsa korban laut ialah penduduk setempat tidak kira usia," katanya.


Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian di kawasan perkampungan nelayan itu ada kaitan dengan perkara tahyul dipercayai berpunca daripada nenek moyang mereka.


Katanya, pada zaman 30-an dulu, dia ada menyaksikan satu upacara seperti memberi makan kepada 'penunggu' laut.


"Orang kampung menyembelih kerbau dan kepala haiwan itu diletakkan di atas sebuah rakit berserta pulut kuning dan bertih jagung sebelum rakit dihanyutkan ke tengah laut," katanya.


Namun, dakwanya, amalan itu sudah dihentikan kerana perbuatan itu syirik dan sejak itu ramai percaya laut yang dahagakan korban, memilih nyawa manusia sebagai gantinya.


"Ada segelintir penduduk kampung cuba mengembalikan kepercayaan itu namun ditentang banyak pihak," katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Razam Taja Rahim berkata, berdasarkan rekod Balai Bomba Kuala Muda, setiap tahun dari 2005 hingga 2010, ada satu kes lemas berlaku di Pantai Kuala Muda.


"Tahun ini, dua kes lemas dicatatkan membabitkan tiga kematian iaitu seorang mangsa pada Januari dan dua lagi bulan lalu.


"Setiap tahun kami menerima aduan kes lemas dan orang hilang di laut itu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jurutera wakaf harta RM10 juta

Posted: 07 Nov 2011 11:03 AM PST

KUALA LUMPUR: "Saya tidak pandai berdakwah dan ini yang mampu saya lakukan sebagai persiapan menghadapi kematian," kata pewakaf, Ir Mohd Mazlan Md Ismail, 70, dari Kampung Sungai Penchala, di sini.

Mohd Mazlan mewakafkan dua bidang tanah seluas 0.68 hektar serta dua buah rumah dengan nilai anggaran melebihi RM10 juta kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dijadikan pusat pendidikan Islam khas kepada warga emas.


"Sudah lebih dua tahun saya berhasrat mewakafkan harta kepada golongan kurang berkemampuan dan alhamdulillah ia termakbul hari ini selepas MAIWP melaksanakan amanah berkenaan.

"Harapan saya supaya dimanfaatkan sebaiknya dan membantu golongan warga emas untuk mendalami ilmu Islam secara kaedah pondok dengan pendekatan lebih moden," katanya ditemani isteri, Rabiah Bee Mohamed Sulaiman, 64, ketika penyerahan hak milik kepada MAIWP di rumahnya, baru-baru ini.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail.


Menurut Mazlan, keputusan itu mendapatkan persetujuan tiga anaknya dan dia serta isteri menetap di sebuah rumah yang diwakafkan sebelum diserahkan sepenuhnya selepas mereka berdua tiada kelak.

Sementara itu, Dr Muhammad Yamin berkata, bagi merealisasikan hasrat pewakaf, pihaknya memutuskan menjadikan wakaf itu sebagai Pusat Pengajian Warga Emas atau dikenali Pusat Pengajian Warga Emas Dar-Assakinah.


"Segala pengurusan pusat pengajian dikelolakan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP dan sebagai permulaan MAIWP akan mengambil antara 10 hingga 15 warga emas atau mengikuti kesesuaian kapasiti rumah ini.

"Namun segala perancangan lain akan dilanjutkan dalam mesyuarat lembaga pada pertengahan tahun ini dan merancang untuk membina satu lagi bangunan di tanah ini bagi membolehkan ramai lagi yang dapat mengikuti pengajian terbabit," katanya.


Katanya, MAIWP juga akan melantik seorang pengetua bagi menguruskan pusat pengajian yang dibantu pembantu hal ehwal Islam serta seorang pembantu am.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved